Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Jumpa Sidka

Posted: 14 May 2014 11:26 AM PDT

Kelana Jaya: Pengalaman Wolfgang Sidka (gambar) mengendalikan skuad Iraq kini menarik perhatian Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk menjadikan jurulatih kelahiran Jerman itu antara calon melatih skuad Harimau Malaya.

Selepas enggan membuka mulut sebelum ini, akhirnya FAM mendedahkan mereka akan mengadakan perbincangan dengan Sidka dalam masa terdekat sekali gus menutup spekulasi mengaitkan bekas jurulatih Jerman Rudi Voller dengan jawatan itu.

Sidka, 59, pernah membimbing kelab Bundesliga Werder Bremen (1997-1998), skuad kebangsaan Bahrain (2000-2003) dan Iraq (2010-2011) namun tiada pencapaian yang cukup mengagumkan dicapai bekas pemain tengah itu selain memenangi Piala UEFA Intertoto dalam tahun terakhir bersama Bremen.

Menurut Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin, mereka akan mengadakan pertemuan dengan Sidka dan seorang lagi calon dari Sepanyol, Luis Milla Aspas dalam waktu terdekat selepas selesai menemuramah bekas jurulatih Mozambique Gert Engels, kelmarin.

Foto


"Memang benar, kita ada bertemu Engels. Kami masih dalam proses temu duga dan FAM masih lagi mengenalpasti seorang dua calon dalam sesi temu duga ini. Sidka calon terbaru yang berminat dengan jawatan ini. Kami akan menunggu kedatangannya dalam tempoh terdekat.


"Bagaimanapun, selepas melepasi saringan terakhir ini, nama calon akan dibentangkan dalam Mesyuarat Exco FAM untuk diluluskan," katanya ketika ditemui di Wisma FAM, Kelana Jaya.

Arena Metro sebelum ini melaporkan FAM kini dalam proses menilai tiga calon dari luar negara iaitu Engels, Aspas dan terbaru Sidka bagi mengisi jawatan ketua jurulatih skuad kebangsaan selepas kontrak Datuk K Rajagobal berakhir 31 Disember lalu.

Namun dua calon tempatan, jurulatih Harimau Muda A yang kini bertindak sebagai pengendali sementara Harimau Malaya Datuk Ong Kim Swee dan jurulatih Polis Diraja Malaysia Dollah Salleh turut berada dalam senarai.

Pencarian pengendali itu berlarutan beberapa bulan lamanya selepas badan induk bola sepak tanah air itu gagal mendapatkan khidmat bekas jurulatih skuad Piala Dunia Jepun Philippe Troussier atas alasan mereka tidak boleh melayan permintaan yang dianggap 'tidak masuk akal' calon pilihan itu.

Mesyuarat Kongres Pemilihan FAM bakal berlangsung pada 25 Mei namun Hamidin menafikan kemungkinan FAM sekadar 'tangkap muat' mencari jurulatih dari luar kerana kesuntukan masa.

"Selepas kami tidak mendapat persetujuan dari Troussier, FAM memang sudah mengadakan pertemuan dengan ramai jurulatih import lain. Sesi temu duga ini berlaku di dalam dan luar negara. Cuma, kami hanya menunggu proses pemilihan saringan terakhir dalam hal ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/15

Cheh Chang belum dapat ilham

Posted: 14 May 2014 11:18 AM PDT

Kuala Lumpur: Siapakah beregu terbaik negara yang akan diturunkan pada saingan Piala Thomas di New Delhi, India bermula Ahad ini?

Itu yang menjadi persoalan ketika ini, malah teka-teki itu masih disimpan kemas jurulatih beregu negara Pang Cheh Chang yang dilihat masih belum ada jawapan terhadap persoalan itu.

Baik beregu pertama atau kedua, ia dilihat masih belum muktamad kerana pada sesi latihan, kesemua enam pemain beregu diuji bergandingan dengan pasangan berlainan.

