Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


TRW bangkit

Posted: 06 May 2014 10:33 AM PDT

Kota Bharu: Kelantan nyaris diaib FELDA United apabila sekadar seri 3-3 dalam saingan separuh akhir pertama Piala FA di Stadium Sultan Muhammad IV, semalam.

Keputusan itu menyaksikan Kelantan selaku juara bertahan menempah laluan sukar untuk beraksi dalam perlawanan timbal balik 31 Mei ini selain mencapai misi mempertahankan kejuaraan.

Bermula babak pertama, Kelantan dikejutkan jaringan pertama pasukan pelawat menerusi penyerang import, Edward Junior Wilson pada minit ke-17 yang melakukan percubaan dalam kotak penalti untuk menewaskan penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat.

The Reds Warriors (TRW) yang baru dikendalikan George Boateng terus tertekan apabila FELDA meledak gol kedua pada minit ke-24 menerusi Indraputra Mahayuddin yang menanduk masuk hantaran lintang pemain import, Zah Rahan Krangar.

Foto
Foto

PENYOKONG cilik memberi sorakan padu kepada The Red Warriors.


Kira-kira 25,000 penyokong tuan rumah mula patah semangat untuk menyaksikan perlawanan apabila pasukan pelawat terus meledak gol ketiga pada minit ke-36 menerusi Mohd Khairul Ismail yang bijak menampan masuk sepakan sudut Indraputra.


Bagaimanapun, tiga gol pelawat itu langsung tidak menjejaskan semangat pemain tuan rumah, malah pada minit ke-41 penyerang import, Francis Forkey Doe berjaya menghasilkan gol pertama selepas menerima lorongan cantik ketua pasukan, Mohd Badhri Radzi.

Berselang dua minit, Kelantan bangkit sekali lagi untuk merapatkan kedudukan selepas Ahmad Fakri Saarani menanduk masuk sepakan percuma Zairul Fitree Ishak bagi menghidupkan harapan tuan rumah untuk terus bersaing.

Kedudukan 2-3 itu kekal sehingga tamat babak pertama.

Bermula babak kedua, Kelantan menyamakan kedudukan pada minit ke-52 menerusi jaringan pemain sayap, Wan Zaharul Nizam Wan Zakaria yang bijak melantunkan bola untuk menewaskan penjaga gol, Mohd Farizal Haron.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/07

Johor DT mula langkah awal

Posted: 06 May 2014 10:26 AM PDT

Johor Bahru: Persiapan awal dilakukan Johor Darul Ta'zim (Johor DT) pada saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan apabila akan mengikat pemain Boca Juniors, Juan Manuel Martinez.

Pemain kelahiran Viedma, Rio Negro, Argentina itu yang kini berusia 28 tahun dan pernah beraksi untuk pasukan senior Argentina sememangnya menjadi pilihan Johor DT selepas wakil Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) mengadakan perbincangan dengan ejen Martinez.

Perkara itu disahkan Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang juga Presiden PBNJ.

"Saya amat berminat dengan Martinez yang memiliki skil tinggi dan sesuai dengan corak permainan kami. Malah urusan mendapatkan pemain itu kini dalam fasa terakhir dan kemungkinan diselesaikan pada musim perpindahan pemain Jun ini.

Foto

MARTINEZ bernilai RM11.5 juta.


"Buat masa ini Boca Juniors belum mahu melepaskan Martinez, perlu tunggu Jun ini sama ada khidmat pemain itu untuk Johor DT dapat dilaksanakan selepas kita menawarkan AS$3.5 juta (RM11.5 juta).


"Boca Juniors membeli pemain itu dari kelab Brazil, Corinthians dengan nilai AS$3 juta (RM9.9 juta) dan kami tawar harga yang tinggi," katanya pada sidang media di Stadium Tan Sri Hassan Yunus, Larkin, semalam.

Selain bekas pemain Argentina, Tunku Ismail turut mengesahkan untuk mendapatkan khidmat pemain import Selangor, Paulo Rangel pada musim depan selepas berminat dengan kualiti pemain dari Brazil itu.

Katanya, perancangan mendapatkan Rangel sudah dirancang musim ini namun pemain itu memilih untuk menyertai Selangor dan selepas membuat pemantauan terhadap pemain itu sememangnya dia dianggap sesuai untuk diserapkan dalam skuad Harimau Selatan.

