Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Johor DT kempunan

Posted: 16 May 2014 11:07 AM PDT

Johor Bahru: Pemain sayap Pahang, R Gopinanthan menjadi pemusnah harapan Johor Darul Ta'zim (Johor DT) mencatat kemenangan selepas jaringannya pada minit akhir perlawanan menyaksikan keputusan terikat 2-2 pada saingan Liga Super di Stadium Larkin, malam tadi.

Kelibat pemain import, Jorge Pereyra Diaz hampir mencetus kegembiraan buat skuad Harimau Selatan seawal minit ketujuj, namun rembatan leretnya dalam kotak penalti tersasar.

'Sorakan Larkin' bergema menyambut jaringan tuah rumah pada minit ke-28 , berpunca daripada gerakan menarik Diaz yang menggelecek dua pertahanan lawan sebelum bertindak pantas melorongkan bola kepada Luciano Figueroa untuk merembat kencang menewaskan Md Khairul Azhan Khalid.

Namun pada minit ke-37, berpunca daripada kesilapan Mahali Jasuli membiarkan bola dirampas Gopinanthan sebelum melorongkannya kepada Azamuddin Akil yang tidak dikawal membolehkan penyerang kebangsaan itu mudah menewaskan penjaga gol, Izham Tarmizi Roslan.

Foto
Foto
Foto

SEBAHAGIAN penyokong mempamerkan skaf tanda sokongan kepada pasukan.


Bersambung babak kedua, tuan rumah terus menggandakan asakan dan hasilnya pada minit ke-48, Safiq Rahim merembat tepat ke penjuru kanan gol selepas menerima hantaran Diaz.


Seharusnya gol ketiga menjelma buat Johor DT pada minit ke-65 selepas bola sepakan lintang Mahali tepat kepada Safee Sali namun tandukannya sipi daripada gawang ketika Khairul Izhan sudah tertewas.

Pahang akhirnya bangkit menyamakan jaringan pada minit ke-88 selepas bola rembatan kencang Gopinanthan tertampan Izham Tarmizi ke gawang sendiri.

Sementara itu, di Stadium Negeri, jaringan Muamer Salibasic pada minit ke-84 membolehkan Sarawak menewaskan PKNS FC 2-1.

Joseph Kalang Tie meledak gol pertama tuan rumah pada minit 58 sebelum pemain pertahanan Mafry Balang menjaringkan gol sendiri untuk mengikat keputusan pada minit ke-78.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/17

Tagih sokongan penonton

Posted: 16 May 2014 10:59 AM PDT

Kuala Lumpur: Persembahan cemerlang sudah dipamerkan Selangor dalam kancah Liga Super ketika ini namun pengendali Mehmet Durakovic masih mengharapkan sokongan 'pemain ke-12' untuk menambahkan lagi semangat anak buahnya dalam mengharungi baki tujuh perlawanan.

"Saya harap kami akan mendapat sokongan penyokong yang lebih padu. Kami sudah berkerja keras untuk mencapai kedudukan terbaik ketika ini dan kini saya mahu penyokong memberikan kami sokongan lebih kuat, penuhkan stadium kerana kami mahu menjadikan Stadium Shah Alam sebagai kubu dan memberikan kelebihan kepada Selangor apabila menentang pasukan pelawat.

"Saya mahu kegemilangan Selangor dikembalikan. Tolong tampil memberi sokongan dengan penuh disiplin kepada kami, penyokong adalah pemain ke-12," kata Durakovic yang pernah menyarung jersi Merah Kuning ketika zaman kegemilangan The Red Giants sebelum ini.

Sejak kembali beraksi di Stadium Shah Alam penghujung Mac lalu, Merah Kuning mengekalkan rekod lima perlawanan tanpa kalah termasuk empat daripadanya mencatatkan kemenangan.

Foto

KEHADIRAN penyokong Selangor mampu menaikkan semangat anak buah Durakovic.


Namun purata penyokong yang hadir masih belum menggalakkan dengan kira-kira lapan ribu penyokong yang hadir memberikan sokongan kepada Bunyamin Omar dan rakan-rakannya berbanding kapasiti Stadium Shah Alam yang mencecah 80,000 tempat duduk.


