Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Jokowi 'meninggal dunia' 4 Mei

Posted: 08 May 2014 08:55 AM PDT

Jakarta: Calon popular untuk pilihan raya presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) berang apabila gambarnya dijadikan bahan kempen "hitam" dan "melampau."

Melalui kempen didalangi pihak tertentu itu, mereka memuat naik gambar Jokowi bersama iklan kematian.

Iklan "RIP Jokowi" itu kemudian disebar melalui Facebook dan Twitter.

Menurut Gabenor Jakarta itu, kempen berkenaan sudah keterlaluan.

Foto

RISALAH yang diedar individu tak bertanggungjawab.


"Pertama, pada saya ia ,mengarut dan kedua ia kejam dan keterlaluan," katanya kepada media selepas meninggalkan pejabatnya semalam.


Sebelum ini beredar gambar ucapan takziah untuk individu bernama Ir Herbertus Joko Widodo dan ia disertakan dengan gambar Jokowi.

Pada umumnya iklan sebegitu adalah perkara biasa dan sering disiarkan di media cetak.

Bagaimanapun, pada awal gambar berkenaan dipaparkan pengumuman "kematian" Jokowi pada 4 Mei 2014.

"Dia meninggal dengan tenang pada hari Minggu 4 Mei 2014 jam 15.30 WIB, suami, ayah, dan satu-satunya calon presiden kesayangan kami."

Di akhir iklan itu dinyatakan nama isteri Jokowi, Iriana Widodo, sebagai pihak yang membeli ruangan itu.

Tidak ketinggalan, nama Ketua Umum Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan, Megawati Soekarnoputri turut digunakan sebagai pihak yang "berdukacita."

Kata Jokowi, panel peguamnya akan mengambil tindakan lanjut untuk 'mengajar' pihak yang tidak bertanggungjawab itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/09

Serah lidah untuk dewa

Posted: 08 May 2014 08:48 AM PDT

Jharkhand (India): Seorang remaja Hindu nekad memotong lidahnya menggunakan pisau tumpul untuk membuktikan kesetiaannya kepada dewa Shiva.

Lalmohan Soren, 17, ditemui terduduk di Kuil Mahedevgarha di Dugda ketika orang ramai ternampak darah di lantai kuil pada satu pagi.

Lidah Lalmohan pula ditemui dalam mangkuk yang diletakkan di sisi kakinya berserta nota: "Saya sudah memotong lidah saya untuk dihadiahkan kepada dewa Shiva.

"Tolong jangan halau saya dari sini. Saya cuma ingin duduk di kakinya."


Media semalam melaporkan, orang ramai kemudian memaklumkan kejadian itu kepada ketua kuil sebelum mereka berjaya memujuk Lalmohan pergi ke hospital untuk mendapatkan rawatan.


Sumber berkata, doktor cuba menjahit semula lidah Lalmohan namun gagal. Lalmohan kemudian dibenarkan pulang selepas beberapa hari.

Lalmohan kini semakin sembuh namun tidak dapat bercakap dan tidak boleh mengambil makanan pejal.

Kata sumber, keluarganya sangat terkejut dengan tindakan itu tetapi tetap menerima.

Ibu Lalmohan, Lalmuni Soren berkata anaknya itu memang tekun mendalami agama Hindu sejak kecil.

"Dia memang berminat melakukan pelbagai ritual namun saya tidak menyangka dia sanggup memotong lidah sendiri demi kepercayaannya.

"Saya tidak tahu apa yang akan berlaku kepadanya kerana dia tidak akan boleh bercakap lagi," katanya, semalam.

Daerah Dugda memang terkenal dengan pelbagai ritual pelik puak Santhal.

Mereka juga hairan dengan perhatian 'luar biasa' diberikan orang luar terhadap kejadian itu kerana ia memang menjadi amalan biasa di daerah berkenaan.

Penduduk tempatan Manoj Sharma berkata, puak Santhal mempunyai pelbagai kepercayaan dan amalan pelik.

