Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Perangkap Korea!

Posted: 08 May 2014 10:27 AM PDT

Kuala Lumpur: Awasi ancaman beregu Korea. Itu yang sentiasa bermain di benak pemain beregu negara Goh V Shem yang mengakui gandingan lawan dalam Kumpulan C saingan Piala Thomas itu pasti memberikan impak besar untuk Korea.

Ketiga-tiga beregu Korea, Lee Yong Dae-Yoo Yeon Seong, Kim Ki Jung-Kim Sa Rang dan Ko Sung Hyun-Shin Bak Choel berada dalam kelas tersendiri dan dijangka memainkan peranan utama buat pasukan negara itu untuk mengutip mata bagi menutup kelemahan barisan perseorangan mereka.

Gandingan V Shem-Lim Khim Wah hanya pernah bertemu Sung Hyun-Bak Choel yang menyaksikan mereka tewas pada saingan Siri Super Terbuka India bulan lalu selain tidak pernah berjumpa dengan Yong Dae-Yeon Seong mahupun Ki Jung-Sa Rang.

"Saya akui kami memang kurang pengalaman dan belum pernah menang ke atas beregu Korea.

Foto

V SHEM (kiri) waspada bertemu beregu Korea.


"Kali pertama dan terakhir kami bertemu pasangan Korea pada Terbuka India lalu dan kami tewas.


"Mereka sukar dijangka dan tidak mustahil akan memecahkan gandingan sedia ada sebagai strategi," katanya.

V Shem bagaimanapun berkata, rekod yang kurang memberangsangkan itu tidak bermakna dia mahu menyerah kalah lebih awal.

"Saya yakin kami masih boleh beri saingan. Bezanya semua gandingan mereka cukup konsisten dan kuat.

"Saya harap kami dapat menggunakan beberapa strategi mudah untuk menewaskan mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/09

'Kita underdog'

Posted: 08 May 2014 10:06 AM PDT

Kuala Lumpur: "Tiada apa yang perlu dirisaukan kerana kita hadir dengan status underdog."

Demikian gesaan pemain beregu negara Vivian Ho kepada rakan sepasukan supaya tidak perlu memikirkan setiap perlawanan yang dilalui pada saingan Piala Uber di New Dehli, India bermula 18 Mei ini.

Sekadar menetapkan sasaran ke suku akhir, Vivian yang bergandingan dengan Woon Khe Wei dan bakal muncul beregu utama skuad Piala Uber berkata, skuad negara berpeluang memenangi kesemua perlawanan apabila bertemu Jepun, Denmark dan Jerman dalam Kumpulan D.

"Denmark dan Jepun tidak dinafikan mempunyai pasangan kuat, tapi kita juga mempunyai peluang menewaskan mereka.

Foto

VIVIAN (kiri) tak risau kekuatan lawan.


"Untuk rekod, kita tidak pernah bertemu dengan Denmark dan Jerman pula, kita tewas sekali pada saingan Piala Sudirman.


"Bagi saya, tidak perlu berasa tertekan sebab lawan juga takut untuk bertemu kita.

"Lawan kami pasti lebih tertekan kerana sebagai pasukan pilihan, keutamaan mereka pastinya memungut mata kemenangan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/09

Jatuh tiga tangga lagi

Posted: 08 May 2014 10:05 AM PDT

Kuala Lumpur: Keputusan seri tanpa jaringan menentang Filipina pada perlawanan persahabatan pada 27 April lalu menyebabkan skuad negara jatuh tiga anak tangga dalam ranking terbaru bola sepak dunia.

Berdasarkan ranking Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) semalam, skuad kebangsaan bimbingan pengendali sementara, Datuk Ong Kim Swee berada pada kedudukan ke-145 dunia berbanding 142 bulan lalu.

Skuad Harimau Malaya berada di tangga 154 pada Januari, 150 (Februari) dan 141 (Mac).

Kedudukan itu meletakkan skuad kebangsaan setanding dengan beberapa pasukan seperti Lesotho (141), Belize (144), Krygyzstan (146), Singapura dan India (147) serta Puerto Rico (149).


