Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


'Enggan mengalah'

Posted: 03 May 2014 07:36 AM PDT

London: Meskipun pengurus Chelsea, Jose Mourinho (gambar) tetap berkeras mendakwa kelab itu tidak mampu menjuarai Liga Perdana Inggeris musim ini, kejayaan menewaskan Norwich City malam ini akan meletakkan mereka di puncak liga dengan kempen musim ini berbaki seminggu lagi.

Pencabar utama gelaran terbabit Manchester City dan Liverpool masing-masing mempunyai kelebihan satu perlawanan dan biarpun Chelsea mengharapkan kedua-dua kelab itu melakukan kesilapan, anak buah Mourinho masih menunjukkan kekentalan mereka.

Perlawanan terakhir musim ini di laman sendiri juga memberi peluang kepada Chelsea untuk mengingatkan peminat dengan ingatan positif kempen kali ini selepas tewas kepada Atletico Madrid di Stamford Bridge dalam Liga Juara-Juara.

Liga Juara-Juara dilihat sebagai peluang Chelsea untuk menghampiri gelaran dan biarpun nasib tidak menyebelahi mereka, Mourinho tetap mengharapkan penamat yang sempurna musim ini.

Foto


"Apa yang boleh kami lakukan adalah memenangi kedua-dua perlawanan," kata pengurus Chelsea itu yang menamatkan kempen musim ini di Cardiff City pada 11 Mei ini.


"Bayangkan jika kami tidak menjuarai liga ini kerana kami tidak menang kedua-dua perlawanan ini, sudah tentu ia akan memberi kesan buruk kepada pemain.

"Kami sedar, kami berdepan dua pasukan yang terdesak mendapatkan tiga mata tetapi kami juga perlukan mata untuk menamatkan musim ini di tangga ketiga dan mengesahkan tempat di Liga Juara-Juara musim depan.

"Bukan saja merebut mata, kami juga perlukan kedua-dua kemenangan itu dan perlawanan terakhir di tempat sendiri (kepada Norwich)."

Chelsea hanya memerlukan satu mata bagi memastikan mereka berada di atas pasukan di tangga keempat, Arsenal dan layak secara automatik ke Liga Juara-Juara musim depan.

Chelsea melangkah ke perlawanan hujung minggu ini dengan kelebihan lima mata berbanding pesaing mereka tetapi bakal berkongsi kedudukan sekiranya mempamerkan perbezaan gol yang besar.

Mourinho bakal menurunkan empat pemain tengah iaitu Frank Lampard, John Mikel Obi, Nemanja Matic dan Mohamed Salah selepas mereka tidak beraksi ketika pasukan tewas 1-3 kepada Atletico. baik secara penggantungan atau tidak dapat bermain. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/04

Kenapa tiada rakyat biasa?

Posted: 03 May 2014 07:35 AM PDT

Kota Bharu: Bekas Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tan Sri Annuar Musa kecewa apabila tiada calon daripada golongan biasa merebut jawatan Presiden FAM pada Kongres Tahunan Ke-50 FAM, 25 Mei ini.

Annuar berkata, pertandingan itu yang membabitkan tiga penjuru keluarga Diraja antara penyandang Presiden, Sultan Ahmad Shah, anakandanya yang juga penyandang Timbalan Presiden, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim dilihat menyebabkan tiada pihak lain berani menawarkan diri.

"Bola sepak negara ini memerlukan perubahan besar dan perlu berubah daripada cara biasa kita buat kerana cara biasa tidak membuahkan hasil jika kekal cara lama," katanya.

Bagaimanapun, keputusan itu perlu diterima semua pihak dan mengharapkan pemimpin yang dipilih mampu membawa perubahan kepada bola sepak negara.

Foto

ANNUAR (kiri) mahukan perubahan besar dalam FAM.


Annuar turut berharap penyandang Naib Presiden FAM, Datuk Seri Afandi Hamzah dan Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Abdul Mokhtar Ahmad diberi peluang menjawat jawatan Timbalan Presiden.


Pada masa sama, Annuar menjawab kebimbangan peminat berkenaan keupayaan George Boateng sebagai jurulatih Kelantan dengan meletakkan The Red Warriors ke Petunjuk Prestasi Utama (KPI) asal iaitu empat teratas dalam perlawanan Piala FA dan mengekalkan kecemerlangan dalam saingan Piala Malaysia.

