Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Siapa Presiden FAM?

Posted: 24 May 2014 11:59 AM PDT

Kuala Lumpur: Hari ini bakal menjadi detik penting buat bola sepak tanah air apabila barisan peneraju Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang bertanggungjawab mencorak nasib sukan nombor satu negara itu dalam tempoh empat tahun lagi akan diketahui.

Dengan taraf bola sepak negara yang dianggap masih ketinggalan sehingga sering menjadi kecaman pelbagai pihak termasuk peminat sendiri, tuntutan perubahan dalam Kongres Pemilihan FAM ke-50 hari ini cukup kuat dilaungkan.


Selepas tiga dekad Sultan Ahmad Shah tidak dicabar, akhirnya kedudukan presiden badan induk bola sepak tanah air itu menjadi tumpuan utama pada pemilihan kali ini.

Beliau akan dicabar anakandanya yang juga timbalan presiden Tengku Abdullah dan Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim.


Atas kertas ia bakal menyaksikan pertandingan tiga penjuru bagi merebut kerusi nombor satu itu namun menurut sumber dalaman FAM, Sultan Ahmad Shah akan menarik diri bagi memberi laluan kepada dua calon lain mencuba nasib.


"Sultan Ahmad Shah akan menarik diri daripada bertanding, mungkin baginda merasakan sudah tiba masanya untuk berbuat demikian selepas banyak sumbangan diberikan kepada bola sepak negara," kata sumber itu.

Foto

Pada mulanya ramai yang menjangkakan peralihan kuasa yang mudah kepada Tengku Abdullah namun sebaliknya berlaku apabila Tunku Ismail menerima pencalonan atas dorongan peminat bola sepak negara yang inginkan perubahan.


Ia sekali gus membuatkan pemilihan kali ini bertambah menarik dengan mempertemukan dua calon cukup berpengaruh.

Ada yang berpendapat Tengku Abdullah mempunyai lebih kelebihan kerana turut dikenali di peringkat antarabangsa selaku Naib Presiden Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) namun Tunku Ismail juga berkebolehan berdasarkan kejayaannya mencetuskan revolusi baru di selatan tanah air.


Namun sehebat mana sekalipun kempen yang dilancarkan semua calon termasuk bagi jawatan timbalan presiden, naib presiden dan exco lelaki dan wanita, bergantung kepada undi 39 wakil daripada 20 badan gabungan FAM hari ini.


39 wakil ini dipilih daripada setiap persatuan sendiri namun bagi penyandang jawatan dalam FAM, mereka tidak dibenarkan mewakili persatuan masing-masing untuk mengundi.


Bagi Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Selangor, Datuk Mokhtar Ahmad yang dianggap antara calon pilihan merebut salah satu daripada dua kerusi timbalan presiden yang ditawarkan, perwakilan diberikan tanggungjawab untuk membuat pilihan dan keputusan itu perlu dihormati semua pihak.


"Saya fikir semua perwakilan sudah menilai calon masing-masing siapa yang layak ataupun tidak, kita kena hormati keputusan mereka. Tidak kira orang lama atau orang baru selagi mereka boleh menyumbang dan berkelayakan mereka seharusnya diberikan peluang," katanya yang bakal bersaing dengan dua naib presiden Datuk Seri Afandi Hamzah dan Datuk Seri Subahan Kamal.


Sementara itu dalam perebutan empat jawatan naib presiden menyaksikan lapan pencalonan selepas keempat-empat penyandang tidak bertanding mempertahankan jawatan masing-masing.


Dan buat kali pertama FAM mempertandingkan jawatan Exco Wanita yang bakal ditandingi 9 calon untuk merebut dua jawatan manakala 21 calon akan bersaing untuk mendapat salah satu daripada lapan tempat bagi Exco lelaki.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/25

Tagih tuah tuan rumah

Posted: 24 May 2014 11:37 AM PDT

Sao Paolo: Legenda Brazil, Ronaldo percaya kepada tuah tuan rumah di laman sendiri dan menjuarai kejohanan itu buat kali keenam bulan depan.

Brazil akan menganjurkan Piala Dunia pada Jun dan Julai buat kali pertama sejak 1950 dan menjadi pilihan untuk menjulang trofi berkenaan di Stadium Maracana pada 13 Julai.


Bekas penyerang Barcelona, Real Madrid dan Inter Milan yakin Brazil mampu menjuarai kejohanan itu dengan Jerman selaku pilihan kedua diikuti Argentina dan Sepanyol.

