Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


'Padam' janji Tunku Ismail

Posted: 26 May 2014 10:30 AM PDT

Kuala Lumpur: Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah (gambar) harus mencari pendekatan terbaik untuk 'memadam janji' disuarakan Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim, baru-baru ini.

Pemerhati sukan negara, Datuk Wira Mazlan Ahmad berkata, beliau melihat janji disuarakan Tunku Ismail sebelum pemilihan pucuk pimpinan FAM kelmarin sebagai tekanan kepada barisan kepimpinan baru badan induk itu yang mendapat mandat menerusi Kongres FAM Ke-50 kelmarin.

"Ada dua atau tiga cadangan dilontarkan seperti ahli gabungan mendapat peruntukan RM2 hingga RM3 juta. Itu tekanan kepada Tengku Abdullah kerana beliau perlu memberi reaksi terhadap cadangan Tunku Ismail itu.

"Usul itu menarik kerana kebanyakan ahli gabungan kini mengeluh dengan kedudukan kewangan masing-masing berdasarkan bantuan semasa diberikan FAM.

Foto
Foto

LAPORAN Harian Metro 20 Mei lalu.


"Apa akan dilakukan Tengku Abdullah untuk menangani masalah itu serta perkara baru yang ingin dilaksanakannya? Tengku Abdullah perlu melakukan perubahan kerana Tunku Ismail menjanjikan perubahan sekiranya terpilih.


"Jika Tengku Abdullah tidak melakukan perubahan, besar kemungkinan pucuk pimpinan akan berubah sekali lagi (pada 2018)," kata bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) itu yang pernah menganggotai beberapa jawatankuasa dalam FAM.

Tengku Abdullah terpilih menerajui kepimpinan FAM bagi penggal 2014-2018 apabila menewaskan Tunku Ismail dalam persaingan satu lawan satu dengan pengundian terpaksa dijalankan dua pusingan selepas Presiden Konfederasi Hoki Malaysia itu gagal mendapat majoriti 2/3 daripada 39 perwakilan yang mewakili 20 ahli gabungan pada pusingan pertama.

Ditanya mengenai prospek untuk kepimpinan diterajui Tengku Abdullah bekerjasama dengan Tunku Ismail, Mazlan tidak menolaknya dengan melihat peranan penting perlu diberikan kepada calon presiden yang tewas itu.

"Untuk seseorang bertanding bagi jawatan presiden, kerjasama yang mahu dijalankan perlu cukup bermakna. Beliau akan memberi sokongan namun bagaimana caranya untuk meminta beliau memainkan peranan.

"Pada saya peranan penting yang perlu diberikan kepadanya harus lebih daripada sekadar menjadi pengurus skuad negara," katanya.

Barisan kepimpinan baru FAM berdepan cabaran besar untuk memenuhi tuntutan peminat yang mahukan perubahan apabila Tengku Abdullah mengambil alih pucuk pimpinan FAM menggantikan ayahandanya, Sultan Ahmad Shah selepas 30 tahun menjadi Presiden.

"Bagi saya cabaran paling besar adalah menstabilkan ahli gabungan di peringkat negara dalam pelbagai aspek termasuk kewangan.

"FAM tidak perlu bersusah payah dan menanggung beban sekiranya mempunyai ahli gabungan yang kuat.

"Bagi peminat pula, mereka merungut mengenai skuad kebangsaan yang tidak cemerlang seperti diharapkan. Orang akan gembira jika sebaliknya berlaku," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/27

Sevilla bukan tandingan

Posted: 26 May 2014 10:24 AM PDT

Kuala Lumpur: Pendahulu Liga Super, Selangor mempamerkan semangat juang tinggi walaupun tewas 0-2 kepada juara Liga Europa, Sevilla FC dalam aksi persahabatan di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Tampil tanpa kekuatan sebenar pada awal perlawanan dengan merehatkan beberapa tonggak, Selangor akhirnya dibolosi pada minit ke-30 menerusi percubaan dari luar kotak penalti, Piotr Trochowski untuk menyentap kira-kira 50,000 penyokong Merah Kuning.

Pemain tengah dari Jerman itu melepaskan rembatan kencang untuk menewaskan Mohd Hamsani Ahmad yang sekadar mampu melihat gawangnya digegar lawan.