Atas kertas, gandingan Tan Wee Kiong-Hoon Thien How serta Goh V Shem-Lim Khim Wah sepatutnya diletakkan selaku beregu utama dan kedua negara berdasarkan ranking semasa kedua-dua apsangan itu.

Namun khidmat pemain senior, Tan Boon Heong yang masih belum ada gandingan tetap selepas Koo Kien Keat mengundur diri Mac lalu, pasti ditagih Cheh Chang kerana pengalaman luasnya di pentas Piala Thomas.

Untuk membolehkan Boon Heong beraksi, sudah tentu salah satu daripada dua gandingan utama dipisahkan dan jangkaan itu dilihat hampir tepat selepas Boon Heong sering bergandingan dengan Wee Kiong pada sesi latihan.

"Tak semestinya mereka menjadi gandingan tetap kerana bagi saya yang penting kombinasi antara pemain.

"Untuk gandingan Boon Heong-Wee Kiong, memang mereka nampak bagus ketikas sesi latihan, tapi belum tentu mampu menjadi kombinasi baik pada perlawanan sebenar.

"Bagi saya, kita perlu tengok keadaan dan lawan yang ditemui sebelum membuat pilihan gandingan terbaik," kata Cheh Chang.

Beliau juga tidak menolak memisahkan gandingan V Shem-Khim Wah selepas seorang lagi pemain beregu negara, Chan Peng Soon dilihat sering digandingkan dengan Khim Wah pada sesi latihan.

"Ada kemungkinan Peng Soon-Khim Wah digandingkan, tapi gandingan Khim Wah-V Shem juga bagus.

"Tapi seperti yang saya katakan, kami perlu tengok siapa lawan ditemui sebelum pilih gandingan tepat untuk diturunkan," katanya.

Foto

BOON Heong mungkin digandingkan dengan Wee Kiong.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/15

Tagih 12 pemain luar: Kim Swee

Posted: 14 May 2014 11:17 AM PDT

Kelana Jaya: Jurulatih skuad bawah 23 tahun negara (B-23) Datuk Ong Kim Swee menagih khidmat sekurang-kurangnya 12 pemain luar untuk bergabung dengan pemain Harimau Muda A bagi melakukan persiapan rapi menghadapi Sukan Asia di Incheon, Korea Selatan pada September ini.

Ketika ini pengendali berusia 43 tahun itu sudah mempunyai senarai awal pemain untuk dipanggil menyertai Harimau Muda A yang kini berada di Gold Coast, Australia iaitu Wan Zaharulnizam Zakaria, Wan Zack Haikal Wan Noor dari Kelantan, Junior Eldstal, Ashri Chuchu (Sarawak), Irfan Fazail, Mohd Izham Tarmizi, Mohd Fadhli Shas (Johor Darul Ta'zim), Zubir Azmi (Terengganu), Ahmad Hazwan Bakri, A Thamil Arasu, Mohd Nazmi Faiz Mansor (Selangor) dan Mohd Syahid Zaidon (FELDA United).

Menurutnya, cadangan itu sudah mendapat persetujuan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan kesemua pemain dijangka mengadakan latihan bersama serta mengharungi beberapa perlawanan persahabatan bermula 3 atau 4 Julai selama hampir sebulan.

"Saya harap dapat mengumpul semua pemain untuk mengadakan latihan bersama dengan pemain Harimau Muda A yang akan saya pilih ke Sukan Asia bermula awal Julai.

Foto

KIM SWEE harap gabungan pemain luar dan sedia ada mampu beri impak positif di Korea Selatan.


"Program ini penting kerana kesemua pemain perlu menjalani latihan bersama untuk membentuk keserasian dan di sana saya dapat menguji permainan dan taktikal pasukan.


"Saya tidak nampak sebarang masalah untuk memanggil mereka memandangkan pada tempoh itu liga berehat sementara menunggu kempen Piala Malaysia bermula," katanya.

