Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Haida 'geram' emas takraw

Posted: 28 May 2014 10:44 AM PDT

Kangar: Jika ada anugerah untuk atlet serba boleh atau paling unik, nama Siti Nor Suhaida Jafri, 18, mungkin boleh dicalonkan.

Manakan tidak, sepanjang empat kali menyertai temasya SUKMA sejak 2010 di Melaka, Haida yang mewakili Kelantan menyertai dua acara, sepak takraw (2010, 2012 dan 2014) dan bola sepak pantai (2013 - mewakili Terengganu).

Tidak cukup dengan itu, Haida yang juga bekas pelajar SMK Sultan Yahya Petra 1 Kuala Krai itu juga sering menyertai acara sukan lasak, motocross malah pernah bertanding di Krabi, Thailand, Kota Tinggi dan beberapa kejohanan lain.

Di Krabi pada 2011, namanya tersenarai dalam kelompok lima teratas manakala di Kota Tinggi dua tahun lalu, dia menduduki tempat ketiga dalam arena yang dikuasai lelaki itu.

Foto


"Saya tidak pernah takut untuk bersaing dengan lelaki dalam motocross. Saya bangga apabila berjaya menewaskan mereka," katanya.


Dilihat pada raut wajahnya yang manis, sukar untuk mempercayai Haida cukup lasak dan tidak seperti gadis lain seusianya.

"Saya mendapat galakan bapa yang juga seorang pelumba motocross terkemuka dan sering bertanding dalam kategori veteran.

"Saya memiliki enam beradik dan semuanya perempuan, tetapi hanya saya seorang yang meminati sukan lasak," katanya.

Kegilaan Haida terhadap motocross pernah membawa padah kepadanya apabila mengalami kemalangan serius hingga mengakibatkan kaki kanannya terpaksa dipasang plet besi dengan lapan skru.

Selain itu, pergelangan tangan kanannya turut patah manakala tulang punggungnya retak ketika insiden yang berlaku empat tahun lalu itu.

"Saya tidak serik untuk terus berlumba kerana ia adalah minat utama saya dan sudah terbabit dengan sukan itu sejak umur sembilan tahun lagi.

"Bagaimanapun, minat saya terhadap motocross terpaksa dipendamkan seketika kerana mahu menumpukan perhatian kepada sepak takraw.

"Saya tidak pernah menang emas sepak takraw dan kali ini saya mahu melakukannya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/29

Pusat Akuatik sah selamat

Posted: 28 May 2014 10:41 AM PDT

Kangar: Kemelut yang melanda Pusat Akuatik Kompleks Sukan Kangar akhirnya selesai apabila Persatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) mengesahkan venue terbabit sudah boleh digunakan.

Setiausaha Kehormat ASUM Edwin Chong ketika mengesahkan perkara itu semalam, berkata acara renang sudah boleh dijalankan di pusat akuatik dan saingan dalam acara itu bakal membuka tirainya pagi ini.

"Kolam ini sudah bersedia untuk menerima semua pasukan bertanding. Esok (hari ini) dalam pukul 11 pagi acara renang akan bermula dan hari ini (semalam) beberapa pasukan sudah menjalani latihan.

"Bagaimanapun, bagi acara terjun, saya tidak dapat berikan apa-apa pengesahan lagi kerana mereka (kontraktor) masih melakukan kerja-kerja di bahagian itu.

Foto

ATLET renang menyesuaikan diri dengan keadaan kolam.


"Lantai getah sudah di pasang, cuma air di kolam terjun ini saja yang masih bermasalah. Kita tunggu sampai esok pagi (hari ini), jika airnya dapat dijernihkan kita akan teruskan," katanya.


Sementara itu, jurulatih skuad renang Selangor Ong Jin Kooi melahirkan rasa lega selepas beberapa hari terpaksa menempuh perjalanan jauh untuk menjalani latihan di Pusat Akuatik Gunung Keriang, Kedah sejak tiba di Kangar.

"Ini hari pertama kami dapat berlatih dan menyesuaikan diri dengan kolam di sini. Nampaknya keadaan tempat ini bertambah baik dan saya harap segala perkara berkaitan keselamatan sudah selesai," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/29

Kad merah buat Bujang Senang meradang

Posted: 28 May 2014 10:39 AM PDT

Arau: Tindakan pantas anggota keselamatan berjaya menghalang berlaku insiden tidak diingini apabila beberapa pemain simpanan Sarawak cuba masuk ke padang selepas dua pemain mereka dilayangkan kad merah pada perlawanan Kumpulan A bola sepak SUKMA di Stadium Tuanku Syed Putra, Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini, semalam.

