Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Petanda baik

Posted: 13 May 2014 12:40 PM PDT

Kuala Lumpur: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) puas hati hasil pertemuan dengan Gert Engels (gambar) semalam namun ia bukan bermakna bekas pengendali skuad kebangsaan Mozambique kelahiran Jerman itu menjadi pilihan utama.

Badan induk bola sepak tanah air itu dilihat tidak mahu mengambil langkah tergesa-gesa mencari calon ketua jurulatih Harimau Malaya apabila mahu menilai dua lagi calon luar iaitu bekas jurulatih skuad remaja Sepanyol, Luis Milla Aspas dan bekas jurulatih Jerman Rudi Voller dalam tempoh terdekat.

"Kami sudah mengadakan perbincangan dengan Engels namun belum ada keputusan lagi.

"Kami puas hati dengan perbincangan itu tapi kami mahu menemuramah dua lagi calon, Luis Milla dan seorang lagi dari Jerman," kata Naib Presiden FAM Datuk Seri Subahan Kamal.

Foto


Sebelum ini, Voller, 54, bekas penyerang legenda Jerman dikatakan berada dalam senarai 37 calon selepas FAM membuat keputusan tidak mahu menyambung kontrak Rajagobal yang berakhir pada 31 Disember lalu.


Bagaimanapun nama Voller tenggelam selepas FAM lebih berminat untuk mendapatkan khidmat bekas jurulatih skuad Piala Dunia Jepun Philippe Troussier awal tahun ini.

Bagaimanapun mereka gagal mencapai persetujuan bersama dan mendorong badan induk itu melantik jurulatih Harimau Muda A sebagai pengendali sementara skuad senior.

Subahan sebelum ini mengesahkan Engels, 57, dan bekas pemain tengah Barcelona dan Real Madrid, Aspas antara dua calon jurulatih asing yang berada dalam perhatian manakala seorang lagi masih menjadi tanda tanya.

Walaupun FAM tampak lebih berminat dengan jurulatih asing pengurus pasukan kebangsaan itu tidak menafikan Kim Swee dan pengendali Polis Diraja Malaysia (PDRM) Dollah Salleh masih mempunyai peluang untuk mengisi kerusi panas itu.

FAM dilihat terdesak untuk mencari jurulatih baru memandangkan skuad kebangsaan perlu mempersiapkan diri mengharungi Piala AFF hujung tahun ini selepas gagal mempertahankan kejuaraan 2010 pada edisi terakhir dua tahun lalu.

Namun Subahan sudah memberi jaminan FAM bakal mengumumkan pelantikan jurulatih baru awal bulan depan, selepas tamat Mesyuarat Kongres Pemilihan FAM pada 25 Mei ini tidak kira ia jurulatih tempatan atau luar.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/14

Farizal nadi Selangor pertahan gawang

Posted: 13 May 2014 12:28 PM PDT

Kuala Lumpur: Penjaga gol Selangor, Mohd Farizal Marlias menjadi aset penting kebangkitan dipamerkan Selangor pada saingan Liga Super ketika ini.

Berbaki tujuh perlawanan, Selangor menghuni kedudukan teratas dengan 31 mata dan menjadi pasukan paling sedikit dibolosi iaitu 11 gol selepas mengharungi 15 perlawanan.

Malah kemampuan penjaga gol kebangsaan itu menafikan deretan peluang diperoleh Pahang di Kuantan Sabtu lalu menyaksikan dia tidak dibolosi dalam sembilan daripada 15 perlawanan liga.

"Bukan saya seorang saja yang bekerja keras, pujian kepada rakan yang menjalankan tugas dengan baik mengikut arahan jurulatih (Mehmet Durakovic). Saya bersyukur dapat melaksanakan tanggungjawab dengan bantuan rakan lain.


"Peluang tidak datang banyak kali dan saya perlu gunakan ia sebaik mungkin. Malah saya mendapat saingan sengit di posisi ini dengan kehadiran penjaga gol berpengalaman, Mohd Hamsani Ahmad," kata pemain kelahiran Pahang itu.