Selangor akan turun menentang Sime Darby di Stadium Shah Alam, malam ini dengan Mehmet menjangkakan perlawanan sengit dihadapi anak buahnya selepas pelawat mempamerkan persembahan yang hebat sejak kebelakangan ini.

"Saya perlu melihat tahap kecederaan Shahrom Abd Kalam (pangkal paha) dan Mohd Rizal Fahmi Ab Rosid (lutut), seandainya mereka tidak dapat bermain beberapa perubahan posisi di barisan pertahanan akan berlaku. Namun saya percaya selagi kami berjuang, membantu satu sama lain, berdisiplin dan mengikut taktik yang dirancangkan, kami akan mengharungi perlawanan itu dengan baik," katanya.

Selangor pastinya mempertaruhkan penyerang sensasi, Paulo Rangel merobek gawang lawan selepas dua jaringannya membantu Merah Kuning menewaskan SDFC 2-1 pada pusingan pertama.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/17

Rahman gesa pemain bangkit

Posted: 16 May 2014 10:57 AM PDT

Kuala Terengganu: Pengendali Terengganu Abdul Rahman Ibrahim mahu pemain mempamerkan keupayaan sebenar dan bukan sekadar penumpang ketika melayan kunjungan LionsXII di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam ini.

Katanya, keputusan seri ketika bertemu pasukan 'adik' T-Team, Jumaat lalu perlu dijadikan pengajaran berguna bagi memulihkan kekuatan pasukan dalam misi mengutip tiga mata di laman sendiri.

"Terengganu mempunyai ramai pemain berbakat dan berpengalaman termasuk pemain kebangsaan dan peluang inilah yang sepatutnya kami gunakan untuk mempamerkan keupayaan sebenar berdepan pasukan lawan.

"Saya yakin jika pemain memperagakan aksi mantap, peluang untuk mencari tiga mata akan tercapai, apatah lagi kami beraksi di gelanggang sendiri," katanya.

Aksi pusingan pertama di Stadium Jalan Besar Singapura, 8 Februari lalu menyaksikan pasukan bimbingan Abdul Rahman berjaya membawa pulang satu mata selepas terikat tanpa jaringan.

Sementara itu, pemain tengah Zairo Anuar Zailani membayangkan ujian sukar menanti kerana lawan pasukan liat untuk ditewaskan.

"Kami beraksi malam ini dengan tumpuan mengutip tiga mata bukannya seri, justeru kami perlu menggandakan asakan jika mahu menang," katanya.

Menurutnya, mereka juga mengharapkan barisan depan yang diketuai dua tonggak import, Javier Estupinan dan pemain kelahiran Senegal, Mustapha Dabo mampu menjadi ancaman.

"Jika rakan sepasukan fokus dan barisan depan bijak menghidu peluang, saya yakin kami mampu mengutip tiga mata," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/17

TRW yakin benam Perak

Posted: 16 May 2014 10:57 AM PDT

Kota Bharu: Ketua jurulatih Kelantan George Boateng menuntut pemain beraksi dengan penuh keyakinan ketika melayan kunjungan Perak dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, malam ini.

Boateng berkata, anak didiknya perlu ulangi aksi menewaskan PKNS FC 2-0, 10 Mei lalu bagi memastikan tiga mata dikutip di gelanggang sendiri.

Bagaimanapun jurulatih berusia 38 tahun dari Ghana itu berkata, barisan pertahanan The Red Warriors (TRW) perlu bekerja keras kerana Perak mampu memberi saingan sengit.

"Kita mahu pemain beraksi penuh yakin kerana mereka mampu melakukannya.

Kemenangan terhadap PKNS tempoh hari menyuntik semangat pemain untuk terus memberi saingan dan mendapat kedudukan terbaik dalam Liga Super.


"Sebarang rekod pertemuan tidak boleh menjadi ukuran, namun saya tetap bimbang kerana Perak mampu memberi saingan di tempat kami dan harap pemain di barisan pertahanan tidak buat silap," katanya ketika ditemui pada sesi latihan semalam.


Dalam perkembangan lain Boateng berkata, beliau tidak akan menurunkan penyerang import Prince Tagoe kerana pemain berkenaan masih menjalani latihan untuk mendapatkan tahap kecergasan terbaik sebelum diberi peluang beraksi.

