Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Cebisan kertas RM30,000

Posted: 26 May 2014 08:58 AM PDT

Canberra: Lelongan secebis kertas dengan perkataan 'The' saja di eBay Australia menarik sekurang-kurang 44 bidaan hingga mencecah $9,320 (RM30,000).

Menurut ebay, lelongan bermula pada 22 Mei dengan harga serendah $0.99 (RM3.20).

Pada awalnya pembida meletakkan harga sebanyak beberapa dollar, tetapi keadaan bertukar menjadi 'hangat.'

Tiga hari selepas lelongan bermula, tawaran mula mencecah sehingga ribuan dolar. - Agensi

Foto

KEPINGAN kertas yang tercatat perkataan 'The' dibida hingga RM30,000.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/27

Mayat jururawat dipos dalam kotak

Posted: 26 May 2014 08:54 AM PDT

Tokyo: Polis semalam melancarkan siasatan kes mayat seorang jururawat yang dikirim melalui pos ke Jepun dalam bungkusan yang didakwa mengandungi 'anak patung.'

Mayat mangsa yang dikenali sebagai Rika Okada ditemui di tempat simpanan barang di bandar raya ini.

Menurut laporan, penyiasat menjumpai kotak berukuran dua meter yang dikirim dari Osaka, bandar di selatan negara itu.

Perkhidmatan penghantaran yang membawa kotak yang ditanda dengan tulisan Jepun bermakna 'anak patung" - 400 kilometer ke Tokyo telah dibayar atas nama mangsa.

Foto

RIKA


Selain itu, sewa sementara bagi tempat simpanan turut dibayar menggunakan kad kredit Rika.


Mayat wanita berusia 29 tahun itu yang hilang sejak Mac lalu, mempunyai puluhan kesan tikaman, lapor media tempatan.

Ia bagaimanapun tidak mempunyai sebarang tanda mempertahankan diri pada lengan dan tangannya.

Polis di Osaka enggan mengesahkan maklumat itu, tetapi laporan mengatakan seorang wanita yang belajar bersama Rika di sekolah rendah keluar meninggalkan Tokyo awal bulan ini dengan menggunakan pasport si mati.

Rakan sekelasnya yang tidak diketahui identitinya dipercayai tinggal tidak jauh dari tempat penyimpanan barang berkenaan bersama dengan seorang lagi wanita warga China yang seusia dengannya.

Mereka berlepas dari Lapangan Terbang Haneda dengan pesawat yang sama menuju ke Shanghai.

Sejurus sebelum hilang, mangsa dikatakan menulis di dalam akaun Facebooknya mengatakan dia akan melawat seorang kawan lama yang sudah lama tidak ditemuinya.- AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/27

Bela 2 harimau seperti haiwan peliharaan

Posted: 26 May 2014 08:51 AM PDT

Florida: Dengan taring sepanjang enam inci dan berat mencapai 272 kilogram, Saber dan Janda bukan kucing biasa.

Harimau Bengal itu tinggal bersama dengan tuannya, Janice Haley dan dilayan seperti haiwan peliharaan.

Mereka disuapkan makanan, dipeluk dan harimau jantan putih, Saber tidur sambil menghisap ibu jarinya.

Kehidupan Janice berubah 20 tahun lalu selepas dia terlihat iklan mengenai kursus latihan harimau di akhbar.

Foto

JANICE bersama Saber dan Janda.

Foto

JANICE baring bersama harimau peliharaannya, Janda di rumah di Orlando, Florida.


Dua tahun kemudian harimau pertama tiba di rumahnya.


Pada 2002, dia membeli harimau kedua, Janda yang berumur 12 tahun sekarang.

Pada 2007, harimau pertama miliknya mati dan Saber yang berusia dua minggu mula diperkenalkan kepada keluarganya.

Janice yang tinggal di Davenport berkata: "Mereka melihat saya seperti ibu mereka. Saya pula menganggap mereka anak yang mempunyai empat kaki dan berbulu.

"Kami mempunyai ikatan istimewa - mereka menggosok muka saya dan membenarkan saya mencium hidung dan memeluk mereka."

Selepas rutin harian bermain dan makan, Janice baring dengan harimau itu sehingga mereka tertidur.

"Saya tidak tahu jika anda boleh melakukan sedemikian di tempat lain. Memeluk harimau yang matang. Kami melakukan ini sejak bertahun-tahun lalu," katanya.

Janice dan suaminya David bergilir-gilir untuk memastikan harimau mereka dijaga dengan baik serta sanggup menghabiskan pendapatan untuk membeli makanan dan penjagaan harimau berkenaan.

Harimau ini diberi makan tiga kali sehari, bermula jam 1 petang hingga 11 malam dan kawasan seluas 18 meter persegi perlu dibersihkan beberapa kali sehari.

"Kami perlu menghabiskan beberapa jam memandu setiap minggu untuk membeli daging kuda bagi diberikan kepada Saber dan Janda," kata Janice.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/27

Bakar ibu sampai mati

Posted: 26 May 2014 08:43 AM PDT

Ramallah: Seorang pesakit mental membakar ibunya yang sudah tua hingga mati di kampung Qusra, berhampiran Nablus.

