Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Teruna sunti tunggu cinta sejati

Posted: 19 May 2014 10:37 AM PDT

London: Seorang teruna di sebuah kolej terkemuka England semalam berkata, dia berazam untuk mengekalkan statusnya yang tidak pernah berasmara sehingga dia benar-benar menemui cinta sejati.

Menceritakan impiannya itu, Phin Lyman, 18, berkata, amalan seks tanpa kawalan hanya akan menyebabkan kesan buruk jangka panjang.


"Seks bagi saya ialah satu proses ikatan yang menghubungkan dua individu dari segi mental dan fizikal.

"Saya percaya pada zaman ini seks digunakan secara salah kerana dijadikan simbol yang menggambarkan cinta seseorang," katanya.


Menurut Lyman, apabila seseorang itu meniduri pasangannya, ia akan mengikat mereka secara mental dan emosi.


Kenyataan Lyman itu dibuat dalam tulisannya untuk majalah Kolej Wellington yang dianggap antara yang paling elit di England. Kata Lyman, ramai remaja lelaki sering belajar mengenai seks melalui bahan pornografi.

Foto

Phin Lyman

Kemudian, katanya, remaja terbabit akan mencari pasangan masing-masing sebelum mengecewakan mereka. "Bagi wanita muda atau tua mereka biasanya menganggap seks sebagai sesuatu yang romantik dan bermakna," katanya. Menurut Lyman, dia mendedahkan statusnya itu kerana mendapati kebanyakan remaja lelaki menghadapi tekanan yang "menyedihkan" apabila terdesak untuk mengadakan hubungan seks.


"Saya percaya, 90 peratus pelajar hilang teruna ketika mabuk dan itu sangat menyedihkan," katanya. Menurut Lyman, kebanyakan pelajar di kolej itu tahu dia masih teruna tetapi tidak ramai yang faham mengenainya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/20

Misteri warga emas curi pakaian sukan perempuan

Posted: 19 May 2014 10:33 AM PDT

Gifu: Polis Jepun menahan seorang lelaki berusia 53 tahun selepas memecah masuk sebuah sekolah dan mencuri dua pasang pakaian sukan pelajar perempuan.

Menurut polis, suspek yang dikenali sebagai Koichi Hirose bekerja di sebuah kolej teknikal di daerah Wakayama.


Jurucakap polis berkata, Hirose memecah masuk ke sekolah berkenaan kira-kira jam 2.30 pagi kelmarin dan mencuri pakaian itu di bilik persalinan.

Seorang penduduk menghubungi polis selepas melihat ada kenderaan yang mencurigakan diletakkan dalam tempoh lama di luar kawasan sekolah.


"Hirose ditahan di dalam kawasan sekolah.


"Apabila disoal siasat, dia mendakwa mahu memakai pakaian berkenaan, tetapi kami masih belum memahami mengapa dia begitu," katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/20

Pengemis profesional dikehendaki

Posted: 19 May 2014 10:32 AM PDT

Chengdu: Seorang lelaki dilihat berkeliaran bandar Dazhou dan menimbulkan kehairanan apabila dia dilaporkan mencari sesiapa yang berminat untuk belajar mengemis.

Untuk menarik perhatian perantis, lelaki terbabit turut menawarkan kemudahan bilik penginapan dan bonus tahunan.


Beberapa gambar dimuat naik di Internet menunjukkan lelaki terbabit berbaring di jalan bersama papan tanda bertulis: "Merekrut pengemis profesional." Dia juga menceritakan pengalamannya di papan tanda berkenaan.

"Saya menamatkan pengajian di pusat latihan profesional di Shanghai pada 2011. Sejak itu saya mengemis secara solo dan kini saya mencari rakan sekerja untuk mengemis di seluruh negara," tulisnya.


Beberapa lagi jurulatih pengemis turut dilihat mencari "pelajar baru" di sekitar wilayah Sichuan dengan menawarkan makanan dan tempat tinggal serta bonus akhir tahun. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/20

Jokowi lupa visi sendiri

Posted: 19 May 2014 10:32 AM PDT

Jakarta: Selepas sekian lama berteka-teki mengenai gandingannya, semalam Joko Widodo (Jokowi) mengumumkan bekas naib presiden, Jusuf Kalla sebagai regu menghadapi persaingan pemilihan presiden Julai ini.

Namun, tidak semua pihak melihat Jokowi dan partinya, Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P) membuat keputusan tepat. Penganalisis Yayasan Indonesia Baru, Fathor Rosi menganggap pemilihan Jusuf membuktikan Jokowi melanggar wawasannya untuk melakukan revolusi mental.


"Jusuf adalah politikus veteran yang datang membawa cara kerja lama. "Ketika menjadi naib presiden dulu, dia tidak menunjukkan sebarang pencapaian membanggakan, malah pernah dipecat," katanya.

