Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Chong Wei gah

Posted: 06 Apr 2014 10:43 AM PDT

Kuala Lumpur: Datuk Lee Chong Wei sekali lagi berjaya membenam ego Chen Long dengan menewaskan jaguh China itu 21-13, 21-17 pada perlawanan akhir Siri Super Terbuka India semalam.

Kemenangan itu sekali gus menyaksikan jaguh perseorangan negara itu berjaya mempertahankan kejuaraan yang dimenanginya pada musim lalu.


Pada perlawanan di Kompleks Sukan Siri Fort, Chong Wei dilihat tenang menguasai permainan pada set pertama dengan kerap memperdaya Chen Long menerusi permainan di jaring.

Chen Long bagaimanapun cuba bangkit pada set kedua, namun Chong Wei mempamerkan rentak mantap untuk meraih kemenangan mutlak.


"Saya tiada sebarang tekanan dan hanya mahu beraksi sebaik mungkin dan akhirnya ia membuahkan hasil.


"Terima kasih kepada penyokong yang hadir ke stadium dan memberi sokongan padu kepada saya," katanya selepas tamat perlawanan semalam.

Foto

CHEN Long gagal tandingi Chong Wei.

Terbuka India adalah kejuaraan ketiga dimenangi Chong Wei musim ini selepas mendominasi Siri Super Premier Terbuka Malaysia, Januari lalu dan saingan Seluruh England.


Kemenangan itu juga melebarkan rekod pertemuan dengan Chen Long kepada sembilan kemenangan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/07

Atletico, Barca 'penat'

Posted: 06 Apr 2014 09:56 AM PDT

Madrid: Ketua jurulatih Barcelona dan Atletico Madrid, Gerardo Martino dan Diego Simeone mengakui pasukan mereka kepenatan selepas masing-masing mencatat kemenangan ke atas Real Betis dan Villarreal, kelmarin.

Atletico kekal lebih satu mata berbanding kelab Catalunya itu dengan berbaki enam perlawanan La Liga, tetapi kedua-dua jurulatih lebih menumpukan kepada perlawanan suku akhir kedua Liga Juara-Juara membabitkan kedua-dua pasukan di Vicente Calderon selepas seri 1-1 pada perlawanan pertama di Nou Camp, minggu lalu.


Martino akur Barcelona gagal mempamer prestasi sebenar dengan dua gol lewat permainan daripada Lionel Messi serta jaringan sendiri Jordi Figueras sudah mencukupi untuk mereka menang 3-1 ke atas Betis.

"Saya harapkan perlawanan ini tidak seperti ketika bertemu Atletico sebelum ini. Kami beraksi di bawah tahap sebenar ketika itu.


"Saya sudah saksikan perlawanan Atletico dan mereka juga nampaknya berdepan masalah sama.


"Betis bermain dengan amat bagus. Pada masa sama, prestasi kami menurun sedikit kerana pemain agak kepenatan," katanya.

Situasi sama juga dialami Atletico apabila tandukan awal Raul Garcia sudah cukup buat tuan rumah meraih kemenangan tipis 1-0 ke atas Villarreal.


"Kami beraksi dengan baik pada babak pertama tapi gagal mencari penyudah yang baik dan hanya menjaringkan gol menerusi set piece," kata Simeone.

Sementara itu, meskipun tanpa Cristiano Ronaldo, Real Madrid kendalian Carlo Ancelotti berjaya menang selesa 4-0 ke atas Real Sociedad di tempat lawan.


Real turut akan turun pada perlawanan Liga Juara-Juara pertengahan minggu ini selepas mereka menang 3-0 pada perlawanan pertama ke atas Borussia Dortmund tetapi berbanding Atletico dan Barcelona, mereka dilihat lebih mantap menerusi gol Asier Illarramendi, Gareth Bale, Pepe dan Alvaro Morata. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/07

Rekod Bayern lebur

Posted: 06 Apr 2014 09:55 AM PDT

Berlin: Bayern Munich mengalami kekalahan pertama Bundesliga sejak Oktober 2012 selain rekod tanpa kalah liga dalam 53 perlawanan berakhir apabila tumpas 0-1 kepada Augsburg, kelmarin.

Jurulatih Pep Guardiola membariskan pasukan lemah bagi pertembungan jiran setempat Bavaria itu dan menerima padah apabila Bayern tunduk buat kali pertama dalam liga Jerman sejak kecundang 1-2 di laman sendiri kepada Bayer Leverkusen pada 28 Oktober 2012.


Ketika tumpuan diberikan terhadap pertemuan suku akhir kedua Liga Juara-Juara menentang Manchester United di laman sendiri awal pagi Khamis ini, Guardiola memulakan perlawanan dengan tiga pemain remaja sekali gus memberikan penampilan sulung Bundesliga kepada pertahanan Ylli Sallahi dan Mitchell Weiser manakala Pierre-Emile Hoejbjerg disenaraikan di sayap kiri.

