Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


JKR tak pantau

Posted: 27 May 2014 10:34 AM PDT

Kangar: Giliran Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri pula dipersalahkan gara-gara pusat akuatik Kompleks Sukan Kangar masih tidak siap sedangkan acara renang sepatutnya bermula hari ini.

Satu-satunya jalan yang dapat difikirkan ialah penganjur terpaksa mengambil keputusan menangguhkan acara akuatik dan ia akan hanya bermula esok, lewat sehari daripada jadual asal.

Lawatan Timbalan Menteri Belia dan Sukan (KBS) Datuk M Saravanan ke venue berkenaan petang semalam mengundang kesal apabila beliau mendapati tidak seorangpun wakil JKR berada di situ untuk memantau semua kerja pembinaan.

Ketiadaan wakil JKR itu disifatkan antara punca mengapa kolam renang terbabit lewat disiapkan.

Foto

SARAVANAN (kanan) melawat Pusat Akuatik yang masih dalam pembinaan.


Akibatnya, KBS terpaksa mengeluarkan bajet tambahan RM300,000 bagi menyediakan lokasi lain di Kedah andai pusat akuatik itu tetap gagal disudahkan menjelang tengah malam ini.


Saravanan berkata, keseluruhan venue itu sudah siap, namun beberapa penambahbaikkan perlu dilakukan bagi menjamin keselamatan atlet.

"Saya sedih ketika saya hadir untuk menyemak keselamatan di sini, saya tidak lihat wakil JKR. Jika berlaku perkara tidak diingini, siapa yang akan bertanggungjawab?

"Pegawai mereka sepatutnya perlu ada di sini hingga siap. Dari segi infrastruktur memang sudah sedia, tapi kita cuma tingkatkan ciri-ciri keselamatan.

"Perubahan ini dilakukan atas pandangan pakar. Sebab itulah kami ambil tanggungjawab ini kerana tidak mahu jika berlaku sebarang kejadian, mereka tuding jari kepada KBS dan Majlis Sukan Negara (MSN)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/28

Badang Pahang ungguli angkat berat

Posted: 27 May 2014 10:31 AM PDT

Kuala Perlis: Badang Pahang mengungguli acara angkat berat apabila membolot tiga pingat emas di Dewan Tertutup Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), semalam.

Mohamad Taufiq Idham Razali, 16, cemerlang mengangkat 111 kilogram (kg) dalam acara clean & jerk bagi kategori 52kg untuk menghampakan atlet Pulau Pinang dan tuan rumah iaitu Mohamad Harith Lutfie Adnan serta Muhammad Aizat Ahmad Nazim yang meraih perak dan gangsa.

"Seronok dan bangga dapat emas hari ini.

Begitupun, saya sedikit kecewa kerana tidak dapat meneruskan aksi konsisten dalam acara snatch.

"Jurulatih kata saya boleh dapat dua emas menerusi kedua-dua acara, tapi saya hanya dapat satu.

Saya janji akan cuba lakukan lebih baik pada SUKMA akan datang," katanya.

Dalam acara snatch 52kg, rakan sepasukannya, Mohamad Shahrizal Abd Razak menyingkirkan Mohamad Anas Malik Mokhtar dari Kedah apabila mengangkat 90kg pada percubaan terakhir manakala gangsa diraih Muhammad Aizat Ahmad Nazim dari Perlis.

Kontinjen Pahang terus ceria dengan satu lagi emas dalam kategori snatch 56kg apabila Muhammad Azroy Hazal Wafie melakukan angkatan 111kg.

Foto

TAUFIQ (kiri) dan Shahrizal puas memenangi pingat emas.


Tempat kedua milik Zulhelmi Mohd Pisol dari Pulau Pinang dengan angkatan 107kg dan tempat ketiga milik peserta tuan rumah Mohamad Shafiq Shafie, 103kg.

Sementara itu, pasukan angkat berat Pulau Pinang berjaya menyekat dominasi Pahang apabila Zulhelmi Mohd Pisol mengangkat 135kg dalam acara clean & jerk kategori 56kg buat menebus kehampaan pada acara terdahulu.

