Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Tiada tiket automatik

Posted: 21 May 2014 10:52 AM PDT

Kuala Lumpur: "Tiada tempat automatik buat pelumba trek negara ke Sukan Komanwel dan Asia."

Itu pendirian tegas Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) yang mahu barisan pelumba negara terlebih dulu membuktikan kemampuan masing-masing di Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) di Kazakhstan yang bermula hari ini.


"Saya sudah berbincang dengan ketua jurulatih negara, John Beasley dan beliau bersetuju pelumba negara perlu menamatkan perlumbaan sekurang-kurangnya di tempat kelima di ACC untuk terpilih. Tiada tempat automatik buat mereka sekiranya mahu tersenarai dalam dua kejohanan tahun ini walaupun mereka nama besar," kata Timbalan Presiden PKBM Datuk Naim Mohamad.

Peringatan itu memberi isyarat jelas kepada barisan pelumba negara seperti Azizulhasni Awang, Josiah Ng, Edrus Mohd Yunos, Muhammad Shah Firdaus, Mohd Harrif Salleh, Adiq Husainie Othman, Amir Mustafa Rusli, Firdaus Mohd Zonis, Fatehah Mustapa dan Jupha Somnet untuk menghasilkan keputusan terbaik di Velodrom Saryarka, Astana. "Kami di PKBM perlu memberi keyakinan kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) sebagai jawatankuasa pemilih bahawa pelumba yang terpilih berdasarkan merit atau kebolehan dipamerkan," katanya.


Acara trek menjadi sandaran utama buat kontinjen negara di dua temasya berkenaan selepas kemampuan dipamerkan mereka pada edisi empat tahun lalu.


Untuk Sukan Komanwel 2010, skuad trek negara menyumbang satu emas menerusi Josiah dan perak menerusi Mohd Rizal Tisin manakala Azizulhasni menyumbang satu emas di Sukan Asia.

Foto

AZIZULHASNI (depan) harus pamer aksi terbaik untuk terpilih ke Sukan Komanwel dan Asia.

Beasley tidak meletakkan sasaran khusus untuk ACC namun mahu sekurang-kurangnya dua pingat emas diraih anak buahnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/22

Buru trofi decima

Posted: 21 May 2014 10:08 AM PDT

Madrid: Selepas mencatat nama selaku penjaring terbanyak Liga Juara-Juara serta pemenang anugerah FIFA Ballon d'Or, Cristiano Ronaldo berharap dapat menamatkan saingan musim ini dengan sesuatu yang lebih menggembirakan 'decima' (kejayaan Real Madrid menjulang Piala Eropah buat kali ke-10).

"Decima adalah saat paling ditunggu-tunggu semua warga Madrid dan secara khususnya peminat setia Real," kata Ronaldo yang ditemui ketika menjalani latihan akhir menjelang final Liga Juara-Juara.


"Kami berada dalam keadaan yang gembira dan tenang. Justeru, kami perlu menang pertemuan ini." Tahun ini boleh dianggap sebagai cukup menjadi buat penggempur Portugal itu yang sudah meledak 16 gol sepanjang aksi liga utama Eropah hingga membolehkan namanya diangkat sebagai pemenang anugerah FIFA Ballon d'Or.

Begitupun, Ronaldo masih belum puas dengan pencapaian itu dan mahukan kempen musim ini ditamatkan dengan kejayaan bermakna di Lisbon.


"Perlawanan itu pasti menjadi sesuatu yang sangat istimewa. Saya akan bermain di tanah kelahiran dan di depan penyokong sendiri," kata pemain berusia 29 tahun itu.


"Ini adalah final pertama saya bersama Real. Justeru, ia sangat istimewa dan tambahan pula, kami akan menentang kelab yang hebat, Atletico.

"Mereka mengharungi musim mengagumkan. Tetapi kami akan cuba sedaya upaya untuk menang dan menjulang Liga Juara-Juara." Ketika decima dilihat bukan sesuatu yang mustahil buat Real, Ronaldo sedar sejarah untuk kelabnya itu boleh dilakar di Estádio do Sport Lisboa e Benfica, gelanggang rasmi final tahun ini.


"Ia adalah kejuaraan yang sudah lama kami idamkan. Real Madrid mahu memeluk Piala Eropah buat sekian lama. Sejak hari pertama saya di sini, kami sudah merasakan bahawa kami mampu menjulangnya.