Dalam kalangan negara Asia Tenggara, Malaysia turun satu anak tangga untuk berada di tangga keempat di belakang Vietnam (116), Filipina (140) dan Thailand (143). Di peringkat Asia, Malaysia turut mengalami penurunan satu anak tangga untuk berada pada kedudukan ke-23 daripada 46 negara.


Sementara itu, naib juara Piala Konfederasi 2013, Sepanyol mengekalkan status selaku pasukan terbaik dunia dengan mengumpul 1,460 mata.

Jerman dan Portugal turut mengekalkan kedudukan sebagai pasukan kedua dan ketiga terbaik apabila masing-masing mengutip 1,340 dan 1,245 mata.

Kedudukan ranking FIFA itu membabitkan 209 negara. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/09

Bukan angkara FAM: Hamidin

Posted: 08 May 2014 10:04 AM PDT

Kuala Lumpur: "Bukan salah FAM! Itu nada tegas Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin yang menafikan mereka menjadi punca kegagalan Kelantan mendapatkan Sijil Perpindahan Antarabangsa (ITC) untuk penyerang import baru Prince Tagoe.

Menurut Hamidin, dakwaan Ketua Pegawai Eksekutif The Red Warriors Sdn Bhd (TRW) Kevin Ramalingam seperti disiarkan dalam akhbar tempatan semalam tidak benar sama sekali kerana badan induk itu sudah menguruskan proses mendapatkan ITC Tagoe daripada kelab lamanya Club Africain dengan mengikut prosedur ditetapkan.

"Saya menafikan kami punca Kelantan gagal mendapatkan ITC untuk Tagoe. Kami sudah hantar permohonan mendapatkan ITC, tapi ditolak kelab lamanya dan persatuan bola sepak Tunisia.

"Bukan salah FAM, kami sudah lakukan yang terbaik untuk membantu Kelantan mendapatkan ITC, tapi malangnya permohonan itu ditolak. Malah hari ini (semalam) Kevin ada datang bertemu dengan saya untuk meminta maaf kerana kenyataannya itu.


"Saya harap tiada lagi pihak membuat kenyataan melulu terhadap FAM. Sebagai badan induk sudah pasti kami akan sedaya upaya membantu dan melindungi kepentingan pasukan negara ini," katanya.


Kegagalan Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) mendapatkan ITC untuk menggunakan khidmat bekas penyerang skuad Piala Dunia Ghana, Tagoe bagi baki kempen Liga Malaysia musim ini didedahkan dalam Arena Metro semalam menerusi maklumat diberikan Kevin.

Beliau mendakwa, mereka boleh mendapat ITC sementara daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) sekiranya FAM menangguhkan dulu kes itu dan tidak menerima penolakan permohonan Tunisia FA.

Tanpa ITC, Kevin mengakui kemungkinan besar mereka terpaksa menamatkan kontrak Tagoe, 28, lebih awal selepas kemelut itu timbul berikutan tuntutan gaji tertunggak pemain dengan Club Africain yang berjumlah hampir RM1 juta.

Hamidin berkata, mereka sudah menerima permohonan KAFA untuk mendaftarkan semula pemain pertahanan Obinna Nwaneri yang ditamatkan pendaftaran pada tempoh perpindahan pemain kedua April lalu bagi mengisi tempat Tagoe.

"Kelantan sudah membuat permohonan rasmi untuk mendaftarkan semula Obinna memandangkan pemain itu masih mempunyai ITC. Perkara ini akan diberikan pertimbangan sewajarnya dalam masa terdekat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/09

3 kali ganda

Posted: 08 May 2014 10:02 AM PDT

Kuala Lumpur: Kenaikan geran tahunan sebanyak tiga kali ganda bakal diberikan kepada pasukan Liga Malaysia (Liga-M) tahun depan apabila Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bersedia melakukan penyelarasan baru terhadap nilai agihan tahunan itu yang dikatakan terlalu sedikit ketika ini.

Usaha menambah geran tahunan itu sememangnya menjadi agenda utama FAM menjelang penswastaan Liga-M tahun depan dan ia mampu dilaksanakan dengan penerimaan tajaan baru badan induk itu selepas ini.

Ketika ini, FAM memberikan geran tahunan sebanyak RM300,000 kepada pasukan Liga Super manakala RM250,000 untuk Liga Perdana, tetapi dengan kos pengurusan pasukan dalam Liga-M meningkat sehingga mencecah RM8 juta, bantuan yang diberikan itu jelas tidak mencukupi.