Brazil kini di tahap terbaik dan memenangi 13 daripada 14 perlawanan terakhir, termasuk lima perlawanan yang membolehkan mereka menjuarai Piala Konfederasi tahun lalu.


Bagaimanapun tiada pasukan yang pernah menjuarai Piala Dunia setahun selepas menjulang piala Konfederasi selain wujudnya tekanan setempat. Peminat tempatan terdesak mahukan kemenangan di laman sendiri dan hanya enam pemain dalam skuad Luiz Felipe Scolari beraksi di Piala Dunia sebelum ini.


Ronaldo, 37, berkata pemain cukup berpengalaman menghadapi kejohanan besar itu dan akan dibimbing sebaiknya oleh Scolari, yang menyumbang kemenangan terakhir mereka pada 2002 dengan bantuan dua gol Ronaldo di perlawanan akhir.

Perlawanan pertama menentang Croatia pada 12 Jun, katanya akan menentukan rentak kejohanan itu.


"Perlawanan pertama di Piala Dunia, di Brazil, perlawanan pertama untuk ramai pemain pastinya amat penting dan ia akan menentukan masa depan pasukan," katanya.

"Kita melihat pemain yang berusia 20 tahun dan beraksi dengan kelab ternama mahupun pasukan kebangsaan untuk setahun dua jadi saya tidak fikir kekurangan pengalaman mereka akan menentukan keputusan akhir." Ronaldo beraksi di empat edisi Piala Dunia dan menjuarainya pada 1994 dan 2002. Biarpun dia memegang rekod jaringan terbanyak dalam Piala Dunia, pemain Jerman, Miroslav Klose mampu mengatasinya jika dia menjaringkan dua gol tahun ini.


Ronaldo berseloroh dia hanya memberikan peluang kepada Klose untuk mengambil masa memecahkan rekod 15 gol miliknya tetapi andai penyerang Lazio itu mampu menyamai atau memecahkan rekod itu, dia berhak menerima pujian.


"Jika dia menjaringkan lebih banyak gol, sudah tentu pujian akan diberikan kepadanya," kata Ronaldo. "Saya tidak akan mencemuhnya, rekod itu sendiri dicipta untuk dipecahkan, ada orang yang akan memecahkannya, saya tidak berangan-angan ia akan kekal selama-lamanya." - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/25

Del Bosque bimbang kecergasan La Roja

Posted: 24 May 2014 11:37 AM PDT

Madrid: Jurulatih Sepanyol, Vicente del Bosque bimbang saingan liga bola sepak yang berpanjangan mula memberi kesan terhadap fizikal pemainnya tetapi percaya masa masih mencukupi untuk pasukan kembali cergas sebelum bermulanya Piala Dunia bulan depan.

Kebanyakan daripada anggota skuad juara dunia dan Eropah itu datang dari Barcelona, Real Madrid dan Atletico Madrid dan ketiga-tiga kelab itu bersaing hebat untuk merebut gelaran La Liga yang hanya akan ditentukan pada hari terakhir. Real dan Atletico turut bertarung pada final Liga Juara-Juara dan Del Bosque berpendapat semua itu ada baik dan buruknya.


"Ada kebimbangan terhadap keadaan pemain, bagaimana kecergasan mereka," kata Del Bosque.

"Satu pertiga daripada pemain skuad ini akan beraksi di final Liga Juara-Juara.


"Siapa yang bermain nanti pastinya amat penting. Mungkin kita akan kehilangan sesuatu dan digantikan dengan yang lain pula." Del Bosque bakal mengumumkan skuad Piala Dunia hari ini dan beberapa pemain akan bertemu di Madrid pada 26 Mei sebelum disertai pemain yang beraksi di final Liga Juara-Juara pada 2 Jun ini.


"Saya tidak minat kem latihan yang panjang dan saya rasa kita cukup masa untuk persediaan ke Piala Dunia dengan cara terbaik," kata Del Bosque.

Sepanyol diletakkan dalam Kumpulan B dengan Belanda, Chile dan Australia dan beraksi dalam perlawanan pembukaan menentang Belanda pada 13 Jun, mengulangi final 2010. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/25

Berubat di Qatar

Posted: 24 May 2014 11:36 AM PDT

Doha: Yaya Toure berada di Qatar untuk menerima rawatan kecederaan sebelum menyertai skuad Ivory Coast pada sesi latihan pra Piala Dunia di Amerika Syarikat (AS), menurut Persekutuan Bola Sepak Ivory, semalam.

