Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Tabik Pellegrini

Posted: 12 May 2014 10:37 AM PDT

London: Manuel Pellegrini bukan saja tidak mengambil masa lama untuk menghadiahkan kejuaraan Liga Perdana Inggeris keempat buat Manchester City kelmarin, malah pengendali dari Chile itu turut melakukannya dengan penuh bergaya.

Pellegrini yang muncul pengurus pertama dari luar Eropah memenangi trofi paling berprestij di England, diraikan semua pemain selepas mereka merekod kemenangan 2-0 ke atas West Ham United untuk mengesahkan kejuaraan.

Pemain sama yang dibawa masuk dengan bayaran mahal ke Stadium Etihad menerusi duit minyak Abu Dhabi berbaris untuk memberikan penghormatan kepada pengurus mereka.

"Saya sangat gembira dengan kejayaan ini kerana ia gelaran pertama buat beliau di Eropah. Beliau tetap tenang. Saya gembira dapat bermain di bawah kendaliannya," kata Samir Nasri yang menjaringkan gol pembukaan.

Foto

PELLEGRINI (kanan) dijulang pemain.


"Perasaan yang cukup menakjubkan. Ini kejuaraan liga kedua saya dalam tempoh tiga tahun."


Pellegrini yang terpaksa membiasakan diri dengan pelbagai pujian atas kejayaannya selepas ini, tenang membimbing City pada minggu-minggu terakhir musim bagi membolehkan mereka tidak tertekan seperti ketika memenangi gelaran pada 2011-12.

Apa yang membuatkan City tenang adalah kelebihan jaringan mengatasi Liverpool bagi membolehkan mereka hanya perlu meraih keputusan seri pada perlawanan terakhir musim ini.

Kelebihan itu diraih selepas City berjaya menjaringkan 102 gol, hanya kurang satu gol daripada rekod Liga Perdana tapi lebih satu gol berbanding Liverpool dan 31 gol dengan pasukan di tangga ketiga Chelsea.

Saingan merebut kejuaraan Liga Perdana sentiasa memberi gambaran mengenai persaingan falsafah bola sepak antara pasukan berteraskan serangan Liverpool kendalian Brendan Rodgers dan strategi bertahan Chelsea oleh Jose Mourinho. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/13

'Siapa terbaik pasti dipilih'

Posted: 12 May 2014 10:25 AM PDT

Bukit Jalil: "Tidak kira siapa yang bakal dipilih, mereka pasti mampu memberikan sumbangan terbaik untuk bola sepak negara," kata Naib Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Seri Subahan Kamal ketika diaju pertanyaan mengenai peluangnya memenangi pertarungan tiga penjuru bagi kerusi timbalan presiden pada Mesyuarat Kongres Pemilihan Ke-50 badan induk itu pada 25 Mei ini.

Walaupun dianggap calon pilihan mengisi salah satu daripada dua kerusi ditawarkan bagi penggal 2014-2018, Subahan masih belum mahu meramal mengenai nasibnya sebaliknya menganggap dua lagi calon, Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) Datuk Mokhtar Ahmad dan Naib Presiden FAM Datuk Seri Afandi turut mempunyai keinginan sama.

"Ini bukan soal misi, sejak dulu lagi apabila dipilih saya buat kerja, makan bola, tidur bola. Semua orang ada misi, tapi yang penting niat untuk menyumbang kepada bola sepak. Saya sama seperti orang lain, jika diberi peluang akan cuba melakukan yang terbaik.

"Bagi saya, yang penting kita nak bola sepak kita ke peringkat lebih tinggi dan saya yakin dengan adanya pembangunan yang kini giat dijalankan, dalam tempoh lima tahun, kita boleh menjadi pasukan kuat di Asia.

Foto

CALON menang harus memikirkan cara terbaik bagi memantapkan skuad kebangsaan.


"Saya tak pernah terfikir soal ada peluang atau tidak. Saya cuma menawarkan diri untuk bertanding, kalau terpilih, Alhamdulillah. Yang penting kita perlu beri kepercayaan kepada perwakilan untuk menilai. Kita perlu hormati apa saja keputusan mereka," kata Subahan yang juga Pengurus Pasukan Harimau Malaya.


Dua kerusi Timbalan Presiden kini menjadi rebutan selepas penyandang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Tan Sri Annuar Musa tidak bertanding kali ini.

