Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Pukat hanyut dicuri tengah malam

Posted: 27 May 2014 12:09 AM PDT

Alor Gajah: Sekumpulan nelayan pantai di Telok Gong, Kuala Sungai Baru di sini, kerugian kira-kira RM80,000 selepas hampir 100 pukat hanyut yang dipasang di perairan Selat Melaka hilang dipercayai dicuri, tengah malam tadi.

Penjenayah disyaki warga asing itu dipercayai mencuri peralatan menangkap ikan berkenaan pada waktu malam sebaik nelayan pulang ke darat selepas memasang pukat hanyut mereka.

Nelayan mendakwa, kejadian disedari kira-kira jam 12 tengah malam itu bukan kali pertama kerana sebelum ini mereka kerap kehilangan pukat hanyut yang dipasang.


Selain terpaksa menanggung kerugian puluhan ribu ringgit, nelayan tidak dapat turun ke laut dan terpaksa mengeluarkan modal lain untuk membeli semula pukat hanyut.


Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Mohamad Laham yang mengesahkan menerima laporan kejadian berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan berhubung perkara itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/27

Tali pinggang hinggap kepala

Posted: 26 May 2014 11:27 AM PDT

Kuala Lumpur: Seorang pengawal keselamatan menerima 12 jahitan di kepala, manakala empat lagi rakannya cedera, selepas dibelasah enam lelaki warga tempatan di sebuah pasar raya di Jalan Klang Lama, Sabtu lalu.

Dalam kejadian jam 9.30 malam itu, mangsa Kashifi Iqbali, 32, sedang bertugas di pasar raya itu sebelum didatangi suspek bersama dua lagi wanita dalam lingkungan 35 dan 40-an dikesan dalam keadaan mencurigakan menyebabkan pengawal berkenaan mengekori mereka.
Pengurus Operasi pasar raya terbabit Wong Yun Satt, 37, berkata, sebelum kejadian itu suspek membawa beberapa bungkusan makanan kering yang dicuri, namun disedari Kashifi yang menahan mereka.

Menurutnya, suspek yang tidak berpuas hati dengan soalan yang diajukan pengawal keselamatan itu menyebabkan seorang suspek melibas pengawal keselamatan berkenaan menggunakan tali pinggang di kepala.
"Beberapa pengawal keselamatan lain cuba untuk membantu rakan mereka, namun suspek sekali lagi bertindak liar membelasah mereka menyebabkan seorang pengawal keselamatan Mohamed Shah, 35, mengalami keretakan tulang di bahagian tangan.
"Dua pengawal keselamatan lain yang cedera di bahagian kaki selepas dibelasah adalah Roshan Khatri, 24, dan Aneeb Mustitiq, 25 manakala seorang lagi mangsa Faisal, 24 mengalami kecederaan di tangan," katanya.

Foto

KEPALA mangsa yang dilibas dengan tali pinggang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Muhammad Azlee Abdullah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/27

Tak serik lepas 4 kali diserbu

Posted: 26 May 2014 11:09 AM PDT

Puchong: Sebuah rumah urut di Bandar Puteri Puchong yang menyediakan perkhidmatan seks dan urut batin di dalam khemah diserbu lagi buat kali kelima petang semalam.

Kali ini, serbuan jam 4.30 petang itu dilakukan sepasukan anggota Jabatan Imigresen Negeri Selangor yang menahan lima wanita warga Thailand dan Vietnam termasuk dua wanita tempatan.


Semua wanita yang berusia antara 20 hingga 30 tahun dipercayai bekerja sebagai pelacur di premis berkenaan.

Menurut Timbalan Penolong Pengarah Operasinya Othman Montil, ketika serbuan terdapat beberapa orang pelanggan yang sedang beraksi di dalam khemah yang disediakan rumah urut itu.


"Premis itu baru memulakan operasi hariannya kira-kira jam 4 petang dan ketika diserbu ada beberapa pelanggan yang sedang 'memadu asmara' dengan pelacur yang dilanggan.


"Pemeriksaan mendapati setiap bilik dibekalkan khemah rekreasi dilengkapi tilam kepada pelanggan yang mahu mendapatkan perkhidmatan tambahan seperti urutan badan ke badan (B2B) dan seks dengan bayaran RM155," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/27

Tak sanggup anak ditebuk

Posted: 26 May 2014 11:06 AM PDT

Melaka: "Saya sudah kering air mata menangisi penderitaan ditanggung Aiman dan reda jika Allah ambil Aiman kembali kepada-Nya daripada dia terus hidup begini," rintih Siti Norhajar Suratman, 30, ibu kepada kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun Haziq Aiman Hidayat yang menderita penyakit tulang belakang dan barah saraf.

Menurutnya, anak keempat daripada enam beradik itu dikesan menghidap penyakit tulang belakang sejak lahir sebelum pihak hospital melakukan pembedahan bagi mengambil air tulang belakang. Katanya, lebih menyedihkan apabila suami Hidayat Abd Majid, 36, diberhentikan kerja sebagai pengawal keselamatan sebelum terpaksa bekerja sendiri secara sambilan dengan pendapatan RM900 sebulan untuk menyara mereka lapan beranak.


"Doktor memberitahu struktur tulang belakang Aiman mempunyai masalah sebelum pihak hospital melakukan pembedahan di kepala dan selepas itu Aiman kelihatan sihat seperti kanak-kanak lain, namun saya dan suami menyedari keadaannya semakin lemah sejak Oktober tahun lalu.

"Kami merujuk Aiman kepada Pakar Pediatrik Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk menjalani ujian lanjutan dengan harapan tiada penyakit lain menimpanya, namun telahan kami meleset apabila doktor memaklumkan dia menghidap kanser barah dan perlu melakukan pembedahan mengambil spesimen air tulang belakang sekali lagi," katanya ditemui di rumahnya di Kampung Bukit Gedung, Tanjung Kling, kelmarin.


Menurutnya, melihatkan keadaan Aiman yang terlalu lemah, dia tidak sanggup membiarkan anaknya menjalani pembedahan mengambil air tulang belakang dan terus menderita ditebuk di badan pada usia dua tahun sebelum doktor mencadangkan supaya anaknya menjalani rawatan kemoterapi pada Disember tahun lalu tetapi cuma bertahan satu jam.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/27

Ibu, anak korban api

Posted: 26 May 2014 11:05 AM PDT

Miri: "Sukar membayangkan perasaan kami ketika itu kerana saya dan orang ramai cuba untuk mengeluarkan mangsa dan bayinya yang tidak sedarkan diri itu, tetapi api marak terlalu cepat dan kami tidak dapat berbuat apa-apa untuk membantu, cuma melihat sahaja," kata Rahman Jemin, 40.

Dia antara saksi kejadian kemalangan meragut nyawa seorang ibu bersama bayinya dalam kejadian kemalangan berhampiran sebuah sekolah menengah di Jalan Bakam, di sini, semalam.

Menurutnya, ibu serta bayi itu tersepit pada kerusi memandu dan penumpang akibat kenderaan yang dinaiki remuk teruk.

"Kami sedih kerana gagal mengeluarkan mangsa yang tersepit dan tiada apa yang mampu kami lakukan ketika itu," katanya.

Foto

ANGGOTA bomba berusaha memadamkan kebakaran dua kenderaan yang terbabit kemalangan, semalam.


Dalam kejadian jam 6 pagi itu, Rohnalee Labo, 28, bersama bayinya, Adiera Al-Amir berusia lapan bulan, rentung di lokasi kejadian apabila kereta dipandu ibu malang itu bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda Nissan Navara sebelum terbakar.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/27

No comments:

Post a Comment