Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Jangan mimpi!

Posted: 28 Apr 2014 10:47 AM PDT

Kuala Lumpur: Ketua jurulatih Rashid Sidek membayangkan skuad badminton negara berdepan tugas getir memburu slot ke separuh akhir pada pusingan akhir Kejohanan Piala Thomas di New Delhi, India pada 18 hingga 25 Mei ini.

Memandangkan format pertandingan Piala Thomas memerlukan kekuatan seimbang dalam kedua-dua acara perseorangan dan beregu, Rashid berpendapat sasaran diletakkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk mara ke separuh akhir mustahil dicapai berdasarkan kepada keputusan pemain perseorangan dan beregu negara dalam beberapa kejohanan antarabangsa yang amat mengecewakan.


"Saya tidak fikir mereka layak beraksi di Piala Thomas kali ini kerana masih banyak kekurangan. Realitinya prestasi pemain perseorangan kita tidak berada dalam prestasi terbaik, hanya (Datuk Lee) Chong Wei harapan kita. "Tapi Piala Thomas memerlukan kekuatan seimbang semua acara. Pemain seperti Liew Daren, Chong Wei Feng, Misbun Ramdan (Misbun) dan yang lain sangat jauh prestasi mereka jika dibandingkan dengan Chong Wei. "Kita boleh mengharapkan satu mata daripada Chong Wei, tapi bagaimana pula dengan pemain lain.

"Sepanjang latihan juga, saya dapat lihat kurangnya keyakinan dan motivasi dalam kalangan pemain. Mungkin ini disebabkan mereka juga sedar betapa peluang untuk menyerlah di sana (India) nanti amat tipis," katanya ketika ditemui pada sesi latihan skuad negara di Stadium Juara, Bukit Kiara, semalam.


Sementara itu, slot terakhir acara perseorangan negara bakal ditentukan hari ini antara pemain di bawah naungan BAM, Goh Soon Huat dengan pemain profesional Ramdan selepas seorang lagi pemain perseorangan muda negara, Zulfadli Zulkifli tidak hadir pada sesi pemilihan terakhir semalam.


"Esok (hari ini) kita akan adakan perlawanan terakhir antara Ramdan dan Soon Huat bagi mengisi tempat terakhir. Saya tidak tahu kenapa Zulfadli tidak datang walaupun kita sudah maklumkan kepadanya menerusi surat jemputan yang dihantar BAM. Sekarang, hanya tinggal dua orang," katanya.

Foto

CHONG Wei harapan negara di New Delhi.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/29

Mourinho cemuh Reds

Posted: 28 Apr 2014 10:25 AM PDT

Liverpool: Pengurus Chelsea Jose Mourinho mencemuh taktik tidak berkesan diamal Liverpool selepas pasukannya mencetus inisiatif buat Manchester City dalam perebutan kejuaraan Liga Perdana menerusi kemenangan di Anfield.

Kemenangan 2-0 Chelsea kelmarin secara efektif memberi laluan buat City menjuarai liga jika menang semua baki tiga perlawanan.


Pasukan kendalian Manuel Pellegrini ketinggalan tiga mata berbanding pendahulu Liverpool namun bermain kurang satu perlawanan serta memiliki kelebihan lapan gol ke atas lawan.

Liverpool melakar 11 kemenangan berturut-turut sebelum berdepan Chelsea, namun taktik pelawat berjaya mengekang tuan rumah daripada menemui rentak sekali gus membuatkan penyokong Anfield terdiam.


Pengurus Liverpool Brendan Rodgers, sebelum ini bekerja di bawah Mourinho di Chelsea, kecewa dengan taktik bekas mentornya, menganggap mereka sebagai 'terlalu bertahan' dan 'tidak sukar untuk dilatih'.


Tuan rumah berkubu di pintu gol lawan namun dengan penjaga gol Chelsea, Mark Schwarzer hanya melakukan dua tindakan penyelamat berbahaya, Mourinho menyatakan pasukannya mudah mengekang asakan Liverpool.

"Permainan bertahan? Saya agak keliru apa yang media fikirkan mengenai permainan bertahan," katanya.


