Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


PM Thai terpaksa angkat kaki

Posted: 15 May 2014 01:11 PM PDT

Penunjuk perasaan antikerajaan memasuki kawasan kawalan tentera semalam dan mengganggu mesyuarat penting membincangkan pilihan raya, memaksa perdana menteri sementara, Niwattumrong Boonsongpaisan bergegas meninggalkan kawasan itu atas faktor keselamatan.

Kejadian berlaku ketika premis berkenaan dikawal ramai anggota keselamatan.

Menurut saksi, kira-kira 100 penunjuk perasaan dari Bangkok berarak memasuki kawasan itu sambil meniup wisel dan mengibar bendera Thailand.

Niwattumrong dan beberapa anggota Kabinet kemudian dimaklumkan mengenai kedatangan penunjuk perasaan.

Sumber berkata, Niwattumrong terus menamatkan mesyuarat dan segera menaiki kereta untuk meninggalkan tempat berkenaan.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya Thailand, Somchai Srisutthiyakorn memberitahu wartawan kerajaan menghentikan mesyuarat atas faktor keselamatan.

"Kerajaan mencadangkan mesyuarat seterusnya diadakan melalui sidang video," katanya.

Sementara itu, kumpulan penunjuk perasaan mendesak Senat dan mahkamah segera mencampuri urusan perlantikan perdana menteri "neutral" menggantikan Niwattumrong.

Namun, kerajaan sementara Thailand menolak gesaan itu kerana menganggapnya bercanggah dengan sistem demokrasi dan menyalahi perlembagaan.

Sementara itu, tiga maut dalam serangan bom dan tembakan berhampiran Monumen Demokrasi di tengah Bangkok ketika penunjuk perasaan berkhemah.

Pegawai polis Bangkok Krailert Buakaew berkata, sekurang-kurang tiga bom tangan dilontar ke arah penunjuk perasaan.

Katanya, tembakan dari mesingan juga dilepaskan pihak tertentu ke situ.

Foto
Foto


"Tiga maut dan sekurang-kurangnya 22 lagi cedera," katanya.

Polis mengesahkan seorang daripada yang terbunuh ialah sukarelawan yang berkawal di tempat kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/16

'Jaga suami ibarat telur'

Posted: 15 May 2014 10:53 AM PDT

Harare: Seorang majistret wanita di daerah Tredgold di Zimbabwe semalam berkata, isteri perlu menjaga suami masing-masing "seperti menjaga telur" bagi mengelakkan mereka mencari keseronokan di luar rumah.

Kata Sibongile Msipa, seseorang wanita juga mungkin perlu menilai diri sendiri jika berdepan dengan masalah rumah tangga.

"Dalam kes ini, kenapa kamu kejam sangat?" katanya.

Sibongile membuat kenyataan itu ketika mendengar aduan seorang wanita berusia 55 tahun, Florence Chipikiri, yang mengheret suaminya selepas lelaki terbabit gagal memberi nafkah kepadanya.

Shadreck Chipikiri, 66, yang berasal dari Entumbane kemudian mengaku salah atas dakwaan itu.

Chipikiri berkata, dia tidak membayar nafkah sepatutnya kepada Florence mulai Februari lalu dan tidak lagi tinggal bersama sejak 2009 apabila isterinya mula berkelakuan ganas, "Florence wanita ganas, gemar mendera, banyak cakap sedangkan saya seorang pendiam.

"Pada satu tahap dia benar-benar menyerang saya, menyebabkan saya memutuskan untuk keluar dari rumah," katanya.

Sibongile kemudian bertanya kepada Florence mengapa dia memusuhi suaminya.

Kata Sibongile, lelaki perlu dijaga dan dilayan seperti telur.


"Jika kita gagal, mereka akan meninggalkan kita dan mencari wanita lain.


Lihat diri kamu - kenapa kejam sangat?" katanya.

Florence yang menangis ketika suaminya memberi keterangan memberitahu, masalah bermula apabila Chipikiri menafikan nafkah batin untuknya.

"Mula-mula dia berseluar pendek apabila kami di bilik tidur.

