Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Dua calon berwibawa

Posted: 23 May 2014 12:51 PM PDT

Kuala Lumpur: Bekas Presiden Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) Datuk Seri Shahidan Kassim menganggap dua calon Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Tunku Ismail Sultan Ibrahim memiliki ketokohan menerajui Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Beliau berkata dua calon pilihan untuk mengambil alih tampuk kepimpinan selama ini dipegang Sultan Ahmad Shah selama 30 tahun itu mampu melakukan perubahan dan terpulang kepada perwakilan untuk membuat pilihan tepat pada Kongres Pemilihan FAM ke-50 esok.


"Saya lihat kedua-dua calon ini (Tengku Abdullah dan Tunku Ismail) mempunyai ciri-ciri kepimpinan dan pengaruh yang besar tapi saya percaya semua ahli gabungan sudah membuat keputusan untuk memilih siapa untuk menjadi presiden.

"Bagi saya semua calon bertanding mahu buat perubahan tapi kita tidak boleh memperlekehkan apa yang sudah dilakukan kepimpinan terdahulu. Jika kita mahu buat perubahan, buktikan, jangan hanya sekadar bercakap. Soal pemilihan ini, saya dan Datuk Rozabil (Abd Rahman) Presiden PFA sudah memutuskan siapa pilihan kami, cuma tak elok saya cakap sekarang," katanya kepada Arena Metro semalam.


Bahang pemilihan teraju baru FAM semakin hangat dirasai dengan kempen secara terbuka dan 'senyap' hebat dilakukan oleh calon yang bertanding pada kongres badan induk bola sepak tanah air itu.


Pasti paling mencuri tumpuan perebutan tiga penjuru membabitkan penyandang Sultan Ahmad Shah dan timbalan presiden yang juga anakandanya Tengku Abdullah serta Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) Tunku Ismail.

Foto

Namun Shahidan meramalkan, persaingan itu hanya akan membabitkan Tengku Abdullah dan Tunku Ismail dengan Sultan Ahmad Shah dijangka menarik diri kerana keputusan itu boleh dibuat sebelum hari pemilihan.


"Saya rasa ini antara Tengku Abdullah dan Tunku Ismail tapi bimbang jika Sultan Ahmad Shah lambat membuat keputusan ia juga akan menyukarkan perwakilan membuat perhitungan," katanya yang dikenakan hukuman gantung dua tahun setengah dan denda RM39,000 kerana melanggar Artikel 88 oleh FAM.

Ketika ditanya mengenai tawaran Tunku Ismail untuk memberi dana tambahan kepada persatuan bola sepak negeri dan memansuhkan Artikel 88, Shahidan berpendapat ia satu langkah baik.


"Siapa cakap duit tak penting, kalau siapa yang pegang bola sepak di peringkat negeri, mereka akan tahu. Kalau siapa yang cakap duit bukan segala-galanya bagi saya dia tidak tahu apa-apa mengenai bola sepak. Saya dulu dikenakan hukuman kerana meminta duit daripada FAM dan jika ada pihak yang mahu memberi dana lebih banyak, itu sudah bagus.


"Bagus juga jika Artikel 88 itu dimansuhkan, sebab saya anggap ia peraturan tidak adil," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/24

Doa Suarez

Posted: 23 May 2014 12:32 PM PDT

Montevideo: Bintang Liverpool, Luis Suarez tetap menaruh harapan dapat beraksi di Piala Dunia selepas Persatuan Bolasepak Uruguay (AUF) belum menutup peluang untuknya beraksi di temasya berprestij itu selepas pembedahan lutut kelmarin.

Menerusi kiriman e-mel kepada wartawan Uruguay, Federico Buysan yang disiar ke akaun Twitter, Suarez berkata: "Saya berada dalam keadaan baik dan bersedia untuk beraksi. Terima kasih kepada semua pihak. Tenanglah, saya pasti turun beraksi." Terdahulu menerusi kenyataan rasmi pertama diumum kem Uruguay selepas laporan berita menyatakan Suarez perlu menjalani pembedahan, AUF menjelaskan pemain itu mengalami kesakitan yang amat sangat di lutut kiri ketika sesi latihan pagi Rabu lalu.