"Kita nak jurulatih yang dia sendiri boleh bermain, bukan hanya berteori dan Boateng ada pengalaman sebagai pemain bola di Malaysia dan pernah dilatih jurulatih bertaraf dunia, dia ada ilmu dan pengalaman," katanya.

Annuar berkata, meskipun Boateng baru mendapat lesen kejurulatihan, namun percaya dia mampu menaikkan prestasi TRW melalui latihan amali dan teori berdasarkan ilmu dan pengalamannya.

"Banyak orang tak faham, dapat lesen dengan orang yang tiada pengalaman bermain berbeza dengan orang yang baru dapat lesen tapi sudah lama bermain.

"Kita kena tahu lesen jurulatih diberi sebelum usia 40 tahun, orang lain berhenti bermain umur 27 tetapi Boateng pada usianya orang masih bagi kontrak bermain sebab keupayaannya," katanya Annuar.

Menurutnya, jika pasukan Liga Perdana Inggeris seperti Manchester United (MU) berani mengambil pemain tengah Ryan Giggs sebagai jurulatih sementara, mengapa tidak pasukan tempatan mengambil tindakan berani sama.

"Sepatutnya kita yang perlu terkejut kerana Boateng mahu melatih Kelantan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/04

Pena Arena: Usah sampai hilang maruah, peminat

Posted: 03 May 2014 07:28 AM PDT

Ketika arena bola sepak negara diselubungi kehambaran, tawaran Paulo Rangel untuk menyarung jersi Harimau Malaysia, sesuatu yang sedap didengar. Jika benar menjadi kenyataan, Rangel akan menjadi pemain naturalisasi pertama dalam kancah bola sepak negara.

Mungkin menyedari tidak berpeluang mendapat tempat dalam skuad kebangsaan negara asal Brazil yang diketahui umum memiliki ramai pemain berkualiti menyebabkan Rangel menawarkan khidmatnya kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Walaupun segala-galanya masih kabur, kewibawaan Rangel di depan gawang memang tidak dinafikan apabila dia membuktikan kehebatannya sebagai penjaring terbanyak Liga Super dengan 10 gol setakat ini.

Ketajamannya di depan pintu gol mungkin menjadi jawapan terhadap ketumpulan dan kehambaran penyerang tempatan seperti ditunjukkan dalam aksi terbaru ketika menentang Filipina, baru-baru ini.

Tapi adakah kita benar-benar perlukan pemain naturalisasi? Perlukah FAM membenarkan pemain asing menyarung jersi Harimau Malaya? Mungkin kita akan berasa bertuah jika mempunyai pemain seperti Rangel dalam skuad negara kerana boleh meningkatkan persembahan kita serta menjadi aset kepada pasukan kebangsaan.

Walaupun mungkin tidak sampai ke peringkat Piala Dunia, sekurang-kurangnya kehadiran mereka boleh membantu kita bersaing lebih sengit di peringkat Asia Tenggara atau Asia.

Tapi, bagaimana pula dengan emosi dan semangat patriotisme? Yang pasti, mereka tidak boleh dan tidak akan mempunyai perasaan yang sama seperti kita.


Mereka tentu tidak akan beremosi seperti kita ketika lagu Negaraku dinyanyikan atau Jalur Gemilang dikibarkan.


Dalam bola sepak kebangsaan, kita tahu pemain kita sedia bermain mati-matian untuk negara.

Mereka menghadapi setiap perlawanan seperti akan pergi berperang.

Bagi mereka, menyarung jersi kebangsaan satu kebanggaan.

Mereka sanggup berkorban apa saja kerana beraksi untuk negara bukan sekadar kerjaya yang memberikan ganjaran lumayan.

Jadi, adakah pemain yang tidak begitu bagus untuk mewakili negara asal tetapi kini menyarung jersi kita mempunyai perasaan sama? Sudah tentu tidak dan jika dibenarkan, akhirnya bola sepak kita sendiri yang akan kehilangan maruah dan peminat.

Lagipun, dari segi jangka panjang, tiada jaminan kemelut melanda pasukan kebangsaan kita akan berakhir dengan kehadiran mereka.

Walaupun Singapura dilihat lebih berjaya, tetapi Indonesia tidak begitu.

Biarpun memiliki barisan 14 pemain naturalisasi, mereka sehingga kini masih gagal muncul juara Sukan SEA sejak 1991, begitu juga dengan Piala AFF.