Muhamad Aznil Bidin dari Kedah memenangi perak dengan 134kg dan Muhammad Azroy gangsa, 130kg.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/28

Terengganu pamer belang acara kanu

Posted: 27 May 2014 10:30 AM PDT

Padang Besar: Terengganu membuktikan kejaguhan mereka dalam sukan kanu apabila mengungguli 14 emas keseluruhan - lima daripadanya pada hari terakhir di Kompleks Air Tasik Timah Tasoh, semalam.

Berikutan catatan itu, kanu jelas lubuk emas Terengganu untuk dinobatkan juara keseluruhan acara berkenaan di SUKMA Perlis.

Dua rekod kebangsaan turut dilakar pendayung Terengganu dengan kelibat Nor Azita Ibrahim, Noor Azira Ibrahim, Fatin Ajeerah Wahab dan Muhammad Uweis Arqroni Rahmat pasti lebih digeruni selepas ini.

Nor Azita meraih emas dalam acara K! dengan catatan 55.74 saat.

Dia membuktikan kejaguhannya sekali lagi apabila menyumbangkan emas kedua peribadi ketika bergandingan dengan kakak, Nor Azira menerusi acara K2 wanita dengan catatan 52.37s.

Fatimah Ngah kemudian menghadiahkan emas dalam acara TK1 wanita dengan 1 minit 07.7s, sebelum pasangan K2 lelaki, Ahmad Shafiq Moha dan Muhammad Uweis Arqroni cemerlang dengan 40.13s.

Terengganu melengkapkan kutipan lima emas menerusi gandingan Akmal Idayu Mat Razik, Fatin Ajeerah, Nor Azita dan Nor Azira dalam acara K4 wanita dengan catatan 48.63s.

"Kebanyakan atlet kami baru pertama kali menyertai SUKMA.

Saya bangga mereka berjaya melepasi sasaran lapan emas ditetapkan.

"Selepas ini kami akan beri komitmen lebih padu untuk temasya akan datang," kata jurulatih Muhammad Hakimi Jamaluddin.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/28

Harith pilihan Nazmizan

Posted: 27 May 2014 10:29 AM PDT

Arau: Bekas raja pecut Asia Tenggara Nazmizan Muhammad meramalkan saingan acara 100 meter bakal dikuasai kontinjen Terengganu dengan Harith Ammar Mohd Sobri sebagai calon pilihan mempertahankan acara riben biru yang dimenanginya dua tahun lalu.

Nazmizan yang kini memikul tanggungjawab selaku ketua jurulatih skuad olahraga Perlis berkata, berdasarkan prestasi semasa, Harith Ammar yang meraih pingat perak 200m Sukan SEA Myanmar hujung tahun lalu selain catatan 10.70 saat dalam acara 100m baru-baru ini meletakkan atlet Terengganu itu sebagai pilihan.

"Kali ini saya memilih Harith Ammar untuk dinobat juara.

Saya pilih dia kerana keupayaannya melakukan masa terpantas tahun ini dengan catatan 10.70s yang tidak mampu dicabar mana-mana atlet di sini.

"Lagipun dia juara bertahan 100m SUKMA, sudah pasti keyakinan dirinya tinggi.

Tidak mustahil dia akan bergelar raja pecut dua kali berturut-turut," katanya pada sesi latihan terakhir pasukan olahraga Perlis di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Arau, semalam.

Nazmizan menggegar arena olahraga Asia Tenggara menerusi pecutan bertenaga di Sukan SEA Vietnam 2003 yang menyaksikannya muncul pemenang pingat emas berganda acara 100 dan 200m.

Catatannya itu sekali gus menyamai pencapaian G Rajalingam di Bangkok pada 1967.

Menurut pegawai tadbir di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) itu, tuan rumah hanya menyasarkan sekurang-kurangnya satu emas, dua perak dan dua gangsa dalam acara olahraga yang bakal memulakan aksi esok.

"Secara realistik, atlet kami masih jauh jika dibandingkan dengan negeri lain.


Dua tahun lalu di Kuantan, kami tidak berjaya membawa pulang sebarang emas.

"Kali ini kami meletakkan harapan hanya satu emas dalam salah satu empat acara yang disasarkan iaitu melempar cakera, baling tukul besi, lompat jauh dan 800m.


