Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Kalau dah 'jodoh'

Posted: 03 May 2014 06:33 AM PDT

Hampshire: Sepasang kembar dipertemukan semula selepas terpisah sejak mereka masih bayi 78 tahun lalu.

Pasangan Ann Hunt dan Elizabeth Hamel dilahirkan di Aldershot, Hampshire pada 1936 dan dianggap Buku Rekod Dunia Guinness sebagai kembar paling lama terpisah sebelum bertemu semula.

Adik-beradik itu dilahirkan tukang masak, Alice Lamb yang menjalin hubungan tanpa kahwin dengan seorang askar.

Lelaki terbabit tidak pernah bertemu dengan Ann dan Elizabeth kerana selepas dilahirkan Alice cuba memberi anaknya kepada orang lain bagi mengelakkan dipulau masyarakat.

Foto

ELIZABETH (kiri) teruja kerana bertemu semula dengan Ann selepas terpisah.

Foto

PASANGAN Ann dan Elizabeth sebelum mereka terpisah.


Bagaimanapun, sedikit kecacatan pada tulang belakang Elizabeth menyebabkan tiada siapa mahu menjadikannya anak angkat.


Keadaan itu menyebabkan Alice terpaksa menjaga sendiri Elizabeth.

Elizabeth kemudian berkahwin dengan lelaki AS dan berpindah ke Portland, Oregon.

Elizabeth berkata, dia memang tahu mempunyai saudara kembar yang lama terpisah tetapi sebaliknya Ann dimaklumkan perkara itu selepas "menggali" semula sejarah keluarganya dengan bantuan anak bongsunya, Samantha Stacey.

Selepas menghabiskan banyak masa mengkaji sejarah hidupnya, Ann mengetahui dia mempunyai kakak di AS dua tahun lalu.

Samantha berkata, dia dan Ann berjaya mengesan Elizabeth.

"Apa yang menarik, saya bukan saja menemui kakak ibu, tetapi Ann ialah kembarnya," katanya.

Pasangan kembar itu bertemu 1 Mei lalu di Los Angeles, setahun selepas pertama kali bercakap melalui telefon.

Sementara itu Ann berkata dia sangat terharu kerana dapat menemui kembarnya semula.

"Tiada perkataan dapat menggambarkan perasaan saya kini. Ia bagaikan mimpi," katanya.

Pasangan kembar itu dijemput ke Los Angeles oleh seorang pakar psikologi, Dr Nancy Segal yang akan menjalankan ujian bagi mencari persamaan dan perbezaan mereka dalam sesi selama dua hari itu.

"Kami ingin mendapatkan gambaran menyeluruh mengenai kehidupan, kebolehan, minat mereka dan mengumpulkannya sebagai satu kajian kes yang penting kerana ia adalah rekod perpisahan pasangan kembar paling lama di dunia," katanya.- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/04

Maut terhentak mangkuk tandas

Posted: 03 May 2014 06:26 AM PDT

Sao Paulo: Seorang peminat bola sepak maut dalam perkelahian di luar sebuah stadium di Brazil selepas kepalanya terkena mangkuk tandas yang dibaling dari tempat duduk penonton, lapor media semalam.

Laporan globoesporte menyatakan, kejadian berlaku selepas kelab Santa Cruz yang mewakili bandar Recife sekadar seri 1 -1 dengan pasukan pelawat Parana.

Kedua-dua kelab bertanding dalam bahagian dua liga bola sepak Brazil.

Sumber berkata, selepas perlawanan berlangsung penyokong kedua-dua pasukan bertempur di luar Stadium Arruda.

"Seorang daripada mereka mencabut mangkuk tandas dalam stadium dan melontarnya ke jalan di bawah," katanya.

Ketika itu, kata sumber, berlaku pergaduhan sengit di depan Pintu 6.

Sementara itu pegawai polis Recife, Wilson Queiroz berkata, mangsa maut akibat kecederaan parah di kepalanya.

Kata Queiroz, mangkuk tandas itu jatuh betul-betul di kepala mangsa.

"Mangsa bersama seseorang ketika itu tetapi seorang orang lari sejurus selepas kejadian," katanya.


Brazil bakal menjadi tuan rumah pesta bola sepak Piala Dunia mulai bulan depan dan masih bergelut dengan pelbagai isu, termasuk kelewatan menyiapkan stadium serta protes orang awam.


- Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/04

2,000 maut sekali gus

Posted: 03 May 2014 06:22 AM PDT

Kabul: Tapak bencana tanah runtuh di kawasan pedalaman Afghanistan semalam mungkin bertukar menjadi perkuburan massa ketika penyelamat berdepan kesulitan menjalankan operasi mengesan mangsa.