Justeru, kata Fathor, Jusuf bukan gandingan paling sesuai untuk Jokowi melanjutkan revolusi mentalnya.


Begitu juga, kata Fathur, jika dilihat dari aspek pembangunan rakyat.


Nampaknya pemilihan Jusuf dibuat atas faktor PDI-P memburu kemenangan semata-mata dan mengabaikan kepentingan negara.

Foto

PENYOKONG Jokowi dan Jusuf bersorak gembira ketika pengumuman di Jakarta, semalam.

"Keputusan itu sudah diduga. "PDI-P kekurangan sumber kewangan dan Jusuf boleh menampungnya," katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/20

42 doktor periksa kesihatan calon, naib presiden

Posted: 19 May 2014 10:30 AM PDT

Jakarta: Kerajaan Indonesia perlu menanggung belanja Rp150 juta (RM42,485) hanya untuk menjalankan pemeriksaan kesihatan bagi setiap calon presiden dan naib presiden yang akan bertanding 9 Julai ini.

Perkara itu dinyatakan oleh pesuruhjaya badan pengendali pilihan raya Indonesia, Ferry Kurnia Rizkiyansyah, di Jakarta, semalam.


"Prosedur itu bukan saja merangkumi pemeriksaan kesihatan ke atas calon, tetapi turut mengambil kira kos sewaan peralatan hospital bagi menjalankan pemeriksaan berkenaan.

"Ketika pemeriksaan dijalankan, hospital tidak dibenarkan menerima pesakit lain. "Justeru, perbelanjaan itu digunakan bagi menampung kerugian yang dialami sepanjang tempoh berkenaan," katanya.


Pemeriksaan kesihatan itu biasanya dibuat sehari selepas seseorang calon mendaftarkan diri secara rasmi dan diberi surat pengesahan oleh badan pengendali pilihan raya.


Tempoh masa bagi pemeriksaan kesihatan setiap calon dianggarkan mengambil masa kira-kira tujuh jam dan seramai 42 doktor ditugaskan untuk proses itu. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/20

Golkar buat pusingan U sokong Prabowo

Posted: 19 May 2014 10:30 AM PDT

Jakarta: Pemenang kedua pilihan raya umum Indonesia, Parti Golkar semalam membuat kejutan dengan menyatakan sokongan mereka kepada kepada bekas jeneral tentera, Prabowo Subianto dalam pilihan raya presiden Julai nanti.

Langkah berkenaan dilihat di luar jangkaan kerana Ketua Umum Golkar, Aburizal Bakrie, beberapa hari lalu menyatakan "keserasiannya" dengan Joko Widodo (Jokowi) dari Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P).


Setiausaha Agung Golkar, Idrus Marham menyatakan perkara itu semalam.

Kata Idrus, dalam perhimpunan kebangsaan Golkar semalam, Aburizal menjanjikan seluruh ahli parti itu akan memberi sokongan penuh kepada Prabowo serta regunya, Hatta Rajasa. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/20

Ratu cantik terlanjur

Posted: 19 May 2014 10:29 AM PDT

Bangkok: Pemenang Miss Universe Thailand Weluree 'Fai' Dissayabut semalam memohon maaf secara terbuka selepas teruk dikecam pengguna laman sosial kerana 'terlanjur' membuat komen mengenai krisis politik negara itu.

Sejurus selepas diumum sebagai pemenang, Weluree mula dihujani kritikan pedas orang ramai.

Keadaan itu memaksa Weluree meminta maaf dan berjanji berubah sebelum mewakili Thailand di pertandingan ratu cantik antarabangsa itu.

Dikenali sebagai pelakon dan hos rancangan televisyen Strawberry Cheesecake, Weluree dinobat sebagai juara Miss Universe Thailand pada malam Ahad di dalam acara yang disiarkan secara langsung di televisyen.

Foto

WELUREE (tengah) diapit Pimbangkot (kiri) dan Sunnanipa.


Media melaporkan, Weluree pernah mengecam kumpulan Baju Merah sebagai antimonarki dan menganggap Thailand akan menjadi lebih aman tanpa mereka.


Kemenangan Weluree dianggap mengejutkan kerana pemenang tempat kedua, Pimbangkot 'Ellie' Jankaew dan ketiga Sunnanipa 'Namphet' Krisanasuwan lebih digemari penonton.

Malah, selepas kemenangan Weluree diumum, hadirin terus menjerit nama Pimbangkot.

Laman media sosial pula menjadi tempat pengguna Internet melepaskan rasa tidak puas hati dan terkejut mereka dengan kemenangan Weluree itu.

Ada antara mereka turut berkongsi gambar Weluree dan Pimbangkot serta membuat perbandingan antara mereka.