Kali terakhir gawang Selangor dibolosi ketika menentang T-Team pada 8 April lalu dan empat perlawanan selepas itu menyaksikan tiada pasukan mampu menggegar gawang Merah Kuning.

Ketangkasan Farizal pasti sekali lagi ditagih apabila Merah Kuning turun menentang Sime Darby FC di Stadium Shah Alam, Sabtu ini dalam misi untuk mengukuhkan kedudukan di tangga teratas liga.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/14

Semangat 'orang lama'

Posted: 13 May 2014 12:27 PM PDT

Kuala Lumpur: Pengalaman 'orang lama' tidak boleh diketepikan walaupun Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dituntut terus melakukan pembaharuan dalam meningkatkan perkembangan bola sepak tanah air.

Atas dasar itu Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) Datuk Mokhtar Ahmad menyahut cabaran untuk bertanding sekali lagi merebut jawatan Timbalan Presiden FAM pada Mesyuarat Kongres Pemilihan FAM ke-50 pada 25 Mei ini.

Mokhtar, 70, tewas tipis dengan enam undi kepada Tan Sri Annuar Musa yang mendapat 23 undi pada pemilihan 2010 bagi merebut salah satu daripada dua kerusi timbalan presiden namun itu tidak melemahkan semangatnya yang percaya beliau masih boleh menyumbang sesuatu di peringkat kebangsaan selepas rekod cemerlang bersama Selangor.

Dengan dua penyandang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah membuat keputusan untuk mencabar jawatan presiden dan Annuar pula tidak layak bertanding kerana masih menjalani hukuman penggantungan dua tahun enam bulan, perebutan jawatan nombor dua tertinggi dalam FAM itu membabitkan saingan tiga penjuru antara Mokhtar dan dua Naib Presiden FAM Datuk Seri Subahan Kamal dan Datuk Seri Afandi Hamzah.

"Saya sedia membantu membangunkan bola sepak negara jika mendapatkan kepercayaan penuh ahli gabungan FAM.

Saya bukan jenis hipokrit.

Saya boleh ditegur, tetapi setiap kritikan itu harus membina.


Tiada asasnya jika ada pihak mencerca mana-mana individu tanpa sebarang fakta.

"Bola sepak Malaysia kini berkembang pesat.


Malah, saya yakin jika kita berganding bahu, tidak mustahil skuad kebangsaan mengembalikan reputasi selaku pasukan digeruni di Asia seperti tahun 70-an lalu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/14

Masa makin suntuk

Posted: 13 May 2014 12:26 PM PDT

Kuala Lumpur: Keinginan tinggi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mendapatkan sentuhan jurulatih asing membimbing skuad kebangsaan dengan tugasan utama Piala AFF hujung tahun ini, dilihat semakin suntuk membentuk barisan mantap menghadapi kejohanan itu.

Bekas pemain era 70-an dan 80-an, Hassan Sani berpendapat, sekiranya FAM memilih calon dalam kalangan jurulatih import berkemungkinan besar impian untuk merebut kembali Piala AFF sukar.

"Memandangkan saingan Piala AFF November ini, saya rasa tidak banyak boleh dilakukan jurulatih luar dalam tempoh lima bulan membentuk pasukan kuat.

"Sudah pasti jurulatih asing perlukan lebih banyak masa mengenali keupayaan pemain tempatan berbanding jurulatih sekarang (Datuk Ong Kim Swee) yang mengenali kelebihan dan kekurangan pemain tempatan.

Foto

HARIMAU Malaya juara AFF 2010.


"Biarlah dulu jurulatih sedia ada melatih skuad negara. Apapun terpulanglah kepada FAM buat pilihan, saya cuma berkongsi pandangan," katanya.


Kelmarin Naib Presiden FAM Datuk Seri Subahan Kamal mengesahkan bekas jurulatih skuad juara Eropah Sepanyol Bawah 21, Luis Milla Aspas dan bekas jurulatih kebangsaan Mozambique Gert Engels dikatakan antara calon baru mengisi jawatan ketua jurulatih negara selepas kontrak Datuk K Rajagopal tidak dilanjutkan Disember lalu.

