Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Nasib mangsa 9/11

Posted: 09 May 2014 12:04 PM PDT

Ribuan beg plastik kedap udara disusun teratur di sebuah makmal di Manhattan. Esok, 7,930 beg berisi cebisan tulang manusia itu akan dipindahkan - melalui proses yang penuh takzim - dari premis berkenaan ke tapak baru, iaitu ruang sedalam 21 meter di bawah tanah.

Di atasnya ialah Muzium Peringatan 11 September yang akan dibuka kepada umum 21 Mei ini.

Cebisan tulang itu adalah fragmen terakhir dikenal pasti penyelidik yang bertungkus-lumus mencari identiti mangsa insiden serangan di Pusat Dagangan Dunia (WTC) pada 11 September 2001.

Selepas ini, saki-baki tulang itu hanya boleh dilihat waris mangsa atau digunakan saintis forensik yang masih cuba memadankan DNA daripada lebih 1,000 mangsa yang tidak pernah pulang menemui keluarga masing-masing serta tidak dikenali.

Pegawai Pejabat Ketua Penyelidik Perubatan New York, Mark Desire berkata, komitmen pasukannya ialah menyerahkan semula cebisan tulang itu kepada sebaik mungkin kepada waris masing-masing.

Foto
Foto


Daripada 2,753 individu dilaporkan hilang di WTC, 1,115 mangsa - atau 41 peratus - tidak dapat dikenal pasti melalui padanan DNA diserah keluarga mangsa insiden itu.

Penyelidik menggunakan DNA diperoleh melalui berus gigi, sikat, pakaian atau calitan diberi waris.


Melalui teknologi terkini dan paling canggih, satu-satunya cara untuk mengenal pasti identiti mangsa ialah kod genetik yang dicerap melalui tulang itu.

Pada ketika sama, pihak waris sentiasa ternanti-nanti untuk menerima sebarang berita daripada pihak berkuasa yang mengesahkan bahawa ahli keluarga mereka sudah meninggal dunia.

Dalam kes tertentu saintis terpaksa mengkaji tulang sama sehingga 10 atau 15 kali menggunakan kaedah teknologi terkini.

Ia begitu sukar kerana sesetengah pati DNA musnah terbakar atau terjejas akibat cahaya matahari, bakteria atau rosak terkena minyak kapal terbang.

Tahun lalu, saintis berjaya mengenal pasti empat identiti baru.

Keluarga mangsa pula memang sejak sekian lama menyokong proses mengenal pasti itu walaupun ada segelintir membantah tindakan memindahkan tulang berkenaan ke tapak muzium atas alasan ia terdedah kepada banjir.

Rosemary Cain, misalnya, membantah keputusan pihak berkuasa menyimpan cebisan tulang itu di tingkat bawah bangunan muzium berkenaan.

"Berikan mereka penghormatan supaya 3,000 jiwa yang terkorban dapat bersemadi dengan aman," katanya.

Rosemary kehilangan seorang anak lelaki - yang bertugas sebagai anggota bomba - dalam insiden itu.

Bapa kepada seorang lagi mangsa, Lee Ielpi berpendapat, keputusan memindahkan tulang berkenaan ke tingkah bawah muzium menunjukkan kepada dunia bagaimana AS menghormati orang mati.

"Biarkan mereka kembali ke tapak itu," katanya.

Pengarah Pusat Keganasan di Kolej Keadilan Jenayah John Jay, Charles Strozier berkata, usaha mengenal pasti identiti tulang berkenaan mesti diteruskan.

"Serangan ke atas WTC lebih kejam daripada biasa kerana sesetengah orang ghaib begitu saja," katanya.

Namun bagi Desire, ia lebih bersifat peribadi.

Dua minit selepas menara WTC berkenaan dirempuh dua kapal terbang, dia masih berada di situ menyaksikan apa yang berlaku.

Apabila menara berkenaan runtuh, tubuh Desire berdarah akibat kecederaan terkena serpihan kaca dan batu-bata bangunan yang jatuh.