"Martinez dan Rangel amat sesuai jika digandingkan dan kedua-dua pemain itu memiliki kualiti tinggi manakala pemain pertahanan sekarang, Marcos Antonio mungkin dikekalkan atau beraksi bersama Johor Darul Ta'zim (JDT II)," kata Tunku Ismail.

Dalam pada itu, Tunku Ismail membuat perancangan untuk menyertai saingan Liga Singapura (Liga S) pada musim depan dengan skuad JDT II yang dibarisi pemain muda dan berpengalaman akan membawa cabaran itu.

"Saya tahu apabila kita keluar daripada saingan Liga Perdana sudah pasti dikenakan denda RM300,000 oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM). Tak mengapa kita bayar sahaja denda itu.

"Menyertai Liga S bukan saja memberi pendedahan kepada pemain muda malah mengurangkan perbelanjaan memandangkan perjalanan untuk ke Singapura tidak terlalu tinggi," kata Tunku Ismail.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/07

Bina stadium di 'Garden Island'

Posted: 06 May 2014 10:22 AM PDT

Johor Bahru: Sebuah stadium bola sepak baru dengan kapasiti 40,000 hingga 50,000 penonton bakal dibina di sebuah pulau buatan manusia di negeri ini.

Bagaimanapun, Tunku Mahkota Johor yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Johor (PBNJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim ketika mengesahkan perkara itu menegaskan pihaknya belum dapat menjangkakan tarikh sebenar pembinaan stadium itu dapat dimulakan.


Katanya, buat sementara waktu, pihaknya akan menaik taraf Stadium Tan Sri Hassan Yunus, Larkin secara berperingkat sementara menunggu stadium baru siap.

"Saya dan Tuanku Sultan baru mendengar taklimat mengenai pembangunan di kawasan terbabit malam tadi (kelmarin) dan agak tertarik mengenai usaha itu.


"Saya jangkakan pembangunan seperti itu berlaku dalam tempoh 40 tahun akan datang, tapi sebenarnya ia sudah ada di Johor.


"Kerja menambak tanah dijalankan di kawasan antara Johor dan Singapura dan keluasan pulau buatan manusia itu kira-kira lima kali ganda daripada Pulau Sentosa Singapura," katanya.

Foto

TUNKU Ismail (kanan) pada sidang media di Stadium Larkin.

Menurutnya, kawasan yang bakal dibangunkan itu akan dikenali sebagai Garden Island.


Tunku Ismail juga berkata, pihaknya tidak mahu stadium itu dibina terlalu besar seperti Stadium Shah Alam, Selangor yang mempunyai kapasiti 80,000 penonton.

"Kalau dengan kapasiti begitu, jika 40,000 penonton hadir masih dapat lihat keadaan stadium seakan kosong.


"Kami mengkaji permintaan penonton untuk hadir ke stadium, tapi saya jangkakan ia mungkin dibina bagi menampung antara 40,000 atau 50,000 penonton saja," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/07

Rangel sedia sarung jersi Johor DT

Posted: 06 May 2014 10:20 AM PDT

Kuala Lumpur: Penyerang berbisa Selangor Paulo Rangel menyatakan kesediaan untuk menyarung jersi Johor Darul Ta'zim (Johor DT) pada musim depan jika ditawarkan kontrak oleh pasukan Harimau Selatan itu.

Sambil mengakui kontraknya bersama The Red Giants akan tamat penghujung musim ini, dia amat teruja apabila namanya dikaitkan dengan pasukan paling kaya di negara ini.

"Siapa tidak mahu bermain dengan pasukan seperti Johor DT.

Mereka sebuah pasukan besar yang memiliki ramai pemain tempatan hebat di samping pemain import bertaraf dunia.

"Pemilik Johor DT (Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim) sentiasa dahagakan kejuaraan, begitu juga saya.


Sebagai pemain profesional, saya juga perlu memikirkan masa depan dan sudah semestinya jika ada tawaran, saya akan berpindah.

"Namun tumpuan saya ketika ini bersama Selangor.


Saya mahu membawa Selangor muncul juara Liga Super dan Piala Malaysia," katanya ketika dihubungi Arena Metro, semalam.

Aksi cemerlang bekas pemain Perak itu musim ini, meletakkan bekas juara Piala Malaysia sebanyak 32 kali itu antara pencabar terkuat dalam saingan liga tempatan dengan merekodkan 10 jaringan buat mengetuai senarai penjaring terbanyak.

