Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Mustahil batal program!

Posted: 20 May 2014 10:48 AM PDT

Putrajaya: Pihak pengurusan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) perlu memastikan tahap keselamatan litar dipertingkatkan bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berulang pada masa hadapan.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata, kementerian tidak pernah berkompromi mengenai aspek keselamatan dalam mana-mana acara sukan.


Bagaimanapun, beliau berkata, kerajaan tidak akan membatalkan program sukan permotoran yang sudah dijadual berlangsung walaupun mengetahui ia mungkin mendatangkan pelbagai risiko kepada pelumba.

Katanya, kerajaan tidak boleh membuat keputusan membatalkan perlumbaan permotoran yang dijalankan di litar itu secara terburu-buru memandangkan sukan itu mempunyai kelompok peminatnya tersendiri.


"Mustahil kerajaan membatalkan program sukan permotoran kerana ia popular dan mendapat sambutan hebat masyarakat tempatan serta antarabangsa, belum sampai tahap kita membatalkan program walaupun berlaku kemalangan membabitkan kematian pelumba hujung minggu lalu.


"Sehubungan itu, kementerian akan meminta tahap keselamatan di SIC dipertingkatkan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berulang pada masa hadapan kerana kita tidak akan sekali-kali berkompromi mengenai aspek berkenaan," katanya semalam.

Foto

KEMALANGAN meragut nyawa mendiang Marco Simoncelli di Litar Sepang tahun lalu. Gambar kecil, Milton Poh meninggal dunia di Litar Sepang minggu lalu.

Khairy Jamaluddin berkata, walaupun aspek keselamatan akan dipertingkatkan ke tahap tertinggi pada masa sama juga beliau mengingatkan sukan bermotor adalah sukan berisiko tinggi.


"Memang kita boleh pastikan ia berada di tahap tertinggi seperti dalam piawaian antarabangsa malah SIC sendiri sudah mematuhi peraturan antarabangsa dari segi keselamatan, namun kemalangan perkara yang tetap akan berlaku dalam sukan walaupun kita cuba elakkan.

"Bagaimanapun, semestinya kita berasa sedih dan mengucapkan takziah kepada keluarga pelumba yang maut dalam kemalangan di SIC baru-baru ini," katanya.


Ditanya mengenai pusat akuatik Sukan Malaysia (SUKMA) 2014 yang berlangsung mulai Jumaat ini, beliau berkata, ia perlu mendapat kelulusan Persatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) sebelum dapat digunakan.


"Selepas mendapat kelulusan dan pengesahan mengikut piawaian yang selamat, kolam renang itu boleh digunakan untuk SUKMA," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/21

'Korban ego demi pasukan'

Posted: 20 May 2014 09:57 AM PDT

London: Pengendali England Roy Hodgson meminta semua pemainnya supaya mengorbankan ego masing-masing demi kebaikan pasukan di Piala Dunia supaya mereka tidak berdepan masalah persengketaan antara pemain yang mendorong kehancuran skuad Perancis edisi 2010.

Perancis mengharungi Piala Dunia di Afrika Selatan dengan situasi memalukan, tersingkir pada peringkat kumpulan selepas mereka menghantar pulang penyerang Nicolas Anelka apabila berselisih faham dengan jurulatih Raymond Domenech. Tidak cukup dengan itu, beberapa pemain memberontak selepas berang dengan tindakan pengendali itu.


Hodgson berkata, beliau akan bertindak segera terhadap sebarang ancaman terhadap keharmonian pasukan menjelang aksi di Brazil dengan England berada dalam Kumpulan D bersama Itali, Uruguay dan Costa Rica.

"Satu yang pasti, tiada peluang untuk mana-mana pasukan di Piala Dunia jika mereka tidak bersatu," katanya.


"Kita sudah lihat contoh kegagalan pasukan untuk bersatu mengakibatkan aksi mereka kucar-kacir. Lihat apa yang berlaku kepada Perancis empat tahun lalu.


"Jika anda mahu memenangi kejohanan, mahu memenangi liga, anda perlu bersatu sebagai sebuah pasukan. Anda perlu menyanyi mengikut rentak sama, mempunyai aspirasi sama dan bersedia berkorban untuk satu sama lain.

