Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Niat kahwin punah

Posted: 04 May 2014 12:39 PM PDT

Hasrat seorang pekerja gedung pakaian untuk menamatkan zaman bujang penghujung tahun ini tidak kesampaian apabila dia maut dalam kemalangan di Bukit Piatu, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 9.30 pagi, Mohd Azhar Hassan, 27, yang menunggang motosikal Yamaha LC135 dikatakan dalam perjalanan ke tempat kerja sebelum terbabit kemalangan itu.

Bapa mangsa Hassan Baba, 72, berkata, dia yang dimaklumkan mengenai kejadian menimpa anaknya bergegas ke tempat kejadian dan setibanya di lokasi, mayat Mohd Azhar sudah dibawa ke Hospital Melaka untuk dibedah siasat.

"Arwah jarang pulang ke rumah saya di Cheng, di sini dan tinggal bersama ibu angkatnya di Kampung Bukit Pulau, Melaka.

Kali terakhir dia balik rumah sebulan lalu.

"Malah, Mohd Azhar ada menyatakan hasrat untuk berkahwin penghujung tahun ini, namun semua itu tinggal kenangan," katanya ketika ditemui di perkarangan Bilik Mayat Hospital Melaka, di sini, semalam.

Menurutnya, dia sekeluarga reda dengan kejadian itu namun terkilan kerana sudah agak lama tidak menemui anaknya itu.

Sementara itu, sumber berkata, kejadian itu dipercayai berlaku selepas arwah dikatakan cuba mengelak kereta yang tiba-tiba keluar dari simpang lalu masuk ke laluan bertentangan dan terbabit kemalangan dengan sebuah lori membawa muatan tong gas.

"Berikutan kemalangan itu, motosikal Yamaha LC135 ditunggang mangsa terseret dan merempuh pula motosikal ditunggang wanita yang juga rakan sekerjanya.

"Berikutan kemalangan itu, Mohd Azhar maut di tempat kejadian akibat parah di kepala, manakala wanita berkenaan hanya cedera ringan," katanya di sini, semalam.

Difahamkan, wanita berusia 24 tahun yang turut terbabit kemalangan itu mengandung enam bulan dan dihantar ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut.

Beliau berkata, mayat dihantar ke bilik mayat Hospital Melaka untuk bedah siasat dan dituntut ahli keluarga untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bukit Pulau.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Salehuddin Abd Rahman mengesahkan mengenai kemalangan dan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1), Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Foto
Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/05

Ketagih khidmat mesra penuntut

Posted: 04 May 2014 11:13 AM PDT

Batu Pahat: Bijak memanjakan lelaki selain mempunyai pengetahuan luas mengenai isu semasa menjadi antara faktor penarik menyebabkan ramai lelaki memilih penuntut pengajian tinggi untuk melayan mereka.

Perkara itu didedahkan Suhaimi, 34, (bukan nama sebenar) yang mendapatkan khidmat gadis penghibur atau peneman dalam kalangan penuntut pusat pengajian tinggi.

Menurut Suhaimi, dia mula mengenali seorang penuntut melalui aplikasi sembang dan terkejut dengan tawaran yang dinyatakan penuntut itu.

"Selepas mengenali penuntut terbabit selama tiga hari, dia pada mulanya mengajak saya ke karaoke, tetapi sebelum keluar dia meminta saya 'belanja' RM50 untuk layanan mesra.

"Saya kemudian bersetuju dan membawanya ke pusat karaoke.

Dia peramah dan banyak bercerita mengenai isu semasa menjadikan hubungan kami semakin menarik.

"Bagaimanapun, dia menolak ketika saya mengajaknya ke ranjang kerana 'khidmatnya' hanya untuk menghiburkan saya," katanya.

Suhaimi yang bekerja sebagai eksekutif pemasaran berkata, hubungan mereka tidak berakhir di situ kerana penuntut terbabit turut memperkenalkan rakannya yang menawarkan perkhidmatan sama.