"Apabila sebuah pasukan bertahan dengan baik, anda katakan ia permainan bertahan. Apabila sebuah pasukan gagal bertahan dan melepaskan dua atau tiga gol, anda tidak anggap ia satu permainan bertahan.

"Apabila Liverpool mula menghantar bola tinggi buat Mark dan (Gary) Cahill serta (Branislav) Ivanovic, ia umpama ikan dalam air kerana terlalu mudah buat mereka tangani." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/29

Suarez dinobat Pemain Terbaik Tahunan PFA

Posted: 28 Apr 2014 10:22 AM PDT

London: Penyerang Liverpool, Luis Suarez memenangi anugerah Pemain Terbaik Tahunan Persatuan Pemain Bolasepak Profesional (PFA) England, semalam.

Ketika ini tahun lalu, pemain kebangsaan Uruguay itu memulakan penggantungan 10 perlawanan kerana menggigit lengan pertahanan Chelsea, Branislav Ivanovic.


Namun kini Suarez dipilih pemain profesional seperjuangannya di England sebagai pemain terbaik Liga Perdana selepas mengemudi Liverpool memburu kejuaraan.

Suarez menerima anugerah itu pada satu majlis di hotel Grosvenor House di London selepas penerbangan dari Liverpool berikutan kekalahan 0-2 kepada Chelsea di Anfield yang menjejaskan usaha kelab Merseyside itu meraih kejuaraan pertama dalam era Liga Perdana.


Suarez yang berusia 27 tahun sudah menjaringkan 30 gol dalam 31 penampilan sekalipun penggantungan kerana menggigit Ivanovic berlanjutan hingga awal musim ini.


"Liga Perdana dibanjiri pemain hebat seluruh dunia dan ia satu penghormatan besar apabila mereka mengiktiraf usaha anda di padang," kata Suarez yang pernah mengancam meninggalkan Liverpool selepas mendakwa pengurus Reds Brendan Rodgers enggan membenarkannya menyertai kelab Liga Juara-Juara.

"Saya sering cuba melakukan yang terbaik buat pasukan dan gembira mendapat anugerah ini, tapi semuanya ini untuk rakan sepasukan dan staf di Liverpool kerana tanpa bantuan mereka, saya tidak akan menerima anugerah ini." Bintang Chelsea, Eden Hazard, yang tidak bermain di Anfield kerana cedera, dipilih Pemain Muda Tahunan Terbaik PFA. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/29

Tak pernah mengalah

Posted: 28 Apr 2014 10:19 AM PDT

London: Manuel Pellegrini mendakwa beliau tidak pernah hilang keyakinan Manchester City berpeluang memenangi Liga Perdana selepas pasukannya kembali bersaing merebut kejuaraan dengan kemenangan 2-0 ke atas Crystal Palace di gelanggang lawan.

Pada minggu yang berpotensi menentukan pasukan mana berhak mengungguli liga, City menggunakan sepenuhnya kekalahan 0-2 Liverpool di tangan Chelsea di laman sendiri dengan persembahan mantap beberapa jam kemudian di selatan London.


City kekal di tangga ketiga namun kini hanya dipisahkan tiga mata berbanding Liverpool, beraksi kurang satu perlawanan selain kelebihan jurang perbezaan gol menakjubkan dan hanya satu mata di belakang pasukan tangga kedua Chelsea.

Anak buah Pellegrini sedar apa juga keputusan Liverpool dan Chelsea dalam dua perlawanan terakhir, mereka akan dimahkotakan kejuaraan kali kedua dalam tempoh tiga tahun jika menang baki tiga perlawanan, di Everton Sabtu ini dan kemudian menentang Aston Villa dan West Ham di laman sendiri serta mengambil kira mereka mengekalkan kelebihan jaringan gol berbanding Liverpool.


Tidak ramai memilih City dua minggu lalu apabila mereka kalah 2-3 kepada Liverpool dan kemudian seri dengan Sunderland.


Namun Pellegrini menegaskan beliau tidak pernah meragui keupayaan City memburu kejuaraan selepas mengambil kira keputusan tidak menentu dalam perebutan kejuaraan musim ini.

Foto

DZEKO (tengah) dan Toure (bawah) jaring gol City.