"Perkara yang anda boleh kawal adalah semangat sepasukan, pastikan anda memilih kumpulan pemain yang bersedia untuk berkerja sebagai sebuah pasukan, anda menangani sebarang masalah yang timbul daripada individu tertentu yang cuba memusnahkan semangat itu.


"Saya sentiasa jelas mengenai perkara ini. Saya tidak pernah ragu." Hodgson berkata, beliau bertuah kerana mempunyai sekumpulan pemain senior yang memiliki karakter bagus untuk kebanyakan pemain muda dalam skuadnya dan pujian terhambur kepada kapten Steven Gerrard.

"Gerrard sudah menjadi kapten yang hebat, seorang pencetus untuk yang lain, seseorang yang mereka boleh contohi sebagai pemain dan individu, mempunyai banyak karakter bagus.


"Apabila dia tiada, Frank Lampard (naib kapten) melakukan tugas hampir sama dan selepas itu anda menaruh harapan kepada Wayne Rooney sebagai pemain muda yang sudah lama beraksi, pemain senior saya berada dalam keadaan yang amat baik. Inilah yang kami mahukan, inilah bentuk kem yang kami inginkan." - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/21

Nagatomo idam juara

Posted: 20 May 2014 09:56 AM PDT

Tokyo: Pertahanan Jepun, Yuto Nagatomo tidak mahu dikatakan sebagai seorang yang tidak bercita-cita tinggi dan untuk itu, dia mahu memastikan pemergiannya ke Brazil bulan depan disertai satu matlamat, memenangi Piala Dunia.

Dalam penampilan kelima berturut-turut di Piala Dunia, Nagatomo dijangka menjadi pemain utama Samurai Biru yang menduduki kumpulan sama dengan Greece, Ivory Coast dan Colombia.


"Sebagai pemain yang akan bersaing dengan bebanan menyarung jersi negara, saya tidak boleh tampil ke kejohanan dan berfikir mengenai kekalahan," kata Nagatomo. "Saya bersemangat untuk memenangi kejohanan itu." Negara Asia tidak pernah menjulang Piala Dunia dan pencapaian terbaik Jepun adalah melangkah ke pusingan kedua, ketika menjadi tuan rumah bersama pada 2002 dan mengulanginya pada 2010 di Afrika Selatan.

Keputusan seri 2-2 menentang Belanda disusuli kemenangan 3-2 mengatasi Belgium pada November tahun lalu memberikan keyakinan dan jika terdapat negara Asia yang mampu mencipta kejutan di Brazil, ia adalah anak buah Alberto Zaccheroni yang kini mengendalikan Jepun.


Sebagai pemain pertahanan, Nagatomo akan membantu meningkatkan kemampuan barisan pertahanan yang terbukti kurang ampuh beberapa tahun kebelakangan ini.


Namun, peranan penting yang bakal dipikul pemain berusia 27 tahun itu ialah membantu jentera serangan, selaras dengan corak menyerang yang diterapkan jurulatih kelahiran Itali itu.

"Saya mahu memberikan persembahan terbaik hingga mampu diingati peminat dan aksi saya dijadikan bahan bualan berulang kali," katanya. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/21

Quaresma disingkir

Posted: 20 May 2014 09:56 AM PDT

Lisbon: Malang terus menimpa penyerang Ricardo Quaresma apabila namanya terpaksa digugurkan daripada senarai akhir 23 pemain skuad Portugal ke Piala Dunia semalam.

Quaresma, 30, yang diketepikan daripada skuad 2006 dan 2010, berada dalam senarai awal 30 pemain minggu lalu namun dia tidak bernasib baik apabila namanya berada dalam kelompok tujuh pemain yang digugurkan jurulatih Paulo Bento.


Quaresma yang mewakili Porto buat kali kedua, turut beraksi dengan Barcelona, Inter Milan, Besiktas dan Al Ahli dari Emiriah Arab Bersatu dalam karier penuh kontroversi serta pernah dipinjamkan ke Chelsea.

Besiktas menamatkan kontrak tiga tahun enam bulan Quaresma apabila dia mencetuskan masalah dengan kelab Turki itu selepas bergaduh dengan pengurus Carlos Carvalhal.


