Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Senjata Rashid

Posted: 09 May 2014 12:11 PM PDT

Kuala Lumpur: Memori menjulang Piala Thomas 1992 akan menjadi senjata utama dalam usaha menaikkan semangat skuad negara sebelum turun beraksi pada saingan Piala Thomas di New Delhi, India bermula 18 Mei ini.

Ketua Projek Piala Thomas yang juga jurulatih perseorangan negara Rashid Sidek berkata, setiap pemain akan diingatkan mengenai kejayaan kali terakhir Malaysia menjulang piala prestij itu dengan menceritakan detik kejayaan itu selain memainkan ulang tayang video peristiwa berkenaan.

"Tetapi bukan sekarang. Apa yang kami tekankan ketika ini lebih kepada analisis perlawanan," katanya ketika ditemui selepas tamat sesi latihan skuad negara semalam.

Rashid berkata, memori 1992 itu antara elemen penting untuk menyedarkan setiap pemain bahawa tidak mustahil mengulangi kejayaan itu.

Foto

CHONG Wei (tengah) menjalani latihan bersama pemain badminton perseorangan. Turut kelihatan, ketua jurulatih Rashid Sidek (tiga dari kanan).


Rashid sendiri antara tonggak penting yang menjulang Piala Thomas ketika itu.


"Kadang-kadang memori 1992 penting untuk menaikkan semangat pemain.

"Tapi kalau ikutkan kepada corak permainan, dulu dan sekarang agak berbeza. Kita tidak boleh samakan dulu dan sekarang," katanya.

Jelas Rashid, selain keutamaan latihan fizikal di atas gelanggang ketika ini, setiap pemain juga didedahkan dengan ulang tayang video pasukan lawan yang akan ditemui pada saingan Piala Thomas.

"Seperti saya katakan tadi, ketika ini tumpuan lebih terarah menganalisis corak permainan lawan yang akan kita jumpa nanti," katanya.

Skuad negara diundi dalam Kumpulan C bersama Korea Selatan, Jerman dan India.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/10

Zolkples lepas geram

Posted: 09 May 2014 12:08 PM PDT

Kuala Lumpur: Kegagalan persatuan sukan kebangsaan memberikan kerjasama penuh bagi melancarkan Anugerah Sukan Negara (ASN) 2013 mengundang rasa kurang senang Majlis Sukan Negara (MSN).

Walaupun sudah mempelawa 47 persatuan sukan mengemukakan calon masing-masing, hanya 19 persatuan memberikan maklum balas dengan menyenaraikan atlet terbaik untuk dipertimbangkan manakala 28 lagi gagal berbuat demikian.

"Kalau boleh, saya mahu persatuan mencalonkan atlet masing-masing, sama ada berpeluang atau tidak mereka perlu melakukannya sebagai pengiktirafan kepada atlet.

Bukan susah sangat, mereka hanya perlu hantar borang, selepas itu tugas memilih atlet terletak kepada Jawatankuasa Pemilihan ASN 2013.

"Tidak mengapa jika atlet mereka tidak meraih pingat di Sukan SEA, calonkan saja.

Mustahil mereka tidak boleh memilih atlet terbaik kecuali persatuan berkenaan tidak mempunyai sebarang program.


Bagi saya, jika ada persatuan yang memberikan reaksi balas mengatakan tiada calon, ia bukanlah sesuatu yang teruk.


Tapi, jika terus berdiam diri, itu jauh lebih teruk," kata Ketua Pengarah MSN Datuk Seri Zolkples Embong, semalam.

Kemelut 'berdiam diri' itu disahkan Pengarah Bahagian Pengurusan MSN Datuk Abdul Jalil Abdullah yang menjelaskan, daripada 28 persatuan yang gagal berbuat demikian sebahagian besarnya langsung tidak memberikan maklum balas.

Jaguh bina badan, Sazali Samad menjadi pilihan utama meraih gelaran Olahragawan Kebangsaan kali ini, namun bersaing sengit dengan pemenang ASN 2011 dan 2012, Datuk Lee Chong Wei dalam kategori yang turut menyenaraikan Lim Chee Wei (karate), Benjamin Khor Jeng Jie (menembak), Mohd Jironi Riduan (olahraga), Ooi Tze Liang (terjun) dan Hon Mun Hua (wushu).

Sazali pada tahun lalu berjaya mempertahankan gelaran Mr Universe buat tahun kelima berturut dan kejayaan di Hungary kali kesembilan yang diraihnya dengan Chong Wei meraih pelbagai gelaran tahun lalu.