Katanya, mereka juga kehilangan khidmat tonggak pertahanan Nik Shahrul Azim Ab Halim kerana digantung satu perlawanan selepas menerima tiga kad kuning.

"Aksi terbaik perlu dipamer penyerang import Francis Forkey Doe, Mohd Badhri Radzi dan Mohamed Shawky.

"Saya juga berharap dapat melihat Tagoe beraksi, tapi perlu memastikan dia cergas sepenuhnya.

Buat masa ini prestasinya masih dipantau ketika latihan.

"Kami akan turunkan kesebelasan utama terbaik untuk mendapatkan tiga mata penuh." katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/17

FAM nafi berlembut

Posted: 16 May 2014 10:53 AM PDT

Kelana Jaya: Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Taufek Abd Razak menafikan mereka 'berlembut hati' dengan hanya mengenakan hukuman gantung 20 tahun dan denda RM50,000 kepada bekas Pengurus Johor Darul Ta'zim II On Jabbar biarpun kesalahan pegawai itu menumbuk pengadil perlawanan Sukri Abd Rahman dianggap serius sebelum ini.

Menurut Taufek, Jawatankuasa Tatatertib yang bersidang semalam mengambil kira rayuan bertulis On sebelum menjatuhkan hukuman itu mengikut Perkara 3.4 yang boleh membawa hukuman maksimum gantung seumur hidup.

"Hukuman gantung 20 tahun tidak menunjukkan FAM berlembut.

Kita ambil kira rayuan On yang sudah meletakkan jawatan sebagai pengurus JDT II.

"Ini kesalahan pertamanya malah beliau juga sudah didenda RM25,000 oleh PBNJ (Persatuan Bolasepak Negeri Johor)," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat itu semalam.

On yang tidak puas hati dengan keputusan pengadil didakwa mengasari Sukri sebaik tamat perlawanan Liga Perdana antara Johor DT II dengan UiTM FC di Stadium Pasir Gudang pada 19 April lalu yang berkesudahan seri 2-2.

Bagaimanapun jawatankuasa itu membenarkan On mengemukakan rayuan dalam tempoh tujuh hari selepas surat hukuman dikeluarkan kepadanya.

Tapi nasib malang itu bukan saja dirasai On malah ia juga terpalit kepada PBNJ yang turut didenda RM40,000.

"Memandangkan beliau juga EXCO PBNJ, Jawatankuasa Tatatertib turut mengenakan PBNJ denda RM40,000," kata Taufek.

Tidak cukup dengan denda itu, PBNJ turut perlu membayar RM10,000 atas kesalahan penyokong mereka membaling botol air ke dalam padang serta RM20,000 kerana gagal menyediakan keselamatan ketika perlawanan Johor DT II dan UiTM FC itu.

Sementara itu, Penolong Setiausaha Agung FAM Lazarus Xavier mengesahkan pihaknya sudah menghantar surat pertuduhan kepada Setiausaha Kehormat PBNJ Mohd Fahmy Yahya berhubung insiden separuh akhir pertama Piala FA menentang Pahang di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin pada 5 Mei lalu.

Fahmy didakwa melakukan kesalahan kerana berada di kawasan bangku simpanan dan mengganggu pegawai pertandingan dalam perlawanan itu.

"Jabatan undang-undang FAM sudah mengeluarkan surat hari ini (semalam).

Foto


Pihak kami akan menunggu maklum balas beliau," kata Lazarus.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/17

'Tak mungkin dua jurulatih'

Posted: 16 May 2014 10:51 AM PDT

Kuala Lumpur: "Tak mungkin." Itu reaksi Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin ketika ditanya kemungkinan dua jurulatih tempatan Datuk Ong Kim Swee dan Dollah Salleh bergabung mengendalikan skuad Harimau Malaya.

Menurut beliau, FAM tidak pernah bercadang menggunakan dua khidmat jurulatih bagi mengisi jawatan ditinggalkan Datuk K Rajagobal selepas tamat kontrak 31 Disember lalu kerana fokus mereka kini lebih terarah kepada mencari jurulatih dari luar.

"Kalau kita lihat memang ada jurulatih tempatan mempunyai rekod cemerlang, tapi kita perlu kaji setiap aspek. Ini kerana FAM mahu jurulatih baru itu dapat mengenalpasti pemain dari peringkat akar umbi.

