Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Enggan kecewa lagi

Posted: 22 May 2014 11:05 AM PDT

Seremban: Negeri Sembilan menyandarkan harapan tinggi kepada gandingan penyerang import Ivan Babic dan Kim Jin Ryong untuk membenam cabaran Kedah pada saingan Liga Perdana di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, malam ini.

Selepas diaibkan Sabah di gelanggang sendiri minggu lalu, skuad Hoben Jang Hoben mahu memastikan impian meraih tiga mata tidak tersasar dengan ketangkasan dua import berkenaan menjadi sandaran.


Biarpun persiapan sedikit terjejas apabila pemain berpengalaman, Abdul Halim Zainal dan S Sivanesan tidak dapat beraksi kerana penggantungan dan kecederaan, skuad bimbingan V Sundramoorthy itu mampu menurunkan barisan terbaik.

Pengurus pasukan Datuk Abdul Ghani Hasan mengakui ketiadaan Abdul Halim dan Sivanesan memberi kesan kepada kekuatan pasukan, namun berharap pemain lain dapat melaksanakan tugas dengan cemerlang.


Menurutnya, pemain Negeri Sembilan perlu menjadikan kekalahan kepada Sabah sebagai pengajaran dengan tidak mengulangi kesilapan dan bijak memanfaatkan setiap peluang.


"Kemenangan malam esok penting bagi menyekat peluang Kedah memintas kerana kami kini hanya dibezakan dengan satu mata.

Foto

ABDUL Halim (kanan) tidak dapat beraksi akibat penggantungan.

"Saya berharap pemain berusaha memberikan persembahan terbaik dan sentiasa fokus," katanya.


Abdul Ghani mengakui Kedah memiliki kewibawaan namun ia tidak harus memberi tekanan kepada Negeri Sembilan kerana kelebihan berpihak kepada tuan rumah.

"Yang penting pemain harus memiliki keyakinan diri tinggi dan bijak mengawal permainan dengan tidak memberi ruang kepada lawan. Saya percaya Sundramoorty sudah merangka strategi untuk memerangkap Kedah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/23

Janji The Pacifier

Posted: 22 May 2014 10:53 AM PDT

Lisbon: Carlo Ancelotti pernah berjanji membawa pulang banyak trofi selain mewujudkan pasukan yang memperagakan permainan bola sepak menarik ketika beliau mengambil alih tugas jurulatih Real Madrid.

Walaupun prestasi pasukannya tidak begitu konsisten pada musim pertama di Bernabeu, pengendali dari Itali itu kini di ambang kejayaan untuk melebarkan rekod 10 kejuaraan Eropah yang masih sukar digapai Real sejak kali terakhir memenanginya pada 2002 sekali gus mampu menambah koleksi selepas memenangi Piala Raja Sepanyol tahun ini.


Real layak ke final Liga Juara-Juara menentang Atletico Madrid awal pagi Ahad, satu-satunya aksi Eropah yang bakal mempertemukan dua pasukan dari bandar sama untuk kali pertama sejak mereka merangkul kejuaraan di Glasgow 12 tahun lalu.

Taksub untuk memenangi kejuaraan yang dikenali sebagai 'la decima' (ke-10), Presiden Real Florentino Perez memujuk Ancelotti dari Paris St Germain berikutan ketiadaan Jose Mourinho yang meletak jawatan tiga tahun sebelum kontrak tamat apabila gagal meraih sebarang kejuaraan dalam semusim.


Ancelotti yang digelar 'The Pacifier' dalam kalangan media Sepanyol mempunyai karaktor sangat berbeza berbanding Mourinho yang sering bergaduh dengan pemain utama, memecah belahkan penyokong dan memiliki hubungan kurang baik dengan wartawan.


Mungkin salah satu daripada pencapaian paling baik Ancelotti adalah cara beliau menyatukan pemain yang sebelum ini gagal dilakukan Mourinho.

Cristiano Ronaldo salah seorang pemain terbaik yang bergaduh dengan Mourinho antara yang gembira dengan cara pengurusan jurulatih baru itu.


Kapten Portugal itu mempunyai peluang untuk menambah rekod 16 gol dalam satu edisi kejohanan kelab elit Eropah apabila turun menentang Atletico di Lisbon.

"Ancelotti berhak mendapat pujian," kata Ronaldo selepas Real membelasah juara bertahan Bayern Munich 4-0 di Jerman bulan lalu bagi mengesahkan tempat ke final.


