Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Naturalisasi bukti kelemahan

Posted: 10 May 2014 07:47 AM PDT

Kuala Lumpur: Impian penyerang Selangor, Paulo Rangel untuk menabur bakti kepada negara mendapat pelbagai reaksi.

Ada yang memuji, namun ramai pula yang mencemuh dengan alasan membelakangi bakat tempatan, biarpun realitinya prestasi bola sepak negara tidak banyak berubah dalam tempoh beberapa dekad.

Bukan saja bola sepak, malah mendapatkan atlet naturalisasi dalam sukan lain seperti yang pernah dipraktikkan dalam Sukan Komanwel 1998, sudah beberapa kali disanggah tokoh sukan negara.

Tanpa perlu memandang jauh, Singapura bagaikan menjadi jaguh dalam inisiatif membawa masuk atlet luar negara dan diberikan kerakyatan yang secara tidak langsung meningkatkan prestasi sukan mereka.

Foto

RANGEL timbulkan pelbagai reaksi dalam arena bola sepak negara.

Foto

IRINA wakili negara dalam acara menembak.


Malaysia, bagaimanapun lebih bersikap memilih dalam mendapatkan atlet seumpamanya kerana bukan semua yang baik itu intan.


Lihat saja apa yang berlaku kepada penerjun merangkap penolong jurulatih dari China, Huang Qiang sebaik mendapat kerakyatan pada 2011. Dia gagal menghidupkan impian negara apabila gandingannya dengan Bryan Nickson Lomas di Sukan Olimpik 2012 berakhir tanpa sebarang pingat.

Namun bagi bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Mazlan Ahmad, pendekatan itu mempunyai kesan baik dan buruk dalam lanskap sukan negara yang semakin kompetitif.

Menurut beliau, mengimport atlet luar menerusi naturalisasi adalah satu cara menaikkan nama sukan Malaysia dan pendekatan itu boleh dianggap praktikal dalam dunia tanpa sempadan, meskipun pada masa sama ada yang mempersoalkan sejauh mana kesetiaan atlet terbabit sekiranya diberi kerakyatan dan berpendapat anak Malaysia lebih wajar diberi peluang.

"Bukan sesuatu yang pelik sekarang apabila sesebuah negara memberikan kerakyatan kepada atlet luar negara," kata Mazlan.

"Langkah mencari atlet negara lain adalah sesuatu yang praktikal untuk meningkatkan mutu sukan negara, bukan saja bola sepak tetapi juga sukan lain.

"Penambahan seorang pemain boleh jadi tidak akan memberi kesan untuk peningkatan prestasi dalam acara berpasukan seperti bola sepak.

"Jika mahu cari, carilah yang muda. Didik mereka dan sudah tentu ia boleh jadi lebih menarik."

Mazlan yang menjadi Ketua Pengarah MSN dari 1993 hingga 2005, pernah membawa masuk tiga atlet asing Hidayat Hamidon (angkat berat), Irina Maharani (menembak) dan Yuan Yufang (jalan kaki wanita).

Beliau setuju jika atlet luar negara yang mahu dibawa masuk adalah atlet bagi acara individu berbanding acara berpasukan.

"Kita ambil tiga atlet itu untuk menaikkan semangat atlet kita, memandangkan kita menjadi tuan rumah. Malah selepas Yuan Yufang bersara, kita masih tiada pengganti dalam acara itu," katanya.

"Begitupun saya menghargai pendapat yang kita perlu mendidik anak Malaysia untuk mewakili negara. Jika tidak mahu membawa masuk atlet luar, pastikan program pembangunan kita mantap.

"Kita tidak boleh mengharapkan atlet sama selama berpuluh-puluh tahun. Program pembangunan sepatutnya menjadi kilang melahirkan atlet baru."

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/11

Belum puas sumbang bakti

Posted: 10 May 2014 07:40 AM PDT

Kuala Lumpur: Kenangan dikalungkan pingat emas Sukan Komanwel 1998 di Kuala Lumpur masih tetap tersemat di ingatan bekas atlet angkat berat negara, Mohd Hidayat Hamidon dan sehingga kini terus setia menyumbang bakti, biarpun tidak lagi aktif sebagai atlet.