"Kami berasa amat bangga memberikan perkhidmatan untuk sesuatu yang pernah mengubah sejarah AS," katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/10

Helah licik kenakan jiran

Posted: 09 May 2014 10:11 AM PDT

Florida: Ana Maria Moreta Folch (gambar) mahu sebuah karavan dan tangki septik yang ada berhampiran rumahnya di St Johns dimusnahkan.

Justeru dia menghubungi sebuah syarikat pembersihan dan memaklumkan niatnya.

Selepas menunjukkan kunci karavan berkenaan dan mendakwa ia tidak dihuni sesiapa, pekerja syarikat itu menjalankan tugasnya.

Semuanya berjalan lancar sehinggalah terbongkar rahsia bahawa karavan berkenaan bukan milik Ana Maria, sebaliknya dipunyai jirannya.

Pemilik sebenar karavan itu, Maria Gottfried terkejut apabila melihat ia dimusnahkan dan segera menghubungi pihak berkuasa.

Apabila sheriff tempatan tiba, Maria menjelaskan karavan itu dimilikinya sejak 2006 dan tidak pernah menyerahkan kunci kepada Ana Maria.

Ana Maria pula berkata, karavan itu dimusnahkan kerana "penghuninya tidak dikehendaki" di situ dan mengesyaki mereka bertanggungjawab memecah keretanya.

- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/10

'Neraka' anak untuk ibu

Posted: 09 May 2014 10:11 AM PDT

KES 1 Seorang lelaki menyimpan mayat ibunya di dalam peti sejuk selama tiga tahun supaya dia dapat menerima bantuan kewangan yang dikhaskan untuk wanita itu.

Dia bagaimanapun membunuh diri apabila pihak berkuasa datang untuk melakukan penyiasatan.

Jon Whiteford menembak kepalanya pada 29 Mac lalu di hadapan Timbalan Syerif Daerah Pulaski yang tiba di kediamannya di Science Hill untuk menyiasat kehilangan ibunya.

Mayat Faye Whiteford yang sudah reput ditemui kira-kira sebulan kemudian di sebuah rumah tinggal di daerah Wayne.

Bedah siasat yang dijalankan mendapati wanita itu meninggal dunia secara normal pada usia 96 tahun pada 2011.

Rakan Faye, Al Fied memberitahu, Jon memang bergantung sepenuhnya kepada ibunya dari segi kewangan dan masih tidak dapat menerima kematian wanita berkenaan.

"Jon sebenarnya seorang lelaki baik.

Ini mungkin satu-satunya kesilapan yang dilakukan," katanya.

Pejabat Syerif Pulaski berkata, polis memulakan siasatan mengenai kehilangan wanita itu Februari lalu.

Pejabat Penyiasatan Awam menghubungi pihak berkuasa tempatan untuk membuat pemeriksaan kebajikan kerana wanita itu tidak membuat sebarang tuntutan perubatan dalam masa tiga tahun.

Pada masa sama, Jon pergi ke pejabat kebajikan untuk mengambil bantuan kewangan bagi kegunaannya sendiri, lapor media tempatan semalam.

Dalam temu bual dengan pegawai kebajikan, dia mengaku ibunya sudah mati tetapi tidak mengetahui sebabnya dan lokasi mayat itu berada.

Dia juga mengaku hidup merempat sedangkan dia menceroboh rumah kosong di sebelah kediamannya, menggunakan bantuan kewangan dari jabatan kebajikan dan menyimpan mayat ibunya dalam sebuah peti sejuk besar.

Syerif Pulaski, Leftenan Brett Whitaker memberitahu media tempatan: "Jon menyimpan mayat ibunya dalam peti sejuk sejak 2011 hingga sekitar Krismas pada 2013 ketika dia dipaksa keluar dari kediamannya." KES 2 Florida: Seorang kaki botol mengamuk dan merosakkan kediaman ibunya kerana bosan dimarahi gara-gara gemar merokok di bilik dan selalu mabuk.

Paul Rossi didakwa memecahkan kabinet dapur, membuang televisyen ke dalam kolam renang dan memecahkan tingkap kediaman ibunya di Port St.