Selepas rundingan mendapatkan bekas jurulatih skuad Piala Dunia Jepun Philippe Troussier menemui jalan buntu awal tahun ini, beberapa nama dikaitkan termasuklah bekas jurulatih Thailand Peter Reid, bekas pengurus Aston Villa David O'Leary, bekas pengurus AS Roma Zdenek Zeman, bekas jurulatih India Bobby Houghton dan bekas penasihat Fiorentina Fabio Lopez.

Bagaimanapun, Subahan menegaskan dua calon tempatan iaitu Datuk Ong Kim Swee dan jurulatih Polis Diraja Malaysia (PDRM) Dollah Salleh turut berada dalam senarai FAM.

Seorang lagi bekas tonggak utama negara, Bakri Ibni yang pernah menjulang nama negara menewaskan Korea Selatan 2-1 untuk layak ke Olimpik 1980 Moscow, menggesa FAM agar memilih calon tempatan berbanding calon luar.

"Saya melihat jurulatih negara juga memiliki kualiti tersendiri berbanding jurulatih luar negara. Jika fokus dan matlamat FAM pada kejohanan Piala AFF, lebih sesuai dikekalkan Kim Swee saja.

"Namun jika FAM ingin mencari jurulatih import juga, lebih baik kepakaran mereka itu diletakkan pada pasukan remaja agar kita dapat melahirkan ramai pemain muda yang benar-benar berkualiti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/14

Tak perlu rehat Chong Wei

Posted: 13 May 2014 12:19 PM PDT

Kuala Lumpur: Jurulatih perseorangan negara Rashid Sidek tidak berani mengambil risiko untuk merehatkan Datuk Lee Chong Wei dan memberi peluang kepada pemain lain memikul tugas pemain perseorangan pertama pada saingan Piala Thomas bermula 18 Mei ini di New Delhi, India.

Sebaliknya, Rashid yang turut memikul tugas ketua projek bagi saingan itu berkata, khidmat Chong Wei ditagih pada setiap perlawanan, meskipun lawan yang ditemui lebih lemah.

Rashid menegaskan, untuk apa mengambil risiko merehatkan Chong Wei sedangkan pemain nombor satu dunia itu pasti mengutip mata negara.

Tiga lagi pemain perseorangan ialah Chong Wei Feng, Liew Daren serta Goh Soon Huat.

Foto

RASHID (kanan) yakin keupayaan Chong Wei.


"Kalau kami rehatkan Chong Wei, apa jaminan pemain lain dapat berikan mata.


"Andai Chong Wei tak main, peluang kita untuk mengutip mata 50-50.

"Kalau Chong Wei diturunkan, sudah tentu peluang kita lebih cerah. Lebih baik dia main.

"Kenapa kami perlu turunkan pemain lain yang belum tentu memberi mata untuk skuad negara?," katanya ketika ditemui selepas tamat sesi latihan semalam.

Jelas Rashid, strategi menurunkan pemain hanya akan dilakukan sebelum satu-satu perlawanan dan Chong Wei sah ada.

Skuad negara diundi dalam Kumpulan C bersama Korea, Jerman dan India.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/14

Edrus terus curi tumpuan

Posted: 13 May 2014 12:17 PM PDT

Kuala Lumpur: Pelumba berbasikal negara, Mohd Edrus Yunos terus mencuri tumpuan apabila memenangi acara pecut individu pada siri kedua Kejohanan Berbasikal Grand Prix Trek Asia Tenggara di Veledrom Cheras, semalam.

Kejayaan itu meningkatkan keyakinan Edrus selepas memenangi siri pertama kejohanan berkenaan Ahad lalu menjelang cabaran lebih getir di Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) 2014 di Kazakhstan minggu depan.

Malah dia mahu melengkapkan minggu sempurna dengan melakar hatrik apabila turun pada siri ketiga bermula esok.

