Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Nafsu terbantut

Posted: 03 May 2014 08:52 AM PDT

Kuala Lumpur: Keasyikan dua lelaki 'dibelai' wanita warga asing di dua pusat urut refleksologi berasingan di Plaza Metro Prima Kepong, di sini, terbantut apabila dipercayai ditahan polis dalam keadaan berbogel, malam kelmarin.

Difahamkan, kedua-dua pelanggan berusia 20-an itu asyik melakukan aksi 'panas' dengan pasangan masing-masing dan tidak sempat melarikan diri sejurus menyedari kehadiran pihak berkuasa.

Dua premis tidak berlesen di tingkat satu bangunan itu dikatakan berselindung di sebalik nama pusat urut, namun menawarkan wanita warga Vietnam untuk perkhidmatan seks antara RM100 hingga RM138.

Siasatan awal mendapati mereka yang berusia 20-an hingga 30-an hanya melakukan urutan 'manja' dalam tempoh singkat selain berbual sebelum meminta pelanggan mandi dan terus melakukan seks di bilik disediakan di premis itu.

Foto

WANITA warga Vietnam yang ditahan tidak sempat melarikan diri.

Foto

ANTARA wanita Vietnam yang ditahan.


Perbuatan tidak bermoral wanita asing itu bagaimanapun dihidu sepasukan polis dari Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman yang menyerbu kedua-dua premis secara serentak, jam 10.45 malam.


Dalam Ops Noda lebih dua jam diketuai Inspektor Mohammad Mohd Jais, 18 wanita Vietnam ditahan untuk tindakan lanjut.

Menurut Mohammad, ketika serbuan hasil maklumat dan risikan pihaknya, pemeriksaan mendapati rata-rata wanita berkenaan menunggu pelanggan di premis terbabit.

"Ia membabitkan 12 wanita di premis pertama manakala enam lagi di premis berikutnya. Dua daripada mereka pula didapati melayan pelanggan masing-masing di setiap premis berkenaan.

"Pada waktu itu, kita mengesyaki seorang wanita berjaya meloloskan diri dengan terjun dari bangunan terbabit, namun yang lain berjaya ditahan untuk pemeriksaan lanjut," katanya selepas tamat operasi itu.

Beliau berkata, pihaknya turut menemui lebih 70 kondom, sekali gus tidak menolak kemungkinan premis berkenaan sememangnya menawarkan perkhidmatan seks.

"Kita percaya mereka hanya mengaburi pihak berkuasa dengan meletakkan papan tanda pusat urut refleksologi. Kedua-dua premis itu juga didapati tidak memiliki lesen perniagaan sah," katanya.

Mohammad berkata, selain dua pelanggan, pihaknya menahan dua lelaki tempatan berusia 40-an disyaki penjaga premis bagi membantu siasatan.

"Kes antaranya disiasat mengikut Peraturan 39B Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 (menyalahgunakan pas) dan Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 (menggaji warga asing yang tidak mempunyai pas sah).

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/04

Mayat pemandu lori ditemui

Posted: 03 May 2014 08:47 AM PDT

Shah Alam: Mayat pemancing A Mahendran, 30, yang terjatuh ketika memancing bersama enam rakannya di kelong Telok Gong, Pandamaran, Pelabuhan Klang, di sini, Khamis lalu, ditemui selepas 52 jam misi pencarian dijalankan.

Mayat pemandu lori terbabit ditemui di tebing sungai berhampiran jeti Teluk Nipah, kira-kira 4.6 batu nautika dari tempat kejadian, semalam.

Ketua Penguat Kuasa Maritim Daerah Klang Kapten Christopher Ravindran Dass berkata, mayat mangsa ditemui terapung jam 10.30 pagi.

"Kami menerima maklumat nelayan berkaitan objek menyerupai manusia ditemui terapung di kawasan pokok bakau, kira-kira 0.3 batu nautika dari jeti Teluk Nipah.

"Kami bergegas ke lokasi itu dan menemui mayat mangsa.

Mayatnya kemudian dibawa ke jeti Pasukan Polis Marin (PPM) di Pulau Indah bagi tujuan pengecaman oleh keluarganya," katanya.

Christopher berkata, penemuan mayat mangsa menamatkan operasi mencari dan menyelamat yang dijalankan APMM, Bomba dan Penyelamat, PPM dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).

Katanya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarganya.

Foto

ANGGOTA bomba menemui mayat mangsa di Teluk Nipah.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/04

Paras air Empangan Selangor 40.6%

Posted: 03 May 2014 08:46 AM PDT

Kuala Lumpur: Paras air Empangan Sungai Selangor mencatat peningkatan ke paras 40.6 peratus dengan kuantiti 93.57 juta meter padu berbanding sebelum ini hanya 38.9 peratus pada pertengahan bulan April.

Menurut laman web rasmi Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) semalam, Empangan Klang Gates mencatat peningkatan ke paras 60.86 peratus bersamaan 15.42 juta meter padu.