Pegawai kerajaan berkata, laporan terkini sehingga petang semalam menunjukkan sekurang-kurangnya 2,000 orang terbunuh akibat bencana itu.

"Di sesetengah tempat mangsa mungkin tertimbus sehingga 10 meter di bawah tanah," katanya.

Menurut petugas PBB di Afghanistan itu, keadaan semasa serta kedudukan lokasi yang jauh menyebabkan operasi mencari dan menyelamat lebih sukar dijalankan.

Tragedi berlaku kira-kira jam 11 pagi (2 petang waktu Malaysia) kelmarin di kawasan perkampungan terpencil Aab Bareek di daerah Argo yang terletak di kawasan pergunungan wilayah Badakshan.

Setakat ini pihak berkuasa berkata, bencana itu berlaku akibat hujan lebat berterusan di kawasan berkenaan.

Ratusan penyelamat - dengan berbekalkan penyodok - terus bertungkus-lumus menjalankan operasi mencari tetapi sehingga petang semalam (waktu Malaysia) hanya tiga mayat ditemui dan 12 mangsa tercedera dikeluarkan.

Foto

PENDUDUK setempat berkumpul melihat kesan runtuhan tanah mengorbankan lebih 2,000 nyawa di Argo semalam.


Jentera berat tiba beberapa jam kemudian tetapi pegawai bertugas tidak memberi banyak harapan bahawa lebih ramai mangsa dapat diselamatkan.


Pengarah Jabatan Bencana Kebangsaan Badakshan, Abdullah Homayun Dehqan berkata, belum ada angka rasmi mangsa disahkan, Namun, katanya, PBB mendakwa sekurang-kurangnya 350 orang terbunuh dan sehingga 2,100 orang masih belum ditemui.

"Ketika ini kami bimbang kemungkinan berlaku runtuhan susulan," katanya.

Data semasa menunjukkan ada kira-kira 300 rumah di perkampungan itu dan tumpuan turut diberi kepada kira-kira 4,000 orang yang terjejas - sama ada secara langsung atau tidak - akibat tragedi itu.- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/04

Jokowi, Prabowo 'perang' fesyen

Posted: 03 May 2014 06:13 AM PDT

Palmerah (Jakarta Barat): Sesuai dengan status mereka sebagai calon paling menonjol untuk merebut jawatan presiden, Prabowo Subianto dan Joko Widodo (Jokowi) mempunyai cara tersendiri untuk menarik perhatian rakyat.

Satu daripada 'perang' mereka ialah melalui penampilan umum bagi membentuk persepsi masyarakat mengenai kredibiliti masing-masing.

Mewakili parti Gerindra, Prabowo dilihat sering tampil mengenakan sut safari, manakala Jokowi pula gemar memilih kemeja putih.

Sejak akhir-akhir ini pula Jokowi dilihat kembali memilih kemeja dengan corak kotak yang pernah digunakan ketika dia berkempen untuk pemilihan gabenor di Jakarta pada 2012.

Pemerhati berkata, cara pemakaian Prabowo mengimbau kembali imej Sukarno di saat kegemilangannya satu ketika dulu.

Selain Prabowo, pemimpin lain Gerindra dan individu yang sering bersama bekas jeneral komando elit Indonesia itu juga mengenakan gaya pakaian sama.

Jokowi pernah diingati dengan kemeja corak kotak ketika dia bertanding dalam pemilihan gabenor.

Selepas memenangi jawatan itu dia sering dilihat mengenakan kemeja putih.

Ketika diumumkan sebagai calon presiden mewakili Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P), Jokowi memakai pakaian tradisional Jawa untuk seketika sebelum kembali kepada pemakaian biasanya.

Namun sehingga kini, belum ada imej khas dari segi pakaian yang ditetapkan untuk calon presiden itu.

Menurut Jokowi, dia mempunyai 10 helai kemeja putih yang dipakainya secara bergilir.


"Cuma ia bukanlah pakaian berjenama yang dibeli dari butik mewah, sebaliknya ditempah daripada tukang jahit di Solo," katanya.

Menurut Jokowi, setiap sehelai kemeja itu ditempah pada harga kurang daripada RM20.

"Saya menempahnya kerana harga murah," katanya.

Sementara itu pemerhati lain berkata, sejak kebelakangan ini Jokowi kembali menggayakan imej asalnya dengan kemeja kotak.