Sumber di kampung itu berkata, Jameelah Abdul Rahman Abu Reeda, 70, disahkan meninggal dunia di Hospital Rafidyah.

Wanita tua itu dilapor melecur teruk di beberapa anggota tubuhnya.

Sumber memberitahu wartawan, sebaik mendengar jeritan mangsa, jirannya bergegas untuk menolong.


Malangnya, semua pintu berkunci dan mereka terpaksa memecah masuk untuk membantu mangsa yang dikunci di biliknya.


Saksi berkata, anak mangsa Ahmad Mahmoud Salamah, 40, menuang minyak tanah ke atas mangsa dan membakarnya.

Kedua-duanya hidup bersendirian di rumah itu.

Mangsa dibawa ke hospital dan disahkan mati ketika tiba di sana.

Kata-kata terakhir yang sempat didengar oleh jiran daripada Jameelah ialah 'Jaga Ahmad.'

Menurut sumber, Ahmad dibawa ke hospital sakit jiwa di Baitullaham tetapi berkata, dia sepatutnya sudah lama dibawa dan ditahan di situ.

Beberapa jiran berkata, mereka sudah biasa mendengar tangisan dan jeritan dari rumah Ahmad. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/27

Prayuth direstui raja

Posted: 26 May 2014 08:42 AM PDT

Bangkok: Pemimpin kudeta Thailand mendapat sokongan diraja untuk mengetuai kerajaan di negara yang berpecah-belah itu semalam dan segera memberi amaran untuk bertindak tegas ke atas sebarang gangguan.

Istana secara rasmi melantik Panglima Tentera Thailand, Jen Prayuth Chan-ocha sebagai pemimpin junta tentera di negara yang dihuni 67 juta warga itu.

Berdasarkan arahan diraja, pelantikan itu dibuat sebagai langkah mengembalikan keamanan dan ketenteraman awam dalam negara.

"Demi perpaduan, Raja Bhumibol Adulyadej melantik Jen Prayuth sebagai ketua Majlis Keamanan Dan Ketenteraman Awam Kebangsaan untuk mentadbir negara," katanya.

Foto

PRAYUTH berlutut memberi hormat di depan potret Bhumibol di Ibu Pejabat Tentera Thailand di Bangkok, semalam.


Raja Bhumibol, 86, sangat dihormati dalam kalangan rakyat dan restunya sering menjadi alasan untuk menghalalkan sebarang rampasan kuasa tentera.


Kudeta terbaru mendorong sekumpulan kecil - tetapi kini semakin bertambah - memprotes di jalanan.

Kelmarin lebih 1,000 penunjuk perasaan berarak di tengah Bangkok dan berlaku pergelutan dengan tentera.

Saksi berkata, sekurang-kurangnya dua penunjuk perasaan dibawa pergi oleh tentera dan seorang daripadanya dilihat berdarah.

Sejurus selepas mendapat restu istana, Prayuth mengadakan sidang media pertama sebagai ketua junta dan mengancam 'meningkatkan penguatkuasaan undang-undang' ke atas mana-mana pihak yang membantah.

Dia juga mengancam untuk membicarakan mereka di mahkamah tentera.

Sementara itu, nasib bekas perdana menteri Yingluck Shinawatra serta kira-kira 200 penyokongnya masih kabur walaupun dilaporkan sudah dibebaskan daripada tahanan.

Seorang pembantu Yingluck berkata, wanita terbabit dibebaskan semalam dan terus pulang dari tempat tahanan yang dirahsiakan sejak Jumaat lalu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/27

Suthep berdepan tuduhan membunuh

Posted: 26 May 2014 08:39 AM PDT

Bangkok: Bekas Timbalan Perdana Menteri Suthep Thaugsuban yang mengetuai Jawatankuasa Reformasi Demokratik Rakyat (PDRC) didakwa di Mahkamah Jenayah Thailand atas tuduhan membunuh serta cubaan membunuh.

Tuduhan itu berkait dengan dakwaan Suthep mengarahkan tentera bertindak terhadap penunjuk perasaan Baju Merah pada 2010.

Insiden itu menyebabkan 98 orang maut dan ratusan lagi cedera.

Bekas Perdana Menteri Abhisit Vejjajiva sebelum ini sudah didakwa atas tuduhan sama.

Suthep dilihat diiringi tentera untuk melapor diri kepada pendakwa dan mendengar pertuduhan selepas dibebaskan Majlis Keamanan Dan Ketenteraman Awam Kebangsaan pagi semalam.

Suthep mengaku tidak bersalah.


Peguam Suthep memohon supaya dia dibebaskan atas jaminan dengan mengemukakan wang ikat jamin RM60,000.


- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/27

Kumpulan Baju Merah tenggelam punca

Posted: 26 May 2014 08:39 AM PDT

Bangkok: Selepas pemimpin mereka ditangkap dan tentera dihantar ke kawasan luar bandar, gerakan Baju Merah kelihatan terbubar, namun pakar berpendapat kumpulan itu mungkin bergabung semula.