"Keadaan bertambah buruk tidak lama kemudian kerana dia memakai seluar panjang pula ketika tidur.

"Sangat jelas dia menafikan hak saya," katanya.

Tidak cukup dengan itu, beberapa ketika kemudian, kata Florence, suaminya tidur berasingan dengan alasan pulang lewat dari tempat kerja.

"Lama-kelamaan dia langsung tidak pulang," katanya.

Sibongile akhirnya mengarahkan Chipikiri membayar pampasan kepada isterinya sebelum 30 Jun atau berdepan hukuman penjara 30 hari.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/16

Surat peribadi Ghandi kepada anak bakal dilelong

Posted: 15 May 2014 10:51 AM PDT

London: Sebuah firma lelongan yang pernah membuka bidaan darah dan wasiat Mahatma Gandhi kini tampil menawarkan tiga pucuk surat yang pernah ditulis tokoh terkemuka dunia itu mengenai kebimbangan terhadap sikap anak sulungnya, Harilal.

Firma lelongan Mullock berharap, set surat ditulis pada Jun 1935 itu dapat mencecah bidaan sehingga £100,000 (RM541,200) Dalam satu daripada surat berkenaan Ghandi menulis: "Kamu perlu tahu, masalah yang kamu hadapi lebih sukar daripada mendapatkan kemerdekaan negara ini.

"Manu memberitahu aku beberapa perkara berbahaya mengenai kamu.

Dia menyatakan kamu merogolnya sejak dia belum pun berusia lapan tahun menyebabkan dia cedera dan terpaksa mendapatkan rawatan perubatan." Manu yang dinyatakan Ghandi dalam surat itu merujuk kepada anak perempuan Harilal yang tinggal bersamanya di Sabarmati Ashram.

Dalam satu kenyataan, Mullock memberitahu, surat berkenaan ditulis Ghandi di Gujarati dan berada dalam keadaan baik.


"Ia diperoleh daripada keluarga Gandhi.


"Setakat yang kami tahu, ia tidak pernah didedahkan kepada awam dan memberikan maklumat baru dan penting mengenai hubungan Gandhi dan anak lelakinya yang bermasalah," kata firma berkenaan.

Dalam satu lagi surat Ghandi menulis: "Sila beritahu aku perkara sebenar.

Adakah kamu masih terbabit dengan alkohol dan perbuatan tidak bermoral? Saya rasa lebih baik kamu mati daripada kembali bergelumang dengan alkohol." Siri surat berkenaan adalah sebahagian daripada Jualan Dokumen Sejarah Mullock pada 22 Mei nanti.

Pusat lelongan berkenaan sebelum ini sudah menjual 50 barangan peribadi Gandhi yang jarang dilihat termasuk titisan darahnya dengan harga keseluruhan lebih daripada RM1.5 juta.

Aset paling mahal adalah wasiat yang ditinggalkan Gandhi untuk anaknya.

Ia dijual pada harga RM297,656 diikuti selendang yang selalu dipakainya pada harga RM216,477.

- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/16

Erdogan kena tempias Soma

Posted: 15 May 2014 10:51 AM PDT

Soma, Turki: Orang ramai menunjukkan pelbagai reaksi terhadap tragedi lombong di Soma kelmarin yang disifatkan bencana perindustrian paling teruk di Turki.

Di Soma, pembesar suara mengumumkan satu demi satu nama mangsa yang maut sementara anggota penyelamat menggali kubur besar-besaran untuk mengebumikan mereka.

Anggota keluarga dan rakan mangsa pula terus berhimpun menunggu jika ada berita mengenai orang tersayang yang masih boleh diselamatkan.

Pada masa sama, penunjuk perasaan melancarkan protes di ibu negara Turki kerana membantah "kelonggaran peraturan keselamatan" dilaksanakan di negara itu.

Anggota penyelamat masih berusaha memasuki lombong berkenaan hampir 48 jam selepas kebakaran berlaku, menyebabkan ratusan pelombong terperangkap di bawah tanah.

Bekalan elektrik terputus pula menjejaskan pengaliran udara dan lif.

Sekurang-kurangnya 282 disahkan maut - kebanyakannya akibat terhidu karbon monoksida.