Belum sempat anak buah Mehmet Durakovic mempamerkan kebangkitan, lawan yang kini dalam jelajah Asia menambah gol kedua menerusi Diogo Gomes pada masa kecederaan separuh masa pertama.

Foto

PEMAIN Selangor, Mohd Fitri Shazwan (tengah) diasak dua pemain Sevilla di Stadium Shah Alam, malam tadi.


Bagaimanapun baki 45 minit kedua jelas milik Merah Kuning yang memasukkan beberapa pemain utama seperti Andik Vermansah, Mohd Farizal Marlias dan S Veenod untuk memburu gol pembukaan.


Beberapa peluang terhidang buat pemain sayap dari Indonesia, Andik yang kerap menggunakan kepantasannya memperdayakan pemain lawan namun sentuhan penyudah masih belum mampu menembusi gawang kelab La Liga itu yang dikawal Javi Varas.

Peluangnya pada minit ke-68 selepas mendapat hantaran Veenod tidak menepati sasaran disusuli sepakan percuma pada minit ke-75 ditolak keluar Varas yang sudah bersedia.

Peluang terakhir Selangor hadir menerusi A Thamil Arasu namun rembatannya melambung tinggi.

Sevilla FC pada Khamis lalu menewaskan kelab Indonesia, Pelita Bandung 4-0.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/27

Sekat hajat Johor DT: Razman

Posted: 26 May 2014 10:23 AM PDT

Kuantan: Kapten Pahang, Mohd Razman Roslan mahu rakan sepasukan beraksi pada tahap terbaik bagi memastikan Tok Gajah layak ke final Piala FA musim ini, apabila melayan kunjungan Johor Darul Ta'zim (Johor DT) di Stadium Darul Makmur, Jumaat ini.

Pemain pertahanan itu berkata, terikat 1-1 pada separuh akhir pertama diharap memberikan kelebihan kepada Pahang untuk menebus kehampaan selepas dikecewakan lawan sama, musim lalu.

"Sebenarnya saya sangat kecewa apabila tidak dapat beraksi disebabkan kad merah ketika bertemu Terengganu Sabtu lalu.

Justeru, saya harap rakan sepasukan mampu menang perlawanan itu.

"Saya tidak sangka tidak dapat membantu akibat penggantungan, tapi saya percaya semua pemain mampu membawa Pahang ke pentas final," katanya, semalam.

Pada aksi separuh akhir kedua piala itu, selain Razman yang tidak dapat beraksi, dua lagi pemain Azidan Sarudin dan Mohd Saiful Nizam Mohd Miswan turut menerima nasib sama.

Azidan dan Saiful Nizam tidak dapat diturunkan pengendali Zainal Abidin Hassan disebabkan penggantungan kad kuning.

Apa yang pasti, Zainal Abidin perlu menyenaraikan kesebelasan terbaik mereka ketika tahap kecergasan penyerang berbisanya, Dickson Nwakaeme belum mencapai tahap 100 peratus.

Pada masa sama, kemenangan saja akan menebus kembali kekalahan kepada Johor DT musim lalu.

Bagi Razman, kesebelasan yang disenaraikan jurulatih diharap mempamerkan prestasi terbaik untuk mencapai misi layak ke pentas final.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/27

Tagih aksi Tagoe

Posted: 26 May 2014 10:22 AM PDT

Kota Bharu: Kelibat Prince Tagoe beraksi dalam saingan Liga Super masih dinantikan penyokong Kelantan terutama selepas penyerang import dari Ghana itu memperoleh Sijil Perpindahan Antarabangsa (ITC), sejak 16 Mei lalu.

Tindakan jurulatih George Boateng tidak menurunkan pemain yang pernah beraksi ketika kempen Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan, dalam dua perlawanan terdahulu juga membangkitkan kekecewaan penyokong.

Presiden Kelab Penyokong The Red Warriors (TRW) Kota Bharu, Mohd Zaini Mohd Zain berkata, sehingga kini, mereka masih menunggu kemunculan pertama Tagoe yang diyakini mampu membawa pasukan ke tahap lebih baik.

"Kami mengharapkan kemunculan pemain terbabit semasa perlawanan menentang T-Team lalu, namun masih belum menjadi kenyataan.

Ketika menentang Perak, dia juga tidak diturunkan.

"Ini yang menjadi persoalan kepada penyokong mengenai status sebenar pemain itu, sama ada sudah pulih atau sebaliknya.

