Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Cemas lutut tersepit 'mulut' longkang

Posted: 22 May 2014 11:46 AM PDT

Kuala Lumpur: Seorang murid perempuan sebuah sekolah rendah di Sentul di sini, menempuh detik cemas apabila kaki kirinya tersepit pada besi penutup longkang di hadapan kelasnya.

Dalam kejadian jam 11 pagi semalam, anggota bomba dan penyelamat dari Balai Bomba Sentul terpaksa dipanggil untuk mengeluarkan kaki kiri mangsa berusia 12 tahun itu.

Jurucakap bomba berkata, kejadian berlaku apabila mangsa terpijak besi itu hingga menyebabkan lututnya tersangkut dan gagal keluar daripada longkang kecil berkenaan.

Menurutnya, pihak bomba yang menerima panggilan kecemasan sekitar jam 11.12 pagi kemudian bergegas ke lokasi kejadian.

Foto

KAKI mangsa berjaya dikeluarkan dengan bantuan bomba.


"Sepasukan lima pegawai dan anggota bersama sebuah jentera diketuai Pegawai Bomba Abdul Halim Hassan tiba di sekolah itu pada jam 11.20 pagi.


"Pemeriksaan kemudian mendapati lutut mangsa tersepit pada besi penutup longkang. Kami terpaksa meletakkan minyak sebelum cuba memusingkan tubuh mangsa. Keseluruhan kaki kiri mangsa akhirnya dapat dikeluarkan dalam masa kurang tiga minit," katanya di sini, semalam,

Menurutnya, kanak-kanak terbabit tidak mengalami kecederaan atau bengkak teruk.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/23

Tong tak cukup gas

Posted: 22 May 2014 11:43 AM PDT

Kuala Selangor: Helah sindiket mencuri subsidi gas petroleum cecair (LPG) yang berselindung di sebalik kilang dan ladang sawit terbongkar apabila stor simpanan barangan berkenaan diserbu anggota bahagian penguat kuasa Pejabat Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Cawangan Kuala Selangor di Kawasan Perindustrian Ijok, di sini, malam tadi.

Dalam serbuan Ops Titik kira-kira jam 9 malam itu, sebanyak 1,106 tong gas 14 dan 50 kilogram (kg) bernilai RM215,612 dirampas.

Operasi diketuai Ketua Pegawai Penguat Kuasa Daerah Kuala Selangor, K Ramesh, dengan kekuatan 22 pegawai itu turut membabitkan penahanan seorang lelaki tempatan berusia 48 tahun yang disyaki penyelia stor haram berkenaan.

Ramesh berkata, sindiket itu dipercayai mula beroperasi lebih sebulan lalu dan berdasarkan risikan pihaknya, syarikat berkenaan menggunakan pekerja asing, tetapi mereka mereka melarikan diri sebaik serbuan dilakukan.

Foto

ANGGOTA penguat kuasa memeriksa tong yang digunakan sindiket.


"Modus operandi yang digunakan sindiket ini adalah dengan membeli gas subsidi 14kg sebelum memindahkannya ke tong gas 50kg untuk kegunaan industri, sekali gus membolehkan pemiliknya mengaut keuntungan dua kali ganda untuk setiap tong.


"Berdasarkan siasatan awal, kita dapati mereka mampu mendapat keuntungan sebanyak RM100 bagi setiap tong 50kg yang dijual pada harga RM180 setiap satu dan pasaran mereka adalah di sekitar Lembah Klang," katanya ketika ditemui di tempat kejadian, di sini, semalam.

Beliau berkata, selain tong gas, pihaknya turut merampas treler yang digunakan untuk mengangkut tong gas dan empat pam motor yang digunakan untuk melakukan pemindahan gas serta barang rampasan berkenaan akan dihantar ke Stor Penyimpanan KPDNKK di Nilai, Negeri Sembilan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/23

Siasat individu tipu peniaga

Posted: 22 May 2014 11:41 AM PDT

Kuala Lumpur: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) memantau kewujudan pihak tertentu menawarkan sijil halal serta menggunakan logo halal untuk mengelirukan orang ramai serta mengaut keuntungan mudah.

