Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


'Beri saya 12 bulan'

Posted: 19 May 2014 10:11 AM PDT

Kuala Lumpur: Tunku Ismail Sultan Ibrahim hanya mahu diberikan tempoh setahun untuk membuat perubahan dalam Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sekiranya beliau mendapat kepercayaan ahli gabungan untuk menerajui badan induk bola sepak tanah air itu.

Perkara itu didedahkan Penasihat Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) Tan Sri Annuar Musa menerusi status yang dimuat turun dalam laman sosial Facebook miliknya semalam selepas beliau difahamkan mengadakan pertemuan dengan Tunku Ismail dengan beberapa wakil ahli gabungan FAM baru-baru ini.


Menurut kenyataan itu, Tunku Ismail yang bakal mencabar penyandang Presiden FAM Sultan Ahmad Shah dan anakandanya yang juga Timbalan Presiden Tengku Abdullah pada Mesyuarat Kongres Pemilihan ke-50, Ahad ini bersedia untuk melepaskan jawatan Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) bagi memberikan komitmen terhadap FAM.

"Jika saya dipilih Presiden FAM, saya akan lepaskan jawatan di Johor," katanya.


Malah ketika ditanya jika gagal melaksanakan tanggungjawab itu dengan tegas Tunku Ismail berkata: "Saya berhenti selepas setahun, beri laluan kepada yang boleh bawa perubahan." Tunku Ismail yang membuat kejutan apabila menerima pencalonan ahli gabungan untuk bertanding merebut jawatan Presiden FAM bagi penggal 2014-2018 mula mendapat perhatian dalam arena bola sepak tempatan apabila berjaya menaikkan semula pasukan Johor Darul Ta'zim serta menyemarakkan minat penyokong skuad Harimau Selatan itu.


Namun hasratnya untuk menduduki kerusi tertinggi di Wisma FAM bukan mudah apabila pengaruh Sultan Ahmad Shah dilihat masih kuat malah Tengku Abdullah juga mahu mewarisi jawatan ayahandanya andai beliau mendapat lebih kepercayaan ahli gabungan.

Foto

Tunku Ismail Sultan Ibrahim

Annuar yang tidak layak bertanding mempertahankan jawatan timbalan presiden kerana masih menjalani hukuman penggantungan dua tahun enam bulan akibat melanggar Artikel 88 Statut FAM menyuarakan rasa puas hati dengan hasil pertemuan dengan Tunku Ismail itu.


"Tunku Ismail dengan ghairah bercakap mengenai bola. Visinya jelas, ideanya bernas. Saya yakin TMJ (Tengku Mahkota Johor) mampu merubah bola sepak Malaysia. Sayangnya saya tak boleh mengundi," kata Annuar.

Seramai 39 perwakilan daripada 20 ahli gabungan akan diberikan hak untuk mengundi pada kongres Ahad ini bagi memilih barisan kepimpinan FAM untuk tempoh empat tahun lagi.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/20

Dilema penyudah

Posted: 19 May 2014 09:52 AM PDT

California: Sudah 12 tahun berlalu sejak penyerang Amerika Syarikat (AS) menjaringkan gol di Piala Dunia.

Jaringan Brian McBride ketika menentang Mexico pada pusingan kedua Piala Dunia Korea Selatan pada 2002 membantu AS melangkah ke suku akhir sekali gus melakar pencapaian terbaik sejak 1930.


Sejak itu, AS mengumpul lapan gol dalam Piala Dunia dengan tujuh daripadanya dihasilkan pemain tengah Landon Donovan, Clint Dempsey dan Michael Bradley selain jaringan sendiri pemain Itali.

"Saya tidak sedar dengan fakta itu," kata Chris Wondolowski, antara penyerang yang mengintai tempat bersama skuad Piala Dunia sebelum sesi latihan kelmarin.


"Jika penyerang menjaringkan gol, kami akan gembira. Jika pertahanan menjaringkan hatrik, kami juga akan gembira." Ketika AS melakukan persiapan untuk menghadapi kejohanan di Brazil bulan depan, tekanan untuk menjaringkan gol lebih terarah kepada Jozy Altidore dan Dempsey.