Ketika ini skuad Harimau Muda A yang sebahagian besar pemainnya bakal mewakili skuad B-23 negara berkampung di Gold Coast bagi mengharungi Liga Perdana Kebangsaan Queensland dan mereka tidak mempunyai perlawanan liga pada Julai.

Selain 12 pemain luar itu, Kim Swee juga boleh menyenaraikan tiga pemain berusia lebih 23 tahun ke Sukan Asia namun ketika ini masih terlalu awal untuk beliau memilih pemain senior itu.

"Saya sudah mendaftar ramai pemain senior untuk ke Sukan Asia dan hanya boleh membawa tiga pemain saja bersama skuad. Mungkin saya akan memilih seorang pemain bagi posisi penjaga gol, pertahanan dan serangan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/15

Gandingan mantap!

Posted: 14 May 2014 11:11 AM PDT

Kuala Lumpur: Gandingan Mohd Rizal Fahmi Ab Rosid dan Shahrom Abd Kalam di pertahanan tengah nyata membawa tuah buat Selangor yang membolehkan Merah Kuning menghuni tangga teratas Liga Super.

Malah pengendali Selangor Mehmet Durakovic turut memuji persembahan kedua-dua pemain yang mempamerkan aksi mantap mengekang dua penyerang berbisa Pahang, Matias Conti dan Dickson Nwakaeme ketika menumbangkan Tok Gajah di Stadium Darulmakmur, Sabtu lalu.

Gandingan itu berkemungkinan besar terus mendapat kepercayaan Durakovic dalam baki tujuh perlawanan Liga Super selepas pertahanan import dari Australia, Steve Pantelidis turut cemerlang apabila diletakkan di bahagian tengah bertahan.

Pertahanan tengah baru dari Brazil, Evaldo Silva Dos Santos yang ditandatangani Selangor ketika jendela perpindahan kedua dilanda kecederaan dan dibenarkan pulang ke Brazil selama sebulan sejak awal bulan lalu bagi menerima rawatan.

Foto

SHAHROM

Foto

RIZAL Fahmi


"Saya selesa bergandingan dengan Shahrom kerana kami mudah menegur antara satu sama lain andai ada kesilapan. Kami memahami bagaimana untuk menjalankan tugas masing-masing walaupun baru beberapa kali digandingkan," kata Rizal Fahmi.


Selangor kini menghuni tangga teratas Liga Super dan berada pada landasan terbaik untuk menamatkan kemarau kejuaraan dengan lima daripada tujuh baki perlawanan akan berlangsung di Stadium Shah Alam.

"Paling penting setiap pemain perlu melakukan tugas diberikan dengan betul di setiap posisi bagi memastikan pasukan mantap, bukan hanya di posisi tertentu," katanya.

Selangor yang kini mengumpul 31 mata, tiga mata mengatasi Pahang di kedudukan kedua, berpeluang menjarakkan kedudukan di puncak liga apabila menentang Sime Darby di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/15

Noel idam robek gawang Gladiators

Posted: 14 May 2014 11:05 AM PDT

Kuala Lumpur: Penyerang import Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Fabrice Noel nekad mahu membedil gawang T-Team sekali gus membantu The Gladiators memungut tiga mata penuh untuk keluar daripada kelompok bawahan Liga Super apabila kedua-dua pasukan itu bertemu di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Sabtu ini.

Walaupun mengakui sedikit kecewa kerana gagal membantu pasukannya ketika tewas 1-2 di tangan Perak, Noel yakin pasukan barunya itu mampu meraih kemenangan yang dicari-cari pada aksi di halaman sendiri.

Menurutnya, kegagalan jentera serangan ATM di Ipoh begitu mengecewakannya yang menyaksikan bukan saja tewas, tetapi juga kedudukan mereka dalam carta semakin terhimpit apabila menghuni tangga terakhir daripada 12 pasukan bertanding.

"Saya akui prestasi ketika bertemu Perak bukan aksi terbaik.