Pengarah Bahagian Hab Halal JAKIM Hakimah Mohd Yusoff berkata, orang ramai yang mempunyai kekeliruan mengenai penggunaan logo halal Malaysia diminta supaya merujuk terus kepada agensi itu bagi mengelak kemungkinan ditipu pihak tidak bertanggungjawab.

Katanya, pihaknya akan menyiasat lanjut kehadiran pihak ketiga yang cuba memperdaya peniaga kecil.

Mengulas laporan muka depan akhbar ini semalam, beliau berkata, setakat ini JAKIM dimaklumkan mengenai perkara itu, namun masih belum menerima aduan rasmi berhubung masalah berkaitan.

Foto

SOBRI (tengah) menunjukkan sijil pendaftaran syarikat yang diterima PUHMM.


"Kami belum terima aduan secara rasmi, tetapi sudah dimaklumkan kegiatan seperti ini. Jadi kami akan pantau dan siasat supaya orang ramai tidak menjadi mangsa," katanya ketika dihubungi.


Harian Metro semalam melaporkan individu bergelar Datuk menggunakan pengetahuannya dalam selok-belok pensijilan halal untuk memperdaya usahawan industri kecil dan sederhana di sebuah negeri untuk mendapatkan sijil halal.

Menerusi satu seminar, peserta diminta membuat bayaran tertentu sebelum diberikan sijil itu yang boleh digunakan untuk perniagaan masing-masing.

Hakimah berkata, peruntukan undang-undang sedia ada tidak membenarkan mana-mana pihak menggunakan logo menyerupai logo halal JAKIM yang sudah didaftarkan di bawah Akta Cap Dagangan 2011.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/23

34,900 bantah beri projek rundingan terus

Posted: 22 May 2014 11:40 AM PDT

Kuala Lumpur: Kesatuan dan Persatuan Sekerja Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang mewakili 34,900 pekerjanya mengemukakan bantahan terhadap penganugerahan projek penjanaan berskala besar melalui rundingan terus kepada YTL Corporation Berhad.

Pihak Persatuan Eksekutif Tenaga Nasional Berhad (PETNB), Kesatuan Percantuman Pekerja-pekerja TNB (KPPPTNB) dan Kesatuan Pegawai-pegawai Rendah TNB (KPPRTNB) melalui kenyataan medianya melahirkan kebimbangan terhadap desas desus Projek 4A akan diberikan kepada YTL.

Ketiga-tiga persatuan diwakili Yang Dipertua PETNB Abdul Shukor Hassan, Presiden KPPPTNB Abu Hussin Nekmat dan Presiden KPPRTNB Mohd Roszeli Majid juga menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri, Najib Tun Razak ketika lawatan kerja ke TNB, baru-baru ini Mereka mendakwa rakyat akan dibebankan dengan kos penjanaan tinggi sekiranya projek itu diserahkan terus kepada YTL sedangkan ia boleh dikurangkan melalui bidaan terbuka.

"Sebagai contoh, pulangan projek penjanaan bagi perjanjian Pengeluar Tenaga Bebas/swasta (IPP) generasi pertama berlipat ganda berbanding projek yang dianugerahkan melalui proses bidaan terbuka iaitu seperti yang diperoleh oleh YTL.

"Selama 21 tahun, TNB terpaksa membayar RM20 bilion kepada YTL.

Bayangkan jumlah bayaran sudah dibuat selama ini kepada keseluruhan IPP generasi pertama yang diberi secara rundingan terus," kata mereka.

Persatuan itu turut meluahkan pengalaman mereka mengendalikan isu membabitkan YTL sebelum ini dan mendakwa Perjanjian Pembelian Kuasa (PPA) antara TNB dan syarikat itu adalah berat sebelah.

"Berdasarkan perjanjian itu, TNB perlu membuat pembayaran tenaga kepada YTL tidak kira sama ada tenaga itu digunakan atau tidak.

Kos bahan api terbabit dalam penjanaan tenaga IPP ditanggung TNB sendiri.


Oleh itu, perjanjian PPA hasil daripada penganugerahan secara rundingan terus ini akan meningkatkan lagi kos operasi TNB.


"YTL juga sebelum ini tidak memberi kerjasama dalam membantu sistem tenaga ketika krisis tenaga melanda negara pada 2002, 2003, 2005 dan 2014.