"Jika masih cedera, kita harap KAFA (Persatuan Bolasepak Kelantan) membuat pemilihan bijak dalam mengambil pemain import baru pada sesi akan datang supaya ia benar-benar memanfaatkan pasukan," katanya semalam.

Bagaimanapun, Mohd Zaini mengakui aksi Tagoe tetap ditunggu dan berharap pemain itu akan tersenarai dalam kesebelasan utama pada aksi separuh akhir kedua Piala FA menentang FELDA United FC pada 31 Mei ini.

Kelantan seri 3-3 ketika aksi separuh akhir pertama menentang di Stadium Sultan Mohammad IV lalu dan mungkin menempuh laluan sukar jika jentera serangannya masih tumpul.

"Kami berharap Tagoe dapat mengatasi masalah ini dan membantu Kelantan ke perlawanan akhir," katanya.

Dalam masa sama, Mohd Zaini turut mengucapkan tahniah kepada barisan kepimpinan baru Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang memenangi pemilihan Kongres Ke-50, kelmarin.

"Kami penyokong peralihan barisan pimpinan ini membawa perubahan dan kemajuan kepada bola sepak di negara ini.

"Kami penyokong tidak mahu prestasi bola sepak di negara ini berada pada prestasi lampau kerana ia sukan nombor satu yang menjadi tumpuan ramai," katanya.

Foto

TAGOE (kiri) masih belum diturunkan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/27

Aksi langkau ramalan

Posted: 26 May 2014 10:20 AM PDT

New Delhi: Seluruh Malaysia ketika ini pasti bercerita mengenai kegagalan skuad negara membawa pulang Piala Thomas sekali gus gagal menamatkan penantian selama 22 tahun.

Namun sedar atau tidak, skuad yang berjuang hingga ke tahap maksimum kelmarin, jarang sekali mendapat perhatian sebelum berlepas ke India dengan rata-rata memperlekeh dan melabel skuad kali ini sebagai antara yang paling lemah sepanjang penyertaan di Piala Thomas.

Malah ada yang ketawa sinis apabila skuad negara diletakkan sasaran untuk mara ke separuh akhir, sesuatu yang dilihat mungkin terlalu sukar untuk mencapainya.

Bagaimanapun dari sehari ke sehari, skuad diketuai Rashid Sidek selaku ketua projek itu seolah-olah mahu membuktikan semua telahan ramai itu silap apabila menunjukkan semangat tinggi dengan menewaskan pasukan pilihan seperti Korea Selatan, Denmark serta Indonesia dalam laluan mereka ke final.

Foto

SKUAD Piala Thomas dan Uber negara ceria selepas tiba di Kuala Lumpur, semalam.


Rashid yang juga jurulatih perseorangan negara memang tidak dapat menyembunyikan perasaan kecewanya, tetapi beliau juga mengingatkan kembali pencapaian melangkah ke pentas final adalah di luar jangkaan mereka juga.


Beliau juga bersikap realistik apabila ditanya adakah skuad negara mampu melangkah ke final dalam tempoh dua tahun akan datang.

"Kita berjaya melangkah ke final dan ini memang satu bonus bagi kami.

"Lagi dua tahun, saya rasa agak sukar bagi kita sebab jika tanpa (Datuk) Lee Chong Wei, pasukan kami tidak sekuat seperti sekarang.

"Tambahan pula pasukan lain seperti Indonesia, China dan kini Jepun sedang meningkat naik. Jika anda tanya saya adakah kita mampu meraih pencapaian sama dua tahun lagi, memang susah saya nak cakap.

"Yang penting kami perlu bekerja lebih keras," katanya.

Apapun, secara keseluruhan, Rashid tetap gembira dengan pencapaian skuad negara pada edisi Piala Thomas kali ini selepas tidak diletakkan sebarang harapan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/27

Izuan tak 'khianati' negara

Posted: 26 May 2014 10:19 AM PDT

Kuala Lumpur: Kegagalan pasukan badminton negara menamatkan penantian 22 tahun untuk menjulang Piala Thomas cukup mengecewakan, namun Malaysia masih boleh berbangga dengan sumbangan anak watan yang membantu Jepun menjulang trofi berprestij itu buat kali pertama.

Biarpun ramai tidak menyedarinya, tetapi sumbangan Izuan Ibrahim 'membantu' Jepun menewaskan Malaysia di pentas final malam kelmarin cukup membanggakan.