Banyak peluang terhidang saya miliki, tapi gagal dijadikan gol.

"Dalam latihan sejak tiga hari lalu, saya berikan perhatian dan fokus sepenuhnya dan berharap dapat menjaringkan gol kerana kami benar-benar inginkan kemenangan, " katanya ketika dihubungi Arena Metro, semalam.

Pemain berusia 28 tahun dari Haiti itu berkata, keserasian bersama seorang lagi penyerang import dari Argentina, Juan Manuel Arostegui di bahagian serangan semakin baik dan menunjukkan tanda positif.

"Kerjasama rakan juga amat ditagih terutama Arostegui kerana kami begitu banyak melepaskan peluang pada aksi sebelum ini.

"Saya berazam tidak mengulanginya dan yakin dapat membantu pasukan untuk catat kemenangan.

"Saya sedar laluan kami cukup berliku, tapi dalam bola sepak apa saja boleh berlaku.


Hari ini kami di bawah, mana tahu selepas ini kami berada di atas pula," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/15

Shakir azam rebut kesebelasan utama

Posted: 14 May 2014 11:05 AM PDT

Johor Bahru: Sekadar memanaskan bangku penonton ketika menyaksikan rakan sepasukan beraksi pada separuh akhir pertama Piala FA menentang Pahang, 5 Mei lalu mencetus keazaman buat Shakir Shaari untuk kembali tersenarai dalam kesebelasan utama.

Shakir tampak sudah bersedia selepas menjalani penggantungan satu perlawanan untuk menebus kegagalan Johor Darul Ta'zim (Johor DT) mencatat kemenangan dengan melayani kunjungan Pahang dalam saingan Liga Super di Stadium Larkin, malam esok.

Malah pemain tengah Johor DT itu berharap ketua jurulatih Bojan Hodak memberi kepercayaan kepadanya untuk kembali dalam skuad utama bagi memastikan kemenangan milik skuad Harimau Selatan.

"Sebagai pemain saya amat terkilan apabila sekadar duduk di bangku penonton pada aksi separuh akhir Piala FA baru-baru ini, namun itu sudah suratan kerana menjalani penggantungan satu perlawanan.

"Apapun peluang masih ada untuk menebus kehampaan itu bagi memastikan misi tiga mata tidak terlepas ketika kemenangan amat ditagih apatah lagi beraksi di laman sendiri.

"Kami tewas 2-3 pada aksi liga 7 Februari lalu dan terbaru seri 1-1 dengan Pahang dan sudah tiba masa untuk bangkit mencari kemenangan walaupun sedar Pahang ingin menebus kekalahan 0-1 kepada Selangor minggu lalu," jelasnya.

Shakir dianggap antara pemain tengah terbaik skuad Harimau Selatan kerana bukan saja memiliki corak permainan kemas malah mampu bertindak sebagai penghalang kepada rangkaian pemain tengah skuad Tok Gajah, Azidan Sarudin dan Hafiz Kamal.

Malah dia juga tidak menafikan kelibat Damion Stewart perlu diberi perhatian jika Pahang menerima sepakan percuma kerana pemain import dari Jamaica itu mampu bertindak baik dari gerakan 'set-piece'.

"Barisan tengah Pahang mampu menggugat kami terutama Azidan dan Hafiz yang memiliki kawalan bola menarik selain pemain sayap pantas R Gopinanthan dan R Surendran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/15

'Rantai Figueroa'

Posted: 14 May 2014 11:04 AM PDT

Kuantan: Benteng Pahang akan berusaha mengekang pergerakan penyerang berbisa Argentina, Luciano Figueroa apabila mereka bertemu Johor Darul Ta'zim (Johor DT) di Stadium Tan Sri Hassan Yunos Larkin, malam esok.

Pemain pertahanan, Shahrizan Salleh bagaimanapun berkata, mereka bukan saja perlu mengikat Figueroa, tetapi pemain lain pasukan dipenuhi pemain bertaraf bintang itu.

