Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Peniaga henti jual serta-merta

Posted: 25 May 2014 02:13 PM PDT

Kuala Lumpur: Peniaga di sekitar ibu negara sudah mula menghentikan jualan dua produk coklat jenama Cadbury Dairy Milk selepas Kementerian Kesihatan mengesahkan coklat itu mengandungi asid deoksiribonulkleik (DNA) babi.

Dua produk berkenaan adalah Coklat Susu dengan Kacang Hazel - Cadbury Dairy Milk Hazelnut dan Coklat Susu dengan Buah Badam - Cadbury Dairy Milk Roast Almond.

Tinjauan Harian Metro semalam mendapati kebanyakan kedai runcit, pasar raya dan stesen minyak di sini sudah menghentikan jualan dua produk berkenaan serta merta kepada pelanggan.

Pekerja kedai serbaneka, Siti Mariam Abdullah, 20, berkata pihaknya kini sedang menunggu ketibaan syarikat pengeluar, Cadbury Confectionery Malaysia (M) Sdn Bhd, untuk mengambil produk berkenaan selepas arahan menghentikan jualan coklat itu dikeluarkan sejak malam kelmarin.

"Wakil syarikat Cadbury datang ada pada jam 11.30 pagi bagi memastikan sama ada kami sudah menghentikan jualan kepada pelanggan," katanya.

"Kami juga dimaklumkan supaya menyimpan coklat itu sehingga notis selanjutnya dikeluarkan," katanya.

Bagi seorang lagi penyelia kedai makanan, Norizah Jiman, 28, dia juga masih menunggu arahan berkenaan tarikh mengembalikan coklat itu kepada pengeluar.

"Walaupun arahan rasmi dari pihak atasan belum dikeluarkan, tetapi premis kami telah pun menghentikan jualan memandangkan majoriti pelanggan kami adalah orang Islam," katanya.

Sementara itu, orang ramai melahirkan kebimbangan terhadap status halal produk coklat Cadbury Dairy Milk walaupun hanya dua produk yang disahkan mengandungi DNA babi.

Foto
Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/26

RM175,000 lebur diperdaya 'rakan kongsi'

Posted: 25 May 2014 01:17 PM PDT

Petaling Jaya: Impian seorang lelaki untuk menjadi rakan kongsi projek pembinaan hotel musnah selepas dia menjadi mangsa penipuan sebuah syarikat yang melesapkan wang pelaburannya sebanyak RM175,000.

Lebih malang, apabila mangsa yang berusia 35 tahun cuba menuntut kembali wangnya, dia mendapati pejabat syarikat itu di Kelana Jaya, di sini, sudah ditutup dan pemiliknya gagal dikesan.

Menurut sumber polis, mangsa berkenalan dengan dua lelaki yang mendakwa terbabit dalam projek pembinaan hotel sekitar Disember tahun lalu.

"Selepas berbincang mangsa dijanjikan sejumlah syer saham di dalam syarikat itu menyebabkan dia bersetuju melabur di dalam projek bernilai RM3.5 juta.

"Mangsa yang tidak menyedari akan ditipu mengeluarkan semua wang simpanannya RM175,000 sebagai modal pelaburan," katanya.

Bagaimanapun selepas dua bulan, mangsa mendapati projek itu masih tidak berjalan dan semakan dengan Syarikat Suruhanjaya Malaysia (SSM) juga mendapati projek tidak wujud.

Mangsa bersemuka dengan mereka, namun diberitahu dokumen berkaitan projek belum diserahkan kepada SSM dan mangsa percaya dengan alasan itu.

Bagaimanapun selepas beberapa bulan menunggu mangsa tidak menerima maklum balas daripada syarikat terbabit menyebabkan dia mula mengesyaki sesuatu.

"Mangsa sekali lagi membuat semakan dengan SSM dan terkejut apabila mendapati nilai sebenar pelaburan projek itu tidak sampai RM3.5 juta sebaliknya hanya RM400,000.

"Selepas mendapati pejabat syarikat itu sudah ditutup mangsa membuat laporan di Balai Polis Kelana Jaya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/26

Memang wanita berani!

Posted: 25 May 2014 01:09 PM PDT

Dungun: "Mereka mengancam nyawa saya sekeluarga dan wajar diajar," kata seorang wanita berusia 36 tahun yang bertindak mengejar dua penyamun dan melanggar mereka hingga cedera di Jalan Lapangan Terbang, di sini, kelmarin.

Wanita yang enggan dikenali itu berkata, sebelum kejadian, dia membawa anak berusia empat tahun yang demam ke sebuah klinik di Kuala Dungun, di sini, sambil ditemani dua lagi anak, jam 4 petang.

Katanya, ketika kejadian suaminya yang bekerja dengan sebuah syarikat minyak bertugas di luar negara dan apabila dia pulang ke rumah dia terkejut mendapati pintu pagar terbuka serta sebuah motosikal Honda EX5 berada di dalam garaj.

