Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Bayar RM3.2 juta untuk ke bulan bersama DiCaprio

Posted: 23 May 2014 01:09 PM PDT

Cannes: Beberapa calon yang bakal mengikuti ekspedisi meneroka angkasa lepas sanggup membayar AS$1 juta (RM3.2 juta) semalam hanya untuk merasai pengalaman ke bulan bersama Leonardo DiCaprio.

Aktor utama filem Wolf of Wall Street itu membuat tawaran menyertainya dalam pengembaraan hebat itu ketika menyertai majlis lelongan di Cannes, Perancis untuk pertubuhan amal amFAR.


Namun, penganjur majlis berkenaan tidak mengumumkan identiti pemenang bidaan itu.

Mengikut jadual, pengembaraan ke angkasa lepas itu akan diadakan tahun depan. Sementara itu, Pengerusi amFAR, Sharon Stone berjaya mengumpul sebanyak AS$38 juta (RM122 juta) di majlis berkenaan.


Ia tahun kedua DiCaprio menawarkan perjalanan ke angkasa dalam acara lelongan untuk pertubuhan kebajikan AIDS itu.


Tahun lalu, seorang hartawan Russia Vasily Klyukin membayar AS$1.5 juta (RM4.8 juta) untuk meneroka angkasa bersama DiCaprio dengan kapal angkasa Virgin SpaceshipTwo. - Agensi

Foto

LEONARDO DiCaprio

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/24

Seribu kali sayang

Posted: 23 May 2014 01:06 PM PDT

Stillwater, Minnesota: Ini sebuah kisah yang mempunyai pengakhiran yang tidak dijangka mengenai apa yang terjadi apabila seorang remaja memasuki dunia yang tidak pernah dikenalinya.

Matlamat utamanya untuk menjadi terkenal, namun harapan menggunung itu hancur apabila dia menikmati 'populariti keji.' Alyssa bertuah memiliki paras amat cantik, malah lebih dari itu, dia pelajar yang memperoleh gred A dalam semua mata pelajaran.


Dia juga baru memasuki Universiti Wisconsin dengan membawa impian besar.

Pada satu hari dia menghadiri sesi temu duga syarikat Casting Couch Videos yang diharap dapat membawanya menjadi pelakon popular. Ketika ditemu duga tanpa sebarang prasangka Alyssa berkata, dia mengimpikan kerjaya sebagai pakar bius.


Namun, itu adalah detik awal kepada pengakhiran hidupnya.


Perbualan santai itu kemudian merebak menjadi aksi seks yang dirakam dengan pengetahuannya. "Saya Stella, berusia 18 tahun dan tidak sabar untuk memulakan tugas ini," katanya.

Selepas beberapa hari klip video itu mula dimuat naik di Internet dan Alyssa dihujani ribuan mesej Twitter dan Facebook - semuanya daripada bekas rakan sekelas di sekolahnya.


Antara mesej itu ialah: "Wow! Kamu seorang thot (bahasa slanga merujuk kepada pelacur). Adakah bapa kamu mengetahui perkara ini?" Mesej lain menyatakan: "Tiada sesuatu yang berjaya menyatukan seluruh pelajar sekolah seperti seorang bintang pornografi yang baru menamatkan pengajian tahun lalu. Kamu mungkin boleh berbangga kerana berita mengalir dengan pantas di Stillwater ini." Dua minggu selepas video itu tersebar, Alyssa membeli sepucuk pistol, memandu ke kawasan pangkalan bot di Tasik Big Carnelia dan mengakhiri hidupnya. Dia baru berusia 19 tahun.

Namun, sebenarnya hidup Alyssa memang dikelilingi masalah. Bapa kandungnya mempunyai rekod jenayah. Ibu dan kekasih wanita itu ditangkap kerana mengedar dadah dan mengabaikan adik Alyssa.


Alyssa tinggal bersama neneknya sejak kanak-kanak dan bergelut dengan masalah kewangan.


Sementara itu, polis Washington yang menyiasat kes itu berpendapat memuat naik mesej di media sosial sukar dibuktikan sebagai perbuatan jenayah. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/24

Tak takut dipecat

Posted: 23 May 2014 01:06 PM PDT

Jakarta: Kader muda Parti Golkar yang diancam dipecat kerana bertindak tidak selaras dengan kepemimpinan tertinggi bertekad tetap menyokong Joko Widodo (Jokowi) dan Jusuf Kalla sebagai presiden.

Awal minggu ini, sejumlah anak muda Golkar mengisytiharkan sokongan mereka terhadap calon dari Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P) itu, sekali gus bercanggah dengan amanat ketua umum mereka, Aburizal Bakrie yang menyokong Prabowo Subianto - Hatta Rajasa dari Parti Gerindra.


Ketua Majlis Penasihat Golkar Akbar Tandjung kelmarin membidas ahli yang menentang pendirian rami parti dan dengan mengugut untuk memecat mereka dari parti berkenaan.