Justeru, menurut kenyataan itu, AUF kemudian memutuskan Suarez perlu menjalani pembedahan artroskopik bagi memperbaiki kerosakan meniskus. Kenyataan itu menambah tiada kecederaan lain dikesan, namun AUF menjelaskan, pemain berusia 27 tahun itu mengalami kecederaan di lutut sama ketika bermain untuk Liverpool menentang Newcastle United pada hari terakhir Liga Perdana, 11 Mei lalu.

Memakai jeans dan jaket sukan, Suarez tampak ceria ketika meninggalkan hospital dengan menggunakan kerusi roda kelmarin.


Pemain itu melambai kepada puluhan peminat yang memberikan kata-kata semangat apabila dia dibawa pergi menggunakan ambulans.


Dia kini berlumba dengan masa untuk bersedia mengharungi kempen Piala Dunia bersama Uruguay yang memulakan aksi pertama menentang Costa Rica dalam tempoh tiga minggu di Fortaleza, utara Brazil.

AUF turut mengesahkan laporan awal wartawan televisyen Martin Charquero, menerusi akaun Twitter bahawa Suarez mengalami kesakitan ketika latihan sebelum imbasan MRI mengesan masalah meniskus.


Suarez penjaring utama Liga Perdana musim ini dengan 31 gol selain memenangi gelaran Pemain Terbaik PFA serta Pemain Terbaik Persatuan Penulis Bolasepak Inggeris.

Kelabnya, Liverpool turut memantau rapat perkembangannya.


Pakar menyatakan, dia memerlukan dua hingga enam minggu untuk pulih daripada pembedahan bersaiz lubang kunci, namun AUF kekal optimis. Uruguay, juara Copa America 2011 kini berdoa harapan menggandingkan Suarez dan penyerang Paris Saint Germain, Edinson Cavani menjadi kenyataan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/24

'Keputusan sukar gugur Donovan'

Posted: 23 May 2014 12:28 PM PDT

Los Angeles: Penjaring terbanyak Amerika Syarikat (AS), Landon Donovan tersisih daripada senarai 23 pemain yang dinamakan Jurgen Klinsmann untuk kempen Piala Dunia 2014, kelmarin.

Donovan yang menjaringkan 57 gol, antara 30 pemain disenaraikan menjalani latihan terakhir namun gagal mendapat tempat yang sepatutnya menjadi penampilan keempatnya di Piala Dunia.


Pemain berusia 32 tahun itu menegaskan dia tidak beraksi baik untuk disenaraikan dalam skuad ke pusingan akhir di Brazil.

Dia tidak diturunkan secara kerap dalam kempen kelayakan, bermain hanya tiga daripada 10 perlawanan di pusingan akhir selepas tidak beraksi hampir empat bulan.


Namun apabila pemain veteran yang pernah menjadi lambang bola sepak AS berada dalam senarai 30 pemain, majoriti peminat menjangkakan dia akan beraksi di Brazil.


Klinsmann yang membantu Jerman memenangi Piala Dunia pada 1990 sebagai pemain dan melatih Jerman melangkah ke separuh akhir 2006 berkata, keputusan menggugurkan Donovan antara yang paling sukar dalam karier kejurulatihannya.

"Untuk memberitahu seorang pemain sepertinya, dengan apa yang sudah dilakukan dan diwakilinya, untuk memberitahunya anda bukan sebahagian daripada 23 pemain...," kata Klinsmann. "Saya melihat pemain lain hanya mempunyai sedikit kelebihan berbanding dirinya.


"Kekecewaan yang dirasainya amat besar," kata Klinsmann. "Tapi dia menerimanya seperti seorang profesional kerana dia pemain yang sungguh luar biasa.

