Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Sekolah bertukar lautan lumpur

Posted: 22 Apr 2014 02:32 PM PDT

Serdang: "Sekolah ini bertukar menjadi 'lautan' lumpur setiap kali hujan lebat berlaku. Akibatnya murid sekolah ini dipindahkan ke dewan berhampiran atas faktor keselamatan," kata seorang bapa pelajar Sekolah Kebangsaan Sri Sedang di sini, yang hanya mahu dikenali sebagai Kamal, 40.

Dalam kejadian terbaru jam 5.50 petang kelmarin, hujan lebat yang berlaku menyebabkan banjir kilat menenggelamkan sekolah itu setinggi lebih 0.4 meter.


Kejadian banjir itu menyebabkan murid sekolah itu dipindahkan ke Dewan Rukun Tetangga Sri Serdang bagi mengelakkan kejadian tidak diingini. "Kejadian banjir kilat sudah acap kali berlaku dan masalah ini seolah-olah tiada penyelesaian walaupun sudah puluhan kali banjir melanda.

"Sebaik banjir surut, kawasan sekitar sekolah dan bilik darjah dipenuhi kotoran selut. Keadaan ini pastinya menjejaskan proses pembelajaran berikutan pihak pengurusan sekolah perlu membersihkan kawasan terlebih dahulu," katanya. Dia berharap Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan pemimpin politik di kawasan itu 'turun padang' menyelesaikan masalah yang berlarutan sekian lama.


"Kasihan kepada guru dan murid sekolah ini. Mereka pastinya tidak senang duduk dan panik setiap kali hujan lebat berlaku," katanya.


Sementara itu tinjauan wartawan pagi semalam mendapati anggota Balai Bomba dan Penyelamat Serdang bertungkus-lumus membantu pihak sekolah membersihkan sisa lumpur yang memenuhi kawasan sekolah terbabit.

Foto

GURU dibantu anggota bomba Serdang membersihkan kawasan Sekolah Kebangsaan Sri Serdang yang ditenggelami banjir lumpur akibat banjir kilat, petang kelmarin.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Serdang, Noor Zaidi Din berkata, lima anggotanya terbabit dalam operasi pembersihan di sekolah itu dengan menggunakan pili bomba. "Bantuan dihulurkan segera bagi memastikan pembelajaran murid di sekolah itu tidak terganggu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/23

2 pakar komputer tergamam

Posted: 22 Apr 2014 10:55 AM PDT

Kuala Lumpur: Dua pakar komputer warga Pakistan yang membuka perniagaan di sebuah pusat beli-belah di sini, tergamam sejurus ditahan sepasukan anggota Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) kerana menjual perisian komputer cetak rompak.

Timbalan Pengarah KPDNKK Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Rosli Ahmad berkata, dua lelaki berusia 25 dan 36 tahun itu diberkas sepasukan anggota penguat kuasa yang melakukan serbuan di dua premis di Plaza Low Yat di sini, jam 4 petang kelmarin.


Menurutnya, serbuan dilakukan selepas anggotanya mengumpul maklumat dan melakukan risikan sejak seminggu lalu.

"Kedua-kedua premis itu didapati menjual komputer berjenama dengan menggunakan perisian komputer cetak rompak.


"Dalam serbuan pertama itu, pegawai penguat kuasa KPDNKK merampas tiga komputer riba dan enam perisian komputer. Tindakan diambil selepas pihak KPDNKKmengenal pasti perisian cetak rompak digunakan," katanya, semalam.


Menurutnya, seorang daripada lelaki terbabit adalah ahli lembaga pengarah di dalam syarikat komputer berkenaan berdasarkan semakan di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM). "Serbuan kedua dilakukan di sebuah lagi premis di lokasi sama sebelum empat komputer riba dan lapan perisian cetak rompak turut dirampas.

"Modus operandi digunakan kedua-dua syarikat ini sama iaitu pemiliknya memuat turun perisian cetak rompak sebelum dijual kepada pelanggan," katanya.


Rosli berkata, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM29,550 berdasarkan kepada harga pasaran semasa.

"Siasatan masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Hak Cipta 1987 dan jika sabit kesalahan suspek boleh didenda minimum RM4,000 dan maksimum RM40,000," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/23

Maut motosikal rempuh kereta

Posted: 22 Apr 2014 10:54 AM PDT

Georgetown: Seorang pekerja kilang maut selepas motosikal ditunggangnya dipercayai merempuh belakang kereta dalam kemalangan di hadapan pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Batu Uban di Jalan Sultan Azlan Shah, di sini semalam.