"Pada 2011 seorang budak lelaki memotong jarinya untuk 'dihadiahkan' kepada dewa di dalam kuil sama," katanya ketika ditemui, semalam.- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/09

Puas jika dapat lihat wanita tahan kencing

Posted: 08 May 2014 08:47 AM PDT

Tokyo: Seorang pemandu teksi di Osaka ditahan kerana disyaki sengaja menyeksa penumpang wanita bagi mendapatkan kepuasan melihat mereka terdesak mahu membuang air kecil.

Jurucakap polis berkata, Toshihiko Nishi, 41, biasanya memujuk penumpang wanita menaiki teksinya untuk perjalanan jarak jauh.

Untuk melembutkan hati bakal mangsa, Nishi menawarkan tambang separuh harga untuk perjalanan berkenaan.

"Apabila dalam perjalanan, dia memberi mereka biskut diselaputi bahan yang membuatkan mereka terdesak mahu membuang air kecil," katanya.

Polis yang menyerbu rumah Nishi menemui rakaman video melalui kamera rahsia yang dipasang pada teksinya.

Melalui rakaman itu dapat dilihat kira-kira 50 wanita terkencing di tempat duduk belakang teksinya.

Seorang mangsa memberitahu polis dia diberi cawan kertas mengandungi biskut ketika menaiki teksi Nishi.

"Tidak lama selepas makan biskut itu saya terasa mahu membuang air kecil dan meminta Nishi berhenti namun dia tidak mengendahkannya.


"Sebaliknya, Nishi memberinya sehelai kertas penyerap dan meminta saya kencing di situ," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/09

Selamat jatuh 1,500m

Posted: 08 May 2014 08:46 AM PDT

Lima: Seorang anggota tentera udara Peru tidak mengalami kecederaan selepas jatuh dari ketinggian 1,500 meter apabila payung terjun digunakannya gagal berfungsi.

Dr Guilllermo Pacheco yang merawat Amasifuen Gamarra, 31, berkata kejadian itu sukar dipercayai.

"Memang ini satu keajaiban. Nyata dia terselamat kerana kuasa tuhan," katanya.

Gamarra menjalani pelbagai pemeriksaan dan ujian di sebuah hospital di Arequipa dan disahkan tidak mengalami sebarang keretakan atau patah tulang.


Menurutnya, Gamarra terjun dari pesawat tentera pada ketinggian 1,500 meter namun payung terjunnya tersangkut pada lehernya menyebabkannya pengsan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/09

Mangsa rogol mungkin disebat

Posted: 08 May 2014 08:44 AM PDT

Aceh: Seorang wanita tempatan mungkin berdepan hukuman sebat dengan rotan walaupun dia sebenarnya menjadi mangsa rogol beramai-ramai di rumahnya di Langsa minggu lalu.

Pengarah Agensi Syariah Islam Langsa, Ibrahim Latif berkata, wanita berusia 25 tahun itu boleh disebat jika siasatan pihak berkuasa mendapati dia dan pasangan lelakinya melanggar kanun undang-undang syariah Aceh.

"Wanita terbabit disyaki berdua-duaan dengan seorang lelaki sebelum dirogol beramai-ramai," katanya.

Wilayah Aceh melaksanakan undang-undang syariah yang menetapkan peraturan dan hukuman bagi mengawal tingkah laku manusia menurut Islam.

Ia bukan saja dikenakan ke atas Muslim di Acheh malah dikuatkuasakan ke atas individu bukan Islam.

Menurut kanun berkenaan, pesalah khalwat boleh dirotan antara tiga hingga sembilan kali atau denda antara Rp2.5 juta (RM700) hingga Rp10 juta (RM2,800).

Bagaimanapun ia menimbulkan tanda tanya kerana kanun berkenaan tidak menyediakan hukuman bagi kesalahan merogol.

Setakat ini Aceh hanya mempunyai empat kanun - membabitkan hal ehwal agama, pemujaan dan simbol-simbol agama; khamar (arak) dan maisir (judi), serta berkhalwat.

Ibrahim berkata, disebabkan undang-undang sedia ada tidak memperuntukkan hukuman bagi kesalahan rogol, pesalah akan dikenakan tindakan menurut akta jenayah.

Wanita itu dilaporkan dirogol bergilir-gilir kira-kira jam 1 pagi pada 1 Mei lalu.