"Beliau mengubah kesemuanya. Beliau mengubah mentaliti pemain." Ketika masih bergelar pemain bersama AS Roma dan AC Milan, Ancelotti yang kini berusia 54 tahun, muncul salah seorang daripada enam individu yang pernah memenangi Piala Eropah sebagai pemain dan pengurus.


Beliau menjulang Piala Eropah dua kali berturut-turut bersama Milan pada 1989 dan 1990 sebelum memulakan karier kejurulatihan bersama kelab AC Reggiana. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/23

'Waspada ancaman Atletico'

Posted: 22 May 2014 10:52 AM PDT

Lisbon: Atletico Madrid bukan saja mempunyai peluang untuk merangkul kejuaraan pertama Eropah pada penampilan pertama di final Liga Juara-Juara, malah mereka juga boleh menafikan hajat besar musuh tradisi, Real Madrid yang mengintai kejuaraan ke-10.

Atletico sudah membuktikan kehebatan musim ini dengan menjulang kejuaraan La Liga, menyekat dominasi peringkat domestik Real dan Barcelona sekali gus menjadi pasukan pertama selain dua pasukan gergasi itu memenangi gelaran sejak Valencia pada 2004.


Real kelab terkaya di dunia dari segi pendapatan dan membelanjakan lebih 600 juta euro (RM2.6 bilion) membeli pemain dalam tempoh lima tahun lalu bakal tampil pada final ke-13 namun yang pertama sejak kali terakhir menang pada 2002.

Tempoh lama itu menyebabkan presiden Real Florentino Perez terlalu ghairah untuk memenangi kejuaraan yang dikenali di Sepanyol sebagai 'la decima' (Ke-10).


Selepas kempen La Liga Real berakhir dengan kekecewaan musim ini, kegagalan di Lisbon bakal memberi kesan buruk kepada imej mereka.


"Sejak hari pertama pemain tiba di kelab ini, mereka sudah bersedia untuk memenangi 'decima'," kata bekas penyerang Real, Predrag Mijatovic semalam.

"Terlalu banyak tekanan diletakkan kepada pemain," tambah penyerang Montenegro yang menjaringkan gol kemenangan Real 1-0 pada final Liga Juara-Juara ke atas Juventus pada 1998.


"Cara terbaik meredakan keghairahan memenangi kejuaraan ini adalah kami tidak perlu bercakap mengenai kejuaraan ke-10 lagi selepas ini." - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/23

Suarez cetus bimbang

Posted: 22 May 2014 10:51 AM PDT

Montevideo: Penyerang Uruguay, Luis Suarez menjalani pembedahan lutut semalam dan prosedur itu pantas menimbulkan keraguan penyokong apabila berlaku menjelang 21 hari sebelum bermula Piala Dunia.

Penggempur Liverpool yang dinobat sebagai Pemain Terbaik Liga Perdana itu mengalami kecederaan semalam sekali gus menghadirkan kebimbangan besar buat seluruh pasukannya.


Skuad Uruguay dan badan induk bola sepak negara itu masih belum membuat sebarang kenyataan.

Suarez, penjaring terbanyak Liga Perdana Inggeris musim ini dengan 31 gol, mengalami kecederaan ketika latihan dan ujian imbasan MRI dijalankan mengesan dia berdepan masalah meniscus, kata wartawan televisyen, Martin Charquero menerusi akaun Twitter miliknya.


Charquero berkata, abang Suarez, Paolo Suarez sudah mengesahkan kecederaan dialami adiknya itu.


Walaupun temasya Piala Dunia Brazil kian hampir, laporan berkata masih ada harapan pemain berusia 27 tahun itu akan tampil memainkan peranan penting pada kejohanan itu.

Harapan Uruguay bergantung kepada proses penyembuhan selepas pembedahan itu.


Pakar mengatakan tempoh biasa empat hingga enam minggu diperlukan untuk Suarez pulih daripada pembedahan.

Suarez hanya tiba di ibu negara Uruguay pada Selasa lalu dan berkata dia tidak sabar untuk memulakan sesi latihan bersama rakan sepasukan.


Dia mempamerkan kebangkitan mengejutkan dalam kempen Liga Perdana 2013/14 selepas reputasinya terjejas susulan insiden perkauman membabitkan pertahanan Manchester United, Patrice Evra dan disusuli insiden menggigit lengan pemain Chelsea, Branislav Ivanovic.


Sentuhan tajamnya membantu Liverpool menamatkan saingan di kedudukan kedua di belakang juara Manchester City.


Uruguay berada dalam Kumpulan D di pusingan pertama Piala Dunia. Mereka berdepan Costa Rica pada 14 Jun disusuli England pada 19 Jun dan Itali lima hari kemudian.