"Saya sedikit kepenatan hingga melakukan catatan masa kurang baik. Namun tumpuan kali ini lebih kepada taktikal bagi mencari kemenangan," katanya selepas menewaskan pelumba Racing Colomb dari Perancis, Quentin Lafargue dengan acara akhir hanya berlangsung satu pusingan berbanding dua pusingan seperti biasa kerana hujan.


Kejayaan itu menurut Edrus menambah keyakinannya untuk berusaha merebut salah satu daripada tiga tempat dalam acara pecut di ACC dengan pelumba muda negara, Muhammad Shah Firdaus Shahrom dilihat pencabar utama kerana ketua jurulatih negara John Beasley pasti memberi dua tempat kepada Azizulhasni Awang dan Josiah Ng.


"Malaysia diperuntukkan tiga tempat untuk pecut dan keirin dan kami perlu bersaing. Saya harap terpilih dalam acara pecut kerana yakin memberikan saingan," katanya yang pernah memenangi emas acara pecut berpasukan dan satu kilometer ujian masa di ACC.

Kategori wanita pula menyaksikan pelumba negara mewakili YSD Team, Fatehah Mustapa mempamerkan kebangkitan apabila muncul juara dengan menewaskan pelumba Perancis yang mewakili kelab Leclerc, Virginie Cueff.

Ia menebus kekalahan Fatehah yang terpaksa akur kepada pelumba sama pada siri pertama.

Saingan Kejohanan Berbasikal Grand Prix Trek Asia Tenggara membabitkan pelumba dari Perancis, Afrika Selatan, Uzbekistan, Brunei dan Singapura.

Ia penting buat mengutip mata untuk layak ke Piala Dunia Klasik dan medan pemanas badan di ACC.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/14

Conti tekad ledak

Posted: 13 May 2014 12:16 PM PDT

Kuantan: Kegagalan mencetak gol pada perlawanan terdahulu menyebabkan penyerang Pahang, Matias Conti berazam bertindak lebih baik pada pertemuan dengan Johor Darul Ta'zim (Johor DT) di Larkin, Jumaat ini.

Penyerang dari Argentina itu mengecewakan apabila gagal menembusi gol lawan ketika Tok Gajah tumpas 0-1 kepada Selangor dalam aksi Liga Super minggu lalu sekali gus dirampas kedudukan sebagai pendahulu liga.

"Saya harap dapat menyumbang gol kerana saingan liga semakin hampir ke penghujung dan sudah pasti semua pasukan akan berusaha untuk muncul juara.

"Kerjasama rakan juga amat ditagih terutama Dickson Nwakaeme kerana kami begitu banyak mensia-siakan peluang ketika tewas kepada Selangor dan berazam tidak akan mengulangi kesilapan itu," kata pemain berusia 24 tahun itu semalam.

Foto

CONTI (kiri) gesa rakan sepasukan tidak lepas peluang.


Conti berkata, Pahang masih berpeluang mengejar Selangor jika dapat mengembalikan semula rentak kemenangan sekalipun sedar Johor DT kebal di gelanggang sendiri.


"Apa yang diharapkan rakan sepasukan dapat mempamerkan prestasi terbaik dan tidak memberi ruang buat lawan melakukan jaringan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/14

Perak resah tanpa dua tonggak

Posted: 13 May 2014 12:15 PM PDT

Ipoh: Penjaga gol utama, Razi Effendi Suhit dan Hardi Jaafar hampir pasti tidak dapat diturunkan apabila Perak bertandang ke Kota Bharu menentang Kelantan pada Liga Super di Stadium Sultan Mohammed IV, Sabtu ini.

Dua pemain itu mengalami kecederaan lutut agak serius ketika bertemu Angkatan Tentera Malaysia (ATM) minggu lalu.

Ketua jurulatih Perak Abu Bakar Fadzim berkata, pasukan itu terpaksa menanti keputusan ujian imbasan MRI kedua-dua pemain untuk menentukan tahap kecederaan mereka.

"Memang nampak teruk.