Di sebalik kira-kira 100 orang yang dipercayai masih terperangkap, penyelamat menjangka harapan untuk membawa mereka keluar semakin tipis.

Sebahagian rakyat menganggap kerajaan terlampau berlembut terhadap hartawan lombong dan gagal memastikan keselamatan pelombong terjamin.

Malah, Perdana Menteri Recep Tayyip Erdogan diherdik penduduk tempatan ketika dia melawat tempat kejadian menyebabkan polis terpaksa mengadakan sekatan jalan raya dan memeriksa kenderaan yang tiba.

Ini secara tidak langsung lebih membangkitkan kemarahan penduduk setempat yang datang untuk mendapatkan sendiri berita mengenai rakan serta keluarga mereka yang hilang.

"Kami datang untuk berkongsi kesedihan dan menanti rakan-rakan dibawa keluar.

Dia (Erdogan) tidak mungkin merasai apa yang kami rasakan ini," kata seorang penduduk dikenali sebagai Emre, 18.

Erdogan - mengisytiharkan tempoh berkabung selama tiga hari mulai kelmarin - menyatakan kekesalannya atas kejadian itu, namun dilaporkan berkata ia bukan sesuatu yang luar biasa.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/16

Prabowo, Hatta kurang ampuh

Posted: 15 May 2014 10:50 AM PDT

Jakarta: Penganalisis politik menjangkakan gandingan pemimpin Parti Gerindra, Prabowo Subianto dan bekas Menteri Perhubungan Ekonomi, Hatta Rajasa tidak mampu menggugat peluang Gabenor Jakarta dari Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P), Joko Widodo (Jokowi).

Pengarah Lembaga Pemilih Indonesia (LPI) Boni Hargens berkata, Jokowi tetap akan unggul tanpa dipengaruhi siapa pun tokoh yang dipilih Prabowo.

"Penilaian ini diperkuatkan dengan kes rasuah yang membabitkan Hatta berhubung isu pembelian kereta api dari Jepun ketika masih menjawat jawatan menteri," katanya.

Hatta ialah pemimpin Parti Amanat Rakyat (PAN) yang meletak jawatan beberapa hari lalu, dipercayai untuk menyertai persaingan dalam pemilihan presiden 9 Julai ini.

Menurut Boni, kes Hatta bakal menjejaskan momentum kempen Prabowo jika ia dihidupkan semula, sama seperti isu pelanggaran hak asasi manusia 1998 yang membabitkan bekas pegawai kanan tentera elit Indonesia itu.

- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/16

Jusuf hangat, PDI-P dingin

Posted: 15 May 2014 10:47 AM PDT

Bekas Naib Presiden Indonesia, Jusuf Kalla secara terbuka menyatakan kesediaannya berganding dengan Joko Widodo (Jokowi) dalam pemilihan presiden akan datang sebagai menguatkan peluang Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P).

Namun, pengumuman yang dibuat pada hari Jusuf meraikan ulang tahun kelahirannya itu belum bersambut seperti diharapkannya.

Setakat ini PDI-P masih berteka-teki untuk memilih tokoh yang dianggap paling ampuh digandingkan dengan Gabenor Jakarta itu.

PDI-P berkata, pengumuman mengenai calon naib presiden bagi melengkapkan perancangan Jokowi akan dibuat pada 20 Mei ini.

Jusuf yang pernah menjawat tugas sebagai naib presiden untuk Susilo Bambang Yudhoyono bagi tempoh 20 Oktober 2004 hingga 20 Oktober 2009.

Namun, pada ketika Jusuf meraikan majlis memperingati kelahirannya pada 72 tahun lalu belum dapat dipastikan sama ada PDI-P sudi menerima lamarannya.


Kata Jusuf, kesediaannya berganding dengan Jokowi bertujuan membangunkan bangsa dan negara.

Namun, Jusuf enggan mengulas lanjut apabila ditanya sama ada dia sudah berhubung dengan Jokowi dan PDI-P mengenai peluangnya menjadi calon naib presiden.

"Saya belum mengetahui keputusan itu.


Semuanya bergantung kepada PDI-P dan Megawati Sukarnoputri (Ketua Umum PDI-P)," katanya.