Dengan nama jolokan 'ahli silap mata' atau 'Harry Potter' kerana memiliki teknik menggelecek yang hebat, Quaresma mewakili negaranya 35 kali dan tersenarai dalam skuad Euro 2008 serta 2012.


Penyerang, Nani (gambar) berjaya menempatkan diri dalam pasukan meskipun mengharungi musim hambar bersama Manchester United.

"Jurulatih pasukan kebangsaan mempunyai tanggungjawab besar dan tidak terkecuali daripada kritikan," kata Bento.


"Saya perlu menerima apa saja pertikaian orang ramai mengenai keputusan saya.

"Nani memiliki karektor berbeza berbanding Quaresma." Enam lagi pemain digugurkan adalah penjaga gol Anthony Lopes (Olympique Lyon), pertahanan Antunes (Malaga), Rolando (Inter Milan), pemain tengah Andre Gomes (Benfica) dan Joao Mario (Vitoria Setubal) serta penyerang Ivan Cavaleiro.


Skuad itu membariskan 11 pemain yang beraksi dalam kempen Piala Dunia 2010 dengan Portugal menjaringkan tujuh gol menentang Korea Utara sebelum disingkirkan oleh juara kejohanan, Sepanyol pada pusingan kedua. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/21

Tunjuk perasaan undang masalah: Pele

Posted: 20 May 2014 09:55 AM PDT

Mexico: Legenda bola sepak, Pele menyuarakan kebimbangannya terhadap tunjuk perasaan di Brazil yang boleh membuatkan penyokong luar negara membatalkan kunjungan ke negara Amerika Selatan itu.

Pada sidang media di pinggir bandar Mexico City, Pele berkata, beliau percaya tunjuk perasaan diadakan sejak beberapa minggu lalu itu bakal memberi kesan buruk jika ia diteruskan.


"Kami sedia maklum 25 peratus orang luar yang akan datang ke Brazil bimbang dengan gerakan tunjuk perasaan dan saya fikir ia perlu dihentikan," kata duta kehormat kejohanan berusia 73 tahun itu.

"Ini satu kerugian besar kepada negara," kata Pele yang memenangi gelaran Piala Dunia ketiga pada 1970 di Mexico.


Dengan hanya kurang sebulan sebelum kejohanan bermula pada 12 Jun ini, Brazil berdepan tunjuk perasaan rakyat yang marah dengan perbelanjaan besar penganjuran Piala Dunia sedangkan kerajaan kurang memberi peruntukan menaikkan taraf perkhidmatan awam.


Sesetengah tunjuk perasaan bertukar ganas namun perhimpunan itu tidak sebesar demonstrasi jalanan yang disertai sejuta orang tahun lalu iaitu ketika berlangsungnya Piala Konfederasi yang menjadi kejohanan pemanas badan Piala Dunia. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/21

Buruan ke-10 Real

Posted: 20 May 2014 09:55 AM PDT

Madrid: Real Madrid bakal berdepan musuh setempat yang baru dinobat juara La Liga, Atletico Madrid pada final Liga Juara-Juara di Lisbon, hujung minggu ini dan Real dilihat terdesak untuk membawa pulang kejuaraan Eropah buat kali ke-10 sepanjang sejarah penubuhan kelab gergasi Sepanyol itu.

Sudah 12 tahun sejak Zinedine Zidane meledak jaringan yang dianggap tercantik dalam sejarah Piala Eropah dan itulah kali kesembilan dan terakhir menyaksikan Real menjulang kejuaraan.


Begitupun, sudah lebih 10 tahun sejak kelab membelanjakan lebih satu bilion euro untuk mendapatkan pemain seperti David Beckham, Cristiano Ronaldo dan Gareth Bale selain 11 pengurus di sepanjang tempoh berkenaan tetapi 'La Decima' atau gelaran ke-10 Piala Eropah masih belum berjaya diraih.

Kini, dalam penggal kedua selaku presiden Florentino Perez menaruh sepenuh kepercayaan kepada Carlo Ancelotti untuk merealisasikan impian itu selepas perjuangan mereka sebelum ini terkandas di separuh akhir saja.


Ancelotti mampu mengatasi Jose Mourinho selaku jurulatih pertama sejak Bob Paisley memenangi Piala Eropah tiga kali dan beliau pernah dua kali meraih gelaran berkenaan bersama AC Milan sebelum ini.