Pengurus Pertandingan Jamil Che Mat berkata, pihaknya mengesan perubahan emosi beberapa pemain pasukan Bumi Kenyalang itu selepas kad merah pertama dilayangkan kepada salah seorang pemain mereka pada separuh masa kedua perlawanan menentang Perlis.

Ketika itu, tuan rumah mendahului 4-1 dan perlawanan hanya tinggal beberapa minit sebelum pengadil meniup wisel penamat.

"Situasi hampir menjadi lebih kritikal apabila beberapa pemain simpanan cuba masuk ke dalam padang dipercayai untuk membantah keputusan pengadil.

Foto

PEMAIN simpanan Sarawak ditenangkan pegawai pasukan.


"Sungguhpun begitu, anggota keselamatan yang berada di situ bertindak pantas menghalang mereka daripada melakukan perkara yang tidak sepatutnya.


"Situasi itu berjaya dikawal dan akhirnya semua pemain diarah masuk ke bilik persalinan tanpa sebarang pergaduhan sama ada dalam kalangan pemain mahupun penonton," kata Jamil.

Menurutnya, pihak pengurusan bola sepak SUKMA akan menambah kawalan keselamatan menjelang perlawanan suku akhir untuk mengelak sebarang kejadian tidak diingini.
Pada perlawanan petang semalam, Sabah kembali mencerahkan peluang mempertahankan pingat emas selepas seri 2-2 dengan Pahang untuk mengiringi Perlis ke suku akhir.

Suku akhir membabitkan Sabah bertemu Johor, Perak dengan Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang menentang Kedah, sementara Perlis berdepan Negeri Sembilan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/29

Fahmi, Aisyah kayuh emas

Posted: 28 May 2014 10:37 AM PDT

Kuala Perlis: Pelatih skuad lebuh raya kebangsaan, Ahmad Fahmi Farhan Fuat (gambar) yang mewakili Pahang serta pelumba wanita Terengganu, Nur Aisyah Mohamad Zubir masing-masing meraih emas acara berbasikal ujian masa individu (ITT), semalam.

Kemenangan Ahmad Fahmi sudah diduga kerana statusnya selaku pelumba kebangsaan, tetapi kejayaan Nur Aisyah agak mengejutkan apatah lagi ia adalah penampilan pertamanya di temasya ini.

Nur Aisyah, 17, mencatat masa 53 minit 04.314 saat dan muncul pelumba terpantas di laluan sejauh 33.4km di Lebuhraya Kuala Perlis-Changlun, pagi semalam.

"Semangat saya memang membara, lebih-lebih lagi kami berlatih sebulan di Chieng Rai, Thailand. Ketika berkayuh, saya berusaha bersungguh-sungguh di sepanjang laluan walaupun berdepan tiupan angin kuat dari arah depan.

Foto


"Kemenangan ini membuatkan saya lebih bersemangat untuk memenuhi sasaran lapan emas daripada acara berbasikal yang diharapkan Majlis Sukan Terengganu. Saya harap mendapat emas lagi dalam acara ujian masa berpasukan pula esok," kata pelajar Sekolah Menengah Bukit Mentok, Kemaman itu.


Pingat perak dimenangi pelumba Pahang, Nurul Nadia Mohd Fauzi yang mancatat 54:56.921s manakala pelumba Kedah, Siti Fatimah Ismail memungut gangsa (55:04.720s).

Sementara itu, Ahmad Fahmi, 21, mencatat 55:15.699s, di depan pemenang perak dari Terengganu Mohamad Nur Aiman Mohd Zariff (55:51.608s) dan pelumba Johor, Muhammad Mustazlee Ishak (56:06.142s).

"Pada tengah hari, cuaca begitu panas dan tiupan angin juga agak kencang apabila membuat pusingan U selepas separuh jarak. Ketika itu, saya terfikir mustahil dapat melakukan catatan masa yang pantas, tetapi saya tetap mencuba.

