Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Syabu RM4.6 juta

Posted: 14 May 2014 01:42 PM PDT

Kuala Lumpur: Sindiket pengedaran dadah didalangi warga Iran dan Nigeria dikesan menggunakan taktik dengan menyembunyikan syabu bernilai RM4.6 juta di dalam bungkusan makanan ringan serta alat pemain cakera padat bagi memudahkan ia diseludup ke luar negara.

Sindiket membabitkan 'tauke' dadah mewah ini bagaimana berjaya ditumpaskan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, JSJN Selangor dibantu Pasukan Khas Taktikal dan Risikan Narkotik (STING) selepas melakukan empat serbuan berasingan di sekitar Lembah Klang pada Isnin dan Selasa lalu.

Dalam serbuan itu, empat lelaki warga Iran dan dua warga Nigeria termasuk seorang wanita ditahan sebelum dadah syabu seberat hampir 23 kilogram dirampas.

Pengarah JSJN Bukit Aman Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata, dalam serbuan pertama Isnin lalu, tiga ahli sindiket warga Iran yang menaiki sebuah kereta ditahan di hadapan kedai di Ampang Utama di sini.

Foto

NOOR Rashid (empat dari kiri) menunjukkan bungkusan syabu yang dirampas daripada sindiket.


Menurutnya, polis yang melakukan pemeriksaan menemui empat bungkusan syabu seberat dua kilogram yang disorokkan di bawah tempat duduk belakang.


"Susulan itu polis melakukan serbuan kedua dan menahan seorang wanita warga Nigeria berusia 20-an di sebuah pangsapuri di Bukit Jalil di sini. Polis kemudian menemui lima bungkusan plastik syabu seberat 2.6 kilogram yang disembunyikan di dalam kotak pemain cakera padat.

"Polis kemudian menyerbu sebuah lagi pangsapuri di kawasan sama pada jam 4.15 petang dan berjaya merampas lima lagi bungkusan syabu. Sindiket turut dikesan menyembunyikan dadah di dalam plastik makanan ringan dengan anggaran berat keseluruhan 6.1 kilogram," katanya.

Noor Rashid berkata, operasi kemudian diteruskan lagi sebelum seorang lelaki warga Nigeria diberkas di sebuah pangsapuri lain bersama beg galas berisi tiga bungkusan syabu seberat 718 gram.

Noor Rashid berkata, seorang lagi lelaki warga Iran yang menjadi dalang utama sindiket pengedaran dadah berjaya ditahan ketika berada di sebuah pusat membel-belah di ibu kota.

"Lelaki berusia 50-an ini pernah dimasukkan ke Pusat Pemulihan Dadah Simpang Renggam, Johor kerana terbabit sebagai ketua sindiket dadah warga Iran.

"Namun dia dibebaskan dan diusir dari negara ini pada tahun 2009. Bagaimanapun, pada pertengahan 2010, pihak kami mendapat maklumat suspek menyelinap masuk ke negara ini dan kembali aktif menjalankan kegiatan pengedaran dadah," katanya.

Beliau berkata, tujuh suspek berusia 20 hingga 46 tahun itu kini ditahan reman selama tujuh hari untuk disiasat mengikut Akta Dadah Berbahaya (ADB)1952.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/15

Home Help bantu biaya anak sara ibu bapa

Posted: 14 May 2014 01:34 PM PDT

Kuala Lumpur: Pelbagai program disediakan untuk anak yang tidak mampu menguruskan ibu bapa seperti Home Help (Bantu Di Rumah) yang memberi khidmat sokongan kepada warga emas atau Orang Kelainan Upaya (OKU) untuk melakukan kerja yang tidak dapat diuruskan mereka.

Malah bantuan sara diri oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga tersedia jika anak tiada berkemampuan menghulurkan wang belanja buat ibu bapa mereka setiap bulan.

Ketua Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Dr Siti Norlasiah Ismail berkata, tiada alasan untuk anak mengabaikan orang tua kerana menjadi tanggungjawab mereka menjaga ibu bapa walau seteruk mana layanan diterima ketika kecil.

Katanya, ibu khususnya, menjadi tanggungjawab sehingga akhir hayat bagi anak lelaki beragama Islam untuk menjaganya selagi ia tidak bercanggah dengan agama.

"Jika wujud konflik antara ibu bapa dan anak, itu adalah perkara biasa yang berlaku dalam hubungan kekeluargaan.

Kita kena ingat, apa yang kita buat, kita dapat balik, kadang-kadang sangat cepat kita dapat.

"Bagaimanapun, kerajaan juga prihatin dengan masalah yang dihadapi golongan anak seperti masalah kewangan dan masa.


Disebabkan itu, program Home Help misalnya, anak boleh memohon dapatkan khidmat ini jika mereka perlukannya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan muka depan akhbar ini semalam mengenai kejadian anak meninggalkan ibu bapa mereka di hospital dan terus mengabaikan sebelum kebanyakan warga emas itu dijaga pusat kebajikan orang tua.

Sementara itu, Pegawai Psikologi Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Zulfikar Ahmad berkata, faktor sikap punca utama keruntuhan moral anak sehingga sanggup mengabaikan tanggungjawab menjaga ibu bapa.

Menurutnya, walau pelbagai bentuk kisah pengajaran ditunjukkan, jika anak itu memiliki hati yang keras, ia tidak akan mendatangkan apa-apa kesan.