Jadi, naturalisasi sebenarnya tidak menjanjikan apa-apa.

Ia bukan ubat terhadap penyakit dihadapi pasukan kebangsaan.

Apa yang penting, FAM sepatutnya mengambil iktibar dengan memberi tumpuan terhadap membuat pembaharuan kepada program mereka dan bukannya mencari jawapan jangka pendek.

Perubahan perlu dilakukan di peringkat akar umbi.

Kita perlukan pemain muda yang menyerlah daripada sistem kita sendiri untuk mewakili negara.

Justeru, diharapkan Pelan Pembangunan Bola Sepak Negara yang dilancarkan baru-baru ini akan menjadi jalan penyelesaian.

Tapi sementara menunggu hasilnya, FAM juga perlu memperbetulkan mentaliti pemain kebangsaan sedia ada.

Ibarat kata pepatah, sesuatu masalah itu tidak boleh selesai dengan membuatkannya menjadi kecil, tapi kita sendiri harus meningkatkan keupayaan kita agar permasalahan itu dapat diatasi.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/04

Apa lagi atlet mahu?

Posted: 03 May 2014 07:26 AM PDT

Kuala Lumpur: Kepesatan pembangunan sukan negara banyak memberi kelebihan buat atlet generasi kini, jauh berbeza berbanding atlet era sebelumnya yang kini bergelar legenda.

Bagi meneruskan legasi, Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (MSN) dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menjadi penggerak perkembangan sukan negara.

Berbekal program lebih tersusun, atlet semasa menerima pendedahan luas, sokongan, insentif dan perspektif terbaik menjadikan sukan sebagai karier.

Jagoan seperti Datuk Lee Chong Wei, Datuk Nicol David, Pandelela Rinong dan Azizulhasni Awang dibentuk dalam acuan ini, menjadikan mereka idola era ini.

MSN, terutamanya menjadi kilang 'membekalkan' permata yang siap digilap untuk beraksi di pentas antarabangsa dan jika cemerlang mampu menjadi ikon negara.

Pegawai Perhubungan Awam MSN Fahmi Omar berkata, MSN menghimpunkan atlet elit di bawah satu bumbung, menyediakan sistem sokongan terbaik untuk atlet tampil cemerlang dalam sukan.

Atlet yang berada di bawah program elit menerima elaun bulanan serendah RM500 dan jumlah itu meningkat hingga RM2,500 sebulan bergantung kepada prestasi atlet secara kontrak bermula 1 Januari hingga 31 Disember setiap tahun.

"Atlet seperti Chong Wei, Nicol, Pandelela dan Nur Suryani masing-masing menerima RM2,500 sebulan," kata Fahmi.

Malahan atlet terbabit diberi penginapan percuma di Casa 1, 2 dan 3 selain Asrama Sekolah Sukan Bukit Jalil yang turut dibiayai MSN dan mampu menampung hingga 700 atlet pada satu-satu masa.

Tidak cukup dengan itu soal makanan, pakaian dan peralatan sukan, selain khidmat jurulatih serta peruntukan untuk latihan dan kejohanan dalam dan luar negara semuanya ditanggung MSN.

Soal perubatan dan kesihatan atlet pula tanggungjawab Institut Sukan Negara (ISN).

"Mereka hanya datang dengan bakat memandangkan semuanya sudah diuruskan," kata beliau.

Atlet elit juga mampu membawa pulangan ganjaran lumayan dan menerusi Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM), pemenang pingat emas individu Olimpik menerima RM1 juta, pingat perak RM300,000 dan gangsa RM100,000.

Selain itu mereka juga menerima skim imbuhan tetap RM5,000, RM3,000 dan RM1,000 mengikut pingat sepanjang hayat.

Itu tidak termasuk ganjaran skim pemenang pingat Sukan Asia, Komanwel dan Kejohanan Dunia selain pendapatan tambahan menerusi penajaan.

"Chong Wei contohnya menerima elaun tetap RM2,500 dan skim imbuhan tetap Olimpik RM3,000 (menerusi kemenangan pingat perak Olimpik) sebulan.

"Itu tidak termasuk tajaan, kejohanan disertai dan MSN tidak mengambil sesen pun wang kemenangan, tetapi mungkin dipotong oleh persatuan," kata Fahmi.

