Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Kontroversi Penyu

Posted: 18 May 2014 10:08 AM PDT

Kuala Lumpur: Kemenangan Terengganu ke atas LionsXII 2-1 pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah kelmarin mencetuskan kontroversi apabila wakil kelab dari Singapura itu mendakwa tuan rumah membuat empat pertukaran pemain.

Perkara itu dibangkitkan LionsXII selepas Terengganu bertindak menggugurkan nama Mohd Nor Farhan Muhammad dan menggantikan dengan Ahmad Nordin Alias daripada senarai pemain yang sudah ditandatangani oleh pegawai kedua-dua pasukan serta pegawai perlawanan.


Senarai baru pemain dalam perlawanan itu kemudian dikeluarkan lima minit sebelum sepak mula dan difahamkan, pertukaran Nor Farhan dan Ahmad Nordin sudah dikira sebagai pemain gantian sebaik saja senarai pemain sudah disahkan dan itu bermakna Terengganu hanya boleh membuat dua lagi pertukaran dalam permainan.

Namun dalam 90 minit perlawanan itu pula, jurulatih Terengganu, Abdul Rahman Ibrahim membuat tiga lagi pertukaran apabila menggantikan Mohd Ashaari Shamsuddin, Moustapha Dabo dan Ismail Faruqi Asha'ri dengan Mohd Fakhrurazi Musa, Mario Karlovic dan Nor Hakim Hassan.


Berdasarkan laporan laman web axrosstheline.com, pengurus LionsXII V Subramanian yang dihubungi berkata, pihaknya sudah membuat laporan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berhubung kes itu.


"Kami fikir ada masalah dengan pertukaran pemain itu kerana pertukaran pemain yang dibuat selepas senarai pemain disahkan oleh kedua-dua pasukan sudah dikira. Tapi ketika dalam perlawanan mereka (Terengganu) membuat tiga pertukaran.

Foto

PEMAIN Terengganu Ismail Faruqi (kiri) cuba melepasi halangan Muhd Shakir.

"Kami sudah melaporkan isu ini kepada komisioner perlawanan dan FAM," katanya.


Sementara itu Arena Metro cuba mendapatkan penjelasan daripada Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM (JKPT) Datuk Seri Afandi Hamzah berhubung isu itu namun beliau meminta masa untuk mengumpul maklumat terlebih dulu.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/19

Marquez takluk Le Mans

Posted: 18 May 2014 09:43 AM PDT

Le Mans, Perancis: Penunggang Sepanyol, Marc Marquez menjadi pelumba pertama sejak legenda Itali, Giacomo Agostini pada 1972 memenangi lima perlumbaan awal dalam satu musim selepas dia dengan mudah menakluk perlumbaan MotoGP Perancis di Le Mans, semalam.

Pelumba Honda berusia 21 tahun itu yang turut mengikut jejak jaguh Australia, Mick Doohan memenangi lima perlumbaan berturut-turut dengan menduduki petak pertama berjaya bangkit daripada permulaan yang lembap untuk mendominasi perlumbaan ketika berbaki 16 perlumbaan bagi menewaskan bintang Itali, Valentino Rossi (Yamaha) dan Alvaro Bautista dari Sepanyol (Honda Gresini).


Kemenangan semalam membolehkan penyandang juara dunia yang muncul pelumba termuda memenangi lima perlumbaan berturut-turut dalam kelas utama itu memperbaharui rekod mendiang pelumba Inggeris, Mike Hailwood yang berusia 22 tahun dan 160 hari ketika memenangi lima perlumbaan berturut-turut dalam kelas 500cc pada 1962.

Marquez berjaya dipintas Andrea Dovizioso, Stefan Bradl, Rossi dan Pol Espargaro pada awal perlumbaan dan usahanya untuk merampas semula kedudukan hampir tertutup apabila motosikal yang ditunggangnya bergesel dengan tayar belakang Jorge Lorenzo namun mujur dia tidak terbabas.