"Kami dapat rasakan semakin hampir untuk muncul juara." - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/22

Aragones inspirasi Atletico

Posted: 21 May 2014 10:07 AM PDT

Madrid: Atletico Madrid berdepan Real Madrid pada final Liga Juara-Juara hujung minggu ini dengan impian untuk memadam semua insiden buruk yang pernah berlaku kepada mereka sebelum ini.

Kelab yang turut dikenali sebagai Los Rojiblancos itu terlepas aksi Piala Eropah apabila tewas di tangan Bayern Munich, 40 tahun lalu dan apa yang menyedihkan kekalahan itu hadir beberapa saat sebelum masa penamat.


Ahad lalu, kira-kira 200,000 penyokong setia Atletico Madrid berkumpul di air pancut Neptuno serta beberapa jalan utama di tengah ibu negara Sepanyol untuk meraikan kejayaan menjulang La Liga buat kali pertama dalam tempoh 18 tahun.

Begitupun, di sebalik kecemerlangan dipamerkan pengurus Diego Simeone atau penjaring terbanyak Diego Costa, nama yang turut disebut peminat ialah Luis Aragones.


Aragones individu yang mengendalikan Sepanyol ketika menang tiga kejuaraan utama dan mendiang meninggal dunia 1 Februari lalu pada usia 75 tahun.


Sejak itu, mendiang menjadi inspirasi kepada kebangkitan Atletico sepanjang 111 tahun penubuhannya.

Gambar Aragones akan diletakkan di dinding pesawat yang membawa pemain Atletico ke Lisbon untuk mengharungi final Liga Juara-Juara dan gambar itulah juga dijadikan azimat ketika menentang AC Milan di kelompok 16 terakhir.


Ketika AC Milan dilihat mudah ditewaskan 5-1 oleh Atletico, kata-kata yang pernah diluahkan Aragones 'menang, menang dan menang lagi' dan ayat itu kembali dilaungkan ketika mereka melayan kunjungan Barcelona di suku akhir.

Walaupun dilihat sukar menjulang La Liga - Atletico dikira pemenang selepas seri 1-1 dengan Barca - Simeone tetap tampil mengucapkan terima kasih kepada semua yang pernah membantunya untuk berjaya di Atletico.


Sehari selepas kematian Aragones, mereka menduduki tangga teratas buat kali pertama sejak 18 tahun lalu dan tidak pernah turun daripada kedudukan berkenaan.


"Satu-satunya cara untuk menaikkan semangat pemain ialah dengan menunjukkan kepada mereka jersi kebanggaan pasukan," kata Simeone. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/22

'Cepatlah, saya dah tak sabar!'

Posted: 21 May 2014 10:01 AM PDT

Sao Paulo: Ketika Dani Alves membayangkan tekanan selaku tuan rumah tidak akan memberi kesan kepada Brazil, tonggak pertahanan David Luiz pula tampil mengakui dia tidak sabar menantikan temasya bola sepak terbesar dunia itu bermula.

"Kami tidak sabar, saya harap ia bermula esok," kata Luiz.


"Sesetengah daripada kami tidak lena tidur. Namun ia sebahagian daripada keadaan yang perlu dihadapi. Ia adalah peluang yang hebat dan kami mendapat keistimewaan beraksi di hadapan penyokong sendiri. Saya tidak sabar untuk menanti kejohanan itu bermula." Pertahanan Chelsea itu berkata, suasana yang sedang dihadapi dalam skuad Brazil adalah pengalaman terbaiknya sepanjang tempoh lebih sedekad bergelar pemain profesional.

Dia menambah, perpaduan akan membantu mereka mengatasi tekanan beraksi di negara sendiri pada Piala Dunia bulan depan.


"Kami perlu mencari keseimbangan," kata pemain berusia 27 tahun itu.


"Sehingga satu tahap (kebimbangan) adalah bagus, ia membolehkan anda berfikir mengenai perlawanan. Namun jika terlebih, ia memberi kesan buruk, kami perlu mengatasinya dan lebih mudah melakukannya secara berkumpulan.

"Kumpulan pemain ini amat berfikiran terbuka, setiap orang mempunyai hak menyuarakan pendapat dan setiap orang membantu satu sama lain.


"Kami gembira dan tidak sabar mengharungi tiga perlawanan awal dan bersedia untuk bermula dengan pada tahap tertinggi." Brazil akan memulakan saingan Piala Dunia menentang Croatia pada 12 Jun di Sao Paulo disusuli menentang Mexico dan Cameroon dalam aksi Kumpulan A.

Mereka akan beraksi dalam dua perlawanan pemanas badan menentang Panama di Goiania pada 3 Jun disusuli Serbia di Sao Paulo pada 6 Jun.


