Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Che Ta rugi RM500,000

Posted: 04 Apr 2014 11:10 AM PDT

Kuala Lumpur: "Sebab iklan itu, saya kehilangan kontrak produk kecantikan bernilai hampir setengah juta. Jadi saya kena ambil tindakan," kata pelakon dan pengacara popular Rozita Che Wan mengenai keputusannya mengemukakan notis tuntutan kepada pihak yang menggunakan nama dan wajahnya tanpa kebenaran pada iklan dua produk kecantikan.

Rozita atau nama sebenarnya Rozita Abu Bakar @ Che Wan, 43, mengambil tindakan itu kerana mengalami kerugian selepas kehilangan kontrak sebagai duta satu produk kecantikan bernilai hampir RM500,000, baru-baru ini.

Difahamkan, pihak ketiga yang berhasrat melamar Rozita sebagai duta produk membatalkan rancangan itu kerana mereka menyangka aktres terbabit sudah terikat dengan dua produk berkenaan.

Rozita berkata, dia mengambil keputusan menghantar notis tuntutan kepada pihak tidak bertanggungjawab yang dirahsiakan identiti itu kerana gagal menurunkan iklan daripada pelbagai platform promosi selepas diminta berbuat demikian sebelum ini.

Foto

ROZITA bersama Ahmad Fuad dalam sidang media, semalam.


"Saya sudah beri mereka tempoh dan tunggu dua hingga tiga bulan. Pengurus saya juga pernah menghubungi dan cuba berunding dengan ejen jualan produk itu untuk turunkan nama dan wajah saya.


"Namun, tiada apa-apa tindakan daripada mereka. Jadi saya menerusi peguam akan hantar notis menuntut mereka turunkan iklan itu dalam masa 14 hari atau berdepan tindakan seterusnya," katanya pada sidang media di sebuah restoran di Jalan Ampang di sini, semalam.

Rozita turut ditemani pengurusnya Afeeq Abdul Wahab dan peguam Ahmad Fuad Hasim.

Harian Metro pada Khamis lalu melaporkan Rozita mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang menyalahgunakan nama dan wajahnya mempromosikan dua produk kecantikan termasuk satu produk membesarkan payudara.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/05

Tiga lelaki Guinea sangkut

Posted: 04 Apr 2014 11:05 AM PDT

Kuala Lumpur: Tiga lelaki warga Republik Guinea yang dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket penipuan pemujaan tarik duit di Gombak Mac lalu ditahan polis dalam dua serbuan berasingan di sini, semalam.

Suspek pertama yang disyaki menerima RM150,000 daripada mangsa ditahan dalam serbuan pertama jam 12.30 tengah hari di sebuah apartmen di Bukit Serdang.

Menurut sumber, soal siasat ke atas suspek berusia 32 tahun yang menjalankan perniagaan barangan terpakai itu mengesahkan dia adalah individu yang menerima wang tunai diberikan mangsa.

"Susulan tangkapan itu, polis melakukan serbuan kedua di Pangsapuri Seri Nilam, Ampang, jam 2 petang dan menahan dua lagi lelaki dipercayai anggota sindiket terbabit.

"Siasatan lanjut mendapati lelaki berusia 18 dan 27 tahun itu memasuki negara ini dengan menggunakan pas pelajar," katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Izany Abd Ghany ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu.

Menurutnya, polis masih mengesan saki-baki anggota sindiket berkenaan yang dipercayai masih bebas melakukan jenayah berkenaan yang disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Selasa lalu, muka depan Harian Metro melaporkan seorang mangsa dikenali sebagai Amin, 28, kerugian RM150,000 selepas wang perkahwinannya itu dipinjamkan kepada dua rakannya yang bergelar ustaz.

Amin mendakwa, dia setuju meminjamkan wang kepada dua rakannya itu atas dasar percaya dan bagi membalas jasa mereka yang pernah menolongnya sebelum ini.

Katanya, ketika mahu meminjam wang, dua rakannya yang bergelar ustaz itu memberi alasan mereka memerlukan wang untuk perniagaan dan berjanji membayar semula dalam tempoh lima jam.

Bagaimana pun, rakannya itu sebenarnya meminjam wang itu bagi menyertai upacara tarik duit yang dilakukan dua beranak dari Sudan yang dipanggil Sheikh.

Difahamkan, Amin yang membuat aduan kepada aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia, (PPIM) Yusuf Azmi, menyerahkan wang berkenaan dalam mata wang Amerika Syarikat iaitu AS$45,000.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/05

Tragedi pilu hujan lebat

Posted: 04 Apr 2014 11:04 AM PDT

Kuala Lumpur: Menyayat hati apabila seorang wanita maut selepas kepalanya hancur digilis treler dalam kemalangan di Jalan Kuching menghala Kepong berhampiran bulatan Segambut, di sini semalam.

Lebih menyedihkan apabila suami dan abang kandung mangsa yang menerima berita sedih itu tiba di lokasi kejadian dan menangis teresak-esak di sisi mayat mangsa dalam hujan lebat.

Dalam kejadian jam 5.45 petang itu, mangsa, Nor Idayu Ab Karim, 33, yang bertugas di Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Jalan Duta dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah di Taman Koperasi Polis Fasa 2, Gombak.

Pemangku Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Superintendan Mohd Fadhli Daud berkata, siasatan awal polis mendapati mangsa yang menunggang motosikal dikatakan tergelincir akibat jalan licin berikutan hujan lebat.

