Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Buang kembar parasit

Posted: 15 Apr 2014 12:04 PM PDT

Guangdong: Doktor berjaya membuang anggota tubuh berlebihan seorang bayi selepas dia dilahirkan dengan empat tangan dan empat kaki.

Kanak-kanak itu kini dalam keadaan stabil di sebuah hospital di wilayah Guangdong, selatan China, empat hari selepas pembedahan.


Ketua Pakar bedah di hospuital itu berkata: "Mereka sepatutnya kembar tetapi satu gagal membesar dan menjadi cacat." Bayi lelaki berusia 13 hari itu dari Huizhou, dilahirkan bercantum dengan kembar parasit di perut pada 2 April lalu.

Kembar siam itu hanya kira-kira tiga kilogram sebelum dibedah.


Menurut Global Times, bayi itu didiagnos mengalami pneumonia dan penyakit jantung kongenital yang biasa dalam kalangan kanak-kanak di China, sebelum menjalani pembedahan.


Bapanya yang dikenali sebagai Chen berkata dia terpaksa membawa anaknya ke beberapa hospital berdekatan, tetapi tidak satu pun dapat menjelaskan punca kecacatan bayi itu. - Agensi

Foto

KEADAAN fizikal bayi kembar sebelum pembedahan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/16

2 beradik makan mayat

Posted: 15 Apr 2014 11:55 AM PDT

Lahore: Seorang lelaki ditahan semalam kerana disyaki melakukan kanibalisme selepas kepala bayi baru lahir ditemui di rumahnya.

Lelaki itu pernah dipenjara kerana kesalahan memakan daging manusia tiga tahun lalu.

Polis menyerbu rumahnya di sebuah kawasan terpencil di wilayah Punjab selepas jirannya mengadu bau busuk dan menjumpai kepala bayi berusia dua hari di dalam rumahnya.

Pemilik rumah, Mohammad Arif mengaku memakan bayi itu selepas abangnya 'mencuri' mayat bayi itu dari tanah perkuburan di Kampung Darya Khan, kira-kira 300 kilometer ke selatan Islamabad, kata polis.


Arif dan abangnya, Farman Ali ditahan selepas memakan mayat manusia di kampung sama pada April 2011.


Mereka dihukum penjara dua tahun dalam kes yang menggemparkan Pakistan.

"Arif ditahan dan mengaku abangnya membawa mayat bayi baru lahir itu dari tanah perkuburan berdekatan," kata Ameer Abdullah, ketua polis daerah Bhakkar, tempat terletaknya kampung itu.

"Arif memberitahu polis mereka berdua memasak mayat bayi itu dan memakannya."
Tiada peruntukan undang-undang dalam kanun keseksaan Pakistan bagi kesalahan kanibalisme.

Begitu juga kes pada 2011, Arif hanya dituduh tidak menghormati mayat dan mengganggu ketenteraman awam.

Dalam kes tiga tahun lalu itu, polis menjumpai mayat wanita berusia 24 tahun yang mati disebabkan kanser di rumah mereka. Mayat itu tidak berkaki dan mereka dipercayai memakannya.

Polis melancarkan gerakan memburu Ali, kata Ameer manakala Arif akan menjalani ujian psikiatrik.

Jurucakap polis di balai polis Darya Khan, Zafar Iqbal memberitahu isteri dan ahli keluarga mereka meninggalkan kedua-dua beradik itu beberapa tahun lalu.

"Jiran membuat laporan mengenai bau busuk dan polis menyerbu rumah itu serta-merta.

"Kami menahannya dan menemui kepala seorang bayi. Arif mengaku memasak dan memakan mayat bayi itu," kata Zafar. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/16

Biar anak mati kerana asyik main Internet

Posted: 15 Apr 2014 11:55 AM PDT

Seoul: Polis Korea Selatan semalam menahan seorang lelaki yang didakwa membiarkan bayi lelakinya mati kebuluran selepas dia menghabiskan masanya di kafe Internet.

Kes itu dijangka menyemarakkan lagi perdebatan yang berterusan mengenai ketagihan bermain permainan atas talian di negara itu.