Altidore menjaringkan 21 gol untuk AS musim lalu dan menjadi pemain pertama menjaringkan gol dalam lima perlawanan antarabangsa berturut-turut. Begitupun, dia bergelut pada musim pertamanya bersama Sunderland di Liga Perdana apabila sekadar meraih dua gol dalam 38 perlawanan.

Ia menyamai persembahannya empat tahun lalu apabila hanya menjaringkan dua gol dalam 30 perlawanan ketika dipinjamkan semusim ke Hull. Dia berada dalam kesebelasan utama dalam semua perlawanan AS di Piala Dunia 2010 pada usia 20 tahun.


Pada 2011-12, dia menjaringkan 20 gol untuk AZ Alkmaar di Belanda dan menambah 31 gol musim berikutnya, melakar rekod untuk pemain AS bersama kelab Eropah. Ia membolehkan dia berpindah ke Liga Perdana dengan jumlah wang yang besar, tetapi disusuli kemarau jaringan sekali lagi.

"Kami memiliki ramai pemain yang mampu melaksanakan tugas itu," katanya.


Jurulatih AS Jurgen Klinsmann menggugurkan Altidore dalam dua perlawanan kelayakan pada Oktober 2012 selepas timbul masalah di kem pada Mei-Jun disusuli persembahan buruk ketika menentang Jamaica. Klinsmann pernah mencabar Altidore kerana menyedari pemain itu mampu mempamerkan aksi lebih baik. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/20

Van Gaal sah ganti Moyes

Posted: 19 May 2014 09:51 AM PDT

London: Ryan Giggs mengumumkan persaraannya sebagai pemain Red Devils selepas dilantik sebagai penolong pengurus kepada pengendali baru Manchester United, Louis van Gaal.

Bekas pemain paling senior United berusia 40 tahun itu memberitahu keputusan berkenaan menerusi surat terbuka kepada peminat seperti yang disiarkan di laman web rasmi kelab.


Kenyataan itu menjadi petanda kepada pengakhiran karier seorang pemain hebat Liga Inggeris dan beliau pernah memenangi 34 gelaran utama sepanjang 963 penampilan bersama United.

"Hari ini adalah hari yang hebat buat United," kata pengurus sementara Giggs yang mengendalikan kelabnya untuk empat perlawanan selepas David Moyes dipecat.


"Van Gaal bakal menjadi lantikan sempurna dan saya gembira dapat bekerja dengan seseorang yang hebat sepertinya. Keupayaannya cukup terkenal dan saya yakin kelab akan bertambah berkembang di bawah bimbingannya." Giggs yang turut berterima kasih kepada semua kakitangan United termasuk keluarganya yang banyak memberikan sokongan sejak mula bermain di kelab itu pada 1990, meluahkan kegembiraannya terhadap apa yang berlaku. "Bagi saya, hari ini menuntut emosi yang bukan sedikit - maruah, sedih tetapi yang utama, kecemerlangan pasukan di masa depan," kata bekas pemain antarabangsa Wales itu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/20

'Skuad kami menggerunkan'

Posted: 19 May 2014 09:50 AM PDT

London: Steven Gerrard menganggap skuad Piala Dunia England yang membariskan ramai pemain muda sebagai pasukan yang mampu menghadirkan gerun buat lawan.

Kapten England itu menyebut nama Ross Barkley, Raheem Sterling dan Luke Shaw sebagai antara pemain muda yang bakal menyerlah di Brazil pada temasya itu nanti.


"Saya harap mereka tidak akan gementar dan mampu bermain sepenuh hati di Brazil nanti," kata Gerrard.

"Ramai pemain muda yang menyerlah musim ini dan saya yakin pengurus Roy Hodgson berharap aksi hebat yang dipamerkan itu dapat diteruskan di Brazil." Gerrard menambah, beberapa pemain berpengalaman dalam skuad 23 pemain pilihan Hodgson itu perlu memainkan peranan untuk melegakan tekanan yang mungkin dihadapi pemain muda selain berusaha membimbing mereka.


Piala Dunia Brazil bakal menjadi pentas ketiga buat Gerrard dan kedua selaku kapten selepas dia menggantikan Rio Ferdinand yang cedera pada 2010.