"Motosikal mangsa hilang kawalan menyebabkan mangsa terjatuh ke atas jalan raya di bahagian kanan lorong kiri.

"Pada masa sama, sebuah treler yang membawa muatan konkrit binaan tidak sempat mengelak lalu menggilis kepala mangsa yang memakai topi keledar hingga pecah," katanya, semalam.

Katanya, mangsa dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah.

Ketika kejadian, hujan lebat dan keadaan jalan licin.

Menurutnya, pemeriksaan ke atas motosikal mangsa terdapat kesan calar dipercayai kesan bergesel dengan jalan raya.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Foto

SUAMI mangsa menangis di tepi jenazah.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/05

Cikgu jual kereta curi

Posted: 04 Apr 2014 11:01 AM PDT

Melaka: Satu sindiket menjual kereta curi di negeri ini tumpas apabila empat lelaki termasuk seorang guru ditahan dalam dua serbuan berasingan iaitu masing-masing di Peringgit dan Batang Tiga, di sini, pada 30 dan 31 Mac lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri Asisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, hasil tangkapan suspek berusia 24 hingga 33 tahun itu, pihaknya merampas lima kenderaan mewah terdiri daripada dua Toyota Estima dan masing-masing satu Honda Civic, Subaru dan BMW.

Katanya, serbuan dilakukan pasukan siasatan curi kereta Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri bersama Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah.

"Tiga suspek berusia 24 hingga 33 tahun termasuk seorang guru ditahan dalam serbuan pertama yang dilakukan kira-kira jam 5 petang, 30 Mac lalu di Peringgit dan kita turut merampas sebuah Toyota Estima dengan nombor pendaftaran MCL1079.

Foto

RAJA Shahrom Raja Abdullah menunjukkan nombor pendaftaran palsu yang digunakan pada antara lima kenderaan mewah termasuk sebuah BMW, Honda Civic, Subaru dan dua buah Toyota Estima yang dirampas daripada sindiket menjual kereta curi.


"Hasil semakan mendapati kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Estima itu adalah kenderaan curi yang dilaporkan hilang di Prai, Pulau Pinang, tahun lalu dengan nombor pendaftaran asal PJY6469," katanya pada sidang media di IPK negeri di sini, semalam.


Menurutnya, hasil soal siasat, pihaknya menahan seorang lagi lelaki berusia 24 tahun di Batang Tiga kira-kira jam 4 petang keesokan harinya dan merampas baki empat kenderaan berkenaan yang semuanya dipercayai dicuri.

Katanya, siasatan mendapati guru terbabit membeli Honda Civic yang dirampas, malah seorang pensyarah lelaki berusia 30-an yang membeli salah sebuah daripada Toyota Estima berkenaan turut dipanggil memberi keterangan bagi membantu siasatan.

"Modus operandinya adalah mencuri kereta di luar Melaka dan menjualnya di sini dengan harga jauh lebih rendah daripada harga pasaran.

"Sebagai contoh, Toyota Estima itu dibeli pensyarah terbabit pada harga RM30,000 berbanding RM80,000 mengikut harga pasaran," katanya.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/05

Arah MUIP pantau 'al-hafiz' kutip derma

Posted: 04 Apr 2014 10:57 AM PDT

Kuantan: Kerajaan negeri sudah mengarahkan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) memantau aktiviti yang dilakukan pelajar sekolah tahfiz terutama membabitkan kegiatan mengutip derma.

Ini bagi memastikan kegiatan berkenaan tidak terus berleluasa hingga menjejaskan imej Pahang seterusnya pusat pendidikan agama yang banyak terdapat di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Dakwah Islamiah dan Tugas-Tugas Khas Pahang Datuk Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, pegawai MUIP akan berada di beberapa tempat tumpuan pelajar terbabit seperti restoran, stesen minyak, perkarangan bank dan pasar raya bagi memantau kegiatan mereka.

Menurutnya, kegiatan berkenaan yang menggunakan remaja lelaki dan perempuan untuk menjual pelbagai produk kesihatan termasuk menagih sumbangan daripada masyarakat sudah lama berlaku.

Katanya, usaha menyekat kegiatan berkenaan perlu segera dilakukan kerana difahamkan kebanyakan mereka menjalankan aktiviti tanpa mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa negeri.

"Kita akan bekerjasama dengan polis dalam usaha membendung kegiatan berkenaan bagi memastikan imej sekolah tahfiz yang diwujudkan untuk pendidikan agama tidak terus tercemar di mata masyarakat.

"Lebih memalukan apabila difahamkan ada di kalangan pelajar tahfiz terbabit menggunakan wang hasil derma orang ramai dengan membelanjakannya di kafe siber di daerah ini," katanya ketika dihubungi, semalam.

Syed Ibrahim berkata, tidak mustahil kegiatan mengutip derma untuk pembinaan sekolah tahfiz dan masjid didalangi individu yang mempunyai kepentingan peribadi hingga sanggup menggunakan pelajar sebagai 'keldai' pengutip derma.

Beliau berkata, kerajaan pusat melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia sudah memperkenalkan satu sistem bersepadu yang bakal meletakkan sekolah tahfiz di bawah Kementerian Pendidikan.

Semalam, Harian Metro melaporkan mengenai kegiatan pelajar sekolah tahfiz yang mengutip derma dan dipercayai menggunakan wang terbabit untuk bermain permainan video di kafe siber di bandar ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/05

No comments:

Post a Comment