Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Mahu simpan 'muka gajah'

Posted: 17 May 2014 11:52 AM PDT

Seorang lelaki di India menolak tawaran untuk melakukan pembedahan plastik bagi merawat mukanya kerana mahu terus mengemis demi mengumpul belanja untuk perkahwinan anak perempuannya.

Mannan Mondal, 50, yang mendapat jolokan 'lelaki gajah' menolak tawaran itu kerana menganggap wajahnya yang unik sebagai 'rezeki.' Manna yang menghidap neurofibromatosis - sejenis penyakit yang berisiko menyebabkan ketumbuhan - berkata, buat masa ini persiapan untuk perkahwinan anak perempuannya, Rasheeda, 20, lebih utama.

"Saya perlu membeli pelbagai barangan seperti katil, kabinet, cincin, jam dan sebagainya.

Duit yang saya dapat hasil mengemis tidak cukup untuk menyara keluarga, tetapi saya tiada cara lain untuk membantu anak saya.

Saya tiada pilihan lain dan perlu mengutamakan nafkah untuk keluarga saya," katanya.

Akibat penyakitnya itu, dia kehilangan sebelah mata, sebelah telinga dan kebanyakan giginya.

Bulan lalu, pengarah Pembedahan Plastik Pusat Penyelidikan Fortis Memorial di Gurgaon Dr Ajay Kashyap membuat pemeriksaan menyeluruh ke atas Mannan.

"Ketumbuhan dialami tidak berbahaya dan bukan kanser, tetapi tulang sebelah bahagian mukanya tidak membesar dengan betul menyebabkan ketumbuhan itu jatuh.

"Untuk 'membaiki' mukanya kami perlu membuang sebanyak mungkin ketumbuhan itu dan membina semula bahagian mukanya yang hilang.

Foto


Namun, ia tidak membuatkan dia normal 100 peratus, sekadar memberikan rupa normal," katanya.

Mannan dilahirkan dalam keluarga yang daif di Kolkata dan peluang yang dimilikinya amat terhad.

Dia disisihkan kerana penampilannya dan diharamkan daripada bersekolah menyebabkan dia tiada pilihan selain mengemis.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/17

Hidangan kreatif untuk anak

Posted: 17 May 2014 07:45 AM PDT

Washington: Seorang bapa memilih cara kreatif untuk membangkitkan selera makan dua anaknya - dengan mencipta penkek dalam pelbagai bentuk menarik termasuk watak filem Star Wars dan tokoh sejarah seperti George Washington.

Pelukis ilustrasi Nathan Shields, 34, setakat ini sudah mencipta ratusan rekaan penkek yang kini menjadi tradisi mingguan keluarganya, malah lebih 100 daripada penkek berkenaan sudah 'dikongsikan' dengan pengguna Internet.

Shields yang juga bekas guru matematik berkata, dia mula mencipta penkek uniknya untuk menghiburkan dua anaknya Gryphon, enam, dan Alice, tiga.

"Ketika itu saya mula menghabiskan lebih banyak masa dengan dua anak saya.

"Pada satu pagi saya tiba-tiba mendapat ilham menghasilkan penkek berbentuk kenderaan.

"Disebabkan anak-anak begitu menyukainya saya mula bereksperimen dengan rekaan lain pada minggu berikutnya menggunakan bentuk haiwan pula.

"Rakan yang melihat gambar rekaan berkenaan di Facebook menggalakkan saya supaya terus mencipta 'seni' penkek itu," katanya.

Menurutnya, tema rekaan setiap minggu bergantung pada permintaan anaknya atau hasil ideanya sendiri yang dianggap dapat memberi pendidikan secara tidak langsung kepada mereka.

"Saya anggap satu cabaran untuk menghasilkan rekaan seperti dirancang.

"Namun, apa yang penting adalah penkek yang tidak cantik tetap enak dimakan," katanya.

Malah, katanya Gryphon dan Alice juga sudah mula berjinak-jinak menghasilkan rekaan penkek mereka sendiri.


- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/17

'Kerja gila' buat tatu guna pijat

Posted: 17 May 2014 07:44 AM PDT

New York: Seorang pakar serangga membuat 'tatu' sendiri yang berbentuk arnab kecil dengan menggunakan 1,000 pijat.

Johnny Fedora - yang membuat eksperimen itu semata-mata kerana mahu melihat kesan gigitan serangga berkenaan terhadap kulitnya - menutup botol kecil diisi pijat dengan kertas yang diukir stensil berbentuk arnab sebelum membalikkan serta menekap permukaan botol ke lengannya.

Akibatnya, pijat berkenaan menggigitnya dan meninggalkan 'tatu' berbentuk arnab yang kekal di lengannya sehingga dua minggu.