"Ini kemenangan yang manis bagi saya kerana dalam dua penyertaan di SUKMA sebelum ini, saya gagal memenangi sebarang pingat," kata bekas pelajar SMK Temerloh Jaya yang mula menceburi sukan berbasikal menerusi acara MTB pada usia 16 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/29

Terengganu gah ke separuh akhir

Posted: 28 May 2014 10:36 AM PDT

Kangar: Terengganu berada di landasan tepat untuk mempertahankan emas acara hoki SUKMA yang dimenangi dua tahun lalu di Kuantan apabila muncul pasukan pertama layak ke separuh akhir selepas menundukkan Johor 3-2 dalam aksi Kumpulan A di Kompleks Sukan Negeri, semalam.

Kemenangan itu membolehkan Terengganu mengumpul 10 mata dan gah menduduki tangga teratas kumpulan.

Namun, di sebalik kemenangan itu, ketua jurulatih Terengganu Nik Rozemi Mohd Noor melahirkan rasa tidak puas hatinya terhadap jadual perlawanan yang disifatkannya tidak adil.

"Kami tidak langsung diberi sebarang kelebihan selaku juara bertahan.

Pemain saya dipaksa bermain di bawah panas terik dalam empat perlawanan berturut-turut.

Begitu juga perlawanan terakhir menentang Pahang esok (hari ini) apabila kami diarah bermain jam tiga petang.

"Sepatutnya berilah kami bermain pada waktu pagi sekurang-kurangnya satu perlawanan.

Foto

PEMAIN Terengganu (kanan) menghalang gerakan pemain Johor.


Cuaca panas seperti ini boleh mengganggu permainan kami.


Walaupun kepenatan, saya tetap bangga dengan semangat juang tinggi yang dipamerkan pemain," katanya sejurus tamat perlawanan.

Nik Rozemi berkata, pasukannya kini sudah bersedia untuk aksi separuh akhir pada Selasa, sekali gus mahu melangkah ke final SUKMA kali kedua berturut-turut.

"Pasukan beraksi dengan baik selain menerima arahan dengan bagus dan harapan untuk ke separuh akhir berjaya dicapai.

"Tumpuan kami kini separuh akhir, kalau boleh mahu berjumpa Perak di final dan menewaskan mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/29

Cuaca panas tak jejas Constantine

Posted: 28 May 2014 10:34 AM PDT

Kangar: "Saya berlatih mengangkat bebanan seberat 130 kilogram (kg) untuk acara snatch dan 155 kg untuk clean and jerk. Tetapi cuaca panas di sini (Perlis) sedikit sebanyak mengganggu prestasi sebenar," kata atlet angkat berat Sabah, Constantine Clement, 20, selepas menjuarai kedua-dua acara itu bagi kategori lelaki bawah 62 kg dengan mencatat rekod baru kebangsaan.

"Cuaca di sini sangat panas berbanding di tempat saya iaitu sekitar 16 darjah Celsius.

Walaupun bilik persalinan dilengkapi pendingin hawa untuk menyamankan suasana, tetapi badan saya kerap berpeluh dan menyebabkan rasa tidak selesa.

"Selepas berjaya melakukan angkatan kedua dan memecahkan rekod SUKMA, saya terus cuba untuk memecahkan rekod kebangsaan pada angkatan ketiga.

Saya gembira percubaan itu berjaya walaupun hanya satu kilogram," katanya.

Atlet dari Tambunan, Sabah itu berjaya melakukan angkatan 127 kg dan meraih emas acara snatch sekali gus memecahkan rekod kebangsaan (126 kg) yang dicipta Naharudin Mahayudin.


Pingat perak dimenangi atlet Selangor manakala gangsa dimenangi atlet Wilayah Persekutuan.

Dalam acara clean and jerk, Constantine menyempurnakan angkatan pertama 143 kg dan jumlah itu cukup untuk menobatkannya sebagai juara diikuti atlet Kelantan, Muhammad Zaidi Mohd Nordin 140 kg dan Muhamad Hisyam Hasibullah dari Selangor pingat gangsa, 131kg.

Menurut Constantine, kemenangannya itu hadiah buat jurulatih Stephen Gampion yang mula-mula mencungkil bakatnya ketika berusia 16 tahun dan dia pernah berjanji menghadiahkan emas selepas gagal memungut sebarang pingat SUKMA Pahang dua tahun, lalu.

Sementara itu, atlet angkat berat Pahang, Siti Zaleha Yusop, 17, berjaya membolot kedua-dua emas snatch serta clean and jerk kategori wanita bawah 48 kg.