Uruguay mempunyai dua perlawanan pemanas badan menjelang Piala Dunia apabila menentang Ireland pada 30 Mei dan Slovenia pada 4 Jun, kedua-dua perlawanan berlangsung di Montevideo. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/23

Kreativiti agenda Sneijder

Posted: 22 May 2014 10:50 AM PDT

Lagos: Perancang skuad Orange, Wesley Sneijder yakin aksi yang pernah dipamerkan di temasya sama empat tahun lalu akan berulang di Brazil, bulan depan.

"Saya tidak sabar menunggu sepak mula Piala Dunia," katanya pada sidang media di Lagos, Portugal kelmarin medan skuad Belanda menjalani kem latihan pusat selama seminggu sebagai persediaan menghadapi kejohanan di Brazil.


"Saya berkeyakinan penuh. Persembahan musim ini bertambah baik dan ia antara sebab saya tidak bimbang dengan skuad kami." Sneijder yang membantu Belanda melangkah ke final empat tahun lalu dengan persembahan menarik diangkat sebagai pemain terbaik perlawanan berkata, sistem baru yang bakal diterapkan - 5-3-2 - akan membantunya menonjolkan persembahan terbaik.

"Ia sangat sesuai dengan corak permainan saya," katanya mengenai formasi yang membolehkan dia beraksi di belakang penyerang utama, Robin van Persie dan Arjen Robben dengan pemain tengah, Nigel de Jong dan Daley Blind membantunya dari belakang.


"Ia membantu saya memberi tumpuan kepada serangan dan menjadi salah seorang daripada tiga pemain kreatif di bahagian serangan." Pemain berusia 29 tahun itu memberitahu wartawan, dia mengharungi musim hebat di Turki bersama Galatasaray.


Pada awalnya dia bergelut dengan masalah kecergasan menyebabkannya disisihkan seketika oleh jurulatih Belanda Louis van Gaal.

"Terdapat masanya dalam kerjaya anda, anda memikirkan diri sendiri, saya boleh melakukan lebih baik, saya semakin hampir mencapai tahap terbaik," katanya.


"Anda perlu berubah dan cuba mendapatkan prestasi terbaik. Ini yang saya lakukan sejak beberapa bulan lalu. Saya melakukan pelaburan terhadap diri sendiri." Belanda memulakan kempen Piala Dunia dalam Kumpulan B menentang Sepanyol pada 13 Jun ulangan final 2010. Mereka kemudian berdepan Australia dan Chile dalam baki perlawanan peringkat kumpulan. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/23

Elak hubungan seks: Herrera

Posted: 22 May 2014 10:50 AM PDT

Mexico City: Pengurus Mexico, Miguel Herrera mengarahkan pemain supaya mengelak daripada mengadakan hubungan seks ketika Piala Dunia di Brazil.

Jurulatih terkenal dengan sifat garang itu berkata, beliau tidak akan menghalang barisan 23 pemainnya berseronok namun berharap mereka dapat berpantang seketika ketika kejohanan berkenaan berlangsung sebulan bermula 12 Jun.


"Saya tidak menghalang hubungan seks selama-lamanya, tetapi ia hanya untuk tempoh seketika," kata Herrera pada sidang media kelmarin.

"Saya berfikir mengenai bola sepak dan berharap pemain juga memikirkan perkara sama," katanya.


"Sesetengah orang masih dara sehingga berkahwin dan mereka berusia 20 atau 25 tahun. Tolonglah, tiada siapa akan mati untuk tempoh 40 hari." Ditanya sama ada peraturan berkenaan turut membabitkan staf kejurulatihan, Herrera berkata beliau terlalu sibuk merencana taktikal menentang pencabar Kumpulan A iaitu Brazil, Croatia dan Cameroon berbanding memikirkan perkara lain.


"Jika anda melintasi wanita memakai bikini, anda boleh melihatnya. Itu saja, tiada perkara yang pelik. Kami akan berada di pantai, mustahil untuk tidak melihat wanita berbikini di Brazil namun sekadar melihat tidak memberikan sebarang kesan," katanya.

Mexico tidak berpangkalan di Rio de Janeiro sebaliknya, mereka ditempatkan di Santos yang mempunyai pantai sendiri. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/23

Aksi pertama jadi penentu

Posted: 22 May 2014 10:49 AM PDT

England: England dan Itali, kedua-duanya tidak boleh tewas pada perlawanan pembukaan Piala Dunia di Brazil, kata bekas penggempur Itali dan Chelsea, Gianfranco Zola.