Olahragawati Kebangsaan pula menyaksikan persaingan sengit membabitkan pemenang ASN 2012, Pandelela Rinong (terjun), Kelly Tan Guat Chen (golf), Casier Renee Kelly Lee (olahraga), Diana Bong (wushu), Nisha Alagasan (karate) dan Azizatul Asma Abdullah (ekuestrian) namun ratu skuasy negara, Datuk Nicol Ann David menjadi pilihan muncul pemenang buat kali kesembilan di ASN 2013 yang dijadualkan berlangsung pada Isnin.

Pemain nombor satu dunia itu mengekalkan kedudukan nombor satu dunia sejak Ogos 2006 hingga Disember 2013 selain muncul juara tujuh daripada 10 kejohanan disertainya dan mempertahankan statusnya sebagai juara dunia tujuh tahun berturut-turut.

Skuad hoki remaja kebangsaan yang meraih kedudukan keempat Piala Dunia Remaja dijangka menguasai anugerah pasukan lelaki kebangsaan manakala gandingan Leong Mun Yee dan Pandelela mempunyai asas kukuh untuk merangkul anugerah pasukan wanita kebangsaan.

Sebanyak 11 anugerah diadakan pada ASN 2013 dengan kategori lain adalah Olahragawan dan Olahragawati Paralimpik, Jurulatih Lelaki dan Wanita Kebangsaan, Anugerah Tokoh Sukan, Anugerah Kepimpinan Sukan dan Anugerah Khas.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/10

Sedia bukti setia

Posted: 09 May 2014 12:04 PM PDT

Kuala Lumpur: Selepas dihimpit kontroversi penyerang import dari Brazil Paulo Rangel mahu membuktikan kesetiaannya kepada Selangor dengan kembali mempamerkan sentuhan berbisa untuk membenam Pahang dalam pertembungan dua pasukan teratas Liga Super di Stadium Darul Makmur malam ini.

Sepanjang minggu ini, penjaring terbanyak liga itu mendapat perhatian apabila dikaitkan dengan perpindahan ke Johor Darul Ta'zim musim depan yang mengundang rasa kurang senang pihak pengurusan serta peminat Red Giants.

Malah sebelum itu, Rangel, 29, mencipta sensasi apabila menyatakan kesediaan menukar kerakyatan untuk menyarung jersi Harimau Malaya jika diberi peluang.

Namun kontroversi di luar padang itu langsung tidak menjejaskan fokus Rangel yang sudah meledak 10 gol musim ini dan berazam memastikan Selangor merampas kedudukan teratas liga daripada Pahang.

"Ketika ini saya tidak fikir pasal kontrak, apa yang paling utama kejuaraan untuk Selangor.

Saya masih mempunyai kontrak bersama Selangor sehingga November ini, jadi saya perlu menghormatinya.

Bagi saya, apa yang dilalui (kontroversi) ini tidak menjejaskan fokus.

"Sepatutnya tidak perlu ada pertikaian mengenai komitmen bersama Selangor kerana apabila bermain, saya akan memberikan lebih 100 peratus," katanya kepada Arena Metro semalam.

Rangel gagal menjaringkan gol ketika Selangor seri tanpa jaringan menentang Terengganu di Stadium Shah Alam, Ahad lalu sekali gus terlepas peluang untuk berada di puncak liga apabila berkongsi 28 mata dengan Pahang dan hanya dipisahkan menerusi perbezaan gol.

Kekecewaan itu boleh ditebus malam ini namun Rangel mengakui ia bukan tugas mudah apatah lagi berdepan Pahang yang beraksi di depan ribuan penyokong sendiri.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/10

Gandingan berbisa

Posted: 09 May 2014 12:03 PM PDT

Kuantan: Aksi lebih menyerlah akan dipamerkan gandingan pemain tengah Pahang, Mohd Hafiz Kamal dan Azidan Sarudin pada perlawanan Liga Super bertemu Selangor di Stadium Darul Makmur, malam ini.

Selepas gagal menyerlah pada perlawanan saingan pusingan pertama Piala FA menentang Johor Darul Ta'zim (Johor DT) di gelanggang lawan minggu lalu yang berkesudahan terikat 1- 1, kini rentak sebenar mereka sudah mula ditemui.

Mohd Hafiz berkata, tidak dinafikan persembahan jentera tengah Pahang pada pertemuan dengan Johor DT minggu lalu kurang memuaskan terutama apabila tidak banyak mencetuskan peluang menghasilkan gol untuk barisan penyerang.