"Matlamat utama kami meraih tiga mata di Larkin kerana Pahang berbeza tiga mata dengan Selangor.

Berdasarkan situasi semasa, kami harap misi di Larkin menjadi kenyataan.

"Biarpun Johor DT dilihat semakin menyerlah dan memiliki penyerang berbisa (Figueroa), kemenangan mampu diraih jika kami dapat memanfaatkan peluang.

"Sebagai pemain pertahanan, bukan saja Figueroa, malah pemain lain juga menjadi tumpuan kami untuk memastikan gawang tidak dibolosi," katanya.

Shahrizan yang dikenali sebagai Ijan berkata, dia bersama rakan seperjuangan sudah melupakan memori pahit tewas kepada Selangor 0-1 kerana mereka akan bangkit untuk meraih mata di Larkin.

Benteng Tok Gajah diketuai kapten Razman Roslan, Damion Stewart dan Saiful Nizam Miswan sedia untuk mengekang setiap asakan Johor DT.

Menurut Shahrizan, semangat dipamerkan rakan sepasukan sepanjang sesi latihan membuatkannya yakin Pahang mampu merampas kedudukan pendahulu Liga Super.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/15

Azizulhasni tekad padam detik hitam

Posted: 14 May 2014 11:03 AM PDT

Kuala Lumpur: Jaguh berbasikal negara, Azizulhasni Awang mahu menjadikan Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) di Kazakhstan minggu depan sebagai medan terbaik memadam memori hitam menimpanya di Kejohanan Dunia dan Piala Dunia Klasik awal tahun ini.

Sekurang-kurangnya satu pingat emas menjadi sasaran pelumba kelahiran Terengganu berusia 26 tahun itu apabila tampil di Velodrom Saryarka, Astana.

"Saya hanya meletakkan sasaran emas, sama ada dalam pecut atau keirin. Apa yang sudah berlaku biarlah berlalu, tapi perlu menjadikannya pengajaran. Peristiwa itu tidak dapat dilupakan kerana ia antara bentuk pengadilan tidak profesional, tapi kadang-kadang kita terpaksa akur dan tidak harus cepat mengalah, harus pandang ke depan dan jadikan ia sebagai motivasi," katanya yang kini berada di Melbourne, Australia.

Pelumba Olimpik negara itu mengharungi musim menghampakan dalam kalendar Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) apabila penyertaannya dalam acara keirin di Kejohanan Dunia di Cali, Columbia dibatalkan dan turut menerima nasib sama dalam dua saingan Piala Dunia Klasik.


"Saya terpaksa lebih berhati-hati kerana seolah-olah ada mata memerhati. Mereka sedar keupayaan saya. Mereka tahu apa yang saya mampu lakukan. Paling penting apa yang berlaku sebelum ini tidak terjadi di Olimpik 2016. Jadi kami mengharapkan yang terbaik di Olimpik nanti dengan menjadikan insiden ini sebagai persediaan ke arah itu," tambahnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/15

'Pacman' percaya bakat Asia

Posted: 14 May 2014 11:02 AM PDT

Kuala Lumpur: Bintang tinju dunia, Manny Pacquiao percaya lebih ramai bakat baru rantau Asia Tenggara ini mampu mengikut jejak langkahnya bergelar peninju profesional jika ekosistem serta diberikan pendedahan secukupnya di peringkat antarabangsa.

Peninju kelahiran Filipina yang digelar 'Pacman' itu berkata, kualiti dimiliki peninju benua Asia terutama Malaysia dilihat semakin meningkat, namun kurangnya menyertai kejohanan berkelas dunia sedikit sebanyak membantutkan kelahiran lebih ramai peninju bertaraf profesional.

"Rantau ini memiliki ramai peninju berbakat dan boleh diketengahkan di peringkat lebih tinggi.

Saya bermula seawal usia 16 tahun dan ketika itu masih mentah lagi.