Mula menceburi sukan angkat berat sejak berumur 13 tahun, Siti Zaleha berkata, dia menjadikan abang sulungnya, Zakaria Yusop, 33, yang pernah mengharumkan nama negara dalam acara itu sebagai idola.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/29

Firdaus mahu gegar Kejohanan Trek Dunia

Posted: 28 May 2014 10:27 AM PDT

Sepang: Selepas menggegar di Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) dengan meraih tiga pingat emas, pelumba junior negara, Muhammad Firdaus Mohd Zonis memburu kegemilangan di pentas lebih besar iaitu Kejohanan Trek Dunia dijadual berlangsung di Korea Selatan, Ogos ini.

"Saya akan cuba mencapai sebutir pingat kali ini dalam acara ujian masa satu kilometer.

Saya mahu memberikan yang terbaik untuk penampilan terakhir sebagai pelumba junior tahun ini," kata pelumba Selangor berusia 18 tahun itu.

Firdaus tiba di tanah air semalam dengan membawa pulang emas acara keirin, pecut individu dan ujian masa satu kilometer selain turut melakar rekod Asia dan menjadi pelumba pertama memenangi tiga pingat emas dalam tempoh dua tahun berturut-turut.

"Saingan tahun ini lebih sengit berbanding tahun lalu terutamanya dari pelumba Korea Selatan.

Saya percaya kejayaan ini hadir hasil usaha gigih berterusan dan paling memuaskan hati adalah memecahkan rekod Asia," katanya.

Bagaimanapun Firdaus tidak akan bersaing di Sukan Komanwel yang turut berlangsung pada tarikh hampir sama dan tumpuan penuh adalah untuk menghadapi Kejohanan Trek Dunia.

Namun peluang untuk dirinya tersenarai ke Sukan Asia cerah sekiranya mampu menambat hati ketua jurulatih John Beasley dan Firdaus melihat jurangnya dengan pelumba elit sudah tidak begitu jauh.

"Saya akan memberikan tumpuan sepenuhnya untuk memasuki skuad elit selepas Kejohanan Trek Dunia.


Tiada perbezaan jauh saya rasa dengan pelumba elit dan berharap akan terpilih nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/29

BAM perlu sokongan!

Posted: 28 May 2014 10:26 AM PDT

Kuala Lumpur: Kejayaan skuad negara melangkah ke final Piala Thomas serta aksi konsisten pasukan Piala Uber mendorong Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk memberi peluang kepada pemain negara menyertai lebih banyak kejohanan antarabangsa.

Timbalan Presiden BAM Datuk Norza Zakaria berkata, pihaknya sentiasa bersedia untuk perkara itu, namun beliau juga menggesa pihak kerajaan serta swasta membantu badan induk itu.

"BAM memang sentiasa bersedia.

Yang kita mahu adalah sokongan daripada pihak kerajaan dan swasta.

"Sudah tiba masanya kita menggarap pembangunan dari akar umbi dan menjadikan muka baru ini sebagai ikon seperti pemain negara sedia ada sekarang.

"Kita juga perlu mempunyai pelan strategik untuk saingan Piala Uber dan Piala Thomas," katanya.

Jurulatih perseorangan wanita negara, Wong Tat Meng sebelum ini merungut kerana barisan pemainnya kurang beraksi di kejohanan antarabangsa sekali gus menjejaskan aksi mereka pada saingan Piala Thomas.

Jelas Tat Meng, berbanding Malaysia, pasukan dari negara lain lebih banyak menghantar pemain mereka beraksi di kejohanan antarabangsa dalam tempoh setahun.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/29

Usia Chong Wei bukan penghalang: Dr Ramlan

Posted: 28 May 2014 10:25 AM PDT

Kuala Lumpur: Bukan sesuatu yang mustahil untuk Datuk Lee Chong Wei terus mengerah kudratnya hingga Piala Thomas 2016 sekali gus mencerahkan harapan untuk skuad negara melangkah ke final sekali lagi.

Ini kerana Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN), Datuk Dr Ramlan Abdul Aziz beranggapan, pemain nombor satu dunia itu mampu mengekalkan prestasinya seperti sekarang meskipun usianya semakin lanjut.

"Orang selalu meragui prestasinya disebabkan faktor usia yang semakin meningkat.

Tapi sebenarnya usia bukanlah penghalang.

"Kita sendiri sudah melihat beberapa pemain yang usia mereka semakin lanjut, tetapi berjaya mencipta kejayaan besar.