"Bodoh kalau saya katakan kami pasti muncul juara," kata pemain tengah Liverpool berusia 33 tahun itu.

"Apa yang boleh saya jamin ialah kami akan ke sana dan memberi persembahan 100 peratus. Itu saja.


"Semua pasukan yang bertanding mahu memburu gelaran. Apa yang boleh kami lakukan ialah bermain sebagai satu pasukan, bekerja keras dan mencari peluang untuk membuktikan sesetengah pendapat yang memperlekeh kemampuan kami tidak benar." Perlawanan pertama England menentang Itali berlangsung di Manaus, berdekatan hutan Amazon pada 14 Jun, tetapi penjaga gol Joe Hart enggan menjadikan cuaca sebagai alasan untuk tidak mempamerkan persembahan sebenar.

"Cuaca di sana memang panas, tetapi kami perlu hadapinya sama ada suka atau tidak," kata pemain Manchester City berusia 27 tahun itu.


"Ia tidak boleh dijadikan alasan. Ia hanyalah faktor cuaca. Saya akan ke sana dan cuba menang setiap perlawanan. "Jika menang semua perlawanan, sudah tentu kami juara. Kami tidak boleh menerima sebarang kegagalan." Selain Itali, England yang diundi dalam Kumpulan D turun menentang Uruguay pada 19 Jun dan Costa Rica pada 24 Jun. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/20

Mandanda kecewa

Posted: 19 May 2014 09:49 AM PDT

Paris: Penjaga gol Perancis, Steve Mandanda terpaksa diketepikan daripada kempen Piala Dunia selepas mengalami kecederaan leher pada aksi terakhir Ligue 1, Sabtu lalu.

Pemain berusia 29 tahun itu yang diletakkan sebagai pilihan kedua di belakang kapten Hugo Lloris, retak tulang leher ketika beraksi untuk Marseille.


Mandanda mengesahkan penarikan dirinya menerusi Twitter. "Dengan rasa dukacita, saya mengumumkan tidak akan mengambil bahagian di Piala Dunia." Tempatnya mungkin digantikan penjaga gawang St Etienne, Stephane Ruffier, 27.

Mandanda yang pernah beraksi 16 kali buat negaranya, cedera di leher selepas terkena lutut pemain Guingamp, Mustapha Yatabare.


Marseille tewas perlawanan terakhir liga 1-0 di tangan Guingamp.


Perancis diundi dalam Kumpulan E yang akan memulakan aksi pada 12 Jun.

Mereka bakal berdepan Honduras pada 15 Jun sebelum bertemu Ecuador dan Switzerland. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/20

Mitroglou isi slot terakhir

Posted: 19 May 2014 09:49 AM PDT

Athens: Penyerang Fulham, Kostas Mitroglou mengisi slot terakhir senarai 23 pemain Piala Dunia Greece walaupun aksinya musim ini tidak begitu memberangsangkan.

Mitroglou meledak tiga daripada empat gol Greece ketika menang menerusi agregat 4-2 ke atas Romania pada play-off kelayakan Piala Dunia, November lalu.


Dia pernah menjaringkan beberapa hatrik buat Olympiakos termasuk ketika Liga Juara-Juara, tetapi terlepas aksi selama sebulan akibat kecederaan sebelum mengikat kontrak bersama Fulham.

Mitroglou bergelut dengan kecederaan lutut dan aksinya di kelab yang tersingkir di Liga Perdana Inggeris tidak begitu meyakinkan.


"Satu-satunya kriteria yang menjadi teras pemilihan saya ialah pemain yang dipilih perlu membuatkan saya rasa selamat terutama dari segi teknikal dan fizikal mereka," kata jurulatih Greece Fernando Santos.


"Kami sedar, pada perlawanan terakhir Fulham, Mitroglou hanya bermain 30 minit, tetapi sumbangannya boleh membantu pasukan," kata Santos.

Santos turut membawa masuk pertahanan Verona, Vangelis Moras selepas tiga tahun diketepikan daripada skuad kebangsaan.


Greece diundi dalam Kumpulan C bersama Colombia, Ivory Coast dan Jepun.