Jurulatih Itali itu pantas menyesuaikan diri dengan corak permainan Real dan yakin mereka mampu menjulang Piala Eropah musim ini.

Begitupun, beliau mengakui kecenderungan Real untuk mengutamakan Liga Juara-Juara mengakibatkan mereka kehilangan cengkaman di La Liga.


Kuasa yang mereka pamerkan di Eropah memang luar biasa dan anak buah Ancelotti membelasah juara bertahan Bayern Munich, 5-0 menerusi agregat untuk ke final.

Kejayaan memenangi Copa del Rey selepas menewaskan Barcelona, Mac lalu tidak membuatkan Ancelotti selesa sebaliknya beliau sedar masa depannya di kelab berkenaan bakal terjejas andai gagal membawa pulang Piala Eropah. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/21

Simeone tagih bisa Costa

Posted: 20 May 2014 09:54 AM PDT

Barcelona: Jurulatih Atletico Madrid Diego Simeone enggan menyerah kalah sebaliknya terus menggantung harapan terhadap Diego Costa untuk cergas sepenuhnya menjelang final Liga Juara-Juara walaupun penyerang itu dilapor mengalami kecederaan paha yang serius.

Kenyataan dikeluarkan kelab terbabit menyatakan, penggempur berbisa yang sudah meledak 36 gol itu menjadi kunci kejayaan Atletico ketika menjulang La Liga, tetapi mengalami kecederaan otot tahap satu ketika beraksi menentang Barcelona pada hari terakhir musim.


Kecederaan dialami Costa itu yang ketiga musim ini tetapi kali ini ia lebih serius berbanding sebelumnya.

Walaupun kehadirannya pada final menentang Real hujung minggu ini masih menjadi tanda tanya, Simeone kekal yakin beliau pasti dapat menurunkan 'anak emasnya' itu.


"Masih ada beberapa hari lagi dan kami tidak akan membuat sebarang andaian ketika ini. Dia seorang pemain penting kepada pasukan, tetapi kami perlu pastikan dia cergas untuk bermain," katanya.


Atletico yang menjuarai La Liga hasil keputusan seri 1-1 dengan Barcelona, Sabtu lalu, berada di peringkat akhir untuk melakar sejarah tersendiri, tetapi selain kemungkinan bakal kehilangan Costa, seorang lagi pemain, Arda Turan turut berdepan kecederaan.

"Kami perlu meneliti kemungkinan dapat menurunkan Arda dan Costa. Jika mereka tidak boleh bermain, kami akan mencari pilihan lain," kata Simeone. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/21

Van Gaal janji pulih imej United

Posted: 20 May 2014 09:54 AM PDT

London: Louis van Gaal berjanji melakar sejarah bersama Manchester United selain berazam mengembalikan kegemilangan kelab itu.

Salah satu rahsia terbesar dalam arena bola sepak sudah terurai apabila jurulatih kebangsaan Belanda itu diumum sebagai pengendali baru United bagi menggantikan David Moyes.


Van Gaal akan dibantu pemain senior United, Ryan Giggs yang bakal bertindak sebagai pembantunya.

Van Gaal, 62, mengikat kontrak selama tiga tahun bersama United yang sebelum ini terpaksa memecat Moyes berikutan kegagalan jurulatih berkenaan untuk melonjakkan Red Devils.


Terkenal sebagai seorang jurulatih yang berdisiplin, van Gaal pernah memenangi liga tempatan serta piala bersama Ajax Amsterdam, AZ Alkmaar, Barcelona dan Bayern Munich selain membimbing Ajax untuk muncul juara Liga Juara-Juara.


"Memang sudah lama saya mengimpikan untuk menjadi jurulatih di Liga Perdana Inggeris," kata van Gaal.

"Saya bangga menjadi pengurus United, kelab terbesar di dunia. Saya pernah membawa pasukan bermain di Old Trafford dan saya tahu suasana di stadium itu. Saya sedar dengan semangat tinggi yang ditunjukkan penyokong mereka.