Sasaran itu memang nampak agak rendah, tapi itu saja kualiti atlet yang kami ada," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/28

Pengorbanan Natahsya berbaloi

Posted: 27 May 2014 10:29 AM PDT

Arau: Tindakan atlet mountain bike negara, Natahsya Soon, 19, yang mengorbankan peluangnya ketika menyertai acara merentas desa kelmarin untuk menumpukan perhatian kepada acara downhill individu wanita membuahkan hasil apabila muncul juara di trek Ulu Pauh, di sini semalam.

Kemenangan itu membolehkannya menghadiahkan pingat emas peribadi kedua buat kontinjen Sabah selepas memenangi acara BMX di litar Sungai Batu Pahat, Kangar, Ahad lalu.

"Saya memang berhasrat menyimpan tenaga selain mengelak kecederaan agar dapat memberi sepenuh tumpuan kepada acara kegemaran saya iaitu downhill," kata Natahsya.

"Ketika berlatih dan bertanding di luar negara, tahap kesukaran trek lebih tinggi.

Justeru, saya mengingatkan diri supaya tidak gentar dengan trek di sini (Ulu Pauh) namun sedikit risau sekiranya pelumba lain membuat kejutan ketika perlumbaan.

"Saya bersyukur kerana berjaya mencatat masa terpantas sekali gus mempertahankan emas dimenangi ketika di Pahang walaupun terpaksa mengorbankan peluang pingat acara merentas desa," katanya.

Pelumba dari Kota Kinabalu itu mengatasi Nur Farhanah Izzaty Zulkifli dari Perak dan pelumba Selangor, Siti Natasha Mohd Basri yang masing-masing memenangi perak dan gangsa.

Sementara itu, pemenang pingat perak acara BMX Lelaki, Ahmad Syazrin Awang Ilah dari Terengganu muncul juara acara downhill lelaki selepas mencatatkan masa terpantas 1 minit 43.717s.

Pelumba Pahang, Md Hafiz Danial Md Shahrulnizam menduduki tempat kedua diikuti Muhammad Raudhatul Razlan Abd Razak dari Melaka, ketiga.

Foto

Natahsya (kiri) berjaya kutip pingat emas acara BMX.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/28

Izzuddin pintas rekod abang

Posted: 27 May 2014 10:28 AM PDT

Arau: Impian atlet karate-do Brunei Md Izzuddin Irfan Md Faizal, 18, untuk memintas rekod peribadi abangnya dalam acara kumite tercapai apabila menewaskan lawan dari Johor sekali gus merangkul emas pertama negaranya di Dewan Kayangan, Kolej Matrikulasi Perlis, di sini semalam.

"Saya menyertai sukan karate-do agak lambat iaitu ketika berusia 16 tahun, semata-mata ingin mengikut jejak langkah abang, Md Fazil Rewandie, 32, yang pernah memenangi gangsa acara kumite di Sabah pada 2002.

"Sejak itu saya memasang tekad untuk menjejak kejayaan dicapainya namun tidak sangka hari ini saya bukan saja berjaya memintas rekod itu, malah berjaya mendapatkan pingat emas pertama untuk Brunei.

Ia juga emas pertama Brunei dalam sukan tempur ini.

"Pada mulanya saya agak gugup dan berdebar-debar sebelum perlawanan akhir.

Saya cuba tenangkan fikiran dan berbekal pesanan ibu dan kata-kata perangsang jurulatih, saya akhirnya berjaya mengawal perasaan gemuruh sebelum memberi tumpuan bagi mengutip mata," katanya.

Md Izzuddin Irfan berharap kejayaan itu akan dapat membakar semangat dan menjadi inspirasi atlet Brunei yang lain dan akan cuba mempertahankan pingat ini di Sarawak.

Pada final acara kumite individu lelaki 84 kilogram semalam, Md Izzuddin Irfan mengalahkan Julius Goh Uai Ee dari Johor manakala gangsa dimenangi peserta dari Negeri Sembilan dan Wilayah Persekutuan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/28

Peluang cerah

Posted: 27 May 2014 10:22 AM PDT

Kuala Lumpur: Pencapaian cemerlang pelumba junior negara, Muhammad Firdaus Mohd Zonis pada Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) di Kazakhstan membuka peluang buat dirinya mewakili negara ke Sukan Komanwel dan Asia tahun ini.