Atlet turut mendapat laluan mudah ke Universiti dengan keputusan minimum menerusi kemasukan ke Sekolah Sukan Bukit Jalil.

MSN menandatangani 13 memorandum persefahaman dengan Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta dalam jurusan pilihan antaranya komunikasi massa dan sains sukan.

Foto

NICOL cemerlang kuasai dunia skuasy.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/04

Bukan kerana wang

Posted: 03 May 2014 07:25 AM PDT

Kuala Lumpur: Bukan kisah dongeng kita dengar dalam kalangan atlet lama yang mengeluarkan belanja sendiri untuk berlatih dan menyertai kejohanan, akhirnya menjadi tonik membantu mereka berada di kemuncak kejayaan.

Jalan sama tidak lagi dilalui generasi kini apabila mereka menerima pelbagai bantuan, tetapi sejauh mana sokongan ini mampu membentuk mereka menjadi atlet kental bersaing di pentas global.

Lebih tepat lagi, menerusi pelbagai insentif diberikan buat penggiat sukan, adakah ia dianggap satu pilihan karier bersandarkan hakikat bahawa yang berjaya ke tahap tertinggi mungkin segelintir saja? "Keadaan jauh berbeza berbanding dahulu kerana bantuan agak terhad, tetapi atlet mampu meraih pencapaian yang baik," kata bekas pelari pecut kebangsaan, Rabuan Pit.

Mungkin itulah dilema dihadapi atlet era ini yang dalam sesetengah acara belum dapat menyaingi atlet generasi terdahulu meskipun dibekalkan banyak kemudahan.

Perkara itu turut diakui Rabuan kerana ketika itu semangat sebagai wakil negara dan jabatan (beliau mewakili Polis Diraja Malaysia) begitu tinggi hingga membantunya bergelar jaguh pecut Asia.

"Kami tidak fikirkan sangat imbuhan kerana yang penting adalah mengharumkan nama negara, tetapi dengan pelbagai bantuan yang diberi, sewajarnya mereka mampu memberi sesuatu buat negara," katanya.

Malah dengan banyak sokongan diberikan, Rabuan berpendapat sukan boleh dilihat sebagai karier yang mempunyai masa depan cerah berdasarkan pencapaian atlet negara.

"Asalkan atlet berjaya di peringkat Sukan SEA, Asia, Komanwel mahupun Olimpik, ganjaran sentiasa menanti mereka," katanya.

Begitupun, Rabuan menitipkan pesan buat generasi atlet ketika ini supaya menjadikan kejayaan di temasya sukan sebagai matlamat mereka dan bukannya merungut mengenai perkara remeh seperti tidak cukup makan dan sebagainya.

Bekas pelumba basikal kebangsaan, Rosman Alwi turut berpendapat atlet kini lebih bernasib baik dengan pelbagai kemudahan diperoleh, tetapi tidak sewajarnya 'gelap mata' dengan hanya bersandarkan status sebagai wakil negara semata-mata.

"Atlet dahulu kebanyakannya bermula dari bawah, menggunakan belanja sendiri dan sokongan orang sekeliling.

Kita bersusah-susah dahulu dan lebih menghargai apa yang ada," katanya.

"Kini, semuanya sudah ada, tapi mereka tidak pandai manfaatkan, tidak tahu tujuan berada dalam sukan kerana yang penting senang cari makan.

"Atlet dahulu jauh lebih patriotik, meskipun turut fikirkan mata pencarian, tetapi mereka berusaha sungguh-sungguh.

Ada segelintir atlet masa kini yang menganggap diri mereka sudah 'besar' apabila menjadi wakil negara sedangkan sepatutnya semangat patriotik mereka semakin meningkat."

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/04

Bangga sarung jersi no 3

Posted: 03 May 2014 07:24 AM PDT

Skuad hoki negara mendapat suntikan semangat baru apabila mendapatkan pemain berdarah kacukan Malaysia-Jerman.

Pemain pertahanan berusia 28 tahun, Kevin Lim memilih untuk menyarung jersi Malaysia selepas beberapa tahun bersama pasukan nombor dua dunia itu.

Pada 2011, dia beraksi bersama skuad Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dalam Liga Hoki Malaysia (MHL) sebagai pemain import.

Kevin pernah mewakili Kelab Hoki Berlin (BHC) selama sembilan tahun selain membuat 30 penampilan bersama Jerman sejak 2005 dengan kali terakhir pada Piala Emas Punjab 2009 di Chandigarh, India.