Usaha Marquez membuahkan hasil apabila berjaya memintas Espargaro dan ketika berbaki 16 pusingan, pelumba muda Sepanyol itu kemudian memotong Rossi di selekoh sebelum meneruskan pecutan bagi mendahului perlumbaan.


Di belakang dua pelumba terpantas, Alvaro Bautista berjaya mengatasi asakan Espargaro untuk menduduki tangga ketiga manakala rakan sepasukan Marquez, Dani Pedrosa yang berjaya memintas Lorenzo pada hujung perlumbaan meraih tempat kelima.

Sementara itu pelumba negara Zulfahmi Khairuddin berjaya mencatat pencapaian terbaik musim ini dalam perlumbaan Moto3 apabila menduduki tangga ke-11 untuk mengutip lima mata manakala Hafizh Syahrin Abdullah pula muncul pelumba terbaik negara dalam saingan Moto2 dengan menduduki tempat ke-15 bagi meraih satu mata. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/19

Djokovic buat Nadal resah

Posted: 18 May 2014 09:42 AM PDT

Rome: Rafael Nadal menyifatkan perlawanan sukar menentang Novak Djokovic untuk memburu kemenangan kelapan kejuaraan Masters Rome selepas menyingkirkan pemain Bulgaria, Grigor Dimitrov 6-2, 6-2 pada separuh akhir kelmarin.

Nadal hadir selepas perlawanan getir dengan pemain nombor satu Britain, Andy Murray lewat Jumaat lalu namun pemain nombor satu dunia itu tidak bermasalah mengatasi Dimitrov yang beraksi buruk.


Nadal sudah menang di Rome dengan rekod tujuh kejuaraan dan berdasarkan statistik mampu meraih gelaran kelapan ketika juara bertahan wanita, Serena Williams menundukkan Sara Errani 6-3, 6-0 pada aksi final sekali gus mempertahankan kejuaraannya.

Secara keseluruhan, Djokovic menang 18 daripada 40 perlawanan terdahulu dengan Nadal, termasuk tiga perlawanan terakhir sekalipun ia di gelanggang keras.


Namun daripada pertembungan kedua-dua pemain itu di gelanggang tanah liat, Nadal menang 13 kali termasuk pertemuan terakhir mereka di gelanggang itu pada separuh akhir Terbuka Perancis tahun lalu.


Nadal bagaimanapun menjangkakan perlawanan sukar.

"Djokovic sering bermain dengan menakjubkan. Dia seorang pemain yang sukar ditundukkan," jelas Nadal.


"Sukar memikirkan dia bermain buruk. Satu-satunya cara saya untuk menang adalah bermain dengan rentak bagus, agresif dan mencuba yang terbaik." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/19

Untukmu Wenger

Posted: 18 May 2014 09:35 AM PDT

London: Aaron Ramsey mendedikasikan gol kemenangan pada final Piala FA kepada Arsene Wenger ketika Arsenal menamatkan kemarau trofi selama sembilan tahun dengan gaya dramatik.

Ramsey menyumbat gol kemenangan pada masa tambahan untuk melengkapkan kebangkitan Arsenal daripada ketinggalan dua gol sebelum menundukkan pasukan bukan pilihan Hull City di Stadium Wembley, awal pagi semalam.


Ia penamat menakjubkan bagi musim penuh bermakna buat pemain tengah Wales, Ramsey, yang muncul seorang daripada pemain paling berpengaruh Arsenal.

Namun paling penting jaringan pada minit ke-109 Ramsey melegakan pengurus Arsenal, Wenger, yang tertekan beberapa tahun berikutan kegagalannya memenangi trofi utama sejak final Piala FA 2005 menentang Manchester United.


Wenger dilabel sebagai "pakar gagal" oleh bos Chelsea, Jose Mourinho, terpaksa menangani sindiran media malah segelintir penyokong kelab itu sendiri.


Ramsey, yang menyedari tekanan dihadapi Wenger akhir-akhir ini, pantas menyanjung pengendali dari Perancis itu, selain mengakui penyokong Arsenal berhak meraikan kejayaan selepas kecewa beberapa musim.

