Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Ganggu ketenteraman

Posted: 07 Apr 2014 12:33 PM PDT

Kuala Lumpur: "Ramai lagi penduduk di sini, yang tidak bersetuju dengan cadangan itu kerana ia bukan saja menyebabkan kawasan sekitar tasik menjadi lebih sesak dengan pengunjung, malah bunyi bising helikopter pasti mengganggu keamanan di sini," kata R Kahbillan, 26, antara penduduk di kawasan perumahan sekitar Taman Tasik Titiwangsa di sini, ketika ditanya mengenai pembinaan tapak Heli City Tour di sini, semalam.

Menurutnya, projek pembinaan tapak landasan helikopter komersial di tasik berhampiran rumahnya itu tidak sesuai kerana hanya mengganggu ketenteraman penempatan di sekitar kawasan itu.


"Dulu projek Ferris Wheel Eye On Malaysia pun dibina di sini, tetapi kini tiada lagi kerana sejak diadakan, kawasan ini menjadi sangat sesak dengan kenderaan dan pengunjung, malah jaminan keselamatan mengenai penduduk yang tinggal di sini juga tiada," katanya.

Seorang lagi penduduk yang enggan dikenali turut tidak bersetuju jika projek itu diteruskan kerana bakal membahayakan nyawa pengunjung di tasik berkenaan.


Menurutnya, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) perlu menyediakan pelan khas terutama dari aspek keselamatan penduduk dan pengunjung jika berhasrat mahu meneruskan projek itu.


Bagaimanapun, bagi seorang pengunjung dari Perak, Wan Nurazizah Wan Ibrahim, 33, dia menyokong usaha kerajaan bagi menarik lebih ramai pelancong dengan projek terbaru itu.

Foto

LOKASI tapak Heli City Tour di Taman Tasik Titiwangsa.

"Bagi saya, ia satu pembaharuan untuk menarik minat pelancong datang ke negara ini, belum cuba belum tahu keberkesanannya terhadap impak industri pelancongan negara kita," katanya yang bercuti ke ibu negara bersama keluarga.


Baru-baru ini, Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, projek berkenaan tetap diteruskan di tasik itu meskipun menerima bantahan penduduk berhampiran.

Menurutnya, tasik berkenaan di bawah bidang kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan kawasan perumahan itu bukan kawasan ekslusif untuk penduduk setempat saja.


Tahun lalu, DBKL memperkenalkan pakej Heli City Tour yang menjadi antara pakej pelancongan terbaru ditawarkan kepada pelancong sempena Tahun Melawat Malaysia 2014 (TMM 2014).

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/08

'Kami tak merancang'

Posted: 07 Apr 2014 12:19 PM PDT

Putrajaya: Pelakon tanah air Wan Hafizol Wan Omar atau Fizo Omar menafikan dia dan isteri Mawar Abdul Karim, 24, 'merancang' untuk mempunyai cahaya mata bagi memberi tumpuan kepada cabang perniagaan yang semakin berkembang ketika ini.

Menurutnya, tiada istilah merancang kerana mereka sentiasa berdoa supaya dikurniakan anak secepat mungkin.


"Kami berdua menyukai kanak-kanak dan sudah tentu berharap supaya menerima 'perkhabaran baik' secepat mungkin.

"Oleh itu tidak mungkin kami menolak rezeki pemberian Allah. Siapa yang tidak mahu cahaya mata bagi melengkapkan kehidupan selepas ini," katanya ketika ditemui Harian Metro di sini, semalam.


Fizo sah bergelar suami kepada Mawar yang juga Pengurus Pemasaran Tudung Fareeda dengan sekali lafaz pada majlis akad nikah yang diadakan di rumah pengantin perempuan di Country Heights, Kajang pada 10 November tahun lalu.


Pasangan itu dinikahkan Pegawai Tadbir Agama Daerah Hulu Langat Ustaz Mohd Arif Abdul Samad yang disiarkan secara langsung menerusi program Nasi Lemak Kopi O di TV9.

Foto

Fizo Omar dan isteri Mawar Abdul Karim.

Ditanya mengenai reaksi kurang senang sesetengah pihak yang mendakwa Fizo sengaja menayangkan isterinya kepada umum, dia berkata, hanya ucapan terima kasih yang mampu diucapkan kerana ia membuatkan mereka berdua menjadi semakin positif.


"Ia suatu komen yang tidak berasas kerana saya bukan melakukan perkara tidak bermoral. "Bagi saya, mungkin dengan imej bertudung yang dibawa isteri saya itu boleh memberi kesedaran dan menarik minat orang lain untuk bertudung selain menunjukkan contoh yang baik bagi pasangan kerana tempat isteri adalah di sisi suami," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/08

Kesan ping 2 jam 20 minit

Posted: 07 Apr 2014 11:45 AM PDT

Kenyataan Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Sudah 31 hari sejak kehilangan MH370. Hari ini (semalam) kita memasuki minggu baru dalam operasi pencarian terdapat petunjuk signifikan dalam misi pencarian dan pesawat seperti yang dinyatakan Agensi Penyelaras Bersama (JACC) di Perth bahawa 'towed pinger locator' yang ditunda HMAS Ocean Shield mengesan satu isyarat yang konsisten dengan kotak hitam pesawat, ini mungkin akan membawa kita ke satu tahap yang lebih hampir dalam usaha mengesan MH370. Tetapi banyak lagi tahap yang perlu diambil sebelum kita dapat mengesahkan secara positif isyarat itu datang dari pesawat MH370.

