Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Ajal ziarah datuk meninggal

Posted: 24 May 2014 12:47 PM PDT

Kuala Terengganu: "Arwah memberi wang kepada ibunya dan berpesan supaya digunakan untuk membeli baju raya (Aidilfitri) saya dan adiknya.

"Saya pelik kerana belum Ramadan lagi dia berpesan begitu, tetapi rupa-rupanya ia petanda dia akan meninggalkan kami," kata Zainudin Abdul Ghani, 53, bapa kepada Zaharul Hazimi Zainudin, 27, yang maut dalam kemalangan di Kilometer 24.5 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan berhampiran Kampung Alur Tuman, Marang, semalam.


Kemalangan jam 6.30 pagi itu berlaku apabila Perodua Kelisa dipandu kembar mangsa Zaharul Hakimi, 27, terbabas sebelum melanggar paip air.

Zainudin berkata, dua beradik yang bekerja sebagai kontraktor syarikat minyak dan gas di Paka, Dungun, itu dalam perjalanan ke tempat kerja selepas pulang ke kampung di Bukit Bayas, di sini, bagi menghadiri majlis pengebumian datuk mereka yang meninggal dunia, Khamis lalu.


Katanya, dia menerima perkhabaran sedih itu apabila Zaharul Hakimi menghubunginya memaklumkan mengenai kemalangan itu, jam 6.45 pagi. "Saya tidak menyangka Zaharul Hazimi meninggal dunia kerana abangnya (Zaharul Hakimi) memberitahu arwah tidak sedarkan diri. Selepas mendapat tahu berita itu, saya terus ke tempat kejadian.


"Belumpun hilang rasa sedih atas pemergian arwah ayah, kami sekeluarga dikejutkan pula dengan berita sedih ini. Paling saya terkilan kerana dia tidak sempat melihat kami memakai pakaian baru hasil wang pemberiannya pada Aidilfitri nanti," katanya sebak. Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Marang Asisten Superintendan Mohamad Zohan Seman berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila kereta dinaiki kembar itu hilang kawalan sebelum terbabas ke kiri jalan selepas memotong sebuah bas.

Foto

KEADAAN kereta mangsa yang terbabit dalam kemalangan di KM24.5 Jalan Kuala Terengganu- Kuantan. Gambar kecil, Zaharul Hazimi.

Katanya, kemalangan itu menyebabkan Zaharul Hazimi meninggal dunia di tempat kejadian sebelum mayatnya dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk bedah siasat, sementara kembar mangsa yang parah di bahagian paha kiri turut dibawa ke hospital sama.


"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang ada maklumat mengenai kemalangan diharap tampil di balai polis berhampiran bagi membantu siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/25

Polis cedera kena langgar mat rempit

Posted: 24 May 2014 12:25 PM PDT

Alor Setar: Seorang anggota polis cedera di kepala selepas dirempuh seorang mat rempit yang memecut motosikal ditungganginya ketika cuba meloloskan diri dalam Ops Cantas Trafik berhampiran Kota Marina, Kampung Padang Garam, Kuala Kedah, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 8 malam, mat rempit berusia 19 tahun itu turut cedera di badan dan kaki selepas motosikal ditungganginya hilang kawalan lalu merempuh sebuah kenderaan polis.


Difahamkan, kawasan itu sering dijadikan tempat berkumpul mat rempit untuk berlumba dan menunjukkan kehebatan sehingga mengganggu ketenteraman penduduk.

Pegawai Penguat kuasa Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar Inspektor Othman Abdullah berkata, pihaknya membuat operasi selepas menerima aduan penduduk mengenai kegiatan mat rempit.


Katanya, laluan sepanjang 900 meter di kawasan itu dijadikan tempat berlumba dalam kalangan mat rempit dengan membuat beberapa kali pusingan untuk menentukan kemenangan.


"Dalam operasi ini 154 motosikal diperiksa kerana pelbagai kesalahan, antaranya tiada lesen memandu, lesen memandu tamat tempoh, tiada cukai jalan, cukai jalan tamat tempoh, ubah suai motosikal dan tidak memakai topi keledar.

"Daripada jumlah itu, 50 motosikal disita dan dibawa ke IPD Kota Setar untuk tindakan lanjut. Kita mengeluarkan 78 saman kepada penunggang motosikal yang melakukan pelbagai kesalahan mengikut peruntukkan undang-undang Kaedah Lalulintas Jalan 1959," katanya.


Menurut Othman, mat rempit yang melanggar anggota polis ditahan mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 atas kesalahan menunggang secara melulu dalam keadaan berbahaya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/25

Ditetak kerana hutang pil kuda

Posted: 24 May 2014 12:25 PM PDT

Jertih: Akibat berhutang pil kuda, seorang pemuda menerima 13 jahitan di kepala dan luka serta lebam di tangan selepas diserang sekumpulan lelaki bersenjatakan pedang dan kayu di depan sebuah rumah di Pekan Jabi, di sini, Rabu lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Besut Deputi Superintendan Noor Zainy Mohd Noor berkata, kejadian dipercayai berlaku jam 11.30 malam ketika mangsa berusia 23 tahun dan bekerja sebagai buruh berada di depan rumah rakannya sebelum didatangi sekumpulan lelaki dipercayai enam orang menaiki sebuah kereta Perodua Viva dan sebuah motosikal.


Katanya, sebaik turun dari kereta, enam lelaki meluru ke arah mangsa lalu menyerangnya menggunakan pedang dan kayu.

