Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Tewas tertekan duduki peperiksaan

Posted: 12 May 2014 01:36 PM PDT

Georgetown: 'Mak, ayah, jaga diri baik-baik'.

Demikian nota dalam bahasa Mandarin ditinggalkan seorang wanita yang juga pelajar kolej ditemui mati dengan kecederaan teruk di kepala dan perut di tepi Bangunan UMNO, Jalan Macalister, di sini, semalam.

Difahamkan, akibat tekanan perasaan untuk menghadapi peperiksaan, pelajar berkenaan disyaki terjun dari Bangunan UMNO sebelum ditemui orang ramai dalam keadaan telentang dan berlumuran darah pada jam 8.05 pagi.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, siasatan mendapati mangsa, Tieu Hooi Theng, 20-an, dari Taman Mesra, Butterworth dipercayai bertindak demikian akibat tekanan yang dihadapi ketika menduduki peperiksaan.

Foto

MAYAT Tieu ditemui orang ramai dengan kesan kecederaan di kepala dan perut.


Beliau berkata, mayat mangsa ditemui orang ramai dengan kecederaan teruk di kepala dan perut dipercayai akibat terjatuh ke atas bumbung zink di bahagian parkir di tepi bangunan berkenaan.


Katanya, hasil siasatan awal di lokasi kejadian, polis menemui sepasang kasut, telefon bimbit dan kunci kereta dipercayai milik mangsa yang ditinggalkan di tepi tangga di tingkat 18 bangunan berkenaan.

"Mangsa dipercayai membunuh diri dengan terjun dari koridor tangga di tingkat 18 berdasarkan kepada kedudukan tempat si mati jatuh.

"Polis turut menemui beberapa barang milik mangsa termasuk kasut, telefon bimbit dan kunci kereta serta kereta Perodua Viva yang diletakkan berhampiran Bangunan UMNO.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/13

Maut terbelit selimut

Posted: 12 May 2014 01:30 PM PDT

Putrajaya: Seorang bayi lelaki berusia enam bulan maut dipercayai lemas selepas terbelit selimut di rumah pengasuhnya di Presint 9 di sini, semalam.

Difahamkan bayi terbabit, Ammar Asyraf Ahmad Zafwan sempat dibawa ke Hospital Putrajaya untuk menerima rawatan namun doktor mengesahkan mangsa meninggal dunia jam 5.10 petang semalam di hospital berkenaan.

Sumber berkata, mangsa sebelum itu dihantar bapanya, Ahmad Zafwan Sulaiman, 32, ke rumah pengasuhnya jam 7.15 pagi semalam dalam keadaan baik.

"Kira-kira sejam selepas itu, bapanya menerima panggilan daripada pengasuh memaklumkan Ammar Asyraf lemas dalam selimut.


"Bapa bayi itu kemudian bergegas ke rumah pengasuhnya itu sebelum membawa mangsa ke hospital sekitar jam 8.25 pagi," katanya.


Katanya, bayi terbabit dalam keadaan lemah dan kebiruan ketika dalam perjalanan untuk dibawa ke hospital.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Putrajaya Asisten Komisioner Abdul Razak Abdul Majid mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Katanya, kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/13

12 tukang jahit import dicekup

Posted: 12 May 2014 01:30 PM PDT

Petaling Jaya: Seorang rakyat tempatan dikesan menyeludup masuk sekumpulan 12 tukang jahit warga asing sebelum diupah bekerja di premisnya di Jalan PJS 8/15 di sini.

Semua pendatang haram itu berusia antara 19 dan 46 tahun dibayar gaji harian sebanyak RM18 bagi setiap helai pakaian yang berjaya dijahit.

Kegiatan itu didedahkan apabila seramai 14 anggota Bahagian Penguat Kuasa Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya menyerbu premis berkenaan pada jam 3 petang semalam.

Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Putrajaya, Abd Halim Ismail berkata, semua mereka ditahan ketika sedang bekerja menjahit baju di dalam premis berkenaan.

Menurutnya, seorang rakyat tempatan berusia 36 tahun turut ditahan kerana disyaki memberi perlindungan kepada pekerja warga asing terbabit.

"Tujuh daripada kumpulan warga asing ditahan adalah lelaki warga India manakala lima warga Sri Lanka.

"Mereka ditahan mengikut Peraturan 39 (b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat pas dan permit serta Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri sah," katanya.

Menurutnya, cubaan pihak imigresen mendapatkan pemilik premis gagal kerana suspek sedang berada di luar negara.

"Pihak kami turut merampas beberapa barangan dalam operasi itu termasuk lesen perniagaan, Sijil Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), slip kedatangan pekerja, pembaris panjang, gunting, baju dan seterika," katanya.

Beliau berkata, semua yang ditahan kemudian dibawa ke Depoh Tahanan Imigresen Putrajaya untuk ditahan reman selama 14 hari bagi tujuan siasatan.

Foto

DUA anggota penguat kuasa membuat serbuan terhadap sebuah premis menjahit, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/13

Kagum jasa guru didik anak bangsa

Posted: 12 May 2014 01:28 PM PDT

Kuala Lumpur: Walaupun zaman sudah berubah, tetapi ungkapan guru umpama lilin, membakar diri menerangi orang lain masih terpahat kemas hingga kini.

Tugas guru lebih mencabar kini untuk membangunkan murid yang bersedia menghadapi cabaran global masa akan datang, selaras dengan Aspirasi Murid dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.

