Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Cekup sembilan chef Siam

Posted: 13 May 2014 01:39 PM PDT

Shah Alam: Disebabkan mahu mendapatkan khidmat pakar masakan untuk memastikan masakan Thailand seperti tomyam mendapat sentuhan 'asli', sesetengah pengusaha kedai makan dikatakan sanggup menggaji pekerja asing dari negara berkenaan bagi memastikan perniagaan mereka terus laris.

Walaupun tidak mempunyai permit kerja sah, tukang masak dari negara gajah putih itu terus mendapat permintaan yang tinggi daripada pengusaha kedai makan sekitar daerah ini.

Tambahan pula, pengusaha menganggap tukang masak 'Siam' itu hanya akan menghabiskan masa di dapur masakan, sekali gus mengelakkan mereka daripada diperiksa pihak berkuasa.

Bagaimanapun, operasi yang dijalankan Jabatan Imigresen Selangor awal pagi semalam, menahan sembilan lelaki warga Thailand yang bekerja di sebuah medan selera di Seksyen 7, di sini.

Foto

ANTARA pekerja kedai makan yang ditahan imigresen.

Foto

ANTARA pekerja kedai makan yang ditahan imigresen.


Timbalan Penolong Pengarah Operasi Jabatan Imigresen Selangor Othman Montil berkata, mereka yang ditahan berusia 20-an hingga 30-an dan bekerja di medan selera berkenaan.


Menurutnya, semua yang ditahan didapati melakukan kesalahan tidak memiliki pasport, tidak memiliki permit kerja yang sah dan tinggal lebih masa di negara ini.

"Serbuan dijalankan selepas penguat kuasa imigresen melakukan risikan di kawasan medan selera berkenaan yang rata-rata akan menggajikan warga Thailand untuk bekerja sebagai tukang masak.

"Majikan juga diingatkan supaya mematuhi peraturan ditetapkan Jabatan Imigresen jika mahu menggajikan pekerja asing di premis mereka. Kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan mereka juga boleh didakwa," katanya kepada Harian Metro, semalam.

Katanya, semua warga asing yang ditahan akan dihantar ke Depoh Tahanan Sementara Imigresen Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, untuk tindakan selanjutnya.

Menurutnya, penguat kuasa Imigresen Selangor akan terus menjalankan pemeriksaan di sekitar negeri ini bagi memastikan majikan mematuhi peraturan yang ditetapkan dan tidak menggaji pekerja asing sesuka hati.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/14

Mati pada hari jadi

Posted: 13 May 2014 01:26 PM PDT

Alor Gajah: Hasrat seorang pekerja kilang biskut warga Nepal menyambut hari kelahirannya yang jatuh pada Hari Wesak semalam, tidak kesampaian apabila dia ditemui mati dalam bilik asrama penginapan pekerja di Kampung Kelemak, di sini, pagi semalam.

Difahamkan, mangsa, Nir Kumar Newar, 24, ditemui mati jam 8 pagi dalam keadaan telentang di atas katil asrama pekerja oleh beberapa rakan.

Menurut sumber, mangsa pulang dari tempat kerja jam 6 pagi dan sempat berbual bersama rakan serumahnya sebelum memaklumkan ingin tidur kerana penat.

"Nir Kumar yang fasih berbahasa Melayu dipercayai bekerja di kilang itu sejak lima tahun lalu dan difahamkan akan pulang ke negara asalnya dalam masa terdekat.

"Mangsa dikatakan seorang yang disenangi rakan serumah dan sentiasa ceria serta ramah, malah suka membantu rakan lain biarpun sibuk bekerja.

Dia juga dikatakan sering bekerja lebih masa untuk membantu keluarganya," kata sumber itu di sini, semalam.

Menurut sumber berkenaan, mangsa yang sepatutnya menyambut hari jadinya semalam kelihatan ceria dan bertegur sapa dengan rakan sebelum memulakan kerja pada jam 10 malam kelmarin.