Bagaimanapun menurut sumber dalaman FAM, geran tahunan itu dijangka meningkat dengan pasukan Liga Super bakal menerima bantuan hampir RM1 juta bergantung kepada kedudukan kewangan semasa badan induk itu.


"FAM berunding dengan penaja dan kemungkinan besar jumlah tajaan lebih besar bakal disalurkan selepas ini. Dengan sumber kewangan lebih besar itu, FAM pasti tidak ada masalah untuk menambah geran tahunan kepada semua pasukan.


"Memang sudah dalam perancangan FAM untuk memberi dana lebih banyak untuk membantu pasukan, tapi ia juga perlu mengambil kira kedudukan kewangan semasa FAM," katanya.

Penasihat Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) Tan Sri Annuar Musa dalam laporan Arena Metro semalam menyatakan bahawa sudah tiba masanya untuk FAM menilai semula jumlah peruntukkan geran tahunan kepada Liga-M yang dilihat terlalu sedikit jika dibandingkan dengan kos pengurusan yang meningkat.

Annuar berkata, dengan jumlah penajaan sekitar RM30 hingga RM40 juta yang diterima FAM setahun, sekurang-kurangnya setiap pasukan boleh menerima geran tahunan sebanyak RM1 juta.

Ketika ditanya berapakah jumlah baru geran tahunan yang bakal diterima pasukan Liga Super mengikut perancangan FAM, sumber FAM itu berkata: "Dekat-dekat sejuta (RM1 juta).

FAM menerima tajaan RM120 juta daripada Astro untuk tempoh empat tahun bermula 2011 (RM30 juta setahun) bagi mengendalikan Liga-M dan difahamkan rundingan baru mengenai tajaan itu kini dijalankan memandangkan kontrak itu bakal berakhir tahun ini.

Selain tajaan Astro itu, FAM juga menerima tajaan daripada Telekom Malaysia Berhad (TM) sebanyak RM27.8 juta bermula 2011 bagi tempoh empat tahun namun penajaan itu khusus buat skuad kebangsaan.

TM sebelum ini menjadi penaja utama FAM dengan sumbangan RM8.5 juta setahun sejak 2002 manakala Dunhill juga pernah menjadi sumber kewangan utama badan induk bola sepak negara itu bermula 1989 dengan nilai tajaan RM33 juta.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/09

Khairy gesa FAM lebih tegas

Posted: 08 May 2014 10:01 AM PDT

Kuala Lumpur: Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin menggesa Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bertindak lebih tegas menangani kejadian tidak diingini membabitkan penonton, terutama pada pertemuan separuh akhir kedua Piala FA antara Pahang dengan Johor Darul Ta'zim (Johor DT), 30 Mei ini.

Kebimbangan Khairy memuncak berikutan insiden terbaru membabitkan 1,000 peminat tuan rumah yang dilapor sengaja melakukan provokasi terhadap penyokong Pahang di luar Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunos.

Tindakan segelintir penyokong Johor DT itu berpunca daripada rasa tidak puas hati susulan perlawanan Liga Super membabitkan kedua-dua pasukan di Stadium Darul Makmur, Kuantan, 7 Februari lalu.

"Saya sudah hubungi Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin dua hari lalu dan minta FAM ambil tindakan drastik dan tegas kerana terlalu banyak insiden membabitkan penyokong yang gagal dikawal," katanya.

"Saya harap FAM tampil dengan pelan tindakan lebih baik supaya insiden seperti pergaduhan dan sebagainya dapat dielakkan," kata.

Mengulas cadangan FAM tidak membenarkan penyokong Johor DT hadir di Stadium Darul Makmur, Kuantan pada perlawanan separuh akhir kedua itu, beliau berkata, Persatuan Bolasepak Pahang (PBNP) sedang mengkaji saranan itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/09

Sathia resah taktikal Weigang

Posted: 08 May 2014 09:59 AM PDT

Kuala Lumpur: Pengendali ATM B Sathianathan runsing memikirkan pertemuan pasukannya apabila bakal bertandang ke Ipoh bagi menghadapi aksi menentang Perak di Stadium Ipoh, malam ini.