Saya tidak fikir kedua-dua pemain itu boleh beraksi dalam perlawanan terdekat ini.

"Apapun perlu tunggu keputusan pemeriksaan, baru tahu tahap kecederaan mereka," jelasnya.

Berikutan kecederaan Razi, penjaga gol kedua Mohd Nor Haziq Aris menjadi benteng terakhir kubu Seladang pada babak kedua.

Dia yang tewas menerusi sepakan percuma Juan Manuel Arostegui dari hujung kotak penalti pada masa kecederaan dijangka terus diberi kepercayaan di benteng terakhir Perak di Kota Bharu.

Manakala penjaga gol ketiga, Hairool Fazreen Abu Hassan berpeluang buat kali pertama berada dalam senarai 18 pemain bagi menghadapi The Red Warriors.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/14

KAFA lega Tagoe boleh beraksi

Posted: 13 May 2014 12:14 PM PDT

Kota Bharu: Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) berkata Sijil Perpindahan Antarabangsa (ITC) pemain importnya Prince Tagoe dijangka diperoleh hari ini.

"Baru sebentar tadi ejen pemain itu Mohamed Mroweh mengesahkan sijil ITC milik Tagoe sudah sampai ke FAM dan lesen bermainnya akan dikeluarkan," kata Penasihat Kafa Tan Sri Annuar Musa di laman Facebooknya, semalam.

Media sebelum ini melaporkan KAFA tidak dapat menggunakan khidmat pemain Ghana itu pada pusingan kedua Liga Super selepas gagal mendapatkan ITC.

Prince Tagoe antara pemain import baru dibawa masuk KAFA selain pemain pertahanan dari Iraq, Hussein Alaa Salman yang menggantikan tempat Mohammad Ghaddar (Lubnan).


Beliau berkata, penyerang Ghana itu dijangka beraksi pada perlawanan Liga Super menentang Perak, Sabtu ini.


"Semua masalah berkaitan Tagoe sudah selesai sepenuhnya dan dia layak beraksi Sabtu ini bertemu Perak," jelas Annuar.

Pada aksi pusingan pertama Liga Super, Perak menewaskan Kelantan 2-1 di Stadium Perak, Ipoh.

Kelantan kini berada di kedudukan kelima liga selepas 15 perlawanan dengan 22 mata, sembilan mata di belakang pendahulu liga, Selangor. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/14

Irfan sandaran raih emas

Posted: 13 May 2014 12:13 PM PDT

Seremban: Atlet lempar cakera kebangsaan, Mohd Irfan Shamsuddin antara 22 atlet disenaraikan untuk menggalas cabaran skuad olahraga Negeri Sembilan pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) ke-17 di Perlis dari 24 Mei hingga 4 Jun ini.

Mohd Irfan, 18, atlet kelahiran Ampangan, Seremban, adalah atlet kebangsaan yang melakar sejarah atlet termuda menyumbang emas menerusi lempar cakera lelaki pada Sukan SEA Myanmar tahun lalu.

Pengurus M Bargavan berkata, pihaknya sudah menetapkan sasaran untuk merangkul sekurang-kurangnya lima pingat emas pada SUKMA kali ini bagi mengekalkan prestasi dicapai pada temasya sama di Kuantan dua tahun lalu.

Katanya, selain Mohd Irfan selaku sandaran utama, pingat emas juga mampu disumbang acara jalan kaki menerusi R Iswaran selain lari berhalangan yang menampilkan Ahmad Mohd Hamisan dan W Royson.

Foto

IRFAN cipta sejarah atlet termuda meraih pingat emas Sukan SEA.


"Beberapa atlet berpengalaman di pentas kebangsaan dan antarabangsa juga dijangka menyumbang pingat emas menerusi acara 800 dan 1,500 meter.


"Berdasarkan prestasi semasa, kami boleh meraih enam pingat emas, tapi tidak mahu terlalu yakin kerana cabaran pada SUKMA kali ini dijangka lebih mencabar, sasaran lima emas lebih realistik," katanya semalam.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/14

No comments:

Post a Comment