Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Pukul anak sampai mati

Posted: 24 May 2014 12:12 PM PDT

Hangzhou: Seorang bapa ditahan polis semalam kerana didakwa memukul anaknya sehingga mati kerana meniru kerja sekolah rakannya.

Menurut polis, lelaki berkenaan bertindak keterlaluan dalam memastikan anak perempuannya yang berusia 11 tahun berjaya dalam pelajaran.


Tekanan yang diletakkan ke atas kanak-kanak untuk berjaya dalam pelajaran mereka semakin meningkat di China kerana desakan persekitaran kerja yang menuntut pekerja berkelayakan kini.

Dalam kejadian itu, polis mendakwa Ye Hung, 35, mengikat anak perempuannya, Chou dan memukulnya dengan kejam di kediaman mereka di Bandar Hangzhou, wilayah Zhenjiang.


Dia kemudiannya keluar sebentar untuk menenangkan diri sebelum masuk semula untuk membuka ikatan anaknya namun mendapati kanak-kanak itu sudah tidak bernafas.


Doktor tidak dapat menyelamatkan kanak-kanak itu yang mati akibat serangan jantung 12 jam kemudian.

Foto

YE memohon maaf ketika berada di hospital, semalam.

Jurucakap polis semalam berkata: "Bapa kanak-kanak itu melutut di sisi katil, menyesali tindakannya. Dia seorang bapa yang yang terlalu mendesak dan bertindak keterlaluan. Ia bukan pembunuhan terancang." Sepupu lelaki itu, Park Jen, 37, berkata: "Dia sebenarnya seorang bapa yang baik dan bertanggungjawab. Dia sangat menitikberatkan soal pelajaran anaknya. Dia menghantar anaknya ke sekolah setiap hari dan jarang memukulnya.


"Dia sangat menyayangi kanak-kanak tetapi percaya mereka perlu melakukan yang terbaik dalam pelajaran mereka dan tidak meniru. Tindakan anaknya meniru dalam menyiapkan kerja sekolah yang diberi menjadikan dia benar-benar marah." - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/25

Aktres Iran mungkin disebat

Posted: 24 May 2014 12:09 PM PDT

Tehran: Seorang aktres Iran menimbulkan kemarahan masyarakat negara itu apabila dia dirakam mencium pipi presiden festival filem Cannes baru-baru ini.

Tindakan Leila Hatami dianggap mencemar kesucian wanita republik Islam itu.


Gambar yang dipaparkan di media Iran menunjukkan Leila mencium pipi Gilles Jacob, 83 ketika mereka bertemu pada majlis pembukaan festival filem itu.

Kini, sekumpulan pelajar universiti yang mempunyai hubungan dengan Pengawal Revolusi Iran, Hizbullah memfailkan aduan kepada badan kehakiman negara itu menuntut pendakwaan dijalankan ke atas Leila.


Dalam petisyen yang dihantar ke mahkamah, kumpulan itu menyatakan: "Kami seperti yang bertanda tangan di bawah adalah kumpulan pelajar Muslim, menuntut Jabatan Media dan Budaya Mahkamah Iran mendakwa Leila Hatami atas tindakannya mencium lelaki bukan mahram di khalayak ramai." Menurut artikel 638 Perundangan Islam negara ini membawa hukuman penjara. "Tindakan aktres itu mencemarkan imej negara Islam Iran. Kerana itu, kami menuntut pelaksanaan hukuman sebat ke atasnya seperti yang termaktub dalam perundangan," kata kumpulan itu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/25

Kunci gari dalam kemaluan

Posted: 24 May 2014 12:09 PM PDT

California: Fantasi seks pasangan warga Kanada berakhir dengan kejadian memalukan apabila seorang wanita terpaksa dihantar ke hospital kerana kunci gari yang mengikat tangan mereka tersekat di dalam kemaluannya.

Pasangan yang hanya mahu dikenali sebagai Jason dan Michelle berada di Van Nuys, California, ketika mereka "melakonkan" fantasi mengenai seorang puteri dan seekor naga.