Selepas bertahun mengharumkan nama negara, khidmat Hidayat kini diperlukan untuk melatih atlet powerlifting di Majlis Sukan Negara (MSN), malah sebelum itu sempat membimbing atlet pelapis.

Namun, Hidayat melakar sejarah tersendiri sebagai salah seorang daripada atlet 'naturalisasi' selain Irina Maharani dalam sukan menembak dan pejalan kaki Yuan Yufang yang mendapat kepercayaan memburu pingat emas pada temasya berkenaan.

Berasal dari Medan, Sumatera, Hidayat bagaimanapun memilih untuk mewakili Malaysia, tanah kelahiran neneknya, lebih tepat sekali di Hulu Langat.

Foto

YUAN Yufang

Foto

HIDAYAT raih emas negara pada Sukan Komanwel 1998 di Kuala Lumpur.


"Ketika itu, saya hanya mahu memenuhi impian ayah yang mahu saya bertanding mewakili Malaysia," kata Hidayat memulakan kariernya di Kuala Lumpur seawal 1993.


"Hasrat ayah saya kemudian mendapat sokongan saudara-mara di sini. Meskipun pada mulanya ayah hanya meletakkan sasaran ke Sukan Sea, namun atas nasihat jurulatih, saya bertekad mengembangkan karier hingga ke peringkat lebih tinggi."

Hidayat kemudiannya menunjukkan kemampuannya apabila memenangi pelbagai kejohanan sebelum diserapkan ke dalam Program Jaya 1998, program jangka panjang untuk persediaan ke Sukan Komanwel 1998.

Dia turut mengakui bukan mudah untuk meyakinkan orang ramai mengenai kemampuannya apatah lagi baru saja menerima kerakyatan ketika itu tetapi bersyukur kerana mendapat layanan baik MSN serta sokongan rakan sepasukan dan jurulatih.

Malah kepercayaan itu akhirnya dibalas dengan pingat perak di Sukan Sea Chiang Mai 1995, tiga pingat emas Sukan Malaysia VI (SUKMA) Kuantan 1996 malah menundukkan negara kelahirannya dengan memenangi pingat emas di Sukan Sea Jakarta 1997.

Kemuncaknya, kejayaan di Sukan Komanwel 1998 meletakkan dia di tahap tersendiri apatah lagi menamatkan penantian 48 tahun negara selepas kali terakhir dimenangi di Sukan Komanwel Auckland 1950 menerusi Koh Eng Tong dan Tho Fook Hung.

Begitupun ketika ditanya sama ada perlukah negara mendapatkan lagi atlet import sepertinya, dia berpendapat bukan saja soal prestasi yang harus dinilai tetapi juga sejauh mana kesetiaan seseorang atlet itu kepada negara barunya.

"Saya sedar, mungkin ada atlet yang meletak harga tinggi semata-mata untuk menjadi warganegara lain tetapi saya tidak pernah meletakkan harga buat diri saya," katanya.

"Apa yang penting bagi saya adalah bersungguh-sungguh memburu kejayaan, tanpa memikirkan soal wang kerana ganjaran akan datang kemudian."

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/11

Pena Arena: Gerrard atau Kompany?

Posted: 10 May 2014 07:36 AM PDT

Malam ini akan terjawab siapakah juara Liga Perdana Inggeris musim 2013-2014.

Mungkin Steven Gerrard akan menjulang trofi berkenaan selaku kapten Liverpool mengakhiri kemarau gelaran 24 tahun.

Atau kapten Vincent Kompany menamatkan saingan getir tiga penjuru antara pasukannya, Man City, Liverpool dan Chelsea selaku juara mutlak.

Kalau tanya saya, hati kuat kata semestinya The Reds namun pembacaan stastik perlawanan lebih menjurus kepada pendahulu liga itu.


Kedua-dua pasukan mahukan kemenangan namun andai City seri dengan West Ham, jaringan gol menjadi penentu.


Bila ini berlaku, Liverpool boleh lupakan terus impian mencecah langit.
Mana mungkin mereka mampu menewaskan Newcastle 13-0.

Bola itu bulat. Apa yang mustahil boleh berlaku. Benar kah?

Tapi ini EPL, liga paling berpangaruh dan paling diikuti seluruh dunia. Bentuk bolanya sentiasa bulat tidak menjadi empat segi atau tiga segi.