"Dia mengharungi musim hebat bersama pasukannya dan kini berada pada tahap terbaiknya. Dia menepati kriteria pemilihan saya," kata Santos.


Pemain yang digugurkan daripada senarai awal ialah penjaga gol Apollon, Alexandros Tzorvas, pertahanan Olympiakos, Avraam Papadopoulos, pertahanan Levande, Nikos Karabelas, pemain tengah Kaiserslautern, Kostas Fortounis, penyerang Atromitos, Dimitris Papadopoulos, penyerang Panathinaikos, Nikos Karelis dan penggempur PAOK, Stefanos Athanasiadis.


Selain itu, Santos turut mengenepikan pertahanan Olympiakos, Dimitris Siovas. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/20

Juventus gah lakar rekod

Posted: 19 May 2014 09:48 AM PDT

Turin: Juara Serie A, Juventus melakar kempen penuh memberangsangkan apabila menang 3-0 ke atas Cagliari dan melakar dua rekod baru, menang semua perlawanan di Stadium Juventus dan berjaya menghasilkan lebih 100 gol semusim.

Cagliari menjadi mangsa terakhir Juve musim ini dan Andrea Pirlo, Fernando Llorente serta Claudio Marchisio meledak jaringan sekali gus membolehkan mereka menjulang Scudetto buat kali ketiga berturut-turut.


Juventus menang 3-0, semua jaringan terhasil di babak pertama, tetapi persembahan mereka sepanjang 90 minit di Turin cukup menghiburkan.

Awal permainan, Carlos Tevez dan Pirlo hampir memberikan pendahuluan buat tuan rumah, tetapi kelincahan penyerang lawan ketika serangan balas hampir membuatkan Juve merana.


Penantian peminat untuk gol pertama berakhir apabila Pirlo menyempurnakan sepakan percuma yang juga gol ketujuh peribadinya musim ini.


Selepas 30 minit, penyokong kembali bersorak apabila pertahanan Cagliari gagal mengeluarkan bola hantaran Pirlo yang mudah ditolak masuk Llorente.

Lima minit sebelum rehat, Marchisio menambah gol ketiga dan kedudukan kekal hingga tamat permainan. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/20

Robben pemusnah Dortmund

Posted: 19 May 2014 09:46 AM PDT

Munich: Berdasarkan kamus, perkataan 'deja vu' bermaksud ulangan kepada sesuatu yang pernah dilihat atau dirasai seseorang.

Itulah yang berlaku ke atas kem Borussia Dortmund ketika bertemu Bayern Munich pada perlawanan akhir Piala Jerman, kelmarin dan Arjen Robben menghadiahkan kemenangan buat gergasi Jerman sekali gus menjadi kejayaan ke-17 secara keseluruhan.


Robben pernah melakukan aksi serupa, menjaringkan gol pada lewat permainan ketika menentang musuh sama di final Liga Juara-Juara tahun lalu.

Ketika berucap pada majlis meraikan kejayaan itu, pengerusi kelab Karl-Heinz Rummenigge menyifatkan Robben sebagai pemusnah paling digeruni Dortmund.


"Robben menjaringkan gol dalam tiga aksi terakhir menentang Dortmund dan kini mengumpul lapan gol dalam 13 kemunculan menentang pasukan itu. Pemain Belanda itu menjaringkan lebih banyak gol berbanding pemain tempatan.


"Arjen adalah pemain profesional yang mengharungi suka-duka bersama kami. Dia komited terhadap tugasnya. Dia layak dipuji," kata ahli lembaga pengarah kelab Matthias Sammer.

Robben sudah beberapa kali muncul wira dan penyelamat kepada pasukan diwakilinya.


"Ini adalah antara perlawanan yang perlu anda perhatikan sepanjang musim," kata Arjen selepas kejayaan pasukannya.

Pep Guardiola memilih untuk menurunkan Robben selaku penyerang tengah ketika menentang Dortmund dan ternyata ia berbaloi.


"Ia posisi baru buat saya. Saya tidak memegang bola seperti biasa, tetapi hanya menunggu peluang. Saya tahu peluang itu pasti tiba dan perlu bersabar," katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/20

Ikut jejak idola

Posted: 19 May 2014 09:45 AM PDT

Sydney: Kejayaan Adam Scott menjadi pemain golf nombor satu dunia dilihat langkah permulaan untuknya mengikut jejak jejak idolanya sejak kecil, Greg Norman.