Walaupun Johor DT dibintangi ramai pemain kebangsaan serta bintang import bertaraf dunia seperti Pablo Aimar dan Luciano Figueroa, jentera serangan anak buah Bojan Hodak itu hanya mampu mencatatkan 13 jaringan dalam 14 aksi yang menceritakan betapa tumpul bahagian serangan mereka.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/07

Kalau salah terus hukum

Posted: 06 May 2014 10:19 AM PDT

Kuala Lumpur: "Jika benar mereka (Johor Darul Ta'zim) didapati bersalah, saya tidak akan teragak-agak mengenakan hukuman paling maksimum iaitu bermain tanpa penyokong empat perlawanan berturut-turut."

Itu amaran keras dilontarkan Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM Datuk Taufek Abdul Razak, berikutan kekecohan di luar stadium yang dicetuskan penyokong Johor DT ke atas peminat Pahang sebaik tamat aksi pusingan pertama separuh akhir Piala FA yang berkesudahan seri 1-1.

Dalam kejadian di luar Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin kelmarin, lebih 1,000 penyokong Johor DT dikatakan dengan sengaja menimbulkan provokasi, menjerit-jerit meminta penyokong Pahang keluar dan meminta maaf secara terbuka rentetan rasa tidak puas hati terhadap peristiwa yang berlaku di Kuantan 7 Februari lalu.

Akibatnya pemain dan penyokong Pahang terpaksa bersembunyi di dalam stadium hampir dua jam sebelum disuraikan anggota polis termasuk Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang berkawal di luar stadium.

"Saya tidak tahu mengenai kejadian itu walaupun ada menonton perlawanan di televisyen malam tadi (malam kelmarin).

Anda (wartawan) orang pertama yang memaklumkan kepada saya mengenai kejadian memalukan itu.

"Seperti biasa, kita akan buka kertas siasatan apabila adanya laporan yang dibuat.

Ketika ini saya belum lagi menerima apa-apa laporan.

Foto

POLIS mengawal keadaan cemas di luar Stadium Tan Sri Hassan Yunos, kelmarin.


Tapi jika benar adanya kesalahan dilakukan, saya tidak teragak-agak menggunakan hukuman paling maksimum.

"Mereka ini (penyokong) tidak pernah serik walaupun sudah banyak kali dikenakan hukuman kepada persatuan.


Kita sudah tidak boleh bagi muka, mungkin Johor DT terpaksa bermain tanpa penyokong dalam empat perlawanan berturut-turut selepas ini.

"Bagi denda duit tak jalan.

Bagi denda pemotongan mata juga tak jalan, saya fikir sudah tiba masanya FAM menggunakan hukuman paling maksimum bagi menyedarkan penyokong," katanya kepada Arena Metro, semalam.

Menurut Taufek, pihaknya turut kecewa dengan insiden yang berlaku itu sambil menyifatkan tindakan seperti itu menjejaskan kerancakan sukan bola sepak tanah air dan sekali gus memberikan implikasi tidak baik kepada Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBSNJ) "FAM jarang mengenakan hukuman seberat itu kerana kita memikirkan pendapatan persatuan hasil penjualan tiket dan sebagainya.

Tapi, nampak gayanya kita terpaksa gunakan hukuman seperti itu buat mengajar penyokong agar lebih berdisiplin," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/07

Amri terkilan diikat Tok Gajah

Posted: 06 May 2014 10:17 AM PDT

Johor Bahru: Kapten Johor Darul Ta'zim (Johor DT) Amri Yahyah mengakui keputusan seri 1-1 dengan Pahang pada aksi separuh akhir pertama Piala FA, di Stadium Larkin, kelmarin cukup mengecewakan.

Malah Amri turut terkilan apabila aksi di laman sendiri seharusnya diterjemah dengan kemenangan namun keputusan seri yang diraih skuad Harimau Selatan memaksa tugas berat menanti pada aksi separuh akhir kedua di Kuantan, 30 Mei ini.

"Sememangnya kami beraksi dengan baik apabila kesemua pemain beri kerjasama namun sudah ditakdirkan apabila perlawanan berakhir dengan 1-1, saya akui kami agak kecewa.

"Pahang bermain dengan corak berbeza apabila mampu menguasai perlawanan dan kelicikan R Gopinanthan agak sukar disekat selepas pemain itu begitu pantas berlari di posisi sayap kiri.

"Kami juga memiliki peluang mencipta jaringan, tapi nasib tidak menyebelahi kami selepas beberapa percubaan sekadar sipi atau diselamatkan penjaga gol Pahang," katanya.