"Namun saya perlu membuat keputusan berdasarkan hari ini. Saya fikir beberapa pemain lain ketika ini lebih bagus berbanding dia." Klinsmann membawa skuad yang pada dasarnya kurang berpengalaman ke Piala Dunia dengan AS berada dalam Kumpulan G bersama Ghana, pasukan yang mara ke suku akhir edisi 2010, pasukan yang layak ke separuh akhir Euro 2012, Portugal dan pasukan pilihan menjulang kejuaraan, Jerman.


Mereka akan memulakan kempen menentang Ghana pada 16 Jun. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/24

Bukan sebab Van Gaal

Posted: 23 May 2014 12:27 PM PDT

Tokyo: Bintang Jepun, Shinji Kagawa tidak akan menggunakan Piala Dunia untuk mencuri perhatian pengurus baru Manchester United, Louis van Gaal selepas sering disisihkan David Moyes musim ini.

"Semua orang tahu saya ingin bermain dengan baik di Piala Dunia dan begitu juga pemain lain," kata pemain tengah menyerang berusia 25 tahun di kem latihan Jepun, minggu ini, menjelang penampilan pertamanya di pentas terbesar bola sepak itu.


"Namun saya tidak mahu keutamaan bercampur-baur, perkara penting, Jepun meraih kemenangan di Piala Dunia," kata Kagawa.

"Saya tidak akan menggunakan Piala Dunia untuk mempamerkan kemampuan kepada Van Gaal," kata Kagawa yang pernah muncul juara Bundesliga bersama Borussia Dortmund sebanyak dua kali, tetapi gagal meledak sebarang jaringan dalam 30 penampilannya untuk United pada musim kedua di Old Trafford.


Dia tampil dalam 18 perlawanan di bawah kendalian Moyes yang menggantikan pengurus legenda, Alex Ferguson pada awal musim 2013-2014.


Pelantikan Van Gaal sebagai pengganti pengurus dari Scotland yang dipecat itu tidak mengganggu Kagawa yang berkata, kehadiran beliau tidak memberi kejutan kepada Red Devils.

"Kami sudah tahu sebelum ini beliaulah orangnya," kata Kagawa.


"Kami mempunyai Piala Dunia terlebih dulu untuk difikirkan dan saya akan menangani perkara lain selepas ia berakhir." Kagawa akan mengetuai Samurai Biru di jentera serangan bersama pemain AC Milan, Keisuke Honda di Brazil bulan depan ketika berdepan Ivory Coast, Greece and Columbia dalam Kumpulan C. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/24

Bellamy gantung but

Posted: 23 May 2014 12:25 PM PDT

London: Bekas penyerang Manchester City dan Liverpool, Craig Bellamy mengumumkan persaraannya, kelmarin.

Bellamy yang bermain untuk kelab bandarnya, Cardiff City sejak dua musim lalu mengambil keputusan menggantung but selepas membuat keputusan tidak lagi sanggup bermain di peringkat tertinggi.


Pemain antarabangsa Wales berusia 34 tahun itu gagal menghalang Cardiff daripada tersingkir ke Liga Kejohanan dan menganggap kegagalan itu sebagai isyarat untuk menamatkan kerjaya cemerlang 17 tahun yang pernah menyaksikannya beraksi bersama Celtic, Newcastle United, West Ham United, Norwich City, Blackburn Rovers dan Coventry City.

Bellamy memenuhi impian kanak-kanaknya dengan membantu Cardiff memenangi promosi ke Liga Perdana Inggeris pada 2013, sekali gus menamatkan kemarau 51 tahun kelab selatan Wales itu bersaing di peringkat tertinggi.


"Saya sebenarnya sudah membuat keputusan untuk bersara beberapa tahun lalu, tapi kali ini saya benar-benar terpaksa melakukannya. Saya sudah tidak larat.


"Sudah sampai masanya untuk saya berhenti. Apabila Cardiff melonjak ke Liga Perdana, saya mahu berhenti kerana sudah membantu kelab bandar saya beraksi di saingan perdana.