Selain Jusuf, satu lagi nama yang disebut-sebut ialah Ketua Suruhanjaya Pembanterasan Korupsi Indonesia, Abraham Samad.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/16

21 dikhuatiri terbunuh akibat rusuhan

Posted: 15 May 2014 10:45 AM PDT

Hanoi: Pegawai perubatan semalam menganggarkan ada kemungkinan 21 orang terbunuh dalam rusuhan dan keganasan di kilang keluli milik Taiwan di Ha Tinh. Perusuh turut membakar kilang berkenaan.

Kejadian berlaku ketika sentimen anti-China semakin memuncak di Vietnam.

Seorang doktor di Hospital Besar Ha Tinh berkata, lima pekerja Vietnam dan 16 yang lain - digambarkan sebagai individu China - maut dalam keganasan berkenaan.

Ia dianggap perseteruan terburuk antara Vietnam - China sejak 1979.

Doktor itu berkata, ada kira-kira 100 orang dikejarkan ke hospital malam kelmarin.

"Kebanyakan mereka adalah pekerja China," katanya.


Jurucakap Kementerian Luar Vietnam, Le Hai Binh berkata, hanya seorang disahkan maut dalam pertempuran itu.

"Laporan media dan kenyataan rangkaian media sosial mengenai jumlah kematian lebih tinggi adalah tidak berasas," katanya.


Agensi berita Xinhua pula melaporkan, sekurang-kurangnya dua warga China maut dan lebih 100 lagi dirawat di hospital.

Perdana Menteri Nguyen Tan Dung berkata, sesiapa yang terbabit dengan keganasan mesti dihukum.

- AP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/16

PM Singapura terima ucapan kesat

Posted: 15 May 2014 10:45 AM PDT

Singapura: Seorang pekerja dipecat kerana menulis kenyataan kesat untuk membalas ucapan Hari Ibu ditulis oleh Perdana Menteri Hsien Loong di laman sesawang Facebook.

Dalam kenyataannya, Ridhuan Abdullah, 30, memperkenalkan dirinya sebagai pegawai keselamatan "Keith Morton." Pengakuan itu mendorong pemilik syarikat keselamatan berkenaan, William Morton Jr, mengambil tindakan memecat Ridhuan.

Kata Morton Jr, tindakan Ridhuan tidak boleh dibiarkan terutama daripada seorang pegawai keselamatan yang bertanggungjawab menjaga standard dan kesopanan.

"Ternyata dia melanggar kod etika syarikat dan kami tidak boleh bertolak ansur," katanya.

Syarikat Keselamatan Keith Morton mengawal bangunan swasta yang berpangkalan di Jalan Upper Changi dan mempunyai seramai 90 pekerja.

Ridhuan diarah berhenti kelmarin sehari selepas dia memuat naik kenyataan berkenaan.

Morton Jr mengetahui kenyataan kesat itu daripada rakannya dan membuat keputusan untuk memecat pegawai itu bagi memelihara nama baik syarikat.

"Keputusan di tangan saya, tiada sesiapa memaksa saya melakukannya," katanya.

Ucapan Hari Ibu Lee dimuat naik ke Facebook bersama gambar dirinya, abang dan mendiang ibunya.

Dalam kenyataan itu Lee mengucapkan terima kasih kepada semua ibu.

"Satu hari tidak cukup untuk mengucapkan terima kasih kepada ibu kerana kasih sayang mereka tidak berbelah bahagi dan penjagaan mereka tidak pernah mengenal erti penat," katanya.

Dalam tempoh dua jam kenyataan itu mendapat lebih daripada 22,300 "likes." - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/16

Harapkan kru, kru lari dulu

Posted: 15 May 2014 10:44 AM PDT

Seoul: Kapten dan tiga kru feri Sewol yang karam di perairan Korea Selatan bulan lalu, didakwa atas tuduhan menyebabkan kematian tanpa niat dan cuai, semalam.

Pendakwa kanan Yang Jong-Jin berkata, Kapten Lee Joon-Seok, dua jurumudi dan seorang ketua jurutera boleh dikenakan hukuman mati jika disabitkan kesalahan.