"Saya semakin ketagih dengan khidmat yang diberi disebabkan 'permainan' ini selamat kerana tidak sampai ke ranjang.

Setakat RM50 itu tidak menjadi masalah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/05

'CIUM BOLEH, LEBIH JANGAN!'

Posted: 04 May 2014 11:13 AM PDT

Siang bertudung dan berbaju kurung, namun penampilan sopan dan mengikut syariah itu berubah 100 peratus pada waktu malam apabila mereka hanya menyarung skirt pendek serta bersinglet nipis.

Demikian gelagat segelintir gadis berstatus penuntut pusat pengajian yang bukan berasal dari daerah ini untuk mencari wang tambahan dengan bekerja sambilan sebagai teman penghibur.

Walaupun tidak berada di bandar raya besar seperti Kuala Lumpur atau Johor Bahru, tetapi mereka bijak mencari peluang demi memperoleh wang saku bagi menampung kos perbelanjaan harian sebagai pelajar.

Difahamkan, mereka bergerak aktif bermula jam 10 malam dan bertemu dengan lelaki yang sudah terlebih dahulu membuat temu janji di lokasi ditetapkan iaitu hanya di sekitar daerah ini.

Pelajar itu didapati menetapkan bayaran tertentu iaitu sekitar RM50 hingga RM150 dan boleh dibawa ke pusat hiburan dan pusat karaoke sebagai teman penghibur.

Namun, mereka menolak untuk dibawa ke ranjang walaupun ditawarkan bayaran lumayan.

Wartawan Harian Metro berjaya menjejaki mereka melalui kenalan di beberapa pusat karaoke dan hiburan di daerah itu.

Pada mulanya mereka enggan bekerjasama apalagi mendedahkan identiti kerana bimbang aktiviti terbongkar kepada pengetahuan keluarga.

Selepas dipujuk akhirnya beberapa wanita itu akur dan mendedahkan diri mereka adalah penuntut pusat pengajian.

Penuntut terbabit yang hanya mahu dikenali sebagai Ika, 20, berkata, keluarga memberinya duit saku RM200 sebulan saja dan jumlah itu ditambah dengan wang pinjaman.

"Jumlah itu memang tidak mencukupi bagi menampung kos belajar dan belanja harian menyebabkan saya terpaksa memikir jalan lain bagi mendapatkan wang.

"Saya mula aktif keluar pada waktu malam sejak setahun lalu dan memperoleh kira-kira RM1,000 sebulan," katanya.

Ika berkata, dia hanya mengambil upah menemani lelaki di pusat hiburan atau karaoke dan enggan sama sekali dibawa ke ranjang.

"Jika mereka suruh saya menyanyi atau menari saya akan lakukan, tetapi hanya setakat itu.

"Selepas dibayar dan selesai menemani mereka saya dan beberapa lagi rakan akan pulang ke rumah sewa kerana perlu berehat untuk pergi kuliah keesokan hari," katanya.

Seorang lagi penuntut yang juga kenalan Ika dikenali sebagai Yana, 19, berkata dia mula berjinak-jinak dengan aktiviti itu selepas diperkenalkan rakan-rakannya.

"Saya berani untuk turut serta dan melakukannya kerana ia tidak sampai hingga menggadai maruah saya.

"Kebiasaannya kami akan berkenalan dengan lelaki itu melalui laman sosial atau diperkenalkan daripada kenalan lain.

"Ada juga pelanggan kami daripada golongan berjawatan yang datang ke daerah ini atas urusan kerja," katanya.

Menurut Yana, dia akan memberi amaran terlebih dulu kepada lelaki terbabit supaya tidak melakukan perkara di luar batasan.

"Tetapi, ada juga lelaki yang memeluk dan mencium saya ketika sedang berhibur, namun setakat itu saja.