Beberapa aktivis berkata, gerakan itu menerima tamparan hebat dengan kehadiran tentera yang ramai, selain beberapa tindakan junta menutup stesen radio tempatan yang berpengaruh.

Bekas senator dan isteri pemimpin kanan Baju Merah di wilayah timur laut Thailand, Aporn Sarakham berkata, ketika ini kumpulan itu ketiadaan ketua.

Penyelaras Baju Merah di wilayah Buriram, Amnuay Boontee berkata, mereka kini tenggelam punca untuk bertindak.


"Kami terpaksa tunggu dan lihat apa yang akan tentera lakukan serta bagaimana pemimpin kami di kawasan lain akan bertindak," katanya.


Gerakan Baju Merah ditubuh pada 2006 sebagai reaksi penyokong Thaksin Shinawatra yang disingkir tentera melalui kudeta ketika itu.

Selepas tentera merampas kuasa - untuk kali ke-19 sejak 1930-an - dan memiliki kuasa yang besar, Baju Merah terjejas teruk dan tenggelam punca.

Pemimpin mereka, sama ada yang paling tinggi sehingga ke peringkat kampung ditahan atau ditakut-takutkan, atau menyorok bagi mengelak ditangkap.

Aktivis berkata, talian telefon mereka juga disekat.

"Di dalam hati, kami menolak kudeta, tetapi orang ramai kini ketakutan dan ketua kami ditangkap," katanya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/27

Aburizal lucut jawatan kader ingkar

Posted: 26 May 2014 08:38 AM PDT

Jakarta: Ketua Umum Parti Golkar Aburizal Bakrie mengarahkan semua kader parti itu memberi sokongan penuh kepada calon presiden Prabowo Subianto - Hatta Rajasa.

Untuk membuktikan kesungguhannya, media semalam melaporkan Aburizal melucutkan semua jawatan penting mana-mana individu yang dilihat melanggar arahan parti dengan menyokong gandingan Joko Widodo (Jokowi) - Jusuf Kalla.

Ketua Suruhanjaya 1 Parlimen, Agus Gumiwang Kartasasmita adalah orang pertama disingkirkan daripada posisi penting di dewan perhimpunan itu.

Turut dikenakan tindakan, Putra Ginandjar Kartasasmita.


Mengesahkan perkara itu, Agus berkata, pelucutan jawatan berkenaan dibuat atas perintah langsung daripada Aburizal.


"Keputusan diambil kerana saya menyokong Jokowi - Jusuf secara terbuka," katanya.

Menurut Agus, dia bukan saja diketepikan daripada jawatan Timbalan Ketua Suruhanjaya 1, malah dipindahkan ke Suruhanjaya ke-10.

Namun, Agus tidak menyimpan sebarang dendam.

"Andai dipecat pun saya tidak ada masalah," katanya.

Seorang lagi pemimpin Golkar yang diketepikan ialah Nusron Wahid juga kehilangan jawatan strategik dalam parti dan parlimen.

Sebelum ini Agus dan Nusron memang dikenali sebagai antara tokoh utama yang bertegas mahu menyokong Jokowi - Jusuf.

Kini pemerhati sedang menunggu-nunggu untuk melihat tokoh seterusnya yang bakal menjadi 'korban' Aburizal.- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/27

'Kami sehidup semati'

Posted: 26 May 2014 08:37 AM PDT

Jakarta: Parti Gerindra semalam menyokong kenyataan Timbalan Setiausaha Agung Parti Keadilan Sejahtera (PKS), Fahri Hamzah mengenai komitmen mereka menyokong Prabowo Subianto - Hatta Rajasa.

Timbalan Setiausaha Agung Gerindra, Haris Bobby Hoe berkata, andainya gandingan calon mereka kalah dalam pemilihan presiden Julai nanti, parti berkenaan akan bersetuju menjadi pembangkang.

"Bukan hanya dengan PKS, malah seluruh parti yang menyokong Prabowo - Hatta akan menjadi pembangkang," katanya.

Kata Haris, gabungan parti yang menyokong Prabowo diibaratkan seperti gabungan sehidup semati.

Justeru, katanya, tiada pihak menjadi oportunis mencari jawatan di kubu Joko Widodo - Jusuf Kalla.

"Kami tidak main-main dengan bangsa Indonesia," katanya.


- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/27

Suryadharma letak jawatan

Posted: 26 May 2014 08:36 AM PDT

Jakarta: Menteri Agama Indonesia, Suryadharma Ali semalam meletak jawatan selepas dinamakan sebagai tertuduh dalam siasatan kes rasuah membabitkan dana pengurusan haji.

Dikenali sebagai penyokong kuat calon presiden, Prabowo Subianto, Suryadharma adalah Ketua Umum Parti Persatuan Pembangunan (PPP) yang berteraskan Islam.

Setiausaha Negara, Sudi Silalahi berkata, peletakan jawatan itu sudah dimaklumkan kepada Presiden Susilo Bambang Yudhoyono.

"Presiden meminta Suryadharma memberi surat rasmi kepadanya sehari dua ini untuk dipertimbangkan," katanya.


Bagaimanapun, Suryadharma kekal sebagai Ketua Umum PPP. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/27

No comments:

Post a Comment