Namun yang peliknya, pengendali berusia 55 tahun itu bukannya risau disebabkan barisan pemain skuad The Bos Gaurus, sebaliknya pening memikirkan kehadiran penasihat teknikal baru Perak, Karl Heinz Weigang yang mampu meranapkan impian pasukannya.

"Weigang seorang perancang strategi dan taktikal yang bagus. Saya sudah lama mengenalinya dan beliau memiliki sentuhan magis yang mampu menukar barisan muda Perak kepada sebuah pasukan kuat.

"Beliau bijak menaikkan motivasi pemain, di samping pengalaman luasnya dalam bidang kejurulatihan sudah cukup untuk membuatkan pasukan saya perlu berhati-hati sepanjang 90 minit nanti," katanya, semalam.

Foto

AROSTEGUI (kiri) sandaran ATM.


Berdasarkan rekod cemerlang jurulatih kelahiran Jerman itu, Perak pernah muncul juara Piala Malaysia pada 1998 serta 2000 di bawah kendalian Weigang yang ketika itu dibarisi ramai pemain hebat seperti Indra Putra Mahayuddin, Khalid Jamlus dan V Saravanan.


Sementara itu, Sathianathan tetap menyasarkan untuk meraih sekurang-kurangnya satu mata di laman lawan selepas tiga bintang utamanya, kapten Hairuddin Omar, Irwan Fadhli Idrus dan Affize Faisal Mamat terpaksa disisihkan pada pertemuan itu.

"Hai-O dan Irwan belum sempat sembuh, manakala Affize pula mengumpul dua kad kuning dalam aksi sebelum ini. Kita bakal turun tanpa tonggak utama dan situasi amat sukar buat saya memandangkan kita amat memerlukan tiga mata penuh untuk keluar dari zon penyingkiran.

"Tapi saya masih percaya kepada gandingan penyerang Juan Arostegui dan pemain baru Fabrice Noel untuk mendapatkan gol. Keputusan seri sudah memadai buat kami," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/09

Tuntut 100 peratus

Posted: 08 May 2014 09:57 AM PDT

Kuala Lumpur: Kapten Selangor Mohd Bunyamin Omar menuntut komitmen penuh pemain Merah Kuning dalam misi memastikan usaha mengambilalih tampuk Liga Super terlaksana di Kuantan malam esok.

Pertahanan Selangor itu mahu semua pemain memberikan fokus 100 peratus terhadap percaturan Mehmet Durakovic dengan melupakan perkara lain apabila turun menentang Pahang di Stadium Darul Makmur yang juga pertemuan dua pasukan teratas Liga Super.

"Semalam (kelmarin) jurulatih (Durakovic) memberitahu sesuatu yang biasa pemain diperhatikan apabila berada dalam prestasi baik.

Mana-mana pemain boleh meninggalkan Selangor selepas tamat musim ini kerana semuanya pemain profesional namun tumpuan sepenuhnya perlu diberikan terlebih dulu kepada pasukan ketika ini," katanya.

Malah menurut Bunyamin, dia berharap Paulo Rangel meneruskan aksi konsisten dalam meledak jaringan walaupun khidmat penyerang kelahiran Brazil sudah diintai Johor Darul Ta'zim (Johor DT) musim depan.

Selangor dan Pahang kini terikat 28 mata selepas mengharungi 14 perlawanan namun Tok Gajah mendahului carta Liga Super menerusi perbezaan jaringan, disusuli Johor DT di kedudukan ketiga dengan 25 mata.

Aksi di Kuantan memberi peluang kedua buat Selangor menerajui Liga Super selepas gagal meraih mata penuh menentang Terengganu di Stadium Shah Alam, Ahad lalu.

"Kita memang mengharapkan tiga mata di Kuantan namun sedar sukar terutama menentang pasukan seperti Pahang selain beraksi di tempat lawan.

Apapun kami tidak boleh cepat berputus asa kerana sudah berada di landasan tepat ketika ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/09

Ali buat Dollah marah

Posted: 08 May 2014 09:57 AM PDT

Kuala Lumpur: Ketiadaan penyerang utama Ali Ashfaq menjelang pertembungan dengan Sabah di Stadium Likas malam ini menyebabkan jurulatih Polis Diraja Malaysia (PDRM) Dollah Salleh 'naik angin'.