Bagaimanapun, eksperimen itu turut mengakibatkan kulitnya melepuh dan bernanah kesan gigitan berkenaan sepanjang tempoh berkenaan.

Fedora berkata, gigitan itu tidak menyakitkannya, namun dia dapat rasa lengannya 'dimamah' serangga berkenaan untuk dua jam.

"Selepas 24 jam kawasan di lengan saya itu melepuh, malah arnab sudah tidak kelihatan lagi dan kulit saya terasa gatal serta bengkak.

"Lengan saya mula melepuh dan bernanah, namun 72 jam kemudian sudah tidak bengkak lagi dan arnab itu dapat dilihat jelas," katanya.

- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/17

Puan Maharani intai peluang naib presiden

Posted: 17 May 2014 07:41 AM PDT

Jakarta: Sementara calon presiden dari PDI-P, Joko Widodo (Jokowi) menegaskan gandingannya sudah disahkan, Puan Maharani memberi gambaran dia juga boleh bergandingan sebagai calon naib presiden dalam pilihan raya presiden 9 Julai nanti.

Gabenor Jakarta itu enggan mendedahkan calon berkenaan dan menyatakan pengumuman rasmi bakal dibuat tidak lama lagi.

"Hanya ada satu nama diberikan kepada saya, namun ia belum boleh diumumkan," katanya.

Media tempatan kelmarin membuat spekulasi mengenai minat ditunjukkan Presiden PDI-P Megawati Soekarnoputri, Puan Maharani untuk bergandingan dengan Jokowi jika ibunya berhasrat memilih calon naib presiden daripada parti itu.

"Jika calon dipilih dari dalam parti, saya boleh menjadi calon hari ini," katanya.

Megawati mendedahkan, pencalonan itu bergantung kepada ahli gabungan PDI-P.

"Masih ada beberapa lagi parti mungkin bekerjasama dengan PDI-P.

Kami terbuka untuk bekerjasama," katanya.

Parti Kebangkitan Bangsa (PKB) dan Parti NasDem memberi kepercayaan kepada Megawati untuk memutuskan calon yang sesuai.

- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/17

Jokowi sukar ditumpaskan

Posted: 17 May 2014 07:41 AM PDT

Parti Demokratik kelmarin mengakui calon presiden yang diketengahkan parti mereka tidak dapat menandingi Joko Widodo (Jokowi) dan Prabowo Subianto.

Perkara itu dinyatakan presiden parti, Susilo Bambang Yudhoyono selepas parti berkenaan selesai mengadakan konvensyennya kelmarin.

Dengan hanya 10 peratus sokongan yang diperoleh melalui pilihan raya, Susilo menegaskan adalah mustahil bagi parti itu bergerak sendiri dalam pemilihan presiden yang bakal diadakan tidak lama lagi.

Menurutnya, parti itu mengadakan persidangan pemimpin peringkat nasional (Rapinmas) baru-baru ini bagi memutuskan keperluan menjalin kerjasama dengan parti lain.

Ia juga memberi pilihan kepada mereka sama ada mahu menyokong pemenang dalam persidangan itu atau menyertai satu daripada dua pakatan yang dipimpin oleh Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P) dan Parti Gerakan Indonesia Raya (Gerindra).

Tinjauan akhir yang dilakukan tiga badan bebas meletakkan Menteri Perusahaan, Dahlan Iskan sebagai pemenang dalam konvensyen berkenaan dengan peratusan undian mencapai 17.5 ke 23 peratus.

Bagaimanapun, ia masih belum mampu menandingi Jokowi yang juga Gabenor Jakarta dan Prabowo yang jauh meninggalkan Dahlan dari segi peratusan undian.

Konvensyen presiden seperti itu kerap kali diadakan lama sebelum pilihan raya parlimen diadakan dengan tinjauan mendapati parti pemerintah itu hanya akan memperoleh kurang daripada 10 peratus sokongan.

Beberapa anggota kanan parti menjelaskan adalah tidak realistik jika parti itu mencalonkan pemenang dalam persidangan itu sebagai calon presiden pada pilihan raya akan datang.

"Parti Demokratik sedar dengan sokongan yang diperoleh menyukarkan kami untuk menyusun langkah seterusnya.

Walaupun saya bangga dengan calon diketengahkan, namun kita kekurangan calon boleh menang berbanding parti lain dan ini membuatkan kami tidak banyak pilihan," kata Susilo.

Dia juga menegaskan kerjasama yang dibentuk mesti bersandarkan kesediaan sebuah parti untuk bekerjasama.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/17

Kekasih 'hidup semula'

Posted: 17 May 2014 07:40 AM PDT

Seoul: Penyanyi Hyon Song-Wol yang juga bekas teman wanita Kim Jong-Un yang dikhabarkan dihukum mati tahun lalu dilihat memberi ucapan dalam rancangan yang disiarkan televisyen kebangsaan.