"Mangsa cuba menyelamatkan diri dengan lari ke dalam rumah rakannya tetapi dikejar sebelum ditetak di ruang tamu.


"Selepas membelasah mangsa, semua suspek beredar meninggalkan tempat kejadian dan mangsa yang cedera dibawa rakannya ke Hospital Besut untuk rawatan.


"Hasil siasatan awal, kejadian dipercayai berpunca daripada masalah hutang pil kuda dan mangsa memaklumkan hanya mengecam seorang daripada enam suspek yang menyerangnya," katanya.

Menurut Noor Zainy, kejadian itu menyebabkan mangsa cedera di kepala, luka serta lebam di tangan akibat diserang menggunakan pedang dan kayu.


Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera menggunakan senjata atau lain-lain benda berbahaya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/25

Reda kereta dihempap tanah runtuh

Posted: 24 May 2014 12:24 PM PDT

Hulu Terengganu: "Tidak sampai lima minit anak saya masuk ke dalam rumah selepas selesai mengangkat barang di kereta, tiba-tiba Proton Waja kami dihempap tanah runtuh," kata Noraini Abdullah, 52, penduduk Taman Permint SEDC, Jalan Sekayu, di sini, yang berdepan detik mencemaskan apabila tanah kawasan berbukit depan rumahnya runtuh, jam 5.50 petang kelmarin.

Selain kereta Noraini, dua lagi kereta milik penduduk taman berkenaan remuk apabila ditimbus tanah yang runtuh akibat terhakis berikutan hujan lebat.


Menceritakan kejadian itu, Noraini berkata, ketika kejadian dia mengangkat takbir solat Asar sebelum dikejutkan bunyi kuat hingga menyebabkan rumahnya turut bergegar.

"Hanya Allah SWT tahu perasaan saya ketika itu, namun selepas keadaan tenang, saya keluar menjenguk dan melihat garaj kereta terbalik dan kereta ditimbus tanah.


"Walaupun sedih, namun saya reda dan bersyukur kerana anak berusia 18 tahun sempat masuk ke dalam rumah selepas mengangkat barang," katanya.


Kakitangan Hospital Hulu Terengganu itu berkata, tiga bulan lalu dia membelanjakan RM3,500 membaiki beberapa kerosakan Proton Waja berkenaan, antaranya menukar enjin baru dan langsung tidak menyangka kenderaannya remuk sekelip mata akibat tanah runtuh.

"Kejadian ini kali pertama berlaku sepanjang saya tinggal di sini sejak 1990. Memandangkan ia berlaku, tidak mustahil kejadian sama berulang, terutama apabila hujan lebat.


"Sehubungan itu, sebelum terjadi lagi, diharap pihak berkaitan melihat perkara ini, sekali gus mengambil tindakan sewajarnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/25

Serang mentua marah isteri lapor polis

Posted: 24 May 2014 12:23 PM PDT

Muar: Berang isteri membuat laporan polis berkaitan masalah rumah tangga dipercayai menyebabkan seorang lelaki menyerang keluarga mentuanya sebelum terbunuh selepas ditikam dalam pergaduhan di sebuah rumah teres di Jalan Kim Kee, di sini, jam 12.40 tengah malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Muar Asisten Komisioner Azman Ayob berkata, siasatan mendapati Lim Wei Kuan, 34, pergi ke rumah itu untuk meluahkan rasa tidak puas hati kerana keluarga mentuanya membuat laporan polis berkaitan hak penjagaan dua anaknya pada petang sebelum kejadian.


"Berdasarkan maklumat, mangsa sudah dua tahun tinggal di Melaka dan hanya sesekali pulang melawat anaknya berusia setahun dan tiga tahun yang tinggal di rumah keluarga mentuanya.

"Mangsa dan isterinya berusia 23 tahun belum bercerai, tetapi kerap bergaduh, menyebabkan mereka tinggal berasingan.


"Siasatan awal mendapati, ketika kejadian, mangsa bergaduh dengan isterinya sebelum bapa mentuanya masuk campur diikuti adik ipar, ibu mentua dan seorang jiran mereka," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar, di sini, semalam.


Menurut Azman, mangsa kemudian hilang sabar dan mengeluarkan pedang samurai sepanjang hampir satu meter lalu menyerang adik ipar serta bapa mentuanya.

Katanya, adik iparnya menyerang balas menggunakan pisau berukuran 20 sentimeter dan menikam mangsa dua kali di kiri dada, dua kali di kanan dada, satu di leher dan satu lagi di belakang badan.


"Keluarga itu dan orang ramai kemudian menghubungi polis sejurus kejadian. Siasatan di tempat kejadian turut menemui senjata digunakan dalam pergaduhan terbabit.

"Hasil bedah siasat mendapati mangsa maut disebabkan satu tikaman di belakang sebelah kiri badannya yang mengenai bahagian bawah paru-paru kiri hingga menyebabkan pendarahan.


"Bapa mentua mangsa berusia 60 tahun turut cedera dan dirawat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar," katanya.


Berikutan itu, Azman berkata, pihaknya menahan isteri, adik ipar mangsa berusia 20 tahun, bapa dan ibu mentuanya berusia 45 tahun serta seorang jiran mereka bagi membantu siasatan.


Menurutnya, siasatan mendapati adik ipar mangsa yang juga peniaga adalah suspek utama kes itu dan ujian saringan air kencing turut mendapati isteri mangsa positif dadah jenis syabu.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/25

No comments:

Post a Comment