Perkembangan terbaru itu dinyatakan Timbalan Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) Datuk Naim Mohamad selepas pelumba berusia 18 tahun itu meraih tiga pingat emas (satu kilometer ujian masa, pecut individu dan keirin) sekali gus melakar rekod mempertahankan tiga emas dimenanginya tahun lalu selain melakar satu rekod Asia.

"Berdasarkan prestasi itu, dia sudah boleh mewakili negara. Sebelum ini kami putuskan pelumba elit negara perlu mencapai kedudukan kelima terbaik di ACC untuk layak ke dua temasya besar itu dengan Firdaus bersaing dalam kategori junior, tapi syarat berkenaan tidak boleh dipakai untuknya.

"Kami masih boleh membuat perbandingan berdasarkan catatan masanya. Andai catatannya lebih pantas berbanding pelumba di kedudukan kedua atau ketiga dalam kategori elit, kita tiada masalah menyenaraikannya. Bagaimanapun keputusan akhir terletak di tangan ketua jurulatih negara (John Beasley)," katanya.

Foto

FIRDAUS (tengah) meraih tiga pingat emas di Kazakhstan.


Turut menggembirakan Naim kejayaan pelumba elit negara, Mohd Azizulhasni Awang yang kembali meraih emas dalam acara pecut selepas beberapa tahun kemarau kejuaraan.


"Sudah lama dia tidak meraih emas, pencapaiannya itu sesuatu yang menggembirakan. Malah pelumba trek lain turut mempamerkan persembahan baik jika pencapaian di Astana diambil kira, masa depan cerah menanti Malaysia," katanya.

Skuad trek negara mempamerkan persembahan membanggakan apabila pelumba elit negara secara keseluruhannya meraih empat emas, tiga perak dan empat gangsa dengan skuad junior negara menyumbang tiga emas, dua perak dan dua gangsa.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/28

Ahmad tekad bangkit

Posted: 27 May 2014 10:20 AM PDT

Kuala Lumpur: Ahmad Abdul Kadir mahu menjadikan saingan Pusingan 4 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS sebagai medan kebangkitan untuk kembali menjejakkan kaki di podium bagi meneruskan penguasaan Motul Yamaha YY Pang dalam kategori CP115 pada hujung minggu ini.

Selepas tiga pusingan, Ahmad masih gagal menemui rentak terbaik dan seakan-akan terdesak mencari podium berikutan tiga rakan sepasukannya sudah memahat nama sebagai juara, didahului Mohd Izzat Zaidi Salehan (Pusingan 1 - Batu Kawan), Tengku Amirul Haffirudin (Pusingan 2 - Muar) dan Zaidy Mohd Zaifaizal (Pusingan 3 - Terengganu).

"Pada tahun ini kami mempunyai misi mengembalikan semula zaman kegemilangan YY Pang dan saya mahu menyumbang bakti dengan memenangi perlumbaan di Melaka.

"Rakan sepasukan saya sudah memenangi tiga perlumbaan lalu, mudah-mudahan kali ini giliran saya pula.

"Kami memilik jentera yang sama dan tidak mustahil saya melakukannya melainkan terjatuh ataupun mengalami masalah teknikal," katanya.

Malah, pasukan bertemakan warna merah itu turut menguasai tiga kedudukan teratas dengan Zaidy mengumpul 58 mata diikuti Izzat, 52, dan Tengku Amirul, 48, manakala Ahmad sekadar di tangga ketujuh dengan 24.

Bercakap mengenai prestasinya ketika ini, Ahmad mengakui dia sedikit kecewa kerana tidak begitu bernasib baik dan sering bergelut untuk menempatkan diri dalam kelompok 10 pelumba sesi kelayakan Shoot-out.

Meskipun sudah meraih pelbagai gelaran dan cukup dikenali, pasukan YY Pang masih belum meraih gelaran dalam kelas Novis/CP115 sejak kali terakhir Mohd Zanardi Azahar melakukannya pada 2005.