Dua negara terbabit diundi dalam Kumpulan D bersama Costa Rica serta Uruguay dan Zola percaya masalah cuaca panas di kawasan hutan Amazon mampu melemaskan kedua-dua pasukan ketika bertemu di Manaus pada 14 Jun.


"Manaus adalah venue yang sangat sukar," kata Zola yang ditemui selepas bermain golf dalam acara pro-am Kejohanan PGA BMW di Wentworth, kelmarin.

"Saya rasa perlawanan mereka berlangsung dalam suasana sukar kerana kedua-dua pasukan berada pada tahap sama.


"Banyak perlu mereka lakukan apabila tiba di Manaus. Saya tidak fikir England pasukan pilihan, begitu juga Itali. Secara psikologinya, tidak elok mana-mana pasukan tewas perlawanan pertama." Ketika England menurunkan skuad muda yang kurang berpengalaman serta Itali masih menyesuaikan diri di bawah bimbingan pengurus Cesare Prandelli, Uruguay dianggap sebagai pilihan untuk mengetuai Kumpulan D terutama dengan adanya Luis Suarez serta Edinson Cavani.


Tetapi Zola yang membuat 35 penampilan bersama Itali, tidak mahu mengambil mudah perkara walaupun ramai menganggap Uruguay adalah pilihan.

Foto

PEMAIN Itali perlu biasakan diri dengan cuaca panas.

"Saya rasa ketiga-tiga pasukan memiliki peluang sama rata," kata bekas bintang Chelsea itu.


"Uruguay mempunyai ramai pemain berkualiti, tetapi Itali juga begitu dan apa kurangnya England. Mereka membariskan pemain muda, tetapi berbakat. Saya rasa ketiga-tiga mempunyai peluang sama dan lebih baik tunggu dan lihat." Zola, 47, yang kali terakhir di Liga Inggeris membimbing kelab Liga Kejuaraan, Watford, Disember lalu melahirkan keinginannya untuk berkhidmat di England tetapi buat masa ini, beliau lebih suka menghabiskan masa bermain golf.

"Permainan saya bertambah baik," kata Zola yang digandingkan dengan pemain profesional, Francesco Molinari serta seorang lagi bekas penyerang Chelsea, Andriy Shevchenko di lapangan berkenaan. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/23

Three Lions risau bahang Manaus

Posted: 22 May 2014 10:48 AM PDT

London: Skuad Piala Dunia England berlatih di Portugal sambil mengenakan baju tebal, tindakan yang sengaja dilakukan pengurus Roy Hodgson dalam usaha membiasakan pemainnya dengan cuaca panas ketika menentang Itali di Manaus, bulan depan.

Beberapa pakar Universiti Loughborough turut diminta memantau perkembangan pemain berpangkalan di Vale Do Lobo itu.


"Mereka perlu belajar untuk berasa selesa dalam keadaan tidak selesa," kata Hodgson.

"Kami menguji kadar mereka berpeluh, bagaimana mereka mahu menyesuaikan diri dan apa yang boleh kami lakukan untuk membantu." Perlawanan pembukaan England di utara bandar Amazon di Manaus menggusarkan semua kerana cuaca panas di kawasan itu dan dijangka meningkat menjelang hari pembukaan temasya itu nanti.


Suhu di Vale Do Lobo lebih dingin berbanding Manaus, tetapi pemain dikerah memakai beberapa helai baju dan sekeping alat khas dilekatkan di badan bagi menguji kadar tubuh mereka mengeluarkan peluh.


Ketika Switzerland menyiapkan pasukannya untuk pusingan akhir Piala Dunia 1994 di Amerika Syarikat, Hodgson mengarahkan semua pemain supaya duduk di dalam sauna bagi membiasakan mereka dengan suasana sebenar.

Selepas bertemu Itali, England akan menentang Uruguay di Sao Paulo suhu dijangka lebih rendah manakala aksi terakhir peringkat kumpulan menentang Costa Rica akan berlangsung di Belo Horizonte dengan graviti bakal menjadi masalah baru buat mereka. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/23

Cabaran Hamilton

Posted: 22 May 2014 10:46 AM PDT

Monte Carlo: Dalam usahanya untuk meningkatkan prestasi pada perlumbaan Grand Prix Monaco hujung minggu ini, Lewis Hamilton mencabar mana-mana pelumba untuk tampil memberikan saingan lebih hebat kepadanya.

Pendahulu kategori pelumba dari Britain itu yang mengatasi rakan sepasukannya di Mercedes, Nico Rosberg dengan kelebihan tiga mata selepas menang empat perlumbaan terakhir berkata, hanya saingan sebenar mampu melonjakkan lagi persembahannya.


