Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


London pusat 'selfie' dunia

Posted: 18 May 2014 10:41 AM PDT

London: Bandar raya London kini bukan lagi dikenali sebagai antara kota paling sibuk dan besar, sebaliknya dianggap sebagai pusat "selfie" dunia.

Menurut analisis daripada pakar media sosial London menjadi bandar raya paling banyak menjadi latar untuk seseorang melakukan "selfie".


Suggestme.com berkata, sebanyak 14 peratus "selfie" mencatatkan kawasan seperti London Eye, bangunan parlimen dan Istana Buckingham sebagai antara kawasan paling popular untuk aksi berkenaan.

Mengikuti London ialah bandar raya New York apabila Time Square dan patung Statue of Liberty menjadi pilihan utama pengamal "selfie." Suggestme.com menganalisis 6.3 juta jumlah mesej dalam Twitter, Facebook , Instagram dan laman sosial lain sebelum membuat kesimpulan itu.


Tempat ketiga diduduki Amsterdam manakala Barcelona, Paris, Berlin, Rome, Sydney, Istanbul, dan Athens berada dalam kedudukan sepuluh tangga teratas. - Agensi

Foto

ORANG ramai mengambil gambar 'selfie' bersama Perdana Menteri Britain David Cameron di London.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/19

'Nabi' laknat dijel 17 tahun

Posted: 18 May 2014 10:32 AM PDT

Bulawayo, Zimbabwe: Seorang lelaki mendakwa dirinya 'nabi' dihantar tuhan khas untuk menyembuhkan wanita menggunakan kemaluannya dipenjara 17 tahun selepas didapati bersalah merogol jiran.

Lungile Ncube, 32, dari Worringham didakwa mengumpan mangsa dengan memberitahu kemampuannya menyembuhkan sakit perut yang dialami wanita terbabit.


Bagaimanapun, Ncube meyakinkan mangsa bahawa proses rawatan mesti dilakukan melalui hubungan seks. Dalam perbicaraan, majistret Sikhumbuzo Nyathi berkata banyak kes sebegitu terjadi di negara berkenaan. Kata Nyathi, perkembangan itu sangat membimbangkan dan penjenayah harus dikenakan dihukum keras. "Ia sangat menjengkelkan apabila tertuduh menyalahgunakan kuasa dan kepercayaan orang ke atasnya," katanya. Nyathi kemudian menetapkan Ncube dihukum penjara selama 17 tahun dan tiga tahun daripadanya akan dikenakan bergantung kepada kelakuannya selepas dibebaskan. Menurut hakim itu, memang ramai wanita datang mendapatkan khidmat pawang atau bomoh bagi mengatasi masalah batin masing-masing.

Namun, katanya, apa yang berlaku sangat menyedihkan apabila mangsa ditipu dan diperlakukan begitu.


Pendakwa Masimba Saruwaka memberitahu mahkamah pada 28 Januari Ncube memanggil mangsa ke rumah dan mendakwa sebagai nabi yang menerima wahyu.


Ncube meminta wanita terbabit meminum air dicampur dengan garam sebelum mengarahkannya menanggalkan pakaian. Beberapa minit kemudian Ncube kembali bersama baldi yang mengandungi campuran tanah dan air dan mengarahkan mangsa supaya berbaring.

Dia kemudian merogol mangsa.


Apabila wanita terbabit mempertikaikan perbuatan itu Ncube mendakwa ia adalah sebahagian daripada ritual yang perlu diikuti dalam proses penyembuhan. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/19

Kakitangan awam mogok total

Posted: 18 May 2014 10:31 AM PDT

Bangkok: Kesatuan pekerja kakitangan awam Thailand semalam bersetuju memulakan mogok mulai Khamis ini sebagai bantahan terhadap rejim keluarga Shinawatra dan pegawai kerajaan yang dilihat menjadi pak turut.

Setiausaha Agung Persekutuan Perhubungan Buruh Syarikat Kerajaan, Komsan Thongsiri berkata, perkara itu antara lima resolusi dipersetujui dalam pertemuan membabitkan wakil kesatuan pekerja kakitangan awam dengan setiausaha agung Jawatankuasa Pembaharuan Demokratik Rakyat (PDRC) Suthep Thaugsuban di bangunan Santi Maitree di Rumah Kerajaan, semalam.

