Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Mati terkena mangkuk tandas

Posted: 05 May 2014 09:26 AM PDT

Sao Paulo: Hanya 40 hari sebelum Brazil menjadi tuan rumah kejohanan bola sepak Piala Dunia FIFA, seorang peminat mati selepas kepalanya terkena mangkuk tandas. Mangkuk tandas berkenaan dilontar dari tempat duduk penonton selepas perlawanan berlangsung di bandar Recife.

Mangsa, Paul Ricardo Gomes da Silva mati dalam kejadian selepas perlawanan antara kelab Santa Cruz dengan Parana di stadium Arruda, kelmarin.

Peminat yang bertindak liar mencabut tiga mangkuk tandas dari bilik air dan mencampaknya ke arah penonton di luar stadium.

Mangkuk tandas seberat 320 kilogram itu mengakibatkan peminat berusia 26 tahun berkenaan mati serta- merta di tempat kejadian.

Foto

MANGSA mati di tempat kejadian.


Recife ialah satu daripada beberapa bandar yang akan menjadi tempat perlawanan Piala Dunia yang akan bermula 12 Jun depan.


Ibunya, Joelma memberitahu radio tempatan, "Mereka membunuh anak saya dan sekali gus membunuh saya. Saya tidak mahu kejadian yang menimpa saya menimpa orang lain."

"Mangkuk tandas dibaling dari atas terkena kepala mangsa," kata pegawai polis Recife, Wilson Queiroz.

"Ketika kejadian, mangsa bersama dengan seseorang namun semua orang lari meninggalkan tempat itu selepas ia berlaku," katanya.

Lima perlawanan Piala Dunia akan berlangsung di Recife. Perlawanan itu akan berlangsung di stadium baru, Arena Pernambuco.

Menurut laporan televisyen, da Silva terbabit dalam pergaduhan dengan penyokong kelab lain selepas perlawanan berakhir dengan keputusan seri. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/06

Persembahan tak menjadi

Posted: 05 May 2014 09:21 AM PDT

Providence: Rangka sokongan yang runtuh ketika aksi lagak ngeri "gantung-rambut" dalam satu pertunjukan sarkas mengakibatkan lapan ahli akrobat jatuh.

Kelapan-lapan ahli akrobatik dan seorang penari di bawah, cedera teruk manakala yang lain hanya mengalami cedera ringan.

Kemalangan berlaku semalam ketika pertunjukan sudah berlangsung 45 minit.

Jurucakap syarikat sarkas itu, Stephen Payne berkata, kemalangan berlaku ketika aksi dilakukan oleh lapan ahli akrobat menggantung diri mereka untuk membentuk "candelier manusia" dengan menggantung diri menggunakan rambut mereka.

Foto

GAMBAR menunjukkan persembahan lagak ngeri lapan ahli akrobat sebelum mereka jatuh.

Foto

PASUKAN perubatan berusaha menyelamatkan mangsa.


"Rangka logam itu tercabut dari kekuda. Lapan wanita itu jatuh dari ketinggian 12 meter dan menghempap penari di bawah.


"Semua penghibur sering melakukan aksi sama sebelum ini," kata Payne.

Menurutnya, persembahan seumpama itu dilakukan sejak Januari lalu.

Pesuruhjaya Keselamatan Awam Providence, Steven Pare berkata, penyiasat belum memutuskan punca kemalangan.

Dia berkata kecederaan yang dialami semua mangsa tidak mengancam nyawa.

"Semua orang dalam keadaan baik. Mereka berada di hospital dan dalam keadaan sedar," kata pengurus persembahan Legends, Roman Garcia

Sebelas mangsa dengan pelbagai kecederaan dimasukkan ke Hospital Rhode Island di bandar itu, termasuk seorang yang cedera parah.

Aksi gantung-rambut disifatkan laman web sarkas itu sebagai "aksi lagak ngeri terhebat," menampilkan ahli akrobatik wanita.

Laman web itu menyatakan "Persembahan 'aksi rambut' membentuk kombinasi koreografi termasuk berpusing, tergantung dari gelung dan berpusing ke bawah, tergantung dari ketinggian 10.6 meter di udara dengan rambut mereka saja." - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/06

Kelar bayi 30 minit lepas lahir

Posted: 05 May 2014 09:16 AM PDT

Bavaria: Seorang ibu muda membunuh bayinya dengan mengelar kerongkongnya selepas 30 minit melahirkan mangsa.