"Kami sentiasa yakin boleh melakukannya. Selepas kalah kepada Liverpool, saya berkata, ia masih boleh berlaku. Kami hanya perlu menang perlawanan kami," ujar Pellegrini.


"Kini kami kekal di tangga ketiga dan perlu memenangi baki tiga perlawanan.

"Adakah kami memiliki kelebihan? Tidak. Tapi ia bergantung apa yang kami boleh lakukan selepas ini, ia amat penting. Kami perlu kekal fokus terhadap permainan sendiri." City menang menerusi gol Edin Dzeko pada minit keempat sebelum Yaya Toure menambah gol kedua dua minit sebelum rehat. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/29

Ferdinand malu United isi tangga ketujuh

Posted: 28 Apr 2014 10:18 AM PDT

Manchester: Pertahanan Manchester United, Rio Ferdinand mengaku dia 'malu' dengan kedudukan tangga ketujuh kelab juara Inggeris itu dalam Liga Perdana.

United memecat pengurus David Moyes minggu lalu selepas hanya 10 bulan mengendalikan pasukan yang tidak mampu layak ke Liga Juara-Juara musim depan.


"Saya sudah lama tidak melihat carta liga kerana ia memalukan," kata Ferdinand kepada www.manutd.com.

"Saya tidak mahu melihat di mana kami berada. Ia bergantung kepada kami sebagai pemain dan kami bertanggungjawab penuh begitu juga orang lain." United kini berada di bawah kendalian jurulatih sementara Ryan Giggs hingga hujung musim ini. Permulaan buatnya memberangsangkan apabila mereka menang 4-0 ke atas Norwich Sabtu lalu.


Perlawanan itu turut menyaksikan Ferdinand dipanggil semula menyertai kesebelasan utama dan dia menyatakan keazaman untuk terus beraksi musim depan sekalipun kini berusia 35 tahun.


"Saya akan terus bermain," jelasnya. "Sama ada ia di sini, saya tidak tahu. Tapi saya harap di sini.

"Apabila berjaya, anda tidak mahu melihat dari perspektif negatif. Anda sering memikirkan, 'Apa yang boleh kami menangi dan apa yang perlu kami lakukan untuk menang?' "Saya pasti ia tidak berbeza musim depan. Siapa pun di sini, tidak kira siapa yang mengurus, sasaran kelab ini adalah memenangi trofi dan kami melakukannya secara konsisten dalam tempoh 25 tahun terakhir." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/29

Harap tuah Arena Allianz

Posted: 28 Apr 2014 10:12 AM PDT

Munich: Bayern Munich bercadang menggunakan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri pada separuh akhir kedua Liga Juara-Juara menentang Real Madrid, awal pagi esok selepas tidak pernah tewas kepada kelab gergasi Sepanyol itu di laman sendiri.

Real mengunjungi ibu negara Bavaria itu dengan kelebihan jaringan tunggal minit ke-19 disempurnakan Karim Benzema pada separuh akhir pertama di Madrid minggu lalu dan dilihat mahu membalas dendam kekalahan di peringkat sama kepada Bayern dua tahun lalu.


Sejarah bagaimanapun memihak kelab Jerman itu. Bayern tidak pernah tewas kepada Real di Munich dengan lapan kemenangan dan sekali seri untuk mendahului secara keseluruhan dengan 11 kemenangan berbanding lapan buat Real daripada 21 pertembungan.

Real mengekalkan rentak positif sejak menundukkan Barcelona pada final Piala Raja Sepanyol disusuli kemenangan pada separuh akhir pertama ke atas Bayern apabila membenam Osasuna 4-0 dalam liga Sepanyol Sabtu lalu.


Pemenang Ballon d'Or, Cristiano Ronaldo membuktikan dia cergas bagi pertemuan di Munich selepas kecederaan hamstring dengan menyumbat dua gol sekali gus membolehkannya mengumpul 47 gol musim ini.


Jurulatih Real Carlo Ancelotti merehatkan pemain bintang Benzema yang mengalami kecederaan lutut pada separuh akhir pertama dan Gareth Bale yang baru pulih daripada selesema di Osasuna.

Pengendali dari Itali itu menegaskan kedua-dua pemain itu cergas untuk diturunkan di Arena Allianz.