"Kita hanya akan mengambil jurulatih import selepas mengambil kira semua aspek kerana mahu memastikan kontrak jurulatih asing itu berbaloi," katanya ketika ditemui pemberita semalam.


Hamidin membuat kenyataan itu sebagai mengulas laporan Arena Metro semalam yang membangkitkan idea menggabungkan kepakaran jurulatih sementara skuad kebangsaan dan Harimau Muda A Kim Swee dengan jurulatih skuad Liga Perdana Polis Diraja Malaysia (PDRM) Dollah bagi membimbing secara tetap skuad Harimau Malaya.


Idea menggunakan dua jurulatih ini pernah digunakan skuad kebangsaan Sweden pada 2000-2004 dengan melantik Tommy Soderberg dan Lars Lagerback untuk layak ke Piala Dunia 2002 dan Euro 2004.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/17

Terengganu hanya didenda RM5,000

Posted: 16 May 2014 10:50 AM PDT

Kelana Jaya: Ia ibarat sejarah baru dalam bola sepak tanah air apabila Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) terlepas daripada hukuman berat oleh Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) susulan kesalahan dilakukan penyokong mereka.

Jawatankuasa itu semalam hanya mengenakan denda RM5,000 atas kesalahan penyokong tuan rumah membakar suar selepas tamat perlawanan antara Terengganu dengan Pahang di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah yang menyaksikan kemenangan 2-0 kepada skuad Penyu pada 15 Februari lalu.

Kesalahan itu secara automatik membabitkan soal keselamatan namun Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib Datuk Taufek Abd Razak mengakui mereka menggugurkan pertuduhan itu kerana menerima alasan diberikan PBSNT.

"PBSNT didenda RM5,000 kerana kesalahan penyokong mereka membakar suar, tetapi mereka tidak dihukum atas kegagalan menyediakan kawalan keselamatan.

"Ini kali pertama ada pasukan terlepas daripada hukuman ini namun kami memberikan amaran keras kepada mereka.

"PBSNT memberikan satu hujah cukup profesional dan kami puas hati dengan alasan itu.

Namun saya tidak mahu mendedahkan apakah alasan mereka berikan itu," katanya pada sidang media semalam.

Namun nasib berbeza menimpa Persatuan Bolasepak Angkatan Tentera Malaysia (ATM FA) apabila mereka didenda RM5,000 walaupun mengaku tidak bersalah atas kesalahan penyokong membakar suar pada perlawanan Liga Super menentang Sarawak di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, 18 Januari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/17

'Kami akan buktikan!'

Posted: 16 May 2014 10:49 AM PDT

New Delhi: "Orang anggap pasukan ini paling lemah, tapi kami akan buktikan tanggapan itu salah."

Demikian pandangan kapten skuad Piala Thomas, Liew Daren menjelang saingan Piala Thomas bermula esok.

Daren yang menjadi kepercayaan rakan sepasukan untuk menggalas tugas itu berkata, dia serta rakan sepasukan tidak mahu menghiraukan apa saja tanggapan ramai terhadap skuad kali ini.

"Banyak yang orang luar atau media tidak nampak. Contohnya kami dapat rasakan semangat serta kerjasama dalam pasukan lebih tinggi dan perubahan ini hanya kami dan jurulatih saja tahu," katanya.

Foto

PEMAIN dan pegawai BAM bergambar kenangan di KLIA.


Menjelang saingan bertemu India, esok, Daren berkata, latihan intensif selama 10 hari sebelum ini diharap dapat meningkatkan prestasi setiap pemain.


"Kami perlu harungi satu persatu perlawanan terlebih dulu.

"Tapi yang jelas, kami perlu muncul juara kumpulan kalau mahu mendapatkan undian selesa di suku akhir.

"Begitupun, ia sedikit sukar kerana Korea pasti meletakkan sasaran yang sama," katanya.

Selain Korea, skuad negara diundi dalam Kumpulan C bersama-sama India serta Jerman.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/17

Khim Wah terima apa sahaja keputusan

Posted: 16 May 2014 10:47 AM PDT

New Delhi: Lim Khim Wah bersedia berdepan apa saja kemungkinan termasuk dipisahkan dengan pasangannya Goh V Shem jika semua congakan itu berhasil memberikan mata untuk skuad negara pada saingan Piala Thomas.