Percaturan itu mencetus padah apabila Weiser kehilangan bola kepada pemain Augsburg, Daniel Baier yang mengumpan kepada Sascha Moelders dan penyerang Augsburg itu merembat kencang melepasi penjaga gol Bayern, Manuel Neuer pada minit ke-31.


"Lambat-laun kami akan kalah juga, kami menerimanya dan kini perlu mempersiapkan diri dengan pantas bagi pertemuan dengan Manchester United," kata Guardiola.


"Rabu ini (awal pagi Khamis) ibarat final buat kami. Ia perkara hidup atau mati." Bayern sudah disahkan sebagai juara Bundesliga 11 hari lalu apabila mereka memastikan kejuaraan dengan rekod baki tujuh perlawanan dan mereka kekal 20 mata mendahului carta liga. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/07

Inter makin tertekan

Posted: 06 Apr 2014 09:55 AM PDT

Milan: Penyerang Argentina, Diego Milito gagal menyempurnakan sepakan penalti pada lewat perlawanan sekali gus menyukarkan impian Inter Milan ke Liga Europa selepas seri 2-2 dengan Bologna di San Siro, kelmarin.

Inter kekal di tangga kelima, tiga mata di depan Parma namun jurulatih Walter Mazzarri semakin tertekan selepas pasukannya gagal menang dalam empat aksi terakhir liga.


Sekalipun Milito tampil dari bangku simpanan dan terlepas penalti pertama Inter dalam liga sejak Mei 2013, Mazzarri enggan menyalahkan pasukannya.

"Memang patut Milito tampil mengambil sepakan penalti itu, dia sering mengambilnya dan dia lebih bertenaga berbanding Rodrigo Palacio ketika itu," jelas Mazzarri.


"Kami sudah memberikan segala-galanya dan bukannya tidak bernasib baik, cuma tidak menjadi." Terdahulu, penyerang veteran, Luca Toni menyumbat gol ke-16 dalam Serie A musim ini untuk membantu Verona menang 1-0 ke atas Chievo dalam pertembungan jiran setempat. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/07

Mourinho kecam pegawai

Posted: 06 Apr 2014 09:54 AM PDT

London: Pengurus Chelsea, Jose Mourinho membidas pegawai Liga Perdana berikutan apa yang dianggapnya kedudukan liga 'palsu' selepas pasukannya kembali ke puncak hasil kemenangan 3-0 ke atas Stoke di laman sendiri, kelmarin.

Kemenangan menerusi jaringan Mohamed Salah, Frank Lampard dan Willian menyaksikan Chelsea memintas Liverpool yang menentang West Ham, malam tadi ke tangga pertama dengan kelebihan satu mata.


Keputusan itu juga membolehkan kelab London itu mengatasi Manchester City dengan dua mata namun pasukan di tangga ketiga kendalian Manuel Pellegrini itu beraksi kurang dua perlawanan berbanding Chelsea dan Liverpool sebaik berakhir minggu ini.

Situasi itu nyata tidak menyenangkan Mourinho yang percaya ia sesuatu tidak kena apabila kelab yang mencabar kejuaraan tidak mempunyai jumlah perlawanan yang sama hingga minggu akhir musim ini.


"Situasi adalah sama. Kedudukan liga sekali lagi palsu," kata Mourinho. "Kedudukan liga menunjukkan ada pasukan yang mempunyai lebih perlawanan.


"Anda lihat kelompok teratas liga dan ada pasukan beraksi lebih banyak berbanding pasukan lain.

"Bagi pasukan yang berada di tangga teratas, kami tidak boleh menyatakan berapa jumlah mata untuk menjadi juara.


"Ini adalah liga terbaik di dunia, saya tidak fikir ini memberi gambaran baik dan ia bukan situasi bagus," kata pengendali kelahiran Portugal itu.

"Untuk beraksi perlawanan tertangguh pada beberapa minggu terakhir musim, saya tidak fikir ia sesuai dipraktikkan dalam liga di negara ternama ini." Bagaimanapun kemenangan itu amat penting buat Mourinho yang akan mempersiapkan pasukannya bagi pertembungan suku akhir kedua Liga Juara-Juara menentang Paris Saint-Germain di Stamford Bridge awal pagi Rabu ini.


