Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


'Boleh teman Danial'

Posted: 19 May 2014 11:29 AM PDT

Kuala Lumpur: "Baguslah ibu dengan ayah tak berniaga hari ini (semalam). Boleh teman Danial di rumah," itulah ungkapan terakhir seorang kanak-kanak lelaki, Muhammad Danial Abdullah, lapan tahun, sebelum ditemui mati selepas dipercayai jatuh dari tingkat 15 Pangsapuri Ulu Pudu, Cheras di sini.

Dalam kejadian jam 6 petang semalam, mangsa yang tinggal di tingkat satu dipercayai bermain di tingkat 15 pangsapuri itu sebelum ditemui terjatuh oleh penduduk.

Ibu mangsa, Faizah Ahmad, 46, berkata, anaknya itu sangat gembira apabila diberitahu dia dan suami tidak akan berniaga menjual sate semalam.

"€œKebiasaannya kami tidak pernah mengambil cuti berniaga walaupun sehari. Danial cukup gembira apabila saya memberitahunya perkara itu,"€ katanya ketika ditemui wartawan semalam.

Foto

LOKASI Muhammad Danial (gambar kecil) yang maut terjatuh dari tingkat 15.


Faizah berkata Danial anak kelapan daripada 10 beradik dianggap pintar dan amat mendengar nasihat.


"Adakalanya dia sering merungut sekiranya kami tidak meluangkan masa untuk dia dan adik-beradik lain.

"Saya dan suami redha dengan pemergiannya. Saya anggap ini ujian paling besar dalam keluarga kami," ka tanya.

Sementara itu jurucakap polis Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras berkata, mangsa mati di lokasi kejadian kerana mengalami pendarahan di bahagian kepala dan mayat dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) untuk bedah siasat.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/20

Pemaju belum lunas RM38j tak dapat geran induk

Posted: 19 May 2014 11:24 AM PDT

Shah Alam: Mahkamah Tinggi, di sini, semalam, menolak permohonan pemaju perumahan Chi Liung Holding Sdn Bhd, untuk mendapatkan geran induk bagi hartanah yang dibangunkan sejak lebih 20 tahun lalu.

Ini menyebabkan seramai 951 pemilik pangsapuri kos rendah Taman Chi Liung, Klang, masih gagal mendapatkan Hak Milik Individu kediaman masing-masing walaupun ada antara mereka yang sudah selesai membayar ansuran rumah.

Mahkamah menolak dengan kos sebanyak RM30,000 permohonan syarikat pemaju perumahan itu bagi mendapatkan geran induk hartanah berkenaan yang membabitkan 951 pelanggan daripada Alliance Investment Bank Berhad (Alliance).

Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail dalam penghakimannya berkata, penolakan itu dibuat selepas mengambil kira pembayaran akhir sebanyak RM837,425 yang dibuat syarikat berkenaan kepada bank bukanlah bayaran keseluruhan hutang.


"€œWalaupun defendan sudah menunaikan dua cek yang diserahkan syarikat pemaju perumahan berkenaan, tetapi tiada usaha untuk melepaskan perjanjian yang sudah dibuat,"€ katanya.


Katanya, Alliance dalam surat yang dikeluarkannya memaklumkan jumlah RM837,425 tidak boleh diterima sebagai pembayaran penuh dan terakhir kerana 12 konsortium pemberi pinjaman yang boleh membuat keputusan untuk menerima bayaran itu sebagai pembayaran akhir.

Oleh yang demikian, Hadhariah menolak permohonan yang dibuat dan mengarahkan plaintif membayar kos berkenaan kepada Alliance.

Alliance tidak mahu menyerahkan geran induk kepada pemaju kerana masih terdapat baki tunggakan pinjaman berjumlah RM38 juta yang belum dijelaskan.

Syarikat pemaju perumahan itu diwakili peguam Datuk V Sivaparanjothi dan A S Thisinagayam, manakala Alliance diwakili peguam Chan Kok Keong.

Semalam, kira-kira 300 penghuni Pangsapuri Taman Chi Liung, memenuhi Kompleks Mahkamah Selangor bagi mendengar keputusan terhadap tuntutan geran induk kediaman mereka.

Sementara itu, Sivaparanjothi yang ditemui di luar mahkamah berkata, pihaknya akan mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Rayuan bagi mempertimbangkan semula keputusan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/20

Kerja dapur sambil jual dadah

Posted: 19 May 2014 11:23 AM PDT

Georgetown: Seorang pembantu dapur sebuah hotel di Batu Ferringhi, di sini, dikesan mencari wang sampingan dengan menjadi pengedar dadah kepada pelanggan sekitar kawasan peranginan terbabit.

Bagaimanapun, perbuatannya itu tidak bertahan lama apabila polis mengesan dan menahan lelaki berusia 40-an itu berhampiran hotel tempat dia bekerja jam 11.35 pagi kelmarin.

Ketika ditahan, polis turut menemui ganja yang disimpan dalam kotak rokoknya dan hasil siasatan lanjut lelaki terbabit membawa polis ke tempat kerjanya.