Dia salah seorang daripada 28 pemain disenaraikan dalam skuad awal kendalian Sabri Lamouchi yang terlepas mengikuti latihan persiapan di Dallas.


Pemain tengah itu hanya akan terbang ke AS minggu depan untuk menyertai rakan sepasukannya, menurut persekutuan itu dalam kenyataan terbabit.

Hospital Ortopedik dan Perubatan Sukan Aspetar di Doha mengesahkan rawatan dijalani Pemain Terbaik Afrika itu dianggap sebagai 'kecederaan kecil'.


Toure mengalami kecederaan paha pada pertengahan April tetapi kembali beraksi selepas dua minggu untuk membantu Manchester City mengesahkan gelaran Liga Perdana Inggeris. Pada hari terakhir pada 11 Mei lalu dia dikeluarkan pada babak kedua selepas dilaporkan mengalami kecederaan hamstring ketika City menewaskan West Ham.


Persiapan Toure untuk Piala Dunia di Brazil dibayangi kritikan daripada ejennya, Dimitri Seluk yang mengatakan pemain itu kecewa dengan City selepas tidak meraikan hari jadinya dan mengugut meninggalkan juara EPL itu.

Skuad Ivory akan beraksi pada dua perlawanan persahabatan di AS menentang Bosnia di St Louis pada 30 Mei dan El Salvador di Dallas pada 4 Jun. Mereka akan tiba di Brazil pada 6 Jun.


Ivory Coast diundi dalam Kumpulan C bersama Colombia, Greece dan Jepun. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/25

Okazaki ada ramuan cipta gol

Posted: 24 May 2014 11:36 AM PDT

Tokyo: Jentera penjaring gol Jepun, Shinji Okazaki percaya sudah mendapatkan rahsia mencipta jaringan menjelang Piala Dunia di Brazil.

Penyerang Mainz itu meledak 15 gol untuk mencipta penanda aras baru pemain Jepun di Eropah dan Okazaki sedia meneruskan prestasi hebatnya di Brazil mengatasi kekecewaannya diketepikan pada Piala Dunia Afrika Selatan empat tahun lalu.


"Saya bukan sasaran utama," kata pemain berusia 28 tahun itu sewaktu sesi latihan pra Piala Dunia skuad Jepun di Kagoshima.

"Saya tidak menguasai bola atau bermain dengan pintu gol berada di belakang saya. Saya menjaringkan gol dengan melepasi benteng pertahanan dan perangkap ofsaid." Okazaki, menjaringkan 38 gol dalam 73 penampilan untuk juara Asia itu, yakin hanya perlu mengekalkan kemahiran sedia ada.


"Saya dapati segala-galanya akan lebih berkesan sekiranya beraksi dengan kelebihan yang saya ada.


"Saya tidak lihat peningkatan saya pada mana-mana musim saingan. Saya cuma pastikan bermain sehabis baik setiap musim sehingga berjaya menjaringkan 15 gol," katanya.

Salah seorang pemain pilihan jurulatih, Alberto Zaccheroni, bekas pemain VfB Stuttgart itu hampir pasti berada dalam kesebelasan utama Jepun pada perlawanan pembukaan menentang Ivory Coast pada 14 Jun di Recife.


Bagaimanapun pemain berusia 28 tahun itu tidak mahu memandang mudah setiap perlawanan dengan sasaran mara ke suku akhir.

"Sudah tentu apa yang kami bina sejak empat tahun lalu berbeza dengan cerita baru yang bakal kami hadapi dalam masa tiga minggu lagi," katanya.


Jepun juga akan berdepan Colombia dan Greece dalam saingan Kumpulan C. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/25

Dulu gangsa kini emas

Posted: 24 May 2014 11:34 AM PDT

Arau: "Memang impian saya ke sini untuk membawa pulang emas dan saya gembira ia menjadi kenyataan.

"Selepas melihat aksi semua peserta, keyakinan saya semakin bertambah dan mujur dapat menumpukan sepenuh perhatian sekali gus memikat juri," kata pemenang emas pertama SUKMA, Hoe Thomson (gambar kanan), 21.


Dua tahun lalu iaitu ketika temasya sama dilangsungkan di Pahang, Hoe memenangi gangsa acara Karate lelaki dan kali ini, dia membawa pulang emas menerusi acara kegemarannya itu.