Kejadian itu dipaparkan dalam satu episod dalam program "Sex Sent Me To The E.R." di saluran TLC.

Ketika melakukan perkara itu, kunci gari yang mengikat tangan mereka di masukkan ke dalam kemaluan Michelle dan tersekat di bahagian uterus menyebabkan mereka terpaksa "menambah babak" fantasi mereka di unit kecemasan hospital.


Pada mulanya, pasangan itu enggan memberitahu perkara sebenar kepada doktor yang melakukan pemeriksaan kerana malu akibat perkara itu.


Namun, selepas doktor gagal mengesan punca masalah yang dihadapi Michelle, dia terpaksa membuka mulut.

"Ia sukar bagi saya, tetapi saya akhirnya terpaksa mendedahkan perkara sebenar," katanya.


Ahli psikologi unit kecemasan, Doktor Michelle Pearl tidak mengendalikan kes berkenaan tetapi dia menyatakan ini bukan kali pertama kes seperti itu terjadi.

Namun, memasukkan kunci ke dalam kemaluan adalah perkara baru," katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/25

Ditahan seminggu

Posted: 24 May 2014 12:08 PM PDT

Bangkok: Tentera Thailand berkata, bekas perdana menteri, Yingluck Shinawatra, ahli kabinet dan pemimpin tunjuk perasaan antikerajaan akan ditahan selama kira-kira seminggu bagi memberikan mereka "masa untuk berfikir".

Perkara itu dinyatakan jurucakap tentera Kolonel Weerachon Sukondhapatipak semalam, tindakan itu bertujuan menghalang pemimpin politik untuk menggerakkan protes menentang pelaksanaan undang-undang tentera di negara itu yang dikuatkuasakan sejak Khamis lalu selepas tunjuk perasaan selama beberapa bulan antara penyokong kerajaan dan antikerajaan yang kadang kala bertukar ganas.

Yingluck dan ramai tokoh politik lain ditahan di satu lokasi rahsia tanpa diberi peluang berhubung dengan dunia luar sejak mereka hadir ke persidangan dengan majlis tentera yang mengambil alih pemerintahan negara itu kelmarin.

Weerachon berkata semua pemimpin politik itu dilayan dengan baik dan tindakan itu diambil bagi mencapai kerjasama politik.

Foto

AKTIVIS Thai melaungkan slogan kepada tentera ketika menunjuk perasaan membantah pelaksanaan undang-undang tentera di Bangkok, semalam.


"Ini adalah sebahagian usaha agar semua yang terbabit dalam konflik ini bertenang dan mempunyai masa untuk berfikir.


"Kami tidak bermaksud merampas kebebasan mereka tetapi tindakan ini dilakukan bagi mengurangkan ketegangan," katanya, semalam.

Pihak tentera memberitahu mereka bertindak demikian bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih buruk selepas pelaksanaan undang-undang tentera.

Ia dilakukan dua hari selepas rundingan damai yang menyaksikan kedua-dua pihak enggan beralah dan tetap bertegas dengan tuntutan masing-masing.

Belum dapat dipastikan jumlah pemimpin politik yang berada dalam tahanan tentera setakat ini.

Antara pemimpin yang hadir di Bangkok kelmarin adalah Yingluck yang dipecat awal bulan ini berkait dengan satu kes penukaran seorang pegawai tinggi kerajaan.

Pemangku perdana menteri, Niwattumrong Boonsongpaisan juga menghadiri majlis itu. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/25

AS gantung bantuan ketenteraan

Posted: 24 May 2014 12:07 PM PDT

Washington: Amerika Syarikat (AS) menggantung bantuan ketenteraan berjumlah AS$3.5 juta (RM11.2 juta), kira-kira satu per tiga daripada bantuannya kepada negara sekutunya, Thailand.

AS juga menggesa rakyatnya menangguhkan lawatan mereka selepas pelaksanaan undang-undang tentera di negara itu.