Wanita berkenaan berbuat demikian kerana bimbang kelahiran bayi itu akan menjejaskan kehidupan seksnya.

Nadine Koenig, 20, dari Regensburg, mencekup hidung mangsa yang baru dilahirkannya sebelum mengelar kerongkongnya dengan pisau.

Remaja itu meneruskan aktiviti hariannya dengan pergi bersosial di disko selepas melakukan pembunuhan itu, kata pendakwa raya kepada hakim.


Pendakwa raya, Ulrike Klein berkata remaja itu tidak sanggup memikul tanggungjawab sebagai ibu.


"Dia tidak mahu memikirkan kegiatan seksual dan kehidupan sosialnya terancam dengan kelahiran bayi itu," katanya.

Mahkamah di Regensberg diberitahu, Nadine yang merahsiakan kehamilan itu daripada ibu bapanya, melahirkan bayi berkenaan di rumah mereka Februari tahun lalu.

Remaja itu kemudian membuang mayat anaknya berdekatan Danube.

Selepas Nadine, ditahan polis, ibunya Krestin, 44 membunuh diri.

Dia berdepan dengan tuduhan membunuh.- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/06

RM26j untuk selamat diri

Posted: 05 May 2014 09:15 AM PDT

Riyadh: Sebuah mahkamah Saudi semalam membatalkan hukuman mati dan mengarahkan pembebasan lelaki 21 tahun yang didapati bersalah kerana membunuh.

Keputusan itu dibuat beberapa hari sebelum dia menjalani hukuman mati selepas keluarganya berjaya membayar SR30 juta (RM26 juta) diya atau wang darah kepada keluarga mangsa.

Mahkamah di Hail, bandar di barat laut Saudi itu memberi keluarga Yasser Al Shammari beberapa minggu membayar diya selepas keluarga mangsa meminta wang sebagai ganti bagi memaafkan kesalahan Yasser.

Kempen dilancarkan kabilah Yasser melalui media sosial untuk mengumpulkan dana sebelum dia dipenggal.

- AP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/06

Aburizal rela 'turun pangkat'

Posted: 05 May 2014 09:14 AM PDT

Bogor: Ketua Umum Parti Golkar Aburizal Bakrie bersedia dicalonkan sebagai naib presiden dalam pilihan raya Julai ini untuk bergandingan dengan tokoh parti Gerindra, Prabowo Subianto.

Selepas mengadakan pertemuan semalam Aburizal berkata, isu namanya dicalonkan sebagai presiden atau naib tidak perlu dijadikan masalah.

"Saya tak keberatan menjadi calon naib presiden dan Prabowo juga begitu," katanya.

Sebelum ini nama Aburizal disebut-sebut bakal dicalonkan Golkar sebagai tokoh merebut jawatan presiden dalam pemilihan akan datang.

Bagaimanapun Golkar dan Aburizal masih belum memuktamadkan regunya bagi jawatan naib presiden.

Aburizal berkata, dalam pertemuan semalam dia dan Prabowo mencapai persetujuan untuk menentukan sikap menghadapi pemilu presiden akan datang.

Walaupun tidak disebut dengan jelas, pemerhati berpendapat kemungkinan Golkar bergandingan dengan Gerindra kini semakin ketara.

Foto

ABURIZAL bersama Prabowo selepas mengadakan pertemuan tertutup selama dua jam di Bogor, Jawa Barat, semalam.


Kata Aburizal, matlamat utama Golkar dan Gerindra adalah membina kerajaan kukuh yang berpihak kepada kesejahteraan rakyat.


Katanya, prinsip itu mampu dicapai melalui hubungan yang baik antara kedua-dua parti.

"Sama ada dicalonkan untuk nombor satu atau nombor dua, ia bukan masalah.

"Posisi sebagai presiden dan naib presiden hanya instrumen untuk mewujudkan kebaikan bangsa serta negara," katanya ketika ditemui.- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/06

Jokowi perlu dapat keizinan Susilo

Posted: 05 May 2014 09:12 AM PDT

Jakarta: Dalam usaha Joko Widodo (Jokowi) meneruskan langkah menjadi pemimpin tertinggi Indonesia, dia sebenarnya masih perlukan keizinan daripada Presiden Susilo Bambang Yudhoyono.

Undang-undang semasa mengenai pemilihan presiden menyatakan, seseorang ketua kerajaan tempatan yang dicalonkan parti politik untuk merebut jawatan presiden atau naibnya perlu meminta kebenaran daripada presiden.