Polis berkata, Chung, 22 ditahan semalam selepas mayat reput milik bayi berusia dua tahun itu dijumpai di dalam plastik sampah berdekatan bandar Daegu, tenggara negara itu.

Kes itu mendapat liputan meluas media apabila stesen televisyen menyiarkan rakaman CCTV menunjukkan Chung di dalam lif di apartmennya, membetulkan rambut dengan sebelah tangan depan cermin, sambil sebelah tangan lagi memegang plastik sampah disyaki mengandungi mayat anaknya.


Hujung Februari lalu, isteri Chung mula bekerja di sebuah kilang yang jauh dari bandar Seoul dan meninggalkan anaknya dalam jagaan suaminya, penganggur, dan mempunyai rekod jenayah, kata polis.


Dia menghabiskan masa bermain permainan Internet dan hanya pulang ke rumah selepas dua hingga tiga hari untuk memberi anaknya makan. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/16

Golkar, PDI-P akan kerjasama

Posted: 15 Apr 2014 11:55 AM PDT

Jakarta: Ketegangan dalam Parti Golkar nampaknya semakin reda apabila pemimpin kanan eksekutif parti berjaya menyelesaikan perselisihan faham dan bersepakat untuk menjalinkan 'kerjasama' dengan Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P).

Perselisihan dilapor berlaku dalam Golkar berkait dengan kepemimpinan pengerusi parti, Aburizal Bakrie yang ingin menjadi calon presiden serta beberapa anggota kanan yang mahu dicalonkan untuk jawatan naib presiden kepada parti lain.

Parti itu kini dilihat berusaha menggerakkan beberapa parti politik yang bersedia menyertai kerajaan campuran akan datang sekiranya calon PDI-P Joko 'Jokowi' Widodo memenangi pilihan raya 9 Julai depan.

Sekurang-kurangnya tiga parti sudah bersedia menjadi sebahagian pakatan berkenaan - PDI-P, Golkar dan Parti Nasional Demokrat (NasDem).


Tanda-tanda Golkar mungkin menyertai pakatan yang diketuai PDI-P dilihat selepas mesyuarat antara Aburizal dengan Jokowi di ibu pejabat Golkar di Jakarta Barat baru-baru ini.


"Kita akan bersahabat dengan siapa saja yang menjadi presiden.

"Kami sudah bersetuju dengan isu itu ketika perbincangan antara PDI-P dan Golkar," kata Aburizal selepas mesyuarat berkenaan, membayangkan dia tetap akan bertanding dalam pilihan raya presiden walaupun mencapai persetujuan dengan PDI-P.

Jokowi, selepas mesyuarat itu pula berkata, PDI-P dan Golkar akan membincangkan kerjasama di Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) selepas pilihan raya presiden itu.

Penganalisis berkata, Aburizal kurang yakin mengenai peluangnya memenangi pilihan raya presiden, tetapi tetap mahu bertanding kerana mahu menjaga air mukanya.

NasDem yang memenangi 6.5 peratus undi parlimen berdasarkan kiraan awal, sebelum ini bersetuju untuk menyokong Jokowi dalam pilihan raya presiden.

Seorang pegawai kanan Golkar memberitahu, sekurang-kurangnya dua parti lagi akan menyertai pakatan yang mungkin dibentuk, iaitu Parti Hati Nurani Rakyat (Hanura) dan Parti Kebangkitan Bangsa (PKB).

Hanura masih komited menyokong Aburizal dalam pilihan raya presiden dan akan menyokong Jokowi selepas pilihan raya itu. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/16

Wanita potong kemaluan suami dipenjara 3 tahun

Posted: 15 Apr 2014 11:55 AM PDT

Songiang (Shanghai): Seorang wanita yang memotong kemaluan suaminya selepas mengesyaki dia mempunyai hubungan sulit dijatuhkan hukuman tiga tahun penjara oleh Mahkamah Rakyat di sini, semalam.

Kejadian berlaku 13 Mei tahun lalu apabila lelaki itu, Gu, membawa pulang seorang wanita dan tidak menyedari isterinya, Zhang berada di situ. Wanita itu berjaya melepaskan diri, tetapi Zhang merancang membalas dendam pada malam itu.