"Tapi, apabila saya bercakap dengan Malky Mackay (pengurus ketika itu), beliau memujuk saya untuk beraksi satu lagi musim dan saya setuju. Kini saya tidak pasti dapat melakukannya lagi," katanya.


Bellamy bersara dengan menjaringkan 169 gol selain pingat Piala Liga dan Perisai Kemasyarakatan yang dimenangi di Liverpool di samping Piala Scotland ketika bersama Celtic. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/24

Perebutan dua dunia

Posted: 23 May 2014 12:25 PM PDT

Lisbon: Tiada perlawanan lebih menarik selain final Liga Juara-Juara.

Tahun lalu dua kelab gergasi Jerman berentap untuk merebut trofi kelab bola sepak paling berprestij itu dan kali ini pertembungan lebih hebat bakal disajikan.


Bayern Munich dan Borussia Dortmund dipisahkan dengan jarak 490 kilometer manakala Atletico Madrid dan Real Madrid pula hanya perlukan beberapa jam perjalanan.

Pastinya tiada perlawanan lebih besar berbanding aksi setempat Madrid bagi final Piala Eropah.


Permusuhan mereka sebenarnya tercetus sejak 86 tahun lalu. Pada masa itu Real dianggap pasukan yang sudah dikenali dan Atletico pula dilabel sebagai pemberontak dengan kedua-dua pasukan kini sudah bertemu sesama sendiri 264 kali.


Pertembungan kali ini membabitkan dua pasukan yang berbeza dari segi keadaan semasa dan gaya. Real kini menjadi pasukan terkemuka dunia dan juga kelab terkaya. Stadium mereka Estadio Santiago Bernabeu, tersergam indah di Paseo de la Castellana iaitu laluan terbesar dan terpanjang yang menghubungkan bank, pusat perniagaan dan kedutaan. Mereka mengecapi kejayaan dan menggunakan sepenuhnya kekayaan beberapa dekad lalu untuk menarik minat ramai pemain bintang dalam usaha memburu kejuaraan Eropah ke-10.

Trofi ke-10 itu penting hingga diberi jolokan La Decima. Kelab ini sinonim dengan kejohanan ini apabila memenangi lima final pertama yang kemudian terhenti di angka kesembilan sejak 2002. Mereka mahu menjadi kelab pertama di Eropah yang mengumpul kejuaraan dua angka.


Jika kejuaraan yang mereka raih sebelum ini bergantung kepada semangat menyerang kini mereka sudah mempunyai jentera serangan mengancam. Ketika Karim Benzema dilihat tidak begitu mengancam, ancaman sebenarnya hadir daripada pemain sekelilingnya.

Gandingan Cristiano Ronaldo dan Gareth Bale dilihat sebagai duo berbisa dengan kedua-dua pemain itu mengumpul 21 gol dalam kempen Liga Juara-Juara musim ini, 56 peratus daripada gol dihasilkan pada saingan itu. Dalam kempen ini saja, Ronaldo sudah mengumpul jumlah gol dalam Liga Juara-Juara sama seperti enam musimnya di Manchester United.


Sementara itu, gaya Atletico bukanlah seperti bangsawan malah lebih kepada kelab kelas pertengahan. Mereka beraksi di Vicente Calderon, terletak di sebelah kilang bir sepanjang Sungai Manzanares serta mempunyai laluan kereta di bawahnya.


Los Colchoneros hanya pernah sekali beraksi di final Piala Eropah 1974 yang menyaksikan mereka tumpas perlawanan itu. Tiada apa yang lebih menggembirakan mereka kali ini melainkan melakar sejarah baru dan pada masa sama mengecewakan musuh tradisi.


Di bawah bimbingan Diego Simeone, cara permainan mereka sememangnya mengikut gaya pengurus itu. Selain ketepatan, permainan kemas serta diperkuat benteng terbaik di Eropah, tahap fizikal dan kerajinan pemain mereka tidak dapat ditandingi. Mereka tidak memberi perhatian terhadap gaya bermain menarik, tetapi mereka tidak peduli. Mereka juara Sepanyol dan sudah terbukti hebat.