Katanya, perjumpaan menetapkan pelan pelaksanaan untuk mengembalikan kuasa ke tangan rakyat.

Menurut Komsan, lima resolusi yang dicapai terpakai untuk semua kesatuan pekerja kakitangan awam dan ahlinya supaya:

Foto

PENUNJUK perasaan antikerajaan berdiri di atas penghadang konkrit berhampiran Rumah Kerajaan.


- Mengeluarkan kenyataan supaya tidak menghiraukan rejim keluarga Shinawatra dan pegawai yang bertindak sebagai pak turut;


- Membina papan iklan yang membantah rejim keluarga Shinawatra dan pegawainya;

- Menunjukkan bantahan terhadap rejim dengan mempamerkan bendera kebangsaan atau simbol lain pada kenderaan atau di tempat kerja masing-masing;

- Menyertai operasi PDRC pada 19 hingga 21 Mei ini untuk mengembalikan semula kuasa ke tangan rakyat;

- Mogok bermula 22 Mei.

"Jika kerajaan tidak mengembalikan kuasa ke tangan rakyat, kami akan mengambil langkah lebih tegas demi memastikan kemenangan untuk rakyat.

"Kami menyeru kerajaan terutama menteri yang masih ada supaya letak jawatan secepat mungkin," katanya, semalam.

Komsan bagaimanapun berkata mereka tidak akan mengganggu bekalan elektrik atau air. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/19

Serai lebih untung berbanding padi

Posted: 18 May 2014 10:29 AM PDT

Tien Giang (Vietnam): Golongan petani di daerah pesisir pantai wilayah Tien Giang kini mengaut lebih banyak untung menanam serai berbanding padi.

Ketua Unit Pembangunan Pertanian dan Luar Bandar Nguyen Van Hai di daerah Tan Phu Dong berkata, wilayah itu mempunyai kira-kira 500 hektar yang ditanam serai jumlah yang jauh tinggi berbanding di daerah lain di Tien Giang.


Petani mampu menuai 17 hingga 20 tan serai sehektar dan meraih pendapatan sekitar VND100 bilion (RM15,300).

"Ini bererti petani mampu meraih tiga kali ganda pendapatan hasil menuai padi," katanya.


Petani Pham Van Hung yang memiliki kebun serai seluas dua hektar mengakui tanaman itu jauh menguntungkan berbanding padi.


"Setiap tahun saya mendapat lebih VND200 juta (RM30,621) hasil tanaman serai ini malah mampu membeli rumah dan semua barang keperluan.

"Tanah di sini sesuai untuk penanaman serai kerana masin dan kering. Serai juga kurang berpenyakit berbanding tumbuhan lain," katanya.


Seorang lagi petani Nguyen Van Sang berkata, tanaman serai juga serasi dengan cuaca kering yang dilalui selama lima atau enam bulan di wilayah berkenaan.

Naib Pengerusi Jawatankuasa Penduduk Phu Thanh berkata harga serai perlu dikekalkan pada VND5,000 (80 sen) sekilo untuk menghapuskan kemiskinan dalam kalangan petani. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/19

Prabowo ada aura dewa?

Posted: 18 May 2014 10:29 AM PDT

Jakarta: Seorang wanita mendakwa pakar feng sui Putri Wang Kam Fu berkata, dia yakin pemimpin kanan Parti Gerakan Indonesia Raya (Gerindra), Prabowo Subianto bakal memenangi pilihan raya presiden 2014 pada 9 Julai ini.

Berdasarkan 'bacaan' feng sui Putri, dia melihat Prabowo mempunyai ketokohan dan susuk tubuhnya tidak ubah seperti watak dewa dalam persembahan wayang kulit.


"Prabowo mempunyai masa depan cerah kerana dalam roda kehidupan dia berada pada kedudukan yang terbaik.