Pagi ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menghubungi Perdana Menteri Australia Tony Abbott yang memberi perkembangan terkini pengesanan isyarat terbaru itu. Menurut JACC di Perth, dua isyarat berasingan dikesan kira-kira 1,650 kilometer dari barat laut Perth antara kawasan pencarian di utara. Pengesanan pertama diperoleh kira-kira dua jam 20 minit oleh kapal HMAS Ocean Shield sebelum isyarat itu hilang. Kapal itu berpusing semula untuk mengesan isyarat itu.

Isyarat kedua berjaya diperoleh selama 13 minit. Dalam hal ini, dua kesan pinger dapat didengar. Seperti yang dikatakan Angus Houston (Ketua Penyelaras JACC), bunyi ini konsisten dengan transmisi daripada perakam data penerbangan dan data perakam suara kokpit.


Dalam pada itu, Malaysia konsisten dalam usaha untuk mengesahkan untuk bekerjasama dalam mencari bukti sejak hari pertama operasi pencarian. Saya menggesa semua pihak yang berkaitan supaya mengambil maklumat ini dengan penuh tanggungjawab dan memberi masa serta ruang untuk pihak berkuasa menjalankan pengesahan lanjut. Malaysia juga selari dengan kenyataan Perdana Menteri Abbott bahawa semua pihak harus berhati-hati, mengenai penemuan yang tidak pasti dan membuat kesimpulan.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/08

15 pekerja warga asing disiasat

Posted: 07 Apr 2014 11:43 AM PDT

Kota Kinabalu: Semua pekerja asing yang ditahan kerana bekerja tanpa permit yang sah di negeri ini termasuk pekerja pusat peranginan di Singamata Reef Resort akan disiasat dengan teliti sama ada pernah terbabit atau menganggotai kumpulan penculik di selatan Filipina.

Ketua Pengarah Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) Datuk Mohammad Mentek berkata, pihaknya masih menyiasat latar belakang 15 pekerja asing yang ditahan di Singamata Reef Resort kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri dan permit kerja sah.


"Semua warga asing itu didapati bekerja tanpa dokumen atau permit ketika pihak berkuasa menyerbu pusat pelancongan berkenaan selepas dua wanita diculik kumpulan lelaki bersenjata Rabu lalu.

"Mereka masih ditahan bagi membantu siasatan kes culik itu," katanya.


Mohammad berkata, pada masa sama, ESSCOM sudah memulakan operasi pemeriksaan terhadap semua resort dan pulau peranginan di Semporna bagi mendapatkan maklumat serta laporan berhubung status pekerja dan pengunjung di kawasan berkenaan.


"Selain mengetahui latar belakang pekerja, kita perlu mendapatkan maklumat mengenai latar belakang pengunjung termasuk negara asal mereka bagi tujuan pemantauan," katanya.

Sementara itu, seorang jurulatih menyelam yang mahu dikenali sebagai Tim, 30-an, mengakui banyak pusat pelancongan di pulau sekitar Semporna menggunakan warga asing.


"Kebanyakan mereka warga Filipina dengan pekerja lelaki sebagai pemandu bot manakala wanita biasanya sebagai pengemas bilik, tukang masak, pelayan restoran atau penyambut tetamu.

"Lelaki Filipina mahir mengemudi bot manakala wanita pula fasih berbahasa Inggeris yang memudahkan urusan melayan pelancong asing," katanya.


Katanya, semua mereka biasanya tidak mempunyai permit kerja sah dan masuk ke negara ini secara haram. Sebelum ini, Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata, ada anggota kumpulan bersenjata itu dipercayai pernah bekerja di Singamata Adventures and Reef Resort iaitu lokasi dua wanita berkenaan diculik.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/08

Warga emas berang lepas tembakan

Posted: 07 Apr 2014 11:43 AM PDT

Ipoh: Seorang lelaki warga emas diberkas polis kerana melepaskan sedas tembakan menggunakan senapang patah kerana dipercayai berang dengan abang iparnya berhubung isu tanah kebun kelapa sawit.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang Jumaat lalu, suspek berusia 61 tahun dipercayai bertengkar dengan abang iparnya yang berusia 71 tahun membabitkan isu tanah sebelum melepaskan tembakan ke udara.


Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, polis yang menerima maklumat berhubung kejadian bertindak ke kebun kelapa sawit berkenaan dan menahan suspek serta merampas selaras senapang patah bersama tiga peluru penabur dan satu kelongsong peluru.

"Ketika kejadian terdapat seorang saksi kejadian berusia 50-an yang juga pekerja kebun sawit berkenaan dan hasil siasatan polis mendapati suspek dan abang iparnya bertengkar kerana salah faham berhubung isu tanah kebun kelapa sawit.


"Bagaimanapun, tiada kecederaan dilaporkan dan suspek ditahan mengikut Seksyen 39 Akta Senjata Api, serta direman sehingga hari ini (semalam) untuk siasatan lanjut," katanya.


Menurutnya, pemeriksaan mendapati suspek mempunyai lesen sah untuk senjata api dimiliki itu dan kertas siasatan berhubung kes terbabit sudah diserahkan kepada pihak timbalan pendakwa raya untuk tindakan lanjut serta proses pendakwaan.

"Jika sabit kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman penjara maksimum dua tahun dan polis ingin menasihatkan orang ramai terutama mereka yang mempunyai senjata api supaya tidak menggunakannya secara salah kerana mereka bakal berdepan hukuman berat sekiranya menggunakan senjata berkenaan secara menyalahi undang-undang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/08

No comments:

Post a Comment