Selepas mendapat pelepasan menyertai skuad kebangsaan Maldives hujung bulan lalu, sehingga semalam, pemain berusia 29 tahun itu masih belum muncul walaupun mengikut perjanjian awal, Persatuan Bolasepak Maldives (FAM) perlu membenarkan dia pulang menyertai PDRM hari ini.

"Saya sudah berhubung dengan pihak pengurusan pasukan Maldives dan mereka menyatakan tidak boleh melepaskan Ali.

Saya memang geram kerana mereka tidak mengikut perjanjian dipersetujui sebelum ini.

Memang kalau ikut undang-undang FIFA (Persekutuan Bolasepak Antarabangsa) Ali perlu mengutamakan skuad kebangsaan tapi apabila sehingga sebulan setengah (bersama skuad Maldives), ia sudah melebihi jangkaan PDRM," katanya ketika dihubungi Arena Metro semalam.

Ali yang sudah meledak 13 gol dalam Liga Perdana musim ini menyertai skuad kebangsaan Maldives sebagai persediaan untuk mengharungi Piala Cabaran AFC bermula 19 Mei ini.

Walaupun terpaksa melupakan sentuhan Ali, Dollah tetap yakin anak buahnya mampu melebarkan rekod enam kemenangan berturut-turut.


sekali gus mengukuhkan kedudukan di tangga teratas liga.

"Tanpa Ali bukan alasan untuk gagal beraksi baik menentang Sabah esok (hari ini).


Saya yakin dengan kemampuan pemain lain kerana masih mempunyai Bobby (Gonzales) dan Chad (Souza) di bahagian serangan.

"Memang sukar menentang Sabah di gelanggang mereka, apatah lagi semua pasukan akan beraksi lebih 100 peratus untuk meleburkan rekod PDRM.

Tapi berbekalkan semangat dan prestasi pemain ketika ini, saya yakin kami akan dapat keputusan positif," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/09

Subara perkuat benteng Titans

Posted: 08 May 2014 09:56 AM PDT

Kuala Terengganu: Pertahanan baru T-Team Goran Subara akan turun memperkuatkan benteng pasukan itu menjelang aksi Liga Super menentang pasukan 'abang', Terengganu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam ini.

Pemain kelahiran Australia berusia 27 tahun itu bakal membuat penampilan pertama dengan skuad The Titans bagi mengisi kekosongan pertahanan tengah, Fabio Flor yang ditamatkan kontrak akibat kecederaan kaki.

Bekas pemain kelab Liga Thailand, Bangkok Glass itu dijangka digandingkan dengan Mohd Faizal Mohamad atau Marzuki Yusof bagi mengekang serangan skuad bimbingan Abdul Rahman Ibrahim.

Pengendalinya Mohd Azraai Khor Abdullah berkata, sudah pasti kehadiran Subara melegakannya bagi memperkuatkan benteng pertahanan yang sebelum ini longgar selepas ketiadaan Flor.

Menurutnya, penampilan pertama Subara bersama The Titans pastinya cabaran besar buat dirinya bagi memastikan benteng tidak dibocori Terengganu.

"Kami memang tidak sabar menggunakan tenaga Subara bagi menghalang asakan penyerang Terengganu.

"Biarpun ini aksi pertama, saya percaya dia mampu menyesuaikan diri kerana sudah bersama sebelum cuti rehat tiga minggu lalu," katanya semalam.

Jurulatih berusia 62 tahun itu berkata, sekiranya pertahanan mampu mengawal penyerang Terengganu, tidak mustahil kemenangan dilakar.

Selain Subara, T-Team turut memiliki tiga lagi tenaga import, Leandro Dos Santos dari Brazil, Jimmy Mulisa (Rwanda) dan Patrich Wanggai (Indonesia) bagi menguatkan pasukan dalam baki Liga Malaysia.

Sebelum menyertai T-Team, Subara pernah menyarung jersi beberapa pasukan, Bonnyrigg White Eagles pada 2005 hingga 2008, Gombak United (2009-2010), PSM Makassar (2010-2011), Singapore Armed Forces (2011-2012), Balestier Khalsa (2012-2013) dan Bangkok Glass (2013-2014).

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/09

No comments:

Post a Comment