Bagaimanapun, hukuman mati jarang diberi mahkamah dengan kali terakhir ia dilaksanakan pada 1997.

Menurut Yang, empat pegawai berkenaan gagal membantu memindahkan penumpang walaupun diarah berbuat demikian oleh pihak berkuasa keselamatan maritim, malah hampir sejam kemudian mereka pula yang melarikan diri menaiki bot penyelamat.

Sehubungan itu, kata Yang, mereka didakwa meninggalkan kapal itu ketika ia karam dan sebaliknya mengarahkan semua penumpang - kebanyakannya pelajar sekolah menengah - supaya tidak berganjak dari tempat masing-masing.

"Mereka lari menyelamatkan diri bersama 11 anak kapal lain yang berpangkat lebih rendah, sementara ratusan penumpang terperangkap.

"Bukan itu saja.

Mereka tidak mengumumkan bot penyelamat sudah tiba di tempat kejadian sebaliknya membuka pakaian seragam dan menggantikan dengan pakaian awam untuk memudahkan mereka dipindahkan," katanya dipetik agensi berita Yonhap.

Yang berkata, 11 lagi anak kapal menghadapi tuduhan lebih ringan, termasuk mengemudi kapal secara salah, meninggalkan feri dan mengabaikan penumpang tanpa sebarang usaha menyelamatkan mereka.

Ketua syarikat pengendali feri berkenaan, Chonghaejin Marine Co dan empat lagi pegawai syarikat juga ditahan.

Sementara itu, jurucakap pengawal pantai Ko Myung-Suk berkata, lapan mayat ditemui antara kelmarin hingga semalam.


Jumlah kematian kini disahkan 284 orang manakala 20 mangsa masih belum ditemui.

Sewol membawa 476 penumpang apabila karam pada 16 April lalu dalam perjalanan ke Pulau Jeju.

Yang berkata, pada hari kejadian, kapal berkenaan membawa kargo seberat 2,142 tan - jauh menjangkaui had muatan ditetapkan iaitu 1,077 tan.

Menurutnya, ketika feri berkenaan menghampiri Selat Maenggol yang terkenal dengan arus deras, kapten feri tidak berada di anjungan, sebaliknya hanya jurumudi ditugaskan mengawal keadaan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/16

Sisi minta bantuan Amerika

Posted: 15 May 2014 10:43 AM PDT

Kaherah: Jen Abdel Fattah al-Sisi yang menggulingkan Presiden Mohamed Mursi - dan kini bersedia bertanding merebut jawatan berkenaan - semalam meminta Amerika Syarikat (AS) membantunya memerangi 'keganasan' bagi mengelak kewujudan 'Afghanistan baru' di Timur Tengah.

Dalam temu bual pertamanya dengan organisasi berita antarabangsa menjelang pilihan raya 26 dan 27 Mei ini, Abdel Fattah menggesa AS menyalurkan semula bantuan ketenteraan bernilai AS$1.3 bilion (RM4.2 bilion) yang dibekukan selepas kerajaan Mesir mula mengambil tindakan terhadap Ikhwanul Muslimin.

Dia turut menegaskan pentingnya konflik di Syria diselesaikan - kritikan secara tidak langsung terhadap tindakan AS dan Eropah menyokong pemberontak sejak tiga tahun lalu yang menggalakkan penyertaan lebih ramai pejuang jihad.

"Adakah kamu mahu melihat kewujudan Afghanistan baru?" katanya.

Sehubungan itu, ditanya mengenai pesannya untuk Presiden Barack Obama, Abdel Fattah berkata: "Kita berjuang memerangi keganasan.

"Tentera Mesir sedang melaksanakan operasi besar-besaran di Sinai untuk memastikan ia tidak menjadi pangkalan pengganas yang mampu menggugat jiran kami seterusnya menggugat kestabilan Mesir.

"Jika Mesir tidak stabil, ia mengakibatkan seluruh rantau ini menjadi tidak stabil.

Kami memerlukan sokongan AS untuk memerangi keganasan.

Kami memerlukan peralatan AS," katanya.


- Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/16

No comments:

Post a Comment