Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Jangan buat hal!

Posted: 07 May 2014 10:07 AM PDT

Kuala Lumpur: Pendahulu bersama Liga Super, Selangor yang berada dalam misi menamatkan kemarau tiga tahun tanpa kejuaraan kini menjadi tumpuan apabila penyerang importnya, Paulo Rangel dikaitkan dengan kontroversi di luar padang.

Selepas dilaporkan menawarkan diri menyarung jersi Harimau Malaya, penyerang Brazil berusia 29 tahun itu turut menarik perhatian kelab selatan tanah air, Johor Darul Ta'zim (Johor DT) yang berminat mendapatkan khidmatnya musim depan.

Dua perkembangan berkenaan mengejutkan pengendali Merah Kuning Mehmet Durakovic yang mengakui tidak mengetahui situasi membabitkan penyerang utamanya itu.

"Ini mengejutkan, saya tidak mengetahuinya. Saya akan bercakap dengannya secara peribadi kerana kami mahu memenangi liga.

Foto

RANGEL sedia sarung jersi Johor DT.


"Kami tidak mahu sesiapa ganggu apa yang kami lakukan dan saya harap apa yang berlaku itu tidak mengganggu persembahannya," kata pengendali dari Australia itu.


Durakovic turut menegaskan, kejayan diraih Selangor ketika ini bukanlah hasil kejayaan Rangel seorang saja.

"Saya akui dia hebat membantu Selangor, seorang yang sangat profesional namun untuk menjaringkan gol, dia perlukan sokongan pemain lain melalui semangat sepasukan yang dipupuk sejak empat bulan lalu.

"Saya tidak boleh sekat khabar angin dan orang ramai daripada bercakap mengenainya. Namun dalam tempoh empat bulan bersama Selangor, kami cuba membina sesuatu yang istimewa.

"Bagus bagi seorang pemain profesional apabila menjadi rebutan namun bukannya sekarang, sebaliknya hujung musim nanti. Sebagai seorang pemain Selangor dia perlu fokus 100 peratus dan saya rasa Rangel sedar mengenai perkara ini," katanya.

Selangor kini berpeluang merampas kedudukan teratas Liga Super apabila tampil menentang Pahang, Sabtu ini selepas kedua-dua pasukan terikat 28 mata namun dibezakan dengan jumlah jaringan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/08

'Saya tak minat'

Posted: 07 May 2014 10:03 AM PDT

Kuala Lumpur: Penyerang sensasi Selangor, Paulo Rangel boleh melupakan terus hasratnya untuk menyarung jersi Harimau Malaya apabila Naib Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Seri Subahan Kamal secara peribadi menyatakan tidak berminat mendapatkan sentuhan pemain kelahiran Brazil itu.

Subahan yang juga pengurus pasukan kebangsaan berkata, istilah mengambil pemain luar atau naturalisasi bukanlah jalan penyelesaian tepat buat menjawab semua persoalan terhadap kegagalan skuad negara di pentas antarabangsa selama ini.

Sambil menyampaikan penghargaan terima kasih terhadap Rangel yang bersungguh-sungguh menyatakan pendiriannya, Subahan tetap tidak bersetuju 100 peratus mengenai isu naturalisasi.

"Suka tidak suka, sebagai rakyat Malaysia saya lebih mahu melihat ramai anak tempatan bermain mewakili negara. Betul kita mahukan kemenangan setiap kali pasukan negara turun, biarlah jatuh bangun pasukan di tangan pemain tempatan.

Foto

GAN (kanan) ada darah Malaysia.


"Saya lebih tertarik untuk melihat pasukan negara dibarisi pelbagai bangsa seperti Cina, India dan Sikh supaya kita dapat merasai nikmatnya apabila pasukan kita menang.


"Lihat saja Indonesia, mereka memiliki ramai pemain naturalisasi, tetapi tidak pernah menjuarai Piala AFF. Begitu juga Singapura, ranking dunia mereka tidak jauh dengan pasukan kita, jadi di mana kehebatan sebenar pemain bertaraf import ini.

"Pendek kata, saya tidak menyokong langsung isu naturalisasi ini kerana masih yakin dengan kelibat pemain tempatan," katanya ketika diminta mengulas kesediaan Rangel menukar status kerakyatan untuk mewakili negara.