Kejadian berlaku pada jam 1 tengah hari ketika mangsa Ahmad Danial Husaini Ahmad Khairi, 22, dari Penanti, Bukit Mertajam menunggang motosikal Yamaha 125Z dari arah Bayan Baru menghala ke pusat bandar sebelum kenderaannya merempuh belakang kereta berkenaan.


Jurucakap polis berkata, berdasarkan siasatan mangsa dikatakan menunggang motosikalnya dengan laju sebelum merempuh belakang Honda Accord yang dipandu seorang wanita menyebabkan mangsa parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk dibedah siasat dan keterangan pemandu kereta terbabit diambil untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Trafik Daerah Timur Laut (IPDTL) di talian 04-2181872 atau balai polis berhampiran," katanya.


Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan Ismail Idris ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan siasatan masih dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/23

Sekeluarga mulut berbuih

Posted: 22 Apr 2014 10:54 AM PDT

Klang: Empat beranak termasuk dua kanak-kanak berusia lapan dan 10 tahun nazak di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini, selepas meminum racun di rumah mereka di Sungai Kapar Indah, di sini.

Dalam kejadian jam 7 malam kelmarin, seorang daripada mangsa yang juga ketua keluarga berkenaan dipercayai memberi isteri dan dua anaknya meminum racun dalam cubaan untuk membunuh diri secara beramai-ramai.

Bagaimanapun semua mangsa yang dalam keadaan 'nyawa-nyawa ikan' ditemui dua ahli keluarga yang kebetulan pergi ke rumah mangsa untuk melawat keluarga terbabit.

Susulan itu mangsa dalam keadaan berbuih mulut dan tidak sedarkan diri kemudian segera dikejarkan ke HTAR untuk mendapatkan rawatan kecemasan.

Foto

AHLI keluarga mangsa menunggu di hospital.


Adik mangsa yang berusia 29 tahun berkata, pasangan suami isteri berusia 33 tahun ditemui terbaring tidak sedarkan diri di lantai ruang rumah bersama anak lelaki dan anak perempuan mereka.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/23

Boleh tuntut ganti rugi

Posted: 22 Apr 2014 10:53 AM PDT

Kuala Lumpur: "Jika berlaku sebarang pertukaran barang (hantaran) atau serahan wang perbelanjaan antara kedua-dua belah pihak, tuntutan ganti rugi boleh dibuat menerusi peruntukan undang-undang syariah." kata Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) Musa Awang.

Menurutnya, segala hantaran yang sudah diberikan sama ada kepada pihak lelaki atau wanita, tuntutan ganti rugi boleh dibuat jika didapati salah satu pihak berkenaan bertindak membatalkan niat untuk berkahwin.


Katanya, tuntutan itu hanya boleh dibuat berdasarkan nilai kerugian yang ditanggung oleh sesuatu pihak dan ia tertakluk kepada Enakmen Keluarga Islam mengikut negeri-negeri tertentu.

"Bagaimanapun, ia perlu melihat kepada adat sesuatu tempat. Sesetengah negeri mentafsirkan bahawa merisik itu sudah dianggap bertunang berdasarkan niat bersama untuk berkahwin.


"Setiap pemberian kepada sesuatu pihak boleh dituntut, namun nilai tuntutan bergantung kepada kerugian yang dialami dan tidak boleh secara berlebih-lebihan," katanya ketika dihubungi Harian Metro, di sini, semalam.


Semalam, Harian Metro melaporkan seorang lelaki dikenali Hanif, 23, kerugian lebih RM10,000 selepas berhasrat untuk mendirikan rumah tangga dengan pasangannya yang baru dikenali beberapa bulan yang lalu.

Bagaimanapun, wanita itu bertindak membatalkan niat untuk berkahwin berikutan hubungan sulitnya dengan lelaki lain diketahui lelaki berkenaan dan kejadian itu berlaku selepas majlis merisik diadakan Februari lalu.


Musa berkata, lelaki (Hanif) berkenaan boleh memfailkan tuntutan ganti rugi itu dengan melantik mana-mana peguam syarie dan meminta wanita terbabit bertanggungjawab untuk menebus semula kerugiannya.

Beliau berkata, prosedur itu sama seperti tuntutan lain dan lelaki berkenaan hanya perlu melantik peguam untuk mewakilinya di mahkamah.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/23

No comments:

Post a Comment