Apbila dia dan suaminya berasmara sebelum tidur, Zhang mencapai gunting yang disorok di bawah tilam dan memotong kemaluan suaminya.

Gu dikejarkan ke hospital tetapi doktor tidak dapat menyambung semula zakarnya.


"Tanpa zakarnya, dia tidak mampu lagi untuk membuat hubungan sulit. Saya lebih rela dia 'tidak mampu' dan sanggup menjaga dia seumur hidup saya," kata Zhang ketika perbicaraan. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/16

Pak Gareng terima hakikat kekalahan

Posted: 15 Apr 2014 11:54 AM PDT

Jakarta: Wajah Sukirno tetap tegar walaupun cita-citanya menjadi wakil rakyat di Bojonegoro, Jawa Timur, terkandas apabila kalah dengan calon separtinya dari Parti Demokrat yang nyata lebih popular.

Sukirno yang juga bekerja sebagai badut bagaimanapun menerima hakikat itu berikutan jumlah undian diperolehnya ketika Pemilu 9 April lalu terlalu sedikit.

Dia mengaku tidak berbuat seperti calon lain yang mengeluarkan Rp20,000 hingga 50,000 (RM6 - RM14) pada malam menjelang pemilihan.

"Saya pula tidak jadi sejak mengetahui perkara itu saya menyedari tidak akan terpilih," katanya.


Sukirno yang lebih dikenali sebagai Pak Gareng menjadi badut sejak 10 tahun lalu, selain menjual air dan gas petroleum cair sebagai pendapatan sampingan.


"Saya ingin menjadi anggota DPRD bukan untuk mencari pekerjaan lain atau wang, sebaliknya ingin menyampaikan aspirasi saya dan masyarakat yang selama ini tak tercapai," katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/16

MILF tuntut penjelasan

Posted: 15 Apr 2014 11:14 AM PDT

Manila: Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) semalam menuntut penjelasan daripada tentera Filipina selepas satu pertempuran yang mengakibatkan 20 maut.

Naib Pengerusi hal-ehwal politik MILF Ghadzali Jaafar yang menandatangani perjanjian damai dengan kerajaan Filipina bulan lalu, menuntut siasatan dilakukan bagi kejadian yang berlaku di pulau Basilan itu.

"Pada saya serangan pihak tentera nampak seperti disengajakan cuma saya tidak pasti sama ada mereka tahu mereka menyerang kami.

"Semua pihak mesti jelas mengenai apa yang berlaku dalam kejadian itu. Keadaan mesti diperbaiki supaya tidak berlaku lagi.


"Ini pesanan saya kepada pihak tentera: 'Tolong jangan hancurkan tempoh 'bulan madu' antara MILF dan Malacanang (istana presiden),'" katanya.


Bagaimanapun, ketua tentera Jeneral Emmanuel Bautista menafikan anggotanya menyasarkan gerila MILF sebaliknya menegaskan mereka sekadar mengejar sekumpulan militan yang tidak terbabit dengan rundingan damai ditandatangani itu.

Katanya, ketika kejadian anggotanya mengejar militan Abu Sayyaf yang dikehendaki atas tuduhan penculikan dan peras ugut, namun bertembung dengan beberapa anggota MILF secara tidak sengaja.

Katanya, pihak tentera berbincang dengan ketua militan di kawasan berkenaan sebelum menjalankan operasi itu.

"Memang tiada pembabitan langsung MILF dalam kejadian itu, namun ada beberapa individu yang mempunyai pertalian peribadi Abu Sayyaf turut berada di situ.

"Sewajarnya, MILF menguruskan sendiri isu dalaman seperti itu," katanya.

Perjanjian damai ditandatanangani MILF dan kerajaan Filipina itu mengakhiri konfli selama 45 tahun, namun keadaan masih goyah. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/16

Seoul tak layan cadangan Pyongyang

Posted: 15 Apr 2014 11:12 AM PDT

Seoul: Korea Selatan semalam menolak cadangan Pyongyang untuk melakukan siasatan bersama terhadap tiga dron yang terhempas dipercayai berasal dari Korea Utara.