"Saya yakin beliau akan berjaya menjadi presiden," katanya ketika melawat Ibu Pejabat Gerindra semalam. Prabowo dianggap pencabar utama dalam persaingan parti politik meletakkan calon mereka menjadi presiden selepas negara itu melalui pilihan raya umum April lalu. Hasil pengiraan agensi pengendali pilihan raya, tiada mana-mana parti memperoleh undi atau kerusi mencukupi untuk melayakkan mereka menawarkan calon presiden tanpa mendapat sokongan parti lain. Selain Prabowo, pencabar utama setakat ini ialah Gabenor Jakarta, Joko Widodo (Jokowi). Ditemani Timbalan Ketua Umum Gerindra, Fadli Zon, Putri berkata, dalam pemilihan presiden pada 2009 lalu kedudukan bekas pegawai kanan tentera elit Indonesia itu tidak sebaik ketika ini. "Prabowo kini berada pada jam 12 tengah hari menurut roda kehidupan berbanding jam enam pagi pada 2009.


"Aspek ini sebenarnya penting diketahui," katanya, semalam. Selain mengambil kira pandangan ahli feng sui, Gerindra turut mengadakan persembahan wayang kulit di ibu pejabat parti itu. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/19

Isu hak asasi manusia diungkit

Posted: 18 May 2014 10:28 AM PDT

Jakarta: Calon utama yang bersaing dalam pemilihan Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) menyifatkan kes pelanggaran hak asasi manusia di negara itu belum menampakkan jalan penyelesaian.

Justeru, kata Jokowi, ia harus diselesaikan segera dan menyeluruh.


Ketika mengadakan perbincangan dengan peguam kanan Indonesia, Adnan Buyung Nasution semalam, Jokowi berkata, semua kes pelanggaran hak asasi manusia harus dibuka, dikaji dan diselesaikan. "Kes itu perlu dikaji dan dicari kebenarannya. "Kemudian kita fikirkan sama ada ia boleh diubati dan dimaafkan atau tidak," katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/19

Pijak mayat rakan

Posted: 18 May 2014 10:28 AM PDT

Soma, Turki: Murat Yokus mungkin sangat bernasib baik kerana terselamat daripada kemalangan maut di lombong arang batu beberapa hari lalu, namun apa yang dilaluinya mungkin akan kekal di ingatan.

Dalam kejadian itu Murat menyaksikan sendiri seorang demi seorang rakannya rebah dan berhenti bernafas dalam terowong dipenuhi asap berbahaya.


"Saya terpaksa memijak mayat kawan-kawan untuk menyelamatkan diri," katanya sambil mengalirkan air mata.

Lima hari selepas tragedi itu berlaku, Murat, 29, masih ingat bagaimana hari malang itu berlaku. Dia adalah seorang daripada 485 pelombong yang bernasib baik kerana belum dijemput ajal berbanding 301 pekerja lain yang meninggal dunia. Kata Murat, apa yang berlaku itu tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. "Saya bersiap-siap untuk keluar dan pulang apabila kami nampak asap datang.


"Mula-mula ketua pekerja mengarahkan kami menunggu tetapi kami lama-kelamaan kami hilang sabar," katanya.


Ketika itu Murat bersama kira-kira 100 yang lain berhimpit-himpit dalam kawasan seluas 200 meter persegi di bawah tanah. Apabila mendapat tahu sebahagian daripada rakan sekerja mereka di bahagian lain lombong itu terbunuh, Murat memutuskan untuk melanggar perintah ketuanya. "Saya berkata kepada diri sendiri - saya tidak akan mati hari ini," katanya. Dia mengambil topeng oksigen yang tidak pernah digunakannya sebelum ini dan mula berjalan. Sesekali, katanya, ketika dia menoleh ke belakang, Murat dapat melihat ramai rakannya rebah.

Foto

PEKERJA lombong berbual berhampiran sebuah tugu di bandar Soma, barat Turki.