Jurucakap Jabatan Luar AS, Marie Harf berkata Washington kini mengkaji menarik balik lebih banyak bantuan kepada Thailand jumlah keseluruhan sebanyak RM33.7 juta pada 2013.

"Kami sudah menggantung kira-kira RM11.2 juta bantuan bagi pembiayaan dan latihan tentera Thai," katanya.


Menurutnya, AS turut menilai bantuan yang diperuntukkan pada badan antarabangsa termasuk ASEAN bagi mengenal pasti dana yang disalurkan ke Thailand.


"Kami menggesa pemerintah awam dikembalikan dan demokrasi diwujudkan," kata Marie.

Selain itu, Jabatan Luar AS juga mencadangkan agar rakyatnya menangguhkan lawatan mereka ke Thailand berikutan keadaan yang berlaku.

"Rakyat Amerika di minta sentiasa peka, berhati-hati dan mendapatkan perkembangan daripada media tempatan dan antarabangsa," kata jabatan berkenaan.

Setiausaha Negara, John Kerry juga mengecam pelaksanaan undang-undang tentera di negara itu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/25

Putera Mahkota Thai lari dari kemelut politik

Posted: 24 May 2014 12:06 PM PDT

Hampshire: Putera Mahkota Thailand melarikan diri dari kekacauan politik yang melanda negaranya dengan menginap di sebuah hotel di pinggir bandar raya ini. Putera Maha Vajiralongkorn dan rombongannya seramai 30 orang dilapor menetap di hotel Tylney Hall di Ritherwick.

Vajiralongkorn adalah anak tunggal dan pewaris takhta Raja Bhumibol Adulyade.


Jurucakap hotel itu enggan membuat sebarang komen mengenai tetamu diraja mereka.

"Kami tidak akan menceritakan mengenai tetamu kami," katanya.


Rombongan putera itu tiba seminggu lalu dengan sebuah lori yang membawa sebahagian besar kelengkapan peribadi.


Sebuah kanopi didirikan di halaman belakang hotel bagi menempatkan dua kenderaan mewah putera itu.

Pengawal ditempatkan di sekitar kawasan hotel bagi mengawasi pergerakan tetamu lain.


Putera itu tiba dengan kawalan ketat dengan semua pintu dikunci dan hanya pintu masuk dibuka sebelum kenderaan yang membawa putera itu tiba di hadapan pintu berkenaan bagi menghalang sesiapa melihat ketibaannya.

Sumber berkata: "Putera Thai itu menginap di sini dan membawa 30 orang bersamanya." - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/25

Nasib Suryadharma ditentukan esok

Posted: 24 May 2014 12:06 PM PDT

Jakarta: Presiden Susilo Bambang Yudhoyono akan mengumumkan langkah yang akan diambil terhadap Menteri Agama Suryadharma Ali yang baru-baru ini diumumkan sebagai suspek dalam kes rasuah berkait dengan penyelenggaraan ibadah haji esok.

"Saya akan mengumumkan keputusan Isnin ini (esok)," kata Susilo di Manila kepada wartawan Indonesia yang mengekori lawatannya ke ibu negara Filipina itu, semalam sebelum berlepas pulang ke Jakarta.

Menurutnya, tindakan tepat perlu dilakukan supaya Suryadharma boleh memberi tumpuan kepada kes berkenaan dan mengelak tugas kementerian agama tidak terjejas.

Suruhanjaya Penghapusan Rasuah (KPK) Khamis lalu menamakan menteri itu suspek dalam kes membabitkan penyalahgunaan dana haji.


Susilo berkata, pendiriannya berkait dengan rasuah tetap tidak berubah.


"Hukum dan keadilan tetap akan ditegakkan walaupun yang dinamakan suspek itu menteri kanan," katanya.