Liga M? Nantilah di lain catatan. Kerana bila bercakap mengenai liga domestik kita, minda harus tenang dan terbuka kerana banyak yang tidak mustahil ada didalamnya.

Kepada penyokong Liverpool dan Man City yang sudah tentu lebih meriah menyaksikannya di layar terbuka restoran 24 jam, selamat menonton.

Pengikut tegar Chelsea, Arsenal dan Man United, banyakkan bersabar dan simpan harapan untuk musim depan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/11

Suara Wawa ada sengat

Posted: 10 May 2014 07:33 AM PDT

Menyokong pasukan hoki negara bukan hanya menarik minat lelaki saja sebaliknya ia perlu dikongsi de­ngan kaum hawa yang tidak kurang hebat memberikan kata semangat dan pujian.

Antara penyokong tegar sukan nombor dua negara itu adalah Nurul Najwa Ahmad Ram­zan, 19, yang berpendapat sokongan wanita dapat menambah dua hingga empat kali ganda semangat pemain terutama lelaki.

"Sejak dulu hingga kini saya sentiasa menyokong pasukan hoki negara tidak kira kedudukan prestasi mereka di peringkat antarabangsa, yang penting soko­ngan terus diberikan bagi memastikan kejayaan dapat diraih.

"Sebagai pemain hoki saya dapat memahami hati dan perasaan pemain ketika mereka bermain di tengah padang apabila terpaksa berdepan tekanan daripada pe­nyokong yang mengharapkan kejayaan diperoleh.

Foto

WAWA yakin skuad negara buat kejutan di The Hague.

Foto

MENDAPATKAN autograf pemain negara, Ismail Abu.

Foto


"Namun dengan kehadiran penyokong wanita saya yakin tekanan pemain dapat dikurangkan malah ada ketikanya berupaya meningkatkan lagi semangat mereka," katanya yang sentiasa mengikuti perkemba­ngan pasukan hoki negara.


Nurul Najwa atau lebih mesra dengan panggilan Wawa berkata, walaupun pasukan negara hanya berpuas hati menduduki tempat ketiga pada Cabaran Juara-Juara 1 di Stadium Hoki Kuantan, ming­gu lalu namun itu dianggap memuaskan.

Katanya, dia berada di stadium bersama beribu penyokong setia sepanjang kejohanan memberikan sokongan kepada pasukan negara yang berjaya melangkah ke separuh akhir.

Menurut pelajar tingkatan enam Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sulaiman, Bentong itu, kesetiaan kepada pasukan hoki negara semakin bertambah apabila mendapat sokongan bapanya, Ahmad Ram­zan Abdul Rahim, 49 yang juga bekas pemain hoki.

"Saya dan ayah akan ke stadium menyaksikan perlawanan setiap kali membabitkan pasukan hoki negara, ternyata darah sukan hoki yang mengalir dalam diri kami begitu kuat mendesak untuk memberikan sepenuh soko­ngan.

"Perlawanan antarabangsa pertama saya dan ayah saksikan adalah pada Sukan Komanwel 1998 di Kuala Lumpur, rasa bang­ga begitu menebal apabila me­nyaksikan pasukan negara meraih pingat perak selepas tewas kepada Australia 0- 4.

"Ketika itu hanya Tuhan saja yang tahu hati dan perasaan saya apabila pasukan negara tewas, keceriaan menyaksikan perlawanan akhir bertukar sayu dengan kegagalan berkenaan," katanya yang pernah mewakil sekolah di pering­kat daerah.

Wawa berkata, kejohanan hoki Cabaran Juara-Juara 1 adalah pertandingan antarabangsa kedua yang ditontonnya dan dia puas melihat aksi pemain negara di tengah padang berusaha memburu kemenangan

Beliau berkata, aksi lincah pemain negara yang hambar pada pusingan awal bertukar rancak apabila melangkah ke peringkat suku akhir sebelum tewas tipis 4-5 kepada Kanada di depan lebih 10,000 penyokong setia.

"Sebagai peminat saya tetap berpuas hati apabila pasukan negara bangkit menduduki tempat ketiga selepas menewaskan Ireland 4-2, saya berbangga sokongan yang diberikan sebaik perlawanan bermula berakhir dengan kejayaan.