Izuan yang pernah menjadi jurulatih kelab profesional Nusa Mahsuri, sebelum ini melatih dan mendidik bakat pemain perseorangan kedua Jepun, Kenton Momota yang menewaskan Chong Wei Feng 21-15, 21-17 sekali gus mencetuskan tekanan kepada kem negara kerana ketinggalan 2-1 ketika itu.

Bekas guru kelahiran Kelantan itu mula berkelana ke Jepun pada 2011 selepas mendapat tawaran melatih pemain Persatuan Badminton Ehime menerusi kelab Nusa Mahsuri dan seterusnya skuad kebangsaan negara Matahari Terbit itu sehingga 2012 sebelum kembali memberi tumpuan kepada program pembangunan di wilayah Ehime.

"Apalah sangat sumbangan saya.

Saya hanya menjaga Momota pada 2011.

Memang corak permainan Momota (ketika menewaskan Wei Feng) begitu.

Foto

IZUAN (kanan) didik Momota sejak 2011.


Dia bijak menarik lawan mengikut rentak permainannya dan setiap pukulannya juga berkualiti tinggi.


Dia akan mencari ruang yang menyukarkan lawan membuat pukulan balas.

Bukannya Wei Feng tidak bagus, tapi Momota lebih bijak mengubah rentak Wei Feng," katanya.

Momota muncul juara remaja dunia pada edisi 2012 selepas meraih tempat ketiga setahun sebelum itu.

Menerusi tulisannya di akaun facebook miliknya kelmarin, Izuan berkata: "Orang asyik bertanya, pasukan mana yang saya akan sokong.

Jika saya masih jurulatih kebangsaan Jepun dan Momota masih di bawah pengawasan saya, sudah tentu saya 100 peratus menyokong Jepun.

"Tapi, saya akan berdoa untuk Malaysia, negara di mana saya dilahirkan.

Memenangi Piala Thomas tahun ini tidak bermakna saya akan mengkhianati negara saya.

"Jepun mengupah saya dan mahu saya meningkatkan permainan pemain mereka.

Mereka tidak membayar saya untuk mengubah taraf kewarganegaraan.

Saya masih rakyat Malaysia, menggunakan pasport Malaysia.

Selamat berjaya Malaysia." Malah Izuan yang mula menyertai Nusa Mahsuri pada 2002 turut menuntut ilmu untuk menjadi jurulatih pada 2008 menerusi Datuk Misbun Sidek.

Ditanya sekiranya mahu kembali dan berkhidmat untuk Malaysia, beliau berkata belum memikirkan perkara itu kerana masih banyak yang perlu dipelajari.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/27

Chong Wei janji terus perah keringat

Posted: 26 May 2014 10:16 AM PDT

New Delhi: Pemain perseorangan negara Datuk Lee Chong Wei memberi bayangan akan terus beraksi pada saingan Piala Thomas 2016.

Meskipun skuad negara tewas kepada Jepun kelmarin sekali gus gagal menamatkan penantian selama 22 tahun sejak kali terakhir menjulang piala itu di Kuala Lumpur, Chong Wei dilihat masih belum berputus asa dan mahu memburu piala yang masih belum berada dalam genggamannya itu.

Chong Wei berkata, dia sudah menyatakan hasrat untuk terus beraksi hingga 2016 kepada Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang menyaksikan perlawanan kelmarin.

Perkara itu pernah dinyatakan Khairy pada April lalu selepas bertemu Chong Wei dengan menyatakan pemain nombor satu dunia itu bakal beraksi sehingga 2016, tempoh sama berlangsungnya Piala Thomas.

"Saya sudah bercakap dengan Menteri Belia dan Sukan selepas perlawanan yang saya akan terus beraksi hingga 2016," katanya.

Chong Wei nyata menjadi antara tonggak utama negara apabila tidak pernah tercicir untuk meraih mata pertama sekali gus memberi semangat kepada barisan skuad negara lain.

"Biasanya saya kalah seorang.

Tapi kali ini saya bermain satu pasukan dan menang atau kalah kami tetap bersama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/27

Jepun kuasa baru badminton

Posted: 26 May 2014 10:11 AM PDT

New Delhi: Kejayaan Jepun menjulang Piala Thomas selepas menewaskan skuad negara kelmarin meletakkan mereka sebagai kuasa baru dalam sukan badminton.