Foto

KEVIN (kanan) diasak pemain Kanada, Paul Wharton pada Cabaran Juara-Juara 1 di Kuantan.

Foto

KEVIN (depan) menjalani latihan bersama rakan sepasukan.


Pemain kelahiran Berlin ini menyarung jersi bernombor tiga, nombor keramat yang dipakai mendiang Chua Boon Huat.

Selepas bersama gergasi hoki dunia Jerman, kenapa anda membuat keputusan untuk mewakili Malaysia?

Adalah sentiasa menjadi impian saya untuk mewakili negara kelahiran bapa, Jit-San yang berasal dari Pulau Pinang. Saya masih mempunyai ramai keluarga di Malaysia dan ia membuatkan mereka berbangga. Malah sudah lama saya mengikuti rapat sukan hoki di negara ini dan adalah sesuatu yang hebat menjadi sebahagian daripadanya. Apabila tampil buat kali pertama menentang Perancis pada 26 April lalu, ia amat mengujakan dan impian saya sudah jadi kenyataan cuma tidak mampu meraih kemenangan pada penampilan pertama.

Cabaran Juara-Juara 1 adalah kejohanan pertama anda untuk Malaysia, bagaimana pandangan anda mengenai skuad kebangsaan setakat ini?

Skuad negara dianugerahkan dengan kepantasan, itulah kekuatan yang perlu dipraktikkan dalam permainan. Tiga perlawanan awal, saya melihat banyak perkara positif namun kami harus meningkatkan keupayaan sebagai sebuah pasukan apabila bertahan. Kita perlu konsisten namun skuad ini semakin erat, anda boleh lihat bagaimana kami memberi tentangan sebagai sebuah pasukan.

Komen anda mengenai mutu hoki di Malaysia terutamanya pemain skuad kebangsaan. Adakah terdapat jurang yang terlalu besar dibandingkan pasukan utama dunia?

Seperti yang saya katakan, pemain Malaysia mempunyai kelebihan dalam aspek kepantasan dan kemahiran, itu yang perlu dalam sesebuah perlawanan dan saya berharap pemain sentiasa memanfaatkan kelebihan yang dimiliki. Kita mampu bersaing dengan pasukan utama dunia namun usaha perlu konsisten jika mahu meningkatkan ke tahap itu.

Anda menyarung jersi No 3, milik pemain yang dianggap legenda dalam hoki Malaysia, mendiang Chua Boon Huat. Adakah terdapat sebarang tekanan meneruskan legasinya?

Saya tidak memilih sendiri nombor ini namun saya pernah bertemu Boon Huat beberapa kali sebelum dia meninggal dunia. Adalah menjadi satu penghormatan buat saya mengguna nombor ini. Mendiang mewakili negara untuk tempoh yang lama dan seorang pemain yang bagus, jadi saya akan cuba sebaik mungkin meneruskannya demi kebanggaan nombor ini.

Apa sasaran anda untuk Malaysia, mungkin ketika ini kejohanan paling penting adalah Piala Dunia di Belanda penghujung bulan nanti?

Sudah pasti impian setiap pemain mahu menjadi sebahagian daripada pasukan namun saya terlebih dulu mahu memberikan tumpuan penuh terhadap Cabaran Juara-Juara 1 terlebih dulu sebelum memikirkan Piala Dunia. Adalah sesuatu yang membanggakan Malaysia kembali bersaing di Piala Dunia selepas tersisih untuk tempoh yang lama. Malaysia mampu mencabar hampir semua negara dan saya pasti akan berlaku kejutan di The Hague nanti.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/04

Hidup mati Liverpool

Posted: 03 May 2014 07:21 AM PDT

Kuala Lumpur: Mengatakan hanya lelaki berhak meminati bola sepak ibarat melihat sebuah kereta bergerak dengan tiga tayar.

Bagi peminat tegar Mastura Adnan, kenyataan itu tidak tepat.

Bola sepak memerlukan sokongan wanita memandangkan Piala Dunia sentiasa menyaksikan kehadiran wanita pelbagai peringkat umur dan latar.

"Wanita tidak minat bola sepak? Itu mungkin pendapat seseorang yang tidak pernah ke stadium.