"Saya tidak pasti puncanya. Saya sudah berusaha sedaya upaya tapi masih tidak dapat melakukan yang terbaik hingga menyebabkan kami hampir tewas.

Foto

HAFIZ (kiri) tekad bolosi beneng Johor DT.


"Malam ini, saya janji segala-galanya akan berubah. Saya akan cuba pastikan kemenangan berpihak kepada kami di gelanggang sendiri dan di depan peminat setia," katanya.


Mohd Hafiz yang kini masuk musim kedua bersama Tok Gajah berkata, dia berharap rakan sepasukan dapat memberikan tumpuan dan semangat jitu bagi mengukuhkan kedudukan selaku peneraju liga seterusnya mencerahkan lagi peluang muncul juara musim ini.

Bagi Azidan pula, episod pincang jentera tengah di Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunos diharap tidak akan berlarutan terutama selepas mendapat teguran jurulatih, Zainal Abidin Hassan.

"Saya berjanji akan memberikan sepenuh tumpuan bagi memastikan bahagian serangan mudah menghasilkan gol. Saya sedar tanpa sokongan saya dan Hafiz sukar untuk Matias Conti dan Dickson Nwaekeme menjaringkan gol.

Azidan berkata, diharapkan penyokong tuan rumah akan membanjiri stadium bagi menyuntik semangat pemain.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/10

Misi tiga mata Pahang

Posted: 09 May 2014 12:01 PM PDT

Kuantan: Misi meraih tiga mata menjadi matlamat utama skuad kendalian Zainal Abidin Hassan apabila bertemu Selangor di Stadium Darul Makmur malam ini.

Biarpun sedar skuad Merah Kuning juga memerlukan kemenangan, Zainal Abidin yang juga bekas pemain kebangsaan percaya kemenangan akan berpihak kepada mereka.

Justeru, beliau mahu pemainnya memanfaatkan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri dalam usaha mengukuhkan kedudukan selaku pendahulu Liga Super.

Menurutnya, kelebihan dimiliki apabila beraksi di gelanggang sendiri seharusnya memperoleh keputusan membanggakan kerana rekod di Stadium Darul Makmur memberangsangkan.


"Bagaimanapun, saya akui Selangor bulan calang-calang pasukan kerana kami tewas 0-1 pada pusingan pertama liga lalu," katanya.


Pada masa sama, Zainal Abidin berkata, perlawanan itu bakal berlangsung sengit dan mendebarkan kerana masing-masing ingin muncul pendahulu liga.

Katanya, kejayaan mengikat Johor Darul Ta'zim (Johor DT) 1-1 pada aksi separuh akhir pertama Piala FA memberikan motivasi terbaik buat pemain untuk meneruskan rentak cemerlang.

"Bagi saya peluang yang ada dengan beraksi di depan penyokong sendiri akan menyekat Selangor membawa mata.

"Saya juga gembira kerana tiada penggantungan pemain dan ia sudah pasti memudahkan saya mengatur perancangan untuk menyekat kelincahan Selangor," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/10

Abdulafees wira Bos Gaurus

Posted: 09 May 2014 12:00 PM PDT

Ipoh: Awang import, Abdulafees Abdulsalam muncul wira Perak apabila menyumbang dua gol untuk membantu Bos Gaurus menewaskan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 2-1 di Stadium Perak, malam tadi.

Kejayaan itu sekali gus membolehkan Perak keluar daripada menghuni dasar carta Liga Super.

Abdulafees melakukan sentuhan pemusnahnya pada setiap babak bagi membantu Perak melonjak ke tangga ke-11 dan kedudukan tercorot kini menjadi milik ATM yang dibimbing B Sathianathan.

Pemain import dari Nigeria itu memanfaatkan pergelutan di dalam kawasan penalti ATM untuk meletakkan Perak di depan pada m-38 sebelum mengukuhkan kedudukan tuan rumah apabila menguis masuk hantaran lintang pemain gantian, Mohd Hafiz Ramdan pada m-85.

Foto

ABDULAFEES (kiri) dipeluk rakan sepasukan selepas jaring gol kemenangan Perak.


Pemain ATM, Juan Manuel Arostegui merapatkan jurang melalui sepakan percuma pada minit ke-90 tetapi masih tidak cukup untuk menyelamatkan pasukannya.


Dalam perlawanan menarik dan mendebarkan yang turut disaksikan Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zain itu, kedua-dua pasukan mempamer aksi menarik tetapi kelebihan jelas memihak kepada tuan rumah.

Begitupun, Perak yang mendapat sentuhan Karl Heinz Weigang selaku penasihat teknikal menampilkan corak lebih berbeza di depan 10,000 penonton dan mereka banyak menguasai permainan tetapi beberapa peluang diperoleh gagal disudahkan.