"Saya mendoakan semoga pasukan negara selepas ini dapat memberikan cabaran terbaik pada Piala Dunia di The Hague, Belanda, akhir bulan ini. Pemain perlu berusaha memberikan persembahan terbaik.

"Jentera serangan diketuai Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil perlu bangkit mencari formula terbaik dalam usaha menjinakkan lawan pada setiap perlawanan yang dihadapi," katanya yang ingin melihat pasukan negara berada dalam kelompok lima pasukan terbaik dunia.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/11

Tenang jiwa baca al-Quran

Posted: 10 May 2014 07:29 AM PDT

"Tanpa impian, kita takkan mencapai apa-apa, tanpa cinta, kita tidak akan merasai apa-apa, tanpa Tuhan, kita tiada apa-apa."

Petikan kata-kata yang ditampilkan pemain muda itu di laman web rasminya April lalu, sedikit sebanyak menceritakan dimensi berbeza terhadap pemain berasal dari Jerman itu.

Meskipun banyak kisah yang mengaitkan bintang Arsenal, Mesut Ozil dengan beberapa wanita, seperti Anna Maria Lewe, Aida Yespica dan kini Mandy Capristo namun ia langsung tidak menggugat perkembangan kariernya setakat ini, baik di kelab mahupun negaranya.

Yang penting kariernya sejak meninggalkan Real Madrid terus diperkatakan apatah lagi dianggap antara pembelian termahal Arsenal musim ini iaitu £42.5 juta (RM234.2 juta).

Foto
Foto

BERSAMA ibunya, Gulizar.

Foto

MENERIMA anugerah sukan daripada Canselor Jerman, Angela Merkel.


Dia bukan saja hebat di padang, namun penampilan dan cara berpakaiannya meskipun tampil dengan gaya santai membuatkan ada yang mahu meniru gaya pemain yang namanya bermaksud 'bertuah' dalam bahasa Turki itu.


Pemain bola sepak keturunan Turki itu dilahirkan pada 15 Oktober 1988, di Gelsenkirchen, Jerman Barat. Bapanya bekerja sendiri manakala ibunya, suri rumah.

Memulakan kariernya dengan Shalke 04 pada usia 17 tahun, Ozil kemudiannya menyertai Werder Bremen.

Namun aksi hebatnya pada Piala Dunia Afrika Selatan 2010 melonjakkan populariti pemain tengah itu hingga ada yang menggelarkannya sebagai 'Messi Jerman' dan 'Zidane Jerman'.

Ia sudah cukup membuatkan Real Madrid terpikat untuk mendapatkannya dengan harga €15 juta (RM67.9 juta) dan tiga tahun kemudian berpindah ke England untuk menyertai Arsenal.

Sesuatu yang menarik mengenai Ozil, setiap kali turun ke padang dia tidak pernah terlepas membaca doa dan beberapa ayat al-Quran, demi memohon kekuatan Ilahi ketika beraksi.

"Saya sentiasa membaca ayat al-Quran sebelum turun ke padang. Ia benar-benar membuat saya fokus," kata Ozil.

"Saya berdoa dan rakan sepasukan tahu, mereka tidak boleh bercakap dengan saya pada masa itu.

"Saya memohon kepada Allah dan itulah rahsia kejayaan saya."

Tidak ketinggalan, sebaik tibanya Ramadan, Ozil akan turut melakukan ibadah puasa setakat yang termampu.

"Disebabkan tugas saya, saya tidak dapat beribadat dengan sempurna ketika Ramadan.

"Saya hanya melakukannya pada hari tiada perlawanan. Namun selain itu memang sukar kerana anda perlu makan dan minum untuk mencapai prestasi terbaik."

Sebagai pemain Jerman keturunan Turki, Ozil sentiasa menganggap dirinya sebagai hasil pertembungan dua budaya iaitu Jerman dan Turki,

Malah itulah yang membolehkannya menerima anugerah Bambi pada 2010 kerana menjadi contoh terhadap kejayaan hubungan integrasi dengan masyarakat Jerman.

"Teknik dan kepekaan terhadap bola datang dari Turki yang juga asal usul saya manakala disiplin, sikap dan keinginan yang sentiasa sempurna di padang adalah sebahagian daripada elemen Jerman dalam diri saya."