Ketua Polis Daearah Timur Laut Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, hasil pemeriksaan polis menemui ganja yang disimpan dalam almari tempat simpanan barangnya di hotel dia bekerja.

"Dalam serbuan itu, polis merampas beg plastik hijau mengandungi empat ketulan mampat yang dibalut plastik lutsinar berisi daun kering disyaki ganja seberat 420 gram.

"Kami percaya suspek mengedar dadah terbabit untuk pasaran tempatan dan dia menjadikan kawasan sekitar Batu Ferringhi untuk mengedar dadah berkenaan," katanya.

Menurutnya, semua dadah yang dirampas itu bernilai RM1,260 dan kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan suspek kini direman bagi membantu siasatan.

"Kami mengesan dari mana suspek mendapat bekalan dadah terbabit serta kemungkinan terdapat rangkaian pengedaran bahan terlarang itu di kawasan ini," katanya.

Foto

MIOR Faridalathrash (kiri) menunjukkan ketulan ganja mampat yang dirampas daripada seorang pekerja hotel.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/20

Pengedar rokok seludup didenda RM2.7 juta

Posted: 19 May 2014 11:22 AM PDT

Marang: Dua pengedar rokok dikenakan denda RM2.7 juta dan sebulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini, kelmarin, kerana memiliki sebanyak 17,180 karton rokok seludup pelbagai jenama.

Selain itu, kedua-dua tertuduh Mohd Sobri Ibrahim, 35, dari Chabang Tiga, Kuala Terengganu dan Mohd Shukri Zakaria, 44, dari Bukit Payong, Marang, turut berdepan hukuman enam bulan penjara lagi sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.

Majistret Noradila Ab Latif membuat keputusan itu selepas Mohd Sobri dan Mohd Sukri didapati bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa bersama-sama memiliki barang larangan iaitu 17,180 karton rokok pelbagai jenama bernilai RM273,184 apabila barang itu adalah yang dilarang pengimportannya mengikut Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2008.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah stor tidak bernombor berhampiran sebuah rumah di Kampung Tasek, Bukit Payong, di sini, jam 12 tengah hari pada 17 Januari 2013.

Bagi kesalahan itu, mereka boleh dihukum mengikut Seksyen 135 (iii)(aa) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan denda tidak kurang 10 kali nilai barang dan tidak melebihi 20 kali nilai barang atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Jabatan Kastam Diraja Malaysia Mohd Zaizul Azlin Mohamed Zain.

Mengikut fakta kes, sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Kastam Diraja Malaysia membuat serbuan di premis berkenaan hasil maklumat dan risikan mengenai aktiviti pengedaran rokok seludup di kawasan berkenaan.

Hasil pemeriksaan menemui sebanyak 17,180 karton rokok pelbagai jenama bernilai RM273,184 yang dilarang pengimportannya mengikut Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2008 sebelum kedua-duanya ditahan untuk siasatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/20

Pesilat lemas di air cetek

Posted: 19 May 2014 11:22 AM PDT

Raub: Hajat seorang pesilat olahraga untuk mewakili Pahang ke Kejohanan Silat Kebangsaan yang bakal berlangsung di Putrajaya tidak kesampaian apabila dia ditemui lemas ketika mandi di Air Terjun Lata Jarum, dekat sini, petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Superintendan Wan Mohd Samsudin Wan Osman berkata, mangsa, Muhammad Fikri Fadzli, 18, dari Kampung Marhum, Pekan, lemas ketika mandi bersama 13 rakannya termasuk dua jurulatih dan seorang pengurus sebaik selesai menghadiri pemilihan pesilat untuk mewakili Pahang untuk ke kejohanan terbabit.

Beliau berkata,pada kejadian jam 2.38 petang itu, Muhammad Fikri dikatakan mandi bersendirian di kawasan air cetek dan berbatu 15 meter dari rakannya, sebelum tiba-tiba hilang dipercayai terjatuh ke dalam sungai.

"Mangsa bersama rakan dan jurulatihnyamenghadiri pemilihan bagi mewakili Pahang ke Kejohanan Silat Kebangsaan selama tiga hari bermula Jumaat lalu di Kompleks Rakan Muda Dong, di sini.

"Namun, sebaik selesai pemilihan terbabit, mereka singgah ke pusat rekreasi terbabit untuk mandi sebelum mangsa dilaporkan hilang dipercayai lemas setengah jam kemudian," katanya, semalam.

Beliau berkata, rakan mangsa yang menyedari kejadian itu cuba mencarinya di kawasan berhampiran, namun tidak menjumpainya sebelum melaporkan kepada polis untuk tindakan susulan.

"Kita melaksanakan operasi mencari dan menyelamat dengan dibantu anggota bomba serta Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) sebaik menerima laporan kehilangan mangsa.

"Kami menghentikan operasi pada jam 6 petang kelmarin berikutan cuaca gelap dan disambung keesokan harinya(semalam).

Pada jam 10.30 pagi (semalam), mayat mangsa ditemui pada kedalaman lima meter berhampiran tempat kejadian," katanya.

Foto

MAYAT mangsa ditemui pada kedalaman lima meter.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/20

No comments:

Post a Comment