Menerusi laporan Arena Metro semalam, Rangel, 29, yang dikecam hebat pemerhati bola sepak tempatan tetap tidak patah semangat, sebaliknya berjanji akan bermain mati-matian seperti mewakili negara sendiri jika diberi peluang menyertai skuad kebangsaan.

Namun menurut Subahan, jika adanya pemain kelahiran luar negara yang memiliki darah campuran Malaysia seperti pemain tengah Sarawak, Junior Eldstal dan pemain Kelantan, Brendan Gan, mereka amat dialu-alukan untuk membantu pasukan negara.

"Isu Junior dan Brendan berbeza sekali dengan Rangel. Kedua-duanya ada darah Malaysia, sudah tentu mereka juga anak Malaysia walaupun tidak dibesarkan di sini.

"Malah FAM sendiri sedia mencari pemain berdarah kacukan ini untuk diberi peluang mewakili negara kerana mereka juga sebahagian daripada masyarakat Malaysia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/08

Baihakki sah tamat kontrak Johor DT

Posted: 07 May 2014 10:01 AM PDT

Johor Bahru: Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengesahkan kontrak Baihakki Khaizan bersama Johor Darul Ta'zim (Johor DT) ditamatkan buat sementara waktu untuk memberi peluang kepada pemain itu beraksi bersama LionsXII bagi baki Liga Super.

"Saya menamatkan kontrak Baihakki untuk sementara saja. Ia bertujuan memberi peluang kepadanya kembali beraksi bersama LionsXII.

"Tapi Baihakki tidak boleh beraksi bersama LionsXII pada perlawanan menentang kami (Johor DT) pada 20 Mei ini.

"Karier pemain itu penting dan saya mahu dia terus bermain bola sepak kerana untuk mendapat tempat dalam skuad kebangsaan Singapura. Apapun dia akan kembali bersama Johor Darul Ta'zim II (JDT II) pada November," kata Tunku Ismail.

Foto

BAIHAKKI (kanan) lega dapat pelepasan.


Baihakki yang gembira dengan keputusan itu, berterima kasih kerana sikap prihatin ditunjukkan Tunku Ismail selain memahami betapa pentingnya untuk dia menempatkan diri dalam skuad kebangsaan Singapura bagi mengharungi saingan Piala Suzuki, Disember ini.


"Tunku Mahkota Johor (TMJ) bersikap profesional dan memahami kehendak saya dan keputusan menamatkan kontrak itu dipersetujui selepas mencapai persefahaman bersama bagi membolehkan saya kembali bersama LionsXII.

"Saya perlu beraksi dalam saingan liga kompetitif untuk menghadapi Piala Suzuki malah Singapura selaku juara bertahan harus mempertahankan kejuaraan itu kerana kami menjadi tuan rumah.

"Walaupun saya akan menerima gaji yang agak kurang berbanding ketika bersama Johor DT, tapi untuk menjaga karier saya itu semua tidak penting," kata Baihakki.

Baihakki terpaksa dilepaskan Johor DT apabila mereka mengikat pemain import baru Marcos Antonio yang pernah beraksi dengan FC Nuremberg dalam kancah Bundesliga Jerman.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/08

Liga S belum terima permohonan JDT II

Posted: 07 May 2014 09:59 AM PDT

Johor Bahru: Persatuan Bolasepak Singapura (FAS) masih belum menerima sebarang permohonan daripada Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) yang berhasrat menyertai saingan Liga Singapura (Liga S) musim depan.

Jurucakap FAS memaklumkan mereka mengalu-alukan mana-mana pasukan yang ingin menyertai liga mereka namun perlu mendapat kelulusan daripada badan induk bola sepak negara masing-masing.

"Andai Johor Darul Ta'zim II (JDT II) ingin beraksi dalam saingan Liga S, mereka perlu mendapatkan lampu hijau FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) terlebih dulu.

"Tapi, setakat ini belum ada pertanyaan atau permohonan daripada PBNJ untuk JDT II menyertai Liga S," katanya.

Kelmarin, Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang juga Presiden PBNJ menyatakan hasrat untuk menyenaraikan JDT II dalam kancah Liga S musim depan.

Langkah itu bertujuan memberi pendedahan kepada pemain muda menimba pengalaman beraksi di luar negara.