Hoe yang mula terbabit dengan Karate sejak berusia sembilan tahun berkata, dia mahu membawa cabaran negara pada peringkat lebih tinggi pada masa depan memandangkan dia tidak lagi layak untuk beraksi di SUKMA kerana faktor usia.


"Sebab itulah saya sangat gembira pada temasya kali ini kerana memperoleh emas pada edisi terakhir saya ini," katanya.


Sementara itu, kem Pulau Pinang beroleh kegembiraan berganda apabila kecemerlangan Hoe diteruskan oleh Celine Lee Xin Yi dalam acara Kata individu wanita.

Sama seperti Hoe, SUKMA Perlis adalah yang terakhir buat Celine selepas menyertai sukan terbesar negara itu, dua tahun lalu.


"Ini adalah emas individu pertama saya. Di Kuantan dua tahun lalu, saya turut menang emas tapi ia menerusi acara berpasukan.

"Saya tidak lagi boleh menyertai SUKMA pada edisi akan datang kerana sudah lebih umur. Justeru, saya gembira dapat menutup kempen saya dengan kejayaan," katanya.


Bagi acara Kumite individu lelaki, atlet Perak, R Wugindran memenangi emas diikuti S Dineswaran (Melaka) dan Jonathan Chin Yong Liang (Pulau Pinang) serta N Subahnesan (Selangor) yang masing-masing memenangi perak dan gangsa.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/25

Sabah terkulai

Posted: 24 May 2014 11:34 AM PDT

Arau: Pasukan Perlis menewaskan juara bertahan acara bola sepak SUKMA, Sabah 3-0 di Stadium Kompleks Sukan Tuanku Syed Faizuddin Putra, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Perlis, semalam.

Gol-gol tuan rumah dijaringkan hasil sepakan penalti Mohd Shukor Azmi dan dua gol Wan Zulhilmi Wan Mustaffa.


Kapten Sabah Rawilson Batuil dibuang padang m-69 selepas dilayangkan kad kuning kedua gara-gara mengasari penyerang Perlis, Mohd Shukor Azmi.

Sementara itu, Pahang tumpas 1-3 kepada Sarawak, Negeri Sembilan menang 3-1 ke atas Kelantan 3-1.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/25

'Masalah sama berulang'

Posted: 24 May 2014 11:33 AM PDT

TEMASYA sukan terbesar negara, Sukan Malaysia (SUKMA) kembali menggegar dan kali ini Perlis Indera Kayangan diberikan penghormatan menjadi tuan rumah edisi ke-17 yang membuka tirainya kelmarin hingga 4 Jun.

Pastinya masing-masing tidak sabar mahu menghulur saingan kerana difahamkan, hampir sebahagian besar atlet bertanding dijanjikan pelbagai insentif lumayan andai berjaya membawa pulang pingat dari temasya itu nanti.


Begitupun, bukan soal imbuhan mahu dibicarakan sebaliknya adakah Perlis mampu menzahirkan impian mahu muncul antara tuan rumah terbaik temasya walaupun ini kali pertama mereka diberikan hak sebagai penganjur.

Perlis negeri paling kecil di Malaysia dan jajahan mereka meliputi jarak 821 kilometer persegi dengan kepadatan penduduk seramai 227,025 (setakat 2010).


Berdasarkan fakta itu, wujud persoalan sama ada mampukah negeri ini menganjur temasya sukan paling besar di Malaysia? Jawapannya pastilah tidak mustahil kerana jika semua pihak dan kerja-kerja persiapan berjalan seiring dengan perancangan, sudah tentu tidak ada masalah.


Begitupun, kelewatan menyiapkan beberapa venue terutamanya pusat akuatik menimbulkan keraguan awal kemampuan tuan rumah.

Kunjungan Menteri Besar Azlan Man ke Balai Berita baru-baru ini seakan memberi semangat bahawa tidak akan ada venue yang terlewat daripada tarikh akhir dan itulah juga diharapkan semua.


Bukan menghairankan andai masalah sebegitu timbul pada penganjuran seperti SUKMA kerana sepanjang berkhidmat di Pahang pada 2011 hingga 2013, saya melihat sendiri betapa negeri terbesar di Semenanjung Malaysia itu turut berdepan masalah sama.

Ironinya, masalah kelewatan kerja-kerja menyiapkan venue tertumpu pada acara sama - akuatik.