"Ini buat pengurus dan penyokong yang yakin dengan kami, walaupun ketika semuanya tidak betul," jelas Ramsey.


"Peminat menanti sembilan tahun, mereka memenuhi Emirates setiap minggu dan ini untuk mereka.

"Saya berasa teruja memikirkan mengenainya. Kami melepaskan gol awal dalam banyak perlawanan besar musim ini, tapi kami mempamerkan kekuatan karakter untuk bangkit dan menjaringkan gol kemenangan adalah sesuatu yang saya impikan." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/19

Bruce puji pemain

Posted: 18 May 2014 09:32 AM PDT

London: Pengurus Steve Bruce memuji pemain Hull City namun kecewa mereka gagal meraih kejayaan bersejarah Piala FA selepas mensia-siakan pendahuluan dua gol sebelum kecundang 2-3 pada final menarik menentang Arsenal.

Penampilan sulung Hull pada final Piala FA berakhir dengan kegagalan berikutan gol kemenangan Aaron Ramsey pada masa tambahan namun Bruce bangga pasukan itu semakin matang sejak naik ke Liga Perdana pada hujung musim 2012-13.


Bruce, yang memenangi Piala FA dua kali sebagai pemain Manchester United, sukar membendung kekecewaannya namun berkata, tugasnya adalah membentuk pasukan bagi dua musim "menakjubkan".

"Ia sukar diterima, kami amat kecewa. Kami mempamerkan persembahan fantastik," jelas Bruce.


"Kami perlu pulih dan melupakannya. Kami gembira dengan apa yang sudah dilakukan tapi kami akan terus maju.


"Majoriti pemain yang beraksi hari ini semuanya bermain dengan saya dalam Liga Kejuaraan jadi kami mengalami beberapa tahun yang menarik.

"Tapi ia pasti lebih bersejarah dan dikenang jika kami berjaya melakukannya hari ini.


"Pada hari tertentu kami mungkin boleh memenangi piala ini dan itulah sasarannya tapi jelas ia tidak berlaku." - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/19

Akhiri kemarau

Posted: 18 May 2014 09:32 AM PDT

Barcelona: Jurulatih Atletico Madrid, Diego Simeone memuji kesungguhan anak buahnya selepas mereka berjaya merangkul kejuaraan La Liga pertama dalam tempoh 18 tahun apabila seri 1-1 dengan Barcelona, awal pagi semalam.

Dengan hanya memerlukan satu mata untuk muncul pasukan pertama selain Barcelona dan Real Madrid memenangi liga dalam tempoh 10 tahun, Atletico tertekan apabila mereka ketinggalan pada pertengahan babak pertama menerusi jaringan menarik Alexis Sanchez.


Bagaimanapun mereka bangkit seperti juara hasil tandukan Diego Godin yang menyambut bola sepakan sudut Gabi pada babak kedua.

"Anda tidak boleh mencapai kejayaan tanpa usaha keras. Pasukan ini faham jadi mereka berusaha dan hari ini (semalam) adalah hari bersejarah buat Atletico Madrid," kata pengendali dari Argentina itu.


Simeone juga menyanjung bekas jurulatih Sepanyol dan pemain legenda Atletico, Luis Aragones yang meninggal dunia ketika berusia 75 tahun awal tahun ini.


"Saya mahu berterima kasih kepada Miguel Angel Gil (ketua eksekutif) yang memberi kepercayaan kepada kami, Enrique Cerezo (presiden kelab) dan tidak dilupakan Luis Aragones yang saya percaya menjadi benteng pertahanan kami pada babak kedua. Saya juga mahu berterima kasih kepada penyokong yang saya percaya mahu kami membina sesuatu lebih besar bermula kejayaan hari ini." Atletico boleh menambah koleksi trofi apabila beraksi menentang Real Madrid pada final Liga Juara-Juara bagi merebut kejuaraan pertama dalam sejarah mereka minggu depan di Lisbon.