Selain itu, Tunku Ismail juga menegaskan perancangan untuk menyertai saingan liga itu bagi mengurangkan perbelanjaan kerana hanya sekadar menyeberangi Seberang Tambak untuk mengharungi perlawanan liga.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/08

Boateng puji semangat TRW

Posted: 07 May 2014 09:56 AM PDT

Kota Bharu: Ketua jurulatih George Boateng memuji kesungguhan pemain Kelantan yang mempamerkan semangat juang luar biasa dalam saingan separuh akhir pertama Piala FA di Stadium Sultan Muhammad IV kelmarin, meskipun sekadar seri 3-3 dengan FELDA United.

Pasukan The Red Warriors (TRW) itu nyaris diaib skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim apabila ketinggalan dengan tiga gol pada babak pertama sebelum bangkit menyamakan kedudukan bagi menghidupkan peluang memburu misi mempertahankan kejuaraan.

Boateng berkata, pemainnya wajar diberi pujian kerana tidak mengalah, meskipun tiga jaringan dihasilkan pihak lawan hampir menyentap semangat gergasi Pantai Timur itu daripada melangkah ke pentas final.

"Ketinggalan tiga gol sememangnya membunuh semangat pemain, malah pasukan terbaik dunia pun pasti tertekan dengan situasi seperti itu.

Namun pemain saya tiba-tiba bangkit dan itu mengejutkan.

"Walaupun bekalan jaringan belum selesa, tapi kami masih ada harapan.


Saya minta penyokong terus percaya dengan kemampuan kami," katanya selepas tamat perlawanan.

Tiga jaringan pasukan tuan rumah dihasilkan penyerang import, Francis Forkey Doe, Ahmad Fakri Saarani dan Wan Zaharul Nizam bagi membolehkan Kelantan berada di landasan tepat mempertahankan kejuaraan.

Jurulatih dari Ghana itu mengakui anak didiknya banyak melakukan kesilapan ketika awal aksi, namun selepas perubahan percaturan dibuat mereka berjaya menemui rentak sebenar.

"Kami bermula lemah di bahagian pertahanan dan pasukan lawan mengesan kelemahan itu.


Namun kami membuat perubahan taktikal dan berjaya menyamakan kedudukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/08

KAFA batal kontrak Tagoe

Posted: 07 May 2014 09:47 AM PDT

Kota Bharu: Kehadiran penyerang baru Prince Tagoe (gambar) di Kelantan menjadi sia-sia apabila Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) terpaksa membatalkan kontrak bekas pemain skuad Piala Dunia Ghana itu lebih awal kerana gagal mendapatkan Sijil Perpindahan Antarabangsa (ITC).

Masalah itu bagaikan sudah boleh dibaca apabila pemain berusia 28 tahun yang pernah beraksi bersama kelab Bundesliga 1899 Hoffenheim itu tidak diturunkan ketika Kelantan seri 3-3 dengan FELDA United pada aksi separuh akhir pertama Piala FA kelmarin.

Ketua Pegawai Eksekutif The Red Warriors Sdn Bhd (TRW) Kevin Ramalingam mendakwa kegagalan mereka mendapatkan ITC Tagoe yang didaftarkan pada tempoh perpindahan pemain Liga Malaysia (Liga-M) April lalu kerana kesilapan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menguruskan kes perpindahan pemain itu dengan Persekutuan Bolasepak Tunisia (Tunisia FA).

"Tunisia FA menolak permohonan ITC kami kerana kelab lama Tagoe (Club Africain) tidak membayar tiga bulan gaji kepadanya.

Sepatutnya kontraknya itu terbatal serta-merta dan FIFA (Persekutuan Bolasepak Antarabangsa) sudah dimaklumkan mengenai kes ini.

"Apabila Tunisia FA menolak permohonan ITC ini menerusi TMS (Sistem Pengurusan Perpindahan), FIFA masih mempunyai hak untuk mengeluarkan ITC sementara namun masalah timbul apabila FAM menerima penolakan Tunisia itu lalu kes itu sudah tiada dalam TMS.

Sepatutnya FAM membiarkan kes itu ditangguhkan.

"FIFA memaklumkan kepada kami kes itu sudah digugurkan dan mereka tidak boleh mengeluarkan ITC sementara.