Scott, 33, merampas kedudukan ranking utama dari Tiger Woods untuk menjadi pemain golf nombor satu dunia buat kali pertama dalam kariernya.


Dia muncul pemain Australia pertama menduduki ranking teratas sejak Norman yang mendominasi kedudukan itu selama 331 minggu pada 1980-an dan 1990-an.

Scott sering berbicara mengenai inspirasi yang dicetus Norman dalam karier golf dan memberikan penghormatan kepada juara dua kejohanan utama itu selepas merangkul kejuaraan Masters Augusta tahun lalu.


"Sebahagian daripada kejayaan ini adalah untuk Norman kerana beliau memberikan saya sumber inspirasi dan keyakinan," kata Scott. "Saya sangat menghargainya. Saya memerlukan kekuatan itu ketika melakukan setiap pukulan.


"Beliau banyak memberikan sumbangan kepada diri saya dan juga pemain muda Australia yang lain untuk menjejaki langkahnya." Norman sudah meramalkan Scott akan merampas kedudukan nombor satu dunia milik Tiger Woods dan membayangkan anak didiknya itu bakal menduduki tangga teratas selepas empat kali mensia-siakan peluang beberapa bulan lalu.

Scott sering bercakap mengenai cita-citanya untuk mengikut langkah Norman yang mendominasi sukan golf dunia dengan karisma tersendiri.


"Saya secara jujur berasa boleh mengulangi kejayaan yang dikecapi Greg," kata Scott.

"Saya mempunyai sasaran sendiri. Greg memiliki karisma dan aura, saya tidak tahu jika kekuatan itu anda peroleh menerusi kejayaan atau semula jadi dan saya tidak tahu sama ada saya juga memilikinya.


"Namun, sasaran saya adalah untuk mengikut langkah Greg dan saya dalam kedudukan terbaik untuk melakukannya." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/20

Masters Rome tonik terbaik Djokovic

Posted: 19 May 2014 09:45 AM PDT

Rome: Novak Djokovic percaya kejayaan merangkul kejuaraan Masters Rome selepas menundukkan Rafael Nadal tonik terbaik menjulang gelaran Terbuka Perancis dan melengkapkan karier Grand Slam.

Pemain nombor dua dunia itu bangkit selepas kekalahan set pertama untuk menewaskan juara tujuh kali Rome, Nadal 4-6, 6-3, 6-3 sekali gus memastikan kejuaraan ketiganya di bandar raya Itali itu.


Ia kemenangan keempat berturut-turut ke atas pemain nombor satu dunia itu yang hadir seminggu sebelum Terbuka Perancis bermula, satu-satunya gelaran yang belum dimenangi bintang Serbia terbabit.

"Memenangi final di kejohanan hebat menentang Rafa di gelanggang tanah liat pasti memberi suntikan semangat," kata Djokovic.


"Saya sangat gembira dengan permainan saya dan berharap dapat mengekalkan rentak ini di Roland Garros." Kemenangan semalam membolehkan Djokovic merangkul gelaran Masters ke-19 dan kemenangan ke-19 ke atas Nadal dalam 41 pertemuan.


Ia juga memberi keyakinan kepada pemain berusia 26 tahun itu terhadap kemampuannya selepas mengalami kecederaan pergelangan tangan yang meranapkan impian mempertahankan gelaran Masters Monte Carlo serta kejohanan Masters Madrid.

"Ia minggu yang hebat jika mengambil kira kecederaan dialami beberapa minggu lalu dan saya tidak tahu bagaimana keadaan pergelangan tangan saya selepas pulih minggu ini," katanya.


"Saya tidak berasa sakit ketika bermain dan ia membantu meningkatkan lagi permainan." Djokovic, juara enam kali kejohanan utama selepas merangkul empat kejuaraan Terbuka Australia dan satu Terbuka Amerika Syarikat dan Wimbledon dikecewakan Nadal pada final Roland Garros 2012.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/20

No comments:

Post a Comment