"Mereka lemas dan menggelupur bagai haiwan yang disembelih tetapi saya menguatkan semangat dengan mengenang anak dan isteri di rumah," katanya. Sejurus kemudian, kata Murat, dia juga pengsan namun bernasib baik kerana ditemui penyelamat dan dibawa ke luar. "Kami memang sedar bahaya yang menanti apabila menerima tawaran bekerja di lombong ini, namun apa yang berlaku di luar jangkaan," katanya. Sementara itu seorang lagi pelombong, Erdal Bicak percaya dia ada jawapan mengapa rakan sekerjanya terbunuh dalam tragedi itu. Bagi Erdal kesalahan perlu diletakkan kepada syarikat pelombong kerana cuai. Erdal, 24, berkata syarikat pengendali lombong itu memang memiliki mesin menyukat paras gas metana dan pada hari kejadian, kandungannya terlalu tinggi.


"Syarikat itu tidak memaklumkannya kepada kami," katanya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/19

18 ditahan bantu siasatan

Posted: 18 May 2014 10:23 AM PDT

Istanbul: Seramai 18 orang termasuk eksekutif syarikat ditahan ketika pihak berkuasa Turki meneruskan siasatan terhadap tragedi lombong arang batu di Soma, semalam.

Agensi berita Dogan melaporkan, antara yang ditahan ialah Pengurus Besar Soma Holding, Ramazan Dogru, dan pengurus operasinya, Akin Celik. Kerajaan dan Soma Holding berkali-kali menegaskan lombong berkenaan menjalani pemeriksaan berkala dan kemalangan bukan disebabkan kecuaian. Namun pihak berkuasa berjanji menjalankan siasatan mendalam selepas mendapat kecaman orang ramai. Akhbar melaporkan, siasatan awal menunjukkan tekanan daripada arang batu menyebabkan bumbung lombong runtuh.


Laporan itu juga menyatakan tiang menyokong terowong di lombong berkenaan diperbuat daripada kayu, bukan besi seperti disyaratkan. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/19

126 penyokong Ikhwan dihukum penjara 10 tahun

Posted: 18 May 2014 10:22 AM PDT

Kaherah: Sebuah mahkamah Mesir semalam menjatuhi hukuman penjara 10 tahun ke atas 126 penyokong Presiden Mohamed Mursi, kata sumber perundangan.

Menurut sumber itu, hakim mendapat tertuduh "bersalah" kerana menyertai rusuhan, menyerang pasukan keselamatan dan terbabit dalam pertempuran pada 16 Ogos tahun lalu.


Tidak cukup dengan itu, mereka juga disabitkan kesalahan kerana menyertai "pertubuhan haram" merujuk kepada gerakan Islam berpengaruh Mesir, Ikhwanul Muslimin. Hakim di mahkamah daerah Kafr el-Sheikh turut menghukum enam lagi tertuduh dengan penjara satu tahun.

Bagaimanapun, tuduhan yang dikenakan belum diketahui. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/19

Objek disangka UFO rupanya milik Russia

Posted: 18 May 2014 10:22 AM PDT

Beijing: Tanda tanya mengenai objek aneh yang terjatuh di kawasan pertanian Heilongjiang Jumaat lalu terjawab dengan kenyataan rasmi kerajaan semalam.

Walaupun disangka objek makhluk asing, pihak berkuasa China mengesahkan ia adalah serpihan roket milik Russia yang rosak dan meletup ketika dalam misi membawa satelit ke angkasa lepas. Pakar di wilayah itu menjalankan pemeriksaan bagi mengenal pasti asal usul objek berkenaan.


Kenyataan Pentadbiran Angkasa Lepas Kebangsaan China berkata, mereka turut berhubung dengan pelbagai agensi berkaitan untuk mendapatkan pengesahan. "Akhirnya kami mengesahkan objek itu bukanlah milik makhluk asing, sebaliknya serpihan roket atau satelit Russia yang meletup di ruang udara," kata agensi berkenaan. Terdahulu, roket Proton-M milik Russia dilancarkan dari Kazakhstan untuk membawa satelit komunikasi Express-AM4R.

Bagaimanapun ia mengalami kerosakan dan meletup beberapa minit sesudah berlepas dari stesen berkenaan. Agensi angkasa lepas Russia mendakwa semua cebisan roket serta satelit itu terbakar di atmosfera. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/19

No comments:

Post a Comment