Apapun Amri tampak optimis skuad Harimau Selatan akan bangkit pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Darul Makmur, Kuantan, 30 Mei ini untuk memburu kemenangan bagi ke pentas final buat kali kedua berturut-turut.

Katanya, percaturan bagi menguatkan skuad itu terserah kepada ketua jurulatih Bojan Hodak bagi memastikan kesebelasan utama yang akan diturunkan nanti mampu mengimbangi kekuatan skuad Tok Gajah.

Malah, Amri yakin aksi saingan Liga Super menentang Pahang, 16 Mei ini di laman sendiri ingin ditebus untuk mencari tiga mata dalam usaha mengejar tangga teratas liga.

"Kami akan bertemu Pahang dalam saingan liga dan ia pasti sengit memandangkan kami juga ingin memburu kelompok teratas liga," kata Amri.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/07

Cemas tunggu tiga jam

Posted: 06 May 2014 10:16 AM PDT

Kuantan: Perasaan cemas dan kecewa membelenggu pemain dan pegawai pasukan Pahang apabila terpaksa berkampung lebih tiga jam dalam Stadium Tan Sri Datuk Haji Hassan Yunus, Johor, kelmarin, apabila penyokong Johor Darul Ta'zim (Johor DT) bertindak berkumpul di luar stadium selepas perlawanan separuh akhir pertama Piala FA.

Kejadian berkenaan jelas menunjukkan peminat tuan rumah tidak profesional dan terlalu mengikut perasaan hingga sanggup melakukan apa saja semata-mata bagi memuaskan hati termasuk mengabaikan undang-undang.

Ketua pasukan Mohd Razman Roslan berkata, kejadian kelmarin tidak seharusnya berlaku terutama apabila keputusan perlawanan berakhir 1-1 yang masih dianggap baik kepada pasukan tuan rumah walaupun mereka mengharapkan kemenangan.

Menurutnya, semua pemain, pegawai dan penyokong Tok Gajah berada dalam stadium apabila penyokong Johor DT berkumpul di luar stadium seolah-olah mereka cuba menimbulkan sesuatu perkara tidak diingini yang mengancam keselamatan.

"Saya tidak sangka kejadian itu boleh berlaku kerana sebelum itu tiada sebarang masalah yang boleh menimbulkan rasa kurang senang penyokong Johor DT.

Tapi apabila keluar dari bilik persalinan untuk menaiki bas, kami lihat ramai orang seolah-olah menunggu sesuatu.

"Bagaimanapun, saya puji kecekapan polis apabila dapat mengawal keadaan daripada menjadi lebih huru-hara, tanpa mereka mungkin kejadian hitam dalam bola sepak negara akan berlaku," katanya yang berharap insiden kelmarin tidak berulang.

Mohd Razman berkata, penyokong Johor DT mungkin marah terhadap pengadil, tetapi disebabkan pengadil terlebih dulu meninggalkan stadium, rasa tidak puas hati itu dilepaskan kepada pemain, pegawai dan penyokong Pahang.

Bagi Mohd Hafiz Kamal, kejadian dikepung penyokong kali kedua dialami selepas saingan Piala Malaysia di Stadium Negeri Sarawak.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/07

LionsXII selamat Baihakki

Posted: 06 May 2014 09:58 AM PDT

Kuala Lumpur: Usaha LionsXII untuk menyelamatkan Baihakki Khaizan daripada menjadi 'penonton' bagi baki saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini berjaya apabila pemain pertahanan itu sudah mendapat pelepasan kontrak daripada Johor Darul Ta'zim (Johor DT).

Difahamkan LionsXII sudah menebus kontrak Baihakki bersama pasukan Harimau Selatan itu. Bagaimanapun ketika ini Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) masih menunggu dokumen lengkap perpindahan pemain itu.

"Buat masa ini (petang semalam), saya hanya dimaklumkan secara lisan kontrak Baihakki dengan Johor DT sudah ditamatkan.

"Ini bermakna Baihakki dibenarkan menyertai LionsXII namun mereka perlu kemukakan dokumen penamatan kontrak kepada FAM sebelum melaksanakan perpindahan itu," kata Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM Datuk Seri Afandi Hamzah.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/07

Siapa sandiwara?: Tengku Abdullah

Posted: 06 May 2014 09:57 AM PDT

Raub: Tiada sandiwara. Demikian tegas Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berhubung kenyataan Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang menyifatkan pemilihan jawatan Presiden FAM pada 25 Mei ini hanya sekadar penyerahan jawatan di kalangan ahli keluarga.