Final antara mereka bakal menemukan dua pasukan yang mengenali satu sama lain, dua pasukan berbeza, corak menyerang terbaik dalam bola sepak bertemu lawan dengan pertahanan kental. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/24

Resah nanti status Ronaldo, Benzema

Posted: 23 May 2014 12:24 PM PDT

Lisbon: Real Madrid turun beraksi dalam final Liga Juara-Juara dibelenggu persoalan mengenai kedudukan pemain bintang mereka.

Meskipun Carlo Ancelotti memberi jaminan Cristiano Ronaldo cergas untuk beraksi namun kesangsian tetap wujud selepas melihat aksinya ketika memanaskan badan sebelum perlawanan dengan Espanyol, 17 Mei lalu selain kurang berlatih minggu ini.


Hakikatnya kecederaan otot tidak mudah untuk kembali sembuh. Ronaldo tidak bermain sejak 7 Mei dan untuk mengharapkan dia cergas 100 peratus serta beraksi dengan kepantasan serta kemahirannya dianggap tidak munasabah.

Ancelotti amat memerlukan Ronaldo di padang. Dia mungkin berada dalam kesebelasan utama, namun jika sesuatu yang buruk berlaku dan keputusan perlawanan tidak memihak kepada Real, sudah pasti percaturan itu dipertikaikan.


Tahap kesihatan Karim Benzema juga menimbulkan keraguan selepas penyerang Real itu meninggalkan padang pada minit ke-60 perlawanan terakhir liga akibat kecederaan pangkal paha. Kesediaannya untuk beraksi masih menjadi tanda tanya dan Ancelotti mengaku tidak pasti dia boleh diturunkan atau sebaliknya.


Andai Ronaldo dan Benzema disenaraikan dalam kesebelasan utama, Ancelotti pasti menggunakan formasi 4-3-3 yang dipraktikkannya sejak mengubah strategi 4-2-3-1 pada awal Januari lalu. Gareth Bale dan Benzema akan bersama Ronaldo di bahagian serangan yang digeruni pertahanan lawan.

Bagaimanapun jika Ronaldo tidak boleh bermain, Isco akan mengambil tempatnya dan andai Benzema juga cedera, Alvaro Morata pula diberi peluang menikmati perlawanan terbesar dalam kariernya.


Di bahagian pertahanan, kecederaan menyebabkan keputusan lebih sukar perlu dilakukan. Laporan awal mendakwa Pepe mungkin tidak cergas untuk disenarai sebagai pemain utama sekali gus membuka tempat buat Raphael Varane bermain di samping Sergio Ramos.

Marcelo bakal mengisi slot pertahanan kiri manakala Dani Carvajal beraksi konsisten di posisi kanan musim ini. Pemain berpengalaman Alvaro Arbeloa turut menjadi pemain pilihan untuk Ancelotti di bahagian pertahanan.


Iker Casillas akan menjaga gawang, tanggungjawab yang digalasnya sepanjang aksi Liga Juara-Juara musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/24

Hamstring hantui Costa

Posted: 23 May 2014 11:49 AM PDT

Lisbon: Diego Simeone berdepan masalah menurunkan barisan terbaiknya pada final malam ini.

Kecederaan hamstring dialami Diego Costa bakal menjadi alasan dia diketepikan dan sekiranya penyerang itu berasa selesa untuk bermain, ia masih dianggap berisiko untuk menurunkannya dalam kesebelasan utama.


Perkara terakhir yang perlu dilakukan Atletico adalah mengeluarkannya daripada skuad seperti ketika menentang Barcelona dan menyebabkan strategi permainan Simeone terjejas teruk. Meskipun Simeone secara terbuka menyuarakan keyakinan mengenai peluang Costa beraksi, laporan kecederaan hamstring tahap 1 memberi gambaran penyerang Sepanyol itu bakal diketepikan.