Foto

'KAMI setia, matang dan tidak emosi kritik lawan'


"Saya meminati kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Liverpool sejak 1990. Saya berkongsi minat dengan ayah, seorang pegawai tentera laut Malaysia. Beliau menyuntik minat terhadap Liverpool sejak zaman 70-an.


"Bola sepak berpengaruh terhadap pembentukan mentaliti seseorang. Saya mendisiplinkan tiga anak lelaki melalui bola sepak.

"Remaja tidak seharusnya berkurung dan menjadi eksperimen teknologi. Mereka mesti bermain bola sepak atau ragbi supaya membesar dengan fikiran matang dan lasak," katanya.

Tidak ramai tahu Mastura, 48 adalah antara tenaga penting menjayakan pelbagai promosi dan kempen Liverpool-Malaysia di seluruh dunia.

Ketua Komunikasi Korporat Standard Chartered Bank Malaysia Berhad itu mahu melihat pasukan kesayangannya muncul juara liga musim 2013/2014 untuk kali pertama era moden sejak kali terakhir melakukannya 24 tahun lalu.

Standard Chartered adalah penaja utama juara 18 kali Liga Perdana dan lima kali juara Eropah itu sejak 2010.

Tiga anak Mastura berusia 15, 20 dan 25 tahun adalah pemain bola sepak dan ragbi, mewakili sekolah, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan universiti di luar negara. Walaupun suami cenderung kepada ragbi, mereka sekeluarga bersikap terbuka dengan pasukan masing-masing.

"Tiga anak saya penyokong Manchester United! Suami meminati pasukan ragbi All Blacks," katanya.

Mastura berkata, sokongan peminat Malaysia terhadap Liverpool semakin meningkat sejak tajaan diambil alih Standard Chartered.

"Saya menganggarkan terdapat lebih 100,000 peminat Liverpool (Kopites) di Malaysia sekarang.

"Sepanjang 24 tahun menyokong kelab itu, saya yakin peminat Liverpool jenis 'setia', 'matang' dan tidak beremosi mengkritik sana-sini.

"Menang atau kalah, (Kopites) tetap bersatu. Kami tidak bersendirian, sentiasa bersatu dengan warna merah. Kapten The Reds, Steven Gerrard adalah penjana Liverpool. Saya suka Liverpool kerana bandar pelabuhan itu turut terkenal dengan legenda pop, The Beatles dan kumpulan metal, Carcass yang terkenal di serata dunia," katanya.

Mastura berkata, beliau akan membawa tujuh pemain pasukan juara Standard Chartered Trophy Road To Anfield Piala Futsal IM4U, TOT United yang akan mewakili Malaysia ke Standard Chartered Trophy 2014 di Liverpool.

Mereka berpeluang menyaksikan perlawanan terakhir Liverpool menentang Newcastle di Anfield pada 11 Mei ini.

Mastura memilih Brazil menjulang Piala Dunia 2014.

"Pilihan utama? Brazil, kerana bermain di tempat sendiri dan faktor penyerang hebat, Neymar. Pilihan kedua England dan Argentina."

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/04

Ba tidak sembunyi identiti

Posted: 03 May 2014 07:18 AM PDT

"Saya tidak suka apabila dibandingkan dengan Mario Balotelli. Saya tidak merokok dan minum minuman beralkohol dan saya solat lima kali sehari di masjid." Kata-kata itu cukup menggambarkan betapa kukuhnya karakter dimiliki bintang Chelsea, Demba Ba di sebalik kehebatannya di padang.

Nama Ba mula menjadi perhatian peminat bola sepak dunia sebaik mengatur langkah cemerlang di Newcastle pada musim 2011-12 apabila muncul antara penjaring terbanyak Liga Perdana Inggeris musim itu, juga penjaring terbanyak Newcastle dengan 16 gol.

Maka tidak hairanlah, peminat EPL mula membandingkannya dengan Balotelli. Namun hakikatnya, kedua-dua mereka bagaikan langit dengan bumi.

Setahun kemudian, dia mengembangkan kariernya di Chelsea dan meskipun kini kurang mendapat perhatian jurulatih Jose Mourinho berbanding ketika dibawa masuk Rafael Benitez, sentuhannya tidak pernah kecundang.


Ternyata setiap peluang untuk ke padang musim ini tidak disia-siakan meskipun tidak sebanyak musim lalu. Namun jaringan yang diledakkan sepanjang dua bulan kebelakangan ini menyelamatkan maruah Chelsea, meskipun khabar angin membayangkan pemain itu bakal meninggalkan kelab itu musim depan.