"Curiga dengan keadaan itu, saya meninggalkan anak di dalam kenderaan dan berlari masuk ke dalam rumah selepas pintu jeriji depan terbuka sebelum terdengar suara dua anak berusia tujuh dan 11 tahun yang tidak ikut bersama ke klinik bercakap dengan seorang lelaki di dalam sebuah bilik.

"Pada masa sama, saya membuka pintu bilik tidur saya pula dan tiba-tiba muncul seorang penyamun dari bilik menerpa menyebabkan saya melarikan diri," katanya, di sini, semalam.

Menurutnya, dia tidak sempat keluar meminta bantuan selepas ditarik penyamun terbabit yang bertindak meletakkan sebilah parang di lehernya sambil meminta dia diam jika tidak mahu dicederakan, manakala seorang lagi penyamun bertindak menyelongkar barangan di dalam rumah.

"Selepas 20 minit menyelongkar dan berjaya melarikan wang tunai RM1,300, dua komputer riba, dua jam tangan dan alat permainan yang kesemuanya bernilai RM12,000, kedua-dua penyamun itu melarikan diri dengan motosikal Honda EX5.

"Berang dengan tindakan itu, saya mengejar mereka dengan kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Innova sejauh hampir satu kilometer sebelum melanggar motosikal itu menyebabkan mereka jatuh tergolek di tepi jalan.

"Kedua-kedua penyamun yang cedera bangun dan mengacukan parang ke arah saya, namun saya memusingkan kenderaan dan sekali lagi melanggar mereka sebelum kedua-duanya melarikan diri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/26

Sepantas kilat penyamun buka pintu

Posted: 25 May 2014 01:07 PM PDT

Alor Setar: Seorang wanita berdepan detik cemas disamun dua lelaki menyamar anggota polis dengan bersenjatakan parang menyebabkan mangsa kerugian RM40,000 dalam kejadian di Kampung Tengah, Kuala Kedah, di sini, Jumaat lalu.

Kejadian berlaku jam 8.20 malam ketika mangsa, Faridah Mohamad, 46, sedang menonton televisyen bersama seorang anak saudaranya sebelum didatangi dua suspek berusia 20-an itu.

Faridah berkata, kedua-dua lelaki memakai topi keledar berpenutup penuh memperkenalkan diri sebagai anggota polis sambil meminta kebenaran masuk ke rumah membuat pemeriksaan.

"Apabila saya enggan membuka pintu, mereka mengugut mahu menendang pintu rumah sehingga pecah dan mahu membawa lebih ramai anggota polis bagi menakutkan saya.

"Bimbang dakwaan lelaki itu saya membuka satu tingkap dan meminta mereka menunjukkan waran geledah dan kad kuasa polis, namun sepantas kilat seorang daripada mereka memasukkan tangan dan membuka tombol pintu dari dalam rumah.

"Sejurus masuk, mereka menolak saya sehingga jatuh sebelum mengunci pintu rumah," katanya.

Menurutnya, kedua-dua lelaki itu kemudian mengikat kedua-dua tangannya dan juga anak saudaranya menggunakan kain lalu mengeluarkan parang sebelum mengugut menyerahkan semua barang kemas serta wang tunai.

"Mereka masuk ke dalam bilik dan menggeledah bilik sebelum melarikan rantai emas, loket emas, gelang emas, cincin emas dan wang tunai berjumlah RM1,000 dengan nilai dianggarkan RM40,000 lalu menumbuk kepala saya beberapa kali sebelum beredar," katanya.

Dia kemudian menjerit sekuat hati meminta bantuan selepas kedua-dua lelaki terbabit beredar sebelum membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/26

3 anggota LTTE dicekup

Posted: 25 May 2014 12:59 PM PDT

Kuala Lumpur: Tiga lelaki warga Sri Lanka ditahan kerana disyaki bergiat aktif di negara ini untuk menghidupkan semula aktiviti kumpulan pemberontak Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Mereka yang berusia 30 hingga 40-an ditahan dalam operasi khas oleh sepasukan pegawai dan anggota Unit Anti Keganasan Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di Petaling Jaya dan Klang, Selangor, pada 15 Mei lalu.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, siasatan mendapati ketiga-tiga suspek menggunakan kad Pesuruhjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Orang Pelarian (UNHCR) untuk menetap di Malaysia dan mengelak dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa.

"Suspek menyusup sejak 2004 dan menjadikan negara ini sebagai pangkalan operasi untuk mengumpul dana, menyebarkan propaganda dan berusaha mengaktifkan semula kumpulan LTTE di peringkat antarabangsa.

"Kita berjaya menahan mereka dan merampas beberapa barangan antaranya bahan propaganda LTTE, peralatan media dan mata wang asing membabitkan 24 negara bernilai RM20,176," katanya dalam kenyataan media di sini, semalam.

Menurutnya, pemeriksaan turut mendapati seorang daripada suspek memiliki permit pekerjaan membabitkan sebuah syarikat tidak wujud.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/26

No comments:

Post a Comment