"Sekarang ini segala-galanya terpulang kepada keinginan Chong Wei sendiri untuk bermain selain terus menjaga tahap kecergasannya termasuklah mencegah daripada ditimpa kecederaan yang serius," katanya.

Begitupun Ramlan mengakui, usia yang semakin tua akan menyebabkan kaedah proses pemulihan seseorang pemain itu menjadi lebih sukar.

"Contohnya, selepas bermain Chong Wei memerlukan proses pemulihan yang agak lama ketika ini berbanding zaman mudanya dulu, itu saja.

"Chong Wei juga perlu lebih memilih kejohanan yang akan disertai sekiranya dia benar-benar mahu beraksi pada Piala Thomas 2016," katanya.

Chong Wei sebelum ini dilapor sudah menyatakan hasrat kepada Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar untuk menangguhkan persaraannya dengan terus beraksi sehingga 2016, tempoh sama berlangsungnya saingan Piala Thomas.

Pemain perseorangan negara itu menyatakan hasrat itu selepas membantu skuad negara muncul naib juara Piala Thomas yang berlangsung di New Delhi, India baru-baru ini.

Hasrat itu dilihat positif untuk skuad negara kerana pemain perseorangan lain seperti Chong Wei Feng serta Liew Daren umpamanya masih belum mampu untuk menggalas tugas selaku pemain perseorangan negara sebaik Chong Wei.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/29

Tunggu apa lagi!

Posted: 28 May 2014 10:20 AM PDT

Kuala Lumpur: Presiden Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) Hairuddin Omar berharap barisan kepimpinan baru Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) segera memuktamadkan ketua jurulatih negara yang masih belum diisi selepas tidak melanjutkan kontrak Datuk K Rajagobal penghujung tahun lalu.

Katanya, keputusan segera perlu dilakukan kerana Harimau Malaya bakal bersaing di Piala AFF penghujung tahun ini dengan jurulatih baru pastinya memerlukan masa untuk mengenalpasti pemain yang diinginkan.

"Liga Super dan Perdana hanya berbaki lima perlawanan dan hanya yang tinggal kancah Piala Malaysia dengan sesetengah pasukan bersaing di peringkat kumpulan saja.

Jika FAM mahu mengambil jurulatih asing, dia perlu melihat sendiri pemain beraksi dan perlu disegerakan pelantikan jurulatih baru.

"Saya percaya kepimpinan yang baru dipilih pastinya mahu Harimau Malaya mendapatkan keputusan bagus di AFF bagi membuktikan mereka berkemampuan," kata bekas pemain kebangsaan itu.

FAM sebelum ini menyatakan pengumuman jurulatih baru skuad negara akan dilakukan selepas pemilihan pucuk pimpinan baru yang berlangsung Ahad lalu selepas beberapa nama disenaraikan untuk mengisi jawatan itu dengan Datuk Ong Kim Swee yang juga pengendali skuad bawah 23 tahun negara dilantik sebagai pemangku sementara.

"Saya harap FAM mengambil jurulatih yang sanggup bekerja keras membentuk pemain Malaysia menjadi lebih kompetitif bertanding di peringkat antarabangsa.

Foto

HAIRUDDIN percaya dengan keupayaan barisan kepimpinan FAM.


Biarlah jurulatih itu tidak mempunyai nama besar, tetapi dia memahami kualiti pemain dan liga kita," katanya.

Menyentuh kepimpinan baru FAM yang diterajui Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, Hairuddin berharap badan induk berkenaan dapat memberi tumpuan kepada pembangunan akar umbi yang lebih sistematik bagi melahirkan generasi pemain yang lebih berkualiti.

"Ketika ini FAM seolah-olah dilihat hanya menganjurkan Liga M saja, dengan perancangan penswastaan yang dirancang tahun depan mereka sudah boleh memberikan tumpuan sepenuhnya kepada aspek pembangunan akar umbi dan skuad negara.


Apa yang kita nampak ketika ini adalah program pembangunan yang dijalankan individu tertentu saja," tambahnya.

Malah pemain berpengalaman berusia 35 tahun itu berharap, kepimpinan baru mempunyai sasaran jangka pendek dan panjang bagi bola sepak negara.

"Lihatlah apa yang dilakukan Jepun sekarang.

Mereka sudah separuh daripada pelan 50 tahun yang direncanakan dengan baki 25 tahun sasaran mereka adalah untuk menjulang Piala Dunia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/29

No comments:

Post a Comment