Foto


Tapi kerana FAM 'klik' terima penolakan Tunsia FA, ia memberi kesan besar kepada kami," katanya ketika ditemui pemberita.

Tagoe yang didaftarkan untuk menggantikan Mohamed Ghaddar menuntut bayaran gaji tertunggak hampir RM1 juta daripada Club Africain.

Namun Kevin mengakui sukar untuk pemain itu mendapat ITC dan kontraknya bersama TRW bakal ditamatkan.

"Ada klausa dalam kontrak kami boleh membatalkannya jika tiada ITC, tapi bukan itu yang kami mahu kerana kami hendakkan dia beraksi dengan Kelantan.

"Melihat kepada situasi sekarang, saya fikir lebih kepada tak dapat," katanya yang mengharapkan FAM membenarkan mereka mendaftarkan semula Obinha bagi mengisi tempat Tagoe.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/08

Apa visi tiga calon presiden?: Annuar

Posted: 07 May 2014 09:45 AM PDT

Kota Bharu: Apa visi tiga calon yang mahu merebut jawatan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)?

Itu persoalan dilontarkan Penasihat Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) Tan Sri Annuar Musa menjelang Mesyuarat Kongres Pemilihan FAM pada 25 Mei ini.

Buat kali pertama pertarungan tiga penjuru akan disaksikan bagi merebut kerusi presiden apabila penyandang Sultan Ahmad Shah dicabar anakandanya yang juga Timbalan Presiden Tengku Abdullah serta Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Bagi Annuar, dalam tempoh sebelum pemilihan itu, 39 wakil ahli gabungan yang diberikan hak mengundi pada pemilihan itu perlu mengetahui visi dan misi tiga calon itu sebelum membuat keputusan.

"Pada saya masa dua minggu ini perlu digunakan sepenuhnya delegasi untuk berfikir dan kalau boleh calon presiden beritahu apa yang mereka mahu buat.

"Kalau boleh delegasi ini harus berjumpa dengan calon-calon ini, jangan ada jurang antara delegasi dengan calon presiden atas dasar bola sepak negara," katanya.

Ketika ditanya mengenai dakwaan Tunku Ismail bahawa pemilihan itu adalah sekadar penyerahan jawatan antara ahli keluarga Annuar berkata: "Itu mungkin pandangan beliau (Tunku Ismail).

Mungkin beliau ada sebab tertentu hingga bercakap seperti itu, tapi yang akan menentukannya 39 perwakilan nanti."

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/08

Tiada perubahan calon: Hamidin

Posted: 07 May 2014 09:45 AM PDT

Kuala Lumpur: Tiada sebarang perubahan dalam saingan merebut jawatan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) apabila tiga calon yang diumumkan sebelum ini masih kekal bertanding.

Penyandang Sultan Ahmad Shah, Timbalan Presiden FAM Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim masih berada dalam senarai untuk merebut jawatan berkenaan yang sudah dipegang Sultan Ahmad Shah sejak 30 tahun lalu.

Malah Tunku Ismail sendiri masih belum menarik diri daripada merebut jawatan nombor satu itu walaupun sebelum ini mendakwa pemilihan jawatan berkenaan pada 25 Mei ini tidak ubah seperti penyerahan jawatan di kalangan ahli keluarga.

Beliau merujuk kepada penyerahan jawatan berkenaan oleh Sultan Ahmad Shah kepada anakandanya, Tengku Abdullah yang juga Naib Presiden Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin ketika dihubungi petang semalam mengesahkan saingan membabitkan jawatan presiden masih kekal membabitkan tiga individu berkenaan.

"Hingga kini tiada calon menarik diri.

Bukan saja jawatan presiden, malah jawatan lain seperti timbalan presiden, naib presiden dan EXCO juga tidak berubah," kata Hamidin.

Kongres tahunan FAM ke-50 itu nanti akan memilih barisan kepimpinan baru untuk mentadbir sukan nombor satu negara dengan Sultan Ahmad Shah mendapat lima pencalonan daripada ahli gabungan untuk mempertahankan jawatan disandangnya sejak 1984.

