Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Guna siku kawal stereng

Posted: 12 Apr 2014 09:41 AM PDT

Oleh MOHD FAUZI ABDULLAH, MAIAMALINA MOHAMED AMIN, FARDY BUNGGA, SHAHRUL NIZAM MOHAMAD dan KHAIRULMIZAN YAHYA

Bentong: Pemandu bas pandu laju dan kerap menghantar SMS menggunakan telefon bimbitnya sepanjang jalan," dakwa seorang penumpang Norfazillah Zainuddin, 22, yang turut mengalami kecederaan di kaki dalam kemalangan bas ekspres di Kilometer 11, Jalan Bentong-Raub, berhampiran Bukit Lebu dekat sini, tengah malam semalam.

Menurut Norfazillah, dia yang takut dengan sikap pemandu itu membuat keputusan tidak mahu tidur sepanjang perjalanan, malah turut menegur pemandu bas itu yang memandu sambil menghantar SMS dan hanya mengawal stereng menggunakan siku.

Katanya, beberapa penumpang lain turut menegur pemandu itu tetapi dia menjawab 'sudah biasa, tak ada masalah' dan terus memandu laju.

"Ketika sampai di tempat kejadian, saya lihat pemandu itu tidak menumpukan perhatian kerana sibuk menghantar SMS menggunakan telefon bimbitnya sebelum bas hilang kawalan dan memasuki ke laluan bertentangan.

Foto

BAS Ekspres Transnasional dua tingkat yang terbabit kemalangan di Kilometer 11, Jalan Bentong-Raub berhampiran Bukit Lebu, dekat Bentong menyebabkan tiga kematian dan 10 cedera parah, semalam.

Foto

ANGGOTA bomba dan JPAM mengangkat seorang penumpang yang cedera.

Foto

ANGGOTA bomba memapah seorang penumpang yang cedera selepas bas ekspres dua tingkat membawa 68 penumpang terbabas dan terbalik.


"Saya menyedari bas sudah memasuki lorong sebelah (kanan) dan menuju ke arah bukit dan terus menjerit 'awas' kepadanya tetapi sudah terlambat, bas melanggar tiang elektrik di kanan jalan sebelum terheret di tepi bukit.


"Pemandu cuba mengelak dengan memusingkan stereng ke arah kiri selepas terlanggar bukit menyebab-kan bas terus terbalik dan terseret di atas jalan," katanya ketika ditemui di Hospital Bentong selepas mendapatkan rawatan.

Menurutnya, dia yang berkerja sebagai kerani di sebuah kilang elektronik menaiki bas berkenaan pulang ke kampungnya di Tumpat, Kelantan untuk membawa ibunya mendapatkan rawatan di hospital.

Ketua Polis Daerah Bentong Superintendan Mohamad Mansor Mohd Nor berkata, polis akan menyiasat dakwaan beberapa penumpang yang mengatakan bas ekspres berkenaan dipandu laju termasuk pemandunya membaca dan berbalas SMS.

Dapatkan akhbar Metro Ahad untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/13

Jeritan tengah malam

Posted: 12 Apr 2014 09:29 AM PDT

Oleh MOHD FAUZI ABDULLAH, MAIAMALINA MOHAMED AMIN, FARDY BUNGGA, SHAHRUL NIZAM MOHAMAD dan KHAIRULMIZAN YAHYA

Bentong: Bas ekspres dipandu laju di laluan selekoh dipercayai menjadi punca ia terbabas dan melanggar tiang elektrik di kanan jalan sebelum terbalik ke sebelah kiri di Kilometer 11 Jalan Bentong-Raub, berhampiran Bukit Lebu, dekat sini, tengah malam semalam.

Kejadian jam 12.30 malam itu menyebabkan tiga penumpang terbunuh di tempat kejadian, termasuk sepasang suami isteri, 10 parah serta 55 lagi cedera ringan. Mereka dibawa ke Hospital Bentong dan Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh.
Bas Ekspres Transnasional dua tingkat membawa 68 penumpang itu dalam perjalanan dari Putrajaya ke Kota Bharu, Kelantan.


Mangsa yang meninggal dunia di tempat kejadian adalah Zarifah Alias, 26, beralamat di Kampung Padang Jeman Salor, Kota Bharu, Kelantan dan suaminya warganegara Somalia, Saeed Mohamad Mohamud Abdalla, 31, beralamat di Kediaman Siswa Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Setapak, Kuala Lumpur serta Suhaisam Che Abdulla, 33, dari Kampung Sungai Masin, Batang Kali, Selangor.