"Saya selalu dapat menterjemahkan aksi sebenar di Monaco, tetapi tahun lalu, prestasi saya didorong saingan Rosberg. Dia bersaing hebat dengan saya dan saya dapat beraksi dengan tumpuan yang lebih.

"Justeru, saya harap semua pelumba dapat memberikan tentangan buat saya kerana saya mahu menunjukkan prestasi sebenar saya." Hamilton menamatkan saingan di kedudukan keempat di Monaco tahun lalu, tetapi dia berkata, perkara itu berlaku disebabkan dia tidak begitu serasi dengan jentera Mercedes.


"Tahun lalu, kami belum dapat menghasilkan kuasa sebenar enjin," katanya.


"Ketika itu, saya sendiri merasakan bahawa tidak mungkin dapat menunjukkan prestasi sebenar. Bagaimanapun, menamatkan saingan di kedudukan keempat walaupun jentera saya tidak begitu baik, adalah sesuatu yang sangat membanggakan." Ditanya mengenai kurangnya saingan diterima Mercedes tahun ini, dia berkata: "Saya hanya berlumba dengan rakan sepasukan. Justeru, saingan tetap ada dan saya gembira dengan keadaan itu. Saya harap saingan antara kami akan menjadi lebih sengit. Bagaimanapun, kali ini akan menjadi lebih hebat sekiranya Ferrari dan Red Bull dapat menyertai kami." Walaupun sekadar menamatkan saingan di tangga kedua sepanjang empat perlumbaan lalu, Rosberg tegas mengatakan dia memiliki kelajuan yang diinginkan.

Rosberg yang tinggal berdekatan dengan Hamilton di kawasan Mediterranean, muncul juara di Monaco tahun lalu dan percaya dia mampu mengulangi pencapaian berkenaan sekali gus memintas kedudukan Hamilton dalam kategori pelumba. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/23

Nikmat pengalaman

Posted: 22 May 2014 10:46 AM PDT

Kuala Lumpur: Selepas tersisih daripada Kejohanan Cabaran Juara-juara 1 (CC1) di Kuantan akibat kecederaan, penjaga gol kebangsaan, Roslan Jamaluddin kembali menjadi pilihan ketua jurulatih negara Muhammad Dhaarma Raj Abdullah untuk dibawa ke Belanda.

Kehadiran semula dalam skuad Piala Dunia itu mengejutkan ramai pihak kerana tiada siapa menjangka dia masih mempunyai tempat dalam skuad negara walaupun Dhaarma sebelum ini dilihat sering menggunakan khidmat penjaga gol remaja Muhammad Hafizuddin Othman di belakang S Kumar.


Berusia 36 tahun, Roslan yang pernah beraksi di pentas Piala Dunia di Kuala Lumpur 2002, menganggap panggilan menyertai skuad kebangsaan umpama mimpi buat dirinya.

"Terus terang saya tidak pernah terfikir jurulatih akan memilih saya. Selepas 12 tahun beraksi di Piala Dunia, ini kali kedua saya dapat beraksi semula di pentas tertinggi itu. Saya cukup terkejut kerana masih ada pihak yang yakin dengan keupayaan saya.


"Saya berjanji akan memberikan yang terbaik bagi membalas kepercayaan mereka," katanya selepas sesi latihan skuad kebangsaan di Stadium Hoki Bukit Jalil, kelmarin.


Roslan dianggap penjaga gol berpengalaman dan pernah membawa cabaran negara di pentas Sukan Olimpik 2000 di Sydney serta Sukan Asia.

Foto

ROSLAN (kanan) berbincang dengan Dhaarma ketika sesi latihan.

Namun, dia mungkin terpaksa bersaing dengan seorang lagi penjaga gol berpengalaman, S Kumar yang kini pemegang gelaran penjaga gol nombor satu negara.


Sementara itu, Dhaarma berkata, asas pemilihan penjaga gol dibuat dengan mengambil kira pengalaman selain persembahan cemerlang Roslan semasa pusingan kelayakan Piala Dunia tahun lalu.

"Walaupun usianya sudah melebihi 30 tahun, itu tidak menjadi masalah besar kerana penjaga gol posisi yang istimewa dalam sukan hoki malah sesiapa yang berumur 35 tahun sekalipun masih boleh beraksi.


"Jangan persoal kehadiran Roslan kerana dia masih layak beraksi selain boleh memberi panduan berguna kepada pemain lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/23

No comments:

Post a Comment