Buktinya, pada 8 Mac lalu, dia menjaringkan dua gol sebagai pemain gantian pada minit ke-76 untuk menewaskan Tottenham Hotspur.

Tepat sebulan kemudian, Ba menjaringkan gol emas pada minit ke-78 dalam perlawanan kedua suku akhir Liga Juara-Juara menentang Paris Saint Germain untuk membawa Chelsea ke separuh akhir.

Tidak cukup dengan itu, pada 13 April dia menjaringkan gol kemenangan Chelsea 1-0 ke atas Swansea dan hujung minggu lalu dalam perlawanan ketiga terakhir menentang Liverpool musim ini, Ba turut menjaringkan gol dengan Chelsea memenangi perlawanan itu 2-0, sekali gus menghidupkan peluang merebut gelaran juara EPL.

Ba tidak pernah merahsiakan pegangan agamanya, apabila sering bersujud di depan penonton setiap kali menjaringkan gol.

Dibesarkan dalam keluarga yang kuat pegangan agama, anak keenam daripada tujuh beradik itu bagaimanapun tidak menunjukkannya secara keterlaluan dan itulah yang disenangi mereka yang mengenalinya.

"Ia sebahagian daripada kehidupan," katanya.

"Anda makan tiga kali sehari, saya bersolat lima kali sehari. Itu saja."
Menjadi seorang Muslim menurutnya, jauh lebih penting berbanding menjadi pemain bola sepak semata-mata.

"Seorang Muslim sudah tentunya seorang lelaki yang baik. Saya hidup dengan cara saya mahukan. Saya gembira kerana England adalah sebuah negara berfikiran terbuka," katanya.

Dia mengakui perpindahannya ke England lebih memudahkannya mengamalkan cara hidup seorang Muslim dengan lebih baik, apatah lagi ramai di kalangan pemain yang berkelana di England juga beragama Islam.

Malah situasi itu menurutnya jauh lebih baik berbanding negara asalnya, Perancis kerana apa yang dilakukannya sering dipandang serong masyarakat setempat.

"Saya membandingkannya dengan bandar di mana saya dibesarkan (di Rouen). Ia sungguh berbeza. Saya bercakap mengenai Perancis secara umum," katanya.

"Saya fikir, England jauh lebih terbuka, justeru saya gembira berada di sini. Ketika berada di Newcastle, mereka juga bertolak ansur."

"Di Perancis, mereka melihat anda sebagai sesuatu yang pelik dan berbeza. Saya hanya manusia biasa.

"Seperti saya katakan kepada anda, Muslim yang baik adalah seorang yang baik. Selagi akhlak saya baik, itu sudah cukup menyenangkan saya.

"Jika anda melihat seseorang melakukan kejahatan, bukan kerana mereka seorang Muslim tetapi seorang yang jahat. Itu saja."

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/04

Dua hari tak puas

Posted: 03 May 2014 07:09 AM PDT

Kuala Lumpur: Kunjungan kali pertama ke Assen dan Amsterdam di Belanda bermula dari 24 hingga 29 April lalu memberi pengalaman baru kepada saya.

Kunjungan itu sebenarnya adalah untuk mengikut rombongan pegawai Litar Antarabangsa Sepang (SIC) yang mahu mengetahui selok belok lebih lanjut mengenai pengurusan saingan Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) di Litar TT Assen kerana SIC bakal menganjurkan perlumbaan berprestij itu pada 6 hingga 8 Jun ini.

Meskipun ia adalah pengamalan kedua saya menjejak kaki ke Eropah selepas kali pertama ketika kempen kelayakan hoki Sukan Olimpik di Dublin, Ireland dua tahun lalu, Assen dan Amsterdam memberikan persepsi berbeza.

Sebaik tiba di Lapangan Antarabangsa Schiphol di Amsterdam, saya serta rombongan SIC terus menuju ke Litar TT Assen yang mengambil masa kira-kira dua jam dengan memandu kereta.

Menariknya mengenai TT Assen ini kerana ia adalah antara litar tertua di dunia dan digunakan buat kali pertama pada tahun 1925 sebelum dinaik taraf menjadi lebih baik pada 1955.

Prestij litar ini tidak boleh dipertikaikan lagi kerana ia sudah menganjurkan banyak perlumbaan bertaraf dunia dan menjadi antara nadi utama kehidupan warga Assen.