Tengku Abdullah yang dilihat ramai pihak sebagai calon terbaik mengisi tampuk kepimpinan FAM untuk tempoh empat tahun akan datang itu mendapat 12 pencalonan manakala Tunku Ismail yang melakukan revolusi bola sepak di Johor sehingga mengangkat Johor Darul Ta'zim menjadi pasukan disegani dalam kancah bola sepak tempatan mendapat tiga pencalonan.

Saingan sengit turut membabitkan dua kerusi timbalan presiden apabila tiga calon bersaing dengan Datuk Seri Subahan Kamal dan Datuk Seri Afandi Hamzah yang mempunyai pengalaman luas mengurus pentadbiran bola sepak negara kerana mengisi kerusi naib presiden penggal ini akan dicabar Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Datuk Mokhtar Ahmad.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/08

Kien Keat bukan penentu

Posted: 07 May 2014 09:42 AM PDT

Kuala Lumpur: Tan Boon Heong tidak menganggap ketiadaan Koo Kien Keat bersamanya di atas gelanggang akan memberi impak besar pada saingan Piala Thomas di New Delhi, India bermula 18 Mei.

Sebaliknya bekas beregu utama negara itu mahu tampil lebih matang selaku pemain senior yang akan menjadi pemimpin kepada barisan pemain muda yang rata-ratanya baru pertama kali beraksi di pentas Piala Thomas.

"Tak banyak bezanya ada dia (Kien Keat) atau tidak. Yang pasti sudah lama saya buat persiapan untuk Piala Thomas kerana tidak terbabit dengan kejohanan besar lain.

"Walaupun kebanyakan pemain bakal membuat penampilan pertama di Piala Thomas, saya beritahu kepada mereka supaya fikirkan persiapan diri sendiri saja.

Foto

BOON Heong (kanan) menjalani latihan di Gimnasium ISN Bukit Jalil. Turut kelihatan, ketua jurulatih Rashid Sidek (tiga dari kiri).


"Jangan terlalu fikirkan lawan sebab lawan juga sebenarnya takut untuk bertemu dengan kita.


"Bagi saya, kami harus sentiasa memberi sokongan antara satu sama lain kerana saya faham pemain yang kali pertama beraksi di Piala Thomas pasti tidak terlepas daripada tekanan," katanya selepas tamat latihan skuad negara semalam.

Hingga kini, Boon Heong masih belum mempunyai gandingan tetap selepas Kien Keat mengundur diri daripada skuad kebangsaan Mac lalu.

Sejak ketiadaan Kien Keat, Boon Heong diberi peluang bergandingan dengan pemain muda Ow Yao Han.

Ditanya pemain manakah yang lebih sesuai digandingkan dengannya, Boon Heong berkata: "Saya boleh bermain dengan sesiapa saja kerana ketika sesi latihan, saya selalu bermain dengan pemain berbeza.

"Apapun segala-galanya terpulang kepada jurulatih untuk memilih siapa yang ingin diturunkan."

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/08

Amelia tekad cipta kejutan

Posted: 07 May 2014 09:41 AM PDT

Kuala Lumpur: Meskipun dilihat tidak mampu melangkah jauh, pasukan Piala Uber negara tetap percaya kejutan mampu dilakukan pada saingan di New Delhi, India bermula 18 Mei ini.

Ketua pasukan Amelia Alicia Anscelly mengakui hakikat skuad negara bukan pasukan mantap, tetapi dia juga percaya peluang tetap ada apabila diundi bersama Jepun, Denmark dan Jerman dalam Kumpulan D.

"Memang kami mahu menang setiap perlawanan, tapi kalau kalah, ia bukannya kerana kami tidak mencuba habis-habisan.

"Peluang kami untuk menang setiap perlawanan 50-50.

Tapi jika mengikut strategi tepat, peluang kami tetap ada.

"Yang penting kami perlu percaya kepada diri sendiri sebab kalau tiada keyakinan, sudah pasti kalah," kata pemain beregu negara itu.

Amelia yang juga bakal membuat penampilan pertama Piala Thomas berharap rakan sepasukannya dapat memenuhi sasaran ke suku akhir yang ditetapkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

"Saya juga mahu memberikan yang terbaik pada penampilan pertama ini selepas berhenti dua tahun sebelum ini kerana menyambung pengajian," katanya.

Foto

AMELIA percaya peluang skuad negara tetap ada.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/08

No comments:

Post a Comment