"Saya yakin apa saja kesebelasan utama yang akan dipertaruhkan akan mempunyai keghairahan dan teruja bermain dalam perlawanan besar ini," tegas Ancelotti.

"Objektif kami adalah menjaringkan gol, bukan bertahan dan itulah pendekatan akan kami teruskan." Ancelotti tidak pernah tewas kepada kelab Jerman dalam enam pertemuan ketika mengurus AC Milan, namun kunci utama perlawanan awal pagi esok adalah siapa lebih dulu menjaringkan gol. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/29

'Untuk Vilanova'

Posted: 28 Apr 2014 10:11 AM PDT

Madrid: Barcelona mengekalkan peluang tipis merebut kejuaraan La Liga apabila mereka bangkit daripada ketinggalan 0-2 untuk mengatasi Villarreal, 3-2 di El Madrigal dalam suasana penuh hiba apabila pemain dan penyokong memperingati Tito Vilanova.

Bagaimanapun, Atletico Madrid masih berada di laluan terbaik meraih kejuaraan pertama dalam tempoh 18 tahun apabila menang tipis 1-0 ke atas Valencia di tempat lawan.


Kelab Catalunya itu memberikan penghormatan kepada bekas jurulatih Vilanova yang meninggal dunia kerana kanser dengan bertafakur selama seminit sebelum perlawanan itu namun minggu yang mengecewakan kelihatan berakhir dengan kekalahan keenam liga musim ini apabila Cani dan Manu Trigueros meletakkan Villarreal selesa di depan.

Namun dua gol sendiri Gabriel dan Mateo Musacchio membolehkan Barca menyamakan kedudukan sebelum Lionel Messi menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-82.


Atletico kekal mendahului Barca dengan empat mata ketika saingan berbaki tiga perlawanan manakala Real Madrid jatuh ke tangga ketiga, dua mata di belakang namun beraksi kurang satu perlawanan.


"Kami bermain dengan penuh semangat," akui pemain tengah Barca, Andres Iniesta.

"Kami tidaklah bermain terlalu teruk tapi gol sebelum rehat babak pertama menjejaskan kami. Ketika itu kami ketinggalan 0-2, tapi kami berjuang hingga ke minit terakhir kerana itulah yang boleh dilakukan hingga hujung musim." Terdahulu, Raul Garcia menyerlah buat Atletico apabila menjaringkan gol kemenangan sebelum rehat babak pertama bagi memastikan kemenangan kesembilan berturut-turut liga. Atletico kini hanya memerlukan dua kemenangan saja lagi untuk menjuarai liga. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/29

Torino, Lazio, Verona buru tiket Liga Europa

Posted: 28 Apr 2014 10:10 AM PDT

Milan: Torino, Lazio dan Verona meraih kemenangan penting semalam untuk memastikan saingan merebut tempat ke Liga Europa semakin sengit ketika musim Serie A berbaki tiga perlawanan.

Selepas gol pembukaan Omar El Kaddouri pada minit ke-15 di Turin, penyerang Ciro Immobile melebarkan penguasaan sebagai pendahulu senarai penjaring dengan jaringan ke-21 musim ini pada minit ke-56 bagi memastikan kemenangan 2-0 Torino ke atas Udinese.


Torino melonjak ke tangga keenam dan secara teorinya, mendapat tiket ke pusingan kelayakan Liga Europa.

Ketika Napoli berdepan Fiorentina pada final Piala Itali, pasukan yang menghuni tangga keenam dijangka mendapat slot ke Liga Europa tidak kira apa pun keputusan di Rome minggu depan.


Napoli yang menduduki tangga ketiga, sudah memastikan tempat ke Liga Juara-Juara manakala Fiorentina, lapan mata di belakang di tangga keempat, lebih unggul lima mata berbanding pasukan tangga kelima, Inter Milan dan enam mata di depan Torino dengan baki tiga perlawanan.


