Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Nafsu tidak kenal siapa

Posted: 22 May 2014 11:23 AM PDT

New York: Siasatan aktiviti pengedaran bahan lucah membabitkan kanak-kanak bukan saja membongkar rangkaian yang meluas, malah ada antara 71 yang ditahan itu adalah individu yang tidak disangka terbabit dalam kegiatan berkenaan.

Dalam kalangan suspek, penyiasat mendapati mereka adalah pegawai polis New York, Ketua Polis Daerah Westchester, rahib Yahudi di Brooklyn, anggota paramedik dan pengasuh.


Seorang lelaki dari High Bridge, New Jersey, Lori Bauer, 38, pula ditahan kerana menghasil dan mengedarkan imej lucah membabitkan anaknya sendiri.

Pengarah Jabatan Siasatan Keselamatan Dalam Negeri New York, James Hayes Jr berkata, jumlah bahan bukti aktiviti eksploitasi seks dalam kalangan kanak-kanak di New York menunjukkan ia sudah menjadi 'wabak' di bandar raya itu.


Dalam operasi mereka, katanya, pihak berkuasa menemui ribuan imej lucah kanak-kanak disimpan di dalam komputer, telefon pintar dan bahan elektronik lain.


"Ada antara kanak-kanak terbabit baru berusia tiga tahun," katanya. Kata Hayes Jr, jenayah dilakukan suspek sangat menjijikkan dan tidak dapat diterima akal waras.

Foto

ANTARA wajah individu ditahan penyiasat di New York.

"Kami menemui puluhan ribu imej menakutkan dan kanak-kanak terbabit digambarkan dalam keadaan yang tidak sepatutnya," katanya.


Suspek terbabit, Hayes Jr, ditahan di lima lokasi berbeza di sekitar Brooklyn dan Queens.

Sementara itu, Hakim Daerah Brooklyn, Kenneth Thompson berkata, kanak-kanak terbabit adalah mangsa penderaan seksual.


"Aksi mereka dirakam untuk menjadi sebagai hiburan manusia tanpa sifat kemanusiaan," katanya.


Suspek Yuriy Eydelnant, 50, dituduh memasang kamera di dalam tandas rumahnya di Pulau Staten untuk merakamkan video ahli keluarganya seorang wanita berbogel sejak mangsa berusia 14 tahun.


Pihak berkuasa melancarkan siasatan ekoran penahanan Ketua Polis Mount Pleasant, Brian Fanelli di Valhalla, daerah Westchester 23 Januari lalu.


Kurang dua bulan selepas Fanelli ditahan atas tuduhan kegiatan pornografi kanak-kanak, seorang rahib di Brooklyn, Samuel Waldman, 52, yang bertugas sebagai tenaga pengajar pengajian Yahudi ditahan atas tuduhan memiliki bahan lucah kanak-kanak.


Siasatan yang dijalankan ke atas kedua-dua 'syaitan bertopengkan manusia' itu membongkar dalang di sebalik transaksi video dan gambar kanak-kanak melakukan seks atau dicabul oleh orang dewasa. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/23

Saman kekasih tak pulangkan DVD

Posted: 22 May 2014 11:18 AM PDT

Houston: Seorang pakar teknologi maklumat memfail saman ke atas bekas teman wanitanya kerana enggan memulangkan cakera video digital (DVD) 'Harry Potter' selepas mereka berpisah.

Robert Wallace, 32, mendakwa dia meminjamkan DVD berkenaan kepada Nomi Mims seorang penari bogel dan sebuah komputer riba ketika mereka mula berkenalan.


Selepas berpisah pada 3 Mei lalu, Wallace meminta Nomi memulangkan wang dan barangannya, namun penari bogel terbabit enggan bekerjasama.

Kecewa dengan kedegilan Nomi, Wallace memfailkan saman di mahkamah untuk mendapatkan semula 'haknya' itu.


Nomi bagaimanapun menafikan dakwaan berkenaan dan menegaskan mereka tidak pernah berpacaran.


"Kami cuma kawan biasa dan barangan berkenaan adalah hadiah yang diberikan Wallace untuk saya," katanya. Berang dengan saman dikemukakan Wallace, kini Nomi bertekad untuk melawannya di mahkamah. "Ia perkara paling mengarut peran saya dengar. "Tidakkah Wallace tahu setiap bayaran dihulur kepada penari bogel tidak boleh dipulangkan semula?" katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/23

Akhirnya, tentera

Posted: 22 May 2014 11:17 AM PDT

Bangkok: Ketua Tentera Thailand Jen Prayuth Chan-ocha berkata, langkah merampas kuasa semalam diambil sebagai memastikan keamanan kekal di negara itu.