Justeru, sebaik selesai saingan Liga Perdana Inggeris, Ozil yang berada dalam senarai awal 30 pemain mahu memberikan yang terbaik buat Jerman untuk Piala Dunia Brazil, malah mengakui berpuas hati dengan musim pertamanya di Arsenal.

"Sudah tentulah kami mahu menjadi juara dunia. Tempat ketiga atau sekadar bermain bola sepak dengan baik tidak lagi memadai buat kami," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/11

Zaqhwan bertenaga

Posted: 10 May 2014 07:25 AM PDT

Mohd Zaqhwan Zaidi memperaga aksi bertenaga selepas muncul juara perlumbaan CP130 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS yang berakhir di Kompleks Sukan Negeri Gong Badak, Kuala Terengganu, semalam.

Biarpun pada satu ketika ketinggalan kedudukan keempat, pelumba Givi Honda Yuzy Racing itu muncul pelumba pertama melintasi garisan penamat.

Dia menamatkan perlumbaan 18 pusingan dengan masa keseluruhan 12:27.695s sekali gus menebus episod duka gagal menamatkan perlumbaan di Muar sebelum ini akibat masalah enjin.

Ahmad Fazli Sham (PETRONAS Yamaha Maju Motor) mengulangi pencapaian di Muar, meraih tempat kedua dalam masa 12:30.120s diikuti pemenang pusingan lalu, Ahmad Afif Amran (PETRONAS Yamaha-CKJ) pada kedudukan ketiga (12:30.883s) "Saya mengambil risiko apabila cuba memintas Ahmad Fazli.

Selepas ketinggalan agak jauh, saya cuba memecut laju tetapi bimbang insiden enjin pecah seperti di Muar kembali berulang.

Foto

ZAQHWAN puas selepsa juarai CP130.


Mujur ia tidak berlaku dan menyedari jentera mempunyai keupayaan bertahan lama dengan kelajuan optimum, saya terus mengejar Fazli dan berjaya merapatkan jurang.

"Saya berjaya memintas Fazli pada selekoh pertama pusingan ke-16 walaupun sedar selekoh ia berisiko dan akhirnya berjaya.


Selepas itu, saya tidak menoleh ke belakang dan terus meninggalkan Fazli hingga ke garisan penamat," kata Zaqhwan, kini melonjak ke tangga teratas kedudukan keseluruhan dengan 50 mata manakala Afif di tangga kedua dengan 49 dan ketiga keseluruhan, Fazli mengumpul 40 mata.

Mengulas lanjut, Zaqhwan berkata: "Kemenangan itu melonjakkan semangat untuk beraksi pada Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) setelah terpilih mengisi slot wildcard pelumba negara di Litar Antarabangsa Sepang pada 6 hingga 8 Jun depan.

Saingan CP115 dimenangi Zaidy Mohd Zaifaizal dalam masa keseluruhan 8:30.402s setelah perlumbaan terpaksa dihentikan pada pusingan ke-12 selepas bendera merah dikibarkan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/11

Pecutan berbeza

Posted: 10 May 2014 07:23 AM PDT

Kuala Lumpur: Muncul satu-satunya negara Asia yang menganjurkan Kejuaraan Motosikal Dunia (WSBK), Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pasti menjanjikan fenomena berbeza kepada peminat beroda dua itu dari 6 hingga 8 Jun depan.

Ketua Pegawai Eksekutif SIC Datuk Razlan Razali berkata, pihaknya bangga berjaya membawa kejohanan bertaraf dunia itu ke Malaysia sekali gus membuka ruang kepada kejohanan itu untuk dikenali setaraf dengan saingan Formula Satu (F1) serta Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP).

"Kami mahu menjadikan penganjuran kali pertama WSBK ini berjaya seperti Formula Satu dan Kejuaraan Motosikal Dunia.

"Berlangsung di Sepang, WSBK kini secara rasmi bertapak di Asia.

Kami sangat bangga kerana dapat bekerjasama dengan kejohanan berprestij ini dan berharap ia akan meningkatkan pembangunan sukan permotoran di Asia," katanya.

Bakal menganjurkan pusingan keenam kejohanan itu, Malaysia muncul satu-satunya negara Asia menganjurkan dua kejohanan motosikal bertaraf dunia iaitu WSBK dan MotoGP sekali gus menyertai Phillip Island, Australia, Aragon dan Jerez di Sepanyol, Imola dan Misano di Itali, dan Laguna Seca di Amerika Syarikat.