Tengku Abdullah kali ini membuat keputusan untuk bertanding jawatan presiden selepas mendapat pencalonan ahli gabungan manakala Annuar tidak layak bertanding kerana masih menjalani hukuman penggantungan dua tahun enam bulan kerana melanggar Artikel 88 Statut FAM.

Sementara itu Subahan semalam merasmikan Bengkel Kejurulatihan Akar Umbi FIFA-FAM yang berlangsung selama seminggu membabitkan 31 jurulatih dalam usaha memantapkan pencarian dan pembentukan pemain muda di seluruh negara.

"Masa depan bola sepak negara di tangan pemain muda dan jurulatih ini penting kerana mereka akan turun padang mencari pemain dan menggilap pemain muda," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/13

Idam bukti kemampuan di Jerman

Posted: 12 May 2014 10:23 AM PDT

Kota Bharu: Pelatih bola sepak Skuad Projek 2019, Muhammad Hariz Mansor mahu membuktikan kemampuannya semasa skuad itu beraksi di Jerman minggu depan.

Sepanjang berada di negara itu dari 27 Mei hingga 13 Jun, skuad itu akan mengadakan beberapa perlawanan persahabatan.

"Saya mahu menunjukkan prestasi cemerlang dalam usaha memastikan tempat saya dalam skuad terus terjamin," katanya.

Selain cemerlang dalam aktiviti sukan, Muhammad Hariz, 12, juga pelajar Tahun 6 turut cemerlang dalam bidang akademik.


Beraksi di posisi pertahanan, Muhammad Hariz mahu mencontohi idolanya iaitu pemain pertahanan England, Gary Cahill dan pertahanan negara, Aidil Zafuan Abdul Razak. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/13

'Jangan gentar!!!'

Posted: 12 May 2014 10:23 AM PDT

Kuala Lumpur: "Jangan takut masuk gelanggang." Demikian nasihat pemain perseorangan negara Datuk Lee Chong Wei kepada barisan pemain negara yang bakal beraksi dalam saingan Piala Thomas di New Delhi, India, bermula 18 Mei ini.

Sebagai satu-satunya pemain yang dilihat cukup berkaliber dan menjadi harapan skuad negara untuk memungut mata pada setiap perlawanan, Chong Wei sedar barisan skuad negara kali ini kurang berpengalaman di pentas Piala Thomas, justeru dia tidak mahu emosi setiap pemain terganggu sebelum turun ke gelanggang.

"Sudah lama kami membuat persiapan ini, perlu fokus dan terus beri tentangan sengit.

"Jangan bila masuk gelanggang saja kita berasa takut. Apabila takut, sudah tentu kita akan kalah dan ia pasti merugikan.

Foto


"Yang penting kita cuba main sebaik mungkin dan kalau kalah juga, tidak mengapa," katanya di majlis memperkenalkan syarikat Adam & Eve PR selaku pihak bertanggungjawab mengendalikan segala saluran media sosial membabitkan pemain nombor satu dunia itu semalam.


Chong Wei berkata, dia mengaku memikul tugas berat untuk memastikan mata pertama diperoleh pasukan negara apabila turun selaku perseorangan negara.

"Sekiranya saya dapat menyumbang mata kemenangan mungkin ia memudahkan beregu pertama dan perseorangan kedua negara selepas itu," katanya.

Chong Wei berkata, semangat pasukan negara ketika ini semakin tinggi dan dia sendiri dapat merasai suasana positif itu.

"Saya lihat setiap pemain saling membantu satu sama lain dan ia sesuatu yang cukup bagus.

"Yang penting ketika ini setiap pemain perlu mengelak daripada berdepan kecederaan dan menjaga pemakanan mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/13

Harapan PM bakar semangat Dhaarma

Posted: 12 May 2014 10:21 AM PDT

Kuala Lumpur: "Perdana Menteri mengharapkan kejayaan luar biasa daripada kami."

Demikian antara kata-kata diingati ketua jurulatih skuad hoki negara Muhammad Dhaarma Raj Abdullah dalam ucapan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ketika meraikan skuad negara pada majlis makan tengah hari di kediaman rasminya semalam.

"Perdana Menteri mengingatkan kami, rakyat Malaysia meletakkan harapan tinggi kepada skuad negara.