Pertahanan Barcelona, Alves berkata, walaupun sebahagian besar pemain yang disenaraikan jurulatih Brazil tidak mempunyai pengalaman luas di Piala Dunia, mereka sudah bermain di peringkat tertinggi dan ia sama sekali tidak akan menjejaskan tumpuan.


"Ia adalah tekanan yang positif, ia tekanan yang kami mahu rasakan," katanya.


"Saya fikir anda akan mencapai sesuatu apabila dicabar, jika anda tidak dicabar sukar untuk mengimpikan sesuatu. Kami melihat tekanan itu secara positif." - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/22

RvP tekad tebus kekecewaan EPL

Posted: 21 May 2014 10:00 AM PDT

The Hague: Bintang Belanda, Robin van Persie berharap Piala Dunia akan menjadi penawar untuk musim sukarnya di Manchester United.

"Untuk pertama kali dalam karier profesional, saya gagal menamatkan musim tanpa layak ke pentas Eropah," kata penyerang berusia 30 tahun itu.


Pada musim pertamanya bersama United di bawah kendalian Alex Ferguson, van Persie meledak 26 gol dan meraih kejuaraan Liga Perdana Inggeris.

Bagaimanapun, musim kedua dianggap malapetaka baginya apabila kelab terkaya Britain itu menamatkan saingan di kedudukan terendah sejak 1990 dan pengurus baru, David Moyes hanya bertahan 10 bulan.


"Ia adalah musim yang sukar. Tiada yang berhasil buat kami," kata van Persie.


Penyerang itu mengalami kecederaan yang biasa dialaminya - lutut - pada Mac yang menyaksikan dia tersisih selama enam minggu.

"Saya tidak pernah bimbang terlepas Piala Dunia namun adalah benar kecederaan itu hadir pada masa yang amat tidak sesuai," katanya.


Brazil mungkin menjadi peluang terakhir untuk van Persie, pemain yang mencipta nama di Feyenoord dan menjadi ikon di Arsenal sebelum perpindahannya bernilai £24 juta (RM130.3 juta) ke Manchester pada 2012, untuk meraih kejuaraan di pentas antarabangsa.

Reputasinya sudah terbukti di England apabila muncul 10 penjaring tertinggi dalam sejarah Liga Perdana dengan 134 gol.


Sebagai salah seorang penyerang paling digeruni di dunia, dia muncul penjaring terbanyak dalam kalangan negara Eropah untuk kelayakan Piala Dunia dengan 11 gol dan menjadi pemain penting untuk Belanda.


Belanda melangkah ke final Piala Dunia 2010 namun van Persie dan rakan-rakannya mengharungi kekecewaan Kejohanan Eropah 2012 di Ukraine apabila tersingkir di peringkat kumpulan.


"Dia seorang pemain yang sangat berbakat sehingga saya tidak mampu menang tanpanya," kata jurulatih Belanda, Louis van Gaal selepas pemain itu menjaringkan tiga gol ketika menentang Hungary pada Oktober 2013 untuk muncul penjaring terbanyak Belanda sepanjang masa. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/22

'Tiki-taka' lapuk

Posted: 21 May 2014 09:53 AM PDT

Paris: Selepas memenangi tiga kejohanan utama, kemampuan Sepanyol mula diragui apabila turun beraksi mempertahankan kejuaraan Piala Dunia di Brazil bulan depan.

Kehebatan mereka dikatakan sudah sampai ke penghujung dan corak permainan yang digerakkan oleh pemain berusia, Xavi Hernandez dianggap ketinggalan zaman.


Sepanyol mengikut cara permainan Barcelona yang membolehkan mereka memenangi Piala Dunia 2010 dan Euro 2012.

Dalam kejohanan terakhir itu, mereka menang bergaya dengan membelasah Itali 4-0 di final namun cara mereka mendominasi permainan menyebabkan ramai pihak melabel skuad kendalian Vicente del Bosque itu membosankan.


Walaupun gaya permainan itu tidak menarik namun ia berkesan.


Bagaimanapun, semuanya berubah dalam tempoh dua tahun lalu apabila menyaksikan empayar Pep Guardiola di Barcelona berakhir.

Gaya penguasaan bola kelab Catalan itu yang dikenali sebagai 'tiki-taka' mudah dipatahkan Bayern Munich menerusi corak permainan bertenaga dan pantas yang bermula daripada pertahanan ke serangan dan ia boleh dilihat pada separuh akhir Liga Juara-Juara 2013.