Ditanya mengapa kembali menggayakan imej itu, Jokowi menjawab: "Cuma mahu mencuba kemeja baru, apakah tak boleh?" Sumber pula berkata, jentera kempen Jokowi sudah memesan kira-kira dua juta kemeja serupa untuk diedarkan di seluruh Indonesia.- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/04

Majlis Agama Islam kecewa 6 polis menculik bebas

Posted: 03 May 2014 06:12 AM PDT

Bangkok: Majlis Agama Islam Thailand menggesa Pejabat Peguam Negara merayu keputusan Mahkamah Jenayah yang membebaskan enam anggota polis daripada tuduhan menculik dan membunuh ahli perniagaan Arab Saudi, Mohammed al-Ruwaili 24 tahun lalu.

Gesaan itu dibuat pemimpin tertinggi majlis berkenaan, Aziz Pitukkumpol bersama pegawai kanan 39 Majlis Agama Islam Wilayah semalam.

Aziz berkata, mereka bimbang kesan jangka panjang keputusan itu mungkin memberi kesan kepada hubungan komuniti Muslim dan warga Thailand.

Pengerusi Majlis Agama Islam Samut Prakarn, Paisarn Promyong berkata, organisasi Muslim sudah membincangkan keputusan itu secara mendalam sebelum membuat pendirian bersama.

Mahkamah Jenayah pada 31 Mac lalu membebaskan enam anggota polis - termasuk seorang inspektor - yang dituduh menculik, membunuh dan kemudian membakar mayat Ruwaili, 30, di daerah Si Racha.

Kali terakhir ahli perniagaan itu dilihat adalah pada 12 Februari 1990.

Keluarga Ruwaili dan kedutaan Arab Saudi di Bangkok menyuarakan kekecewaan mereka dengan keputusan itu dan mengkritik tindakan menukar hakim yang mengendalikan kes itu pada saat akhir.

Paisarn berkata kes itu mengeruhkan hubungan diplomatik antara Thailand dan Arab Saudi.

"Ia juga menjejaskan industri eksport halal Thailand di dunia Islam," katanya.

Majlis Agama Islam Thailand berkata, walaupun menghormati keputusan mahkamah namun mereka bimbang mengenai cara pengadilan dalam kes itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/04

51 budak mangsa cabul

Posted: 03 May 2014 06:12 AM PDT

Sukabumi: Polis Sukabumi semalam berkata, seramai 51 kanak-kanak dipercayai menjadi mangsa serangan seksual seorang lelaki tempatan dan tidak menolak kemungkinan jumlah itu akan bertambah.

Ketua Unit Siasatan Jenayah Sukabumi, Sulaeman berkata, polis masih menunggu laporan perubatan bagi mengesahkan jumlah mangsa berkenaan.

"Setakat ini polis belum dapat mengesahkan sebarang angka kerana tidak semua ibu bapa mangsa membuat laporan kepada polis," katanya.

Menurut media, kejadian berlaku sejak Disember 2013 dan suspek dikenali sebagai Nanang Sobari, 24.

Sumber polis berkata, Nanang pekerja swasta dan menjadikan kolam renang di Santa Lio di Gedung Panjang sebagai tempatnya memuaskan nafsu.

Kepada penyiasat, Nanang mendakwa dia pernah diliwat di sebuah kolam renang awam ketika kanak-kanak.

Sulaeman berkata, mangsa kerakusan nafsu Nanang berusia antara lapan hingga 13 tahun.

Katanya, polis turut mengambil keterangan daripada Jabatan Pendidikan Sukabumi.

Sementara itu, satu daripada keluarga mangsa mengakui mengetahui kes menimpa anaknya selepas kejadian heboh diperkatakan penduduk tempatan.

"Semua kanak-kanak yang menjadi mangsanya adalah mereka yang tinggal di kawasan yang sama dengan suspek," katanya.

- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/04

Padah curi bas

Posted: 03 May 2014 06:11 AM PDT

Bangkok: Seorang remaja dipukul dan ditikam hingga mati oleh sekumpulan penduduk yang marah dengan tindakannya mencuri bas mini dan merempuh sekurang-kurangnya 10 kenderaan di jalan raya sekitar Bangkok semalam.

Ketua Balai Polis Lumpini, Kol Chaiya Kongsup berkata, Sirisak Saengsri mati akibat cedera parah dipukul dan ditikam.

"Pemeriksaan menunjukkan remaja terbabit ditikam sekurang-kurangnya tujuh kali," katanya.

Rakaman kamera keselamatan di sekitar jalan dilalui remaja terbabit, kata Chaiya, banyak membantu polis mengesan pihak yang menyebabkan kematiannya.

Sementara itu sumber polis berkata remaja berusia 19 tahun itu mati di hospital.

Katanya, Sirisak diserang ketika cuba melarikan diri selepas melanggar sebuah motosikal di persimpangan jalan berhampiran Ratchaprasong.