"Tapi berbekal aksi tahap tertinggi yang dilalui sejak remaja akhirnya membuahkan hasil hingga berjaya bergelar juara dunia," katanya.

Masih segar dengan kejayaan merampas kembali gelaran welterweight Pertubuhan Tinju Dunia (WBO) daripada peninju Amerika Syarikat Timothy Bradley, 12 April lalu, dia menaruh harapan melihat muncul peninju dari Malaysia bertarung dalam saingan WBO.

"Walaupun saya tidak begitu mengenali peninju negara ini, saya yakin persatuan di sini (Persatuan Tinju Amatur Malaysia) sudah melakukan pelbagai usaha untuk menaikkan imej sukan tinju.

"Nasihat saya, mereka (peninju) harus sentiasa diberi pendedahan dan sokongan tidak kira menang atau kalah.

Foto

PACQUIAO (tengah) anggap aksi tahap tinggi dan pendedahan awal beri kelebihan pada peninju negara.


Kepada peninju pula, fokus dan sayangilah sukan tinju ini sepenuh jiwa dan raga," katanya.

Pada pertarungan hebat di Las Vegas bulan lalu, Pacman menewaskan Bradley hasil kemenangan menerusi kiraan mata sekali gus berjaya membalas dendam kekalahan mengejutnya pada 2012.

Kesemua tiga pengadil memberi kemenangan mutlak kepada Pacquiao pada pertarungan disiar secara langsung di Filipina itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/15

Nicol kritik diskriminasi penganjur

Posted: 14 May 2014 11:00 AM PDT

London: Pemain nombor satu dunia, Datuk Nicol David mengkritik diskriminasi diamal penganjur Terbuka British terhadap pemain wanita selepas terpaksa beraksi di gelanggang konvensional lebih satu kilometer dari gelanggang utama.

Nicol beraksi mantap mengatasi pemain berbakat Heba El Torky dari Mesir 11-8, 12-10, 11-8 dalam masa 36 minit, awal pagi semalam namun kini terpaksa beralih ke gelanggang kaca bagi pusingan kedua, gelanggang digunakan pemain lelaki sejak awal pertandingan.

Bintang negara yang mengungguli ranking nombor satu dunia hampir lapan tahun, Nicol mempunyai alasan tersendiri menentang diskriminasi terhadap pemain wanita.

"Kini anda mempunyai juara wanita dunia," katanya merujuk kepada musuhnya, Laura Massaro, pemain Inggeris pertama merangkul kedua-dua kejuaraan dunia dan Terbuka British selepas menggantikan pemain Malaysia itu sebagai juara dunia bulan lalu.

Foto

NICOL (depan) kecewa sikap penganjur.


"Ia pastinya istimewa. Ada ramai lagi pemain Inggeris dalam kelompok 10 atau 12 terbaik dan semuanya ada di sini, pastinya anda mahu mempamerkan aksi mereka?" tanya Nicol.


"Kenapa tidak berikan mereka gelanggang kaca? Ia perlawanan utama dan itulah yang sepatutnya."

Nicol berasa selain kesamaan jantina sebagai prinsip, alasan komersial juga perlu diambil kira dengan menganjurkan perlawanan wanita di gelanggang utama di samping lelaki sejak mula.

Promoter Terbuka British sebelum ini bimbang mengenai kekurangan penjualan tiket menerusi perlawanan wanita dan penganjur England Squash and Racketball jelas bimbang mengenai perkara itu ketika kejohanan itu gagal mengaut keuntungan.

Nicol akan menentang pilihan ke-16 dari England, Sarah-Jane Perry pada pusingan kedua awal pagi esok.

Sementara itu, pilihan ketujuh Low Wee Wern turut mara ke pusingan kedua selepas menundukkan rakan senegara Delia Arnold 11-6, 7-11 , 11-1, 11-13, 11-7 dalam masa 64 minit.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/15

No comments:

Post a Comment