Tengku Abdullah menegaskan, pemilihan itu akan dilakukan mengikut peraturan yang bakal ditentukan 39 ahli kongres.

"Tidak tahulah sandiwara siapa yang berlakon dan siapa pengarahnya kerana saya tidak tahu.

Kita ikut kepada aturan kongres, macam mana ada sandiwara pula?" katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Program Jelajah Informasi Usahawan Pahang di Taman Tasik Raub, di sini, semalam.

Turut hadir, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Pengerusi Jawatankuasa Koperasi, Usahawan dan Kepenggunaan Pahang, Datuk Shahiruddin Ab Moin dan Ketua Pegawai Eksekutif TEKUN Nasional, Datuk Abdul Rahim Hassan.

Baru-baru ini, media melaporkan kenyataan Tunku Ismail yang menyifatkan pemilihan bagi jawatan tertinggi kongres badan induk itu, 25 Mei ini hanya sekadar penyerahan jawatan dalam kalangan ahli keluarga, daripada Presiden FAM Sultan Ahmad Shah yang juga Sultan Pahang kepada anakandanya Tengku Abdullah.

Tunku Ismail dipetik sebagai berkata, tidak akan ada istilah pemilihan sebenar pada kongres itu nanti.

Pertandingan bagi jawatan Presiden FAM menyaksikan antara Tengku Abdullah bakal berdepan Sultan Ahmad Shah yang mahu mempertahankan jawatan itu selepas 30 tahun memegang tampuk tertinggi badan induk berkenaan dan seorang lagi calon, Tunku Ismail.

Sementara itu, Tengku Abdullah berkata, beliau menyerahkan sepenuhnya kepada ahli gabungan untuk menentukan siapa yang layak menjawat jawatan Presiden FAM dan bersedia menerima apa saja keputusan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/07

'Pergi jumpa Rashid dulu'

Posted: 06 May 2014 09:56 AM PDT

Kuala Lumpur: Selepas menetapkan pihak media hanya boleh membuat liputan sesi latihan skuad negara pada hari tertentu, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) umpama terus bersikap dingin apabila mengenakan peraturan lebih ketat sepanjang kem latihan pusat skuad negara menjelang saingan Piala Thomas di New Delhi, India bermula 18 Mei ini.

Kali ini, pihak media diminta menyatakan kepada pegawai bertugas di kaunter depan stadium pemain yang ingin ditemuramah sebelum nama pemain itu diserahkan kepada ketua projek bagi saingan Piala Thomas, Rashid Sidek.

Rashid satu-satunya jurulatih yang mempunyai kuasa untuk memanggil pemain yang dimaksudkan dan ia bermakna, tanpa kebenaran beliau, pemain tidak dibenarkan bercakap dengan pihak media.

Peraturan itu pastinya diarahkan pengurusan BAM dan perlu dituruti jurulatih serta pemain.

Bagaimanapun Pengurus Besar BAM Kenny Goh menafikan tindakan badan induk itu mahu menghalang media daripada membuat liputan.

"Kami bukan mahu memberhentikan pihak media daripada membuat liputan, tapi kami cuma nak buat caranya supaya lebih teratur.

"Kalau ada permintaan untuk membuat temuramah individu tertentu, anda boleh maklumkan kepada ketua projek Rashid Sidek.

Saya percaya Rashid akan melayani permintaan anda," katanya.

Sebelum ini, BAM hanya memberikan ruang pada Isnin, Rabu dan Jumaat kepada pihak media untuk membuat wawancara atau liputan sesi latihan skuad negara.

Sementara itu, mengulas mengenai pemilihan Liew Daren dan Amelia Alicia Anscelly selaku ketua pasukan bagi skuad Piala Thomas dan Uber negara, Kenny berkata, pemilihan kedua-dua pemain itu atas pilihan barisan pemain lain.

"Pemain sendiri yang memilih mereka dan saya percaya pemain seperti (Datuk) Lee Chong Wei atau pemain senior lain akan mengikuti arahan diberikan.

"Setakat ini saya lihat tiada masalah dan mereka semua dapat mengikut segala program yang dijalankan," katanya.

Foto

CHONG Wei (kanan) bersama pemain selepas sesi latihan skuad Piala Thomas di Stadium Juara Bukit Kiara, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/07

No comments:

Post a Comment