"Kelab ini mempunyai cita-cita tinggi. Begitu juga dengan saya. Saya yakin, kami akan mencipta sejarah bersama-sama." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/21

Lukman wira KPFM B

Posted: 20 May 2014 09:53 AM PDT

Johor Bahru: Sikap tidak putus asa dan semangat juang tinggi membantu skuad Kids Pro Futsal Malaysia (KPFM) B bergelar juara siri ke-11 Karnival Futsal Milo Hidup Bola 2014 di Sports Prima, Johor Bahru, baru-baru ini.

Muhammad Lukman Hakim muncul wira KPFM B selepas menjaringkan gol kemenangan menentang wakil tuan rumah Soccer Selatan Muda, 1-0 pada perlawanan akhir. Sebelum itu, Soccer Selatan Muda muncul pasukan pertama ke final selepas menumpaskan Semut Merah 'B' dari Kuala Lumpur, 3-0 pada saingan separuh akhir manakala KPFM terpaksa bekerja keras melayan BSA sebelum menang tipis 1-0.


Kejayaan itu membolehkan KPFM mempunyai dua wakil ke Grand Final selepas KPFM 'A' muncul juara siri pertama di Ampang Sport Planet pada 29 Mac lalu.

Mersing FC memperagakan aksi bertenaga untuk muncul juara kategori Bawah 12 tahun selepas memadam impian Sky Kick, 1-0 pada aksi final.


Pada separuh akhir, Mersing FC mengalahkan Misai FC dari Kuala Lumpur, 1-0 manakala Sky Kick membenam Stylo Mylo Jr, 4-3.


KPFM 'B', Soccer Selatan Muda, Mersing FC dan Sky Kick akan mewakili Johor ke saingan Grand Final.

Foto

KERWIN (kanan) bersama pasukan KPFM B, Soccer Selatan Muda meraikan kejayaan mereka.

Hadiah kedua-dua kategori disampaikan Eksekutif Pemasaran Sukan Nestle Products Sdn Bhd Kerwin Lim.


Siri ke-12 berlangsung di Sentosa Sport Centre, Kuching, Sabtu ini diikuti siri ke-13 di Safira Sports Planet, Pulau Pinang pada 31 Mei.

Borang penyertaan boleh diperoleh di semua venue atau layari laman www.milo.com.my atau facebook.com/MILOHidupBola.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/21

Bowling Perpaduan sanjung bakti ibu

Posted: 20 May 2014 09:52 AM PDT

Petaling Jaya: Karnival Bowling Perpaduan Keluarga 2014 sempena Hari Ibu pastinya menjadi kenangan indah buat 48 keluarga yang bersaing sambil mengeratkan ikatan perpaduan di Sunway Megalanes, Sunway Pyramid, baru baru ini.

Program anjuran Kelab Sukan SportsUnite dan Sunway Mega Lanes edisi ketujuh itu ditaja Bijirin Sarapan Nestle.


Karnival bermula dengan acara memotong kek dan penyerahan bunga ros kepada ibu-ibu yang hadir.

Beberapa lagu ditujukan khas kepada ibu menambah seri suasana dengan lagu Bonda nyanyian M Nasir dan 'You Raise Me Up' nyanyian Josh Gorban.


Lima pasukan teratas memenangi hadiah wang tunai antara RM300 hingga RM1,000 bersama pingat dan hamper Nestle Cornflakes. Pemenang tempat keenam hingga 10 turut membawa pulang pingat dan hamper Nestle Cornflakes. Hadiah istimewa untuk siri balingan tertinggi turut diberikan kepada lapan kategori iaitu kanak-kanak lelaki dan perempuan bawah 12, B-15, B-18, ibu dan bapa.


Makanan ringan Nestle Cornflakes disediakan untuk peserta dan semua ahli keluarga selepas karnival.

Pengerusi Kelab Sukan SportsUnite, Datuk Dina Rizal mengucapkan terima kasih kepada kaum ibu yang banyak berkorban mendidik anak dengan penuh kesabaran, kasih sayang hingga berjaya dalam kehidupan.


"Kaum adalah pemenang sebenar dan Hari Ibu hari kemuncak menyatakan kasih sayang yang tidak terhingga kepada ibu kita. Bagi kami, semua 48 keluarga yang bertanding menang dari segi mengenang jasa dan kesayangan ibu kepada keluarga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/21

No comments:

Post a Comment