"Kami mahu kembali ke Madrid dan melihat penyokong di bandar itu memakai baju merah dan putih. Hari ini (semalam) kami berjaya mencipta sejarah tapi kami akan beraksi pada Sabtu depan dan kami perlu membuat persiapan rapi." Kapten Atletico Gabi menganggap keyakinan pasukan itu menjadi pendorong mereka mengatasi kelab kaya Barca dan Real.


"Hari ini (semalam) pasukan ini berhak merangkul kejuaraan. Mereka berjaya melaksanakan tugas dengan baik. Kami sentiasa percaya dengan diri kami sendiri walaupun sudah ketinggalan. Kami percaya dengan pasukan ini dan kami meraih keputusan seri yang kami mahukan." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/19

Martino tinggalkan Barca

Posted: 18 May 2014 09:31 AM PDT

Barcelona: Jurulatih Barcelona, Gerardo Martino meletakkan jawatan selepas hanya semusim bersama kelab itu yang menamatkan kempen di tangga kedua di belakang Atletico Madrid dalam perebutan gelaran La Liga sekali gus gagal memenangi kejuaraan utama.

Pengendali dari Argentina itu berdepan tugas mencabar mengekalkan rekod cemerlang Barcelona dan biarpun mereka berjaya memberi tentangan dalam pemburuan kejuaraan hingga perlawanan terakhir musim, prestasi secara keseluruhan ternyata mengundang kritikan.


Jika menang pada perlawanan terakhir di laman sendiri dengan Atletico awal pagi semalam, Barca akan mengutip 89 mata, sama mata dengan skuad yang berpangkalan di Madrid itu namun mereka akan ditabal sebagai juara berdasarkan kelebihan rekod pertemuan.

Namun apa yang berlaku, Barca hanya seri 1-1 yang menyaksikan mereka gagal meraih sebarang trofi buat kali pertama dalam tempoh enam tahun.


Barca juga gagal melangkah ke separuh akhir Liga Juara-Juara buat kali pertama dalam tempoh tujuh tahun selepas disingkirkan Atletico pada suku akhir.


"Saya berterima kasih kepada kelab yang memberi kepercayaan kepada saya dan memohon maaf atas kegagalan ini," kata Martino.

"Pemain berjuang habis-habisan dengan penuh bermaruah. Saya mahu mengucapkan tahniah kepada Atletico dengan apa yang mereka kecapi sepanjang musim ini." Bekas pemain Luis Enrique menjadi calon pilihan menggantikan Martino selepas beliau meletakkan jawatan sebagai jurulatih Celta Vigo, Jumaat lalu. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/19

Tahun 'sukar' Guardiola

Posted: 18 May 2014 09:30 AM PDT

Berlin: Jurulatih Bayern Munich, Pep Guardiola mengakui beliau berdepan tahun yang cukup mencabar dalam kariernya meskipun berjaya meraih kejuaraan keempat musim ini dengan menjulang Piala Jerman.

Arjen Robben dan Thomas Mueller menjadi kunci kejayaan dengan meledak dua gol pada masa tambahan untuk Bayern ditabal juara Piala Jerman dengan menundukkan musuh ketat Borussia Dortmund 2-0, awal pagi semalam.


Guardiola menamatkan kempen musim pertamanya bersama Bayern dengan koleksi empat trofi selepas turut memenangi gelaran Bundesliga, Piala Kelab Dunia dan Piala Super UEFA.

Hadir di Bavaria dengan reputasi hebat selepas merangkul 14 gelaran dalam empat musim di Barcelona, Guardiola mengakui kempen terbaru itu paling mencabar.


"Ini tahun kelima saya sebagai jurulatih dan ia tahun paling sukar dalam karier saya," kata Guardiola.


"Bahasa Jerman saya tidak terlalu bagus dan saya datang ke sini mengambil alih tempat Jupp Heynckes yang memenangi tiga gelaran, ia bukan tugas mudah buat saya.