"Atas faktor itu, beliau mahu kami membanggakan Malaysia.


"Walaupun Malaysia pasukan menduduki ranking paling rendah di Piala Dunia, Perdana Menteri tidak mahu perkara itu melemahkan skuad negara sebaliknya beliau mengharapkan keputusan luar biasa," katanya.


Saingan Piala Dunia bakal berlangsung di The Hague, Belanda pada 31 Mei ini.
Dhaarma berkata, kesediaan Najib meluangkan masa bersama skuad negara memberi suntikan semangat berharga buat anak buahnya menjelang saingan berprestij itu.

"Kami semua amat menghargai sokongan Perdana Menteri dan akan cuba membalas kepercayaannya terhadap kami," katanya.

Turut hadir, Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah serta pengurusan kanan badan induk itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/13

Medan panas badan

Posted: 12 May 2014 10:20 AM PDT

Kuala Lumpur: Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) mahu pelumba negara tidak memberi tekanan terhadap diri sendiri, sebaliknya menjadikan tiga siri Kejohanan Berbasikal Grand Prix Trek Asia Tenggara di Velodrom Cheras, sepanjang minggu ini sebagai medan pemanas badan menjelang Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) 2014.

Badan induk itu tidak mahu pelumba negara mencapai prestasi terbaik pada kejohanan yang tidak sepatutnya kerana tumpuan utama ketika ini adalah ACC di Kazakhstan minggu depan dengan skuad negara meletakkan harapan tinggi sekurang-kurangnya mengulangi pencapaian baik tahun lalu.

"Pelumba mempunyai tanggungjawab lebih besar, saya mahu mereka menggunakan kejohanan ini sebagai pemanas badan.

Kami tidak mahu mereka mencapai kejayaan di sini namun gagal bersaing di Astana.

"Kami juga tidak risau mengenai keputusan tiga siri kejohanan ini dan berharap pelumba tidak memberikan tekanan tidak sewajarnya kepada diri sendiri.

"Mereka mempunyai tanggungjawab lebih mencabar dengan impak kejayaan di ACC amat besar kerana juara akan melayakkan diri ke Kejohanan Dunia," kata Timbalan Presiden PKBM Datuk Naim Mohamad semalam.

Siri pertama kejohanan anjuran Majlis Sukan Negara (MSN) berjalan lancar hujung minggu lalu yang menyaksikan barisan pelumba negara berpangkalan di Melbourne, Australia mempamerkan penguasaan dengan Josiah Ng dan Mohd Edrus Yunos masing-masing menguasai acara keirin dan pecut individu.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/13

Kualiti perenang masih jauh

Posted: 12 May 2014 10:19 AM PDT

Kuala Lumpur: Kegagalan perenang negara menyinar pada Kejohanan Terbuka Malaysia kelmarin, seperti sudah dapat diduga jurulatih kebangsaan Paul Birmingham yang mengakui tahap serta kualiti perenang negara masih jauh ketinggalan.

Jurulatih yang sudah berkhidmat selama enam tahun bersama Majlis Sukan Negara (MSN) itu berkata, faktor kurangnya pendedahan di peringkat antarabangsa antara punca Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) gagal melahirkan perenang berkualiti tinggi berbanding atlet terjun.

"Pada saya secara peribadi, kita perlu berpijak di bumi nyata.

Realitinya, belum ada perenang negara mampu bersaing dengan pencabar luar.

Malah untuk layak secara merit sekalipun belum tentu boleh.

"Bukan menidakkan bakat anak tempatan, tapi hakikatnya masih banyak kerja perlu dilakukan terutama dalam soal pembangunan.

"Sebab itu saya tidak terkejut dengan prestasi kurang baik perenang elit negara," katanya di Kejohanan Terbuka Malaysia di Pusat Akuatik Bukit Jalil, kelmarin.

Apa yang disimpulkan Birmingham ada kebenarannya apabila perenang Indonesia muncul juara keseluruhan dengan meraih 16 pingat emas, 9 perak dan 8 gangsa, mengetepikan tentangan perenang Selangor yang hanya berpuas hati di tempat kedua.

Sementara itu, beberapa perenang elit negara seperti Khoo Cai Lin, Siow Yi Ting serta Kevin Yeap tidak cukup bagus untuk beraksi di pentas Sukan Komanwel dan Sukan Asia tahun ini selepas gagal melepasi had masa kelayakan acara masing-masing.