Empangan Batu pula sebanyak 81.07 peratus (25.9 juta meter padu), Kolam Takungan Sungai Labu 76.3 peratus (6.79 meter padu), Empangan Langat 54.84 peratus (18.7 juta meter padu) dan Empangan Semenyih 77 peratus atau 45.48 juta meter padu.

Selain itu, Empangan Sungai Tinggi 64.68 peratus (74.06 juta meter padu) dan Empangan Tasik Subang 85.3 peratus (3.59 juta meter padu).

Pada 30 April lalu, Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) Datuk Ismail Kassim berkata, pelan catuan air peringkat 1, 3, dan 4 bermula pada 27 Februari lalu ditarik balik dan disahkan Jawatankuasa Pemantauan Air Negeri Selangor.

Menurutnya, kerajaan negeri Selangor memaklumkan, jika paras Empangan Sungai Selangor menyusut semula ke tahap kritikal, pertimbangan mengurangkan pelepasan atau catuan air akan dilakukan semula.

Sementara itu, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berpendapat, empangan tidak perlu mencapai kadar takungan 50 peratus kerana yakin usaha mengepam air kolam serta hujan berterusan yang berkesan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/04

Undur jentolak tergilis kepala anak

Posted: 03 May 2014 08:37 AM PDT

Pasir Puteh: Seorang bapa bukan saja trauma tetapi menyesal tak sudah apabila anak kesayangannya berusia dua tahun maut selepas digilis jentolak dipandunya di Kilometer 19, Jalan Pasir Puteh-Machang-Grik di Kampung Felcra Teratak Batu, Gaal, dekat sini, kelmarin.

Dalam kejadian 3.30 petang, Muhammad Harris Salihin Roemi meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala.

Mayat kanak-kanak itu dihantar ke Hospital Tengku Anis, di sini, untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarganya untuk dikebumikan.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh Deputi Superintendan Mohd Kamal Zainal berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku di depan rumah tidak bernombor ketika ayah mangsa mengundurkan jentolaknya selepas membuang pasir.

"Sebaik membuang pasir, ayah mangsa mengundurkan jentolak dipandunya, namun dipercayai tidak perasan anaknya di belakang lalu melanggarnya.

"Ini menyebabkan tayar belakang sebelah kiri jentolak menggilis kepala mangsa," katanya.

Menurut Mohd Kamal berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Saya menasihatkan keluarga mempunyai anak kecil supaya berwaspada bagi mengelak kejadian seperti ini," katanya.

Usaha Metro Ahad untuk menemu bual keluarga mangsa, terutama ayahnya gagal kerana dia enggan ditemu bual.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/04

Pendedahan dicemuh

Posted: 03 May 2014 08:34 AM PDT

Kuala Lumpur: "Tujuan saya berkongsi kisah diugut adalah bagi mengelak lebih ramai menjadi mangsa, tetapi tindakan itu dikutuk mereka yang berpandangan negatif," kata penyampai stesen televisyen AlHijrah, Amin Idris.

Amin, 33, berkata, sejak kisahnya diugut seorang lelaki melalui laman sosial yang disiarkan Harian Metro baru-baru ini, akaun Facebook (FB) miliknya menerima pelbagai reaksi daripada masyarakat, termasuk yang mengutuk perbuatannya.

"Saya ingin jelaskan, pergerakan yang saya lakukan ketika perbualan video menerusi Skype itu cuma bangun dan duduk dalam keadaan berpakaian lengkap dan bukan sambil membuat perkara tidak senonoh seperti difikirkan.

"Lelaki berkenaan meminta saya berbuat demikian kononnya untuk melihat saya dengan lebih jelas tanpa saya menyangka pergerakan itu akan disunting menjadi video lain yang mengaibkan," katanya kepada Metro Ahad di sini, semalam.


Akhbar ini pada 25 April lalu melaporkan, Amin menerima ugutan daripada seorang lelaki dikenali sebagai Stevan Cruz yang memintanya menyerahkan wang tunai RM20,000 jika tidak mahu tiga video pendek menunjukkan perbuatan aib seorang lelaki lain yang disunting menyerupainya disebarkan ke laman YouTube.


Kejadian itu berlaku hujung Mac lalu apabila dia menerima pesanan Stevan melalui FB yang memperkenalkan diri sebagai pegawai jabatan sumber manusia di Filipina dan ingin menjemputnya ke sana bagi menyampaikan ceramah motivasi kepada pekerja kilang.

Selepas 10 minit perbualan video, lelaki berkenaan memutuskan talian secara tiba-tiba dan kembali menghubungi Amin keesokan harinya dengan meninggalkan tiga pautan video di YouTube.

Tiga rakaman video itu masing-masing memaparkan seorang lelaki minum arak, berhibur di disko dan melakukan onani, tetapi menggunakan wajah Amin yang dipercayai disunting melalui Skype.

Mengulas lanjut, Amin berharap masyarakat berhenti mencemuhnya kerana pada masa sama dia menyelamatkan beberapa lagi individu lain yang menjadi mangsa ugutan Stevan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/04

No comments:

Post a Comment