Sirisak mencuri bas mini yang diuruskan Mit Mass Transport Corp awal kelmarin sebelum memandunya di sepanjang Jalan Charoen Krung.

Pada mulanya dia melanggar sebuah teksi kira-kira jam 3 pagi di daerah Bang Rak.

Sirisak kemudian meneruskan perjalanan melalui kawasan Lang Suan dan melanggar sekurang-kurangnya sembilan lagi kenderaan - kebanyakannya teksi.

Sirisak yang bertugas sebagai konduktor bas dikatakan mabuk ketika itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/04

Arroyo alami masalah pundi kencing

Posted: 03 May 2014 06:11 AM PDT

Manila: Bekas Presiden Filipina, Gloria Macapagal Arroyo dibawa ke Pusat Perubatan St Luke di bandar Quezon kelmarin untuk menjalani pemeriksaan pundi kencing.

Arroyo ditemani suaminya Jose Miguel dan anak lelaki mereka, Dato serta pasukan keselamatan.

Peguamnya Modesto Ticman Jr berkata, dia menjalani prosedur pemeriksaan di bahagian pesakit luar.

Bekas presiden yang kini menjadi ahli Kongres mewakili Pampanga mengadu kerap mengalami kesukaran membuang air kecil.

Ticman berkata, kesan darah dikesan pada air kencing Arroyo.

Dia kemudian dibantu duduk di kerusi roda dan ditolak masuk melalui pintu utama hospital berkenaan sambil melambai kepada mereka yang memandangnya.

Bekas presiden itu juga dikatakan mengalami masalah tulang belakang.

Ticman berkata Arroyo kadang-kadang mengalami kesukaran tidur akibat masalah kesihatannya.

- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/04

Pengetua bikin gempar

Posted: 03 May 2014 06:10 AM PDT

Beijing: Tindakan seorang pengetua sekolah mengucup anak babi di depan pelajar bagi mengotakan janjinya mengejutkan ramai orang dengan sesetengah pihak mengesyaki lelaki terbabit sebenarnya mencari publisiti murahan.

Pengetua Sekolah Rendah Xianning, Hong Yaoming mengucup seekor anak babi seberat 20 kilogram sambil disaksikan pelajar serta kakitangan lain.

Melalui gambar disiarkan agensi berita China, seorang kakitangan sekolah membantu mengawal haiwan berkenaan - yang diikat - ketika ia dikucup.

Kaki depan anak babi itu terangkat ketika aksi berkenaan dilakukan.

Mac lalu Hong berjanji untuk mengucup anak babi jika pelajar sekolah berkenaan meninggalkan amalan gemar membuang sampah merata-rata.

Ekoran ikrar itu pelajar di sekolah berkenaan benar-benar mengubah sikap dan kesan keputusannya dapat dilihat sebulan kemudian.


Kata Hong, dia terfikir untuk memberi hadiah sebagai perangsang tetapi ia mungkin kurang memberi rangsangan kepada pelajar.


"Tiba-tiba saya terfikir untuk menggunakan kaedah ini (mengucup anak babi) bagi menggalakkan mereka mengubah tabiat membuang sampah," katanya.

Menurut Hong, dia terbaca berita mengenai kes sama di AS membabitkan seorang guru sekolah rendah.

"Kami cuma menggunakan cara mudah untuk memberi didikan moral yang serius," katanya.

Ketika berita itu dipuji banyak pihak kerana mempamerkan teladan yang baik - kerana mengotakan janji - di China, sesetengah pengguna Internet pula mempertikaikan mengapa Hong tidak membuat janji yang lebih munasabah.

Profesor sosiologi di Universiti Wuhan, Luo Jiaojiang berkata, Hong boleh mendidik pelajar dengan cara lain.

"Ada kaedah lain boleh digunakan untuk mengajar murid supaya menghormati janji.

"Mengucup anak babi itu keterlaluan bagi seorang pengetua," katanya.- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/04

Rumah ketua polis dipecah masuk

Posted: 03 May 2014 06:09 AM PDT

Tokyo: Polis semalam berkata, rumah seorang pegawai kanan mereka dipecah masuk dan penjenayah melarikan wang dan pelbagai barang kemas bernilai RM127,796. Jurucakap polis berkata, kejadian berlaku Februari lalu.

Katanya, kejadian disedari isteri pegawai polis berusia 57 tahun itu selepas dia kembali ke rumah mereka di Machida.

"Wanita terbabit terkejut mendapati rumah mereka berselerakan dan selepas diperiksa dia mendapati pelbagai barang berharga serta wang dilarikan," katanya.

Menurut jurucakap itu, pencuri dipercayai memasuki ruah berkenaan dari pintu belakang yang terbiar tidak berkunci. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/04

No comments:

Post a Comment