Sejurus sebelum itu, semua tokoh utama yang terbabit dalam konflik politik di Thailand dibawa dari Kelab Tentera tempat berlangsung pertemuan membincangkan langkah mencari penyelesaian kemelut semasa ke bangunan berek di kawasan lain.


Kecuali wakil Senat dan agensi pengendali pilihan raya Thailand, semua peserta perbincangan itu dibawa menaiki van tentera dengan kawalan ketat.

Mereka ialah wakil kerajaan sementara diketuai Chaikasem Nitisiri, pemimpin Jawatankuasa Reformasi Demokratik Rakyat, Suthep Thaugsuban, wakil Barisan Bersatu Menentang Kediktatoran, Jatuporn Prompan, pemimpin Parti Pheu Thai Left Jen Viroj Pao-in dan pemimpin Parti Demokrat, Abhisit Vejjajiva. Dalam pengumuman awalnya, Prayuth berkata, tentera dan polis memutuskan untuk menguasai kerajaan bagi mengelak keganasan tercetus. "Thailand kini ditadbir Majlis Keamanan Dan Kawalan Ketenteraman Awam Kebangsaan," katanya. Sementara itu, malam tadi, agensi berita melaporkan tentera kini menggantung perlembagaan Thailand, melarang perhimpunan membabitkan lebih daripada lima orang di sebarang tempat dan semua siaran televisyen serta radio digantung.


Sebaliknya, semua siaran mesti datang daripada pihak tentera 'bagi memastikan rakyat mendapat maklumat tepat.' Tidak cukup dengan itu, tentera mengarahkan pemangku perdana menteri Niwatthamrong Boonsongphaisan dan Kabinetnya melapor diri di kawasan yang ditetapkan di Bangkok. - Agensi

Foto

PENYOKONG Baju Merah berpegangan tangan sambil berjalan di kubu penyokong kerajaan di Nakhon Pathom, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/23

Media korban pertama kudeta di Thailand

Posted: 22 May 2014 11:15 AM PDT

Bangkok: Mangsa pertama sebaik saja tentera merampas kuasa di Thailand semalam ialah media.

Seorang bekas profesor sains politik sedang membincangkan deklarasi undang-undang tentera dalam siaran langsung di televisyen ketika program itu ditamatkan dengan arahan majlis yang dibentuk menggantikan kerajaan sivil.


Pihak tentera mengharamkan media mewawancara ahli akademik dan bekas penjawat awam mengenai pendapat mereka yang boleh mencetuskan konflik.

Sejurus selepas siaran gangguan, pengacara rancangan terbabit berkata: "Kami terpaksa menamatkan perbincangan," sebelum tersenyum dan menyambung: "Kamu ada maklumat yang ingin ditambah?" Bekas rektor Universiti Ramkhamhaeng, Sukhum Nualsakul, sempat melambai di depan kamera dan berpesan: "Kita berjumpa lagi apabila keadaan reda." Keadaan yang terjadi di stesen berkenan menggambarkan hak kebebasan media mula disekat sebaik saja Panglima Tentera Jen Prayuth Chan-ocha mengumumkan kudeta.


Prayuth mendakwa tindakan itu penting bagi mengekalkan keamanan selepas hampir krisis politik berlaku selama tujuh bulan dan tiada penyelesaian dicapai. Sekurang-kurang 28 orang maut sejak November dalam ketidakstabilan politik di Thailand.


Wartawan dan kumpulan hak asasi mengkritik tentera mengatakan mereka menyasarkan media berbanding antikerajaan.

Penyokong utama kebebasan akhbar Chiranuch Premchaiporn berkata, dengan menutup mulut rakyat, tentera menyangka mereka boleh mengawal situasi.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/23

Khidmat kaunseling untuk mangsa cabul

Posted: 22 May 2014 11:15 AM PDT

Singapura: Pusat bantuan pertama untuk wanita mangsa serangan seksual akan dilancarkan di Singapura Isnin ini, kata Persatuan Wanita Untuk Tindakan Dan Penyelidikan (Aware), semalam.

Dalam kenyataannya, Aware berkata, mangsa serangan seksual seperti cabul dan rogol boleh mendapatkan khidmat kaunseling pekerja sosial pusat itu pada bila-bila masa dan tidak memerlukan temujanji awal.