Setahun selepas itu, Bayern yang kemudian menggunakan 'tiki-taka' apabila dikendalikan oleh Guardiola, dikecewakan menerusi serangan pantas Real Madrid di pusingan sama.

Keputusan terbaru itu menjadi petanda gaya permainan berkenaan sudah berkubur.


Gaya permainan lebih berkesan mula kelihatan di peringkat kelab dengan corak permainan serangan pantas dan memberi tekanan membolehkan Borussia Dortmund layak ke final Liga Juara-Juara 2013 manakala Atletico Madrid menempa kejayaan luar biasa menerusi formasi 4-4-2 yang menerapkan disiplin pertahanan, pemain tengah bertenaga serta serangan mengancam oleh Diego Costa.


Jose Mourinho kadang kala mengambil pendekatan yang lebih mudah. Pendekatannya adalah 'jika anda membenarkan pasukan lain menguasai bola, anda akan membuat kurang kesilapan dan boleh memenangi perlawanan'.


Bagaimanapun, masih terlalu awal untuk menyatakan 'tiki-taka' sudah mati dan tidak relevan.


Sehingga 2011, Barcelona yang dibimbing Guardiola menggabungkan pelbagai hantaran pendek serta meningkatkan tekanan dalam permainan. Guardiola berjaya membawa Bayern memenangi dua kejuaraan di Jerman musim ini.


'Tiki-taka' masih boleh berjaya jika mereka dipraktikan mengikut tempo yang sepatutnya dan Sepanyol dijangka mengekalkan gaya permainan itu untuk meraih kejayaan kali ini. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/22

Jedinak aspirasi Socceroos

Posted: 21 May 2014 09:52 AM PDT

Sydney: Pemain tengah, Mile Jedinak dilantik sebagai kapten Socceroos bagi pusingan akhir Piala Dunia semalam untuk menyambung legasi kapten 'generasi emas' Australia, Lucas Neill.

Jedinak diberi tanggungjawab itu pada perlawanan persahabatan terakhir Australia dengan Ecuador dan akan mengekalkannya bagi kempen di Brazil di mana Socceroos diundi dalam kumpulan yang dibarisi juara dunia Sepanyol, Belanda dan Chile pada pusingan awal.


"Ia satu penghormatan dan dia berhak untuk diberikan tanggungjawab itu selepas memberikan aksi terbaik di Crystal Palace dalam kejohanan bola sepak kelab paling kompetitif di Liga Perdana Inggeris," kata jurulatih Ange Postecoglou.

"Saya yakin dia akan mengetuai pasukan di Brazil dan kami akan juga akan memiliki dua daripada pemain terbaik kami iaitu Tim Cahill dan Mark Bresciano yang saya percaya mempunyai kekuatan kepimpinan.


"Mile akan menjadi kapten kami tapi semua tiga pemain akan berkongsi dalam aspek kepimpinan dalam pasukan di Piala Dunia." Jedinak, 29, beraksi setiap minit dalam perlawanan bersama Palace bagi kempen Liga Perdana yang baru berakhir sehinggalah dia terpaksa meninggalkan padang akibat kecederaan pada babak kedua aksi terakhirnya.


Palace mencipta kebangkitan yang cukup hebat pada babak kedua musim ini untuk keluar daripada zon penyingkiran dan menamatkan saingan di tangga ke-11 liga utama Inggeris itu. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/22

Jerman tempang susun strategi

Posted: 21 May 2014 09:51 AM PDT

Berlin: Jerman memulakan latihan pra Piala Dunia mereka semalam ketika pasukan itu dihimpit masalah kecederaan beberapa tonggak utama menjelang sepak mula di Brazil 2014.

Ketua jurulatih Joachim Loew akan mengumpul 27 pemain di hotel bertaraf lima bintang di selatan Tirolean di idyllic di medan mereka akan mengadakan latihan di utara Itali dalam tempoh 10 hari lagi.


Mereka akan beraksi pada perlawanan pembukaan Kumpulan G menentang Portugal di Salvador pada 16 Jun.

Kem pasukan itu diulit kebimbangan apabila trio Bayern Munich yang juga kapten Jerman, Philipp Lahm mengalami kecederaan buku lali, penolong kapten Bastian Schweinsteiger (ligamen lutut) dan penjaga gol Manuel Neuer (bahu).


Loew juga perlu menilai semula tahap kecergasan pemain tengah Real Madrid Sami Khedira dan penyerang Lazio Miroslav Klose apabila kedua-dua pemain itu kurang cergas kerana berehat lama akibat kecederaan.