Sukar mencari kata-kata yang dapat menggambarkan pengorbanan dan rasa dalam hati setiap pelajar terhadap guru mereka yang banyak berjasa membentuk dan mendidik mereka daripada tidak mengenal huruf hingga menjadi bijak pandai.

Sesuai dengan Hari Guru yang akan disambut Jumaat ini, jasa dan pengorbanan mereka yang sentiasa kreatif dan inovatif mengajar dan mendidik anak bangsa akan terus tersemat di hati selagi hayat dikandung badan.

Foto

GURU Sekolah Kebangsaan Desa baiduri Cheras bermain catur bersama murid.

Foto

PENGETUA Sekolah Menengah Kebangsaan Lembah Keramat, Muslimah Tahir melihat pelajarnya mengulang kaji pelajaran.


Bagi murid Sekolah Kebangsaan Desa Baiduri Cheras, Selangor, Nurul Husna Hishamudin, 7, guru membentuk keyakinan dalam dirinya yang bermasalah membaca.


"Dulu saya tak pandai membaca, tergagap-gagap, tetapi cikgu Hasnah bagi semangat dan suruh saya jadi lebih berani," katanya.

Baginya, cara Hasnah Mat Daud, 50, mengajarnya cara mudah membaca dengan mengeja dan membaca secara berulang membolehkannya menguasai kemahiran itu kini.

Kisah dorongan guru turut dikongsi rakan sekolahnya, G Reshma, 11, yang kagum dengan cara guru bahasa Inggerisnya, Suzylawati Othman, 39, yang dianggapnya garang tetapi tidak pernah lokek memberi hadiah sebagai galakkan apabila murid mendapat A dalam ujian.

Murid Tahun Lima Ceria sekolah itu, Oh Ee Ling, 11, juga seronok mengikuti kelas Bahasa Inggeris kendalian, Siti Sarah Rosli, 30, kerana kelakar dan tidak membosankan.

"Dulu saya tidak suka Bahasa Inggeris kerana susah nak faham tetapi apabila teacher Sarah ajar saya mula minat kerana dia selalu berikan kami fotostat gambar kartun berkaitan dengan topik pembelajaran," katanya.

Amsyar Daniel Mohamad Faizal, 8, pula menggemari guru kelasnya Maziah Mokhtar, 32, yang juga mengajar Pendidikan Seni dan Bahasa Melayu.

"Saya bersemangat ke sekolah kerana cikgu Maziah layan saya macam anak dan mengambil berat keadaan saya terutama apabila sakit," katanya.

Kata-kata sama dikongsi Dhia Dol Razlan, 15, pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lembah Keramat yang cukup mengagumi kesungguhan guru Bahasa Melayu, Hafiz Che Mat, 45, sejak Tingkatan Satu.

"Saya anggap cikgu Hafiz seperti bapa. Saya sangat hargai jasanya pada kami, tak terbalas walaupun setiap tahun saya beri hadiah hari guru padanya," katanya.

Rakan sekolahnya, Amzar Ikram Khamsani, 17, pula menggemari subjek Sejarah selepas guru mata pelajaran itu Bahiyah Jaafar, 40, menggunakan pendekatan mengurangkan jurang antara guru dan pelajar.

"Selepas tamat kelas, saya dan rakan akan bertemu dengannya di bilik guru untuk berbincang apa yang tidak jelas, dia umpama ibu," katanya.

Sementara itu, Asha Aditi Arun, 14, pula kagum dengan guru kesusasteraan Inggerisnya, Tan Wan Ying, 44, yang menganggap pelajar seperti kawan dan sangat kreatif mengajar dengan menggunakan multimedia dan video.

"Jika tahu saya bermasalah, dia adalah orang pertama yang akan bagi nasihat dan sokongan di sekolah ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/13

Berang dituduh ganggu isteri orang

Posted: 12 May 2014 01:25 PM PDT

Kinabatangan: Gara-gara tidak puas hati selepas dituduh mengganggu isteri orang, seorang lelaki bertindak menikam rakan sekerjanya sehingga mati dalam kejadian di rumah pekerja di ladang sawit Paris 3, Jalan Kinabatangan, dekat sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 5.45 petang itu, mangsa warga Indonesia, Kahar Patta, 33, parah di bahagian perut dan kaki selepas ditikam menggunakan benda tajam kemudian dikejarkan ke Hospital Besar Lahad Datu, dekat sini.

Bagaimanapun, pihak Hospital Besar Lahad Datu mengesahkan mangsa meninggal dunia jam 9.30 malam hari sama.

Ketua Polis Daerah Superintendan A Sahak Rahmat berkata, siasatan awal mendapati pada jam 5.45 petang polis menerima laporan mengatakan dua pekerja ladang bergaduh di rumah pekerja di Paris 3, Jalan Kinabatangan, dekat sini.


"Pemeriksaan mendapati berikutan pergaduhan itu seorang pekerja ladang berkenaan dipercayai cedera di perut dan kaki kanan akibat ditikam menggunakan benda tajam.


"Mangsa dikejarkan ke Hospital Besar Lahad Datu, dekat sini oleh beberapa pekerja di ladang berkenaan untuk rawatan lanjut.

"Bagaimanapun, selepas menerima rawatan hampir lima jam, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak hospital," katanya.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/13

No comments:

Post a Comment