Dalam hal itu, kata penganalisis politik Universiti Paramadina, Hendri Satrio, Susilo sebagai presiden ketika ini berhak menolak atau menerima permohonan berkenaan.

Jokowi ketika ini masih menjawat tugas sebagai Gabenor Jakarta.

Bagaimanapun, kata Hendri, walaupun mempunyai hak Susilo tidak mempunyai alasan kukuh untuk itu.

"Kerana tidak ada hal mendesak yang mesti diselesaikan Jokowi di Jakarta," katanya.

- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/06

Jumlah budak diliwat meningkat 100 orang

Posted: 05 May 2014 09:12 AM PDT

Sukabumi: Jumlah kanak-kanak mangsa serangan seksual pemuda tempatan - yang mula dilaporkan media Ahad lalu - kini meningkat kepada 74 orang.

Sumber polis berkata, setakat ini suspek, Andri Sobari, sudah ditetapkan akan didakwa di mahkamah tidak lama lagi.

Jika disabitkan kesalahan, kata sumber itu, Andri boleh dipenjara sehingga 15 tahun.

Akhbar ini kelmarin melaporkan polis menyiasat dakwaan seorang lelaki - yang mendakwa pernah diliwat ketika kecil - melakukan serangan seksual ke atas kanak-kanak semuda lapan tahun.

Biasanya kanak-kanak terbabit dibawa ke kawasan kolam mandi umum di Sukabumi.

Kebanyakan mangsa adalah kanak-kanak Kampung Lio Santa di Sudaya Hilir.


Sumber polis berkata, sesetengah mangsa mendakwa dicabul sehingga tujuh kali.


"Untuk ketika ini semua mangsa sedang menjalani pemeriksaan fizikal dan psikologi.

"Sesetengah mangsa didapati mengalami kecederaan serius pada anggota sulit mereka," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Suruhanjaya Perlindungan Kanak-kanak Indonesia, Erlinda, mengaku korban serangan seksual Andri mungkin mencapai lebih 100 orang.

"Ia berdasarkan maklumat dalam buku catatan harian Andri," katanya.

- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/06

Raja Thai buat kemunculan umum

Posted: 05 May 2014 09:11 AM PDT

Hua Hin: Raja Bhumibol Adulyadej membuat kemunculan umum sempena ulang tahun ke-64 pemerintahannya semalam ketika Thailand dibelenggu kemelut politik dan kini memasuki fasa kritikal.

Kemunculan itu dibuat ketika Perdana Menteri Yingluck Shinawatra berdepan dua cabaran perundangan utama yang mungkin menyebabkan dia tersingkir daripada kekuasaan.

Pemimpin pembangkang Abhisit Vejjajiva enggan memberikan komitmen untuk membantu menyelesaikan krisis politik melalui pilihan raya yang dijadual Julai ini.

Bhumibol - monarki paling lama berkuasa di dunia - ditabalkan pada 5 Mei 1950 walaupun dia menaiki takhta sejak Jun 1946 ekoran kematian abangnya.

Raja berusia 86 tahun itu dilihat sebagai tokoh rujukan moral di Thailand.


Ucapan Bhumibol biasanya diteliti ramai terutama ketika negara itu berdepan krisis.

Bagaimanapun dia tidak membuat ucapan semalam.


Jalan dipenuhi warna kuning ketika ribuan orang mengenakan pakaian berwarna itu sambil mengibar bendera dan melaungkan pujaan kepada Bhumibol.

Yingluck - yang hadir di majlis itu - masih berdepan protes antikerajaan sejak enam bulan lalu.

Dia dijadual hadir di Mahkamah Perlembagaan hari ini untuk menjawab tuduhan salah guna kuasa dalam isu pertukaran pegawai kanan keselamatan.

Yingluck juga terjerat dalam tuduhan cuai menguruskan skim subsidi padi yang mendapat kecaman meluas daripada petani.

- AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/06

4 tentera Ukraine maut

Posted: 05 May 2014 09:10 AM PDT

Slavyansk: Sekurang-kurangnya empat tentera Ukraine terbunuh dan 30 cedera ketika mereka meningkatkan serangan ke atas pemberontak pro-Russia semalam.

Pertempuran terbaru itu meletus ketika Eropah dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu melancarkan usaha diplomatik terbaru dalam usaha mengelak perang saudara meletus di negara berkenaan.