Zaidy hampir melakukannya pada 2011 namun terpaksa berpuas hati di tangga kedua keseluruhan di belakang Mohd Ramdan Mohd Rosli yang kini beraksi di Kejuaraan Motosikal Sepanyol CEV.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/28

Akademi Axis B, A cemerlang

Posted: 27 May 2014 10:19 AM PDT

Kuching: Siri Ke-12 Karnival Futsal Milo Hidup Bola 2014 (KFMHB) melakar sejarah tersendiri apabila Akademi Axis serta White Tiger mempunyai dua wakil dalam kedua-dua kategori bawah 12 (B-12) dan 16 (B-16) di Grand Final, 22 Jun ini.

Akademi Axis B dan A melengkapkan pencapaian hebat mereka apabila muncul dua pasukan terbaik kategori B-12 dalam saingan di Sentosa Sports Centre, baru-baru ini.

Perlawanan akhir membabitkan dua pasukan adik-beradik itu menyaksikan Akademi Axis B menumpaskan Akademi Axis A, 3-2.

Sebelum itu pada saingan separuh akhir Akademi Axis A menang tipis 1-0 ke atas KWJ A manakala Cakoza gagal menyekat kemaraan Akademi Axis B apabila tumpas 1-2.

Saingan kategori B-16 juga mengalami situasi sama apabila dua pasukan di bawah pengurusan sama layak ke Grand Final.

White Tiger A dan B memonopoli dua kedudukan teratas kategori berkenaan dengan White Tiger A muncul juara selepas mengalahkan White Tiger B.

Saingan separuh akhir pula menyaksikan White Tiger A menumpaskan KRSK TT B, 2-0 manakala White Tiger B menundukkan Konoli, 2-0.

White Tiger A dan B serta Akademi Axis A dan B akan mewakili Sarawak ke peringkat Grand Final di Ampang Sports Planet pada 22 Jun ini.

Pemenang peringkat Grand Final menerima RM15,000 dan barangan eksklusif bola sepak bernilai RM3,000 manakala naib juara (RM10,000), ketiga (RM7,000), tempat keempat (RM7,000) dan ke-5 hingga ke-8 masing-masing, RM2,000.

Hadiah disampaikan Pengurus Acara dan Sampling Nestle Sarawak Tony Merril dan Eksekutif Pemasaran Sukan Nestle Products Sdn Bhd Kerwin Lim.

KFMHB akan ke utara tanah air di Safira Sports Planet, Pulau Pinang Sabtu ini.

Borang penyertaan boleh dimuat turun melalui www.milo.com.my atau facebook.com/MILOHidupBola.


Hubungi Nik Muhd Radzi (019-3519934) atau Zack (019-9444334).

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/28

Rayu timbang semula hukuman

Posted: 27 May 2014 10:14 AM PDT

Ipoh: Peminat bola sepak Perak berharap Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah akan menilai semula hukuman keras dikenakan terhadap pasukan Seladang, baru-baru ini.

Dua kelab penyokong Perak, Peminat Bola Sepak Perak (KPBP) dan Die-hard Fanz (DHF) berharap Tengku Abdullah membersihkan kembali imej FAM yang rosak di mata ahli gabungan.

"Demi bola sepak Perak, saya harap presiden semak balik keputusan itu agar berlaku keadilan terhadap pasukan kami.

"Ini kerana keputusan itu jelas merugikan Perak serta merencat perjalanan dan perkembangan bola sepak.

Janganlah kerana nila setitik rosak susu sebelanga.

"Yang buat onar hanya segelintir sedangkan yang masih sayangkan bola sepak dan pasukan Perak golongan majoriti," kata Presiden Kelab Peminat Bola Sepak Perak (KPBP) Abd Jamil Othman.

Rakan sejawatannya dalam DHF, Roslan Md Baharom pula berkata, hukuman beraksi empat perlawanan dalam stadium kosong terhadap Perak agak keterlaluan.

"Mengarahkan Perak beraksi dalam stadium kosong sama seperti membunuh semangat pasukan.

Perak kini berusaha untuk menyelamatkan kedudukan daripada terjerumus ke Liga Perdana.

"Apa akan jadi kalau pasukan terpaksa beraksi tanpa sokongan penyokong," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/28

No comments:

Post a Comment