Melihat kepada potensi WSBK yang mampu memberikan impak besar di Asia, pengeluar tayar terkemuka, Pirelli turut bersetuju tampil selaku penaja utama di Malaysia.

Razlan yang baru kembali dari Litar TT Assen di Belanda mewakili SIC menandatangani kontrak selama tiga tahun bersama promoter penganjuran, Dorna berkata, semua persiapan untuk kejohanan itu berjalan dengan lancar.

"Sejak tahun lalu, Dorna mengambil alih tanggungjawab selaku promoter WSBK dan saya percaya dengan pengalaman dan rangkaian yang mereka ada, WSBK pasti akan berjaya.

"Sama-sama kita tunggu masanya akan tiba kepada kejayaan itu," katanya yang menambah perbezaan antara dua kejohanan dunia itu ialah MotoGP menggunakan jentera prototaip sementara WSBK menggunakan sepenuhnya jentera pengeluar superbike.

Tidak seperti MotoGP, perlumbaan sebenar WSBK akan menyaksikan dua perlumbaan sekali gus memberikan lebih kepuasan kepada penonton untuk menyaksikan model motosikal seperti BMW, Kawasaki, MV Agusta, Aprilia, Suzuki, Bimoto dan Honda beraksi di atas litar.

Foto

RAZLAN (tiga kiri) yakin WSBK di Litar SIC paling menarik.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/11

Mourinho intai musim depan

Posted: 10 May 2014 06:50 AM PDT

Cardiff: Fokus Jose Mourinho beralih ke musim depan selepas minat Chelsea memburu kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) 'berakhir' sebelum kunjungan hari terakhir ke Cardiff City, malam ini.

Pasukan kendalian Mourinho akan menghadapi pasukan Ole Gunnar Solskjaer yang tersingkir dalam pertemuan di Stadium Cardiff City dengan hampir pasti menamatkan saingan di tangga ketiga liga.

Dengan kelayakan beraksi Liga Juara-Juara sudah terjamin, Mourinho meluahkan rasa kecewa kerana gagal meraih sebarang piala kejuaraan untuk dibawa pulang ke Stamford Bridge.

Cabaran Chelsea hambar disebabkan kegagalan menyudahkan peluang depan gol serta mengalami kekalahan memalukan kepada Sunderland, Aston Villa dan Crystal Palace.

Keutamaan Mourinho sekarang adalah memulihkan kelemahan pasaran perpindahan apabila pengurus Portugis itu mengesahkan mahu mendapatkan khidmat penjaring utama.

Penyerang Atletico Madrid, Diego Costa dijangka menjadi sasaran utama termasuk gandingan penyerang Paris Saint-Germain, Edinson Cavani dan Ezequiel Lavezzi.

Mourinho berkata: "Penyerang topik utama yang kami sering bincangkan sejak sekian lama.

"Ramai bertanya sejak Disember dan Januari lalu serta cuba memahami mengapa kami tidak membawa masuk penyerang baru, kami cuba melakukan sesuatu dan membuat persiapan jangka panjang bukan sekadar penyelesaian segera mengatasi masalah musim ini.

"Ia perkara biasa membawa masuk penyerang baru dan perkara biasa dilakukan memperbaiki keadaan.

"Kami ada penyerang bagus, pemain bagus dan kami tidak berada dalam situasi terdesak dan sudah tentu setiap pasukan mahu perpindahan musim yang lebih baik.

- AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/11

Pakar penalti

Posted: 10 May 2014 06:49 AM PDT

London: Rickie Lambert sepatutnya dalam penerbangan ke Brazil untuk Piala Dunia demi memberi kelebihan kepada England dalam sepakan penalti, selain menjadi pilihan untuk membantu Wayne Rooney, kata bekas kapten England, Alan Shearer.

Pengurus Three Lions, Roy Hodgson yang bakal menamakan skuadnya ke Piala Dunia esok sebaik berakhirnya saingan Liga Perdana Inggeris.

Biarpun Rooney bakal terlepas peluang untuk berdepan Lambert, penyerang Southampton di St Mary malam ini, penyerang Manchester United itu bakal sekali lagi mengetuai jentera serangan England di pentas utama bola sepak dunia tahun ini.

