Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Kereta rempuh 'perut' kapal terbang

Posted: 15 May 2014 01:06 PM PDT

Sepang: Sebuah kereta Perodua Viva milik vendor Penerbangan Malaysia (MAS) dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh bahagian perut pesawat B737-800 milik Malaysia Airlines (MAS) yang diparkir di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini menyebabkan penerbangan MH740/741 ke Yangon, Myanmar itu ditunda selama 40 minit, pagi semalam.

Pengarah Operasi MAS Kapten Izham Ismail berkata, jurutera MAS segera ke lokasi kejadian untuk melakukan pemeriksaan awal dan mendapati tiada kerosakan serius yang boleh mendatangkan risiko terhadap struktur pesawat.

"Bagaimanapun, pesawat itu tidak dibenarkan berlepas agar pemeriksaan lebih lanjut dapat dilakukan," katanya kenyataan dikeluarkan MAS petang semalam.

Akibat kejadian itu, penerbangan MAS MH740/741 yang dijadual berlepas jam 10.05 pagi terpaksa ditunda manakala penumpang dipindahkan ke penerbangan seterusnya 40 minit kemudian.

Foto

KEADAAN kereta yang merempuh bahagian perut pesawat sepatutnya berlepas ke Yangon, semalam.

Foto

KEADAAN kereta yang merempuh bahagian perut pesawat sepatutnya berlepas ke Yangon, semalam.


Izham menegaskan keselamatan penumpang MAS sentiasa menjadi keutamaan manakala pemandu kereta jenis Perodua Viva berkenaan diambil tindakan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/16

Ibu bapa direman

Posted: 15 May 2014 01:00 PM PDT

Kota Kinabalu: Pasangan suami isteri yang juga ibu-bapa kepada mangsa culik, Low Min You, 3, direman polis selama tiga hari bagi membantu siasatan berhubung kes kecuaian di Mahkamah Majistret, di sini, semalam.

Kedua-dua mereka berusia 31 dan 26 tahun dilihat dibawa ke Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu, kira-kira jam 8 pagi sebelum beredar sambil diiringi anggota polis, kira-kira empat jam kemudian.

Difahamkan, permohonan itu dilakukan melalui pegawai penyiasat, Inspektor B Shreethran yang memohon pasangan itu direman selama tujuh hari selepas siasatan mendapati terdapat percanggahan rakaman kenyataan di antara mereka.

Menurut Shreethran, permohonan reman itu wajar berikutan kes kehilangan kanak-kanak terbabit menarik perhatian ramai, bukan saja penduduk di negeri ini, sebaliknya seluruh negara.


Bagaimanapun, peguam bela pasangan berkenaan, Ram Singh berkata, tiada kepentingan menahan pasangan itu untuk jangka masa lama kerana mereka memberi kerjasama baik kepada polis sejak hari pertama kehilangan anak mereka.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/16

Kasih 12 tahun ke jenjang pelamin

Posted: 15 May 2014 12:52 PM PDT

Kota Bharu: Dua belas tahun menyulam kasih, akhirnya penyanyi Nur Farah Idayu Yaakub atau Idayu diijabkabulkan dengan pasangannya, Shahrul Fadzil, 30, di rumah keluarga di Pasir Hor, dekat sini, pagi semalam.

Dengan sekali lafaz, bekas peserta Akademi Fantasia musim ketiga (AF3) itu sah menjadi isteri Shahrul yang juga komposer dengan berwalikan abangnya, Ahmad Fairul Yaakob.

Idayu yang mengenakan persalinan serba putih menerima sembilan dulang berbalas sembilan kepada pihak lelaki, berserta wang hantaran RM15,000.

Pasangan itu diraikan dalam majlis yang dihadiri kira-kira 500 tetamu.

Ketika ditemui, Idayu melahirkan rasa syukur kerana hubungan yang disulam sejak menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam membawa ke jinjang pelamin.

"Kami sama-sama menuntut dalam jurusan muzik di UiTM dan perkenalan ketika zaman belajar itu membawa kepada fasa yang lebih serius.

"Kalau dihitung hampir 12 tahun juga kami bersama sebelum membuat keputusan untuk bertunang pada Ogos tahun lalu.

"Alhamdulillah hari ini (semalam), kami sah bergelar suami isteri," katanya.

Ditanya mengenai kerjaya seninya, Idayu yang juga adik kepada Ahli Parlimen Machang Datuk Ahmad Jazlan memberitahu, dia masih aktif menyanyi di majlis tertentu dan menerima undangan untuk persembahan korporat.

Katanya, suami yang berkecimpung dalam bidang sama juga tidak menghalang dia untuk bergiat aktif, malah sentiasa memberi sokongan penuh.

"Insya-Allah saya akan tampil dengan album baru tidak lama lagi," katanya.

Pasangan itu juga merancang berbulan madu di tiga destinasi iaitu Langkawi, Jepun dan Bali pada Jun ini, selepas majlis menyambut menantu di Jitra Kedah dan majlis resepsi di Kuala Lumpur selesai.