Antara kecaman dimuat naik di Internet ialah: "Binatang! Wanita memiliki payudara besar memang pasti berjaya." - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/20

Polis gempur topi keledar 'kulit telur'

Posted: 19 May 2014 10:27 AM PDT

Hanoi: Polis Vietnam akan mengenakan denda antara VND100,000 (RM15) hingga VND200,000 (RM30) jika ada penunggang atau pembonceng motosikal masih menggunakan topi keledar "kulit telur" tidak menepati piawaian semasa mulai bulan depan.

Dalam cadangan dikemukakan Jawatankuasa Keselamatan Lalu Lintas Kebangsaan, polis trafik akan diberi kuasa untuk merampas topi keledar yang didapati mudah pecah dan gagal melindungi penggunanya.

Perkara itu akan dilaksanakan bermula 15 Jun dengan anggota polis trafik pada mulanya akan menghentikan penunggang motosikal yang terbabit dan memberi amaran.

Pihak berkuasa tempatan juga diarahkan memberi amaran kepada peniaga yang menjual topi keledar berkenaan.


Jawatankuasa Keselamatan Lalu Lintas Ho Chi Minh berkata, ia merancang mengadakan kempen selama sebulan untuk mendidik orang ramai mengenai topi keledar selamat dan kurang selamat.


Mengikut peraturan, semua topi keledar mesti mematuhi piawaian keselamatan selain dilengkapi lapisan tebal untuk menyerap hentakan.

Topi keledar juga mesti dicop 'CR' (mematuhi peraturan).

Penunggang motosikal, Nguyen Anh Son, 24, mengakui tahu topi keledarnya - bernilai VND30,000 (RM5) - kurang berkualiti tetap memakainya kerana lebih selesa dan ringan.

Dao Hai Yen, 23, juga mengaku menggunakan topi murah kerana lebih bergaya, namun akan menggunakan topi keledar lebih selamat di masa depan untuk mengelakkan didenda. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/20

Pegawai polis ditahan tembak calon pilihan raya Aceh

Posted: 19 May 2014 10:26 AM PDT

Banda Aceh: Seorang pegawai polis semalam ditahan kerana didakwa terbabit dalam pembunuhan anggota Parti Kebangsaan Aceh (PNA) yang bertanding dalam pilihan raya umum Mac lalu.

Suspek hanya dikenali sebagai HUS ditahan selepas tiga suspek lain, Nasir Yunus, 35, Rifki Mustafrin, 34, dan Usman Yunus, 29, diberkas.

Semua suspek adalah pengikut Yayasan al-Mujahadah di Ujong Kareung, Sawang diketuai Tengku Ahmad Barmawi.

Ketua polis Aceh Inspektor Jeneral Husain Hamidi berkata, mangsa dikenali sebagai Faisal, 40, ditembak mati ketika memandu dengan keretanya ditembusi lebih 40 peluru.


"Walaupun kejadian berlaku sebelum pilihan raya (9 April) dan mangsa adalah calon, kejadian itu sebenarnya tiada kaitan dengan politik," katanya.


Sebelum ini, kejadian dipercayai berkaitan dengan pilihan raya berikutan keganasan meningkat pada tempoh berkenaan sehingga memaksa polis Aceh menubuhkan pasukan khas untuk memastikan keselamatan sepanjang waktu itu.

Menurut Husain, HUS membunuh Faisal kerana marah dengan siasatan dilakukannya terhadap Yayasan al-Mujahadah yang didakwa menyeleweng.

Yayasan itu diisytiharkan menyebar ajaran sesat oleh Majlis Permesyuaratan Ulama (MPU) dan pejabatnya disita pada 28 Februari, namun aktivitinya masih diteruskan pengikutnya.

Husain berkata, kegiatan berkenaan disiasat Faisal sehingga menimbulkan kemarahan Ahmad dan pengikutnya, termasuk HUS.

"Setakat ini kami tidak dapat mengesahkan sama ada HUS membiayai aktiviti dijalankan organisasi berkenaan," katanya.

Menurutnya, Ahmad juga ditahan berhubung kes itu. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/20

Bandung kian meriah dengan Pesta Hijab

Posted: 19 May 2014 10:26 AM PDT

Jakarta: Kota Bandung akan menjadi lebih meriah mulai 29 Mei ini apabila dipilih sebagai tuan rumah Indonesia Hijab Fest (IHF) selama tiga hari.

Acara itu bakal melihat kehadiran tokoh seperti Dian Pelangi, Dewi Sandra, Teh Ninih dan Zahratul Jannah sebagai tetamu.

Malah, pelbagai acara turut disediakan untuk pengunjung termasuk peragaan fesyen, konsert mini, pemilihan model hijab serta pelbagai aktiviti kekeluargaan.

Penganjur acara itu yang dilihat sebagai pesta hijab terbesar 2014 turut memuatkan ceramah berbentuk keagamaan oleh pendakwah terkenal. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/20

No comments:

Post a Comment