Justeru, Perlis tidak perlu berasa rendah diri dengan masalah kelewatan pembinaan pusat akuatik sebaliknya mereka perlu memastikan impian untuk menjadi antara tuan rumah terbaik, dapat direalisasikan.


Bagi semua atlet, bertandinglah dengan penuh semangat kesukanan kerana anda adalah pelapis negara dan di bahu anda terpikul harapan warga Malaysia mengharumkan nama negara satu hari nanti.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/25

Peluang terakhir Chong Wei

Posted: 24 May 2014 11:31 AM PDT

New Delhi: Hari ini menjadi satu-satunya harapan untuk Datuk Lee Chong Wei memenuhi impiannya menjulang Piala Thomas sekali gus hampir melengkapkan semua koleksi kejuaraan kecuali pingat emas Sukan Asia, Olimpik serta Kejohanan Dunia.

Ini kerana, pemain nombor satu dunia itu pernah menyatakan pendiriannya untuk tidak lagi membuat penampilan pada saingan Piala Thomas akan datang.


Justeru, cukup layak untuk Chong Wei menghadirkan kemenangan pertama negara ketika bertemu Jepun hari ini sekali gus membuka harapan kepada Malaysia menamatkan kemarau 22 tahun untuk menjulang piala berprestij itu.

"Kita tidak pernah menang selama 22 tahun dan saya akui kami memang mahu memenangi Piala Thomas kali ini.


"Tapi seboleh-bolehnya jangan terlalu fikirkan ke arah itu sangat. Kita lalui satu persatu perlawanan terlebih dulu," katanya.


Jelas Chong Wei, adalah satu penipuan sekiranya dia sendiri tidak berasa tertekan beraksi di pentas final Piala Thomas, satu pengalaman pertama kali juga untuk dirinya sendiri.

"Sebelum hadir ke sini, orang ramai tidak meletakkan harapan yang tinggi kepada kami semua. Malah saya sendiri tak percaya sampai ke tahap sekarang.


"Saya harap rakyat Malaysia terus memberi sokongan kepada kami. Doakan kami menang dan bawa pulang Piala Thomas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/25

RTM tidak tayang perlawanan akhir

Posted: 24 May 2014 11:30 AM PDT

Kuala Lumpur: Tindakan RTM tidak menyiarkan siaran langsung perlawanan akhir Piala Thomas di New Delhi bagaikan menyekat minat peminat sukan, khususnya golongan muda untuk terus mendekati sukan berkenaan.

Sewaktu keghairahan peminat sukan seluruh negara mahu melihat kemarau 22 tahun Piala Thomas selepas menjuarainya pada 1992, ketiadaan siaran langsung di rangkaian televisyen percuma hanya membolehkan mereka yang melanggan siaran berbayar berpeluang menikmatinya.


Pengkritik sukan negara Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim berpendapat, sudah pasti acara sepenting itu diberi liputan meluas memandangkan ramai yang berminat mendapatkan perkembangan terkini mengenainya.

"Saya masih ingat lagi, sewaktu di sekolah dahulu Radio Malaya ada menyiarkan siaran langsung Piala Thomas pada 1952, yang ketika itu diadakan di Singapura," kata beliau.


"Pada waktu itu, ramai orang di Tanah Melayu membeli radio kerana ingin mengikuti perkembangan terkini." Justeru menurut beliau, siaran berkenaan sepatutnya diberi liputan lebih meluas demi menarik minat golongan muda terhadap badminton, apatah lagi sukan berkenaan menjadi kekuatan Malaysia sejak sekian lama.


Terdahulu, Menteri Komunikasi Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek memberitahu RTM tidak menyiarkan siaran langsung perlawanan akhir Piala Thomas antara pasukan negara dan Jepun hari ini kerana hak penyiaran milik stesen televisyen swasta serta kos tinggi untuk menyiarkan siaran langsung di televisyen.

Begitupun, Kay Kim turut optimis mengenai peluang Malaysia untuk bergelar juara Piala Thomas berikutan kekalahan China dan Indonesia dalam kejohanan berprestij itu.


"Saya tidak nampak sebab mengapa Malaysia tidak boleh mengalahkan Jepun. Biarpun Jepun dulu dilihat tidak penting tetapi disebabkan kejayaan mereka menewaskan China, kita perlu memandang serius ancaman mereka."

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/25

No comments:

Post a Comment