Hyon yang juga ketua kumpulan muzik Moranbong memberi ucapan ketika perhimpunan pekerja seni kebangsaan di Pyongyang, kelmarin, didengar mengucapkan terima kasih atas kepemimpinan Kim selain berjanji berusaha keras untuk menyemai minat terhadap seni dan kreativiti rakyat.

Kemunculannya itu mengakhiri spekulasi sejak beberapa bulan lalu sama ada dia masih hidup atau sebaliknya berikutan laporan September lalu bahawa dia dan beberapa anggota Orkestra Unhasu serta pemuzik kebangsaan lain dihukum tembak sehingga mati kerana merakamkan aksi seks.

Ketua risikan Korea Selatan Nam Jae-Joon malah mengakui dimaklumkan mengenai pelaksanaan hukuman bunuh berkenaan.

- AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/17

Pesawat bawa menteri Laos terhempas

Posted: 17 May 2014 07:40 AM PDT

Bangkok: Menteri pertahanan Laos dipercayai antara yang maut dalam nahas pesawat tentera yang terhempas di utara negara itu.

Saksi di tempat kejadian memberitahu Reuters Douangchai Phicit antara mangsa maut dalam kejadian yang berlaku berhampiran perkampungan Nadee di wilayah Xiang Khouang, hanya dua kilometer dari lapangan terbang di mana ia dijadualkan mendarat.

Saksi yang enggan dinamakan berkata, dia dimaklumkan pesawat itu membawa 20 penumpang dan tiga dipercayai terselamat.

Penumpang lain termasuk isteri Phicit dan datuk bandar Vientiane.

Sementara itu, jurucakap kementerian luar Thai Sek Wannamethee berkata, kerajaan Laos mengesahkan kejadian berlaku pada jam 6.30 pagi waktu tempatan.

- Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/17

Era baru India

Posted: 17 May 2014 07:39 AM PDT

Ribuan orang berhimpun di kota ini semalam untuk menyambut bakal Perdana Menteri Narendra Modi selepas berjaya menjatuhkan dinasti Nehru-Gandhi serta parti kongres dalam kemenangan pilihan raya dilihat di India sejak 30 tahun lalu.

Modi, 63, dilihat melambai dari keretanya sambil menunjukkan tanda kemenangan dalam perjalanan dari lapangan terbang ke ibu pejabat partinya Bharatiya Janata Party (BJP) untuk mula menyusun Kabinet barunya.

"Modi adalah 'singa' pejuang kami! Dia akan bekerja keras demi rakyat India, demi pembangunan dan setiap seorang daripada kami!" jerit Om Dutt, 39, yang turut menyambut pemimpin barunya.

Biarpun diselubungi kontroversi dan dakwaan anti-Islam, bekas ketua menteri Gujerat itu kini mempunyai mandat paling kuat berbanding mana-mana pemimpin India sejak 30 tahun lalu.

Sepanjang kempen pilihan raya, Modi - yang dijangka memulakan tugasnya secara rasmi sekitar Selasa - tidak menyembunyikan keinginannya menumpaskan kepemimpinan keluarga Nehru-Gandhi di India.

Hasilnya, kemenangan besar diraihnya Jumaat lalu dilihat mampu memberi ruang untuk melaksanakan pelbagai pembaharuan yang 'tersekat' walaupun diperkenalkan bekas perdana menteri Manmohan Singh 23 tahun lalu.

Malah, ada yang melihatnya sebagai mampu memainkan peranan seperti dilakukan mendiang Margaret Thatcher ketika memimpin kerajaan Britain satu ketika dulu.

Singh, 81, sendiri melepaskan jawatannya dengan penuh hormat, malah dalam ucapan terakhirnya berkata: "Saya yakin masa depan India cerah.

Saya percaya negara kita mampu muncul sebagai kuasa besar dalam ekonomi global.


Masanya sudah tiba." Modi yang sebelum ini dilihat sebagai nasionalis Hindu bersifat autokratik menukar pendekatannya dengan menunjukkan pendirian lebih sederhana terhadap isu keagamaan sepanjang kempen pilihan raya, malah memenangi hati rakyat melalui janjinya untuk memastikan pembangunan ekonomi untuk rakyat India.

"Potensi yang sepatutnya dapat diraih sepanjang hampir lima generasi dibazirkan begitu saja sejak 1952," katanya dalam ucapan yang jelas menyindir keluarga Nehru-Ghandi.

Dia yang menggambarkan dirinya sebagai seseorang yang bekerja keras mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terbabit dalam kempennya terutama pada peringkat akar umbi.

Dalam ucapan kemenangannya pada Jumaat, Modi berkata, era politik yang berbelah bahagi kini berakhir di India.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/17

No comments:

Post a Comment