"Eropah tidak pernah menjadi objektif, tapi kini kami mula percaya ia boleh berlaku. Liga Europa semakin hampir dalam genggaman, tapi kami hanya menumpukan satu demi satu perlawanan," jelas jurulatih Torino Giampiero Ventura. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/29

Marquez gegar Argentina

Posted: 28 Apr 2014 10:06 AM PDT

Termas de Rio Hondo, Argentina: Juara MotoGp dunia, Marc Marquez memenangi perlumbaan Grand Prix Argentina, kelmarin untuk mengekalkan rekod 100 peratus musim ini dengan tiga kemenangan dalam tiga perlumbaan.

Penunggang Sepanyol berusia 21 tahun itu, yang bangkit selepas permulaan buruk di litar baru Termas de Rio Hondo, muncul pelumba pertama dalam tempoh 43 tahun menang semua tiga perlumbaan pertama kategori perdana itu dari petak utama.


Pelumba terakhir yang terlalu dominan pada permulaan musim adalah legenda Itali, Giacomo Agostini pada 1971.

Rakan sepasukan Marquez di Repsol Honda, Dani Pedrosa berakhir di tangga kedua dengan penunggang Yamaha, Jorge Lorenzo meraih tempat ketiga untuk melengkapkan penguasaan Sepanyol di podium.


Valentino Rossi dari Itali yang memenangi tiga perlumbaan pertama 500cc pada musim 2001 dan turut berjaya dalam kategori 250cc di Argentina pada 1998, menghuni tangga keempat.


Marquez yang kini mengumpul 75 mata maksimum dengan Pedrosa, 56 dan Rossi di tangga ketiga, 41, merudum ke tangga ketujuh selepas dipintas ramai pelumba di permulaan ketika Rossi dan Lorenzo mendahului awal perlumbaan.

Foto

MARQUEZ bermula buruk di Grand Prix Argentina.

Namun dia berjaya menduduki tangga kedua selepas empat pusingan apabila Rossi melakukan kesilapan.


Mengekori Lorenzo, Marquez bagaimanapun mendahului dengan baki sembilan pusingan daripada 25 pusingan dan menjarakkan diri dengan beberapa catatan masa terpantas.

"Permulaan saya tidak begitu bagus dan selepas itu perlumbaan agak sukar kerana ramai penunggang di depan," kata Marquez.


"Saya nampak Jorge membuka sedikit ruang dan saya fikir 'OK, berhenti bermain' dan saya cuba mengejarnya. Kemudian saya mengekalkan tunggangan dan apabila tinggal sembilan pusingan lagi, saya meningkatkan tahap kelajuan kerana nampak Dani sudah tidak jauh di belakang." - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/29

Maria juarai hatrik Grand Prix Porsche

Posted: 28 Apr 2014 10:06 AM PDT

Stuttgart, Jerman: Maria Sharapova merangkul kejuaraan Grand Prix Porsche kali ketiga berturut-turut apabila bangkit untuk menundukkan Ana Ivanovic 3-6, 6-4, 6-1 pada perlawanan akhir, kelmarin.

Maria memenangi kejuaraan pertama tahun ini dan ke-30 sepanjang kariernya. Dia kini tidak kalah dalam 13 perlawanan berturut-turut di gelanggang tanah liat tertutup di Stuttgart.


Ana mensia-siakan pendahuluan 3-1 pada set kedua ketika Maria meningkatkan tahap permainan untuk kekal bersaing dalam perlawanan berkualiti antara dua bekas pemain nombor satu dunia dan juara Terbuka Perancis. Ana memburu kejuaraan ketiganya tahun ini.

"Saya cuba bertahan," kata Maria. "Bagi separuh perlawanan itu, saya fikir hari ini bukan milik saya, tapi berjaya mengubahnya." Maria bergelut membaca kepelbagaian corak permainan selain perubahan rentak dilaksana Ana. Namun dia berjaya bertahan hingga Ana mula hilang fokus.


"Dari awal lagi ia memang satu perlawanan sengit," ujar Ana.


"Dia seorang pemain hebat dan itulah yang berlaku apabila beraksi menentang pemain hebat dalam perlawanan besar seperti ini. Anda perlu menggunakan peluang." Maria kembali hujung tahun lalu selepas berehat empat bulan berikutan pembedahan bahu.

Stuttgart satu-satunya kejohanan dimenangi Maria tiga kali. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/29

No comments:

Post a Comment