Ukraine sebelum ini meningkatkan usaha menggempur kumpulan pro-Russia di sekitar bandar Slavyansk di timur negara itu.

Kementerian Dalam Negeri di Kiev berkata, aktivis pro-Russia yang bersenjata mengawal bandar berkenaan dengan mengguna orang awam sebagai perisai manusia dan menembak dari rumah menyebabkan sebahagiannya terbakar.

"Mereka melancarkan perang terhadap kami di negara kami sendiri.

Misi saya ialah untuk menghapuskan pengganas itu," kata Menteri Dalam Negeri Arsen Avakov kepada wartawan berhampiran tempat pertempuran.

Ketua pasukan pengawal kebangsaan Ukraine, Stepan Poltorak berkata: "Kami mengepung mereka di tengah Slavyansk tetapi mereka cukup terlatih dan lengkap bersenjata." Operasi di Slavyansk adalah sebahagian daripada serangan lebih luas tentera Ukraine di timur negara itu dalam usaha untuk mengusir kumpulan pemisah yang menguasai lebih 10 bandar negara berkenaan.

Pihak berkuasa berjaya menawan semula menara televisyen berhampiran Slavyansk tetapi kehilangan sebuah helikopter yang ditembak jatuh oleh kumpulan pemisah.

Russia yang menolak dakwaan campur tangan di negara jirannya itu memberi amaran kekacauan di Ukirane akan menjejaskan keamanan, kestabilan dan perkembangan demokrasi di Eropah.

Kenyataan yang dikeluarkan kementerian luar Russia berkata, kumpulan pelampau nasionalis yang didakwanya menguasai kerajaan di Kiev melakukan pencabulan hak asasi besar-besaran.

Bagaimanapun, presiden sementara Ukraine berkata, Russia yang menyebabkan peperangan di negaranya.

Beliau memberi amaran aktivis pro-Russia mungkin melancarkan keganasan di Kiev Jumaat ini sempena sambutan ulang tahun kemenangan Soviet ke atas Nazi Jerman pada Perang Dunia Kedua.

"Mereka melancarkan perang terhadap kami dan kami perlu bersedia mematahkan serangan mereka," kata Oleksandr Turchynov, yang meletakkan tentera negaranya dalam keadaan berjaga-jaga.- AFP

Foto

PENYOKONG pro-Russia bertempur dengan polis Ukraine di depan balai polis Odessa, bandar di selatan Ukraine. Kumpulan pro-Russia itu menyerang balai polis berkenaan dalam usaha membebaskan rakan mereka yang ditahan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/06

Tentera AS, Filipina berlatih bersama

Posted: 05 May 2014 09:08 AM PDT

Manila: Tentera Amerika (AS) dan Filipina mengadakan latihan tahunan bersama semalam selepas Presiden Barrack Obama berikrar mempertahankan sekutunya di Asia itu.

Kira-kira 2,500 tentera AS dan 3,000 tentera Filipina menyertai latihan berkenaan yang bermula seminggu selepas Obama memberi jaminan kerajaannya komited kepada perjanjian pertahanan bersama 1951.

Selain itu puluhan tentera Australia juga dijemput tahun ini termasuk unit komando bagi meluaskan lagi jaringan latihan tahunan itu bersama negara sekutunya.

Setiausaha Luar Filipina, Albert del Rosario berkata latihan 10 hari itu perlu dalam menangani kemelut pertikaian perairan dengan negara jirannya.

Dia tidak menyebut China secara jelas, namun Beijing berkeras dalam tuntutannya ke atas Laut China Selatan hingga hubungannya dengan negara jiran tegang.

"Beberapa tahun kebelakangan ini, ketegangan meningkat di rantau Asia Pasifik berikutan perluasan kawasan perairan dan tuntutan wilayah yang melanggar undang-undang.

"Tindakan yang agresif dalam menuntut kawasan masing-masing mengancam keamanan dan kestabilan rantau ini," kata Rosario.

Menurutnya lagi, latihan ketenteraan seperti itu bertujuan meningkatkan keupayaan Marin Filipina, sekaligus mempersiapkan negara itu untuk berdepan cabaran yang mendatang.

Filipina meminta tribunal arbitrasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengisytiharkan tuntutan Beijing ke atas 70 peratus daripada Laut China Selatan tidak sah dan mengancam kebebasan pelayaran.

- AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/06

No comments:

Post a Comment