Tahap kecergasan Arda Turan juga menjadi masalah selepas pemain sayap itu mengalami kecederaan ketika menentang Barcelona, namun dia dijangka diturunkan.


Selepas nama Costa mungkin tersisih, Simeone perlu membuat keputusan berat siapa yang bakal bertindak sebagai penyerang dan formasi yang digunakan. Jika dilihat kepada pilihannya sepanjang musim ini, beliau lebih gemar menggunakan formasi 4-4-2 dengan dua penyerang dan dua pemain sayap yang diberi peranan lebih ketika menyerang serta dua pemain tengah bertahan. Bagaimanapun dalam tiga daripada empat pertembungan Atletico dan Real Madrid, beliau menerapkan formasi 4-2-3-1 dengan menambah pemain tengah untuk beraksi di belakang penyerang tunggal.


Dengan Costa diketepikan, Simeone dilihat akan memilih untuk menggunakan formasi 4-2-3-1 pada final berdasarkan fakta berikut: Atletico hanya menggunakan tiga pemain berbeza di posisi penyerang tengah dan sudah pasti tiada pemain pilihan keempat. Melainkan Costa mencipta keajaiban untuk pulih semula, mereka bakal menurunkan gandingan David Villa dan Andrian.

Namun ia strategi yang penuh berisiko, sekiranya seorang mengalami kecederaan ia pasti menyukarkan untuk membuat pertukaran taktikal ketika permainan berlangsung. Menurunkan Villa sambil dibantu Raul Garcia di belakangnya untuk memainkan peranan penyerang tengah mungkin pilihan terbaik.


Dengan Villa dan Garcia menggerakkan jentera serangan, ia bakal memudahkan untuk rakan sepasukan beraksi seperti biasa. Arda Turan dan Koke akan bermain sebagai pemain sayap, Gabi di bahagian tengah manakala Tiago Mendes mungkin diberikan tugas lebih kepada bertahan.

Juanfran dan Filipe Luis dijangka beraksi di posisi pertahanan kiri dan kanan dengan Diego Godin dan Joao Miranda mengukuhkan benteng di depan penjaga gol Thibaut Courtois.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/24

Ambil iktibar!

Posted: 23 May 2014 11:48 AM PDT

Kelana Jaya: Laluan cukup perit buat Perak yang kini bergelut dengan pasukan kelompok bawahan Liga Super apabila mereka bukan saja didenda RM140,000 malah terpaksa beraksi tanpa penonton dalam empat perlawanan berkuat kuasa minggu depan gara-gara kekecohan dicetuskan penyokong sendiri.

Hukuman itu diputuskan Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) semalam selepas membicarakan lapan pertuduhan ke atas Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) berhubung dua kes kekecohan penyokong The Bos Gaurus di Stadium Perak, Ipoh pada aksi Liga Super menentang Selangor pada 5 April dan Johor Darul Ta'zim (Johor DT) pada 15 April.


Bagaimanapun PAFA sebenarnya bernasib baik lantaran jawatankuasa itu memberi 'diskaun' kerana jika mengikut peraturan mereka sepatutnya membayar RM200,000 bagi kedua-dua kes itu serta dihukum beraksi dalam stadium kosong sebanyak lapan perlawanan.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM Datuk Taufek Abd Razak, pihaknya masih bertimbang rasa mengenakan hukuman itu apabila akan memantau dulu perlawanan pertama Perak tanpa penonton di Ipoh dan sekiranya tiada kekecohan berlaku, mereka akan menarik kembali larangan bagi baki tiga lagi perlawanan itu.


"Jawatankuasa sudah banyak kali membuat pertimbangan, kami tak mahu ada penyokong terkorban baru mahu bertindak. FAM pernah menjatuhkan hukuman sama kepada Kelantan dan Sarawak sebelum ini dan kami mahu hukuman kali ini memberikan pengajaran kepada semua pihak dan bukan Perak saja.