"Saya lakukan ini semua hanya kerana wang dan setakat ini ia tidak mengganggu pelajaran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/05

Jelas langgar hukum agama

Posted: 04 May 2014 11:12 AM PDT

Batu Pahat: Niat untuk mendapatkan wang dengan melakukan perkara yang dilarang di dalam agama adalah satu kesalahan jelas di dalam Islam.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguat Kuasa Jabatan Agama Islam Johor (JAJ) Mohd Zamri Kambari berkata, niat dan cara perlulah selaras dan tidak terpesong dengan tuntutan agama.

Menurutnya, dalam kes penuntut yang sanggup keluar sebagai gadis peneman atau penghibur dan berpakaian seksi demi untuk mendapatkan wang belanja adalah jelas melanggar hukum agama.

"Niat tidak menghalalkan cara dan penuntut terbabit perlu bertaubat dan kembali kepada ajaran Islam.

"Jika benar mereka mahukan wang untuk menampung pembelajaran, mereka boleh mencari pekerjaan halal untuk dijadikan kerja separuh masa.

"Banyak pekerjaan halal yang mereka boleh lakukan yang tidak menjurus kepada dosa dan melanggar tuntutan agama," katanya.

Mohd Zamri berkata, penuntut terbabit bukan saja perlu bertaubat, malah perlu berfikir dengan lebih rasional sesuai dengan status penuntut di pusat pengajian tinggi.

"Mereka semua berpendidikan tinggi dan seharusnya tahu perkara yang betul atau salah.

Perkara begini perlu dibanteras dan memerlukan kerjasama semua pihak," katanya.

Menurut Mohd Zamri, didikan asas dan jati diri daripada ibu bapa dan penjaga juga adalah elemen terpenting yang memainkan peranan dalam menangani masalah sosial seperti itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/05

Saudara tak balik mati dibunuh

Posted: 04 May 2014 11:12 AM PDT

Shah Alam: Kebimbangan seorang lelaki mengenai kehilangan adik saudaranya terjawab apabila menerima khabar buruk mengenai penemuan mayat lelaki itu di bahu jalan di Kilometer 13.1, Lebuhraya Persekutuan menghala ke Kuala Lumpur, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam itu, mayat mangsa, Hanan Abrari, 33, warga Indonesia yang dipercayai dibunuh, ditemui orang awam dalam keadaan berlumuran darah yang kemudian menghubungi polis.

Abang saudara mangsa, Jamid Arsadin, 59, berkata, dia bimbang apabila mangsa masih tidak pulang dari kerja pada jam 8.30 malam menyebabkan dia menghubungi lelaki itu untuk bertanya khabar, tetapi panggilan itu dijawab anggota polis yang memaklumkan mangsa ditemui mati dengan kesan hentakan di kepala.

"Biasanya, dia akan sampai di rumah dekat Balakong jam 7 malam, tetapi hari ini (kelmarin) sehingga jam 9 (malam) dia masih tidak sampai rumah," katanya.

dan cuba menghubunginya," katanya.

"Bagaimanapun, hanya Allah saja yang tahu perasaan saya sebaik panggilan itu dijawab anggota polis yang memaklumkan dia sudah mati dan mayatnya dijumpai orang awam," katanya.

Jurucakap polis berkata, sebaik menerima panggilan kecemasan, pasukan forensik dikejarkan ke tempat kejadian dan menemui mayat mangsa yang lengkap berpakaian.

Menurutnya, polis menemui tiga kesan luka iaitu di dahi, kepala dan bahagian belakang leher dipercayai dipukul dengan senjata tumpul.

"Bagaimanapun, dompet milik mangsa ditemui di tempat kejadian tidak mengandungi wang, manakala dokumen peribadi dan telefon bimbit ada bersamanya," katanya.

"Unit anjing pengesahan dipanggil ke lokasi kejadian untuk mencari senjata yang digunakan, tetapi tidak berjaya dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk dibedah siasat ," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/05

No comments:

Post a Comment