Foto

BAS yang terbabit dalam nahas di Kilometer 11 Raub - Bentong.

Foto

PEMANDU bas, Wan Khairul Efendi (kiri) bersama pemandu kedua Mohd Hairul.

Foto

JENAZAH Saeed Mohamad dan isterinya Zarifah disembahyangkan ahli keluarga.

Ketua Polis Daerah Bentong Superintendan Mohamad Mansor Mohd Nor berkata, pemandu bas Wan Khairul Affendi Mustafa, 39, berasal dari Kubang Kerian, Kelantan dipercayai memotong beberapa kenderaan di laluannya sebelum hilang kawalan di satu selekoh.

Katanya, bas ekspres itu kemudian melanggar tiang elektrik di kanan jalan sebelum terbalik di sebelah kiri sehingga ada penumpang tersepit di dalamnya.

Dapatkan akhbar Metro Ahad untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/13

Kejutan ajal

Posted: 12 Apr 2014 09:23 AM PDT

Kota Bharu: "Dia tak beritahu nak balik kerana mahu buat kejutan, tapi tak sangka begini jadinya... dia pula mengandung lima bulan. Maaf, saya tak boleh cakap lagi... sakit dada ni," rintih Mahni Othman, 72, ibu kepada Zarifah Alias, 27, yang maut dalam kemalangan membabitkan sebuah bas ekspres di Kilometer 11, Jalan Bentong-Raub berhampiran Bukit Lebu, dekat sini, tengah malam semalam.

Zarifah antara tiga mangsa yang maut dalam kejadian itu. Turut meninggal dunia suaminya yang juga warga Somalia Saeed Mohamad Mohamud Abdalla, 31, dan Suhaisam Che Abdulla, 33, dari Batang Kali, Selangor.

Seramai 10 lagi mangsa dilaporkan parah dan menerima rawatan di Hospital Bentong dan Hospital Temerloh.

Ketika ditemui di kediamannya di Kampung Padang Jeman, Salor, di sini, Mahni berjubah hitam dan ditemani saudara-mara masih terkejut serta sedih atas kejadian menimpa anak bongsu dan menantunya.

Foto

ZARIFAH dan Saeed Mohamad maut dalam nahas di Jalan Bentong-Raub, semalam.


Difahamkan, anak dan menantu Mahni yang meninggal dunia itu membawa bekalan kelapa dari Somalia yang diperoleh Saeed Mohamad ketika melawat keluarganya di sana bulan lalu.


Menurut kakak kedua Zarifah, Zalilawati, 42, pasangan itu tidak memberitahu sesiapa mengenai kepulangan mereka, termasuk ibunya dan ayah Alias Ismail, 72.

"Dia menelefon mak dua hari lalu untuk bertanya khabar dan memaklumkan akan pulang, tetapi tidak menetapkan tarikh kerana mahu membuat kejutan.

"Sebab itu kami sekeluarga tidak tahu mereka sebahagian penumpang bas itu hinggalah jam 6 pagi tadi (semalam) rakan Zarifah datang ke rumah memaklumkan Zarifah dan Saeed terbabit dalam nahas itu.

"Ketika itu, dia hanya memberitahu Saeed yang meninggal dunia. Hanya selepas gagal menghubungi telefon bimbit Zarifah dan meminta saudara mencarinya di rumah mereka di Keramat, Kuala Lumpur baru kami tahu dia juga meninggal dunia selepas menyemak senarai nama mangsa di Hospital Bentong," katanya.

Menurutnya, Zarifah berkhidmat sebagai penyelidik sambilan yang kini menyambung pengajian ke peringkat ijazah sarjana di Universiti Malaya (UM), manakala Saeed Mohamad penuntut ijazah kedoktoran di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) kampus ibu negara dan bakal berkhidmat dengan Kedutaan Arab Saudi di Kuala Lumpur.

"Kedua-duanya berkahwin 7 Disember tahun lalu dan menanti kelahiran anak sulung. Bahkan, Zarifah paling teruja dan berharap mendapat cahaya mata lelaki kerana dia ada nama untuk anaknya yang akan dipanggil 'Bilal'.

"Kami sekeluarga tidak menyangka akan menyambut mereka dengan cara begini. Sedih sangat kerana kami adik-beradik sangat rapat dan dia adik bongsu daripada tujuh beradik serta paling ceria dalam keluarga.