"Kami akan gantung empat perlawanan tanpa penyokong dan memantau perlawanan pertama itu, sekiranya kalau di luar (stadium) masih ada lagi penyokong degil, penggantungan tiga lagi perlawanan akan diteruskan. Jika tiada kekecohan, baki penggantungan akan ditarik balik.

"Sekiranya perlawanan liga tidak cukup, hukuman penggantungan itu akan dibawa ke Piala Malaysia atau ke musim depan," katanya kepada pemberita semalam.


Bagi kes pertama dalam perlawanan menentang Selangor, jawatankuasa itu turut melaksanakan denda atas kesalahan penyokong Perak membakar 14 suar, RM10,000, melakukan provokasi (RM70,000) dan gagal menyediakan keselamatan (RM130,000).

Namun mengambil kira peruntukan Perkara 80, Jawatankuasa Tatatertib FAM hanya mendenda sejumlah keseluruhan RM70,000.


Dalam kes kedua dengan Johor DT, PAFA didenda atas lima kesalahan, penyokong membakar mercun (RM10,000), bakar suar (RM20,000), tindakan agresif kepada penyokong Johor DT dan mencederakan seorang jurugambar (RM50,000), merosakkan kenderaan Johor DT (RM50,000) dan gagal sediakan keselamatan (RM70,000).


Namun sekali lagi Taufek menggunakan peruntukan Perkara 80 untuk mengurangkan denda itu sebanyak RM70,000 saja.


Turut bernasib malang Persatuan Bolasepak Pulau Pinang (PFA) yang didenda RM10,000 atas tindakan liar penyokongnya dalam perlawanan dengan Johor DT II di Stadium Bandaraya, 3 April lalu.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/24

Ini baru Bos Gaurus!

Posted: 23 May 2014 11:33 AM PDT

Ipoh: Perak mempamerkan persembahan terbaik mereka musim ini untuk melakar kejutan dengan membaham Sarawak 4-1 di Stadium Perak, malam tadi untuk keluar dari tangga tercorot Liga Super.

Ketika kemenangan tampak mustahil ke atas pasukan Bujang Senang, The Bos Gaurus membuktikan kepada peminat, mereka belum tersingkir ke Liga Perdana biarpun menghuni dasar Liga Super sebelum sepak mula.


Kemenangan itu melonjakkan Perak ke tangga lebih teratas berikutan pencabarnya seperti ATM, PKNS FC dan Sime Darby FC tidak beraksi malam tadi.

Yang pasti peminat Perak yang dikejutkan dengan denda oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berikutan insiden salah laku penonton menyaksikan pemain Seladang memilih cara terbaik untuk membantu penyokong mereka melupakan kesedihan tidak dapat menonton beberapa perlawanan di tempat sendiri.


Pada perlawanan malam tadi, kedua-dua pasukan bermula dengan berhati-hati yang menyaksikan mereka berbalas serangan dalam usaha mencari gol.


Begitupun tuan rumah yang lebih banyak menguasai permainan akhirnya memecah kebuntuan apabila Marco Tulio menolak masuk dari jarak dekat hasil hantaran Milan Purovic pada m-25.

Gol itu menyemarak semangat tuan rumah yang melancarkan serangan bertalu-talu dalam mencari gol tambahan.


Babak kedua menyaksikan perubahan corak permainan Perak dan penguasaan mereka kemudian bertukar menjadi pesta jaringan apabila Milan Purovic memanfaat hantaran pendek Muhd Ridzuan untuk melencongkan bola melepasi jangkauan Sani Anuar Kamsani pada m-50.

Sembilan minit kemudian giliran Norhakim Md Isa mencatat nama apabila menjaringkan gol ketiga Perak.


Sarawak merapatkan jurang melalui sepakan percuma Ryan Griffiths pada m-63, tetapi dua minit kemudian Tulio melengkapkan malam penuh bergaya buat tuan rumah dengan gol keempat dan kedua peribadinya. untuk menconteng aib di wajah pasukan Bujang senang.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/24

No comments:

Post a Comment