"Setiap jurulatih ada idea sendiri dan saya tahu pemain fikir, kenapa kami perlu membuat perubahan?" Bayern menjulang Piala Jerman untuk kali ke-17 bagi merangkul tiga kejuaraan domestik namun Liga Juara-Juara satu-satunya gelaran yang gagal mereka menangi musim ini. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/19

Voli Van Persie penyelamat Belanda

Posted: 18 May 2014 09:08 AM PDT

Amsterdam: Kapten Robin van Persie menyumbat satu gol voli menakjubkan ketika membantu Belanda bangkit daripada ketinggalan sebelum seri 1-1 dengan pelawat Ecuador pada perlawanan pemanas badan Piala Dunia di Arena Amsterdam, awal pagi semalam.

Tuan rumah ketinggalan selepas sembilan minit namun Van Persie melebarkan rekod jaringannya buat pasukan kebangsaan kepada 42 gol apabila dia menyambut hantaran jauh Jordy Classie dari tengah padang dan singgah di dadanya sebelum melakukan rembatan kaki kiri kencang bagi gol penyamaan lapan minit sebelum rehat.


Terdahulu Jefferson Montero membuatkan benteng pertahanan kurang berpengalaman Belanda bagaikan tertidur apabila meluru melepasi mereka sebelum menyambut hantaran Felipe Caicedo dan mengelirukan penjaga gol Belanda dengan tendangan mengagumkan.

Belanda, pasukan pertama Eropah layak ke Brazil, gagal menang empat perlawanan antarabangsa terakhir mereka.


Ecuador turut menyaksikan pemain yang kali pertama beraksi, Armando Wila diusung keluar padang pada babak kedua manakala Belanda bimbang selepas pertahanan Daryl Janmaat terhencut-hencut ketika rehat.


Belanda membariskan formasi 5-3-2 yang mana jurulatih Louis van Gaal berkata, mereka terpaksa mainkan pada Piala Dunia kerana kecederaan menimpa pemain tengah utama Kevin Strootman, kurang mantap di benteng pertahanan dan keghairahan untuk menampilkan tiga pemain kreatif dalam setiap perlawanan.

Foto

Van Persie diberitahu sebaik tiba dia akan turun dalam semua tiga perlawanan pemanas badan untuk meningkatkan tahap kecergasannya selepas berehat dua bulan kerana kecederaan.


"Saya hanya bermain dua kali dalam tiga perlawanan terakhir Liga Perdana, setengah jam dan 67 minit," jelas Van Persie yang bergelut dengan kecederaan lutut.

"Saya hilang sedikit rentak tapi sudah pulih sepenuhnya." Belanda diundi dalam Kumpulan B pada Piala Dunia di samping juara bertahan Sepanyol, Chile dan Australia. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/19

Schweinsteiger tak sabar berlatih

Posted: 18 May 2014 09:08 AM PDT

Berlin: Pemain tengah Jerman yang cedera Bastian Schweinsteiger akan cergas bagi Piala Dunia bermula di Brazil bulan depan sekalipun terlepas aksi final Piala Jerman bersama kelabnya, Bayern Munich menentang Borussia Dortmund awal pagi semalam kerana kecederaan lutut.

Pemain itu yang diketepikan daripada final selepas mengalami radang di lutut kirinya bermakna dia tidak boleh berlatih sepanjang minggu berkata, dia akan kembali berlatih minggu depan.


"Saya akan pulih sepenuhnya tidak lama lagi," jelasnya. "Ia kelihatan lebih bagus.

"Bagi Piala Dunia tiada sebarang kebimbangan. (Doktor Bayern) Mueller-Wolhfart turut mengesahkannya." Jerman yang memburu kejuaraan pertama mereka dalam tempoh 18 tahun, diundi dalam Kumpulan G bersama Ghana, Amerika Syarikat dan Portugal.


Pasukan itu akan mengadakan kem latihan 10 hari di Itali bermula esok. Mereka kemudian bermain perlawanan persahabatan menentang Cameroon dan Armenia awal bulan depan sebelum kejohanan bermula. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/19

No comments:

Post a Comment