Hanya kuartet 4x200 meter berganti-ganti gaya bebas lelaki layak beraksi di Sukan Komanwel, dianggotai Kevin, Daniel Bego, Welson Sim dan Lim Ching Hwang.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/13

ATM tenat

Posted: 12 May 2014 10:18 AM PDT

Kuala Lumpur: Pengendali Angkatan Tentera Malaysia (ATM) B Sathianathan berang dengan sikap sambil lewa pemainnya yang tidak menunjukkan komitmen 100 peratus hingga tewas 1-2 kepada Perak dan menyebabkan ATM kini terperosok di dasar Liga Super.

ATM yang pernah mendapat jolokan Manchester City Malaysia kini terdesak mencari penawar untuk keluar dari kelompok bawahan liga menjelang aksi ke-16 bertemu T-Team di halaman sendiri, Sabtu ini.

Bagi merealisasikan misi memungut tiga mata maksimum di depan penyokong sendiri, Sathianathan berjanji bakal melakukan rombakan besar-besaran selepas mengenal pasti beberapa pemain tidak menunjukkan minat untuk bersama pasukan.

"Di Ipoh tempoh hari, punca kekalahan kita kerana adanya pemain tidak bermain 100 peratus seolah-olah seperti penumpang di padang.

Bola yang sepatutnya boleh dikejar hanya diperhatikan saja.

"Sikap seumpama itu tidak bagus.

Saya akan ketepikan pemain yang tidak ikhlas itu pada perlawanan akan datang dan memberi peluang kepada yang lain," katanya ketika dihubungi Arena Metro, semalam.

Pada aksi di Stadium Perak itu, pemain import dari Nigeria, Abdulafees Abdulsalam muncul wira skuad Bos Gaurus apabila menjaringkan kedua-dua gol tuan rumah pada minit ke-40 dan ke-85 manakala gol tunggal pasukan lawan hadir menerusi Juan Manuel Arostegui pada minit ke-90.

Kekalahan itu menolak ATM di kedudukan tercorot liga dengan 12 mata, dibezakan dua mata dengan T-Team yang menghuni tangga ke-11 liga.

Foto

AKSI kelam-kabut di hadapan pintu gol ATM ketika perlawanan di Ipoh, Sabtu lalu.


Berdasarkan format pertandingan, dua pasukan tercorot (tempat ke-11 dan 12) akan diturunkan ke saingan Liga Perdana musim depan dan jika kedudukan semasa kekal hingga ke penghujung saingan, slot dua kuota itu akan diisi ATM dan T-Team.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/13

Perak anjur Liga Amanjaya

Posted: 12 May 2014 10:17 AM PDT

Ipoh: Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) memperkenalkan kejohanan baru iaitu Liga Perak Amanjaya (LPA) 2014 antara Parlimen bagi merebut Perisai Amanjaya Menteri Besar Perak yang dijangka bermula Ogos.

Pelancaran kejohanan hasil cetusan ilham Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir itu disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Teknik dan Pertandingan PAFA Datuk Mohd Shahrul Zaman Yahya di pejabat persatuan itu pagi semalam.

Kejohanan yang akan disertai 24 kawasan Parlimen seluruh Perak itu menawarkan hadiah wang tunai RM30,000 untuk juara dan RM15,000 naib juara.

Shahrul Zaman berkata, kejohanan anjuran bersama Kelab Sukan dan Rekreasi Parlimen (SRCC), Majlis Sukan Daerah, Persatuan Bola Sepak Daerah, Jabatan Pendidikan Negeri dijalankan dua peringkat iaitu Parlimen dan negeri.

Menurutnya kejohanan ini bertujuan melahirkan lebih ramai pemain profesional daripada anak jati bagi mewakili pasukan bola sepak negeri dalam saingan Liga M.

"Lebih penting pentas remaja mengisi masa lapang dengan aktiviti yang sihat.

"Juara peringkat Parlimen akan menerima hadiah wang tunai bergantung penganjur masing-masing," katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia Negeri berkata, setiap pasukan dibenarkan mendaftar 20 pemain iaitu 15 bawah 20 tahun dengan maksimum lima pemain lebih umur.