Selepas ini, Perak akan berkunjung ke Stadium Sultan Mohammad IV untuk menentang Kelantan pada 17 Mei ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/10

Penyu, Titans sama kuat

Posted: 09 May 2014 11:58 AM PDT

Kuala Terengganu: Pasukan bersaudara T-Team dan Terengganu membuktikan mereka sama hebat apabila seri 1-1 dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam tadi.

Sebaik perlawanan bermula, pintu gol Terengganu terlebih dulu diuji menerusi tandukan pemain import T-Team, Jimmy Mulisa pada minit pertama namun tiang gol sebelah kiri menjadi penghalang untuk tuan rumah mendahului.

Berselang enam minit kemudian Terengganu yang menewaskan pasukan 'adik' itu 2-0 pada pusingan pertama memperoleh peluang terbaik untuk mendahului menerusi rembatan deras dari luar kotak penalti yang ditepis keluar penjaga gol Wan Azraei Wan Teh sekali gus menghampakan penyokong pelawat.

Usaha berterusan pasukan Terengganu untuk menghasilkan jaringan pembukaan menerusi Mohd Ashari Samsudin dan Javier Estupinan terus menemui kegagalan walaupun mempunyai beberapa peluang menarik pada minit ke-20 dan 31.

Pada minit ke-35, Terengganu memperoleh sepakan percuma yang berjaya disudahkan Zairo Anuar Zailani sekali gus meletakkan pasukan itu di depan sehingga berakhir babak pertama.

Bersambung babak kedua, Terengganu terus memperhebatkan serangan untuk menambah jaringan, namun dua peluang yang dimiliki kapten Mohd Norfarhan Muhamad pada minit ke-45 dan 48 gagal menemui sasaran.

Tersentak dengan asakan bertali arus pelawat, pemain T-Team menyusun gerakan berkualiti dan akhirnya sepakan percuma cantik Leandro Dos Santos ditanduk cantik Mulisa untuk gol penyamaan pada minit ke-75.

Pasukan Terengganu yang tidak berputus asa mencari gol kemenangan memasukkan dua pemain tengah Mario Karlovic dan Mohd Fakrurazi Musa, bagaimanapun kemasukan pemain itu masih gagal memperoleh jaringan buat Terengganu.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/10

Tiada sentimen

Posted: 09 May 2014 11:57 AM PDT

Kuala Lumpur: "Saya tiada langsung sentimen melebihkan pemain muda."

Demikian komen terbuka ketua jurulatih hoki skuad kebangsaan Muhammad Dhaarma Raj Abdullah kecewa dengan tuduhan yang mendakwa beliau 'terbawa-bawa' tugas ketika membimbing skuad remaja sebelum ini yang menjadi punca lebih cenderung memilih barisan pemain muda selepas dinaikkan pangkat membimbing pasukan senior.

Dhaarma berkata, setiap pemain dipilihnya berdasarkan prestasi semasa dan tidak timbul soal beliau bersikap pilih kasih.

"Kenapa mesti timbul isu seperti ini sedangkan setiap pemain yang saya pilih berdasarkan prestasi mereka.

Malah saya akan berbincang dengan barisan kejurulatihan sebelum membuat keputusan.

"Kalau seseorang pemain senior yang sudah beraksi tujuh atau lapan tahun dan masih berada pada tahap terbaik, sudah tentu saya akan memilih mereka.

"Tapi saya tetap tidak pilih mereka walau apapun status mereka sebelum ini kalau gagal membuktikan keupayaan di depan mata saya," katanya.

Dhaarma mengaku, beliau sendiri agak pening memikirkan perkara itu, apatah lagi mahu memuaskan hati semua pihak.

"Hakikat yang perlu diterima sekarang ini ialah kita mempunyai ramai pemain muda yang bagus yang tidak dimiliki negara lain.

"Kalau mereka tidak bagus, sudah tentu awal-awal lagi saya sudah singkirkan mereka," katanya.

Jelas Dhaarma, beliau tidak akan lari daripada prinsip untuk memilih hanya yang terbaik dalam proses pemilihan barisan pemain negara ke Piala Dunia di The Hague, Belanda bermula 31 Mei.

"Saya tak akan ambil kisah apa orang nak cakap.

Saya hanya mahu beri tumpuan kepada tugas ketika ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/10

Cai Lin intai slot

Posted: 09 May 2014 11:57 AM PDT

Kuala Lumpur: Perenang elit Khoo Cai Lin perlu mencatat masa terbaik bagi merebut slot mewakili negara ke temasya Sukan Komanwel serta Sukan Asia untuk acara 800 meter gaya bebas wanita.