"Dia penghibur kami dan minatnya untuk belajar menyebabkan dia kerap berjauhan dengan kami. Kali terakhir kami berjumpa ketika arwah mengalami alahan teruk Februari lalu, dan dimasukkan ke Hospital Pasir Mas," katanya.

Jenazah Zarifah dan Saeed Mohamad dikebumikan di tanah perkuburan berdekatan kampung itu, malam semalam.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/13

Orang Asli jumpa mayat bayi dalam plastik sampah

Posted: 12 Apr 2014 09:18 AM PDT

Kuala Kubu Baru: Seorang lelaki Orang Asli yang sedang memungut sampah di Kawasan Perindustrian Meil, Batang Kali di sini, tersentak apabila menemui mayat seorang bayi perempuan di dalam satu bungkusan plastik sampah dipercayai dibuang di kawasan itu, kelmarin.

Difahamkan, lelaki berusia 26 tahun itu dan beberapa rakannya melakukan kerja memotong rumput dan memungut sampah di kawasan Jalan Batang Kali-Rasa dan kawasan perindustrian terbabit, kira-kira jam 9.30 pagi.

Apabila tiba di lokasi kejadian kira-kira dua jam selepas itu, dia menemui bungkusan plastik berwarna hitam lalu membukanya dan segera menghubungi talian kecemasan selepas melihat bayi terbabit.

Sumber berkata, bertindak atas maklumat itu, sepasukan polis bergegas ke lokasi kejadian yang terletak kurang 800 meter dari Jalan Batang Kali-Rasa.

Foto

MAYAT bayi perempuan yang ditemui.


"Pemeriksaan menemui mayat seorang bayi perempuan mengiring dibalut dengan sehelai baju dan keadaannya masih bertali pusat bersama uri. Bayi itu dipercayai dibuang pada awal pagi iaitu kira-kira enam atau tujuh jam sebelum penemuan terbabit.


"Mayat bayi itu dihantar ke Hospital Kuala Kubu Baru untuk bedah siasat," katanya di sini, semalam.

Menurutnya, hasil laporan bedah siasat mendapati bayi itu berusia kira-kira 28 minggu dalam kandungan dan kematiannya akibat lemas.

"Sehelai baju berwarna hitam dan plastik yang dijumpai diserahkan kepada Jabatan Kimia. Mayat bayi itu dihantar ke hospital," katanya.

Kata sumber itu, polis turut menjalankan pemeriksaan di klinik di sekitar Hulu Selangor untuk mengesan wanita yang baru bersalin atau hadir untuk diperiksa dalam tempoh terdekat.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian diminta menyalurkannya ke balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Superintendan Shukri Yaakob mengesahkan kejadian dan berkata, siasatan lanjut masih sedang dijalankan pihaknya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/13

239 penumpang, anak kapal dilindungi maksimum RM3.3b

Posted: 12 Apr 2014 09:17 AM PDT

Kuala Lumpur: Semua 239 penumpang dan anak kapal pesawat MH370 dilindungi insurans maksimum AS$1 bilion (RM3.3 bilion) berdasarkan kepada tiket penerbangan dibeli.

Bagaimanapun, penerimaan nilai insurans dinamakan 'polisi pesawat dan liabiliti' kepada setiap orang bergantung kepada siasatan oleh penilai insurans atau broker dilantik.

Menurut sumber insurans, tempoh masa pembayaran keseluruhan insurans akan mengambil masa tertentu iaitu sehingga siasatan ke atas pesawat terbabit selesai.

"Setiap penumpang dan kru kapal berhak menerima insurans terbabit yang akan diterima waris mereka.


"Dalam kes kehilangan pesawat MH370, jika didapati 239 orang sama ada warga tempatan atau asing mati atau hidup, mereka atau waris mereka akan mendapat bahagian insurans masing-masing, tertakluk kepada terma dan syarat polisi," katanya.


Beliau berkata, ada satu lagi insurans tidak wajib dibeli oleh penumpang iaitu 'MHinsure' disediakan oleh Etiqa Insurance Berhad.

"Hampir semua syarikat penerbangan menyediakan skim insurans ini, sungguhpun begitu, bukan semua penumpang membeli polisi berkenaan.

"Bagaimanapun, insurans ini hanya melindungi barang penumpang seperti beg dan lain-lain," katanya.

Sumber industri itu berkata, syarikat insurans lain yang bergabung di dalam polisi terbabit termasuk syarikat Allianz berpangkalan di Jerman sebagai pemegang utama akan berkongsi membayar pampasan kepada keluarga mangsa.

Dapatkan akhbar Metro Ahad untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/13

No comments:

Post a Comment