Katanya, pusat bantuan itu dibuka antara jam 10 pagi hingga 7 malam. "Buat masa ini Aware memang ada menyediakan khidmat kaunseling dan nasihat undang-undang kepada mangsa serangan seksual namun mereka perlu membuat temujanji terlebih dulu. "Pusat bantuan terbaru itu nanti akan menggantikan perkhidmatan sedia ada dengan lebih baik," katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/23

Kejantanan tak diuji

Posted: 22 May 2014 11:14 AM PDT

Jakarta: Aspek 'kejantanan' atau kesihatan seksual tidak diuji pasukan doktor pakar yang memeriksa calon presiden dan naib presiden sebagai syarat melayakkan mereka bertanding.

Perkara itu dinyatakan Pengarah Hospital Tentera Darat Gatot Soebroto, Brig Jen Douglas S'Umboh ketika ditemui media semalam.


Menurut Douglas, sebanyak 14 ujian dijalankan merangkumi kecergasan fizikal, kesihatan organ dalaman seperti jantung, saluran darah, paru-paru, mata, telinga dan hidung.

Katanya, ia dibuat melalui pelbagai prosedur termasuk X-ray dan imbasan CT bagi memastikan seseorang calon benar-benar sihat dan layak bertanding dalam pemilihan Julai ini. "Namun, lain halnya jika calon itu wanita," katanya.


Menurut Douglas, pasukan perubatan akan mengambil kira kesihatan seksual jika calon yang bertanding itu wanita.


Namun, dia tidak menyatakan dengan jelas mengapa ujian sebegitu perlu diadakan.

Sementara itu, semalam, Joko Widodo (Jokowi) dan pasangannya Jusuf Kalla hadir untuk diperiksa pasukan pakar perubatan di hospital berkenaan.


Lawan mereka, Prabowo Subionto Hatta Rajasa dijadual hadir untuk menjalani prosedur sama hari ini. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/23

Janji perjuang sistem pendidikan

Posted: 22 May 2014 11:14 AM PDT

Jakarta: Gandingan Joko Widodo (Jokowi) dan Jusuf Kalla menyatakan gagasan mereka untuk menghapuskan peperiksaan kebangsaan jika mereka terpilih dalam pilihan raya presiden yang akan datang.

Menurut pasangan itu, peperiksaan berkenaan diadakan semata-mata untuk mewujudkan keseragaman dalam sistem pendidikan negara itu.


Komitmen itu dimuatkan dalam senarai visi dan misi Jokowi - Jusuf yang dihantar kepada Suruhanjaya Pilihan Raya Indonesia.

"Kami tidak akan melaksanakan sebarang model keseragaman dalam sistem pendidikan kebangsaan, termasuk peperiksaan," dokumen itu dipetik.


Selain itu, Jokowi dan Jusuf menyatakan mereka juga komited memperjuangkan pendidikan yang mampu dimiliki semua rakyat Indonesia serta insentif seperti elaun dan insurans yang sepadan bagi guru yang mengajar di kawasan pedalaman.


Melalui pembentangan misi dan visi, mereka akan berusaha membentuk sistem pendidikan dengan 70 peratus daripadanya memfokus kepada pembentukan karakter.

Manakala bagi pendidikan tinggi mereka menyasarkan 60 peratus fokus pada politeknik dan 40 peratus dalam bidang sains.


Mereka juga menjanjikan peningkatan subsidi untuk universiti tempatan bagi membuka peluang kepada golongan kurang berkemampuan melanjutkan pelajaran. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/23

Siapa bom Urumqi?

Posted: 22 May 2014 11:13 AM PDT

Beijing: Wilayah majoriti Muslim di China bergegar lagi dengan serangan bom terancang yang menyebabkan 31 maut dan 94 cedera semalam.

Dalam letupan di sebuah pasar dipenuhi orang ramai di Urumqi itu Beijing segera menuding jari menyalahkan kumpulan dilabel 'pengganas yang kejam.'

Kejadian semalam adalah antara yang paling buruk dan menunjukkan pendirian komuniti setempat menentang pemerintahan China di wilayah ramai didiami etnik Uighur.

Agensi berita Xinhua melaporkan, Presiden Xi Jinping 'berazam mengembalikan keamanan dan menghukum pengganas yang bertanggungjawab.'

Foto

KEADAAN di sekitar pasar selepas serangan bom.


Letupan berlaku kira-kira jam 7.50 pagi.


Saksi dilaporkan melihat 'dua kenderaan SUV' merempuh orang ramai sebelum bahan letupan dibaling dari dalam.