Chai Lin perlu mengatasi catatan 8 minit 45 saat bagi melepasi syarat ke Sukan Komanwel untuk acara 800m dan 4:14s bagi 400m (Sukan Asia).

"Saya perlu buat yang terbaik untuk kedua-dua acara itu kerana Terbuka Malaysia ini peluang terakhir saya," katanya di Pusat Akuatik Kebangsaan, Bukit Jalil, semalam.

Pada hari kedua semalam, perenang Selangor itu mengungguli 200m gaya bebas wanita dengan catatan 2:03.98s. Tempat kedua milik perenang Indonesia, Ressa Kania Dewi 2:06.48s manakala Sagita Putri Krisden, juga dari Indonesia ketiga, 2:09.52s.


Sementara itu, perenang dari Indonesia mendominasi penguasaan hari ini selepas mengumpul lapan pingat emas, enam perak dan empat gangsa.


Kejohanan Terbuka Malaysia yang bermula kelmarin hingga esok pentas terakhir buat perenang kebangsaan melayakkan diri ke Sukan Komanwel dan Asia.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/10

Padam kecewa

Posted: 09 May 2014 11:56 AM PDT

Kuala Terengganu: Mohd Zaqhwan Zaidi bangkit daripada kekecewaan di Muar apabila muncul pelumba terpantas dengan catatan rekod baru litar pada sesi ujian masa CP130 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Stadium Sultan Mizan Gong Badak, Terengganu, semalam.

Pelumba Givi Honda Yuzy Racing yang terkeluar daripada perlumbaan akhir pada pusingan lalu akibat masalah enjin turut muncul pelumba tunggal melakukan catatan 40 saat selepas merakam masa terpantas 40.432s.

Selain cemerlang memadamkan rekod tahun lalu 40.909s, keputusan semalam menyaksikan Zaqhwan muncul pelumba terpantas sesi ujian masa buat kali ketiga berturut-turut sejak pusingan pembukaan di Batu Kawan, Pulau Pinang, April lalu.

Dua pelumba yang menaiki podium di Muar, Ahmad Fazli Sham (PETRONAS Yamaha Maju Motor) dan Mohd Affendi Rosli (PETRONAS Yamaha-CKJ) mengekori di belakang dengan 41.262s dan 41.308s.

"Saya gembira kerana prestasi kami tidak menurun sekalipun mengalami masalah di Muar baru-baru ini.

Jurutera pasukan melakukan tugasan mereka dengan begitu baik bagi membantu saya kekal di depan," kata Zaqhwan yang kini menghuni tangga keempat keseluruhan dengan 25 mata.

"Berdasarkan keadaan jentera yang laju dan bertahan lama, saya percaya kami mampu beraksi dengan baik pada sesi Superpole dan juga pada perlumbaan akhir esok (hari ini).

Saya tidak pernah memenangi perlumbaan di sini, mudah-mudahan ia dapat dicapai kali ini." Mohd Zamri Baba (Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing) keempat terpantas, 41.365s diikuti rakan sepasukan, Norizman Ismail, 41.465s bagi melengkapkan senarai lima pelumba teratas.

Lima lagi pelumba yang layak ke Superpole ialah Mohd Fitri Ashraf Razali, Ahmad Fazrul Sham, Ahmad Afif Amran, Mohd Emir Firdaus Hasan dan Mohd Adib Rosley.

Sementara itu, pelumba kelahiran Terengganu, Tengku Amirul Haffirudin dari pasukan Motul Yamaha YY Pang beraksi cemerlang di depan penyokong sendiri selepas muncul pelumba terpantas CP115 dengan 41.551s.

Elly Idzlianizar Ilias dari M Seki Liberty Honda kedua 41.626s sambil rakan sepasukan Tengku Amirul, Mohd Izzat Zaidi Salehan ketiga, 41.687s.

Saingan Wira pula dikuasai Mohd Afiki Supaat (Jetron Apido Team PJM) dengan 42.446s.

Foto

ZAQHWAN mahu tebus kececewaan lalu selepas terkeluar dari perlumbaan akhir.


Catatan itu membolehkannya berada 0.094s di depan pelumba Kozi Yam Honda Racing, Mohd Harith Farhan Baharin, 42.540s.


Pelumba FELDA PbaFb Tech Racing, Fairuz Nasir ketiga 42.567s.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/10

No comments:

Post a Comment