Melihat budaya warga di sana menonton perlumbaan di litar adalah antara yang menarik minat saya.

Pihak pengurusan litar tidak memerlukan bantuan pengawal keselamatan ramai kerana penonton yang hadir cukup berdisiplin.

Selepas dua hari menginap di Groningen yang berhampiran dengan Assen, kami kembali ke Amsterdam dan bermalam sehari sebelum kembali ke Malaysia.

Tempoh sehari sememangnya tidak cukup untuk meneroka apa yang ada di Amsterdam.

Tetapi masa yang ada digunakan sebaik-baiknya dengan idea pertama untuk meneroka bandar besar itu dengan menaiki bas pelancongan yang berhenti di 11 lokasi berbeza.

Di stesen pertama, beberapa tempat menarik boleh dikunjungi antaranya Istana Di Raja Amsterdam.

Malangnya saya hanya berkesempatan singgah di enam lokasi.

Antara yang menarik bagi saya adalah stesen keempat iaitu Leidse Square, tempat letaknya pusat hiburan terkemuka Hard Rock Cafe.

Di stesen kelapan pula, saya dapat saksikan sebuah kincir angin lama yang masih berfungsi baik.

Soal makanan tidak sesukar yang dibayangkan kerana banyak kedai halal wujud di sepanjang bandar Amsterdam.

Namun yang paling menarik dapat bertemu restoran yang menjual menu Malaysia termasuk nasi goreng.

Selepas puas meneroka Amsterdam, saya serta warga SIC terus menuju ke lapangan terbang dengan seribu satu pengalaman baru yang tidak dapat dilupakan.

Foto

LITAR TT Assen antara litar tumpuan dunia permotoran.

Foto

PENULIS bergambar di belakang bangunan Magna Plaza.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/04

Emas dalam cedera

Posted: 03 May 2014 07:05 AM PDT

Alor Setar: Pahang meraih pingat emas pertama selepas Chin Poh Kuan (gambar) mengungguli acara lontar peluru perempuan bawah 18 tahun (P18) Kejohanan Balapan dan Padang MSSM ke-56 di Stadium Darulaman, semalam.

Peserta kelahiran Repas, Bentong itu mencatat lontaran sejauh 12.24 meter, mengatasi peserta Sarawak Betty Hoong King Ching 11.18m dan Nur Syafiqah Yahya dari Kuala Lumpur 9.80m.

Atlet Sekolah Sukan Bukit Jalil (BJSS) itu tidak berdepan masalah menguasai acara meskipun beraksi dengan lengan serta bahu berbalut akibat kecederaan.

"Saya memang sudah jangka sejak awal mampu menang.

Semangat saya datang ke sini masih tinggi selepas mencatat jarak terbaik 12.02m pada Kejohanan Terbuka Kuala Lumpur, Februari lalu.

"Sasaran utama saya selepas ini adalah mencari kelayakan beraksi di Sukan SEA 2015 di Singapura tahun depan," katanya.

Ia adalah pingat emas keempat buat Poh Kuan, 17 dalam MSSM selepas memenangi dua pingat emas acara kegemarannya itu bagi kategori P15 pada 2011 dan 2012 serta P18 di Kuantan tahun lalu.

"Jika tidak disebabkan kecederaan, saya yakin memperbaharui rekod kejohanan dilakukan peserta Negeri Sembilan, Siti Nurul Ain Abd Rahim yang mencatat 12.35m.

Kejayaan ini juga banyak didorong kata-kata semangat idolanya dari Pahang yang juga juara kebangsaan acara tukul besi, Tan Song Hwa.

"Rasa berbaloi datang ke sini kerana saya sudah dapat menghadiah pingat emas sulung pada hari pembukaan MSSM.

"Sekarang saya mahu rehat dan menenangkan fikiran menghadapi acara lempar cakera Selasa ini," katanya.

Dalam acara lompat kijang lelaki bawah 18 tahun (L18) , atlet Perlis, Abdul Latif Romli meraih pingat emas sulung untuk kontinjen negerinya.

Dia mencatat 14.55m mengatasi Mohamad Aiman Asfani Azlan dari Perak (14.08m) dan peserta Kuala Lumpur, Mohamad Qayyum Izlan mendapat gangsa (13.76m).

Foto
Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/04

No comments:

Post a Comment