Satu daripada kenderaan berkenaan meletup di dalam pasar itu.

Saksi turut melaporkan mendengar kira-kira 12 letupan kuat.

Seorang wanita dikenali sebagai Saloshka yang berada hanya beberapa kaki dari tempat kejadian berkata di akaun Sina Weibo miliknya bahawa antara yang maut ialah warga emas.

Perkara itu juga dapat dilihat dalam gambar tempat kejadian yang menunjukkan orang ramai kebanyakannya sudah berusia lanjut diheret ke dalam ambulans atau menaiki basikal untuk mendapatkan rawatan di hospital berhampiran.

Ada juga mangsa dilihat duduk dalam keadaan terkejut sementara beberapa tempat di pasar berkenaan terbakar.

Menurut Tianshan Net, letupan berlaku di daerah Shayibake yang dikenali sebagai Saybagh dalam bahasa Ughyur.

Majoriti penduduk di kawasan itu ialah etnik Han yang tidak beragama Islam.

Sejak kebelakangan ini, Xinjiang kian dihimpit keganasan termasuk membabitkan etnik Uighur dan Han.

Profesor di Universiti Teknologi Nanyang di Singapura, Rohan Gunaratna berkata, serangan semalam membuktikan China perlu memikirkan semula caranya menangani keganasan di Xinjiang.

"Sebaiknya Beijing berusaha memenangi hati komuniti Uighur supaya mereka tidak bersimpati dengan pihak militan dan membantu kerajaan China memerangi pengganas.

"Selagi ini tidak dilakukan, serangan akan terus berlaku dan pengganas menjadi lebih berani. Setiap kali pengganas berjaya melaksanakan serangan bererti aktiviti risikan gagal dilakukan sebaiknya," katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/23

94 peratus pilih al-Sisi

Posted: 22 May 2014 11:10 AM PDT

Kaherah: Bekas ketua tentera yang mengidam menjadi Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi memperoleh 94.5 peratus daripada undian awal dijalankan di luar negara menjelang pilihan raya umum 26 Mei ini.

Abdel Fattah yang 'semakin popular' sejak menggulingkan Presiden Mohamed Mursi tahun lalu dijangka bakal memenangi jawatan berkenaan.

Ketua jawatankuasa pilihan raya Abdel Aziz Salman berkata, Abdel Fattah mendapat 296,628 undian daripada warga Mesir di 124 negara yang menunaikan tanggungjawab masing-masing antara 15 dan 19 Mei lalu.

Hanya 17,207 pengundi pesaing Abdel Fattah, Hamdeen Sabbahi.


Isnin lalu, jawatankuasa pilihan raya mengumumkan jumlah pengundi lebih banyak berbanding pilihan raya 2012 yang dimenangi Mohamed. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/23

Shebab lebar perang Somalia ke Kenya

Posted: 22 May 2014 11:09 AM PDT

Mogadishu: Kumpulan Shebab yang dikaitkan dengan al-Qaeda semalam berikrar membawa 'perjuangan' mereka ke Kenya dalam pengumuman dibuat pemimpin kanan yang turut menggesa pejuangnya bangkit menentang Nairobi.

Tentera Kenya kini bertempur dengan pasukan keselamatan kerajaan di Somalia menghadapi militan seperti Shehab.

Kumpulan terbabit dikenali dengan taktik melancarkan serangan bom dan pembunuhan bagi membalas dendam.

Ancaman terbaru Shebab ini bagaimanapun menimbulkan ketakutan baru bahawa lebih banyak serangan dirancang dilakukan di Kenya.


Pegawai kanan Shebab, Fuad Mohamed Khalaf berkata, peperangan mereka akan dibawa ke Kenya.


"Jika tentera Kenya membunuh seorang budak perempuan Somali, kami akan membunuh seorang anak perempuan di Kenya.

"Kami menggesa semua Muslim di Kenya bangkit melawan kerajaan dari dalam negara. Mereka membunuh orang kita termasuk kanak-kanak.

"Apabila askar dan kapal terbang tentera Kenya membunuh warga Somalia, Tuhan mengizinkan anda membalasnya. Kami akan memerangi orang Kenya dan membunuh mereka yang berada di negara kami. Somalia akan menjadi tempat mereka bersemadi," katanya.

Amerika Syarikat (AS) menawarkan ganjaran AS$5 juta (RM16 juta) untuk penangkapan Fuad. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/23

No comments:

Post a Comment