Chelsea berdepan tugas sukar untuk kekal bersaing dalam pertandingan kelab elit Eropah itu apabila mengalami kekalahan 1-3 pada aksi pertama di Paris. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/07

'Kami tentu nasib sendiri'

Posted: 06 Apr 2014 09:54 AM PDT

Manchester: Pengurus Manchester City Manuel Pellegrini menyatakan nasib pasukannya kini terletak di tangan mereka sendiri selepas melakar kemenangan 4-1 ke atas Southampton di laman sendiri, kelmarin bagi mengukuhkan buruan kejuaraan Liga Perdana.

Sepakan penalti Yaya Toure pada minit ketiga meletakkan City di depan di Eastlands sebelum Rickie Lambert menyamakan kedudukan juga menerusi sepakan penalti buat Southampton.


Namun dua gol pada hujung babak pertama menerusi Samir Nasri dan Edin Dzeko meletakkan City dalam kedudukan selesa sebelum pemain gantian Stevan Jovetic mengubah keputusan kepada 4-1 pada minit ke-81.

City yang akan bertandang ke Liverpool hujung minggu ini sedar jika mereka mencatat kemenangan dalam semua baki tujuh perlawanan, kejuaraan sudah pasti menjadi milik mereka.


"Semua bergantung kepada kami sendiri untuk menentukan kejayaan musim ini. Kami perlu meneruskan permainan seperti kami tunjukkan pada babak pertama kerana ia permainan yang hebat," kata Pellegrini.


"Kami gembira dengan keputusan diraih pada pusingan kedua liga berbanding pusingan pertama," jelas pengendali dari Chile itu.

"Kami meraih empat kemenangan dan satu seri dalam lima perlawanan terakhir kami, mungkin kami beraksi kurang baik pada Februari dan awal Mac tapi saya fikir pasukan ini sudah kembali berada di tahap terbaik." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/07

Toffees bedil Gunners

Posted: 06 Apr 2014 09:53 AM PDT

London: Everton mencerahkan impian mereka layak ke Liga Juara-Juara musim depan apabila merapatkan kedudukan kepada satu mata di belakang pasukan tangga keempat Arsenal selepas mereka menundukkan Gunners 3-0 dalam aksi Liga Perdana di Goodison Park, malam tadi.

Gol menerusi Steven Naismith, Romelu Lukaku dan jaringan sendiri bekas pemain Everton, Mikel Arteta menyaksikan Toffees yang bermain kurang satu perlawanan berbanding Arsenal merakam kemenangan meyakinkan.


Naismith meletakkan tuan rumah di depan pada minit ke-14 selepas rembatan Lukaku disepak keluar penjaga gol Arsenal, Wojciech Szczesny dan 20 minit kemudian, anak buah Roberto Martinez menggandakan pendahuluan.

Lukaku yang beraksi di bahagian sayap merampas bola di sebelah kanan sebelum mengatasi Nacho Monreal dan Thomas Vermaelen sebelum melakukan rembatan kencang kaki kiri melepasi Szcesny dari penjuru kotak penalti.


Semuanya bagaikan tidak menjadi buat anak buah Arsene Wenger yang ketinggalan 3-0 selepas 62 minit. Arteta yang cuba menyelamatkan keadaan kelam-kabut di kawasan gol tertampan ke gawang sendiri.


Kekalahan itu sekali gus meranapkan harapan tipis Gunners memenangi Liga Perdana. Mereka bagaimanapun masih bersaing pada separuh akhir Piala FA menentang Wigan Athletic hujung minggu ini. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/07

Zaqhwan takluk Batu Kawan

Posted: 06 Apr 2014 09:53 AM PDT

Kuala Lumpur: Mohd Zaqhwan Zaidi mempamerkan aksi bertenaga apabila menjuarai pusingan pertama kategori CP130 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2014 di Batu Kawan, Pulau Pinang, semalam.

Pada perlumbaan akhir 18 pusingan, pelumba Givi Honda Yuzy Racing itu melintasi garisan penamat dengan masa keseluruhan 16 minit 15.133 saat, 3.602s meninggalkan Norizman Ismail (Harian Metro YTEQ SCK Honda Racing) kedua, 16:18.735s.


Sementara Mohd Azhar Abdul Jalil (Motul Yamaha YY Pang) ketiga 16:21.269s sekali gus menghadiahkan kemenangan pertama buat diri dan pasukan sejak mula beraksi dalam kategori CP130 musim lepas.

Bagi Zaqhwan, selain bergelar juara sulung musim ini, perlumbaan pertama itu sebenarnya banyak memberi makna kepada dirinya.


"Saya memulakan saingan musim 2014 dengan begitu baik. Pada hari pertama (Sabtu) saya berjaya menguasai sesi ujian masa selepas pada musim lalu, saya melakukannya dalam enam pusingan daripada 10 pusingan keseluruhan. Ini membuktikan saya masih berada pada prestasi terbaik sekali pun telah berehat panjang.