"Kami akan menjelaskan mengapa sokongan ditujukan kepada Prabowo Subianto - Hatta Rajasa, tetapi jika mereka masih ingkar, kami tidak teragak-agak mengambil tindakan sewajarnya. Golkar mungkin akan memecat mereka," katanya.


Pegawai Penyelidikan dan Pembangunan Golkar, Indra J Piliang sebaliknya semalam membalas ugutan Akbar dengan mencadangkan supaya tindakan diambil ke atas kumpulan elit yang menyokong Prabowo dan melanggar dasar parti.


Menurut Indra, golongan elit dalam Golkar sepatutnya mengadakan mesyuarat pleno sebelum mengadakan mesyuarat eksekutif Golkar minggu lalu.

"Mereka melanggar peraturan. Bagaimana mesyuarat eksekutif diadakan terlebih dulu tanpa mengadakan mesyuarat pleno? Mereka harus meletak jawatan dari Golkar," katanya.


Antara individu yang dicadangkan supaya meletak jawatan ialah Aburizal. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/24

Rujuk Prabowo? Tidak...

Posted: 23 May 2014 01:05 PM PDT

Jakarta: Secara terbuka dia memang menyokong Prabowo Subianto sebagai presiden Indonesia, namun itu tidak bermakna Titiek Suharto akan kembali kepada bekas pegawai kanan tentera itu walaupun tindakan itu boleh menyebabkan dia menjadi Wanita Pertama Indonesia.

Menurut anak kedua Suharto itu, setakat ini dia tidak melihat ada keperluan berkahwin semula dengan Prabowo selepas mereka bercerai sebelum ini.


Titiek atau nama sebenarnya Siti Hediati Hariyadi, 55, berkahwin dengan Prabowo pada Mei 1983, tetapi tarikh sebenar perceraian mereka tidak pernah diketahui. Mereka dikurnia seorang anak.

Ketika ditemui sebelum mengikuti sidang harian Golkar di pejabat parti itu semalam, Titiek berkata, walaupun sudah bercerai dia masih kekal bersahabat dengan Prabowo. "Kami masih berkawan baik, cuma ia tidak lebih daripada itu," katanya. Menurut Titiek, setiap kali meraikan hari lahirnya, Prabowo sentiasa hadir. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/24

'Semua lubang sudah diperiksa'

Posted: 23 May 2014 01:05 PM PDT

Jakarta: Prabowo Subianto dan calon naib presiden Hatta Rajasa semalam menghadiri sesi pemeriksaan kesihatan di Hospital Tentera Darat Gatot Subroto, di Pusat, sehari selepas Joko Widodo dan Jusuf Kalla melakukannya.

Menurut Prabowo, mereka menghabiskan masa selama 10 jam bagi menyiapkan prosedur ditetapkan.


Prabowo dan regunya, Hatta Rajasa, dilihat keluar dari hospital berkenaan kira-kira jam 4.40 petang (waktu tempatan) dengan memakai pakaian khas. Kata Prabowo, sepasukan doktor pakar menjalankan 14 jenis ujian ke atasnya serta Hatta.

"Ia ujian lengkap kerana semua bahagian tubuh dan psikologi diperiksa.


"Semua lubang sudah diperiksa," katanya disambut ketawa oleh doktor dan pakar perubatan di situ. Bekas pegawai kanan tentera elit Indonesia itu berkata, mereka tidak diberikan sebarang waktu untuk berehat sepanjang tempoh pemeriksaan, kecuali untuk mengerjakan solat Jumaat serta makan tengah hari. Namun, dia menghargai tugas doktor terbabit kerana menunjukkan profesionalisme tinggi. "Kepakaran yang kita miliki di sini setanding dengan apa yang ada di peringkat dunia," katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/24

'Tangkaplah kalau mampu'

Posted: 23 May 2014 01:04 PM PDT

Bangkok: Ketika Thailand kini diletak di bawah pemerintahan tentera dan pemimpin kerajaan diarah melapor diri kepada pegawai kanan pasukan keselamatan itu, seorang tokoh penting Baju Merah sebaliknya mencabar pihak berkuasa.

Dianggap antara pemimpin utama Baju Merah, Sombat Boonngam-anong semalam berkata, tentera perlu mencari sendiri di mana dia berada jika mahu menangkapnya. Melalui akaun Facebook miliknya, Sombat memaparkan cabaran itu secara terbuka.


"Melapor diri? Tangkaplah aku kalau kau mampu," katanya.

Nama Sombat disenarai tentera Thailand sebagai antara individu yang diarah melapor diri semalam bersama lebih 150 tokoh lain. Turut hadir menurut perintah Panglima Tentera Thailand, Jen Prayuth Chan-ocha ialah bekas perdana menteri, Yingluck Shinawatra dan penasihatnya. Dalam kenyataannya semalam, Sombat menegaskan sekali lagi tentangannya terhadap langkah tentera merampas kuasa.