"Bagaimanapun, sikapnya yang ceria tiba-tiba bertukar apabila kelihatan murung dan berdiam diri ketika bekerja sebelum pulang ke asrama jam 6 pagi tadi (semalam).

"Malah, mangsa sempat memberitahu beberapa rakan serumah yang dia berkemungkinan akan pulang ke negara asalnya lebih awal bergantung kepada keadaan kerana sentiasa sibuk sejak kebelakangan ini, namun malangnya semua impian itu tidak kesampaian," kata sumber itu lagi.

Sumber itu berkata, difahamkan, mangsa tidak pernah mengadu kepada rakan yang dia mengalami penyakit kerana sentiasa sihat.

Jurucakap paramedik yang melakukan pemeriksaan ke atas mayat mangsa yang terbaring di atas katil bertingkat dalam kedudukan telentang mendakwa mangsa dipercayai mati ketika dalam tidur dan tiada kesan lebam pada badan.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Mohamad Laham berkata, mayat mangsa dihantar ke Bilik Mayat Hospital Alor Gajah untuk bedah siasat dan siasatan awal kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Foto

ANGGOTA polis memeriksa keadaan mayat mangsa yang ditemui terbaring atas katil di asrama penginapan pekerja, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/14

'Masih sayang, rindu'

Posted: 13 May 2014 01:23 PM PDT

Kuala Lumpur: "Saya tak menolak kalau betul kata ada jodoh, amin. Kami cuma berdoa saja," kata pelakon Fiza Halim berhubung kemungkinan dia dan bekas suami, penyanyi dan pelakon Adam AF2 akan bernikah semula pada masa akan datang.

Difahamkan, pasangan itu masih berkawan baik dan saling berhubung antara satu sama lain, sekali gus menimbulkan ura-ura mereka cuba memperbaiki kesilapan masing-masing ketika berkahwin sebelum ini.

Fiza atau nama penuhnya Siti Zaidatul Fiza Abdul Halim, 33, berkata, dia tidak menolak kemungkinan itu kerana dia dan Adam tidak pernah bermusuhan selepas bercerai.

"Senang cerita macam inilah, benda yang terjadi (perceraian) adalah disebabkan oleh keadaan yang kami pun tak tahu apa (sebenar) yang terjadi ketika itu.

Foto

ADAM dan Fiza pada saat bahagia mereka.


"Tak ada perselisihan faham atau gaduh. Antara kami masih berhubung dan selalu bertanya khabar.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/14

Mati ziarah orang mati

Posted: 13 May 2014 01:15 PM PDT

Georgetown: Seorang lelaki warga emas tidak sempat menghadiri pengebumian rakannya apabila dia maut akibat serangan jantung ketika menunggang motosikal di Jalan Magazine, di sini, semalam.

Dalam kejadian pada kira-kira jam 11 pagi itu, Davinder Singh, 76, maut di lokasi kejadian apabila terjatuh dari motosikalnya dan turut mengalami kecederaan di kepala akibat terhentak di atas jalan.

Difahamkan, mangsa dalam perjalanan menghadiri upacara pengebumian rakannya di Jalan Gudwara yang terletak kira-kira satu kilometer dari lokasi dia terjatuh.

Rakan mangsa yang ditemui di lokasi kejadian, Sohan Singh, 60-an, berkata, dia bergegas ke tempat kejadian selepas mendapat berita mangsa terjatuh dari motosikalnya.

"Saya ketika itu berada di rumah rakan untuk menghadiri upacara pengebumiannya dan dikejutkan pula dengan kematian mangsa yang terjatuh dari motosikal.

"Setahu saya, rakan yang terjatuh dari motosikal itu memang mempunyai masalah jantung dan dia mungkin diserang penyakitnya hingga membuatkan dia terjatuh dan kepalanya terhentak pada jalan," katanya.

Sementara itu, jurucakap polis trafik berkata, mangsa menunggang motosikal seorang diri dan hilang kawalan sebelum terbabas dan terjatuh.