Sementara itu, penamaan Suryadharma itu dipercayai akan menjejaskan kempen calon presiden Prabowo Subianto yang mengharapkan sokongan menteri itu dan partinya, Parti Pembangunan Persatuan (PPP) dalam pilihan raya 9 Julai depan. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/25

200 mangsa culik dikesan

Posted: 24 May 2014 12:05 PM PDT

Abuja: Lebih 200 pelajar perempuan yang diculik kumpulan militan di Nigeria berjaya dikesan buat pertama kali semalam.

Pelajar berkenaan diculik dari sekolah mereka lima minggu lalu oleh kumpulan militan Boko Haram.

Seorang pegawai kanan tentera Nigeria melaporkan, pelajar itu dikesan di tiga kem di utara negara itu berhampiran Tasik Chad, 321 kilometer dari tempat mereka diculik.

Bagaimanapun, menurut mereka, ia mungkin mengambil masa beberapa minggu lagi untuk membebaskan mangsa.


"Ia sesuatu yang sangat sukar namun perkembangan ini sesuatu yang baik," kata pegawai itu.


Dalam kenyataan lain, seorang lagi pegawai berkata: "Pertama kali pasukan kami dapat mengesan pelajar itu adalah pada 26 April dan kami mengikuti pergerakan mereka bersama kumpulan militan itu."

Perkembangan itu dinyatakan selepas 150 orang terkorban dalam serangan bom dan senjata yang dilakukan militan terbabit di seluruh negara itu minggu ini.

Pada Selasa lalu, dua serangan bom kereta di pasar yang terletak di pusat bandar mengorbankan sekurang-kurangnya 130 orang awam dan dua hari kemudian 48 terbunuh apabila militan menyerbu dan membakar penempatan peneroka berhampiran Chibok.

Pemimpin Boko Haram mengugut untuk menjual pelajar itu atau memaksa mereka melacur sekiranya kerajaan enggan membebaskan anggota kumpulan itu yang dipenjara. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/25

Nawaz hadiri upacara pelantikan PM India

Posted: 24 May 2014 12:05 PM PDT

Islamabad: Pakistan semalam menerima jemputan kepada Perdana Menteri Nawaz Sharif bagi menghadiri upacara pelantikan Narendra Modi sebagai perdana menteri India.

Kehadiran Nawaz akan menjadi yang pertama dalam sejarah dua negara bersenjata nuklear itu yang pernah terbabit dalam tiga peperangan sejak kemerdekaan kedua-duanya pada 1947.


Setiausaha pejabat perdana menteri Mohyudin Wanit berkata, Pakistan menerima jemputan India kepada Nawaz untuk menghadiri upacara mengangkat sumpah berkenaan bersama-sama dengan pemimpin Asia Selatan lain.

Hubungan kedua-dua negara tegang sejak serangan Mumbai pada 2008 yang didakwa dilakukan oleh kumpulan militan yang berpangkalan di Pakistan. - Reuters.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/25

China kenal pasti pengebom

Posted: 24 May 2014 12:04 PM PDT

Shanghai: Polis China semalam mengenalpasti lima suspek pengebom berani mati yang mendalangi serangan terburuk di Xinjiang.

Sumber melaporkan, 39 orang maut dalam serangan bom di sebuah pasar di Urumqi, Khamis lalu. Polis mengenal pasti suspek sebagai Nurahmat Ablipiz, Memet Memtimin, Raghimjan Memet, Memtimin Mahmat dan Ablet Abdukadir. Polis mendakwa suspek dipengaruhi ideologi pelampau agama, menonton dan mendengar mengenai pengganas menerusi video dan bahan audio.


Kejadian itu adalah serangan berani mati kedua di wilayah itu dalam masa tiga minggu.

Sebelum ini, serangan menggunakan bom dan pisau di stesen kereta api Urumqi April lalu mengorbankan seorang orang awam dan mencederakan 79 yang lain.


China melancarkan pemburuan dan menghukum kumpulan penentang di Xinjiang dengan memfokuskan kepada kumpulan penentang dan pelampau agama, senjata dan bahan letupan. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/25

No comments:

Post a Comment