"Kami masih optimis dengan peluang Manuel dan Philipp untuk menyertai Piala Dunia namun kedua-dua pemain ini perlu diberikan rawatan rapi," kata Loew.

"Kehadiran mereka bersama pasukan penting untuk kami memulakan latihan di Tirol walaupun mereka tidak boleh turun berlatih." Persoalan paling serius mengenai pemain pasukan itu adalah Schweinsteiger yang dijangka tidak boleh berlatih sehingga hujung minggu depan dan terlepas aksi final Piala Jerman pada Sabtu lalu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/22

Idam juara ke-5

Posted: 21 May 2014 09:51 AM PDT

Monaco: Pendahulu kategori pelumba, Lewis Hamilton mahu memburu gelaran kelima berturut-turut sekali gus melakar kejayaan seperti yang diraih Sebastian Vettel musim lalu apabila menang semua sembilan perlumbaan terakhir sebelum dinobatkan sebagai juara dunia.

Ketika kelajuan jentera Mercedes dipandu Hamilton tidak dapat di saingi peserta lain, langkah pelumba Britain itu dilihat semakin bergaya apatah lagi kelibat Vettel semakin jauh dari podium.


"Beberapa perlumbaan terakhir memang hebat buat saya. Saya sendiri tidak menyangka mampu menang empat perlumbaan berturut-turut dan sudah tentu saya mahu mengulangi kejayaan itu di sini," kata Hamilton.

"Jentera kami kelihatan semakin hebat dan saya yakin keadaan akan sama di Monaco. Kami akan bersedia untuk perlumbaan yang menyeronokkan hujung minggu ini." Walaupun Hamilton hanya mendahului rakan sepasukan Nico Robserg dengan kelebihan tiga mata, ia kerana Hamilton terpaksa menamatkan perlumbaan lebih awal di GP Australia gara-gara berdepan masalah enjin.


Rosberg muncul juara di Melbourne sekali gus bermakna Mercedes menang semua perlumbaan setakat ini dan tidak banyak yang boleh dilakukan pengeluar lain untuk menyekat kemaraan pasukan itu.


"Saingan kategori pelumba sangat sengit dan saya manfaat kelebihan tempat sendiri sebagai pemangkin untuk menang minggu ini," kata Rosberg yang membesar di Monaco dan menang perlumbaan pertamanya di F1 di litar itu tahun lalu.

Vettel menduduki tangga keempat kategori pelumba dan ketinggalan 55 mata di belakang Hamilton. Satu-satunya pelumba yang boleh menjadi pesaingnya ketika ini ialah rakan sepasukan, Daniel Ricciardo yang ketinggalan enam mata di belakangnya.


Perubahan peraturan menjejaskan kejayaan Red Bull musim ini yang dilihat bergelut untuk mencatat kelajuan sama seperti tahun lalu.

Pasukan yang dilihat paling bertuah hasil perubahan peraturan itu tentunya Mercedes apabila mengatasi Red Bull dengan 113 mata dan meninggalkan Ferrari dengan 131 mata - satu jurang yang sukar untuk dikecilkan. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/22

McIlroy, Caroline tak jadi kahwin

Posted: 21 May 2014 09:50 AM PDT

London: Hanya selepas beberapa hari menghantar kad undangan ke majlis perkahwinannya, Rory McIlroy mengambil keputusan untuk memutuskan pertunangannya dengan bintang tenis Denmark, Caroline Wozniacki.

Bintang arena golf dari Ireland Utara berusia 24 tahun itu yang pernah menjulang dua kejohanan utama, berkata dia hanya sedar bahawa dirinya belum sedia untuk berkahwin selepas siap mengedarkan semua kad undangan berkenaan.


"Tidak ada cara terbaik untuk menamatkan hubungan penting antara dua individu," kata McIlroy dalam satu kenyataan yang dikeluarkan syarikat perunding komunikasi miliknya yang berpangkalan di Dublin.

"Masalahnya berpunca dari saya sendiri," katanya.


"Kad jemputan perkahwinan kami dikeluarkan minggu lalu dan secara tiba-tiba, saya tersedar bahawa saya sebenarnya belum sedia untuk berkahwin dan mempunyai komitmen terhadap keluarga.


"Saya harap Caroline akan tetap gembira dan saya berterima kasih kepadanya kerana memberikan saya kebahagiaan selama ini. Saya tidak akan bercakap banyak perkara mengenai hubungan kami yang sudah menjadi sejarah." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/22

No comments:

Post a Comment