"Kita boleh senaraikan beratus punca anak membiarkan ibu bapa mereka begitu saja dan tidak diakui ada yang begitu keras hati sehingga mahu membalas dendam disebabkan mereka diabaikan atau didera ketika kecil.

"Namun bagi yang melalui kehidupan sempurna pada waktu kecil, namun secara tiba-tiba berubah apabila dewasa, layakkah mereka digelar anak?" katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/15

'Mengarutlah tuduhan tu...'

Posted: 14 May 2014 01:31 PM PDT

Kuala Lumpur: "Mengarut dan kelakarlah (tuduhan). Mana logik macam ini? Takkanlah saya seorang wanita boleh naik tangan pada lelaki pula?" kata dramatis Eira Syazira berhubung dakwaan dia menampar seorang kru produksi ketika penggambaran telefilem Pulanglah Abah, baru-baru ini.

Dalam kejadian yang dipercayai berpunca daripada salah faham, kru terbabit mendakwa Eira atau nama penuhnya Syazira Shuhaimi, 30, menyerang dan memukulnya kerana tidak berpuas hati selepas ditegur akibat masalah audio ketika penggambaran berlangsung.

Eira berkata, dia terkejut dengan tuduhan individu dikenali sebagai Z itu dan mahu menyiasat secara terperinci mengenai perkara itu sebelum memberikan ulasan lanjut.

"Saya tak nak cakap apa-apa dulu.

Saya memang terkejut bila orang tuduh macam ini sedangkan saya tidak tahu asal-usul dan hujung pangkal perkara ini.

"Saya takut kalau benda ini sengaja dicetuskan dengan niat atau tujuan tertentu yang mahu mengaibkan atau mencalar reputasi saya sebagai selebriti," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Harian Metro difahamkan, kejadian berpunca apabila Eira diminta menguatkan suaranya ketika penggambaran kerana tahap audio untuk merakamkan suara aktres itu terlalu rendah di sebuah restoran di Taman Melawati, Ampang di sini.

Akibat teguran itu, Eira menjadi marah dan mula memaki hamun sebelum menyerang dan menampar muka kru produksi itu.

"Kalau dia betul-betul ada benda tak puas hati kenapa tak berjumpa saya dan suami? Kenapa pula bawa cerita macam ini terhadap saya?" katanya.

Tambahnya, dia juga tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap lelaki itu jika tuduhannya tidak sahih.

"Saya dan suami akan siasat benda ini.

Kalau tak berasas, saya sedia berdepan dengan dia nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/15

Tunggu dia beranak

Posted: 14 May 2014 01:30 PM PDT

Kuala Lumpur: "Dia nak keluar kenyataan apapun, terpulanglah. Apa-apa pun saya tetap nak berjumpa lepas dia bersalin," kata pelakon Sharnaaz Ahmad berhubung kenyataan terbaru pelakon Lisdawati yang sudah memaafkan aktor itu susulan konflik mereka pada Februari lalu.

Sharnaaz atau nama sebenarnya Sharnaaz Basir Ahmad, 29, berkata dia tidak akan berganjak daripada pendiriannya untuk bersemuka dengan Lisdawati dan suaminya pelakon Fauzi Nawawi bagi menyelesaikan perselisihan faham antara mereka.

"Dia nak cakap apa pun saya okey saja. Kalau nak damai, kita berdamailah tapi macam mana pun kena bertemu juga.

"Buat masa sekarang, serius saya tak nak ganggu dia. Bukan sebab dia okey atau tak, itu hak saya untuk jumpa lepas dia beranak," katanya ketika dihubungi Harian Metro di sini, semalam.

Foto


Lisdawati dilaporkan sudah memaafkan Sharnaaz dan bersedia bersemuka atas perbalahan yang berlaku ketika penggambaran drama bersiri Bukan Kerana Aku Tak Cinta, Februari lalu.


Bertentangan dengan pendirian Lisdawati, suaminya pula difahamkan masih menunggu surat saman daripada Sharnaaz berikutan konflik itu.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/15

Bintang 'X-Men' semakin pulih

Posted: 14 May 2014 01:28 PM PDT

Singapura: "Saya masih okey, seronok dan berasa sihat," kata bintang X-Men, Hugh Jackman, 45, yang tidak mengalami masalah melengkapkan siri jelajah promosi filem X-Men : Days of Future Past di Asia walaupun baru menjalani pembedahan membuang basal cell carcinoma (BCC), sejenis barah kulit yang dihidapinya sejak tahun lalu.

Jackman berkata, dia bersemangat menjayakan siri promosi filem itu yang sudah diatur.

Jackman berkata demikian kepada Harian Metro dan wakil media Asia dalam sesi temu bual di sebuah hotel di sini, sempena tayangan perdana filem berkenaan di Singapura, semalam.

Jackman menjalani pembedahan itu pada Khamis lalu dan ia adalah yang kedua selepas pertama kali melakukannya pada hujung tahun lalu.


"Tiada apa yang mengganggu saya, cuma saya perlukan rehat yang cukup," kata pelakon kelahiran Australia ini.


Pelakon yang cukup dikenali dengan watak Wolverine dalam siri filem X-Men ini berkata, dia harus sentiasa berasa gembira.

Turut menyertai Jackman dalam siri jelajah promosi filem berkenaan di sini ialah pengarahnya, Bryan Singer; aktres jelita kelahiran China, Fan Bing Bing dan pelakon Peter Dinklage.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/15

No comments:

Post a Comment