Mereka diintip sembilan penduduk kampung yang kemudian menyerbu dan mengikat lelaki terbabit sebelum dikurung di dalam almari.

Wanita itu kemudian dirogol bergilir-gilir sebelum diserah kepada ketua kampung untuk dikenakan tindakan.


Tiga suspek ditahan polis kemudian, manakala enam yang lain masih diburu.- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/09

Tacloban belum pulih sepenuhnya

Posted: 08 May 2014 08:43 AM PDT

Tacloban: Enam bulan selepas taufan Haiyan melanda Tacloban, Filipina kira-kira 200,000 mangsa masih belum memiliki rumah sewajarnya.

Di sesetengah kawasan, penduduk malang itu memang berjaya membina semula rumah masing-masing menggunakan bantuan kewangan serta peralatan sumbangan penderma.

Namun sebahagian besar mereka melakukan usaha itu tanpa sokongan sesiapa.

Malah ada antara mangsa bencana yang berlaku pada 8 November tahun lalu itu masih terpaksa bergantung kepada cebisan dan runtuhan kediaman mereka.

Seorang penangkap ikan, Pete Lacandazo, 58, berkata dia dapat membina semula kehidupannya hasil wang insurans dua anak perempuannya yang terbunuh dalam bencana itu.

Dengan wang pampasan itu, kata Lacandazo, dia dapat membina pagar dan bumbung rumah.


Dia adalah antara mangsa yang 'bernasib baik' berbanding lebih 200,000 orang yang masih bergantung kepada khemah dan pusat perlindungan untuk dijadikan kediaman sementara.

Mereka tiada pilihan lain kecuali mencari penempatan alternatif.

Namun, mereka berkata, tidak dapat dipastikan bila mereka akan berpindah dari kawasan bekas bencana itu.

Dalam laporan dikeluarkan kerajaan Selasa lalu, Senator Panfilo Lacson yang dilantik Presiden Benigno Aquino untuk menguruskan kerja pemulihan berkata, Lembaga Perumahan Negara dan usahawan mendermakan 182,843 rumah kepada mangsa taufan Haiyan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/09

Malang Yingluck

Posted: 08 May 2014 08:43 AM PDT

Bangkok: Sehari selepas disingkirkan Mahkamah Perlembagaan, nasib malang terus menimpa Yingluck Shinawatra semalam apabila dia mungkin dilarang berpolitik selama lima tahun selepas Suruhanjaya Antirasuah Kebangsaan (NACC) mengarahkan dia melalui prosiding perbicaraan.

Pegawai kanan agensi itu berkata, mereka mempunyai bukti mencukupi untuk mendakwa bekas perdana menteri itu dan merujuknya ke Senat.

Pengarah NACC, Panthep Klanarongran berkata, mereka menimbangkan kemungkinan mengheret Yingluck ke mahkamah atas tuduhan jenayah.

"Melalui tuduhan itu Yingluck boleh dihukum penjara jika disabitkan kesalahan," katanya ketika ditemui.

Kelmarin Yingluck didapati menyalahgunakan kuasanya memindahkan pegawai kanan keselamatan Thailand, Thawil Pliensri pada 2011.

Ekoran itu Yingluck perlu melepaskan jawatannya sebagai perdana menteri.

Semalam NACC meneruskan tindakan dakwaan salah laku Yingluck dalam skim subsidi beras yang pada awalnya bertujuan membantu petani ketika harga komoditi itu jatuh.

Bagaimanapun skim berkenaan berantakan.

Di sebalik keputusan NACC semalam, agensi berkenaan tidak meneruskan siasatannya terhadap seluruh anggota Kabinet Yingluck seperti ditakuti banyak pihak.

Foto

PENUNJUK perasaan antikerajaan terus meraikan 'kejayaan' mereka menyingkirkan Yingluck di tengah bandar raya Bangkok semalam.


Jika Dewan Negara memutuskan Yingluck bersalah, dia bakal berdepan larangan berpolitik selama lima tahun.

Thailand terus dibelenggu kemelut politik sejak enam bulan lalu akibat kempen kumpulan pembangkang yang pernah "menutup" sebahagian daripada Bangkok sebelum ini.

Sementara itu pembangkang berkata, mereka akan "memilih kerajaan baru" pada hari ini.