"Justeru, saya tidak perlu mematuhi perintah mereka untuk melapor diri kepada Majlis Keamanan Dan Ketenteraman Awam Kebangsaan," katanya. Mesej itu dimuat naik di media sosial sebelum junta tentera memberi amaran, mana-mana individu yang gagal mematuhi arahan mereka akan ditahan serta didakwa. Ketika kudeta pada 2006 yang menyaksikan abang Yingluck, Thaksin disingkirkan juga mengecam tindakan tentera terbabit. - Agensi

Foto

PELANCONG berjalan di depan anggota tentera yang mengawal keselamatan di Bangkok.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/24

Yingluck ditahan di kem askar

Posted: 23 May 2014 01:03 PM PDT

Bangkok: Bekas perdana menteri, Yingluck Shinawatra semalam hadir ke Ibu Pejabat Majlis Keamanan Dan Ketenteraman Awam Kebangsaan (NPOMC) seperti diarah tentera.

Turut hadir, sejumlah saudara-mara keluarga Shinawatra yang berada dalam lingkungan kuasa sebelum ini, seperti seorang lagi bekas perdana menteri yang juga ipar Thaksin, Somchai Wongsawat, adik perempuannya, Yaowapa Wongsawat dan bekas komander tentera yang juga sepupu Thaksin, Jen Chaisit Shinawatra.


Disenarai sebagai individu yang dikehendaki ialah peguam Thaksin, Noppadon Pattama dan ketua pembantu Yingluck, Suranand Vejjajiva.

Yingluck tiba di auditorium Tentera Diraja Thailand di Thewes menaiki van kalis peluru serta pengawal keselamatan yang kemudian berunding dengan pengawal di pintu masuk. Sementara itu tentera malam tadi mengesahkan menahan Yingluck, kakak serta iparnya di sebuah kem.


Seorang pegawai kanan tentera berkata, mereka akan menahan Yingluck dan saudaranya untuk tempoh tidak lebih dari seminggu.


"Kami cuma mahu memperbetulkan keadaan dalam negara," katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/24

Penyokong kuat Prabowo suspek rasuah

Posted: 23 May 2014 01:02 PM PDT

Jakarta: Agensi antirasuah Indonesia semalam menamakan menteri hal ehwal agama negara itu yang juga penyokong kuat calon presiden Prabowo Subianto - sebagai suspek dalam kes rasuah.

Suryadharma Ali sudah berdepan masalah tahun lalu apabila kementeriannya dikaitkan dengan kes pembelian al-Quran dan kini menjadi antara pegawai kanan yang menjadi sasaran siasatan rasuah.

Jurucakap Suruhanjaya Pembanterasan Rasuah (KPK) Johan Budi berkata, Suryadharma dikenakan perintah larangan perjalanan selama enam bulan sementara siasatan dilakukan terhadap dakwaan bahawa dia terbabit menggelapkan wang kerajaan yang diperuntukkan untuk jemaah haji.

"Ada bukti menunjukkan bahawa suspek menyalahgunakan kuasanya sebagai menteri hal ehwal agama berhubung proses pengurusan jemaah haji," katanya.


Sementara itu, Suryadharma dipetik media sebagai berkata: "Saya berdoa status saya sebagai suspek itu dibuktikan sebagai sekadar salah faham."


Parti Suryadharma, Parti Persatuan Pembangunan yang berteraskan Islam secara rasmi menyertai gabungan lima parti minggu ini menyokong Prabowo bagi pilihan raya presiden pada 9 Julai ini.

Satu lagi parti berasaskan Islam yang menyokong Prabowo turut terbabit dalam kes rasuah besar tahun lalu.

Prabowo bersaing dengan gabenor Jakarta Joko Widodo (Jokowi) yang popular bagi jawatan presiden.

Tinjauan pendapat menunjukkan Jokowi mendahului dengan kira-kira 15 peratus undian, namun Prabowo juga tidak ketinggalan apabila berjaya meraih sokongan beberapa lagi parti politik minggu lalu.

Sementara itu, eksekutif parti PPP, Suhardi berkata, kes terhadap Suryadharma itu tidak langsung memberi kesan terhadap parti Prabowo, Gerindra.

"Sokongan terhadap Prabowo diraih daripada pelbagai parti," katanya.

Suryadharma adalah menteri kedua dalam Kabinet Presiden Susilo Bambang Yodhoyono yang dikaitkan dalam skandal rasuah. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/24

Empat pegawai tak bertanggungjawab didakwa

Posted: 23 May 2014 01:02 PM PDT

Lam Dong, Vietnam: Empat pegawai Pejabat Sumber Asli dan Alam Sekitar di wilayah Lam Dong menghadapi tuduhan di mahkamah kerana 'tidak bertanggungjawab sehingga mengakibatkan kesan buruk' kepada alam sekitar.

Tindakan itu dibuat berikutan siasatan polis menunjukkan mereka secara salah menyenaraikan 78 hektar tanah hutan sebagai tanah terbiar.

Akibat perbuatan mereka itu, ratusan pokok ditebang menyebabkan kerugian lebih VND500 juta (RM75,500). - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/24

No comments:

Post a Comment