Katanya beberapa kawasan Parlimen dijangka mengadakan kejohanan mereka mulai Sabtu ini dan beliau berharap kejohanan julung kali itu akan mendapat sokongan rakyat.

Dalam perkembangan lain lapan pasukan akan menyertai kejohanan Parlimen Ipoh Barat yang akan diadakan mulai Sabtu ini.

Pasukan itu ialah SMK Anderson Ipoh, Ipoh Friday's, KTT Young Boys, KTT Young Boys II, Dee Jay Arr FC, Tasek FC, Kepayang FC dan Young Cats.

Pengerusi SRCC Parlimen Ipoh Barat Shamshul Bahrin Putra berkata, kejohanan itu akan diadakan di dua gelanggang, Padang Anderson dan Padang SMK Jalan Tasek.

Katanya juara akan menerima RM3,000 manakala naib juara RM1,500 selain berpeluang mewakili Ipoh Barat di kejohanan peringkat negeri.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/13

Enam 'Ramli' ditemui

Posted: 12 May 2014 10:16 AM PDT

Kuala Lumpur: Telekom Malaysia (TM) kelmarin menamakan enam pemenang untuk musim ketiga rancangan televisyen pencarian bakat bola sepak, Mencari Ramli 3 (MR3).

Tiga pemenang dipilih untuk setiap kategori bagi Bawah 14 (B-14) dan 16 tahun (B-16).

Bagi B-14, Aliff Haiqal Lokman Hakim Lau, dari Johor, Ahmad Nur Rahman Ab Rashid (Terengganu) dan Muhammad Fitri Adha Hassan (Pulau Pinang) diisytihar pemenang.

Untuk kategori B-16 pula, Mohammad Faisal Abdul Halim (Pulau Pinang), Wan Muhammad Iman Tizam Wan Zulkifli (Perak) dan Wan Fakhrul Firdaus Wan Rusli (Terengganu) dipilih pemenang.

Ketua Pegawai Pemasaran TM Datuk Rozalila Abdul Rahman menamakan keenam-enam pemenang MR3 itu kelmarin.

Mengulas mengenai program itu, Rozalila berkata: "Saya amat bangga dan gembira kerana rancangan ini sekali lagi berjaya menemui pemain muda berbakat menerusi pencarian kami ke seluruh pelusuk negeri.

"Seperti edisi sebelumnya, MR3 menggilap bakat terpendam pemain menjadi bintang bola sepak masa depan dan pada masa sama memberikan mereka peluang membina kerjaya sebagai pemain bola sepak profesional, selari dengan hasrat kami mencungkil, melatih dan membimbing bakat muda bola sepak negara." Sebagai pemenang MR3, mereka akan mengikuti sesi latihan bola sepak intensif di Manchester United Soccer Schools (MUSS) dan berpeluang menyaksikan Manchester United beraksi di Old Trafford, direalisasikan melalui perjanjian sedia ada antara TM dan Manchester United, yang mana TM rakan kongsi Telekomunikasi Bersepadu Rasmi Manchester United di Malaysia.

Mencari Ramli berdasarkan iklan televisyen popular TM mengenai seorang pemain bola sepak dari Malaysia yang melakar kejayaan di Liga Perdana Inggeris pada akhir 2013 dan sejak itu, TM sudah menjelajah ke setiap pelusuk negara untuk memberi peluang kepada anak muda mengikut jejak langkah 'Ramli' dan memenuhi impian mereka.

Foto

ROZALILA (kiri) beramah mesra bersama enam peserta terpilih.


Selepas menjelajah ke 24 lokasi dan menerima penyertaan lebih 6,000 peserta di lokasi pemilihan, hanya 32 pemain terbaik disenarai pendek untuk menjalani latihan berpusat di Universiti Multimedia (MMU) di kampus Cyberjaya.

Daripada 32 peserta, jumlah ini dikurangkan kepada 12 atau lebih tepat 13 dengan kejutan seorang peserta 'wild card'.


TM kemudian menerbangkan mereka ke Manchester untuk satu lagi sesi latihan dan cabaran dikendalikan Andy Ansah sebelum mengenalpasti enam pemenang yang diumumkan kelmarin.

Jumlah pemenang itu bertambah berbanding musim sebelumnya iaitu Mencari Ramli 1 dan 2 yang hanya memilih tiga pemenang.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/13

No comments:

Post a Comment