Namun pengumuman itu dilihat bakal meningkatkan risiko keganasan di negara berkenaan.- AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/09

Rumah hakim, hospital dilontar bom

Posted: 08 May 2014 08:41 AM PDT

Bangkok: Berikutan keputusan Mahkamah Perlembagaan Thailand menggugurkan Yingluck Shinawatra daripada jawatannya kelmarin, beberapa siri serangan bom dilaporkan - antaranya di kediaman seorang daripada hakim mahkamah berkenaan.

Serangan awal pagi semalam menyaksikan sebutir bom tangan dilempar ke kawasan kediaman Suphot Kaimuk, menyebabkan kerosakan kecil di bumbung garaj rumah berkenaan serta kenderaan yang diletakkan di dalamnya.

Suphot adalah seorang daripada sembilan hakim Mahkamah Perlembagaan yang bersidang dan menggugurkan Yingluck serta sembilan menterinya kelmarin.

Sementara itu, kamera litar tertutup merakamkan imej seorang lelaki memakai topi besbol melempar bom berkenaan ke dalam kawasan kediaman Suphot sebelum bertindak melarikan diri.

Suphot tidak berada di rumah ketika kejadian.

Beberapa jam selepas keputusan diumumkan, dua bom tangan turut dilempar di Hospital Chulabhorn di daerah Laksi, manakala dua lagi dilempar di ibu pejabat Bank Perdagangan Siam di Lat Phrao.

- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/09

Wartawan bergaduh depan kamera

Posted: 08 May 2014 08:41 AM PDT

Amman: Siaran langsung rancangan debat mengenai perang saudara di Syria semalam bertukar menjadi medan mempamer kekuatan apabila dua wartawan yang dijemput memberi pandangan nyaris bertumbuk.

Rancangan disiar rangkaian satelit Seven Stars itu menampilkan Saker al-Johari dan Mohammad al-Jayousi bagi yang membincangkan perang Syria yang kini memasuki tahun ketiga.

Bagaimanapun, keadaan menjadi tegang apabila Mohammad menuduh Saker sebagai penyokong pejuang antikerajaan Syria.

Akibatnya, Saker pula menuduh Mohammad menerima sogokan supaya menyokong rejim Presiden Bashar al-Assad.

Foto

AKSI yang disiarkan secara langsung menunjukkan meja studio pecah akibat pergaduhan itu.


Kedua-dua lelaki itu mula menarik dan menolak meja perbincangan menyebabkan ia pecah.


Kekecohan kemudian dapat dikawal apabila kru televisyen masuk campur. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/09

Bom dalam mayat

Posted: 08 May 2014 08:39 AM PDT

Samarra (Iraq): Penemuan mayat seorang anggota polis yang menjadi mangsa culik semalam rupa-rupanya bukan membawa kelegaan kepada waris, sebaliknya menyebabkan kematian lain.

Apabila mayat itu ditemui, saudara-mara polis itu segera mengambilnya untuk diuruskan.

Tanpa disedari di dalam mayat berkenaan sudah dipasang dengan sebutir bom yang kemudian meletup, membunuh bapa dan adik mangsa.

Sumber polis berkata, polis terbabit diculik dari sebuah kampung berhampiran Sharqat, barat laut Baghdad kelmarin.


"Seorang lagi saudara kandung polis itu cedera akibat letupan berkenaan," katanya.


Militan di Iraq biasanya melancarkan serangan menggunakan bahan letupan yang disembunyi dalam kereta atau ditanam berhampiran jalan utama.

Bagaimanapun, ada kalanya bahan letupan diletakkan pada mayat atau haiwan seperti keldai.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan, sebutir bom meletup dalam kereta di utara Baghdad mengakibatkan dua maut dan lapan lagi cedera.

Keganasan berlaku ketika pegawai pilihan raya masih menghitung hasil undian pilihan raya pada 30 April lalu yang turut melihat pelbagai kejadian pertumpahan darah.

Keganasan di Afghanistan didakwa turut dipengaruhi faktor luar seperti perang saudara di Syria.

Menurut sumber perubatan dan keselamatan, 3,100 orang dilaporkan terbunuh tahun ini.-AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/09

No comments:

Post a Comment