Khim Wah-V Shem dilihat produk Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang cukup menjadi dan pasangan meningkat naik.

Namun gandingan mereka di Piala Thomas belum pasti kerana jurulatih beregu negara Pang Cheh Chang masih berteka-teki dengan barisan pemainnya.

Khim Wah pula dilihat sering bergandingan dengan pakar beregu campuran negara Chan Peng Soon pada sesi latihan.

"Saya tidak kisah untuk digandingkan dengan sesiapa saja.

Lagipun pada sesi latihan memang kami perlu berlatih dengan gandingan yang tidak sama.

"Sebelum ini saya memang pernah bergandingan dengan Peng Soon, tapi segala-galanya terpulang kepada jurulatih," katanya.

Khim Wah berkata, tumpuan beregu negara lebih terarah kepada Korea dalam saingan Kumpulan C berbanding India dan Jerman.

"Kami sudah melihat corak permainan mereka menerusi ulang tayang video sebab mereka mempunyai gandingan beregu yang bagus.

"Tapi kami juga tidak memandang mudah cabaran India dan Jerman," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/17

'Itu hak saya'

Posted: 16 May 2014 10:46 AM PDT

Kuala Lumpur: Skuad hoki Piala Dunia negara kembali tenang selepas kecoh buat seketika kelmarin apabila ketua jurulatih kebangsaan Muhammad Dhaarma Raj Abdullah secara terbuka menyatakan hasrat ingin melepaskan jawatan disandangnya sejak lima bulan lalu akibat isu gaji tertunggak.

Selepas bekas pengendali skuad remaja negara itu melakukan pertemuan selama satu jam bersama pengurusan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) diwakili Setiausaha Agung MHC Datuk Johari Abdul Aziz dan Timbalan Pengerusi MHC Datuk Radhakrisnan Nair, menghadirkan khabar gembira buat kem negara dengan Dhaarma terus mengendalikan pasukan sehingga saingan Piala Dunia berakhir.

Namun di sebalik semua itu, Timbalan Presiden MHC Datuk Nur Azmi Ahmad jelas tidak gembira dengan situasi terbaru dicipta jurulatih kebangsaan itu dan menyifatkan MHC di bawah kepimpinan Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah sentiasa menjaga kebajikan pegawai dan pemain dengan baik.

"Apa salahnya, itu hak saya selaku jurulatih negara untuk mendapatkan pengesahan status saya dalam skuad senior.

Lima bulan saya tunggu kontrak daripada MHC, tapi mereka senyap saja.

"Saya tidak mahu mengeruhkan lagi suasana kem negara, biarlah dia (Datuk Nur Azmi Ahmad) mahu cakap apa pun.

Foto

PEMAIN skuad hoki negara gigih menjalani latihan menjelang Piala Dunia Hoki di Belanda.


Saya anggap semuanya sudah selesai dan puas hati hasil pertemuan dengan MHC dan berharap ia tidak berulang.

"Ketika ini tumpuan dan fokus saya untuk membina sebuah pasukan mantap bagi menghadapi Piala Dunia," katanya.

Menerusi laporan Arena Metro semalam, Azmi menyangkal dakwaan Dhaarma Raj yang mempersoal gaji tertunggak kepadanya selain turut tidak senang dengan tindakan jurulatih itu menggunakan saluran media menyampaikan rasa tidak puas hati ketika pasukan negara sibuk melakukan persiapan terakhir sebelum beraksi di Piala Dunia Hoki 2014 di The Hague, Belanda 31 Mei ini.

Sementara itu, senarai akhir nama pemain yang bakal memikul cabaran negara di Belanda hujung bulan ini terpaksa ditangguhkan hingga Isnin buat memberi ruang kepada semua pemain menunjukkan kebolehan dalam dua baki aksi persahabatan yang dirancang.

"Agak sukar buat saya memilih kerana pemain menunjukkan komitmen dan kesungguhan sepanjang latihan.

"Mungkin selepas dua aksi persahabatan baru saya umum barisan pemain negara," katanya.

Pada Piala Dunia hujung bulan ini, pasukan negara diundi dalam Kumpulan A bersama pasukan nombor satu dunia Australia, England, Belgium, India dan Sepanyol.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/17

No comments:

Post a Comment