Lucie kelmarin.

Media semalam melaporkan, ibu Rossi menghubungi polis dan meminta agar anaknya itu dipenjarakan.

"Dia seorang pemabuk dan memang patut dipenjarakan.


"Saya tidak kisah sama ada dia mabuk atau tidak tetapi dia membaling barang ke arah saya," katanya.

Wanita itu memberitahu, anak lelakinya yang mengalami kemurungan dan ketagihan alkohol, baru pulang dari parti pada tengahari hari kejadian.

Rossi mula bertindak ganas apabila wanita itu menasihatinya agar menghentikan tabiat mabuk dan merokok yang terlalu banyak.

"Dia naik ke bilik dan menghempas pintu.

Dia juga merokok diatas katil dan saya memang melarang dia daripada melakukan perkara itu.

Jadi, saya mengambil bekas abu rokok dan meletakkannya di luar sebelum merampas rokoknya dan dia mengatakan saya menyerangnya," katanya.

Rossi membaling makan di seluruh rumah, menterbalikkan perabot dan mencampak barangan rumah di laman belakang, kata ibunya.

Operator kecemasan yang dihubunginya mengarahkan agar wanita itu melarikan diri dari situ.

Namun ketika dia menaiki kenderaan untuk meninggalkan rumah, Rossi mengekorinya.

Ketika anaknya memukul kereta itu menggunakan batang kayu, wanita itu berjaya memandu keluar dan meninggalkan rumah.

Rossi mengejar kereta ibunya sambil ketawa.

Dia akhirnya mengalah lalu pulang ke rumah dan mula merosakkan peti surat di laman rumahnya.

Polis menahan Rossi di tempat kejadian dan ibunya tidak mengalami sebarang kecederaan.

- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/10

Penukul jadi alat pelepas dendam

Posted: 09 May 2014 10:08 AM PDT

Sydney: Seorang lelaki dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan membunuh lima sekeluarga menggunakan objek seperti tukul, semalam.

Dalam prosiding di mahkamah, Robert Xie didakwa menyimpan dendam terhadap mangsa terbabit dan membelasah mereka dengan "objek seperti tukul." Xie, 50, dituduh membunuh abang iparnya, Norman Lin; isteri Lin, Lily; dua anak mereka, Henry, 12, dan Terry, 9, serta kakak Lily, Irene.

Mangsa ditemui mati di rumah mereka di Sydney pada Julai 2009.

Xie - pakar bedah telinga, hidung dan kerongkong di China sebelum berpindah ke Australia pada 2002 - mengaku tidak bersalah.

Pendakwa Mark Tedeschi berkata, pembunuhan berlaku antara lepas tengah malam dan 5 pagi.

Lin sepatutnya bangun pada waktu itu untuk bertugas menghantar akhbar kepada penduduk setempat.

- AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/10

Jutawan bertumbuk

Posted: 09 May 2014 10:08 AM PDT

Seorang tokoh perniagaan yang dianggap antara orang terkaya di Australia semalam didenda A$500 (RM1,510) selepas dia didapati bersalah bergaduh dengan eksekutif kanan sebuah stesen televisyen negara itu.

Dalam pergaduhan berprofil tinggi di sebatang jalan di sebuah pusat peranginan eksklusif di pinggir bandar raya Sydney itu, James Packer dilihat bertumbuk dengan Ketua Eksekutif Nine Entertainment, David Gyngell berhampiran apartmen mewah di Pandai Bondi.

Pergaduhan berlaku pada Ahad lalu.

Jurucakap polis New South Wales berkata, siasatan dijalankan selepas media dan orang ramai mengkritik kejadian itu.

"Packer dan Gyngell diberi notis dan diarah menjaga tingkah laku masing-masing.

"Mereka boleh membayar saman polis atau mencabarnya di mahkamah," katanya.

Menurut jurucakap itu, polis menimbangkan kemungkinan mengenakan tuduhan lebih serius kepada kedua-dua individu terbabit.