"Paling menggembirakan apabila mengakhiri 'badi' Superpole selepas mencatat masa terpantas dan seterusnya memulakan perlumbaan dari petak pertama," kata pelumba berusia 19 tahun itu.

Mendahului kedudukan keseluruhan ketika ini dengan mengumpul 25 mata, Zaqhwan menjelaskan dia juga sudah cukup bersedia untuk merebut gelaran juara keseluruhan musim ini.


"Selepas dua tahun kecundang di penghujung musim, saya tidak mahu kecewa lagi. Saya akan memastikan berada di kelompok hadapan pada setiap perlumbaan untuk memburu juara keseluruhan," katanya menduduki tempat ketiga keseluruhan musim lalu. Dalam kategori CP115, permulaan kurang sempurna tidak menghalang duo Motul Yamaha YY Pang Mohd Izzat Zaidi Salehan dan Tengku Amirul Haffirudin untuk mendominasi perlumbaan.

Mereka mencatat kemenangan 1-2 dengan masa keseluruhan 13:53.995s dan 13:56.108s menewaskan pelumba berpengalaman, Elly Idzlianizar Ilias (M Seki Liberty Honda) ketiga 13:56.685s.


Manakala perlumbaan kelas Wira pula dikuasai Khairul Ikhwan Ajis (MOS Track Pro Yamaha) 11:27.157s, kedua dan ketiga milik pelumba Kosi Yam Honda Racing, Mohd Harith Farhan dan Khairul Idham Pawi 11:28.591s dan 11:30.663s.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/07

ATM kurang yakin?

Posted: 06 Apr 2014 09:53 AM PDT

Kuala Lumpur: Pengendali ATM, B Sathianathan menyifatkan kekalahan 0-1 pasukannya kepada Kelantan di Stadium Sultan Muhammad IV, kelmarin disebabkan faktor kurang keyakinan dan motivasi anak buahnya.

"Secara keseluruhan, pemain bermain dengan baik walaupun kita tidak dapat menurunkan kesebelasan utama. Apa yang saya dapat lihat, kurangnya keyakinan setiap kali kita mengawal rentak.


"Penyerang pula sering gagal menyempurnakan peluang terhidang akibat tidak ada keyakinan pada diri sendiri untuk menjaringkan gol.

"Mungkin keyakinan ini hilang kerana kita menduduki tangga kedua tercorot liga hingga memberi kesan negatif kepada sikap pemain ketika dalam permainan," katanya.


Jelas Sathia lagi, kehadiran semula penjaring terbanyak liga musim lalu, Marlon Alex James selepas ini mampu meningkatkan kembali motivasi serta keyakinan pemain lain.


"Marlon seorang pemain yang istimewa. Saya yakin kehadirannya semula selepas sembuh daripada kecederaan akan memulihkan keadaan pasukan," katanya.

Sementara itu, pemain pertahanan tengah Korea Selatan, Park Yong-Ho semakin hampir menyarung jersi ATM pada pusingan kedua liga.


Yong-Ho, 33 yang bermain untuk Liga Korea Klasik bersama kelab Busan IPark pernah dilantik selaku kapten.

Busan dikatakan tidak mampu membayar gajinya dan memutuskan melepaskannya secara percuma.


Beliau adalah bekas anggota skuad bawah 23 tahun Korea Selatan dan membuat 288 penampilan untuk kelab FC Seoul dan Busan IPark.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/07

Khyril tekad robek gawang FELDA

Posted: 06 Apr 2014 09:52 AM PDT

Alor Setar: Penjaring dua gol ketika Kedah menewaskan UITM 3-1, Khyril Muhymeen Zambri mahu meneruskan sentuhan pemusnahnya berdepan FELDA United dalam usaha melayakkan diri ke Liga Super musim 2015.

Menurutnya, dia lega kerana akhirnya bebas daripada kecederaan dan berjaya mencipta jaringan.


"Tahap kecergasan saya kini bertepatan ketika menentang UiTM dan mahu meneruskannya menentang FELDA yang kini di tangga keempat Liga Perdana.

"Tambah lagi saya harap dua gol yang dijaringkan akan berterusan selepas ketandusan jaringan sekian lama," katanya.


Matlamat penyerang kebangsaan itu mahu memastikan Kedah mengutip mata penuh walaupun lawan bukan calang-calang pasukan.


"Apapun tidak kira sama ada saya atau rakan lain menjaringkan gol, yang penting Kedah menang bagi mengembalikan semuka keyakinan penyokong Helang Merah," katanya.

Kehadiran semula tiga pemain import Adam Griffith, Jose Franco Gomez dan Billy Osman mengembalikan semula kemantapan Kedah yang sebelum ini dibebani masalah kecederaan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/07

No comments:

Post a Comment