Foto

IDAYU dan Shahrul pada majlis perkahwinan mereka di kediaman pengantin perempuan di Pasir Hor, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/16

'Lagu kenangan abadi'

Posted: 15 May 2014 12:50 PM PDT

Kuala Lumpur: "Kesihatan Allahyarham merosot pada 1 Mei lalu dan terus dikejarkan ke Hospital Ampang. Doktor mengesan ada jangkitan kuman dan keesokan harinya dia tidak sedarkan diri. Seterusnya arwah dimasukkan ke wad ICU (Unit Rawatan Rapi) selama lapan hari.

"Keadaannya bertambah baik dan selepas itu doktor menempatkan dia di wad biasa pada 9 Mei lalu, tetapi tenat semula beberapa hari selepas itu selain turut mengalami muntah darah," kata Norliza Ayat, 46, isteri penyanyi dan komposer terkenal Adam Ahmad, 49, yang meninggal dunia akibat komplikasi penyakit darah tinggi, kencing manis dan masaslah paru-paru di Hospital Ampang, di sini, tengah malam semalam

Penyanyi yang popular dengan lagu Kau Pergi Jua itu meninggal dunia jam 12 tengah malam selepas hampir dua minggu dirawat di Hospital Ampang.

Norliza berkata, dia dan suaminya tinggal di Pulau Pinang dan mengusahakan restoran dinamakan Adam Ahmad Cafe di Georgetown.

Foto

NORLIZA bersama Ibnor (kiri), Malik dan DJ Dave (kanan) melihat sebahagian hasil karya Adam


"Arwah balik ke Kuala Lumpur untuk buat pemeriksaan kesihatan bulanan di hospital ini. Dia tiada penyakit serius kecuali darah tinggi. Apabila diberitahu dia dimasukkan ke ICU, saya bergegas datang dari Pulau Pinang untuk berada di sampingnya.


"Malam tadi arwah minta saya belikan roti dan air milo, tetapi malangnya semasa dalam perjalanan ke hospital selepas membeli apa yang diminta, saya diberitahu dia meninggal dunia," katanya ketika ditemui semalam.

Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pusara Permai, Ampang, di sini pada jam 9.30 pagi semalam.

Norliza yang berkahwin dengan Allahyarham pada 19 Disember 2010 berkata, suaminya tidak menunjukkan sebarang tanda ganjil kecuali berpesan supaya menjaga dua anak mereka dengan baik.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/16

3 individu termasuk pegawai polis diburu

Posted: 15 May 2014 12:49 PM PDT

Ipoh: Tiga individu termasuk seorang pegawai polis berpangkat Cif Inspektor, kini dicari bagi membantu siasatan berhubung tiga kes berasingan membabitkan kes penipuan, pecah amanah dan penggunaan lambang Ahli Diraja Perak.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Perak Superintendan Maszely Minhad berkata, ketiga-tiga individu itu dikehendaki polis selepas usaha mengesan dan mencari mereka berdasarkan alamat terakhir gagal.

Menurutnya, bagi kes membabitkan seorang pegawai polis, dia dikehendaki untuk membantu kes pecah amanah yang berlaku pada 2005 membabitkan kes kecurian di rumah seorang mangsa di Kampung Tawas, di sini.

"Selepas kes selesai, mangsa meminta semula barangan kemas miliknya dianggarkan bernilai RM40,000 yang dicuri, namun terkejut apabila dimaklumkan semua barang yang dijadikan bahan bukti itu diserahkan kepada pemilik berdasarkan satu surat serah menyerah dan mangsa mendakwa tidak pernah menandatangani surat berkenaan.

"Kertas siasatan kes pecah amanah itu kini dibuka dan disiasat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan di mana suspek adalah Cif Inspektor Mohd Yunud Awang, namun suspek masih gagal dikesan hingga kini," katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Maszely berkata, alamat terakhir suspek adalah di Nombor 383, Taman Dinding Ayer Tawar, Manjung, dekat sini dan polis meminta orang ramai yang mengenalinya supaya menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Zaharah Jaafar di talian 017-3195 672 atau 05-5461 071.

"Individu kedua yang dicari Wong Yau Choy, 67, yang dipercayai terbabit dalam kes pemalsuan dokumen pertukaran hak milik sebuah rumah yang dianggarkan bernilai RM650,000 tanpa pengetahuan dan kebenaran pemilik asal.

"Alamat terakhir warga emas itu adalah di Nombor 965, Jalan Raja Muda Pasir Pinji, di sini, dan sesiapa yang mempunyai maklumat mengenainya diminta menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Azlinda di talian 012-2262 105 atau 05-5461 071," katanya.

Menurutnya, individu terakhir yang dicari adalah Khiu Fu Sang, 33, yang dikehendaki bagi membantu kes penggunaan lambang Ahli Diraja Perak yang kini disiasat mengikut Seksyen 3 (1) Enakmen Lambang-Lambang dan Nama-Nama (mencegah penggunaan yang tidak betul), 1966.

Katanya, lelaki terbabit sudah cuba dikesan di empat alamat di Negeri Sembilan, namun masih gagal ditemui dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi pegawai penyiasat Asisten Superintendan Suraiya Ahmad di talian 016-9226 256.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/16

No comments:

Post a Comment