Malah, lebih teruk mereka memaksa TNB membeli tenaga lebihan daripada stesen jana kuasa mereka pada harga tinggi," kata kenyataan itu lagi.

Berdasarkan kenyataan media juga, persatuan itu mendakwa keadaan itu berlaku kerana tiada keperluan di dalam PPA untuk memberi penekanan kepada kepentingan tanggungjawab bagi memastikan tenaga elektrik berterusan dibekalkan kepada negara.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/23

Ajal rempuhan bas tepi jalan

Posted: 22 May 2014 11:39 AM PDT

Gua Musang: "Saya nampak mereka tercampak dan bergelimpangan di atas jalan raya dalam keadaan berdarah. Saya segera mengajar dua rakan yang parah mengucap dua kalimah syahadah, sebelum mereka tidak sedarkan diri," kata Mohd Daud Ismail, 55, seorang daripada enam mangsa kemalangan di Kilometer 72 Jalan Gua Musang-Kuala Krai, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 12.15 tengah hari itu, seorang maut, dua parah dan tiga lagi cedera apabila sebuah bas ekspres dengan 10 penumpang yang dalam perjalanan ke Kuala Lumpur terbabas dan merempuh semua mangsa yang berada di tepi jalan.

Difahamkan, keenam-enam mangsa yang juga kakitangan Kumpulan Ikram Sdn Bhd (IKRAM) dan Road Care Sdn Bhd (Road Care) sedang menjalankan kerja pemeriksaan kualiti jalan dengan mangsa yang maut, Mohd Zakarman Bedol, 41, dari Kampung Bukit Ipoh, Jeli bertindak sebagai pengawal lalu lintas.

Mereka yang parah Muhd Zulhafiz Ghani, 23, dan Muhd Faizul Nizam Mohd Nor, 37, manakala, Amirul Aizat Marzuki, 23, Zainal Zulkifli, 34, dan Mohd Daud cedera. Semua mangsa dihantar ke Hospital Kuala Krai (HKK) untuk menerima rawatan.

Foto

KENDERAAN terbalik dirempuh bas.

Foto

KEADAAN bas yang tersadai di tepi jalan.


Bagaimanapun, pemandu bas ekspres terbabit yang berusia 54 tahun tidak cedera dan ditahan untuk membantu siasatan, manakala 10 penumpang dibenar meneruskan perjalanan dengan menaiki bas lain.


Mohd Daud berkata, ketika kejadian dia bersama pasukannya seramai kira-kira 15 orang menjalankan rutin pemeriksaan jalan, sebelum terlihat lima bas ekspres sedang menuju ke arah mereka.

"Saya bersama empat rakan lain sedang mengorek jalan tidak jauh dari kawasan semua mangsa dan kami dipisahkan dengan sebuah van dan Toyota Hilux yang diletakkan di tepi jalan.

"Sebelum itu, sebuah bas ekspres sudah melalui kawasan tempat kami bekerja, tetapi bas ekspres kedua tiba-tiba terbabas dan merempuh semua mangsa serta kenderaan di tepi jalan, malah kejadian berlaku cukup pantas.

"Saya sempat menyelamatkan diri apabila bas terbabit mula merempuh kereta dan hanya cedera sedikit di lengan. Sebaik terlihat ramai rakan bergelimpangan di atas jalan raya, saya berlari mendapatkan mereka dan sedih apabila melihat Mohd Zakarman cedera teruk di kepala," katanya.

Ab Rahim Ahmad, 51, berkata, mereka mengikut semua prosedur sepatutnya dan beberapa pekerja termasuk Mohd Zakarman ditugaskan mengawal lalu lintas bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.

"Walaupun sudah dikawal, saya tak sangka kejadian ini tetap berlaku. Saya nampak jelas bas terbabit meluru ke arah rakan saya dan kami tidak sempat berbuat apa-apa.

"Pilu hati saya melihat mereka begitu dan ini kejadian paling pahit yang saya alami sejak bekerja dengan Road Care beberapa tahun lalu," katanya.

Ketua Polis Daerah Superintendan Saiful Bahri Abdullah mengesahkan menerima laporan kejadian kemalangan itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/23

No comments:

Post a Comment