Jika disabitkan kesalahan atas tuduhan mengganggu ketenteraman awam, Packer dan Gyngell boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun.


Gambar selepas pergaduhan itu menunjukkan mata kiri Packer hitam kerana lebam.

Gyngell pula mengeluarkan kenyataan mendakwa dia pergi ke rumah Packer dalam keadaan "marah." Seorang jurugambar yang merakamkan aksi pergaduhan itu pula memperoleh bayaran lebih AS$200,000 (RM645,700) selepas menjualnya kepada pihak media.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/10

China penjara 5 'penghasut' Muslim

Posted: 09 May 2014 10:07 AM PDT

Urumqi: Lima penduduk Islam di wilayah autonomi Xinjiang dihukum penjara kerana "menghasut" orang ramai dan mengancam keselamatan negara, lapor agensi berita Xinjiang semalam.

Sumber mahkamah berkata, hukuman penjara itu ditetapkan antara tujuh dan 15 tahun.

Katanya, perbicaraan dijalankan di wilayah Kashagar.

"Tertuduh didapati menggunakan peralatan elektronik untuk menyebar bahan video dan audio bagi menghasut menyertai aktiviti pemisah.

"Mereka juga membuka laman sesawang untuk menyebarkan aktiviti keagamaan melampau di kalangan kanak-kanak dan belia," katanya.

Tuduhan lain yang dikenakan, kata sumber itu, ialah mengadakan syarahan untuk menanam kebencian etnik serta merancang jenayah.

Daerah Hotan, Kashgar dan Aksu di Xinjiang adalah kawasan banyak didiami penduduk Uighur yang beragama Islam.


- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/10

Bakar rumah majikan kekasih

Posted: 09 May 2014 10:07 AM PDT

Jakarta: Seorang lelaki kemaruk bercinta, Nurhadi, membakar rumah majikan kekasihnya kerana berang tidak dibenarkan bertemu dengan wanita terbabit.

Media tempatan semalam melaporkan, Nurhadi, 34, sering kecewa kerana dihalang bertemu teman wanitanya yang bekerja sebagai pembantu rumah di Jalan Kemanggisan Pulo.

Pegawai kanan polis, Johari Bule berkata, Rabu lalu Nurhadi datang untuk bertemu dengan kekasihnya, Misri, 30, namun diberitahu wanita terbabit tidak lagi bekerja di rumah berkenaan.

"Suspek yang naik angin dengan kenyataan itu berasa tertipu kerana sebelum ini pemilik rumah berkenaan memang sering melarangnya untuk bertemu Misri," katanya ketika ditemui.

Menurut Johari, sebenarnya memang Misri tidak lagi bekerja di rumah berkenaan namun Nurhadi enggan mempercayai tidak mempercayai kata-kata lelaki itu.- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/10

Musuh serang, Jokowi kian senang

Posted: 09 May 2014 10:06 AM PDT

Jakarta: Kempen "hitam" terhadap Joko Widodo (Jokowi) menjelang pemilihan presiden Julai ini didakwa hanya akan merugikan musuh politik Gabenor Jakarta itu.

Ia juga, kata penganalisis politik, mengundang protes daripada masyarakat umum di Indonesia.

Pakar Psikologi Politik Universiti Indonesia, Dewi Haroen berkata, dalam kes kempen "hitam" terhadap Jokowi, pihak yang untung adalah tokoh itu sendiri.

"Penyebaran berita kononnya Jokowi mati dianggap massa sebagai melampau dan keterlaluan.

"Kempen itu mengakibatkan penyokong Jokowi melihat dia dizalimi pihak yang mendalangi kempen berkenaan, manakala Prabowo Subianto pula dikecam kerana dilihat mendalangi kempen berkenaan," katanya kepada media semalam.

Kelmarin sekeping gambar 'iklan' kononnya Jokowi meninggal dunia disebar pihak tertentu melalui Facebook dan Twitter.

Ia mengejutkan ramai dan Jokowi turut bercadang mengambil tindakan undang-undang ke atas pihak yang mendalangi perbuatan itu.