"Akibatnya, kepala lelaki itu terhentak di atas jalan dan setakat ini polis masih menunggu laporan bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematiannya.

"Ini kerana selain kecederaan kepala dialaminya, mangsa didakwa mempunyai penyakit jantung dan kami tidak menolak kemungkinan kematiannya itu berpunca daripada serangan jantung," katanya.

Menurutnya, mangsa berasal dari Taman Aman, Butterworth, dan mayatnya sudah dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk bedah siasat.

"Kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan setakat ini polis masih menjalankan siasatan lanjut," katanya.

Foto

MANGSA maut dipercayai diserang sakit jantung ketika menunggang motosikal.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/14

Waspada ancaman baru

Posted: 13 May 2014 01:13 PM PDT

Kuantan: Umat Islam kini berdepan fahaman 'humanrightisme' (hak asasi manusia) yang menjadi ancaman dan serangan baru dan ia perlu ditangani kerana bertentangan akidah dan syariat Islam.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, kebelakangan ini fahaman berkenaan dilihat seolah-olah satu cabang fahaman seperti agama baru yang amat pesat berkembang di dalam dan luar negara.

Katanya, fahaman berkenaan berasaskan pemikiran humanisme, sekularisme dan liberalisme yang kononnya atas dasar memperjuangkan hak asasi manusia.

"Fahaman ini bersifat songsang, apabila mengagungkan kehendak dan nafsu manusia semata-mata dan menolak sebarang sistem nilai yang merangkumi normal agama dan adab susila.

"Sebagai negara Islam yang memartabatkan Maqasid Syariah, kita menitikberatkan ciri wasatiyah iaitu keadilan, keseimbangan dan kecemerlangan dalam pelaksanaan hak asasi manusia," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perasmian Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan ke-57 di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah, di sini, semalam.

Hadir sama, isteri beliau Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob serta isterinya, Datin Seri Junaini Kassim, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom serta isteri Darin Seri Fatmawati Saidin.

Kira-kira 2,000 tetamu yang hadir turut diperdengarkan bacaan al-Quran oleh tiga bekas juara qari dan qariah iaitu Datuk Abdul Hak@ Abdul Ghani Abdullah, Sharifah Khasif Fadzillah Syed Badiuzzaman dan Datuk Ahmad Faizal Ghazali.

Najib berkata, pemahaman hak asasi yang ekstrem dan tidak mempunyai batas, diwasatiyahkan dengan kerangka undang-undang, perlembagaan dan nilai budaya bangsa.

"Pemikiran songsang di sisi Islam seperti pluralisme dan liberalisme yang disebarkan dengan mengaitkan kesucian Islam adalah pemikiran sesat yang juga ancaman berbahaya kepada akidah dan syariat Islam.

"Kita sama sekali tidak reda dengan sebarang tuntutan supaya hak untuk murtad daripada Islam diberikan atau hak umat Islam ini melaksanakan Islam melalui Mahkamah Syariah dinafikan mahupun sebarang perilaku songsang LGBT (lesbian, gay, biseksual dan transgender) dihalalkan," katanya.

Majlis tilawah tahun ini yang bertema 'Wasatiyah Tonggak Kesatuan Ummah' menyaksikan 30 peserta mengambil bahagian, iaitu masing-masing 14 qari dan 14 qariah serta dua johan pada edisi sebelumnya.

Dalam tilawah tahun lalu, kategori qari dimenangi oleh wakil Perak, Anuar Hasin, 31, dan qariah Hanimzah Jalaluddin, 29, mewakili Pahang.

Johan qari dan qariah bakal menerima Proton Preve (1.6 CVT Executive) sumbangan Tabung Haji selain RM30,000, piala pusingan dan iringan, sijil penyertaan serta pakej ibadat haji.

Naib johan menerima RM20,000 serta piala iringan cenderamata dan sijil penyertaan dan tempat ketiga menerima RM10,000 cenderamata dan sijil penyertaan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/14

No comments:

Post a Comment