Jurucakap kementerian pertahanan Kim Min-Seok berkata, cadangan Korea Utara itu sekadar usaha menutup provokasi dilakukannya apabila menghantar dron berkenaan ke Korea Selatan.

Kementerian itu minggu lalu mendakwa tiga Pesawat Udara Tanpa Juruterbang (UAV) itu yang ditemui di beberapa tempat berbeza berasal dari Korea Utara.

Bagaimanapun, Korea Utara menafikan sekeras-kerasnya dron itu miliknya dan mendakwa Seoul sengaja mahu memburukkannya.


Sehubungan itu, Korea Utara mengajak sisatan bersama dilakukan dua negara berkenaan.


"Korea Selatan memang mempunyai tabiat buruk gemar melemparkan tuduhan seumpama itu sewenang-wenangnya," kata kenyataan dikeluarkan Suruhanjaya Pertahanan Kebangsaan Korea Utara, kelmarin.

Sementara itu, sepasukan pakar yang diterbangkan khas dari Amerika Syarikat (AS) tiba di Seoul kelmarin untuk membantu menganalisis UAV berkenaan serta kamera dibawa.

Menurut kementerian pertahanan, cip memori UAV berkenaan menunjukkan gambar di kawasan sempadan dan Seoul termasuk kediaman presiden walaupun kualitinya rendah. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/16

Seorang lagi maut di Bangkok

Posted: 15 Apr 2014 11:12 AM PDT

Bangkok: Seorang maut ditembak di tapak demonstrasi antikerajaan dalam kejadian terbaru keganasan di ibu kota ini.

Jurucakap protes itu, Akanat Promphan berkata, lelaki berusia 40 tahun itu - dipercayai pengawal keselamatan untuk pergerakan antikerajaan terbabit - diserang seseorang yang tidak dikenali pada awal pagi di Dataran Lumpini.

"Kami tidak tahu siapa yang bertanggungjawab," katanya.

Sementara itu, polis mendakwa belum mendapat sebarang maklumat berhubung kejadian itu dan belum melawat tempat kejadian.


Kawasan sekitar tempat kejadian dipenuhi orang ramai yang menyambut pesta air sempena Tahun Baru Thai, minggu ini. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/16

Mahu 'lawan' Yingluck, Suthep

Posted: 15 Apr 2014 11:11 AM PDT

Bangkok: Perdana Menteri sementara Yingluck Shinawatra dan ketua penunjuk perasaan antikerajaan Suthep Thaugsuban dinamakan ahli politik wanita dan lelaki yang paling menarik menjadi lawan dalam perlawanan air ketika pesta Songkran.

Tinjauan Suan Dusit terhadap 1,514 responden orang bagi tempoh antara 8 hingga 11 April itu turut mendapati kawasan paling mendapat tumpuan ketika pesta berkenaan adalah di Khao San dan Silom di Bangkok, Chiang Mai, Ayutthaya dan Chon Buri.

Seramai 67 peratus menjangkakan Songkran tidak menarik berbanding tahun lalu manakala 25 peratus lagi berpendapat ia lebih menyeronokkan.

Ketika ditanya ahli politik lelaki paling dikehendaki sebagai lawan dalam pesta air, Suthep yang juga Setiausaha Agung Jawatankuasa Pembaharuan Demokratik Rakyat (PDRC) mendapat 46 peratus undian diikuti Ketua Parti Demokrat Abhisit Vejjajiva (41 peratus) dan bekas perdana menteri Thaksin Shinawatra (13 peratus).


Bagi kategori ahli politik wanita, 75 peratus memilih Yingluck diikuti Pavena Hongsakul (18 peratus) dan Khunying Sudarat Keyuraphan (tujuh peratus).


Ditanya sama ada konflik politik negara itu akan menjejaskan Pesta Songkran, 65 peratus menganggap begitu terutama dari segi suasana perayaan, pemikiran orang ramai dan rasa selamat selain dilihat menjejaskan ekonomi. Bagaimanapun, 35 peratus tidak bersetuju dengan pandangan itu. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/16

No comments:

Post a Comment