Bagaimanapun setakat ini tidak dapat dipastikan siapa bertanggungjawab mencipta dan mengedar 'iklan' berkenaan.

Dewi berkata, dalam sejarah pemilihan presiden Indonesia, calon teraniaya biasanya meraih lebih banyak undi dan memenangi persaingan.


- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/10

Suthep, PDRC belum puas

Posted: 09 May 2014 10:06 AM PDT

Pemimpin gerakan antikerajaan dari Jawatankuasa Reformasi Demokratik Rakyat (PDRC), Suthep Thaugsuban berkata Presiden Mahkamah Agung dan Speaker Senat mesti menubuhkan "kerajaan sementara rakyat" ketika Yingluck Shinawatra sudah disingkirkan daripada jawatannya sebagai perdana menteri.

Kata Suthep, PDRC masih menunggu jawapan daripada beberapa ahli politik kanan mengenai hal itu.

"Jika mereka tidak memberi sebarang respon, PDRC akan bertindak," katanya ketika berucap di depan penyokongnya di luar Rumah Kerajaan tengah hari semalam.

Kata Suthep, ketika ini Presiden Mahkamah Agung dan Speaker Senat mewakili cabang kuasa di Thailand.

Justeru, katanya, mereka perlu bertindak membentuk kerajaan sementara dalam tempoh beberapa hari ini.

Penubuhan kerajaan sementara memang menjadi satu daripada tuntutan gerakan antikerajaan ketika Yingluck masih berkuasa sebagai perdana menteri.

PDRC sudah berkempen untuk menumbangkan kerajaan Yinglcuk sejak enam bulan lalu.

Selepas berkampung di tengah Bangkok untuk beberapa lama, penyokong PDRC memindahkan pusat protes mereka ke taman awam Lumpini di kawasan Silom dan Jalan Chaeng Watthana berhadapan kompleks kerajaan.

Semalam mereka bergerak ke lapan lokasi penting iaitu Rumah Kerajaan, Ibu Pejabat Polis Diraja Thailand, stesen televisyen dan Pusat Pentadbiran Keamanan dan Ketenteraman Awam (Capo).

Kata Suthep, PDRC melancarkan "perang besar-besaran" untuk merealisasikan tuntutan mereka menggantikan kerajaan semasa.


"Kami mahu kerajaan dan parlimen rakyat dibentuk bagi membolehkan reformasi dijalankan," katanya, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/10

Suami isteri perompak

Posted: 09 May 2014 10:06 AM PDT

Jakarta: Pepatah Jawa yang menyebut "ikutlah ke syurga atau ke neraka" mungkin tepat untuk menggambarkan ketaatan seorang wanita kepada suaminya.

Bagi pasangan suami isteri - cuma dikenali sebagai RF dan SU - mereka tidak sekadar bersepakat dalam hal rumah tangga, malah bekerjasama untuk merompak.

Sasaran mereka ialah sebuah kedai emas di Jalan Jenderal Sudirman dan melarikan 3 kilogram emas dan wang tunai bernilai kira-kira Rp500 juta (RM140,000) pada April lalu.

Sumber polis berkata, rompakan dilakukan ketika anggota polis dan pengawal keselamatan sibuk bertugas mengawal proses pengiraan undi pemilu di sebuah hotel di Riau.

Selepas merompak, kata sumber itu, RF dan SU serta dua yang lain kemudian bersembunyi seketika di Kota Duri di daerah Bengkalis, Riau.

Bagaimanapun, seorang daripada mereka ditembak mati di Kota Duri ketika diserbu polis.

Menurut sumber polis, RF dan SU kemudian melarikan diri ke Palembang.


"Dalam satu serbuan di satu tempat persembunyian mereka, polis merampas senjata api, peluru, telefon bimbit dan dua kereta pacuan empat roda," katanya.

Sumber polis berkata, suspek keempat adalah anggota keselamatan di daerah Riau.


"Setakat ini polis masih memburu pasangan suami isteri itu," katanya.

- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/10

No comments:

Post a Comment