Siapa yang bakal membantunya masih belum dapat dipastikan memandangkan rakan sepasukannya di United, Danny Welbeck, penyerang Liverpool Daniel Sturridge turut menjadi pilihan, begitu juga dengan penyerang West Ham Andy Carroll serta Jermain Defoe, yang kini beraksi kelab Major Soccer League, Toronto.

Begitupun Shearer yang mengetuai serangan bersama gandingan berbisa, Teddy Sheringham yang mara hingga ke separuh akhir Euro 1996 dan turut beraksi di Piala Dunia 1998 percaya tandukan Lambert mampu membantu sekiranya penalti terus menjadi halangan England menjaringkan gol kali ini.

"Satu daripada sebab mengapa saya memilih Rickie Lambert memandangkan betapa pentingnya penalti buat England dalam kejohanan utama sepanjang 25 tahun ini," kata Shearer.

"Rekod Lambert menerusi penalti untuk Southampton begitu menakjubkan tetapi saya akan membawanya ke Brazil secara merit kerana sumbangannya keseluruhan," kata Lambert.

"Memilikinya dalam pasukan, dengan kemungkinan mampu digunakan dalam penalti pasti menguntungkan jurulatih.

"Dalam perlawanan secara terbuka memang kami bergelut untuk menjaringkan gol, justeru dia adalah pilihan terbaik yang kita ada.

Foto

LAMBERT (kanan) mempunyai rekod baik dalam penalti.


Dia datang dan menjaringkan gol dalam penampilan pertama bola sepak antarabangsa menentang Scotland di Wembley dan ia memberi kelebihan.

"Pilihan saya untuk penyerang pastinya Rooney, Sturridge, Welbeck dan Lambert."

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/11

Salcido perkuat Mexico

Posted: 10 May 2014 06:48 AM PDT

Mexico City: Pemain pertahanan Carlos Salcido menampilkan kejutan apabila disenaraikan dalam kelompok 23 pemain Mexico yang bakal beraksi di Piala Dunia bulan depan oleh jurulatih Miguel Herrera semalam.

Pasukan berkenaan akan diketuai pertahanan Leon, Rafael Marquez selaku kapten yang akan beraksi buat kali keempat berturut-turut selepas kali pertama menggalas tugas sama di Korea dan Jepun pada 2002 ketika berusia 23 tahun.

Skuad berkenaan turut dibarisi penyerang berpangkalan di Eropah iaitu Javier 'Chicharito' Hernandez (Manchester United) dan Giovani Dos Santos (Villarreal).

Herrera, yang mengendalikan pasukan itu sejak Oktober tahun lalu tidak pernah memanggil Salcido, 34 dan sebelum ini memberitahu sukar bagi pemain di luar kumpulan itu mara ke pusingan akhir.


Salcido, bekas pertahanan PSV Eindhoven dan Fulham yang kini mewakili UANL Tigres dan pemain senior dalam pasukan yang memenangi pingat emas di Sukan Olimpik London, akan menyertai Piala Dunia untuk kali ketiga berturut-turut.


Kali terakhir dia beraksi dengan 'Tri', gelaran pasukan Mexico itu adalah ketika mereka tewas 0-2 kepada Amerika Syarikat dalam kelayakan CONCACAF pada 10 September lalu, yang menyebabkan jurulatih Olimpik, Luis Fernando Tena kehilangan jawatannya.

"Kami mempunyai impian untuk menghasilkan senarai yang hebat, kami berdebat panjang lebar tetapi akhirnya kami mendapat keputusan yang kami rasakan baik untuk semua dan pasti mampu menghasilkan kemenangan," kata Herrera.

Mexico akan menentang pasukan tuan rumah Brazil, Cameroon dan Croatia dalam Kumpulan A.

Sebelum sepak mula kempen terbabit dengan menentang Cameroon pada 13 Jun ini, skuad Mexico akan mengucapkan selamat tinggal kepada peminat mereka dalam perlawanan pemanas badan menentang Israel di Stadium Azteco pada 28 Mei ini.

Mereka juga akan beraksi dalam tiga perlawanan persahabatan di Amerika Syarikat menentang Ecuador pada 31 Mei, Bosnia (3 Jun) dan Portugal (6 Jun). -Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/11

No comments:

Post a Comment