Justeru, ia bermakna dominasi Piala Thomas kini bukan sekadar berada di dalam tangan China, Indonesia mahupun Malaysia yang sebelum ini menjadi tiga negara yang pernah menjulang piala berprestij itu.

Ketua jurulatih Jepun Park Joo Bong terkejut dengan kemenangan mereka kerana ia hadir tanpa diduga.

"Sejak mula membimbing skuad Jepun, saya tidak begitu meletakkan sasaran tinggi.

"Matlamat utama saya hanya untuk melahirkan pemain bertaraf dunia dan ia membuahkan hasil dalam tempoh beberapa tahun selepas itu.

"Sudah tentu saya gembira dengan kemenangan ini kerana secara tidak langsung ia membuka dimensi baru dalam sukan badminton di Jepun," katanya.

Joo Bong yang meraih banyak kejayaan ketika bergelar pemain berkata, Piala Thomas pertama dimenangi Jepun juga memberi keistimewaan kepada dirinya sendiri.

"Ketika menjadi pemain, saya tidak pernah memenangi Piala Thomas.

"Dengan kemenangan ini, ia melengkapkan karier saya walaupun sebagai jurulatih," katanya.

Foto

PEMAIN Jepun menjulang piala keagungan badminton.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/27

Khairy sanjung semangat pemain

Posted: 26 May 2014 10:10 AM PDT

New Delhi: "Sekalipun tewas, pasukan negara sudah bermain dengan cemerlang," kata Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

"Kita Kalah. Tapi saya bangga dengan pasukan Malaysia. Mereka berjuang hingga ke saat akhir. Berjuang untuk Jalur Gemilang pada baju mereka. Untuk kita," kata Khairy dalam tweet.

"Dan tahniah pada Jepun. Mereka umumkan pada dunia ada kuasa baru dalam sukan badminton. Pasukan yang cukup seimbang."

Skuad badminton kebangsaan tewas kepada Jepun 2-3 di Stadium Tertutup Siri Fort kelmarin.


Khairy menulis kapten pasukan Malaysia, Liew Daren yang tewas dalam perlawanan penentu menitiskan air mata di penghujung perlawanan.


"Tapi, kami memberitahunya, dia bermain hebat. Berjuang ke saat akhir seperti itu, persis seorang kapten." - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/27

Masih belum lulus

Posted: 26 May 2014 10:03 AM PDT

Kangar: Segala-galanya masih kabur buat semua atlet acara akuatik apabila Persatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) masih belum meluluskan penggunaan kompleks renang yang menjadi venue itu pada SUKMA kali ini.

Setiausaha Kehormat ASUM Edwin Chong yang memantau kerja pembinaan di kompleks renang itu berkata, pihaknya masih memberi masa kepada kontraktor bagi menyiap dan memperbetulkan segala kemudahan hingga petang ini.

"Hari ini (semalam) tidak ada apa-apa perkembangan baru di pusat renang ini kerana kami sudah memberi masa kepada kontraktor untuk siapkan hingga esok (hari ini).

"Itu janji mereka kepada kami dan ASUM akan terus memantau dari semasa ke semasa.

"Malam tadi (malam kelmarin) saya bersama MB (Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man) dan Datuk Seri Zolkples (Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara) dan kami yakin segala-galanya akan dapat disiapkan sebelum acara bermula," katanya ketika ditemui pemberita.

Jelas Chong, permukaan lantai di platform terjun akan digantikan dengan lantai getah baru mengikut justifikasi sebenar yang dibawa khas dari Kuala Lumpur dan difahamkan dipasang petang semalam.

"Pihak kami sudah meminta lantai di platform sekarang digantikan dengan yang lebih selamat.

Lampu juga setakat ini saya rasa boleh digunakan bagi tujuan pertandingan, cuma saya tidak jamin kecerahan itu cukup untuk media ketika lakukan liputan waktu malam," katanya.

Sementara itu, hasil tinjauan wartawan selama dua jam di lokasi mendapati bumbung kanvas di pusat akuatik itu mulai koyak dan bocor akibat hujan lebat yang melanda venue pertandingan hingga boleh mengundang bahaya kepada atlet.

Foto

ATLET memantau perkembangan pembinaan pusat akuatik negeri.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/27

No comments:

Post a Comment